You are on page 1of 10

CONTOH KARANGAN

Sebab-sebab memilih Malaysia sebagai tempat / destinasi pelancongan.


Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistemewaan tersendiri. Ramai
pelancong sama ada dari luar dan dalam memilih Negara kita sebagai destinasi pelancongan.
Apakah sebab-sebab rakyat Malaysia memilih untuk melancong di Negara sendiri.
Antara sebabnya ialah keindahan alam semulajadi yang menarik terdapat di Negara ini.
Malaysia mempunyai hutan yang menarik dan dipenuhi dengan flora dan fauna. Tempat-tempat ini
boleh menenangkan fikiran seseorang contohnya Taman Negara Endau, Rompin, Gua Niah di
Sarawak dan lain-lain. Bak kata pepatah, jauh perjalanan luas pemandangan.
Di Malaysia juga terdapat banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati contohnya negeri
Melaka. Terdapat bangunan-bangunan bersejarah seperti Kota A.Famosa, tugu-tugu lama
peninggalan penjajah, Muzium Negara dan lain-lain. Dengan melancong, seseorang itu juga dapat
menambah ilmu pengetahuan.
Malaysia juga mempunyai pantai-pantai yang menarik. Di Pantai dan di Pulau
membolehkan seseorang pelancong itu menghilangkan tekanan dan mendapat hiburan. Rakyat
Malaysia yang melancong bersama keluarga boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.
Sebagai contoh Pulau Pinang, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor, Port Dickson,
Desaru, Kota Tinggi dan lain-lain.
Malaysia juga popular dengan pusat-pusat beli-belah yang terkenal. Contohnya Mega
Mall di Kuala Lumpur, Mahkota Parade di Melaka, The Summit, Alamanda, Mid-Valley dan lain-
lain. Barangan yang dijual setanding dengan luar negara. Selain itu terdapat juga pelbagai
kraftangan yang boleh dijadikan cenderamata. Pelancong sangat suka barangan Kraftangan
Malaysia kerana menarik dan harganya murah. Pada setiap tahun, diadakan promosi harga
barangan dan jualan mega. Oleh itu rakyat Malaysia tidak perlu melancong ke luar Negara kerana
Malaysia mempunyai segala-galanya.
Kesimpulannya, melancong di Malaysia banyak mendapat kebaikan dan dapat
memajukan sektor pelancongan Negara.
CONTOH KARANGAN
Langkah memajukan sukan Negara
Acap kali negara kita menganjurkan sukan berprestij di dunia seperti Formula One ,Le
Tour De Langkawi,Sukan komenwell dan sebagainya.Pecapaian Malaysia sebagai penganjur tidak
dapat dinafikan kehebatannya. Walakin begitu, pencapaian Malaysia sebagai peserta amatlah
mengecewakan. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha haruslah dilakukan untuk memajukan
sukan negara.
Punca utama para atlet tidak bergiat lama dalam bidang ini kerana tiada jaminan masa
depan kepada mereka. Oleh itu, suatu usaha harus dilakukan untuk menjamin masa depan
mereka. Terutama peluang pekerjaan jika berlaku kecederaan kepada mereka. Selain itu, elaun
dan pencen harus diberikan kepada mereka yang bergiat aktif dalam mewakili Malaysia, tidak kira
sama ada atlet tersebut menang ataupun kalah. Di samping itu, suatu organisasi harus ditubuhkan
untuk menjaga kebajikan atlet Malaysia.
Bak kata pepatah, meluntur buluh biar dari rebungnya. Oleh itu, untuk membentuk atlet,
pendedahan haruslah dimulakan dari peringkat kanak-kanak. Sekolah sukan haruslah dibina di
setiap daerah atau di setiap negeri. Sekolah sukan berkaitan pula dibina dari peringkat sekolah
rendah. Di sekolah tersebut, kelengkapan sukan haruslah lengkap. Segala ilmu seperti teknik
pernafasan yang betul diajar selain teknik menguasai permainan sukan yang dipilih. Subjek sukan
dimasukkan dalam silibus dan diuji, sama seperti ujian bagi mata pelajaran lain. Oleh itu, pelajar
tersebut akan memandang serius dalam subjek tersebut.
Di peringkat sekolah pula, Bulan kesukanan perlulah diadakan. Pelbagai aktiviti
kesukanan haruslah diadakan dan hadiah yang menarik pula perlulah ditawarkan sebagai
ganjaran. Selain itu, perlawanan persahabatan dalam sukan serta perlawanan peringkat sekolah
haruslah ditingkatkan untuk mencungkil bakal terpendam para pelajar yang seharusnya menjadi
pelapis atlet yang sedia ada. Sementelahan, kemudahan untuk sukan dan peruntukan untuk
membeli peralatan sukan haruslah disediakan selain galakan daripada pihak guru dan ibu bapa.
Konklusinya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk memajukan lagi sukan di negara
kita. Pihak Kerajaan haruslah giat menjalankan kajian untuk memantapkan lagi sukan negara.
Semua pihak termasuklah ibu bapa seharusnya memberi bimbingan dan galakan kepada anak-
anak yang berkecenderungan terhadap bidang sukan. Majulah sukan untuk negara.
CONTOH KARANGAN
Peranan Remaja Untuk Menjayakan Wawasan Negara.
Remaja terdiri daripada golongan muda yang berusia 13 tahun hingga 18 tahun. Remaja
memainkan peranan penting dalam memajukan negara dan golongan inilah yang mudah
terpengaruh dengan gejala sosial. Dalam hal ini, pelbagai pihak perlu berusaha untuk memastikan
remaja kini dapat memainkan peranan dalam menjayakan wawasan negara iaitu menjadikan
Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020.
Remaja perlu belajar bersungguh-sungguh. Hanya dengan pelajaran
sahajalah,seseorang itu boleh mengubah nasib dirinya,keluarga,masyarakat dan juga negara.
Tanpa ilmu pengetahuan,remaja tidak boleh mencipta rekaan-rekaan baru dan dengan ini kita
masih bergantung kepada negara luar dari segi teknologi. Remaja sepatutnya modal insan
cemerlang yang boleh mereka cipta sesuatu kerana remaja perlu menjadi penyumbang teknologi,
bukannya pengguna teknologi semata-mata.
Selain itu, remaja perlu menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang terjebak dalam
masalah sosial. Janganlah melibatkan diri dalam vandalisme,gengsterisme,peras ugut dan
penyalahgunaan dadah. Kesemua gejala ini akan merosakkan diri remaja itu dan memalukan
keluarga. Kerajaan pula terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menyelesaikan
masalah ini. Alangkah baiknya jika remaja menggunakan masa yang terluang dengan aktiviti-
aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku dan mengumpul setem. Lantaran itu,remaja yang
berwawasan perlu menghargai masa dengan sebaik-baiknya kerana masa itu emas.
Di samping itu, remaja juga perlu mematuhi segala peraturan dan undang-undang negara
agar negara aman dan rakyat dapat hidup dalam harmoni. Apabila remaja mengamalkan sikap
yang terpuji dan tidak melanggar undang-undang negara,barulah segala wawasan negara dapat
dijalankan dengan sempurna.
Remaja juga perlu menjayakan segala program yang dianjurkan oleh kerajaan. Remaja
sepatutnya menjadi teladan yang baik kepada adik-adik mereka dengan berusaha bersungguh-
sungguh bagi menjayakan kempen-kempen seperti Kempen Anti merokok,Kempen Cintailah
Sungai kita dan Kempen Galakan Membaca. Remaja yang menjadi tonggak negara akan dapat
memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara.
Dalam usaha menjayakan wawasan negara, remaja boleh memberikan sumbangan
tenaga dan idea yang berterusan agar aspirasi negara untuk menjadi negara maju akan
terlaksana. Untuk mencapai hasrat itu,remaja yang berwawasan perlu banyak membaca bahan-
bahan berbentuk pengetahuan dan berusaha untukmeningkatkan keupayaan diri dari pelbagai
aspek seperti pengetahuan ICT yang membolehkan mereka memperoleh pengetahuan tanpa
batasan menerusi internet. Mereka boleh bertukar-tukat idea dengan remaja dari negara lain dan
seterusnya boleh menjana idea untuk menjayakan wawasan negara.
Konklusinya,remaja memainkan peranan penting dalam menjayakan wawasan negara.
Remaja yang berkualiti,merupakan pemangkin kecemerlangan negara.Oleh itu,marilah kita
bersama-sama berganding bahu untuk mewujudkan remaja yang benar-benar
berwawasan,berdedikasi dan berketerampilan dan akhirnya negara kita akan maju setanding
negara maju yang lain.
CONTOH KARANGAN
Peranan Ibu Bapa dalam Mengurangkan Gejala Sosial
Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan
peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai
golongan remaja yang terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar. Isu ini
menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai. Antara
penyakit sosial yang dimaksudkan ialah gejala vandalism, buli dan ponteng. Keutuhan institusi
keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi keluarga
diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Malah, institusi keluarga begitu penting
dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgaku diadakan secara
besar-besaran. Program ini menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk
memastikan keutuhan institusi keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi
menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial.
Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak
mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu
menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak
dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk
mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan
dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja
mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa
perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti-aktiviti riadah bersama-sama anak-
anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-destinasi yang
menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih,
ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi
kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih
sayang seorang ayah dan ibu.
Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang sempurna.
Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan mental remaja
kerana didikan agama dan moral dapat menjamin bahawa remaja akan dapat membezakan antara
perkara yang baik dengan yang buruk dan seterusnya mendorong remaja mengawal tingkah laku
mereka. Tanggapan sesentengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada
menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak tidak benar sama sekali. Mereka juga
harus memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna. Sebagai
contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama kepada anak-anak
mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama yang
dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai benteng diri
yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang
mampu memburukkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga.
Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak- anak
mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa ke semasa,
ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk mengetahui masalah-
masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah
menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak
sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja
yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan
bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklahbagai
mencurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah remaja perlu
dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ibu bapa
memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan
kepentingan anak-anak mereka dan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta
benda dan wang ringgit.
Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa
sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala
perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa
akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti
merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka berkemungkinan
besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa
kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-
anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti
ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan terpengaruh
dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang
mampu menghancurkan masa depan mereka.
Kesimpulannya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perlu dihapuskan dari akar
umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa perlulah mengambil
langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi memastikan golongan remaja tidak akan
menjangkiti sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada
masa hadapan. Mereka harus dibimbing agar akan menjadi modal insan yang berintegriti dan
berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda
kelas pertama akan dapat direalisasikan.
CONTOH KARANGAN
Semua pelajar wajib menyertai kegiatan kokurikulum. Huraikan kebaikan kegiatan kokurikulum.
Kegiatan kokurikulum dapat didefinisikan sebagai kegiatan yang dijalankan di luar bilik darjah.
Kegiatan ini termasuklah kegiatan sukan dan permainan, pertubuhan pakaian seragam dan kelab
atau persatuan. Setiap pelajar diwajibkan supaya menyertai sekurang-kurang satu daripada setiap
aktiviti tersebut. Kegiatan kokurikulum ini bukan sahaja dapat memberikan keseronokan malahan
dapat mendatangkan pelbagai kebaikan kepada pelajar yang menyertainya.
Salah satu kebaikan yang diperoleh daripada kegiatan kokurikulum ialah para pelajar dapat
meningkatkan daya kepemimpinan. Daya kepemimpinan ini dapat dipupuk apabila seseorang
pelajar dilantik sebagai ketua dalam sesuatu kegiatan. Daya kepemimpinan ini juga amat berguna
kepada para pelajar apabila sudah dewasa. Sebagai contohnya, pelajar yang pernah memimpin
sesuatu pertubuhan seperti pengakap, kadet remaja, dan sebagainya, mereka akan lebih yakin
untuk menjadi pemimpin sesuatu organisasi pada suatu hari nanti. Oleh itu, daya kepemimpinan ini
haruslah dipupuk sejak awal lagi kerana kalau hendak melentur buluh biarlah dari
rebungnya.
Selain itu, kesihatan yang baik dan otak yang cerdas akan diperoleh daripada kegiatan
kokurikulum. Kebanyakan pelajar di sekolah lebih suka menyertai kegiatan sukan atau
permainan disebabkan faktor-faktor tertentu. Kegiatan sukan ini dapat membina stamina yang kuat
serta membolehkan para pelajar mengeluarkan peluh, iaitu salah satu bahan perkumuhan
manusia. Sebagai contohnya, aktiviti sukan dan permainan seperti bola sepak dapat membina
kekuatan stamina, manakala sukan catur pula akan mencerdaskan minda seseorang. Pepatah
Melayu mengatakan bahawa badan sihat, otak cerdas.
Seterusnya, kegiatan kokurikulum juga dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan
pelajar. Semangat perpaduan ini adalah amat penting dalam mewujudkan negara yang aman dan
makmur. Semangat perpaduan dapat dipupuk apabila pelajar berbilang kaum bekerjasama bagai
aur dengan tebing dalam sesuatu kegiatan. Sebagai contohnya, pelajar berbilang kaum mewakili
pasukannya untuk bertanding dalam acara sukan yang diadakan setiap tahun seperti dalam
pasukan bola sepak. Secara tidak langsung, hubungan antara pelajar akan bertambah erat dan
kukuh ibarat isi dengan kuku serta bersatu untuk mencapai matlamat yang diharapkan kerana
bersatu teguh bercerai roboh.
Kegiatan kokurikulum juga dapat mengembangkan potensi seseorang pelajar . Sesetengah pelajar
tidak mengetahui kelebihan yang terdapat pada dirinya. Melalui kegiatan kokurikulum, kelebihan itu
akan dapat diketahui apabila seseorang pelajar bergiat dalam kokurikulum. Sebagai contohnya,
ada pelajar yang tidak mengetahui kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi setelah menyertai
kegiatan kokurikulum, bakatnya terserlah dan terus bergiat dalam acara yang diminati, yang
akhirnya menjadi juara di kelabnya. Dengan ini, pelajar itu akan berpeluang untuk mewakili
kelabnya untuk bertanding pada peringkat sekolah. Secara tidak langsung, kejayaan pada
peringkat sekolah ini akan membawa pelajar ini untuk mewakili daerah, negeri, dan kemudiannya
negara.
Kesimpulannya, pihak sekolah hendaklah memainkan peranan supaya pelajar bergiat cergas
dalam kegiatan kokurikulum. Hal ini demikian kerana kegiatan kokurikulum ini memberikan
peluang kepada para pelajar untuk menjadi lebih giat dan cergas. Selain itu, kerjasama daripada
semua pihak terutamanya ibu bapa harus diperkukuh supaya segala aktiviti yang dirancang dapat
dilaksanakan. Pepatah Melayu mengatakan bahawa hati gajah sama dilapah, hati kuman sama
dicecah. Oleh itu, semua pelajar digalakkan mengambil bahagian dalam aktiviti kokurikulum
supaya pelajar yang berdaya saing, berketerampilan, kreatif dan inovatif dapat dihasilkan.
CONTOH KARANGAN
Langkah-langkah yang harus diambil supaya semangat kejiranan dalam kalangan penduduk dapat
ditingkatkan.
Jiran ialah orang yang tinggal di sekeliling rumah kita, iaitu di sebelah, di hadapan, dan juga di
belakang rumah kita. Jika kita tinggal di dalam satu taman atau di sebuah kampung yang sama,
mereka akan dikenali sebagai jiran tetangga kita. Jiran sangat penting kerana merekalah yang
akan menjadi sahabat kita dan orang yang akan membantu kita apabila kita menghadapi
kesusahan nanti. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa "Jiran sepakat membawa berkat".
Jadi, kita perlulah mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu hati dalam
melakukan sesuatu perkara. Oleh itu, langkah-langkah yang wajar hendaklah diambil untuk
memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Langkah primer yang harus diambil ialah mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti
gotong-royong, jiran dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang
akan dilakukan. Apabila berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara
satu dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran
mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan
bahawa “tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara
bergotong-royong ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-
kendara, dan sebagainya. Melalui cara ini, kita dapat menjalinkan dan meningkatkan hubungan
sesama jiran.
Selain itu, kita juga hendaklah mengadakan majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu
sambutan perayaan. Amalan ini dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat
kejiranan dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat bertanya
khabar dan bercerita tentang pengalaman dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah
terbuka ini, semua ahli dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil
menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa perayaan Hari Raya
Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan sebagainya majlis- majlis rumah terbuka
hendaklah dijadikan acara tahunan. Tegasnya, majlis rumah terbuka mampu mendekatkan ahli
masyarakat untuk bertemu muka dan berkenalan dengan lebih erat lagi.
Di samping itu, kita juga hendaklah mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Semasa aktiviti ini diadakan, semua ahli keluarga
jiran akan turut serta untuk melibatkan diri dalam aktiviti seperti berkayak, memasukkan air ke
dalam botol, terompah gajah, dan sebagainya. Apabila aktiviti Hari Keluarga diadakan, kemesraan
akan terjalin bukan sahaja antara ibu dengan bapa, malah anak-anak juga. Aktiviti seperti ini
hendaklah diadakan di padang bola sepak, gelanggang bola tampar, taman rekreasi, atau padang
sekolah yang berhampiran. Jadi, melalui aktiviti ini, hubungan yang erat sesama jiran dapat
dibentuk yang secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin membantu antara satu
dengan yang lain seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah
sama dituruni.
Bukan itu sahaja, kita juga harus menggalakkan rakyat supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial
seperti persatuan atau pertubuhan. Penduduk setempat mestilah membentuk satu persatuan yang
mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan atau pertubuhan ini hendaklah
melibatkan semua penduduk sebagai ahli. Dewasa ini, banyak pertubuhan sukarela ditubuhkan
dalam masyarakat seperti Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Keselamatan dan
Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian, dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui
Pertubuhan Rukun Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan
taman untuk mengelakkan kejadian-kejadian yang tidak diingini berlaku. Hal ini dapat kita lihat
dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan semangat sandar-
menyandar atau saling membantu dalam kehidupan.
Seterusnya, kita mestilah menyemarakkan budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat
sebagai langkah untuk memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup
bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita akan mengetahui
masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita. Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke
hospital jika kita mendapat berita bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap
sesuatu penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa berat
mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang pada
prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat
kejiranan yang tinggi, kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh
jiran kita. Jadi, melalui lawatan kita itu, sekurang-kurangnya kita dapat meringankan penderitaan
yang dialami oleh jiran kita itu.
Kesimpulannya, kita perlu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.
Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri dan sikap tidak mempedulikan orang lain
semakin menebal seperti yang terkandung dalam pepatah Melayu “bagai enau dalam belukar
melepaskan pucuk masing-masing”. Jika hal ini dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan
seterusnya akan menjejaskan perpaduan negara. Ada pepatah yang mengatakan bahawa “bersatu
kita teguh, bercerai kita roboh”. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan
akan bertambah utuh dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk
memastikan semangat kejiranan sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni
dan sejahtera.
CONTOH KARANGAN
Kebaikan sektor pelancongan kepada negara kita.
Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini
menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri
pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan
pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Persoalannya, apakah kebaikan yang
diperoleh negara dalam usaha mempromosikan negara yang kita cintai ini, iaitu Malaysia kepada
pelancong dari luar negara.
Satu daripada kebaikan sektor pelancongan negara ialah kita dapat memperkenalkan negara
Malaysia ke seantero dunia. Misalnya, melalui kejohanan perlumbaan kereta Formula 1 di litar
Sepang, Sukan Komanwel 1998, kita dapat mempopularkan negara kita dalam kalangan peminat
sukan dunia. Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa kita mampu menjadi tuan rumah bagi
sukan berprestij dunia yang lengkap dengan pelbagai kemudahan prasarana. Slogan”Malaysia
Boleh’’ telah membuktikan keupayaan negara kita dalam penganjuran sukan yang bertaraf
antarabangsa tersebut. Melalui penganjuran Kejohanan F1, Malaysia dapat dipromosi ke seluruh
dunia dengan kos yang rendah melalui siaran langsung kejohanan tersebut ke seluruh dunia. Ini
membuktikan bahawa tarikan penganjuran sukan bertaraf dunia bukan sahaja menggalakkan
kedatangan pelancong ke negara kita bahkan dapat mempromosi Malaysia kepada dunia luar
secara meluas dengan kos yang minima bertepatan dengan maksud peribahasa,”Sambil
Menyelam Minum Air”.
Seterusnya, sektor pelancongan juga dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi
pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar terpaksa
menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh
berbelanja di sini. Ini dapat dilakukan sama ada di bank tempatan mahupun di pusat pertukaran
mata wang asing. Mata wang asing ini kemudian disimpan untuk digunakan ketika membiayai
perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Peniaga mata wang asing juga mendapat
keuntungan daripada pernigaan yang dijalankan. Pengaliran masuk mata wang asing ke negara
kita bukan sahaja menguntungkan entiti perniagaan bahkan dapat digunakan untuk membeli
barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara.
Sektor pelancongan dapat memajukan industri kraftangan di Malaysia. Barangan kraftangan
buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan.
Barangan kraftangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu,
perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada
pelancong. Pelancong pasti membeli-belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik,
kain songket, dan lain-lain sebagai buah tangan buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan
pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita
bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraftangan tempatan.
Sektor pelancongan dapat memajukan bidang perniagaan di Malaysia. Pelancong asing yang
datang ke Malaysia memerlukan tempat penginapan, makanan dan minuman, perkhidmatan
pengangkutan, juru pandu pelancong dan perkhidmatan lain. Pelancong asing amat menggemari
makanan sama ada makanan tradisonal mahu pun makanan barat di Malaysia. Mereka diberi
pilihan yang amat banyak sama ada menikmati makanan di hotel bertaraf lima bintang, medan
selera yang besar dan berhawa dingin mahupun di kedai dan warung yang terletak di tepi jalan.
Mereka juga boleh menikmati hidangan makanan laut di restoran yang didirikan secara terapung di
atas air. Sambil menikmati makanan, mereka dapat menghirup panorama yang amat cantik dan
menghirup udara segar di tepi laut. Permintaan yang tinggi terhadap makanan ini mewujudkan
peluang perniagaan yang luas kepada usahawan tempatan. Pusat-pusat penginapan juga giat
dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan peranginan seperti di pulau dan tepi
pantai. Pelancong asing diberi pilihan untuk menginap di hotel bertaraf lima bintang, resort atau
menginap secara pakej seperti ”Eco-Tuorism” yang membolehkan pelancong asing menginap di
rumah kampung dan mempelajari cara hidup masyarakat termasuk cara berpakaian, makanan
tradisional dan sebagainya. Pelancong juga memerlukan perkhidmatan pengangkutan untuk
bergerak dari satu lokasi pelancongan ke lokasi yang lain. Ini membolehkan pengusaha bidang
pengangkutan seperti bas, teksi, van, bot, feri dan lain-lain mendapat peluang untuk menjalankan
perniagaan. Tidak dinafikan peluang yang datang memberi rezeki yang melimpah ruah kepada
peniaga yang ringan tulang.
Sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada
dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik
seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang
mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat
pelancong asing. Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak
lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu
destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya
wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk
mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan
lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan songket
boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman yang dibawa pulang ke
negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang
semula ke negara kita. Keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui
sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.
Akhir kalam, industri pelancongan banyak memberikan sumbangan yang besar terutama dari segi
ekonomi kepada negara kita. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan
tebing untuk mempromosikan Malaysia di mata dunia kerana tak kenal maka tak cinta.
CONTOH KARANGAN
Langkah-langkah yang perlu diambil untuk menghadapi kenaikan harga barang.
Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan
perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi
makan pagi, kais petang makan petang, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada
mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi
kenaikan ini bak kata pepatah ingat sebelum kena jimat sebelum habis.
Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat
Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan
mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita
membelanjakan semua pendapatan kita, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50
atau 60% sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat
mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan
terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.
Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan
teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini
bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya,
setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal,
peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan
keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.
Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang
harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang
terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya,
masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak
munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh
tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.
Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil
tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa
mendapatkelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah
mengadakanlawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual
mematuhi peraturanyang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai
contohnya, mana-manapenjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba
memasang lukah dipergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan
menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara
menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.
Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak
haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah
pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing.
Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-
sama dituruniu ntu k mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna
pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil
kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.
CONTOH KARANGAN
Langkah-langkah menjaga kesihatan
“Kesihatan melambangkan kekayaan” dan “Badan sihat, otak cerdas” sering diungkapkan oleh
orang ramai. Oleh itu, kesihatan amat penting kepada kita dan kita wajar menjaganya dengan
sempurna. Kita sanggup melakukan pelbagai aktiviti untuk mencapai tahap kesihatan optimum
seperti mengambil pelbagai produk kesihatan dan ubat-ubatan.
Langkah pertama yang perlu kita amalkan untuk menjaga kesihatan adalah dengan mengambil
makanan yang berkhasiat dan seimbang setiap hari. Justeru, kita harus mengambil makanan
daripada semua kelas makanan pada kadar yang betul seperti yang disyorkan oleh piramid
makanan. Antara makanan yang berkhasiat termasuklah sayur-sayuran yang kaya dengan serat
dan vitamin, bijirin, buah-buahan, hidupan laut, dan hasil tenusu yang membekalkan protein. Kita
harus memastikan bahawa kita hanya mengambil makanan yang berkualiti sahaja.
Selain pengambilan makanan yang seimbang dan berkhasiat, kita perlu beriadah dan melakukan
senaman atau bersukan. Hal ini perlu ditekankan sekiranya kita jarang melakukan kerja berat.
Dengan beriadah atau bersukan, kita dapat menggerakkan otot badan dan membolehkannya
berfungsi dengan baik. Di samping itu, kita juga dapat membakar lemak yang berlebihan dan
mengeluarkan peluh. Aktiviti bersenam juga dapat melancarkan pengaliran darah dalam tubuh ke
jantung dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Pihak kerajaan menggalakkan masyarakat
melakukan aktiviti sukan untuk mencegah seseorang daripada menghidapi kencing manis, sakit
jantung, dan tekanan darah tinggi.
Akhirnya, ubat yang paling mujarab untuk mengekalkan kesihatan seseorang adalah dengan
mempunyai rehat dan tidur yang secukupnya. Setiap orang digalakkan tidur tidak kurang daripada
enam jam sehari. Kita juga harus berehat bagi mengekalkan kesihatan yang stabil. Orang yang
tidak mempunyai rehat yang cukup tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja yang
dilakukan dan melaksanakannya dengan baik. Malah mereka mudah berasa letih dan senang jatuh
sakit. Oleh yang demikian, masa sekurang-kurangnya lapan jam sehari diperuntukkan untuk
berehat dan tidur amat perlu ditekankan.
Kesimpulannya, kerajaan amat menitikberatkan kesihatan rakyat dengan menyediakan pelbagai
kemudahan kesihatan di samping melancarkan kempen “Rakyat Sihat, Negara Maju.” Rakyat yang
sihat dapat menyumbang kepada pembangunan negara dan menjadi pekerja yang produktif.
Justeru, setiap rakyat harus bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan diri seperti kata cogan
kata mencegah lebih baik daripada merawat.

You might also like