You are on page 1of 8

Kurikulum Standard Sekolah Rendah atau dikenali sebagai KSSR diperkenalkan sebagai usaha menyusun semula dan menambah

baik kurikulum sedia ada untuk memastikan setiap murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21. Pelaksanaan KSSR menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bermula pada sesi persekolahan tahun 2010 bertujuan untuk meningkatkan minat murid terhadap mata pelajaran Bahasa Inggeris. KSSR digubal dalam pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan pembelajaran yang perlu dicapai murid dalam satu tahap persekolahan. Standard kandungan ialah penyataan spesifik mengenai perkara murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai, manakala standard pembelajaran ialah penetapan kriteria atau petunjuk kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan. Kebaikan-kebaikan KSSR dapat dilihat dari aspek berikut:

Kerohanian, Sikap Dan Nilai Aspek ini melibatkan penghayatan dalam melaksanakan amalan-amalan agama, kepercayaan kepada Tuhan, dapat memupuk akhlak yang baik dan nilai-nilai murni di dalam diri setiap murid. Penghayatan ini dapat diaplikasikan menerusi Modul Asas Teras melalui mata pelajaran Pendidikan Islam bagi murid yang beragama Islam dan Pendidikan Moral bagi murid yang bukan beragama Islam. Hal ini kerana ianya dapat menyedarkan murid-murid tentang kepentingan dan kelebihan kepercayaan dan kesyukuran kepada Tuhan, berakhlak dengan akhlak yang mulia dan mengamalkan nilai-nilai murni supaya mereka dapat menjadi individu yang bertanggungjawab, saling hormat menghormati dan dapat membentuk jati diri yang Muslim yang sebenar. Selain itu, kurikulum pendidikan juga telah menggabungkan jaringan unsur nilai moral dan agama merentasi kurikulum. Bagi mencapai hasrat ini, kurikulum telah menitikberatkan aspek kepemimpinan murid-murid melalui kokurikulum. Hal ini kerana bagi melahirkan pemimpin yang adil pada suatu hari nanti memerlukan pengetahuan serta panduan yang bermula pada masa kini. Kurikulum yang sama digunakan di semua sekolah di Malaysia. Perkara ini bertujuan untuk menguatkan hubungan sosial

antara masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia. Kurikulum yang seragam dan adil dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu dan tiada unsur kepentingan bagi sebelah pihak. Perkara ini sangat penting dalam perkembangan individu yang bakal menjadi generasi yang dapat menjunjung inspirasi negara.

Keterampilan Diri Melalui pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah seperti yang telah termaktub dalam aktiviti sekolah dapat memupuk keterampilan murid yang berkepimpinan dan bersahsiah. Selain itu, penglibatan murid yang aktif dalam persatuan dan unit beruniform dapat melatih peribadi murid-murid menjadi lebih matang dan berkeyakinan serta dapat menjadi sebagai persediaan kepada mereka untuk menghadapi cabaran dalam proses pengajian ke tahap yang lebih tinggi pada masa akan datang. Sikap inilah yang perlu ada pada seseorang pemimpin. Seorang pemimpin yang baik haruslah sentiasa menonjolkan kebaikan dan melakukan perkara yang baik pada setiap masa. Ini kerana pemimpin adalah contoh teladan kepada setiap orang yang dipimpin. Sebagai contoh pemimpin terbaik sepanjang zaman adalah nabi Muhammad S.A.W.. Baginda merupakan pemimpin yang mempunyai ciri yang terbaik dari segala aspek. Sememangnya memimpin dan juga dipimpin mempunyai kaitan antara satu sama lain. Oleh itu, KSSR telah menekankan keterampilan dalam diri setiap murid. Apabila seseorang pemimpin itu mempunyai keterampilan diri yang baik, sudah pasti dirinya akan dihormati. Bahkan dirinya akan menjadi contoh serta ikutan untuk generasi yang akan datang. Hal ini seterusnya dapat melahirkan muslim sejati yang dapat membangunkan dan mengharumkan nama negara di persada dunia.

Fizikal Dan Estetika KKSR memberi penekanan kepada aspek fizikal dan estetika. Hal ini kerana kesihatan jasmani atau fizikal adalah amat penting untuk dititikberatkan dan diberi penekanan kerana menerusi badan yang cergas, kita dapat melahirkan minda yang cerdas. Melalui kecergasan tubuh badan, ianya dapat menyerapkan nilai- nilai positif dalam pemikiran seseorang individu dan ini secara tidak langsung akan dapat menjadikan

seseorang murid itu sebagai individu yang sentiasa berfikiran positif dan bepengetahuan luas serta jauh. Tambahan lagi, pemupukan daya imaginasi, kreativiti, dan bakat amat penting dalam proses berlakunya transformasi di dalam bidang pendidikan ini. Apabila badan murid cergas dan sihat, pemikiran mereka juga dapat diasah agar lebih kreatif dan berinovasi berbanding sekiranya badan lemah dan tidak bermaya. Secara tidak langsung, kita juga dapat mengasah bakat yang terpendam dalam diri murid melalui pelbagai aktiviti yang diceburi oleh mereka sama ada di dalam mahupun di luar sekolah.

Literasi Sains Dan Teknologi Antara kelebihan KSSR adalah ia menekankan aspek literasi sains dan teknologi dalam pembelajaran. Hal ini kerana pengetahuan dan penguasaan sains merupakan pengetahuan dan kemahiran yang berasaskan kepada perkembangan teknologi yang wajib bagi murid-murid untuk menguasainya bagi mengembangkan pemikiran para murid mengenai ilmu. Seterusnya adalah untuk menyediakan mereka dalam kehidupan mereka pada zaman globalisasi yang jauh lebih mencabar. Dengan berkembangnya sains dan teknologi dalam kalangan murid sekolah rendah, maka peranan pendidikan dapat membantu dalam meningkatkan masyarakat untuk memiliki literasi sains dan teknologi. Literasi sains dan teknologi adalah kemampuan menyelesaikan masalah dengan menggunakan konsep sains, mengenal teknologi serta kesannya. Selain itu adalah masyarakat yang lahir dari KSSR mampu mempergunakan produk teknologi dan memeliharanya, kreatif dalam menghasilkan produk teknologi yang sederhana dan mampu membuat keputusan dalam memilih nilai yang berkuailiti.

Penggunaan Portfolio Antara perkara baru yang diperkenalkan oleh KSSR adalah penggunaan portfolio oleh setiap murid. Segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka disimpan dalam portfolio ini. Dokumen ini merekodkan kegiatan dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa.

Selain itu, ia turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak mereka dengan tepat dan mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan. Melalui pendekatan baru ini, ia membolehkan guru menilai murid dengan lebih berkesan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam secara teratur. Band satu merupakan peringkat paling asas dan menjadi kayu ukur sama ada murid berjaya menguasai sukatan pembelajaran atau tidak sebelum beralih ke band berikutnya. Hal ini juga memudahkan dan memberi ruang kepada para guru untuk menyemak rekod pembelajaran murid serta mengetahui kelemahan mereka. Guru-guru juga dapat memikirkan cara-cara mengatasi kelemahan mereka dengan menggunakan yang berkesan. Maka, ia dapat melahirkan murid yang mempunyai daya saing yang tinggi seterusnya mampu meningkatkan kesungguhan mereka untuk berjaya dengan cemerlang.

Mengambil Kira Bakat Dan Kemahiran Murid-Murid Proses penilaian KSSR amat mengambil kira kemahiran insaniah dan kebolehan bakat yang ditonjolkan murid dalam kelas walaupun ujian bertulis masih lagi dilaksanakan seperti dulu. Proses penilaian ini akan dijalankan oleh pihak sekolah. Mereka akan sentiasa berasa tercabar dengan kehebatan pencapaian rakan-rakan yang lain. Oleh itu, murid akan sentiasa berusaha untuk bersaing dengan rakan lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka. Murid-murid juga tidak akan menjadi terlalu tertekan sekiranya mereka kurang menguasai sesuatu teori atau fakta yang diberikan oleh guru mereka di dalam kelas. Mereka dapat menggunakan teori tersebut sebagai panduan dalam mengerjakan sesuatu praktikal berdasarkan kebolehan, kemampuan dan bakat semulajadi yang ada dalam diri mereka. Murid-murid juga akan lebih berfikiran kritis dan kreatif kerana dapat melakukan sesuatu yang mereka minati dan tidak tersekat dengan apa yang ditetapkan oleh guru sahaja.

Hal ini dapat memberikan keupayaan kepada murid untuk melakukan sesuatu yang baru bagi mereka dari segi konsep dan pengetahuan sedia ada. Pada masa yang sama, ianya juga memberi peluang yang luas kepada murid-murid untuk memperoleh kemahiran, ilmu pengetahuan dan nilai dalam pelbagai bentuk yang boleh diukur melalui bahan pembelajaran yang telah disediakan.

Menerapkan Elemen Kreativiti Dan Inovasi Keupayaan negara untuk bersaing di peringkat global dalam abad ke-21 kini memerlukan masyarakat yang mampu berfikir secara kreatif dan inovatif agar dapat menghasilkan idea-idea baru agar dapat berada di peringkat paling atas dalam perlumbaan mengejar kemajuan. Oleh itu, dalam usaha untuk memperoleh inovasi tersebut, usaha ini perlulah di mulakan dari peringkat awal bermula dengan sistem pendidikan. Dalam usaha untuk melahirkan pelajar yang berfikiran inovatif, elemen kreativiti dan inovasi perlu diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran supaya proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih dinamik dan menarik kepada pelajar. Sekiranya elemen inovasi ini tidak diterapkan dalam amalan pengajaran dan pembelajaran, sudah tentu pelajar akan mula hilang minat terhadap matapelajaran tersebut. Oleh itu, jika guru tidak menerapkan elemen inovasi dalam pengajarannya dan masih mengekalkan cara pengajaran tradisional yang membosankan, sudah tentu pelajar akan hilang minat terhadap sesuatu matapelajaran dan melihat ia sebagai

subjek yang kurang menarik. Maka daripada penerapan elemen kreativiti dan inovasi ini, lahirlah murid-murid yang dapat berfikiran jauh seterusnya dapat membawa perubahan dalam hidupnya dan juga kepada negara.

Pengenalan Mata Pelajaran Baru Yang Bermanfaat Kepada Murid-Murid Melalui mata pelajaran baru yang diperkenalkan kepada murid-murid seperti mata pelajaran sejarah, ianya dapat mendidik jiwa murid-murid dengan semangat patriotik dan kenegaraan. Secara tidak langsung, ia dapat melahirkan individu yang sentiasa cinta akan tanah air. Semangat perpaduan dan kekitaan antara kaum juga

dapat dipupuk apabila murid-murid diberi pendedahan awal tentang sejarah yang berlaku di negara kita. Murid-murid akan menjadi individu yang lebih menghargai jasa dan pengorbanan tokoh-tokoh pejuang tanah air dulu serta sentiasa berusaha menjaga dan mempertahankan keharmonian dan kesejahteraan negara. Selain itu, murid tahap satu iaitu murid tahun satu hingga tahun tiga juga akan diajar mengenai pendidikan seks yang diajar menerusi subjek Pendidikan Kesihatan. Melalui subjek ini, murid-murid akan diberi pendedahan awal mengenai perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat dan budaya.

Maka, murid-murid akan menjadi lebih berhati-hati dalam setiap pergaulan mereka di dalam mahupun di luar sekolah. Hal ini kerana mereka sudah mengetahui ia akan menyebabkan natijah yang buruk dan akan mencemarkan maruah individu tersebut yang berpunca daripada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Secara tidak langsung, mereka akan sentiasa mengamalkan akhlak yang mulia dan menjaga peribadi mereka untuk kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga.

Penggabungan Beberapa Mata Pelajaran Melalui penggabungan mata pelajaran Dunia Sains dan Teknologi, ianya akan memberi pendedahan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi secara praktikal kepada murid-murid. Murid akan mempelajari sesuatu yang baru dengan lebih mudah. Penguasaan kemahiran ICT ini tidak akan dinilai sebagai subjek peperiksaan, sebaliknya didedahkan kepada murid tahun satu sebagai elemen kreativiti dan inovasi murid-murid terhadap bidang teknologi moden dan perubahan-perubahan dalam sistem teknologi. Selain itu, sains hayat berperanan untuk mendedahkan murid-murid kepada pembelajaran objek hidup seperti manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang ada di alam ini supaya murid-murid menjadi lebih akrab dengan alam persekitaran. Perkara ini dapat memupuk semangat cinta kepada alam sekitar seterusnya dapat melatih muridmurid untuk sentiasa memelihara dan memulihara flora dan fauna. Sains fizikal pula adalah berkaitan dengan semua jenis deria kurniaan Allah kepada manusia dalam kehidupan. Manakala sains bahan pula membabitkan teknologi serta kehidupan lestari

yang merangkumi reka bentuk bahan bercorak sebuah inovasi baru yang membantu memudahkan segala aktiviti seharian kita seiring dengan zaman yang lebih mencabar ini. Pengajaran ini memberi peluang kepada mereka dalam proses pembelajaran yang menyeronokkan melalui kaedah inkuiri, iaitu secara dapatan dan penemuan menarik iaitu secara praktikal terus. Hal ini dapat membantu perkembangan minda murid-murid menjadi lebih kreatif dan sentiasa dapat menghasilkan idea-idea yang bernas dan bijak seterusnya dapat melahirkan murid-murid yang mempunyai fikiran yang tajam dalam sesuatu perkara.

Penggunaan Modul KSSR telah menggunakan proses pembelajaran berasaskan modul. Sebarang pertambahan dan pengurangan kandungan boleh dilakukan tanpa menjejaskan keseluruhan modul. Secara tidak langsung, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel juga dapat berlaku. Hal ini kerana setiap guru mempunyai pilihan untuk menggunakan modul mengikut kesesuaian kaedah pengajaran mereka yang sepadan dengan tahap pemikiran dan kebolehan murid. Penggunaan modul akan menggantikan penggunaan buku teks. Ia dapat menarik minat para murid untuk terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di dalam kelas. Pelbagai aktiviti yang menarik dan dapat mengembangkan minda murid-murid supaya menjadi lebih kreatif dan kritis

dilaksanakan. Contohnya adalah seperti melakukan aktiviti-aktiviti yang melibatkan perbuatan yang aktif daripada pelajar. Hal ini akan memudahkan murid-murid untuk mempelajari, memahami dan mengingati sesuatu sekiranya pembelajaran mereka disertai dengan aktiviti-aktiviti praktikal. Selain itu, ianya juga dapat menarik minat murid untuk terus meminati sesi pembelajaran dan sentiasa berusaha menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi dengan cara yang terbaik. Penggunaan KSSR di sekolah juga banyak membantu memudahkan perjalanan dalam pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid-murid yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya. Melalui langkah seperti ini, murid-murid tidak akan berasa tertekan dalam menjalani proses pembelajaran di sekolah. Malah mereka sentiasa

berasa tertarik dengan teknik pengajaran guru-guru selain pendekatan yang lebih mesra dan bersesuaian dengan peringkat umur mereka. Seterusnya dapat

menyumbang ke arah pembentukan jati diri muslim yang diinginkan oleh syarak.

You might also like