You are on page 1of 8

1.

PENDAHULUAN

Program Bina Insan Guru (BIG) merupakan antara elemen yang wajib dilaksanakan oleh semua guru pelatih. Bagi guru pelatih Semester 1 Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan ambilan Januari 2011, program BIG Fasa 1 yang dijalani terbahagi kepada dua siri. Siri pertama dijalankan pada 24 hingga 27 Januari 2011 manakala siri kedua pula dilaksanakan pada 7 hingga 10 Februari. Kedua-dua siri berlangsung di tempat yang sama iaitu di Kem Tasik Biru, Chinchin, Melaka yang terletak dalam daerah Jasin. Walaupun dijalankan di lokasi yang sama, namun keadaanya adalah berbeza kerana perlaksanaan siri kedua adalah selepas kejadian banjir. Maka, kondisinya adalah lebih basah dan lembab terutamanya apabila melibatkan trek untuk aktiviti kembara. Objektif utama program BIG antaranya adalah untuk membentuk jadi diri sebagai insan dan guru yang berakhlak mulia, mengamalkan semangat berpasukan dan hidup sepakat serta berusaha membina ketahanan mental dan fizikal selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, semua peserta juga telah berikrar untuk sentiasa menjunjung dan mengamalkan Falsafah Pendidikan Guru, pengurusan berkualiti dan Kod Etika Profesion Perguruan ke arah memperkasakan profesion perguruan. Program BIG bukan sahaja melibatkan tugasan sewaktu berlangsungnya program di Kem Tasik Biru. Sebenarnya tugasan program ini bermula seawal fasa perancangan iaitu penyediaan kertas kerja, penubuhan jawatankuasa induk dan agihan tugasan sebelum bertolak ke lokasi program. Peserta bagi setiap siri diagihkan kepada 5 kumpulan yang kesemuanya berada di bawah kendalian seorang ketua iaitu Penyelaras. Setiap kumpulan memegang tugasan dalam organisasi induk dengan ketua kumpulan sebagai ketua AJK dan dalam masa yang sama, setiap anggota kumpulan mempunyai tugasan masing-masing mengikut unit.

Fasa perancangan program Bina Insan Guru (BIG) merupakan satu-satunya elemen dalam program ini yang mendedahkan pengalaman sebenar kepada para peserta tentang kaedah untuk merancang dan melaksanakan program perkhemahan. Walau bagaimanapun, guru pelatih banyak dibantu oleh pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP). Tidak sampai 80 peratus daripada fasa ini dilaksanakan oleh peserta sendiri. Semasa taklimat pertama yang dijalankan oleh pegawai dan pensyarah JHEP di BISA pada 13 Januari yang lalu, peserta telah diberikan taklimat serba ringkas dan kemudiannya menerima brochure yang siap tertulis lokasi, tarikh, jadual program dan senarai ahli kumpulan. Saya melihat situasi ini sebagai satu kerugian bagi peserta. Kami tidak diberi kebebasan untuk merancang hatta memilih lokasi perkhemahan sekalipun. Segalanya sudah siap dirancang oleh pegawai JHEP. Semasa Majlis Pelancaran Program Bina Insan Guru Fasa 1 Siri 2 di Kompleks Sukan Puteri Gunung Ledang, Tuan Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu telah menyerahkan sebiji Telur Amanah kepada setiap kumpulan. Beliau mengibaratkan telur tersebut sebagai amanah yang perlu kami hargai dan jaga dengan sebaiknya. Sedia maklum tentang kerapuhan kulit telur, saya melihat telur tersebut sebagai satu kekuatan yang akan membina semangat kerjasama antara ahli kumpulan dan dalam masa yang sama menjaga sensitiviti yang berlu sentiasa dititik beratkan. Mengambil iktibar daripada pengalaman yang lepas, saya pernah menyertai program perkhemahan yang turut membekalkan setiap kumpulan dengan sebiji telur. Ada juga program yang memilih belon nipis berisi air. Saya yakin, tidak kurang cabarannya jika telur digantikan dengan belon nipis berisi air. Saya melihat kekuatan program ini pada pembinaan semangat kerjasama antara peserta. Sebelum bertolak ke lokasi perkhemahan, semua peralatan perlu dimuatkan ke dalam bas. Begitu juga selepas tamat program apabila semua peralatan perlu dipulangkan semula ke Stor BIG. Rantaian manusia yang dibina untuk mengangkut peralatan dari lori ke stor menjadikan kerja yang pada awalnya sekali pandang kelihatan berat akhirnya menjadi begitu ringan walaupun hakikatnya setiap orang merasa berat setiap barang. Benarlah kata orang tua-tua, Sepakat membawa berkat. Setibanya di lokasi, kami lantas menyelesaikan kerja-kerja mengangkut barang persendirian dan peralatan. Namun, selepas itu kami seakan hilang arah apabila berasa
2

bagaikan tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Selepas beberapa minit, barulah penyelaras kami menunjukkan tempat sebenar tapak perkhemahan kami. Sekali lagi barangbarang diangkut ke tempat lain pula. Kelihatan ada peserta yang hanya membawa barang sendiri dan tidak menghiraukan rakan lain yang bertungkus-lumus membawa peralatan yang jelas bakal digunakan oleh semua. Saya melihat kekurangan ini sebagai satu kelemahan yang berpunca dari fasa perancangan lagi. Penyelaras kami tidak jelas tentang situasi sebenar di tapak perkhemahan yang bakal kami huni selama empat hari! Tambahan pula, agihan tugas menjadi kelam-kabut apabila ada yang cuba mengambil kesempatan dengan lompang yang wujud hasil kekeliruan penyelaras kami sendiri. Sekiranya peserta sendiri yang merancang dan mengatur lokasi perkhemahan kami, sudah tentulah kelemahan sebegini dapat dielakkan. Seterusya, aktiviti penyediaan makanan tengah hati dan memasang khemah. Setiap kumpulan membahagikan ahli masing-masing kepada dua kumpulan bagi melaksanakan dua tugasan tersebut. Hasilnya, sebaik sahaja khemah siap didirikan sajian sudah tersedia untuk disantap. Hal ini sekali lagi membuktikan nilai sepakat, kerjasama dan toleransi yang sangat dititikberatkan dalam program ini. Slot Latihan dalam Kumpulan (LDK) merupakan pengisian yang sangat membantu pembinaan insan dan guru dalam jiwa peserta. En. Mohd Khairul bin Ismail telah mengendalikan keempat-empat sesi dengan baik sekali. Beliau telah menggunakan pendekatan yang berbeza bagi setiap sesi. Namun, saya mengharapkan kelainan. Mungkin kerana beliau adalah kaunselor IPG kami dan pernah mengendalikan sesi LDK semasa Minggu orientasi kami dahulu, maka ada sesetengah aktiviti yang dijalankan adalah ulangan dan hampir menyamai hinggakan ada yang mampu peserta ramalkan. Saya akui bajet untuk perbelanjaan program adalah terhad dan amat mustahil untuk mendapatkan khidmat luar bagi mengendalikan sesi LDK tersebut. Di kesempatan ini saya mengambil peluang untuk menyarankan agar program BIG yang akan datang menampilkan tenaga kaunselor yang berlainan bagi setiap slot LDK. Sekurang-kurangya 2 orang kaunselor IPG kita yang bergilir agar peserta dapat merasai sedikit kelainan. Saya menyenangi sesi kawad kaki yang dijalankan pada waktu petang dan setiap perhimpunan pagi. Selain penting untuk menerapkan nilai disiplin, aktiviti kawad kaki juga penting untuk didedahkan kepada peserta. Saya yakin bahawa ada sesetengah peserta yang
3

tidak pernah melakukan aktiviti kawad kaki dan sekiranya ada yang pernah berkawad sewaktu zaman persekolahan sudah tentu ada yang terlupa kerana sudah lama tidak dipraktikkan. Sedangkan saya sendiri yang pernah mewakili sekolah terkial-kial berikutan hukum kawad yang agak berbeza dengan yang pernah saya pelajari dahulu. Kalau dulu sayalah yang melangkah bangga di padang kawad, kini saya yang tercicir di belakang baris. Saya menganggap aktiviti ini sebagai satu cabaran. Selain itu, saya juga menyenangi aktiviti kerohanian yang dijalankan sepanjang program ini berlangsung. Tambahan pula, adanya tazkirah yang mengisi waktu senggang di antara maghrib dengan isyak dan waktu subuh. Perlaksanaan tazkirah yang mengikut modul menjadikan sesi tazkirah lebih teratur dan sistematik. Modul-modul yang ditetapkan adalah menepati objektif program. Sedikit sebanyak, ada pengisian yang diperoleh bagi memantapkan pembinaan insan dalam diri peserta lebih-lebih lagi sebagai seorang hamba kepada Yang Maha Esa. Aktiviti Kembara merupakan aktiviti yang sering digembar-gemburkan sebagai yang paling mencabar. Walaupun sudah banyak kali menyertai aktiviti sebegini, saya akui bahawa saya tetap tidak menyukainya dan menganggapnya sebagai sesuatu yang hanya membuang masa. Benar, aktiviti ini benar-benar mencabar saya. Tanpa disangka-sangka, akhirnya, persepsi saya berubah dan saya sedar begitu banyak manfaat yang saya perolehi. Selain meningkatkan kekuatan fizikal, kekuatan mental juga dapat dibina. Betapa saya sangat memerlukannya. Bagi aktiviti air, saya merasakan masa yang diperuntukkan sangat terhad. Saya berasa tidak puas kerana sewaktu aktiviti water confidence jurulatih pembimbing menjalankan aktiviti dalam kumpulan besar. Satu persatu diajarkan. Saya menganggapnya sebagai membuang masa kerana alangkah elok sekiranya peserta yang sudah boleh mengapungkan badan diasingkan daripada yang langsung tidak tahu apa-apa. Untuk aktiviti kayak dan rakit pula, saya menyenangi sesi taklimat yang telah dijalankan oleh jurulatih. Taklimat tersebut sangat berinformasi. Sebelum berkayak, semua peserta mengangkat kayak ke pinggir tasik. Tetapi, sebelum berakit, hanya ahli kumpulan yang berakit terlebih dahulu sahaja yang tinggal untuk mengikat botol pada rakit. Kumpulan yang berkayak sudah mula berkayak ke tengah tasik dan meninggalkan kami di darat.
4

Aktiviti mengikat botol tersebut adalah sangat mencabar bagi saya. Apalah sangat kudrat kami untuk mengikat kesemua 9 botol di bawah terik mentari. Tambahan pula, jumlah tenaga yang ada hanyalah berapa orang. Saya mencadangkan bahawa seeloknya kumpulan yang dijadualkan berkayak bersama-sama mengikat botol tersebut sebelum turun untuk berkayak sebagaimana kami yang dijadualkan berakit membantu mereka menurunkan kayak ke gigi tasik. Kerja yang berat pasti akan menjadi ringan sekiranya dilakukan beramai-ramai. Sewaktu Malam budaya, banyak bakat telah dapat dicungkil. Ada yang rupanya mahir menyanyi dan menggubah lagu. Tidak kurang juga yang pandai berlakon dan menulis skrip. Tambahan pula, aktiviti tersebut dijadualkan pada malam terakhir sebelum pulang ke IPG. Pada malam itulah semua peserta seakan merehatkan badan dan minda setelah penat melakukan pelbagai aktiviti sambil menikmati idea-idea kreatif yang telah dikerah sebelumnya. Selain itu, ikatan ukhuwah juga menjadi semakin erat. Saya menganggap aktiviti Malam Budaya sebagai sesuatu yang sangat bermanfaat. Keesokannya, selepas bersenang-senang dengan aktiviti Malam Budaya, saya seakan dikejutkan apabila mendengar tajuk-tajuk yang diberikan untuk slot Pidato spontan. Kesemua tajuk yang disenaraikan adalah bercanggah dengan kehendak dan pendapat kami. Namun, sebagai pencadang kami perlu teguh menegakkan tajuk yang kami sendiri tidak persetujui. Dalam masa yang sama, kami perlu membangkang tajuk yang dibawa oleh kumpulan lain. Untuk slot ini, berkali-kali saya berasa tercabar. Apabila mengetahui objektif slot tersebut, saya dapat rasakan bahawa slot tersebut adalah sangat berguna. Ia mendedahkan peserta dengan situasi tidak mustahil yang bakal kami harungi apabila bergelar seorang penjawat awam kelak. Sebagai langkah penambahbaikkan, saya mencadangkan agar jurulatih dan fasilitator turut menghangatkan suasana dengan ayat-ayat provokasi yang lebih panas semasa berlangsungnya slot sebegini.. Selepas berakhirnya majlis penutup yang disempurnakan oleh Dr. Mihat bin Dolah, sekali lagi kami diprovokasi apabila beliau meminta kami menyerahkan telur amanah. Beliau mewakilkan diri untuk menyampaikan telur tersebut kepada pengarah. Situasi menjadi lebih hangat apabila ada kumpulan mengisytiharkan telur amanah yang pecah. Saya merasakan bahawa inilah slot kemuncak yang paling memberi kekuatan kepada program ini; apabila kami perlu teguh dengan pendirian sendiri dan ada juga yang perlu berhadapan dengan akibat daripada kecuaian.

Sejajar dengan objektif program BIG, saya dapat rasai perubahan dalam diri saya. Perubahan yang saya maksudkan adalah dari segi persepsi dan kesedaran kendiri yang memberi ruang kepada saya untuk berfikir lebih jauh dan mendalami segala apa yang telah saya lalui sepanjang program. Kalau sebelum ini saya masuk ke dapur hanyalah untuk menolong emak memasak atau yang paling mencabar menyediakan hingan-hidangan ringkas. Namun, semasa program ini, sayalah Ketua Tukang Masak dimana sayalah yang membuat keputusan dan saya jugalah yang mengagihkan tugasan. Ditambah dengan kaedah memasak serba kekurangan semasa aktiviti kembara. Betapa saya rasakan kekerdilan diri yang rupanya selama ini hidup dengan serba mudah. Saya membayangkan nenek saya dan emak saya sendiri yang dahulunya memasak dengan cara sebegitu. Bagaimana dengan stok kayu api yang perlu dicari, tempayantempayan yang perlu dipenuhi, cili yang perlu digiling, kelapa yang perlu kupas sendiri dan bermacam-macam lagi yang sudah tentu tidak mampu saya lakukan sendiri. Emak saya merupakan seorang yang rajin bercerita. Pelbagai kisah hidupnya telah dikongsikan bersama kami adik-beradik. Bermacam-macam kesusahan beliau rasai. Ada yang kami hanya mampu bayangkan dan ada juga yang kami lihat sendiri. Sekadar bermonolog sejenak, saya cuba meletakkan diri saya di tempatnya. Betapa sukarnya liku hidup. Jika itu bahagiannya, bagaimana pula dengan bahagian saya? Memandangkan emak saya merupakan seorang guru, saya kira begitu sesuai jika saya jadikan model untuk diteladani. Sebagaimana yang dikatakan oleh En. Khairul bin Ismail, guru yang professional mampu membezakan hal kerjaya dan peribadi. Diimbas kembali, pernah saya dan seorang rakan cedera di sekolah. Kebetulan emak yang bertugas pada minggu itu. Kami dibawa ke klinik oleh emak saya sendiri. Jauh di sudut hati saya mengharapkan emak memberikan layanan yang lebih baik kepada saya berbanding kawan saya. Namun, harapan tinggal harapan. Emak lebih mementingkan kawan saya, itulah yang saya simpulkan pada ketika itu. Namun baru kini saya sedar betapa emak saya mementingkan kepentingan kawan saya kerana perlu bersoal jawab dengan ibu bapanya pula. Hal saya? Emak saya sendiri yang bawa ke klinik dan emak saya sendiri yang berhadapan dengan doktor. Apa lagi perlu dirisaukan.
6

Sewaktu saya masih di darjah satu. Saya mahukan sekotak susu coklat yang merupakan peruntukan kerajaan untuk murid-murid miskin. Emak saya membiarkan saya terus menangis, katanya Biar menangis air mata darah pun, mak tak bagi. Ya, emak saya membiarkan saya menangis. Sebenarnya emak menjaga tahap profesionalisma kerjayanya. Jika persoalan diletakkan antara anak orang dengan anak sendiri, nilai profesional meletakkan kepentingan untuk mempertimbangkan yang terbaik bergantung kepada situasi. Itulah yang saya putuskan. Dari sudut yang lain pula, saya melihat betapa tinggi nilai amanah yang perlu dikelek, dijunjung. Diibaratkan seperti telur amanah yang diserahkan oleh pengarah; perlu dijaga sebaiknya. Jangan pecah, jangan retak. Bila dah jaga sebegitu elok, jangan begitu mudah diserahkan kepada sesiapa. Andai kata selepas dijaga seeloknya tetapi tembelang pula, bukan rezeki namanya. Hatta sekotak susu coklat sekalipun, amanah tetap amanah. Haram tetap haram! Pernah emak mengeluh tentang bebanan tugas yang ditanggungnya. Masuk kelas seperti biasa, macam cikgu lain jumlah masanya. Kemudian ditambah dengan tugas sebagai Guru Perpustakaan yang menjadi rakan setugas Guru Media. Lagi, tugasan panitia. Melatih nasyid dan beberapa hari lagi, program Kem Motivasi UPSR pula. Tidak semena-mena sampai di telinga fitnah yang mengatakan dirinya membodek orang atasan. Bila kerja dah pelbagai, pelbagailah juga yang perlu dirujuk kepada yang boleh menunjuk. Hal kecil sebegini pun boleh dianggap satu isu hinggakan menjadi umpatan teman sekerja. Fuh! Mendengar sahaja pun boleh sesak nafas dibuatnya. Biarlah apa yang orang nak kata. Kita begini juga jadinya. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah dia rencah hidup seorang guru. Sanggupkah? Ibarat seperti ikan keli yang dibiarkan tanpa air. Dalam tergetik-getik, susah bernafas, disiang dan dibasuh sekalipun, masih lagi liat nyawanya. Begitulah kita diibaratkan apabila berhadapan dengan masalah. Sesukar mana sekalipun, hadapilah jua selagi nyawa dikandung badan! Bagi aktiviti air, saya sangat teruja apabila menjalankan aktiviti berakit. Namun, apabila perlu mengikat botol di setiap hujung rakit dibawah terik mentari, sekali lagi saya rasa tercabar. Apabila rakit siap diikat, perasaan teruja semakin mengocak. Inilah kali pertama saya berakit dalam seumur hidup saya. Tambahan pula, Pn. Zaimawati menggesa kami bersaing dengan dua lagi kumpulan lain. Saya mengerah tenaga saya sehabis mungkin.

Namun, rakit kumpulan saya pula menjadi tidak keruan. Barulah saya sedar betapa pentingnya sepakat dan kerjasama. Rakit kami tidak akan meluncur ke hadapan dengan lancar sekiranya kayuhan kami tidak seiringan. Begitulah juga diibaratkan dengan kerja berpasukan. Setiap ahli ada peranan masing-masing. Apabila bekerjasama perlulah kerja bersama-sama. Jangan ada yang dahulu, jangan ada yang tercicir di belakang. Apabila mengajar di kelas, begitulah juga. Kejayaan anak murid bukanlah untuk mencari yang paling pandai atau tidak. Tetapi untuk memastikan objektif pengajaran tercapai iaitu semua yang diajarkan sampai kepada kefahaman murid. Pastikan tiada yang lebih faham dan tiada yang kurang faham. Segalanya perlulah seiring, yang membezakan hanyalah kadar mereka memahamkan sesuatu. Sebelum ini persepsi saya terhadap aktiviti kembara amatlah buruk sekali. Saya menganggapnya sebagai satu aktiviti yang membuang masa. Tiada suasah, cari susah. Namun, hakikatnya terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang telah saya timba sepanjang aktiviti tersebut. Selepas melintasi hutanan pokok Gelam, En. Bakar menunjukkan 5 kesan gigitan penyengat di tengkuknya. Masih terngiang-ngiang di telinga saya beliau menyatakan Biar saya yang kena, jangan pelatih yang kena. Betapa murni hati seorang guru yang sanggup membiarkan diri sendiri menanggung sakit asalkan pelajarnya selamat. Sikap sebeginilah yang perlu saya teladani. Siapa kata pengalaman masuk ke hutan itu tidak perlu? Jadi guru masuk kelas bukan masuk hutan. Tetapi cuba perhatikan, semasa program perkhemahan murid-murid sekolah di kawasan hutan, bukankah guru yang bersama-sama mereka. Usahlah menjadikan alasan guru wanita tidak perlu turut serta. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sekiranya ditempatkan di sekolah yang lokasinya di kawasan pedalaman, mana lagi mahu lari? Inilah gunanya pengalaman yang ditimba daripada aktiviti mencabar semasa kembara. Saya sendiri terkejut apabila melihat foto-foto emak saya berkhemah di hutan. Ruparupanya, ketika muda emak selalu masuk ke hutan bukan sahaja untuk aktiviti maktabnya sahaja malahan aktiviti sekolah tempatnya mengajar. Malulah jika saya katakana saya tidak suka masuk ke hutan sedangkan saya merupakan anak kepada seorang guru yang begitu aktif sedemikian rupa. Tambahan pula, berbintikan seorang bekas tentera.

You might also like