You are on page 1of 9

FALSAFAH SENI PERSEMBAHAN MELAYU DI SEBALIK TARIAN ZAPIN 1

Mohd Anis Md Nor Dalam pengertian yang cukup luas Seni Persembahan Melayu bukan sahaja mencakupi kesemua aspek dan bentuk kesenian Melayu yang dipersembahkan sebagai acara untuk tontonan tetapi juga mengimbau makna yang lebih mendalam apabila segala bentuk kesenian tersebut diikat dan dipintal oleh urat-urat budaya yang berlandaskan kepada sikap dan sifat bangsa Melayu yang diatur oleh adat resam dan agama yang dijunjung. Istilah Melayu dalam ertikata sesebuah bangsa bukan sahaja merangkumi kesemua elemen budi dan bahasa dalam berbagai dialek dan variannya tetapi juga jasad dari adat istiadat, kepercayaan dan agama. Justeru itu seni persembahan Melayu sangat terkait dengan tradisi dan adat resam bangsa Melayu berpandukan kepada kebiasaan memilih yang baik dan menolak yang buruk. Perpatah Melayu yang menyarankan setiap insannya merasa dan memeriksa sebelum melakukan sebarang pekerjaan adalah juga bersandar kepada falsafah baik pada orang, baik pada diri sendiri, elok pada orang, elok jua pada diri sendiri. Dengan kata lain, seni persembahan Melayu sama ada yang menjurus kepada seni teater, seni tari, seni muzik, seni suara, seni halus dan sebagainya secara estetik dibatasi oleh tatacara dan adap sopan Melayu sebagai pemangkin kepada keberterusan warisan bangsa Melayu di sejagat alam.

Tatacara dan adap sopan Melayu telah menentukan betapa keindahan yang dilakar dari naluri kesenian orang Melayu itu sendiri mempunyai batasan-batasan dan ketentuan-ketentuan kesopanan dan kesesusilaan yang unik dan istimewa. Keunikan tersebut juga yang menentukan bagaimana kesenian Melayu itu berbeza dari kesenian bangsa yang lain di dunia dari segala sudut keindahan, estetika dan keberadaban. Setiap seni persembahan Melayu itu adalah sebuah kenyataan dan lafaz keindahan yang sangat indah menjadi inti kepada keindahan-keindahan lainnya dari kaca mata orang Melayu itu sendiri.
Makalah ini telah dibentangkan di Singapore Zapin Festival 2001 di Singapura pada 1hb. hingga 3hb. November, 2001.
1

Seni tari Zapin yang menjadi pusaka bangsa Melayu juga sangat sarat dengan imbauan makna keindahan yang diatur dengan rasa periksa nan elok di hati, elok di mata berdasarkan kepada falsafah seni persembahan orang-orang Melayu. Falsafah yang memagar keindahan tarian Zapin bukan sahaja merupakan falsafah duniawi tetapi juga secara abstraktif menyempurnakan keindahan dari sudut agama Islam yang menjadi benteng utama falsafah seni persembahan Melayu. Keterkaitan falsafah Melayu dan Islam itu tidak dapat dipisahkan kerana manusia Melayu itu telah dalam waktu yang cukup lama menyaringi dan memilih butir-butir keindahan yang sesuai dengan budaya yang didokong dan agama yang disanjung. Apatah lagi jika direnung secara mendalam akan terserlah ikatan seni tari dan muzik Zapin dengan nuansa-nuansa kesenian Timur Tengah yang telah bersemadi dengan nuansi-nuansi peribumi bangsa Melayu di alam Melayu melalui ikatan ukhuwah Islamiah yang dibawa oleh arus penetasan dakwah Islamiah sejak awal kurun ke tiga belas masihi. Selain dari itu terdapat pula keistimewaan yang luar biasa apabila tarian Zapin itu dilihat secara rici sebagai wadah kesenian sesuatu daerah yang khusus dan istimewa. Dalam hal ini tarian Zapin Melayu di Singapura adalah seangkatan dengan Zapin Melayu yang telah berkembang dari sejak kejatuhan kerajaan Melayu Melaka semasa empayar kesultanan Johor-RiauLingga mula bertapak di Selat Melaka dan kepulauan Riau. Singapura telah mewarisi kesenian yang sangat tua dan terdahulu daripada kesenian-kesenian Melayu sinkretik yang lainnya yang berkembang setelah datangnya kuasa-kuasa penjajah barat ke alam Melayu. Zapin Melayu telahpun wujud di dunia Melayu sebelum Portugis membawa Tarantella, Fandango dan Branle pada pertengahan kurun ke lima belas sehingga mencetuskan kreativiti orang Melayu untuk mencipta Ronggeng termasuk Tandak atau Joget, Inang, Keroncong dan Dondang Sayang. Justeru itu falsafah seni persembahan tarian Zapin adalah juga sangat langka dan terpahat lebih awal dari seni persembahan yang selainnya.

Falsafah Dalam Seni Persembahan Zapin


Salah satu falsafah Melayu yang utama dalam menobatkan kesenian bangsanya ialah kesederhanaan. Orang Melayu telah diajar

dari sejak zaman berzaman bahawa apapun yang dilakukan wajar dilaksanakan dalam kesederhanaan. Riak atau lagak berlebihan dengan sikap sombong atau bongkak adalah ditegah sama sekali. Malah riak adalah ditegah samasekali untuk orang-orang mukmin. Sikap kesederhaan ini menjadi pemidang utama yang membezakan seni tarian Zapin dengan mana-mana kesenian tari bangsa lain. Dasar falsafah tersebut diungkap dengan sangat indah dalam tarian Zapin apabila setiap penari diajar bahawa langkah yang diatur adalah langkah yang seluas pemidang kaki dan bukan selebar betis sehingga kain yang dipakai boleh terselak sehingga ternampak betis kaki. Dalam hal ini langkah seorang lelaki dan langkah seorang wanita tentunya lebih lagi dibezakan. Langkah anak lelaki lebih kasar berbanding langkah kaki anak gadis. Falsafah ini juga telah memaksa orang Melayu untuk melahirkan keindahan dari kelembutan pijakkan dan langkahan kaki termasuk tapak menapak selayak memijak semut tidak mati. Untuk melahirkan dinamika langkahan yang lembut tetapi tegas, tarian Zapin telah memperuntukkan berbagai macam ragam langkah yang secara halus memaksa penarinya menghadkan tenaga pada ketika setiap tapakkan dilaksanakan. Ragam-ragam langkah seperti alif, sut, titi batang, ayam patah, lompat tiong, pusau belanak, serimpat perahu, siku keluang dan sebagainya menjadi pembentung kepada pergerakan yang kasar atau tidak manis dipandang. Sementara itu pula setiap penari Zapin juga diajar agar telapak kaki tidak diangkat terlalu tinggi maupun dihala ke arah sebarang tempat bagi mengelakkan pandangan mata penonton terpandang telapak kaki seseorang penari.

Kesederhaan pergerakan juga dipaparkan melalui hayunan dan lengangan tangan. Penari Zapin tidak boleh menghayun tangan terlalu tinggi sehingga melepas paras bahu ataupun membuka ketiak secara melulu. Syarat ini lebih diketatkan lagi untuk penari perempuan. Oleh kerana itu penari lelaki digalakkan menghayun sebelah tangan sambil yang sebelah lagi menekap baju teluk belangga ke atas pusat jika berbusana samping dagang dalam atau menekap baju tersebut dibelakang badan pada aras pinggang jika berbusana samping dagang luar. Penari perempuan pula disarankan melenggang sebelah tangan sambil sebelah lagi menggengam bucu kain dagang luar di aras pinggang. Dengan adanya syarat-syarat tersebut, pergerakan penari Zapin, baik lelaki maupun perempuan, secara tidak langsung dipaksa menghayun dan melenggang tangan secara sederhana dan bersahaja. Untuk melaksanakan syarat tersebut, setiap penari juga terpaksa

melekapkan lengan tangan dari bahu hingga ke siku dekat dengan tubuh badan seolah-olah ketiak sedikitpun tidak terbuka. Pada masa yang sama lengan bawah yang dihayun sentiasa pula dikawal dengan genggaman ringan di tangan selayak genggam tak sudah. Sementara tangan di hayun dan langkah dibuka, tubuh penari Zapin tetap tegak tanpa digoyang-goyang secara paksa bagi memastikan bahawa kelembutan tari masih berpasak kepada keanggunan gerak gerak penari. Falsafah yang sama juga menjadi panduan untuk permainan muzik Zapin. Muzik Zapin dibahagikan kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama disebut Taksim atau Taqasim yang merupakan bahagian improvisasi permainan alat Gambus atau Oud. Setiap pemain Gambus dilatih memainkan modul-modul muzik yang disebut Marqam dengan menghafal petikan nada, julat nada dan jeda bersama ornomantasi yang telah dipelajari. Maqam yang bererti tunggal atau Maqamat yang bererti majmuk adalah merupakan kelompok tetrachords (empat not) atau pentachords (lima not) dalam skala oktaf yang mempunyai hieraki pic dan pola melodik yang boleh bersifat conjunt, disjunct maupun bertindih. Permainan Taksim dengan Marqam yang telah diaduk di antara Marqam asli dan improvisasi tempatan memberikan warna persembahan yang sangat indah dan luar biasa. Namun demikian setiap pemetik Gambus yang memainkan Taksim tidak digalakkan untuk terlalu gairah menampilkan keluarbiasaannya bermain kerana beliau masih merupakan salah seorang daripada anggota ensembel muzik Zapin yang sama-sama memainkan peranan menyumbang persembahan secara beramairamai. Justeru itu tidak terdapat konsep adanya seorang pemain muzik yang lebih baik daripada mana-mana anggota pemuzik yang lain sebagaimana juga di dalam seni tari Zapin tidak terdapat primadon atau primadonna tertentu. Falsafah kesederhanaan ini menolak berlakunya ketaksuban pemain atau riak dengan anugerah yang diberikan tuhan. Sebaliknya setiap anggota pemain muzik dan penari tarian Zapin adalah merupakan anggota yang sama penting disegi kedudukan dan peranan yang mempersembahkan sesuatu permainan secara muafakat selayak perpatah bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat.

Bahagian kedua muzik Zapin merupakan bahagian lagu yang terdiri daripada ungkapan pantun yang diulang-ulang dalam pola

melodi yang telah ditentukan. Setiap bait lagu merupakan kata nasihat yang penuh dengan tunjuk ajar Melayu yang kaya dengan imbasanimbasan dan pembayang kata yang tinggi sasteranya. Lagu Zapin berfungsi menghibur dan memberi ajaran sambil pendengar mendengar dan merenung makna lagu yang didendangkan. Setiap pantun berkait yang selesai dilagukan dipisah dengan hentakan dan pukulan gendang Marwas yang bertelingkah dengan gamat dan kuat. Dalam konteks ini juga falsafah seni persembahan Melayu yang menekankan erti kesederhanaan, kemuliaan dan keberkatan juga dipaparkan dalam senikata lagu, susunan melodi dan kebersamaan pemuzik dan penyanyi. Bahagian terakhir muzik Zapin disebut Wainab. Dalam bahagian Wainab nyanyian ditamatkan. Yang kedengaran adalah pukulan telingkahan gendang Marwas dan Dok yang diiring oleh kelompok ensembel alat petikan dan gesekan. Telingkahan gendang dan gesekan biola dimainkan sebagai menandakan bahawa persembahan lagu dan tarian Zapin sudah berada di penghujung jalan. Pada saat tersebut, setiap penari berusaha dengan sebaik mungkin melaksanakan pergerakan penutup tari dengan langkah yang tersusun rapi diselangi dengan duduk menjongkok atau bertinggung. Seterusnya penari akan duduk bertinggung di lantai dengan tangan dibawa dalam posisi sembah atau diletakkan diatas paha. Sikap dan gerak ini juga memaparkan kesederhanaan walaupun penari tangkas melaksanakan pergerakan Wainab yang memerlukan daya tenaga yang lebih tinggi daripada ragam-ragam tari yang sebelumnya.

Falsafah Busana Zapin


Falsafah yang menekankan kehalusan pekerti dan rendah diri juga menjadi faktor utama dalam menentukan keserasian dan kesesuaian berbusana dalam tarian Zapin. Pada amnya pakaian Melayu yang dipakai untuk menarikan tarian Zapin adalah terdiri dari pakaian yang biasanya dipakai untuk menghadiri acara kenduri perkahwinan. Penari Zapin tidak perlu memakai pakaian yang terlalu gemerlapan atau menyerlah kerana kehadiran pemain Zapin adalah dianggap sama seperti kehadiran para tetamu lain yang diundang. Cuma yang membezakan di antara penari atau pemain Zapin dengan orang kebanyakan ialah dari segi jenis kain dan cara memakai.

Dari sudut sejarah, pakaian yang dipakai oleh penari Zapin ialah dalam busana gaya Teluk Belanga. Gaya tersebut juga dikenali sebagai Taluk Balanga di kepulauan Sumbawa dan Taruk Belanga di Kepulauan Sulu (Siti Zainon, 1997: 48). Istilah Baju Teluk Belanga merupakan istilah yang dikhususkan kepada pakaian lelaki berbanding dengan busana wanita yang lebih umum dikenali sebagai Baju Kurung atau Baju Panjang yang dipakai labuh hingga ka paras lutut atau di bawah paras lutut. Ciri khas gaya busana Teluk Belanga untuk penari lelaki terletak pada cara memakai baju dan kain samping dalam dua gaya iaitu gaya dagang luar dan gaya dagang dalam. Gaya dagang luar ditandakan dengan memakai baju di dalam sambil samping dipakai di luar baju tersebut. Gaya dagang dalam pula ditentukan apabila pemakai memakai baju di luar sementara samping dipakai di dalamnya. Perbezaan di atara gaya-gaya ialah, pada lazimnya di zaman dahulu, cuma golongan atasan atau orang-orang Bangsawan sahaja yang memakai gaya dagang luar sementara orang kebanyakan memakai baju Teluk Belanga dengan gaya dagang dalam. Busana lengkap baju Teluk Belanga terdiri daripada baju kurung leher bulat dikancing dengan butang emas atau suasa, kain samping, seluar dan songkok untuk kaum lelaki sementara kaum wanita pula memakai Baju Kurung yang panjang dan longgar bersama kain kelubung dan sarung sedondon. Kain kelubung tersebut boleh dijadikan kain menutup kepala atau diikat di pinggang apabila membuat sebarang pekerjaan atau dipegang dengan sebelah tangan dalan gaya dagang luar. Secara tradisional keseluruhan jahitan pada busana tersebut dijahit dengan tangan dengan jahitan kelim sembat tangan. Dengan jahitan kelim sembat tangan juga hiasan sulaman tulang belut atau tulang peringgi dijahit di keliling leher bulat baju Teluk Belanga atau Baju Kurung.

Falsafah di sebalik pemakaian baju Teluk Belanga atau Baju Kurung sebagai busana penari Zapin juga terkait rapat dengan nilai keperibadian orang Melayu dan estetika pemakaian Baju Melayu itu sendiri. Pengertian kurung yang meliputi busana Teluk Belanga dan Baju Kurung memberi pengertian bahawa konsep mengurung adalah seperti membendung, mengandang atau menutup bahagian aurat daripada kelihatan walaupun sebagai bayangan susuk tubuh kepada orang yang melihatnya. Kurung juga memberi erti adanya kelonggaran pada busana yang dijahit atau disembat sehingga pemakainya merasa selesa dan mudah bergerak. Tetapi yang lebih nyata dan lebih mendalam maksudnya ialah busana tersebut serasi dengan falsafah

Melayu yang menekankan kepada kerendahan hati, kesederhaaan budi dan ketiadaan riak pada diri pemakainya. Busana Teluk Belanga dan Baju Kurung yang dipakai oleh penari Zapin dengan sendirinya memaksa mereka bergerak dengan sopan dan tertib.

Akhir Kalam
Falsafah seni persembahan Melayu bukan bersifat menyekang kebebasan tetapi mendorong kebebasan berkarya secara terkawal dan terarah. Pokok utama dasar falsafah tersebut terletak kepada keberterusan penanaman semangat mempertahankan tata susila adab resam budaya melayu supaya manusia yang menggelarkan dirinya Melayu tahu akan asal usulnya dan keberadaannya di dunia. Falsafah Melayu yang tersirat dan tersurat di sebalik tarian Zapin merupakan hasil sulaman tamadun zaman berzaman yang disadur dan ditinta dengan agama Islam junjungan ummah Islamiah. Seperti dalam banyak hal, tradisi kesenian melayu yang berkembang secara sinkretik masih tetap terpadu dengan jalingan budaya lama dan baru disemat kukuh oleh falsafah agama yang menjadi penentu di antara yang halal dan yang haram, yang mubah dan yang harus.

Tarian Zapin bukannya sebarang tarian yang boleh diambil mudah tetapi wajar dimengertikan makna dan maksud segala perlakuan di dalam kesenian tersebut sehingga benar-benar dapat dihayati dengan penuh rasa kepuasan. Adalah sangat malang jika orang Melayu sendiri tidak dapat menyedari betapa indah dan mesranya tradisi tersebut pada sisi manusia Melayu kerana dalam segala sudut, kesenian tersebut memenuhi kehendak dan cita rasa insan Melayu yang insaf akan dirinya, bangsanya dan agamanya. Justeru itu, kesederhanaan dalam apa saja tingkah lagu dan pergerakan di dalam tari, bermain alat muzik dan mendendangkan lagu serta cara memakai busana yang sesuai dan serasi dengan budaya bangsa adalah asas kepada keindahan yang dapat diterima di dunia dan di akhirat. Orang Melayu tidak pernah akan lupa asal datangnya beliau ke dunia dan saat akan kembalinya bersemi di alam baqa sehinggakan falsafah kehidupan seperti yang terpancar di dalam seni persembahan Melayu termasuk tarian Zapin tetap berpasak kepada kudrat Ilahi dan kemampuan melaksanakan sesuatu dengan indah tetapi bermakna. Tarian Zapin akan terus hidup selagi falsafah tersebut difahami dan

dilaksanakan secara sedar tetapi sebaliknya akan boleh juga hilang dari muka bumi jika falsafah kesenian itu dihilangkan bergantian dengan falsafah-falsafah yang bercanggah dengan nilai budaya dan akidah agama. Selagi falsafah yang memagari inti keindahan dapat dimengertikan maka selagi itu tradisi kesenian seperti tarian Zapin akan terus hidup subur menongkah arus zaman.

Bibliografi
Azah Aziz. (1990) Selayang Kenangan . Kuala Lumpur: AMK Interaksi. Mohd Anis Md Nor. (2001) Blurring Images, Glowing Likenesses: Old and New Styles in Traditional Dances of Malaysia, di dalam 2001 Yearbook for Traditional Music International Council for Traditional Music, Volume 33, 65-71. Mohd Anis Md Nor. (2001) Dancing on the Proscenium: Re constructing, Revitalizing and Appropriating Malay Folk Dances, di dalam 21st Symposium of the ICTM Study Group on Ethnochoreology, Zagreb, Croatia: Institute of Ethnology and Folklore Research, 238-243. Mohd Anis Md Nor. (2000) Hala Tuju Tarian Melayu di Alaf Ketiga, di dalam Tirai Panggung , Jil. 3, 58-69. Mohd Anis Md Nor (ed). (2000) Zapin Melayu di Nusantara editor, Johor Bahru: Yayasan Warisan Johor. Mohd Anis Md Nor. (2000) Falsafah Kesenian Islam dalam Zapin Melayu: Leksikon dan Ikonografi Handasah Al-Sawt di Alam Melayu, di dalam Zapin Melayu di Nusantara. Johor Bahru: Yayasan Warisan Johor, 81-94. Mohd Anis Md Nor. (1997) Diaspora Zapin Johor di Selat Melaka, di dalam Jurnal Warisan Johor, Jil.1, 115-124. Mohd Anis Md Nor. (1994) Continutiy and Change: Malay Folk Dances of the Pre-Second World War Period, di dalam SARJANA (Special Issue), Journal of the Faculty of Arts and Social Sciences, University of Malaya, 129-144. Mohd Anis Md Nor. (1993) Zapin: Folk Dance of the Malay World. Singapore: Oxford University Press. Siti Zainon Ismail. (1997) Busana Melayu Johor. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Winstedt, R.O. dan Wilkinson R.J. (1985) Kerajaan Johor-Riau. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like