You are on page 1of 21

ISU DAN CABARAN TERHADAP GURU BERKAITAN DENGAN TEKNOLOGI INSTRUKSIONAL KHAIRUDDIN BIN NISA M20101000240 PENSYARAH : PROF.

MADYA DATO DR. ABD RAHMAN BIN DAUD2 1. Pengenalan Teknologi instruksional pada masa kini sangat mempengaruhi sistem pendidikan negara. Atas kepentingan ini maka isu dan cabaran terhadap guru yang berkaitan teknologi instruksional wajar diperbincangkan dengan teliti. Terdapat enam isu yang akan dihuraikan. Isu pertama, bahan pengajaran menggunakan teknologi instruksional dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Isu kedua, tahap pengetahuan guru dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional. Isu ketiga, sikap positif guru dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional. Isu keempat, kelengkapan kemudahan komputer di sekolah dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional. Isu kelima, sokongan pentadbir sekolah dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional dan isu yang keenam penggunaan teknologi instruksional pada masa depan. Berdasarkan perbincangan enam isu ini akan diperoleh pula enam cabaran utama bagi meningkatkan penggunaan teknologi instruksional di kalangan guru. Cabaran pertama, menggalakkan guru menghasilkan bahan pengajaran berasaskan teknologi instruksional. Cabaran kedua, meningkatkan tahap pengetahuan teknologi instruksional di kalangan guru. Cabaran ketiga, meningkatkan sikap positif di kalangan guru bagi menggunakan teknologi instruksional. Cabaran keempat, kelengkapan dan kemudahan di sekolah akan meningkatkan penggunaan teknologi

instruksional di kalangan guru. Cabaran kelima, peranan pentadbir dalam menggalakkan guru menggunakan teknologi intruksional dan cabaran keenam, persediaan guru menghadapi gelombang teknologi instruksional pada masa depan. Sebelum isu dan cabaran diperbincangkan dengan lebih lanjut, isu berkaitan sejarah, definisi dan perhubungan antara teknologi instruksional dengan teori-teori pembelajaran harus difahami terlebih dahulu agar isu dan cabaran teknologi instruksional yang akan dikupas nanti menjadi lebih jelas. 2. Sejarah dan Definisi Teknologi Instruksional Rekabentuk instruksional mula wujud semasa meletusnya perang dunia ke-2, apabila golongan psikologi membuat kajian dan penyelidikan kaedah yang akan digunakan bagi latihan perkhidmatan ketenteraan. Selepas tamat perang, program 3 latihan ini diteruskan oleh ahli psikologi untuk menyelesaikan masalah instruksional dibidang pendidikan seperti Institut American (Reiser, 2001, p. 58). Kegunaan rekabentuk instruksional terus berkembang di dalam bidang pendidikan sehingga kini. Dalam bidang pendidikan, rekabentuk teknologi instruksional boleh didefinisikan sebagai strategi, kaedah yang sistematik dan teknologi yang digunakan dengan tujuan untuk memudahkan pelajar menguasai objektif yang dikehendaki ( Molenda, Reigeluth, & Nelson, 2003; Yusup Hashim, 2006). 3. Teknologi Instruksional dan Teori-Teori Pembelajaran Setiap teknologi instruksional akan dipengaruhi dengan pelbagai teori-teori pembelajaran, seperti teori pembelajaran behaviorisme, kognitivisme dan konstruktivisme. Menurut Schuman (1996), teori pembelajaran behaviorisme bermaksud perubahan tingkah laku yang telah dilatih berkali-kali supaya tingkah laku tersebut boleh berlaku secara refleksi. Teori pembelajaran kognitivisme pula menganggap pencapaian berlaku apabila penambahan ilmu pengetahuan dapat

mengubah minda seseorang yang juga akan mengubah tingkah lakunya. Manakala teori pembelajaran konstruktivisme pula ialah perubahan yang berlaku melalui pengalaman individu dan memfokuskan kemahiran menyelesaikan pelbagai masalah. Menurut Mergel (1998), terdapat beberapa contoh penggunaan teori pembelajaran behaviorisme ini di dalam rekabentuk instruksional, seperti yang digunakan dalam latihan ketenteraan dan industri. Rekabentuk instruksional bagi latihan ketenteraan dan industri ini akan membahagikan tingkah laku kepada beberapa bahagian utama supaya setiap masalah dapat diatasi dengan tersusun dan berkesan. Contohnya Gagnes dan Briggs model telah membahagikan set latihan kepada lima bahagian utama iaitu (1) tindakan, (2) objektif, (3) situasi, (4) alatan dan kekangan, dan (5) kebolehan untuk belajar. Rekabentuk instruksional yang bersandarkan kepada teori pembelajaran berasaskan konitif pula ialah program SHOLAR yang akan mengajar pelajar tentang geografi Amerika Selatan menggunakan kaedah Socratic dan progarm LOGO yang dapat membantu kanakkanak mempelajari komputer. Manakala contoh rekabentuk instruksional yang dipengaruhi oleh teori pembelajaran konstruktivisme ialah program komputer yang 4 mempunyai hypermedia, dimana akan membolehkan penerokaan maklumat melalui pengalaman berlaku. 4. Isu Terhadap Guru Berkaitan Teknologi Instruksional 4.1 Isu Pertama : Bahan Pengajaran Menggunakan Teknologi Instruksional Dapat Meningkatkan Pencapaian Pelajar Terdapat tiga bahan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan teknologi instruksional akan diketengahkan di dalam penulisan ini. Setiap bahan atau koswer pengajaran dan pembelajaran ini telah dibuktikan melalui kajian dapat meningkatkan pencapaian pelajar berbanding kaedah tradisional.

Bahan pertama dihasilkan oleh Habibah Hj. Lateh dan Arumugam Raman, yang mengkaji koswer Web-Based Map Reading In Geography. Kajian ini telah dilaksanakan pada Disember 2005. Tujuan utama kajian Web-Based Map Reading In Geography adalah untuk mengkaji sama ada penggunaan peta interaktif dapat meningkatkan pencapaian pelajar dari segi membaca peta, mentafsir peta dan memahami konsep geografi berbanding menggunakan peta statik. Terdapat dua kumpulan yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 4 telah dibentuk dalam kajian ini, iaitu kumpulan eksperimen yang akan menggunakan kaedah peta interaktif dalam mempelajari kemahiran peta manakala kumpulan kawalan pula akan menggunakan kaedah peta statik. Peta Interaktif ini berupaya memfokuskan kawasan yang dikehendaki, mampu mengubah hamparan peta secara topografi, tumbuhtumbuhan, sempadan dan dapat mencetak peta. Manakala peta statik hanya mampu memaparkan satu imej sahaja (Habibah dan Arumugam, 2005, pp. 404-407). Dapatan kajian yang diperoleh menunjukkan kumpulan eksperimen yang menggunakan peta interaktif menguasai dari segi latihan berbentuk animasi berbanding kumpulan kawalan yang menggunakan peta statik dari segi kemahiran membaca peta dengan min 2.55 berbanding kumpulan kawalan yang mendapat min 1.95 dan dari segi mentafsir peta, kumpulan eksperimen mendapat min 7.77 berbanding kumpulan kawalan hanya mendapat min 6.35 (Habibah dan Arumugam, 2005, p. 408).5 Bahan kedua dihasilkan oleh Baharuddin Aris, Maizah Hura Ahmad, Kok Boon Shiong, Mohamad Bilal Ali, Jamalludin Harun dan Zaidatun Tasir dari Universiti Teknologi Malaysia pada tahun 2006. Kajian ini dilaksanakan ke atas pelajar Tingkatan 6 yang mengambil Matematik S. Pengkaji cuba membuat perbandingan antara dua kaedah pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pertama mempelajari Matematik S melalui Goal Programming menggunakan multimedia interaktif (IMM).

Kaedah kedua pula mempelajari matematik s melalui Goal Programming melalui kaedah tradisional (Baharuddin Aris, Maizah Hura Ahmad, Kok Boon Shiong, Mohamad Bilal Ali, Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir, 2006, pp. 85-88). Dapatan soal selidik yang menggunakan skala Likert mendapati kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan mendapat min yang tinggi dari segi minat untuk belajar Matematik S menggunakan multimedia interaktif dengan min 3.28 berbanding menggunakan buku teks dengan min 2.45. Pelajar juga menganggap belajar Matematik S menggunakan multimedia interaktif lebih berkesan dengan min 3.73 berbanding menggunakan buku teks dengan min 2.33 sahaja (Baharuddin et al., 2006, pp. 89-94). Bahan ketiga dihasilkan oleh Ahmad Fauzi Mohd Ayub, Tengku Mohd Tengku Sembok dan Wong Su Luan dari Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengkaji keberkesanan pembelajaran kalkulus menggunakan koswer Mastering Calculus Computer Courseware (MACCC) berbanding kaedah tradisional. Kajian ini telah dijalankan pada tahun 2008 dengan melibatkan pelajar diploma. Pembina koswer MACCC telah mengkategorikan koswer ini berasaskan pembelajaran masteri kerana berupaya menjadikan pelajar menguasai (masteri) dalam topik yang belum dipelajarinya dengan berkesan. Sila rujuk rajah 1 di bawah, bagi melihat Rajah Aliran Modul MACCC. Rajah 1 : Rajah Aliran Modul MACCC (Sumber : Ahmad Fauzi, Tengku Mohd dan Wong, 2008, p. 6) MACCC Module Introduction module

Diagnostic module Reinforcement module Objective Explanation Examples Evaluation Enrichment module Games6 Hasil dapatan kajian ini mendapati pencapaian pelajar yang menggunakan koswer MACCC mendapat nilai min yang lebih tinggi iaitu 57.74 berbanding pencapaian pelajar yang menggunakan kaedah tradisional dengan hanya mendapat min 30.64. Penggunaan koswer MACCC yang lebih mengutamakan pembelajaran masteri iaitu melibatkan ekplorasi pelajar seperti bermain sambil belajar telah menyebabkan penggunaan koswer MACCC mencapai keputusan jauh lebih baik berbanding kaedah tradisional. Selain itu juga koswer MACCC mempunyai modul bagi membuat diagnostik terhadap pelajar. Kebolehan pelajar akan dianalisis dengan cepat berbanding diagnostik cara tradisional yang akan mengambil masa yang lama. Malahan apabila kelemahan pelajar telah dikesan, koswer ini akan menentukan pelajar membuat latihan pengukuhan di modul pengukuhan. Apabila pencapaian pelajar semakin meningkat, pelajar boleh ke bahagian modul pengayaan dalam bentuk permainan atau games (Ahmad Fauzi, Tengku Mohd dan Wong, 2008, pp. 1-8). Contoh print screen MACCC boleh dilihat pada lampiran 1. Dapatan kajian daripada tiga bahan yang berasaskan teknologi instruksional ini jelas dapat membuktikan bahawa pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer dapat meningkatkan pencapaian pelajar berbanding cara pembelajaran kaedah tradisonal.

4.2 Isu Kedua : Tahap Pengetahuan Guru Dapat Meningkatkan Penggunaan Teknologi Instruksional Tahap pengetahuan guru sememangnya boleh mempengaruhi penggunaan teknologi instruksional. Buktinya satu kajian kes telah dijalankan oleh Abdul Wahab Ismail Gani, Kamaliah Hj. Siarap dan Hasrina Mustafa daripada Universiti Sains Malaysia pada tahun 2006. Tujuan utama kajian ini bagi mengkaji penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru sekolah menengah yang melibatkan seramai 184 guru-guru di Pulau Pinang (Abdul Wahab, Kamaliah dan Hasrina, 2006, pp. 203-204). Dapatan daripada kajian ini mendapati terdapat perhubungan yang signifikan antara pengetahuan dan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di mana nilai r = 0.534 dan p = 0.001 (Abdul wahab et al., 2006, p. 218). Melalui keputusan ini dapatlah disimpulkan bahawa semakin meningkat ilmu 7 pengetahuan komputer guru, akan meningkatkan juga penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran guru. Bukti berikutnya melalui jurnal yang dihasilkan oleh Habibah Lateh dan Vasugiammai Muniandy dari Universiti Sains Malaysia pada tahun 2011 berkenaan cabaran dan potensi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dalam pendidikan di Malaysia. Mereka telah menganalisis dua puluh artikel iaitu, melibatkan sepuluh artikel dari dalam negara dan sepuluh artikel dari luar negara. Dua puluh artikel ini dianalisis secara SWOT iaitu dilihat dari sudut kekuatan, peluang, kelemahan dan ancaman. Dapatan melalui analisis secara SWOT ini mendapati kekuatan penggunaan GIS dipengaruhi oleh pengetahuan komputer yang tinggi di kalangan guru dan kelemahan penggunaan GIS pula adalah berpunca kurang pengetahuan GIS di kalangan guru (Habibah dan Vasugiammai, 2011, pp. 42-50).

Melalui dua kajian ini telah dapat menjelaskan bahawa peningkatan penggunaan teknologi instruksional sangat bergantung kepada tahap ilmu pengetahuan yang dimiliki guru. 4.3 Isu Ketiga : Sikap Positif Guru Dapat Meningkatkan Penggunaan Teknologi Instruksional Melalui isu ketiga ini akan melihat sejauh manakah sikap positif guru dapat meningkatkan penggunaan teknologi intruksional dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Bukti akan diambil dari kajian yang oleh Abdul Wahab Ismail Gani, Kamaliah Hj. Siarap dan Hasrina Mustafa ke atas 184 guru di Pulau Pinang. Hasil kajian ini mendapati terdapat perhubungan yang signifikan antara sikap dan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di mana nilai r = 0.4333 dan p = 0.0001. Maka dapatlah disimpulkan di sini sikap positif guru dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional dalam pengajaran dan pembelajaran (Abdul wahab et al., 2006, p. 218). 4.4 Isu Keempat : Kelengkapan Kemudahan Komputer Di Sekolah Dapat Meningkatkan Penggunaan Teknologi Instruksional Berdasarkan jurnal yang dibuat oleh Habibah Lateh dan Vasugiammai Muniandy mengenai cabaran dan potensi Sistem Maklumat Geografi (GIS) dalam 8 pendidikan di Malaysia telah mendapati kekuatan bagi menggalakkan penggunaan GIS di sekolah sangat dipengaruhi oleh kemudahan makmal komputer yang lengkap, bilangan komputer yang semakin meningkat di sekolah-sekolah dan teknologi VSAT iaitu kemudahan internet di kawasan pendalaman (Habibah dan Vasugiammai, 2011, p. 50). Manakala kajian yang dibuat oleh Abdul Wahab Ismail Gani, Kamaliah Hj. Siarap dan Hasrina Mustafa ke atas 184 guru di Pulau Pinang juga mendapati faktor

utama yang mendorong guru tidak menggunakan komputer ialah disebabkan oleh faktor kemudahan yang tidak mencukupi dengan mendapat peratus tertinggi sebanyak 28.6% berbanding faktor-faktor lain (Abdul wahab et al., 2006, p. 215). Hasil daripada maklumat ini maka dapatlah dirumuskan bahawa kemudahan teknologi seperti makmal komputer, bilangan komputer, internet dan LCD yang ada di sekolah sangat mempengaruhi aras penggunaan teknologi instruksional di kalangan guru. 4.5 Isu Kelima : Sokongan Pentadbir Sekolah Dapat Meningkatkan Penggunaan Teknologi Instruksional Perbincangan seterusnya ialah untuk melihat pengaruh sokongan pentadbir sekolah dalam meningkatkan penggunaan teknologi instruksional. Berdasarkan kajian oleh Abdul Wahab Ismail Gani, Kamaliah Hj. Siarap dan Hasrina Mustafa ke atas 184 guru di Pulau Pinang juga mendapati terdapat perhubungan yang signifikan antara sokongan organisasi dan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran, di mana nilai r = 0.463 dan p = 0.001. Melalui keputusan ini dapat disimpulkan bahawa melalui sokongan positif daripada pihak pentadbir dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional di kalangan guru-guru lain (Abdul wahab et al., 2006, p. 215). Malahan berdasarkan jurnal yang dibuat oleh Habibah Lateh dan Vasugiammai Muniandy juga mendapati bahawa peluang bagi meningkatkan penggunaan GIS di sekolah sangat dipengaruhi oleh sokongan pentadbir sekolah pendalaman (Habibah dan Vasugiammai, 2011, p. 50). Jelasnya di sini, sokongan pentadbir sekolah amat berpengaruh dalam menjayakan penggunaan teknologi instruksional di sekolah.9 4.6 Isu Keenam : Penggunaan Teknologi Instruksional Pada Masa Depan

Pada masa akan datang teknologi instruksional akan mendominasi bukan sahaja bidang pendidikan, malahan akan turut mempengaruhi sektor perdagangan dan industri. Perubahan dunia yang mahukan segalanya cepat dan mudah sangat memerlukan penggunaan teknologi instruksional yang efisien. Malahan menurut Merrill dan Wilson (2007, p. 336) di universiti tempatnya bekerja mengambil profesor kimia bukan berdasarkan pengalamannya bekerja atau ilmu pedagogi yang dimilikinya tetapi sebaliknya mengambil profesor kimia itu berkerja berdasarkan bagaimana cara mengajar dan mereka bentuk teknologi instruksional tentang apa yang hendak diajar. Satu perbandingan dapat dibuat di sini, manakah yang lebih penting pedagogi atau teknologi instruksional? Mungkin di Malaysia jawapannya pedagogi lebih penting. Tetapi negara maju telah mula menganggap bahawa teknologi instruksional lebih penting. Satu lagi contoh yang dapat menunjukkan bahawa teknologi instruksional menjadi lebih penting berbanding pedagogi ialah melalui telefon bimbit. Adakah syarikat telefon bimbit mengambil kira pedagogi supaya pelanggannya memahami penggunaan telefon bimbitnya atau lebih mengutamakan kaedah teknologi instruksional supaya pelanggannya dapat memahami penggunaan telefon bimbit dengan lebih cepat? Malahan jika benar teknologi instruksional menjadi lebih penting berbanding pedagogi, maka pada masa akan datang peranan guru lebih kepada menghasilkan bahan teknologi instruksional berbanding mengajar di kelas. Teknologi instruksional pada masa depan juga akan dipengaruhi oleh permainan games dan simulasi. Keadaan ini dibuktikan dengan perkembangannya perniagaan yang melibatkan permainan atau games ini sejak dua puluh tahun yang lalu (Merrill dan Wilson, 2007, p. 345). Maksudnya pada masa depan teknologi instruksional yang melibatkan permainan dan simulasi akan menjadi lebih utama

berbanding teknologi instruksional yang berunsurkan kognitif atau kuiz. Terdapat juga kajian yang dilakukan oleh Yu Tzu Chiang, Dr. Sunny S.J. Lin, Chao Yang Cheng dan Dr. Eric Zhi Feng Liu dari National Chiao Tung Universiti dan National Central Universiti telah dapat membuktikan bahawa melalui permainan atau games sama ada permainan yang berunsurkan keganasan atau permainan yang tidak melibatkan keganasan tetap akan mendapat pengalaman terus yang akan memberi kesan positif dari segi pemahaman pemain (Yu, Lin, Chao, dan Zhi, 2011, p. 112). 10 Melalui kelebihan pengalaman terus ini akan memberi kesan positif terhadap psikologi pelajar dan secara tidak langsung pelajar dapat menguasai topik dengan lebih baik dan lebih berkesan. Teknologi instruksional pada masa depan juga akan menjadi lebih saintifik. Menurut Merrill dan Wilson (2007, p. 338) Teknologi instruksional akan menjadi lebih saintifik kerana melibatkan kajian, teori dan hipotesis. Melalui pendapat ini dapat dibuat andaian bahawa guru-guru pada masa depan bukan sahaja perlu menghasilkan bahan pembelajaran dan pengajaran berasaskan teknologi instruksional, malahan bahan tersebut perlu dibuat kajian saintifik supaya dapat dibuktikan keberkesanannya. 5. Cabaran Bagi Meningkatkan Penggunaan Teknologi Instruksional Di Kalangan Guru. Cabaran ini akan diperbincangkan berdasarkan enam isu utama yang telah dihuraikan. Mudahnya setiap isu yang dikaji ini mempunyai cabarannya yang tersendiri dan jika setiap cabaran di dalam isu ini dapat ditangani dan diuruskan dengan baik, maka akan meningkatkan pula penggunaan teknologi instruksional di kalangan guru. 5.1 Cabaran Pertama : Menggalakkan Guru Menghasilkan Bahan Pengajaran

Berasaskan Teknologi Instruksional Melalui isu pertama yang dibincangkan telah dapat dibuktikan bahawa penggunaan teknologi instruksional di dalam proses pembelajaran dan pengajaran dapat meningkatkan pencapaian pelajar berbanding menggunakan kaedah tradisional. Cabaranya pula ialah apakah langkah-langkah yang boleh diambil bagi menggalakkan guru menghasilkan bahan pengajaran berasaskan teknologi instruksional? Terdapat dua langkah yang dicadangkan bagi meningkatkan penghasilan bahan pengajaran berasaskan teknologi instruksional ini. Cadangan pertama, membuat pemilihan kajian tindakan berdasarkan bahan pengajaran teknologi instruksional terbaik di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Melalui pemilihan ini setiap sekolah perlu menghantar satu bahan 11 pengajaran atau koswer yang berasaskan teknologi intrusksional bagi pemilihan di peringkat daerah. Bahan pengajaran yang terbaik akan dipertandingkan diperingkat negeri dan seterusnya di peringkat kebangsaan. Sepuluh bahan terbaik diperingkat kebangsaan akan dikumpulkan melalui CD dan disebarkan diseluruh negara. Cadangan kedua, memberi guru modal khas dan masa bagi menjalankan kajian bahan yang telah terpilih diperingkat kebangsaan. Contohnya pihak kementerian memilih dua bahan terbaik untuk dikaji secara lebih mendalam dan terancang dari segi hasil dapatan kajian. Kajian yang telah dibuktikan melalui ujian terperinci berkemungkinan boleh menjadi sumber asas bahan pengajaran untuk guru-guru lain dan berkemungkinan dapat menjimatkan kos kementerian pelajaran jika didapati koswer yang berasaskan teknologi instruksional tersebut telah terbukti dapat menggantikan buku teks. 5.2 Cabaran Kedua : Meningkatkan Tahap Pengetahuan Teknologi Instruksional Di Kalangan Guru

Hasil dapatan daripada isu yang kedua, jelas menunjukkan peningkatan ilmu pengetahuan guru tentang komputer juga akan meningkatkan penggunaan teknologi instruksional di kalangan guru. Cabaran bagi isu ini ialah bagaimana untuk meningkatkan tahap pengetahuan guru dalam bidang komputer? Saya mencadangkan dua langkah bagi menjawab persoalan ini. Langkah pertama ialah mewajibkan bakal guru di universiti mengambil dua atau tiga kertas berkaitan komputer sebagai subjek teras. Tujuan utamanya supaya setiap bakal guru mempunyai kepakaran ilmu yang khusus dalam bidang komputer sebagai persediaan menjadi guru. Contoh kursus komputer yang boleh diketengahkan di universiti seperti multimedia, animasi, pengaturcaraan permainan komputer, dan sistem maklumat geografi (GIS) Langkah kedua pula dengan mengutamakan kursus latihan dalam perkhidmatan (LADAP) yang berkaitan teknologi instruksional. Melalui kursus ini guru-guru di sekolah boleh mempelajari program-program tertentu yang bertujuan untuk menghasilkan bahan pengajaran. Antara contoh program yang boleh dipelajari guru dalam menghasilkan bahan pengajaran seperti Flash dan Dreamweaver. Tambahan ilmu pengetahuan ini akan menjana semangat guru menggunakan teknologi instruksional.12 5.3 Cabaran Ketiga : Meningkatkan Sikap Positif Di Kalangan Guru Bagi Menggunakan Teknologi Instruksional Sikap yang positif di kalangan guru juga telah dibuktikan dapat meningkatkan penggunaan teknologi instruksional di dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Cabaran di sini ialah bagaimana dapat mewujudkan sikap positif di kalangan guru ini? Sikap positif di kalangan guru tentang keperluan penggunaan teknologi instruksional ini perlulah dibentuk untuk jangka panjang dan bukannya dalam bentuk

jangka pendek. Sikap positif jangka panjang ini dapat dibentuk jika guru tersebut mempunyai mempunyai motivasi intrinsik iaitu motivasi yang terbit dari dalam diri dan bukannya motivasi ekstrinsik iaitu contohnya seseorang itu bermotivasi kerana faktor luaran seperti mendapat anugerah atau kenaikan gaji (Ryan dan Deci, 2000, pp. 54-67). Contohnya guru tersebut bermotivasi apabila mendapat anugerah kerana berjaya menghasilkan bahan pengajaran berasaskan teknologi yang menarik. Pada pandangan saya sikap positif jangka panjang guru ini hanya dapat dibentuk jika guru tersebut mempunyai motivasi intrinsik. Persoalannya di sini bagaimana untuk membentuk sikap positif jangka panjang hasil daripada motivasi intrinsik? Cadangan saya bagi mewujudkan sikap positif jangka panjang guru terhadap teknologi instruksional ini dengan menyedarkan guru-guru tersebut betapa pentingnya penggunaan teknologi ini dengan menerangkan atau lebih baik membuat lawatan ke sekolah-sekolah malahan ke negara-negara yang telah berjaya melaksanakan teknologi instruksional ini. 5.4 Cabaran Keempat : Kelengkapan dan Kemudahan Di Sekolah Akan Meningkatkan Penggunaan Teknologi Instruksional Di Kalangan Guru Juga telah dibuktikan melalui isu yang keempat bahawa kelengkapan dan kemudahan di sekolah akan meningkatkan penggunaan teknologi instruksional di kalangan guru. Cabarannya ialah bagaimana untuk melengkapkan kemudahan komputer yang terkini di sekolah? Kementerian pelajaran sebenarnya telah pun menyediakan keperluan-keperluan asas ini di setiap sekolah seperti membina makmal komputer, membekalkan komputer, LCD, kemudahan internet dan koswerkoswer yang mengaplikasikan teknologi instruksional. Perkara yang menjadi 13 masalah di sini ialah kelengkapan dan dari segi komputer dan peralatan terkini atau membaik pulih komputer yang rosak. Bagi mengatasi masalah ini, pihak sekolah

hendaklah mempunyai inisiatif dengan mendapatkan bantuan daripada pihak PIBG atau pun membuat hari tertentu, seperti hari kantin dan jogathon bagi mendapatkan dana bagi melengkapkan sekolah dengan kemudahan teknologi yang terkini. Guru sendiri juga hendaklah mempunyai peranan dan rasa bertanggungjawab untuk menyediakan keperluan ini tanpa menunggu bantuan daripada pihak lain. Contohnya membeli sendiri komputer riba dan menggunakannya di dalam proses pembelajaran dan pengajaran. 5.5 Cabaran Kelima : Peranan Pentadbir Dalam Menggalakkan Guru Menggunakan Teknologi Intruksional. Memang tidak dapat dinafikan peranan pentadbir dalam menggalakkan guru menggunakan teknologi intruksional ini. Perkara ini juga telah dibuktikan melalui perbincangan isu yang kelima. Cabarannya ialah apakah peranan pentadbir yang boleh dilakukan bagi menggalakkan guru menggunakan teknologi instruksional ini? Antara langkah biasa yang boleh dilakukan oleh pihak pentadbir sekolah dengan memberi anugerah kepada guru-guru yang aktif menghasilkan bahan-bahan teknologi instruksional. Namun itu hanya merupakan motivasi yang bersifat ekstrinsik. Cadangan saya ialah pihak pentadbir menggunakan sebahagian besar pengurusan dan pentadbiran sekolah menggunakan teknologi. Contohnya sekolah mempunyai laman web sendiri dan melalui web tersebut juga disediakan ruangan blog bagi guru-guru di sekolah tersebut. Maklumat-maklumat tertentu seperti minit mesyuarat, bahan-bahan pengajaran, bank soalan, markah pelajar hendaklah boleh diakses melalui laman web ini. Jika perkara ini berjaya dilaksanakan, maka akan membudayakan penggunaan teknologi intruksional di kalangan guru. 5.6 Cabaran Keenam : Persediaan Guru Menghadapi Gelombang Teknologi

Instruksional Pada Masa Depan Berdasarkan isu yang keenam iaitu penggunaan teknologi instruksional pada masa depan ini maka tiga andaian dapat buat, pertama pada masa depan 14 kemahiran guru lebih kepada rekabentuk teknologi instruksional berbanding pedagogi, kedua guru mesti bersedia mempunyai kemahiran menghasilkan bahan pembelajaran dan pengajaran teknologi instruksional yang berunsurkan permainan atau games dan yang ketiga pada masa depan bahagian penyelidikan dan pembangunan teknologi instruksional menjadi lebih utama berbanding bahagian peperiksaan. Jelasnya di sini persediaan guru menghadapi gelombang teknologi instruksional pada masa depan akan bersandar kepada tiga andaian ini. Bagi menghadapi gelombang ini maka sangat perlu di maktab-maktab perguruan atau di universiti-universiti menyediakan kurikulum yang dapat melahirkan golongan pendidik berkemahiran dalam rekabentuk instruksional. Kemahiran bakal guru-guru ini dalam bidang rekabentuk instruksional hendaklah juga meliputi kemahiran seperti menghasilkan bahan grafik, animasi dan mahir dalam bahasa pengaturcaraan komputer supaya dapat menggabungkan elemen grafik, animasi dan bahasa pengaturcaraan menjadi permainan atau simulasi yang menarik. Sudah pastinya jika mahu bersedia menghadapi gelombang teknologi instruksional pada masa depan, adalah sangat perlu kurikulum bagi melahirkan guru-guru pada masa depan lebih mengutamakan ilmu teknologi instruksional berbanding pedagogi. Lebih tepat lagi revolusi ke atas perubahan kurikulum bagi menghasilkan guru-guru ini perlu dilakukan sekarang. Pada masa sekarang unit peperiksaan merupakan bahagian yang sangat penting di sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan di Kementerian. Saya berpendapat pada masa depan bahagian penyelidikan dan

pembangunan teknologi instruksional akan menjadi lebih penting berbanding bahagian analisis peperiksaan. Perbandingan boleh dibuat antara tingkah laku pelajar selepas teknologi instruksonal dijalankan dan tingkah laku pelajar selepas peperiksaan dijalankan. Adakah pelajar yang telah lulus peperiksaan dengan cemerlang boleh mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dengan berkesan? Atau adakah pelajar yang tidak mendapat keputusan peperiksaan yang baik tetapi kemudiannya menggunakan koswer yang mempunyai teknologi instruksional simulasi serta dapat mengaplikasikan ilmu dengan lebih berkesan? Satu contoh yang mungkin dapat membuktikan penyataan hipotesis ini ialah dalam latihan penerbangan. Adakah juruterbang itu boleh membuat penerbangan dengan hanya mendapat keputusan yang cemerlang di atas kertas? Atau peluang diberikan kepada 15 mereka yang tidak pernah mempelajari teori penerbangan tetapi terus membuat latihan simulasi penerbangan, mampu untuk menerbangkan pesawat. Telah banyak kajian yang membuktikan bahawa teknologi instruksional ini dapat meningkatkan pencapaian berbanding kaedah tradisional. Apabila teknologi instruksional ini terbukti mampu menghasilkan pencapaian dengan lebih cepat dan lebih berkesan maka adalah tidak mustahil penyelidikan dan pembangunan teknologi instruksional akan lebih diutamakan berbanding pada masa sekarang yang terlalu berorientasikan peperiksaan. 6. Kesimpulan Melalui enam isu dan enam cabaran berkenaan guru dalam menggunakan teknologi instruksional di sekolah ini dapatlah disimpulkan pula lapan cadangan bagi merealisasikan hasrat membudayakan penggunaan teknologi instruksional dalam proses pembelajaran dan pengajaran. 1. Membuat pemilihan kajian tindakan berdasarkan bahan pengajaran teknologi

instruksional di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. 2. Bahan terbaik diperingkat kebangsaan akan dikumpulkan melalui CD dan disebarkan diseluruh negara. 3. Mewajibkan bakal guru di universiti mengambil dua atau tiga kertas berkaitan komputer sebagai subjek teras. 4. Mengutamakan kursus latihan dalam perkhidmatan (LADAP) yang berkaitan teknologi instruksional. 5. Mewujudkan sikap positif jangka panjang guru terhadap teknologi instruksional melalui motivasi intrinsik. 6. Guru sendiri hendaklah berperanan dan rasa bertanggungjawab untuk menyediakan keperluan teknologi instruksional. 7. Pentadbir menggunakan sebahagian besar pengurusan dan pentadbiran sekolah menggunakan teknologi maklumat. 8. Kurikulum bagi melahirkan guru hendaklah lebih mengutamakan teknologi instruksional berbanding pedagogi.16 Cuba kita bayangkan pada masa depan pelajar mempelajari rujukan grid melalui teknologi instruksional virtual. Melalui teknologi 3D ini pelajar akan diberikan situasi dan gambaran telah sesat di dalam hutan. Pelajar akan dibekalkan kompas dan peta bagi mencari petempatan berhampiran bagi mendapatkan pertolongan. Sepanjang perjalanan pelajar perlu memilih jalan betul untuk menuju ke arah petempatan tersebut. Jika pelajar tersesat akan menyebabkan bekalan makanan mereka semakin habis dan tenaga mereka semakin lemah. Malahan pelajar mungkin berjumpa binatang buas atau makhluk yang ganas jika tersalah memilih jalan. Pelajar yang tidak berjaya melepasi halangan tahap 1 akan mengulangi semula tahap tersebut. Pelajar yang berjaya pula akan dibenarkan mengharungi

halangan yang lebih mencabar dan mendebarkan. Contoh di atas dapat menggambarkan pembelajaran rujukan grid pada masa depan. Persoalannya di sini, apakah perbezaan pencapaian menggunakan teknologi instruksional virtual ini berbanding penggunaan buku teks pada masa sekarang. Melalui perbandingan ini juga jelas dapat menunjukkan terdapat perbezaan antara teori pembelajaran kognitivisme dan konstruktivisme, di mana pembelajaran yang berasaskan konstruktivisme iaitu yang melibatkan pengalaman pelajar berkemungkinan akan mencapai keputusan yang lebih baik berbanding pembelajaran yang hanya memfokuskan pengetahuan pelajar. Dapat juga dirumuskan di sini bahawa pembelajaran berasaskan konstruktivisme akan mendominasi kaedah-kaedah pengajaran pada masa depan. Penekanan yang serius terhadap teknologi instruksional dalam proses pembelajaran dan pengajaran ini perlu dilakukan. Jika perkara ini dipandang ringan kita akan ketinggalan jauh dari segi pendidikan berbanding negara-negara lain. Memang tidak dapat dinafikan penggunaan teknologi instruksional dapat menjadikan pelajar memahami sesuatu topik dengan lebih cepat dan menghasilkan pencapaian yang lebih baik. Malahan pada masa hadapan apabila teknologi 3D dan virtual semakin berkembang iaitu melibatkan deria penglihatan, bunyi, rasa, bau, dan sentuhan akan menyebabkan berlakunya revolusi dalam pendidikan. Pada era tersebut, sudah tentunya penggunaan buku teks menjadi tidak lagi releven dan pastinya semua guru di Malaysia harus bersedia ke arah itu.17 Rujukan Abdul Wahab Ismail Gani., Kamaliah Hj. Siarap., & Hasrina Mustafa. (2006). Penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan guru sekolah menengah : Satu kajian kes di Pulau Pinang. Diperoleh pada 14

Februari 2011, sumber dari http://web.usm.my/km/24-06/KM ART 11.pdf Ahmad Fauzi., Tengku Mohd., & Wong, S. L. (2008). Teaching and learning calculus using computer. Diperoleh pada 04 Februari 2011, sumber dari http://latcm. mathandtech.org/EP2008/papers_full/2412008_15028.pdf Baharuddin Aris., Maizah Hura Ahmad., Kok Boon Shiong., Mohamad Bilal Ali., Jamalludin Harun., & Zaidatun Tasir. (2006). Learning goal programming using an interactive multimedia courseware: design factors and students preferences. Diperoleh pada 7 Januari 2011, sumber dari http://eprints.utm.my/8165/1/8165.pdf Habibah Hj. Lateh., & Arumugam Raman. (2005). Web-based map reading in Geography. Diperoleh pada 10 Januari 2011, sumber dari http://pppjj.usm. my/mojit/articles/pdf/Dec05/12- A_STUDY_ON_THE_USE_OF_ INTERACTIVE_WEB_BASED_1-final.pdf Yu, T. C., Lin, S. S. J., Chao, Y. C., & Zhi, E. F. L. (2011). Exploring online game players flow experiences and positive affect. Diperoleh pada 20 Februari 2011, sumber dari http://www.tojet.net/articles/10111.pdf Habibah Hj. Lateh., & Vasugiammai Muniandy. (2011). GIS dalam pendidikan geografi di Malaysia : Cabaran dan potensi. Diperoleh pada 14 Februari 2011, sumber dari http://pkukmweb.ukm.my/geografia/images/upload/4.2011-1habibah lateh-melayu-4.pdf18 Mergel, B. (1998). Instructional design & learning theory. Diperoleh pada 8 Januari 2011, sumber dari http://www.usask.ca/education/coursework/802papers/ mergel/mergel.pdf Merrill, M. D., & Wilson, B. (2007). The future of instructional design (point/counterpoint). Di dalam R. A. Reiser & J. V. Dempsey (Eds.), Trends

and issues in instructional design and technology (pp. 335 - 351). New Jersey: Pearson Prentice Hall. Molenda, M., Reigeluth, C. M., & Nelson, L. M. (2003). Instructional design. Diperoleh pada 4 Januari 2011, sumber dari http://mizanis.net/edu3105/ artikel/ID_CogSci.pdf Reiser, A. R. (2001). A history of instructional design and technology : Part II : A History of instructional design. Diperoleh pada 6 Januari 2011, sumber dari http://www.aect.org/pdf/etr&d/4902/4902-04.pdf Ryan, M.R. & Deci, E.L. (2000). Intrinsic and extrinsic motivations : Classic definitions and new directions. Diperoleh pada 18 Februari 2011, sumber dari http://www.psych.rochester.edu/SDT/documents/2000_RyanDeci_Int ExtDefs.pdf Schuman, L. (1996). Perspectives on instruction. Diperoleh pada 12 Januari 2011, sumber dari http://edweb.sdsu.edu/courses/edtec540/Perspectives/ Perspectives.html Yusup Hashim. (2006). Penggunaan teknologi instruksional dalam kurikulum dan instruksi. Diperoleh pada 7 Januari 2011, sumber dari http://yusuphashim. blogspot.com/2006/12/penggunaan-teknologi-instruksional.html19 Lampiran 1: Print screen MACCC Contoh modul ujian diagnostik MACCC Contoh modul pengayaan MACCC Contoh modul pengukuhan MACCC20 Lampiran 2: Print screen PowerPoint21

You might also like