You are on page 1of 5

KESAN-KESAN DAN CARA-CARA UNTUK MENGATASI MASALAH PENGGUNAAN BAHASA ROJAK SOALAN Penggunaan bahasa rojak dan bahasa

singkatan yang berleluasa dikatakan telah mencemari martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bincangkan kesan- kesan dan cara-cara untuk mengatasi masalah ini daripada terus berleluasa. Marcapada ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia tentang penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Amalan bahasa rojak bermakna tabiat suka mencampur-adukkan perkataan bahasa Inggeris semasa menggunakan bahasa Melayu. Gejala ini semakin berleluasa dalam kalangan masyarakat sehingga mencemari martabat bahasa Melayu. Lebih memberatkan lagi ialah gejala ini menular dengan begitu meluas dalam kalangan golongan berpendidikan tinggi yang menjadi pemimpin masyarakat. Tuntasnya, kesankesan yang timbul akibat daripada penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan perlu dikenal pasti supaya langkah langkah yang pragmatik dapat diambil untuk mengatasinya. Seperti yang telah dikatakan penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan mencemari martabat bahasa Melayu. Penggunaan bahasa rojak telah memberi gambaran wujud keadaan kebahasaan yang tidak stabil dalam masyarakat. Keadaan ini berlaku akibat daripada kemerosotan dan kehilangan kualiti, nilai serta ciri unggul bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Lama-kelamaan beberapa ciri bahasa Melayu akan pupus dan digantikan dengan beberapa ciri bahasa Inggeris. Lantaran itu, bahasa rojak akan menjadi bahasa ibunda orang Melayu sekiranya gejala ini terus terjadi. Secara perlahan-lahan kita mungkin akan melucutkan keupayaannya sebagai bahasa rasmi dan melunturkan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan. Natijahnya, penggunaan bahasa rojak merupakan tamparan kepada identiti dan kewibawaan bahasa Melayu. Semetelahan itu, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan boleh menjejaskan pembelajaran di peringkat sekolah. Kini, kebanyakkan pelajar sering menggunakan bahasa rojak untuk berkomunikasi dan menggunakan bahasa singkatan dalam penghataran sistem pesanan ringkas (SMS). Apabila gejala ini dijadikan sebagai amalan seharian mereka, keadaan ini akan menjejaskan keputusan peperiksaan bagi seseorang pelajar, sekolah mahupun negeri. Hal ini demikian kerana, mereka tiada kemahiran dalam menulis karangan dengan menggunakan bahasa yang betul. Mereka telah biasa menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian mereka. Sehubungan itu, mereka akan menghadapi kesukaran untuk menulis tanpa menggunakan bahasa rojak. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa perbelajaran di peringkat sekolah akan terjejas disebabkan oleh bahasa rojak dan bahasa singkatan. Tambahan pula, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan menyebabkan pengguna kelihatan tidak serius. Pengguna tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang dan mereka bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam. Biar kita ambil contoh, apabila seseorang pelayan menggunakan kata ganti nama you kepada pelanggannya, dia merasakan dia sama taraf dengan pelanggan. Oleh

itu, dia akan berlagak bahawa dia wajar menjawab kata-kata pelanggan. Pelanggan adalah penting kerana tanpa pelanggan perniagaan tidak dapat dijalankan. Keadaan ini mungkin akan menimbulkan kemarahan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pelanggan kerana mereka merasa dirinya tidak dihormati. Sememangnya, pengguna akan kelihatan tidak serius ketika menggunakan bahasa rojak. Setiap penyakit mesti ada penawarnya, begitu juga dengan gejala penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan. Gejala ini dapat ditangani dengan menyarankan kesedaran terhadap penggunaan bahasa yang betul di semua peringkat rasmi dalam masyarakat. Selaku pemimpin masyarakat, mereka seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat. Mereka harus mengawal diri dalam menggunakan bahasa dalam sesuatu majlis supaya mereka sentiasa menggunakan bahasa yang betul, baik semasa menggunakan bahasa Melayu, mahupun Inggeris. Jika mereka menggunakan bahasa Melayu, biarlah sepenuhnya digunakan perkataan-perkataan Melayu begitu juga apabila berbahasa Inggeris. Keadaan ini akan menjadi ikutan kepada rakyat dan lamakelamaan seluruh masyarakat dapat menggunakan bahasa dengan betul. Jelaslah bahawa penggunaan bahasa yang betul oleh pemimpin masyarakat adalah penting dalam mengatasi gejala bahasa rojak. Selain itu, bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan terus digunakan sikap pengguna sendiri perlu berubah. Sikap menganggap bahasa Melayu kolot dan tidak standard harus dihapuskan. Alasan yang menyatakan bahasa Melayu tidak mempunyai perbendaharaan kata yang cukup untuk mengungkapkan sesuatu idea tidak boleh diterima. Hai ini demikaian kerana bahasa Melayu bersifat terbuka dan sanggup menerima perkataan-perkataan Inggeris bagi menambahkan perbendaharaan katanya. Masyarakat seharusnya menyanjung tinggi terhadap bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dan mengelakkan dirinya daripada menggunakan bahasa rojak. Sesungguhnya bagi mengelakkan menggunakan bahasa rojak memerlukan disiplin, komitmen dan latihan diri yang bersungguh-sungguh. Tuntasnya, sikap masyarakat perlu berubah supaya gejala ini dapat diatasi. Peranan media massa juga penting bagi mengelakkan bahasa rojak dan bahasa singkatan digunakan secara berleluasa. Kini, masyarakat amat dipengaruhi oleh media massa terutamanya bagi golongan remaja. Program television, filem dan drama yang menggunakan bahasa rojak dan bahasa singkatan akan dipelajari oleh remaja. Keadaan ini disebabkan mereka mempunyai naluri yang tinggi untuk mencuba sesuatu. Seharusnya, program-program television yang mengandungi penggunaan bahasa rojak tidak boleh ditayang keluar. Sebagai contohnya, program Gengstarz, One In A Million dan Akademi Fantasia yang menggunakan bahasa rojak harus ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Natijahnya, gejala ini dapat diatasi melalui peranan yang dimainkan oleh pihak media massa. Kesimpulannya, penggunaan bahasa rojak dan bahasa singkatan yang berleluasa telah mencemari martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara kita. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang melambangkan identiti dan kewibawaan bahasa kita. Oleh itu, semua pihak harus mengambil berat terhadap gejala ini. Semua pihak harus

bekerjasama bak kata berat sama dipikut, ringan sama dijinjing untuk menangani gejala ini sampai ke akar umbinya. Diharapkan selepas usaha meningkatkan penggunaan bahasa Melayu dijalankan, martabat bahasa Melayu dapat dinaikkan sampai ke peringkat global.

Ramalam Karangan SPM 4 - Karangan Topik keibubapaan


KARANGAN JENIS RENCANA Peranan Ibu Bapa Dalam Mengurangkan Gejala Sosial Oleh: Loh Suk Hwa Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai penyakit sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Sejak akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja yang terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang menerusi dada akhbar. Isu ini menjadi suatu isu yang hangat diperkatakan dan sering menjadi buah mulut orang ramai. Antara penyakit sosial yang dimaksudkan ialah gejala vandalisme, buli dan ponteng. Keutuhan institusi kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi ini diibaratkan seperti cerucuk di dalam sesebuah bangunan yang kukuh. Malah, institusi kekeluargaan begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga kempen Rumahku Syurgaku diadakan secara besar-besaran. Program ini menekankan kepentingan rumah diibaratkan sebagai syurga untuk memastikan keutuhan institusi keluarga. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang golongan remaja daripada terjebak dalam gejala sosial. Sebenarnya, golongan ibu bapa wajarlah mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka dan mengasuh anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Ibu bapa perlu menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang tidak ternilai dan mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sikap sesetengah ibu bapa yang hanya sibuk mengejar harta kekayaan perlulah dikikis sama sekali. Mereka tidak sedar bahawa nilai kebendaan dan materialistik yang ada pada diri mereka akan menyebabkan mereka terlalu sibuk dengan kerja mereka sehingga mengabaikan anak-anak mereka. Contohnya, pada hujung minggu, ibu bapa perlulah meluangkan masa mereka untuk melakukan aktivitiaktiviti riadah bersama-sama anak-anak mereka. Ibu bapa bolehlah membawa remaja makan angin di destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Hadis ada menyatakan bahawa anak-anak diibaratkan seperti kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya. Sememangnya, ibu bapa perlu mampu mengimbangi kepentingan keluarga dan kerjaya mereka kerana anak-anak mereka amat memerlukan kasih sayang ayah dan ibu. Golongan remaja perlulah dibekalkan dengan didikan agama dan moral yang sempurna. Ibu bapa perlulah menekankan kepentingan ajaran agama terhadap pembentukan mental remaja kerana didikan agama dan moral dapat menjamin keimanan remaja agar dapat membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk dan seterusnya mendorong remaja mengawal tingkah laku mereka. Tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa tanggungjawab mereka tidak lebih daripada menyekolahkan dan menyediakan makan minum anak-anak tidak benar sama sekali. Mereka juga harus memastikan anak-anak mereka mendapat ajaran agama yang sempurna. Sebagai contoh, ibu bapa perlulah meluangkan masa untuk membekalkan ajaran agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Didikan agama yang dibekalkan kepada remaja dapat memastikan bahawa anak-anak mereka mempunyai benteng pertahanan diri yang kukuh untuk menolak ajakan rakan-rakan untuk melibatkan diri dalam apa-apa tindakan yang mampu memburukkan imej diri dan merosakkan nama baik sesebuah keluarga. Bukan itu sahaja, pihak ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak-anak mereka dengan mengikuti perkembangan anak-anak mereka di sekolah. Dari semasa ke semasa, ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak sekolah untuk

mengetahui masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menghadirkan diri dalam sebarang pertemuan antara ibu bapa dan guru. Dengan ini, pihak sekolah, guru dan ibu bapa akan dapat bermuafakat dan bekerjasama untuk membantu remaja yang bermasalah dengan mencari jalan penyelesaian yang terbaik. Ibu bapa perlu memastikan bahawa nasihat yang diberikan oleh mereka kepada anak-anak mereka tidaklah bagai mencurahkan air ke daun keladi. Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Masalah remaja perlu dikesan sebelum terlambat kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Ibu bapa memainkan peranan untuk menjaga kepentingan anak-anak mereka dengan meletakkan kepentingan anak-anak mereka dan meletakkan kepentingan anak-anak mereka melebihi harta benda dan wang ringgit. Bukan itu sahaja, ibu bapa haruslah menjadi teladan kepada anak-anak mereka kerana bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Ibu bapa sememangnya perlu memastikan segala tingkah laku dan pertuturan mereka kerana segala perlakuan mereka akan diperhatikan oleh anak-anak mereka. Malah, segala tingkah laku ibu bapa akan ditiru oleh anak-anak mereka. Contohnya, ibu bapa yang mempunyai tabiat buruk seperti merokok perlulah bertaubat dan berhenti merokok kerana anak-anak mereka berkemungkinan besar akan terpengaruh dan seterusnya merokok. Ibu bapa perlulah mengatasi apa-apa kelemahan yang ada pada diri mereka agar perbuatan mereka tidak akan menyebabkan anak-anak mereka terdedah kepada amalan yang kurang sihat. Ibu bapa tidak harus bersikap seperti ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Dengan ini, golongan remaja tidak akan terpengaruh dengan tabiat buruk ibu bapa mereka dan seterusnya tidak akan melakukan gejala sosial yang mampu menghancurkan masa depan mereka. Kesimpulannya, gejala sosial yang menjadi duri dalam daging perlu dihapuskan sehingga akar umbinya kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Ibu bapa perlulah mengambil langkah-langkah yang drastik dan berkesan bagi memastikan golongan remaja tidak akan ditulari sebarang penyakit sosial kerana remajalah yang akan mencorakkan negara pada masa hadapan. Mereka harus dibimbing agar akan menjadi modal insan yang berintegriti dan berwawasan. Secara tidak langsung, impian negara untuk melahirkan golongan yang berminda kelas pertama akan dapat direalisasikan. Marilah kita sama-sama mengekang diri daripada terjerumus dalam kancah sosial yang mampu meranapkan harapan bangsa dan negara.

You might also like