You are on page 1of 3

Apakah Sistem Respirasi

Sistem respirasi manusia ialah satu rangkaian yang melibatkan:

a. Sistem Pernafasan
b. Sistem Peredaran darah
c. Respirasi Sel

Dalam keadaan rehat, lebih kurang 500 ml udara keluar dan masuk ke paru-paru. 150 ml udara berada di dalam salur
pernafasan di antara dua sedutan nafas dan hanya 350ml udara yang sampai ke alveolus.

Isipadu udara ini (500 ml) dipanggil isipadu tidal. Isipadu maksimum udara yang boleh memasuki paru-paru pada
sekali sedutan di namakan kapasiti vital.

Udara yang disedut masuk dipanggil udara sedutan manakala udara yang dikeluarkan dinamakan udara hembusan.

Sistem Pernafasan
Sistem pernafasan manusia terdiri daripada:

a. Organ pernafasan - hidung, trakea, bronkus, bronkiol dan alveolus


b. Sangkar tulang rusuk - tulang rusuk dan otot interkosta
c. Diafragma

Organ Pernafasan Manusia


Hidung
Rongga hidung dilapisi oleh sel-sel epitelium. Sel-sel ini dibekali dengan salur darah yang memberikan kelembapan
dan kepanasan (pada suhu badan) terhadap udara yang memasuki rongga hidung.

Sel epitelium juga mempunyai bulu halus untuk menapis udara daripada objek-objek seperti habuk atau serangga
untuk masuk bersama-sama udara sedutan.

Mukus yang dihasilkan oleh sel epitelium pula akan memerangkap debu-debu dan partikel asing (zarah-zarah seni)
lalu ditolak ke kerongkong melalui tindakan silia (gerakan bulu-bulu halus sel epitelium) dan memasuki sistem
penghadaman untuk dikeluarkan.

Udara dari rongga hidung akan melalui faring dan laring sebelum memasuki trakea.

Semasa menelan makanan, satu tisu dipanggil epiglotis akan menutup laring secara automatik bagi menghalang
makanan dan cecair memasuki paru-paru. Tindakan refleks batuk berlaku sekiranya mekanisma ini gagal berfungsi
dengan sempurna untuk mengeluarkan semula benda asing tersebut dan menghalangnya memasuki paru-paru.

Trakea
Trakea terbina dari gegelang rawan pada dindingnya untuk mengelakkannya runtuh. Trakea juga dilapisi dengan
membran bermukus yang mengandungi sel bersilia.

Mukus yang mengandungi partikel asing terperangkap akan ditolak ke faring melalui gerakan silia untuk diludah keluar
atau ditelan melalui kerongkong.

Bronkus
Trakea akan bercabang dua membentuk bronkus. Satu cabang ke paru-paru kini dan satu lagi ke paru-paru kanan.
Bronkus juga diselaputi oleh membran mukus yang mengandungi sel bersilia. Peranan mukus dan sel bersilia sama
seperti di dalam trakea.

Paru-paru
Paru-paru merupakan sepasang organ berspan yang terletak di dalam rongga toraks. Setiap satu paru-paru diselaputi
dengan satu membran di namakan membran pleural.

Paru-paru orang dewasa, jika disusun mempunyai saiz sebesar gelanggang tenis!.

Bronkiol
Di dalam paru-paru, bronkus akan berpecah membentuk cabang-cabang yang lebih kecil dipanggil bronkiol. Terdapat
lebih dari 1 juta bronkiol di dalam setiap paru-paru. Hujung bronkiol akan membentuk kantung-kantung udara kecil
yang dinamakan alveolus.

Alveolus
Setiap pasang paru-paru mengandungi lebih kurang 300 juta alveolus yang dilitupi dengan satu jaringan kapilari
darah. Alveolus dapat membesarkan luas permukaan paru-paru sekitar 50 hingga 100 meter persegi bagi
membolehkan pertukaran gas berlaku.

Alveolus ibarat satu balang kosong yang sangat kecil. Dinding alveolus hanya terdiri dari satu lapisan sel sahaja.
Terdapat bendalir badan yang memisahkan alveolus dengan dinding kapilari pulmonari.

Dinding alveolus dan kapilari yang nipis (satu lapisan sel epitelium sahaja) membenarkan pertukaran gas oksigen dan
karbon dioksida berlaku melalui proses resapan.

Sangkar Tulang Rusuk


Sangkar tulang rusuk adalah tertutup oleh tulang-tulang rusuk dan otot interkosta.

Otot interkosta ialah otot yang menyambung dua tulang rusuk bersebelahan. Terdapat dua jenis otot interkosta iaitu
interkosta luar (bahagian bawah menghala keluar) dan interkosta dalam (bahagian bawah otot menghala ke dalam.

Diafragma
Diafragma ialah otot yang membahagikan rongga toraks dengan bahagian abdomen. Ia juga membantu menutup
sangkar tulang rusuk.

Mekanisme Pernafasan
Pernafasan melibatkan proses memasukkan udara ke dalam rongga torak dan menghembus keluar udara di dalam
rongga toraks.

Menyedut Nafas
Untuk menyedut nafas, otot interkosta luar akan mengecut manakala otot interkosta dalam rehat. ini menyebabkan
sangkar tulang rusuk terangkat ke atas. Diafragma pula akan mengecut dan menjadi rata. Ini akan membesarkan
isipadu rongga toraks dan merendahkan tekanan udara di dalam rongga toraks (sangkar tulang rusuk).

Menghembus Nafas
Untuk menghembus nafas, otot interkosta dalam akan mengecut manakala otot interkosta luar rehat. Ini
menyebabkan sangkar tulang rusuk turun ke bawah. Diafragma akan rehat dan kembali ke bentuk lengkungan asal.
Ini menyebabkan isipadu rongga toraks menjadi kecil dan tekanan udara di dalam rongga toraks menjadi tinggi.
Tekanan udara yang tinggi menyebabkan tekanan ke atas alveolus menjadi tinggi dan udara di dalam alveolus dipaksa
keluar.

Ringkasan Mekanisme Pernafasan

Bahagian Sedutan Hembusan


Otot Interkosta Luar mengecut rehat
Otot Interkosta Dalam rehat mengecut
Keadaan Sangkar tulang rusuk terangkat turun
Diafragma mengecut rehat
Isipadu Rongga Toraks besar kecil
Tekanan Udara tinggi rendah
Aliran Udara masuk keluar

Sistem Peredaran Darah


Sistem peredaran darah melibatkan jantung, sistem peredaran pulmonari dan sistem peredaran sistemik. Sistem ini
telah dijelaskan dengan mendalam dalam topik Sistem Pengangkutan sebelum ini.

Peranan sistem peredaran darah di dalam sistem respirasi ialah membawa gas oksigen dari paru-paru ke sel-sel badan
dan membawa karbon dioksida dari sel-sel badan ke paru-paru untuk dikumuhkan.

Oleh itu, sistem peredaran darah berfungsi untuk menghubungkan organ pernafasan dengan sel-sel seluruh badan.

Respirasi sel
Respirasi sel ialah proses menggunakan oksigen oleh sel-sel badan bagi mengoksidakan makanan untuk menghasilkan
tenaga dan karbon dioksida. Proses ini juga dikenali sebagai pengoksidaan makanan.

Makanan + Oksigen ---> tenaga + air + karbon dioksida

Tenaga akan digunakan oleh sel-sel badan untuk aktiviti-aktiviti harian dan mengawal suhu badan.
Air yang berlebihan akan diangkut ke ginjal oleh sistem peredaran darah untuk dikumuhkan sebagai air kencing.

Karbon dioksida akan masuk semula ke sistem peredaran darah dan di bawa ke paru-paru untuk dikumuhkan.

Pertukaran dan Pengangkutan Gas


Paru-Paru
Udara yang disedut mengandungi 21% oksigen dan 0.03% karbon dioksida. Apabila udara sedutan tiba ke alveolus,
kepekatan oksigen di dalam kapilari pulmonari rendah menyebabkan oksigen di dalam alveolus meresap keluar dari
dinding alveolus (senipis satu sel).

Oksigen ini melarut dalam cecair di antara alveolus dan kapilari kemudian meresap masuk ke dalam kapilari dan
bergabung secara kimia dengan hemoglobin di dalam sel darah merah. Sebatian oksigen dan hemoglobin ini di
namakan oksihemoglobin (HbO2). Setiap hemoglobin boleh mengikat 4 atom oksigen. Sebatian ini mempunyai ikatan
yang sangat lemah (mudah berpecah membentuk oksigen dan hemoglobin semula).

Kepekatan karbon dioksida di dalam kapilari pulmonari lebih tinggi daripada kepekatan karbon dioksida di dalam
alveolus. Ini menyebabkan karbon dioksida meresap keluar daripada kapilari dan masuk ke dalam alveolus untuk
dikumuhkan.

Sel-sel badan
Apabila darah tiba di sel-sel badan melalui sistem peredaran sistemaik, kepekatan oksigen di dalam darah lebih tinggi
daripada kepekatan oksigen di dalam sel. Ini menyebabkan ikatan oksihemoglobin terputus dan membebaskan
oksigen semula. Oksigen ini meresap keluar daripada kapilari darah dan masuk ke dalam sel-sel badan untuk respirasi
sel.

Faktor-faktor ikatan oksihemoglobin terputus dan membebaskan oksigen ialah:

i. Tekanan separa oksigen rendah


ii. Penghasilan karbok dioksida yang tinggi
iii. Suhu meningkat
iv. pH menurun

Hasil respirasi sel ialah karbon dioksida. Oleh itu, kepekatan karbon dioksida di dalam sel lebih tinggi berbanding
kepekatannya di dalam darah. Ini menyebabkan karbon dioksida meresap keluar daripada sel badan dan masuk ke
dalam kapilari untuk dikumuhkan melalui paru-paru.

Mekanisme pengangkutan karbon dioksida


Terdapat 3 cara pengangkutan karbon dioksida melalui sistem peredaran darah.

1. 20% masuk ke dalam sel darah merah untuk berpadu dengan hemoglobin lalu membentuk sebatian
karbaminohemoglobin
2. 70% di dalam plasma darah dalam bentuk ion bikarbonat.
3. 10% di dalam plasma darah sebagai karbon dioksida

Pembentukan ion bikarbonat


Karbon dioksida yang memasuki kapilari akan melarut dalam plasma dan bergabung dengan air membentuk asid
karbonik.

CO2 + H2O ---> H2CO3 (asid karbonik)

Asid karbonik akan berpecah kepada ion bikarbonat dan ion hidrogen. Ion hidrogen dibawa oleh hemoglobin manakala
ion bikarbonat berada di dalam plasma. Oleh itu, 70% karbon dioksida di bawa ke paru-paru melalui plasma dalam
bentuk ion bikarbonat.

H2CO3 ---> HCO3- (ion bikarbonat) + H+ (ion hidrogen)

Setiap proses ini adalah berbalik yakni ion hidrogen akan bergabung semula dengan ion bikarbonat untuk membentuk
asid karbonik. Asid karbonik akan berpecah kepada karbon dioksida dan air semula. Proses ini berlaku di paru-paru.

Karbon dioksida dan air yang terhasil dikumuhkan di paru-paru dalam bentuk gas dan wap air.

You might also like