You are on page 1of 23

Adat

Perkahwinan
Kaum
Melayu

Pengenalan
Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia
dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat
resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat
perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat.
Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat
penting.

Merisik
Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan
adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu
masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang
meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk
menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab
sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya adat
ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau
bapa saudaranya.

Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu


dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki
tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai
pekerjaan yang baik.

Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan


memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah
rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan
menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau
Cincin belah bagaimanapun adat merisik jarang dilakukan lagi kerana
rotan pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu,
justeru itu mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk
menjimatkan kos dan masa.

Meminang
Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga
lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan.
Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki.
Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara
rasmi. Saudara-mara kedua-dua belah pihak akan berunding untuk
menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula. Di
samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan
jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk
memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis
pertunangan kelak.

Bertunang
Selepas perbincangan diadakan,
majlis pertunangan akan
dilangsungkan. Pihak lelaki akan
diwakili oleh ahli keluarga dan
saudara mara terdekatnya untuk
upacara bertunang. Pada hari
tersebut, majlis kenduri akan
diadakan bersempena
pertunangan tersebut di rumah Barangan hantaran
pihak perempuan. Hantaran yang
terdiri daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama,
sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan,
kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak
perempuan.

Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang


masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan. Adat ini
dipanggil langkah bendul. Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil
iaitu samada lima, tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas, kerana jumlah
genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik. Jumlah hantaran yang
diberi oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki.
Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini
dijalankan. Namun begitu ada juga yang menjalankannya secara berasingan
daripada adat bertunang iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum
majlis persandingan dijalankan.
Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih
kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi.
Pantun sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan
majlis. Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak
akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-
lain hal yang berkaitan. Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun
ataupun mengikut persetujuan kedua belah pihak. Satu perkara yang turut
dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki yang
memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja yang
diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak
perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan
sebanyak dua kali ganda.

Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung


cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu
atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincin
Cincin belah
pertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang
rotan sebagai
dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan
tanda
tersebut.
peminangan

Akad Nikah
Akad nikah merupakan satu acara paling penting dalam perkahwinan
masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Ia bukan suatu adat
tetapi lebih kepada ajaran agama dan merupakan kemuncak kesahihan sesuatu
perkahwinan. Upacara ini dijalankan selepas segala perjanjian yang dikenakan
kepada pihak lelaki telah dilaksanakan seperti wang belanja, mas kahwin dan
barangan lain sepertimana yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Akad
nikah boleh dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin
perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Di dalam upacara akad
nikah, bapa pengantin perempuan perlu menjadi wali untuk menikahkan
anaknya. Walau bagaimanapun, dia juga boleh mewakilkannya kepada tok kadi
atau imam.

Kebiasaannya majlis akad nikah akan dijalankan di rumah pengantin


perempuan sehari sebelum majlis perkahwinan diadakan. Pada hari tersebut,
pengantin lelaki akan mengenakan baju melayu berwarna cerah dan majlis
diadakan menyerupai majlis pertunangan. Lazimnya sementara menanti
kedatangan rombongan pengantin lelaki, majlis berzanji atau pukulan kompang
diadakan. Sebelum upacara dijalankan, wang belanja, mas kahwin dan lain-lain
hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak
perempuan. Seterusnya pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di
tengah-tengah majlis. Tok imam atau tok kadi akan menemui pengantin
perempuan di dalam bilik untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak
dengan pernikahan itu. Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan
menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal
berkaitan rumahtangga dari sudut agama. Selepas itu, tok kadi atau imam
akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki
dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam
menggoncangkan tangannya. Lafaz nikah berbunyi "Aku nikahkan dikau.(nama
pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak ..(mengikut negeri) tunai"
dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi "Aku terima
nikahnya..(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi). Saksi akan
mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya
tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi
tersebut berpuas hati. Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai
tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabul.

Selepas akad nikah, pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air
sembahyang. Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai
kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil
keduanya bersalaman. Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan
tersebut telah sah diijabkabulkan. Selepas itu adat berinai akan dijalankan di
mana kedua mempelai ditepung tawar. Peralatan yang digunakan untuk upacara
ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa
tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar. Wakil
kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara
mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin.
Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga
kepada para hadirin. Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung
tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.
Adat Berinai
Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat.

Berinai curi - diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara mara
terdekat sahaja.

Berinai kecil - diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk saudara
mara, jiran tetangga dan sahabat handai.

Berinai besar - diadakan satu malam sebelum hari langsung atau selepas akad
nikah untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan pihak perempuan.

Selepas adat berinai besar dilakukan, pengantin lelaki tidak akan bermalam di
rumah pengantin perempuan, sebaliknya akan terus pulang ke rumah atau pun
sekiranya rombongan tersebut datang dari jauh, pengantin lelaki akan
bermalam di rumah penanggak, iaitu rumah yang berhampiran dengan rumah
pengantin perempuan.
Adat
Perkahwinan
Kaum
Cina
Pengenalan
Perkahwinan dalam masyarakat Cina merupakan satu titik tolak yang
membawa perubahan besar dalam kehidupan mereka. Perkahwinan penting
untuk mengekalkan institusi keluarga dan melaluinya keturunan nenek moyang
dapat diteruskan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Dalam
masyarakat Cina, sesuatu perkahwinan itu dirancang dan diatur sebaik-
baiknya. Mengikut kepercayaan mereka juga, pasangan yang berkahwin tanpa
mengikut aturan adat dianggap tidak sah. Terdapat dua bentuk perkahwinan
yang diamalkan oleh mereka iaitu eksplisit iaitu perkahwinan yang diatur
samada oleh ibu bapa atau orang tengah (moi-ngin) dan implisit iaitu
perkahwinan di mana kedua-dua lelaki dan perempuan diberi kebebasan untuk
memilih pasangan masing-masing. Pada asasnya adat resam perkahwiwan
masyarakat Cina merangkumi peringkat merisik, meminang, bertunang dan
majlis perkahwinan.

Merisik
Adat merisik dijalankan untuk mengetahui latar belakang gadis yang dihajati.
Masyarakat Cina terlalu mengambil berat tentang nama , keturunan, peribadi,
watak dan tingkah laku si gadis. Ciri-ciri ini penting untuk mewujudkan
perkahwinan yang berkekalan. Cara merisik terpulang kepada ibu bapa kerana
pada lazimnya ibu bapa pihak lelaki akan menanyakan kenalan dan rakan taulan
yang kenal dengan keluarga si gadis. Sebahagian masyarakat Cina lebih gemar
mengadakan perbincangan tersebut di restoran-restoran dengan disertai
saudara mara lain. Tradisi makan bersama ini amat penting dalam masyarakat
Cina kerana ia dapat mengeratkan perhubungan di antara kedua belah
keluarga. Perbincangan ketika merisik adalah berkenaan perkara-perkara
umum terutama tentang latar belakang keluarga dan asal keturunan.

Meminang
Setelah kedua-dua pihak berpuas hati dengan latar belakang keluarga masing-
masing adat meminang akan dijalankan. Seorang wakil dipilih untuk
berkunjung ke rumah si gadis bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan
perkahwinan. Ibu pengantin pengantin perempuan pula akan berbincang
dengan wakil tersebut berkenaan jumlah mas kahwin, peruntukan meja dalam
jamuan makan dan memilih hari yang paling sesuai. Pihak lelaki tidak akan
tawar menawar kerana bimbang akan menjatuhkan maruah. Segala ketetapan
yang telah dipersetujui, diberitahu kepada kedua ibu bapa pihak lelaki. Ibu
bapa pihak lelaki akan berbincang dengan anaknya untuk menyediakan segala
permintaan daripada pihak perempuan.. Setelah kedua-dua pihak sudah saling
mengenal dan bersetuju untuk berkahwin, barulah adat bertunang dijalankan.

Bertunang
Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan ia hendaklah
bersesuaian dengan bintang kelahiran kedua pasangan tersebut. Khidmat
tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh tersebut berpandukan kepada
sebuah buku iaitu Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu
yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan akan
menghalami kegagalan. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke
rumah perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin
dilakukan mengikut masa yang ditetapkan . cincin disarung di jari manis kiri
oleh kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan. Bagi membukitkan
persetujuan, gadis berkenaan akan menyerahkan sekeping kertas merah atau
nyen-sang yang tertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati
daripada tukang tilik. Setelah nyen-sang diterima, pihak lelaki akan
mengadakan persediaan. Nyen-sang kepunyaan si gadis pula akan diberi
kepada tukang tilik bersama-sama maklumat yang sama tentang dirinya.
Tukang tilik akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan kedua-
dua nyen-sang dan dicatat pada sehelai kertas merah yang dinamakan nyik-
kor. Ketika menentukan hari yang sesuai, tukang tilik membuat ramalan
berdasarkan tahun kelahiran kedua pasangan. Setelah mendapat tarikh dan
masa yang sesuai, tukang tilik akan menyediakan dua keping nyik-kor dan
diberikan kepada lelaki dan perempuan yang hendak berkahwin. Nyik-kor
tersebut mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat yang perlu diikuti
oleh kedua bakal pengantin merangkumi adat-adat tertentu.

Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara bertukar cincin
perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang
diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Di antara hantarannya ialah
sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya
pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup kepada pengantin
perempuan, sejumlah besar wang tunai akan diberi. Beserta dengan
penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh
perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan. Dalam
masyarkat Cina, semakin besar mas kahwin yang diberikan, semakin tinggi
martabat dan kedudukan pihak lelaki.

Majlis Perkahwinan
Hari perkahwinan akan dilangsungkan setelah setahun bertunang atau
mengikut tempoh yang dipersetujui oleh kedua belah pihak. Sebelum tiba hari
perkahwinan sekiranya terdapat kematian di kalangan ahli keluarga bakal
pengantin, perkahwinan itu mesti ditangguhkan pada tahun hadapan ataupun
selama seratus hari. Adalah tidak manis mengadakan perkahwinan sewaktu
orang lain sedang berkabung kesedihan. Pada hari perkahwinan tersebut
pengantin perempuan dan lelaki dihias indah. Masyarakat Cina pada masa
dahulu memakai pakaian pengantin yang diperbuat daripada kain sutera dan
disulam benang emas. Kemudian setiap pakaian dihias dengan pelbagai
aksesori. Baju pengantin sebaik-baiknya bewarna putih, merah atau kuning.
Adalah dilarang memakai baju hitam, biru dan kelabu kerana dipercayai
warna-warna tersebut melambangkan kematian dan kesedihan.

Seterusnya pengantin lelaki akan


bertandang ke rumah pengantin
perempuan dan pada masa itulah pengantin
lelaki dan perempuan akan duduk bersama
buat kali pertama. Mereka akan diiringi
oleh pengiring masing-masing. Seterusnya
pasangan pengantin akan didudukkan di
atas pelamin yang telah disediakan di
ruang tamu. Selepas acara bersanding,
pasangan pengantin akan dibawa bertemu
ahli keluarga masing-masing. Pengantin
Perkahwinan lelaki akan memperkenalkan keluarga dan
Masyarakat Cina sauadara maranya kepada isterinya dan ini
begitulah sebaliknya di samping itu juga
kedua pengantin akan meminta restu daripada keluarga mertua masing-
masing. Dalam masyarakat Cina juga, upacara meminum teh sangat penting
dan masih diamalkan. Ia merupakan tradisi masyarakat Cina yang mempunyai
maksud yang tersendiri. Adat ini melambangkan penerimaan pasangan
pengantin terutamanya si isteri dalam keluarga si suami di samping bertujuan
untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Dalam upacara ini pasangan
pengantin akan memberi teh yang disediakan kepada saudara mara pihak
lelaki. Walau bagaimanapun adat bersanding dan upacara minum teh ini sudah
kurang diamalkan oleh masyarakat Cina hari ini.

Kemuncak upacara perkahwinan masyarakat Cina ialah pada sebelah malam


iaitu jamuan makan. Jamuan makan ini diadakan secara besar-besaran samada
di rumah, dewan, atau restoran. Tetamu-tetamu yang datang akan membawa
ang-pau sebagai hadiah kepada pasangan pengantin. Pada masa yang sama
kedua pengantin akan cuba mengenali dan beramah mesra dengan ahli
keluarga kedua belah pihak. Akhir sekali, sebagai bukti perkahwinan,
pasangan pengantin akan menandatangani dua pucuk surat perkahwinan iaitu
Keat Foon Ching Su di hadapan beberapa orang saksi.

Pada hari ini masyarakat Cina kurang mengamalkan adat perkahwinan secara
tradisi sebaliknya menjalankan perkahwinan secara sivil iaitu dengan
mendaftarkan perkahwinan di gereja, terutamanya di kalangan mereka yang
beragama Kristian.
Adat
Perkahwinan
Kaum
India
Merisik
Dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti
faktor etnik, sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain
seperti status ekonomi dan status sosial merangkumi aspek seperti umur,
tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika dan moral, rupa paras dan latar
belakang keluarga juga turut diambil kira. Selalunya maklumat-maklumat ini
diperolehi secara langsung dari pihak yang terlibat dan juga secara tidak
langsung menerusi sahabat-handai dan saudara mara. Ada kalanya orang
tengah yang dipanggil tirumana taraga akan membantu dalam kerja-kerja
merisik. Tetapi kini peranan tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen
perkahwinan yang berdaftar.

Kunjungan Ke Rumah Pengantin


Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Bakal pengantin lelaki akan
mengunjungi bakal pengantin perempuan untuk melihat sendiri paras rupa dan
perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali sebagai pen paarttal atau dalam
bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri. Ketika itu wakil pihak
lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan tersebut ramai.

Buah tangan seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-


bunyian serta serbuk kumkum akan dibawa. Barang-barang ini dibawa sebagai
tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan untuk mengeratkan lagi
hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima hantaran tersebut
sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang datang
sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.

Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan dipertanggungjawabkan


menghidang air minuman. Pada masa itu bakal pengantin lelaki berpeluang
melihat pengantin perempuan dengan lebih dekat lagi. Oleh itu bakal
pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang bertandang
termasuklah bakal suami. Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil
perempuan. Kali ini pengantin perempuan tidak turut serta. Dalam masyarakat
India, adat pen paarttal juga bertujuan untuk mengetahui latar belakang
bakal pengantin lelaki.

Selepas Perkahwinan
Biasanya pengantin perempuan akan mendiami rumah pengantin lelaki
beberapa hari sebelum pulang ke rumah pengantin perempuan. Kunjungan dari
rumah pengantin lelaki dan perempuan adalah sebagai mendekatkan lagi tali
kekeluargaan antara saudara terdekat dan sahabat-handai pasangan
tersebut. Ini adalah penting supaya pasangan pengantin akan cepat mesra
dengan keluarga kedua-dua belah pihak.

Ikat Janji
Ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua
belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah
bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih
pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan
kepada wakil perempuan.

Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua


belah pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa
salah seorang bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan
diadakan dengan saudara-mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin
bersetuju, mereka akan mengikat janji.

Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan
persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya
perkahwinan tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda
ikatan, kedua-dua pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan
taambuulan marrutal. Kemudian mereka akan membincangkan mengenai hari
perkahwinan dan tentang belanja untuk pengantin perempuan, kad jemputan
dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam akan dilakukan dan lazimnya akan
dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.

Parisam
Adat parisam terbahagi kepada dua iaitu parisam biasa atau udan parisam.
Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada
hari perkahwinan, manakala udan parisam adalah pemberian hadiah yang
dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum perkahwinan
dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis
pertunangan. Adat pemberian parisam akan diadakan pada hari yang telah
dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Pihak pengantin lelaki akan
menyediakan beberapa jenis hantaran dalam jumlah ganjil. Hantaran ini perlu
disediakan oleh wanita yang sudah bersuami sahaja dan mereka dipanggil
cumanggali.

Parisam akan dibawa ke rumah pengantin perempuan diketuai oleh bakal


pengantin lelaki dengan memakai pakaian tradisional masyarakat India. Pada
masa yang sama alat muzik tradisional seperti naatasawaram dan meelam
dimainkan. Pihak perempuan akan menyediakan buyung yang dikenali sebagai
puurana kumbum yang diletakkan di ruang tamu. Lampu minyak yang dipanggil
sebagai kuttu vilakku diletakkan bersebelahan puurana kumbum sebagai
menunjukkan kurniaan tuhan.

Bagi memulakan adat tersebut, upacara sembahyang akan dilakukan terlebih


dahulu. Kemudian bapa pengantin perempuan akan membawa parisam yang
mengandungi sari dan diberi kepada anaknya. Pada masa yang sama pengantin
perempuan menulis sesuatu dengan menggunakan kunyit sebagai meminta
restu daripada tuhan. Setelah itu barulah pihak lelaki dan jemputan lain boleh
melihat puurana kumbum dengan lebih dekat lagi. Pada hari tersebut, bakal
pengantin perempuan memakai sari parisam dan dipimpin keluar oleh seorang
wanita lain ke ruang tamu. Pada masa ini beberapa orang saudara-mara boleh
mengalungkan kalungan bunga pada bakal pengantin perempuan. Ini dikenali
sebagai orrai-maalai atau kalungan tunggal. Pengiring akan memberi kad
jemputan kepada kedua-dua pihak pengantin.

Tiga upacara penting iaitu mengunjungi rumah pengantin (pen paartal), adat
ikat janji (niccayam) dan pemberian hadiah (parisam) merupakan adat yang
sering dilakukan oleh masyarakat India. Namun begitu ada di kalangan mereka
yang tidak lagi melakukan upacara tersebut untuk mengelakkan pembaziran.

Sebelum Majlis Perkahwinan


Sebelum majlis perkahwinan berlangsung, terdapat beberapa perkara penting
yang perlu dijalankan terlebih dahulu, antaranya :

Kad Jemputan
Kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan
masyarakat India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu.
Sekiranya terdapat kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan
dengan lancar. Kad jemputan yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit
cair sebagai lambang keharmonian.

Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan dibawa bersama ke
kuil untuk dibawa bersembahyang (arccanai). Kad diletakkan di atas dulang
bersama sirih, wang ringgit, kelapa, pinang dan sebagainya sebagai lambang
kekayaan. Upacara ini dinamakan sebagai paanam paaku. Kemudian dulang akan
dibawa ke rumah pengantin perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki
dan begitulah sebaliknya. Pada masa yang sama sirih pinang akan diberikan
sebagai tanda jemputan perkahwinan secara rasmi.

Penyediaan Thaali (Tjrumaanggalyam)


Thaali atau tjirumaangalyam merupakan lambang suci perkahwinan yang
dikalungkan pada leher kedua-dua pengantin. Pada thaali itu diikat segumpal
benang putih yang disapu dengan kunyit. Terdapat pelbagai jenis thaali yang
digunakan oleh masyarakat India seperti lingath thaali, pottut thaali, tennant
thaali dan sebagainya. Ini disebabkan terdapat pelbagai suku di kalangan
masyarakat India. Adat penyediaan thaali ini dilakukan tujuh atau sembilan
hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki akan membawa emas, cendana,
kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk pembuat thaali. Ini adalah
untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang sesuai untuk membuat
thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan diletakkan di
tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali. Pihak pengantin adalah
dilarang untuk menawar perkhidmatan yang dilakukan oleh pembuat thaali.

Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai


thaalippadaiyal. Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis disediakan
termasuklah dhoti dan sari untuk pasangan pengantin. Secara umumnya thaali
tidak diwajibkan diperbuat daripada emas. Ini kerana thaali masih boleh
dibuat daripada kunyit yang dikatakan lebih selamat dan tidak dicuri orang.

Mukuurtta Kaal
Adat ini dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat
mukuurtta kaal ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat
India. Untuk menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan
lurus akan ditebang untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok tersebut
berukuran dua atau tiga meter dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga
30 sentimeter.

Adat mendirikan mukuurtta kaal adalah sebagai menandakan perkahwinan


akan dilangsungkan di rumah tersebut. Bahan-bahan lazim seperti sirih
pinang, kum kum, kunyit dan sebagainya disediakan. Ahli-ahli keluarga
pengantin akan bermohon pada Tuhan supaya perkahwinan dapat
dilangsungkan tanpa gangguan. Batang kayu diambil dan dibersihkan serta
dibuang kulitnya. Lima orang perempuan yang sudah berkahwin akan
menyapukan kunyit cair dan kumkum pada batang kayu tersebut dari pangkal
hingga hujung. Kemudian hujung kayu diikat dengan daun ara atau mangga
menggunakan kain bewarna merah. Kayu akan dipacak sedalam setengah
meter dan bahan-bahan tadi akan dimasukkan ke dalam lubang tersebut
sebagai lambang kekayaan. Kemudian upacara sembahyang dilakukan oleh
pengantin beserta lima orang perempuan tersebut. Sebanyak sembilan jenis
bijirin ditabur pada batang kayu dan lampu minyak dinyalakan. Pada masa yang
sama pengantin berikrar akan menjaga alam sekitar sebagai lambang
persahabatan dengan alam sekitar. Kebiasaannya adat mendirikan mukuurtta
kaal dilakukan di rumah pengantin lelaki.

Thirumanan bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan


antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat. Terdapat tiga
jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu Vaitikat Thairumanam, Tamil
Thairumanam dan Diya Thairumanam yang mana perkahwinan ini dijalankan
adalah berlandaskan aspek suku kaum.

Majlis perkahwinan dimulakan dengan upacara niccayam (ikat janji) dengan


memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan disapu dengan air
kunyit dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi undangan
perkahwinan. Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus
dan disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan
dilangsungkan. Pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari
sebelum hari perkahwinan.

Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda


dengan berdoa supaya pengantin hidup bahagia

Pengantin Bersanding
hingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai
acara menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang
diperbuat daripada benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat
dengan seketul kunyit kepada pengantin perempuan hingga aras dada. Kedua
mempelai memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan menukar
dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.

Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu


termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya,
menuang air susu ke dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa
(membasuh kaki ibu bapa), memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari
(ibu mertua) dan wang. Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar
kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur
pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini menandakan pasangan ini secara
rasmi telah menjadi suami isteri.

Beberapa faktor penting yang diambil kira sebelum upacara perkahwinan


dilangsungkan untuk mendapat kebahagiaan hidup, antaranya seperti masa
yang baik untuk melangsungkan perkahwinan, pengertian thaali, valatu kal,
pemberian manisan, hadiah, penghormatan kepada pengantin lelaki, simbol
pokok pisang, jamuan perkahwinan dan meroboh khemah perkahwinan.

Selepas Majlis Perkahwinan


Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas
berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin
perempuan dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati
suami selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian
pengantin lelaki pula dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama
tiga hari. Pada masa itu ibu bapa mertua akan menghormati kedua-dua
pengantin dengan mengadakan jamuan.

Pada hari ketiga selepas perkahwinan, Khemah lazimnya akan dirobohkan.


Sebelum khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda
menunjukkan tamatnya upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak
lagi dilakukan pada masa kini. Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan
kepada mereka yang merobohkan khemah perkahwinan.

Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan


dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan
dihidangkan kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di dewan,
makanan selain dari sayur-sayuran dihidangkan, kecuali daging kerana daging
amat dilarang dalam agama Hindu. Jamuan tersebut akan turut disertai oleh
saudara mara serta sahabat handai.
Adat
Perkahwinan
Kaum
Asli
Pengenalan
Kebanyakan masyarakat Orang Asli berkahwin ketika usia masih muda. Bagi
kaum lelaki, usia 18 tahun merupakan usia yang paling sesuai untuk mendirikan
rumahtangga. Kaum perempuan pula ketika berusia 16 tahun dan hendaklah
tidak lebih daripada usia kaum lelaki. Perkahwinan dilakukan oleh ibu bapa
bakal pengantin, bermula daripada upacara merisik sehinggalah seseorang
telah menjadi pasangan suami isteri secara sah. Oleh itu jodoh ditentukan
oleh ibu bapa.

Ada juga di kalangan masyarakat Orang Asli yang telah bertunang sejak kecil
lagi. Kebiasaannya pengantin lelaki dan perempuan mempunyai hubungan
saudara seperti sepupu atau dua pupu atau mempunyai suku kaum yang sama.
Adalah tidak menjadi kesalahan sekiranya bakal pengantin lelaki berkahwin
dengan perempuan daripada suku lain. Namun apa yang pasti bakal pengantin
perempuan perlu mengikut suami, dengan kata lain bakal isteri perlu memasuki
suku kaum suami.

Hantar Tanda
Hari menghantar tanda atau menghantar cincin diketuai oleh seorang wakil
ketua kampung untuk menetapkan hari meminang. Sebelum itu kedua-dua
belah pihak telah bertemu untuk mendapat persetujuan tentang hari
penghantaran cincin tanda. Setelah itu barulah penghantaran cincin tanda
dilakukan. Biasanya menghantar cincin tanda ini dilakukan oleh ibu bapa dan
ahli keluarga yang lebih tua.

Meminang
Pada masa yang ditetapkan upacara meminang dijalankan oleh kedua-dua
belah pihak yang diwakili oleh Tok Batin/ Jenang/Penghuhu/Jungkerah dan
Penggawa sekiranya berlainan suku kaum. Mereka mengadakan perbincangan
di sebuah rumah besar atau kini balai raya. Apabila selesai upacara meminang
satu tarikh untuk hari melangsungkan perkahwinan ditetapkan iaitu kira-kira
tujuh bulan, lapan bulan atau setahun dari upacara meminang.

Upacara Perkahwinan
Upacara ini dimulakan dengan mengasah gigi kedua-dua mempelai yang
bertujuan membuang sial. Ini adalah penting supaya segala masalah yang
dihadapi oheh bakal pengantin ketika bujang tidak dibawa selepas berkahwin.
Ada juga yang menyatakan asah gigi ini adalah untuk membuktikan bakal
pengantin telah benar-benar dewasa dan boleh memikul tanggungjawab
masing-masing.

Sehari sebelum upacara persandingan dilakukan, pasangan pengantin


dikehendaki melakukan upacara berinai. Jari kedua-dua pengantin akan
dimerahkan dengan daun inai yang ditumbuh lumat. Upacara berinai ini
dijalankan hingga ke pagi. Pada masa yang sama tari menari hingga ke pagi
akan diadakan.

Pelamin diperbuat daripada anyaman daun kelapa atau rumbia, manakala tiang
pula diperbuat daripada anak-anak kayu yang direka bentuk seperti rumah
yang kecil. Pelamin ini dibuat di hadapan rumah pengantin. Sekiranya suku
kaum yang mendiami rumah panjang, mereka akan bersanding di tengah-
tengah ruang untuk dilihat oleh ahli keluarga yang lain.

Galeri Perkahwinan
Semasa upacara persandingan dilakukan, semua ahli keluarga akan menepung
tawar pengantin dengan merenjis air mawar dan pulut sebagai merestui
perkahwinan tersebut. Pakaian pengantin adalah sederhana. Kebanyakan
pakaian pengantin mengikut pakaian tradisional masing-masing. Pengantin akan
dihias dengan pelbagai aksesori yang dibuat sendiri. Aksesori yang dipakai
oleh pengantin perempuan ialah gelang, kalung yang diperbuat daripada manik-
manik yang beraneka warna. Kemudian lilitan kepala pula diperbuat daripada
daun-daun untuk mencantikkan lagi pasangan tersebut.

Pada hari persandingan, pelbagai juadah yang lazat disediakan oleh kedua-dua
belah wakil. Makanan yang lazat itu kemudian diagih-agihkan kepada para
tetamu untuk dimakan bersama-sama wakil kedua-dua belah pihak. Selepas itu
upacara persandingan dijalankan dan diakhiri dengan upacara memandikan
kedua-dua mempelai sebagai tanda mereka selamat dikahwinkan. Setelah itu
barulah pasangan itu layak digelar suami isteri.

Selepas Perkahwinan
Biasanya pengantin perempuan akan mendiami rumah pengantin lelaki
beberapa hari sebelum pulang ke rumah pengantin perempuan. Kunjungan dari
rumah pengantin lelaki dan perempuan adalah sebagai mendekatkan lagi tali
kekeluargaan antara saudara terdekat dan sahabat-handai pasangan
tersebut. Ini adalah penting supaya pasangan pengantin akan cepat mesra
dengan keluarga kedua-dua belah pihak.

You might also like