You are on page 1of 16

TAJUK 7: PENGENALAN

KEMAHIRAN MENULIS

Selain berkomunikasi secara lisan atau pun melalui bacaan, manusia juga berkomunikasi melalui tulisan. Malah bahasa tulisan adalah satu bentuk komunkasi yang paling tinggi dan kompleks. Menulis adalah satu kemahiran dan juga sebagai saluran untuk seseorang melahirkan perasaan dan idea. Kemahiran menulis menggabungkan aspek-aspek visual, motor, dan keupayaan membentuk konsep-konsep. Menurut Hughes, Mercer, Lenz, dan Hoffman, (1991). tulisan juga adalah saluran utama bagi murid-murid untuk menunjukkan pengetahuan dan mereka dalam mata pelajaran akademik yang lebih tinggi Sebelum seseorang dapat menggunakan tulisan sebagai media untuk berkomunikasi, ia perlu menguasai kemahiran menulis secara mekanis dahulu, dan selepas itu barulah ia dapat menulis untuk tujuan berkomunikasi dengan orang lain. Seseorang individu menulis untuk menyatakan idea dan perasaannya atau apa sahaja yang ingin disampaikannya supaya dapat dibaca dan difahami oleh orang lain. Kebanyakan kanak-kanak bermasalah pembelajaran di kelas Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran (PKBP) tidak menguasai kemahiran menulis, sama ada tulisan mekanis ataupun tulisan mentalis. Dalam tajuk ini, anda akan didedahkan dengan peringkat perkembangan menulis, masalah tulisan, dan strategi mengajar menulis. OBJEKTIF Pada akhir tajuk ini, anda seharusnya dapat: 1. menghuraikan peringkat-peringkat perkembangan menulis, 2. membincangkan jenis-jenis masalah tulisan, dan 3. menghuraikan strategi pengajaran kemahiran menulis.

GAMBARAN KESELURUHAN TAJUK

KEMAHIRAN MENULIS

Peringkat Perkembangan Menulis

Masalah Tulisan

Strategi Mengajar Tulisan

7.1 Peringkat Perkembangan Menulis Tulisan dan bacaan mempunyai hubungan yang rapat dan saling melengkapi. Seseorang akan membaca hasil tulisan seseorang dan hasil tulisan seseorang pula adalah untuk dibaca oleh orang lain. Begitu juga apabila seseorang menulis, dia juga sedang membaca apa yang ditulisnya. Tulisan adalah lambang-lambang bunyi yang diwakili oleh perkataan-perkataan yang ditulis. Apabila lambang-lambang yang ditulis itu dibaca atau dibunyikan semula, maka barulah wujudnya bahasa melalui tulisan itu. Melalui tulisan manusia melahirkan perasaan, fikiran, dan juga kemahuan mereka. Melalui tulisan juga manusia dapat menikmati keindahan bahasa melalui penulisan yang indah dan penulisan yang banyak memberi maklumat. 7.1.1 Jenis Kemahiran Menulis Secara umumnya terdapat dua jenis kemahiran menulis yang diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pertamanya adalah kemahiran menulis secara mekanis dan keduanya kemahiran menulis mentalis. Kemahiran menulis secara mekanis menekankan kepada aspek tulisan yang betul, kemas, cantik, dan mudah dibaca. Kemahiran ini melibatkan koordinasi otot-otot tangan dan jari dengan aspek visual dalam menulis perkataan-

perkataan. Kemahiran menulis secara mekanis diberi tumpuan pada peringkat awal persekolahan kanak-kanak iaitu di peringkat pra sekolah dan tahap satu sekolah rendah (Tahun 1 hingga tahun 3). Kanak-kanak berkeperluan khas bermasalah pembelajaran (PKBP) menunjukkan penguasaan kemahiran menulis secara mekanis yang sangat lemah. Mereka didapati sukar menulis huruf huruf dengan betul dan juga cara menulis huruf yang salah. Kemahiran menulis secara mentalis adalah kemahiran menulis untuk pelahiran idea, perasaan, memberi maklumat, bercerita, dan sebagainya. Kemahiran ini melibatkan proses kognitif dan perlu dipupuk melalui latihan-latihan yang berterusan sehingga kemahiran tersebut dikuasai dengan mantap. Kemahiran menulis secara mentalis ini hanya diperkenalkan oleh guru kepada muridmuridnya setelah mereka menguasai kemahiran menulis secara mekanis. Dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah terutamanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, penulisan secara mentalis diajar melalui aktiviti penulisan berkenaan dengan sesuatu aspek seperti menyatakan kehendak, menyatakan perasaan, menyatakan pendapat, bercerita, memberi maklumat seperti menulis berita, dan menulis puisi.

7.1.2 Peringkat Perkembangan Pengajaran Menulis Kemahiran menulis perlu dikuasai oleh kanak-kanak secara berperingkatperingkat mengikut kesediaan dan keupayaan mereka. Sebelum mereka mula diajar menulis, ibu bapa dan guru perlu memastikan yang mereka sudah mempunyai kesediaan menulis. Kanak-kanak perlu bersedia dari segi kemahiran motor halus iaitu kemahiran mengawal otot-otot jari dan juga pergerakan jari. Oleh itu kanak-kanak perlu didedahkan dengan pengalamanpengalaman menggunakan jari seperti menggenggam, meramas, melorek, mencubit, menggentel, memegang, dan sebagainya. Kesemua kemahiran ini diajar secara tidak langsung menggunakan berbagai alat dan permainan. Kanak-kanak juga perlu bersedia dari segi keupayaan pengamatan visual melalui latihan dan permainan tertentu. Selain itu kanak-kanak juga perlu menguasai kemahiran tatabahasa asas seperti boleh menggunakan pelbagai jenis pola dan struktur ayat mudah. Pengajaran kemahiran menulis di sekolah rendah dapatlah dibahagikan kepada tiga peringkat (Kamarudin Hj. Husin, 1988): i. ii. peringkat pra menulis peringkat mendirikan asas (peringkat mekanis)

iii.

peringkat untuk pelahiran (mentalis)

Peringkat Pra menulis Kanak-kanak sudah boleh diajar kemahiran pra menulis sekiranya ia sudah mempunyai kesediaan menulis seperti pergerakan otot-otot tangan dan jari jemari serta sudah dapat membuat pengamatan visual iaitu sudah boleh membezakan dan mengecam benda-benda. Pada peringkat ini otot-otot tangan dan jari dilatih supaya lebih kemas dan teratur pergerakannya dan juga dapat memegang pensel dengan betul dan kemas. Selain itu latihan-latihan koordinasi mata dan tangan dilakukan dengan banyak supaya kanak-kanak dapat meniru bentuk-bentuk yang dilihat. Pada peringkat pra menulis, aktiviti-aktiviti yang dilakukan adalah untuk melatih pergerakan tangan, koordinasi mata dan tangan, latihan-latihan pergerakan mata melalui lakaran-lakaran terkawal dan lakaran bebas yang dilakukan oleh kanakkanak. Menurut Hughes, Mercer, Lenz, dan Hoffmann (1991) kanak-kanak sepatutnya sudah boleh melakukan perkara-perkara berikut sebelum mereka diajar menulis. i. ii. iii. iv. v. vi. vii. viii. Melakukan pergerakan tangan atas ke bawah, kiri ke kanan, dan depan ke belakang. Menekap atau menyurih bentuk-bentuk geometri dan garisan putus. Menyambungkan titik-titik di atas kertas. Melukis garis lintang dari kiri ke kanan, melukis garis tegak dari atas ke bawah, dan bawah ke atas. Melukis bulatan arah lawan jam, garis melengkung, dan bulatan arah jarum jam. Melukis garis condong. Menyalin corak mudah dan bentuk-bentuk, dan Mengenal huruf-huruf dan dapat membezakan keserupaan dan perbezaan bentuk huruf-huruf tersebut.

Berikut diberikan beberapa contoh lakaran yang sesuai dengan sesetengah perkara di atas.

Latihan Bincangkan kepentingan latihan pra menulis kepada kanak-kanak bagi menguasai kemahiran tulisan mekanis. Peringkat Mendirikan Asas (Tulisan Mekanis) Apabila kanak-kanak sudah boleh menguasai kemahiran pra menulis dan dapat melaksanakan aktiviti yang berkaitan dengan baik, maka guru sudah boleh memperkenalkan pengajaran kemahiran menulis kepada mereka. Aktiviti awal adalah tertumpu kepada menulis huruf-huruf secara bebas di atas kertas kosong, kertas petak, dan kertas garis tiga. Pada peringkat ini guru menekankan cara memegang pensel yang betul, kedudukan badan, dan bentuk huruf. Bagi kanakkanak berkeperluan khas, guru hendaklah menggunakan berbagai-bagai kaedah dan teknik untuk mengajar kanak-kanak menulis. Peringkat Menulis Untuk Pelahiran ( Mentalis ) Setelah kanak-kanak sudah dapat menulis huruf dan perkataan dengan betul dan baik, maka mereka akan digalakkan menulis untuk menyatakan perasaan, idea, atau menceritakan sesuatu perkara yang berlaku. Berbagai-bagai cara boleh dilakukan untuk melatih kanak-kanak menulis untuk pelahiran seperti melengkapkan ayat, menjawab soalan pemahaman, menulis ayat berdasarkan gambar, membina ayat daripada perkataan yang diberi, menulis karangan, dan juga menulis surat kiriman.

7.2

Masalah Tulisan

Sebelum kanak-kanak diajar kemahiran menulis untuk pelahiran, guru lebih menumpukan kepada pengajaran kemahiran tulisan tangan atau tulisan mekanis. Pada peringkat ini terdapat beberapa masalah yang perlu diberi perhatian oleh guru. Kaminsky dan Powers (1981) telah mengenal pasti lima masalah yang ditunjukkan oleh kanak-kanak dalam tulisan tangan. i. Kecelaruan persepsi visual, iaitu ketidakupayaan mengingat bagaimana huruf itu kelihatan dan untuk memperlihatkan semula huruf-huruf tersebut. Kegagalan menggabungkan imej visual huruf dengan pergerakan motor tangan atau jari yang sesuai. Tidak cekap dan lemah dalam kawalan otot-otot dalaman tangan menjadikan sukar untuk menulis. Ingatan motor yang tidak sempurna berkaitan dengan penyimpanan maklumat-maklumat motor di dalam otak. Kesukaran untuk memahami atau melihat keperluan ruang (spatial) tulisan tersebut.

ii. iii. iv. v.

Seorang guru yang peka akan dapat mengesan muridnya yang menghadapi masalah dalam tulisan berdasarkan tingkah laku-tingkah laku yang ditunjukkan. Antara tingkah laku pelajar yang boleh dijadikan petunjuk oleh guru adalah: i. ii. iii. iv. v. vi. vii. menggenggam pensel; cara memegang pensel yang salah; kedudukan badan yang canggung semasa menulis; mengelak latihan menulis seperti menggunakan taktik melengahlengah; hasil tulisan tidak banyak berbanding umur, keupayaan membaca, dan keupayaan bertutur; terlalu kerap memadam; kerap merujuk kepada carta huruf untuk menyemak bentuk huruf;

viii. ix.

keliru dengan arah, misalnya tulisan cermin atau menulis terbalik, dan lemah dalam menggunakan ruang, misalnya huruf atau perkataan terlalu rapat atau berjauhan.

Selain daripada petunjuk-petunjuk tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanakkanak, masalah tulisan mekanis juga dilakukan oleh kanak-kanak semasa menulis seperti berikut: i. Bentuk huruf ii. iii. iv. v. tidak dapat membentuk huruf dengan betul menulis dari kanan ke kiri menulis abjad dan ayat terbalik menulis dengan tiada ketetapan kecondongan menulis abjad tidak lengkap atau tidak sudah menulis perkataan terbalik ( bapa ---- baqa )

Jarak huruf atau perkataan tidak sesuai; Tulisan menaik atau menurun daripada garisan; Mencampur huruf besar dengan huruf kecil saiz huruf dalam perkataan tidak seragam; Tulisan yang terlalu kabur hingga sukar dibaca.

Apabila guru dapat mengesan masalah tulisan yang dihadapi murid maka tindakan pemulihan perlu dilakukan segera supaya masalah itu tidak berlarutan dan boleh menjejas pencapaian murid berkenaan dalam pelajaran. Latihan Pilih satu masalah tulisan yang dihadapi pelajar dan bincangkan tindakan pemulihan yang boleh dilaksanakan untuk membantu pelajar berkenaan. 7.2.1 Kategori Jenis Kesalahan dalam Tulisan Kanak-kanak menunjukkan berbagai-bagai jenis kesalahan dalam tulisan mekanis terutamanya pada peringkat awal menulis. Namun bagi kanak-kanak bermasalah pembelajaran, kesalahan-kesalahan tulisan ini sukar untuk di pulihkan disebabkan faktor-faktor sampingan lain terutamanya yang mengalami masalah khusus dalam tulisan. Terdapat dua masalah khusus dalam tulisan yang dikenali sebagai Agraphia dan Dysgraphia (Cherry K.H., 1984).

i.

Agraphia Agraphia merujuk kepada masalah tulisan yang dihadapi oleh seseorang dan terdapat dalam dua bentuk, iaitu: a. b. Perolehan (acquired) iaitu kehilangan keupayaan menulis yang telah dikuasai sebelumnya disebabkan oleh kecederaan otak atau penyakit otak; Perkembangan atau (congenital) iaitu kesukaran yang luar biasa untuk mempelajari kemahiran menulis yang tidak selaras dengan pencapaian intelektual dan kemahiran-kemahiran lain seseorang individu.

ii.

Dysgraphia adalah masalah tulisan yang sangat teruk atau ketidakupayaan melaksanakan pergerakan motor yang diperlukan untuk menulis.

Berdasarkan kajian dan pemerhatian terhadap hasil tulisan kanak-kanak, kebanyakan penulis telah mengkategorikan jenis kesalahan tulisan kepada enam kategori berikut: i. ii. iii. iv. v. vi. bentuk huruf jarak kecondongan kualiti garisan saiz huruf dan keselarasan kepantasan

Bentuk huruf merujuk kepada bentuk huruf dan cara huruf itu ditulis. Cherry K.H. (1984) membahagikan bentuk huruf dan cara menulis kepada lima jenis berikut: i. huruf-huruf bulat a. b. Ikut jarum jam (p) lawan jarum jam (a, c, c, o, q)

ii.

huruf-huruf berlengkuk (looped letters) a. di atas garisan (b, d, e, f, h, k, l) b. di bawah garisan (g, j, p, q, y)

iii. iv. v.

huruf-huruf yang diulangi surihannya (retraced letters) (i, u, t, w, y) huruf-huruf bengkok (humped letters) (h, m, n, v,x, z) bentuk-bentuk lain (r, s)

Jarak huruf merujuk kepada cara huruf-huruf diletakkan di dalam perkataan, di antara perkataan, dan di dalam ayat. Jarak huruf-huruf hendaklah ditulis seragam. Contoh kesalahan: Buk u s aya teba l. Bukusaya tebal. Kecondongan huruf juga perlu seragam terutamanya pada tulisan sambung dan tulisan manuskrip. Cara menilai kecondongan yang mudah adalah dengan membuat garis tegak melalui huruf-huruf dalam perkataan, manakala bagi tulisan sambung pula garisannya hendaklah condong. Kualiti garis pula merujuk kepada nipis atau tebal huruf atau huruf-huruf dalam perkataan. Ketebalan juga perlu seragam penulisannya. Kesesuaian saiz huruf merujuk kepada ketinggian dan kelebaran huruf yang sesuai. Manakala keselarasan pula merujuk kepada kepadanan atau hubungan saiz atau ukuran huruf yang baik dalam sesuatu perkataan. Kedua-dua aspek ini saling berkait dan membentuk kesatuan yang harmoni dalam tulisan. Kepantasan menulis merujuk kepada jumlah perkataan yang ditulis dalam masa seminit (psm). Menurut Skala Zaner-Bloser, kadar tulisan kanak-kanak adalah seperti berikut; Gred/tahun 1 Gred 2 Gred 3 Gred 4 Gred 5 Gred 6 Gred 7 25 psm 30 psm 38 psm 45 psm 60 psm 67 psm 74 psm

Latihan Guru dapat mengesan masalah tulisan pelajar melalui pemerhatian. Bincangkan perkara yang menjadi tumpuan guru dalam pemerhatiannya. 7.2.2 Punca Masalah Tulisan Masalah tulisan mekanis yang disebabkan oleh masalah khusus agraphia dan dysgraphia adalah jelas. Manakala punca masalah tulisan mekanis yang lain dapat dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu: (1) aspek fizikal, (2) aspek pembelajaran, dan (3) aspek pengamatan. Punca masalah tulisan daripada aspek fizikal adalah seperti kecacatan otak, kecacatan anggota, kesihatan yang sering terganggu, keadaan fizikal rumah yang kurang merangsang untuk belajar, keadaan tempat belajar yang tidak selesa, dan tiada dorongan daripada ibu bapa, keluarga serta guru. Aspek pembelajaran dapat dilihat dari segi kurang pengalaman dalam menggunakan alat tulis dari masa pra sekolah hingga ke alam persekolahan; kurang latihan dan aktiviti penggalak ketika peringkat kesediaan menulis; tidak cukup latihan motor halus dan koordinasi mata-tangan; alat tulis tidak sesuai; pengajaran guru tidak sejajar dengan perkembangan murid terutama pada peringkat pra menulis; sikap negatif guru terhadap murid yang lemah dalam tulisan; tulisan guru kurang elok untuk dicontohi murid. Punca masalah tulisan yang disebabkan oleh aspek pengamatan dapat dibahagikan kepada tiga iaitu: (1) pengamatan dan masalah pendengaran, (1) pengamatan dan masalah penglihatan, (3) kesukaran memahami konsep, dan (4) kesukaran dalam koordinasi mata-tangan. i. Pengamatan dan kesukaran pendengaran Masalah utama yang berpunca daripada pengamatan pendengaran adalah kelemahan dalam mendiskriminasi bunyi (huruf) seperti b dan d. Masalah ini bukan disebabkan oleh kecacatan yang dialami oleh pelajar. Selain itu, masalah pendengaran yang dihadapi oleh pelajar boleh menyebabkan pelajar melakukan kesilapan menulis perkataan yang disebut atau didengar. Antara kerosakan alat pendengaran adalah: a. b. c. d. pekak konduktif tidak mendengar bunyi yang bernada rendah pekak perseptif tidak mendengar bunyi bernada tinggi pekak konduktif dan perseptif masalah bercampur aduk pekak rekrutmen mendengar bunyi yang kuat sahaja

e. Secretory otitis Media masalah pendengaran yang disebabkan oleh cecair yang menyekat getaran ii. Pengamatan dan masalah penglihatan Jenis kesukaran yang disebabkan oleh pengamatan penglihatan adalah seperti kesukaran mendiskriminasi huruf yang mempunyai ciriciri persamaan bentuk, masalah pembalikan huruf, keliru dengan bentuk huruf atau angka yang bentuknya bertentangan ( contoh: n u, p q, 6 9 ). Manakala masalah penglihatan pula menyebabkan pelajar terpaksa mengagak tulisan yang kurang jelas terutamanya mereka yang mengalami rabun jauh. Antara masalah penglihatan adalah seperti: a. b. c. d. e. iii. hypermetrophia atau rabun jauh myopi atau rabun dekat astigmatisma, iaitu kesukaran melihat objek dengan jelas strabismus, iaitu melihat dengan sebelah mata, dan juling

Kesukaran memahami kosep Masalah yang dihadapi adalah seperti keliru dengan huruf besar dan huruf kecil sehingga mencampur-adukkan huruf besar dan huruf kecil dalam perkataan, dan keliru dengan bentuk abjad atau nombor bercetak dengan tulisan tangan.

iv.

Kesukaran dalam koordinasi mata-tangan Masalah yang berpunca daripada koordinasi mata-tangan adalah seperti tidak dapat menulis atau menyalin huruf dengan betul, bermasalah memegang pensel dengan betul misalnya memegang dengan lima jari atau memegang pensel terlalu dekat dengan mata pensel, dan kesukaran menentukan kedudukan buku/kertas ketika menulis. Sekiranya kedudukan buku terlalu jauh tangan akan meregang, manakala jika buku terlalu dekat kedudukannya, pergelangan tangan akan membengkok ke belakang ketika menulis.

Latihan Bagaimanakah masalah pendengaran boleh mempengaruhi kemahiran menulis seseorang? 7.3 Strategi Intervensi Kemahiran Menulis

Terdapat banyak kaedah yang boleh digunakan untuk mengajar permulaan kemahiran tulisan mekanis dan juga untuk pengajaran pemulihan masalah tulisan. Kaminsky dan Powers (1981) mencadangkan bahawa suatu program pengajaran kemahiran tulisan mekanis hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut: i. ii. iii. iv. v. vi. mengawal ruang tulisan iaitu bergerak dari ruang yang luas kepada ruang yang lebih kecil kelompokkan huruf yang memerlukan pergerakan yang sama; menunjukkan contoh bentuk huruf yang betul dan galakkan pelajar menyurih (tracing) model huruf; sediakan banyak sesi latihan menulis; melibatkan pelajar dalam penilaian kendiri iaitu menggalakkan mereka mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka; dan menerima bahawa tulisan bagi sesetengah pelajar adalah satu proses yang sukar dan memerlukan galakan dan sokongan.

Pengajaran pemulihan menulis untuk kanak-kanak hendaklah dilakukan secara terkawal, iaitu garisan demi garisan mengikut urutan (stroke-by-stroke sequence) dengan bantuan guru. Cara ini akan dapat menghalang pelajar daripada melakukan kesalahan seperti menulis terbalik, tulisan cermin, atau cara menulis huruf yang salah. Guru boleh menggunakan berbagai-bagai cara untuk membantu pelajarnya mengatasi masalah menulis. Sebagai contoh guru boleh mengajar pelajarnya menulis huruf mengikut bentuknya secara terkawal seperti 7 C sekeluarga di bawah (Cherry , 1984).

Selain itu guru juga boleh memperkenalkan enam bentuk garisan yang diperlukan untuk menulis huruf kecil (Cherry, 1984), iaitu:

Urutan garis boleh juga diajar melalui aktiviti melakar seperti berikut:

Mengajar pemulihan tulisan bukanlah perkara mudah kerana pelajar yang mengalami masalah tulisan adalah disebabkan oleh masalah-masalah lain seperti ingatan jangka pendek, pengamatan penglihatan, pengamatan pendengaran, koordinasi mata-tangan, dan lemah otot-otot tangan. Oleh itu aktiviti pengajaran hendaklah mengambil kira masalah-masalah yang dihadapi pelajar dan dilakukan peringkat demi peringkat. Cadangan pengajaran di bawah boleh dilaksanakan untuk pengajaran pemulihan tulisan pelajar. i. ii. iii. Latihan memegang pensel dengan betul. Latihan membuat pergerakan tangan dan jari semasa menulis. Membuat garis-garis lakaran.

iv. v. vi.

Membetulkan cara duduk pelajar semasa menulis. Memperkenalkan tulisan satu-satu (tulisan cap) dan dimulai dengan huruf kecil dahulu, manakala huruf besar diajar secara tidak langsung. Kenal pasti kelemahan pelajar dan berikan latihan koordinasi matatangan seperti menekap, menyalin, melengkapkan, pertalian jarak, menyambung titik, memadankan, mencari jalan keluar, dan sebagainya.

Cadangan aktiviti pengajaran pemulihan yang dinyatakan di atas boleh ditambah lagi mengikut kreativiti guru. Namun begitu, semasa menjalankan aktiviti pemulihan guru perlu memberi perhatian terhadap beberapa perkara penting supaya pengajarannya akan lebih berkesan lagi. Antaranya adalah: i. ii. iii. iv. v. vi. vii. guru perlu mengkaji kesediaan menulis pelajarnya terleblih dahulu; latihan aktiviti menulis hendaklah diperbanyakkan; suasana bilik hendaklah selesa termasuk kedudukan kerusi meja yang sesuai dengan pelajar; bahan untuk menulis seperti kertas, pensel, hendaklah sesuai ; langkah dan urutan membentuk sesuatu huruf hendaklah ditunjukkan kepada pelajar; pelajar jangan digalakkan menggunakan getah pemadam; buku latihan khas hendaklah disediakan untuk pelajar membuat latihan menulis di rumah.

Setelah pelajar sudah boleh menulis, guru sudah boleh memperkenalkan tulisan sambung kepada pelajarnya. Tulisan sambung boleh membantu pelajar daripada melakukan kesalahan menulis kerana tulisan sambung mempunyai urutan garisannya yang tersendiri ketika menulis.

Latihan Apakah yang dimaksudkan dengan tulisan cermin. Bagaimana anda boleh tentukan bahawa sesuatu tulisan itu adalah tulisan cermin? 7.4 Kesimpulan

Kemahiran menulis adalah kemahiran tertinggi yang perlu dikuasai oleh pelajar selain kemahiran lisan dan kemahiran membaca. Kepentingan tulisan adalah jelas kerana tulisan juga merupakan satu bentuk komunikasi penting bagi manusia yang tidak sentiasa dapat berkomunikasi secara bersemuka sepanjang masa. Pengajaran kemahiran menulis kepada kanak-kanak bukanlah perkara mudah kerana menulis melibatkan kognitif, pengamatan, koordinasi matatangan, dan ketekunan. Bagi pelajar yang lemah dalam tulisan guru hendaklah melaksanakan pengajaran pemulihan untuk pelajar tersebut. Setiap kelemahan hendaklah diberi pemulihan dengan cepat supaya pelajar dapat membaiki kelemahan tersebut dengan segera supaya tidak memberi kesan kepada pencapaian dalam pelajaran.

Rumusan 1. 2. Bahasa tulisan adalah satu bentuk komunikasi yang paling tinggi dan kompleks. Tulisan adalah lambang-lambang bunyi yang diwakili oleh perkataanperkataan yang ditulis. Apabila lambang-lambang yang ditulis itu dibaca atau dibunyikan semula, maka barulah wujudnya bahasa melalui tulisan itu Kemahiran menulis secara mekanis menekankan kepada aspek tulisan yang betul, kemas, cantik, dan mudah dibaca. Kemahiran menulis secara mentalis adalah kemahiran menulis untuk pelahiran idea, perasaan, memberi maklumat, bercerita, dan sebagainya. Agraphia dan Dysgraphia adalah dua jenis masalah khusus dalam tulisan. Punca masalah tulisan mekanis yang lain dapat dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu (1) aspek fizikal, (2) aspek pembelajaran, dan (3) aspek pengamatan.

3. 4. 5. 6.

Kata Kunci Agraphia Dysgraphia Pengamatan penglihatan Pengamatan pendengaran Tulisan cermin Rujukan Cherry K.H. (1984). Learning Disabilities: Understanding Concepts, Characteristics, and Issues. New Jersey: Prentice-Hall. Hughes, Mercer, Lenze, dan Hoffman (1991). Students With Learning Disabilities. 4th ed, New York: Macmillan Publishing Company. Kamarudin Hj.Husin,(1988). Malaysia Sdn. Bhd. Pedagogi Bahasa. Petaling Jaya: Longman

You might also like