You are on page 1of 14

1.

0 Pengenalan Pengucapan awam adalah apabila anda berdiri di hadapan sekumpulan manusia dan bercakap kepada mereka, Rahmat Ismail,(2000:1). Pengucapan awam juga adalah satu seni menyampaikan ucapan kepada sekumpulan manusia. Kemahiran dalam pengucapan umum sebenarnya adalah merupakan satu keperluan bagi semua individu yang perlu digunakan dalam kehidupan sehariannya. Boleh dikatakan semua kerjaya di dalam mana-mana organisasi dalam dunia ini memerlukan kemahiran dalam pengucapan umum sama ada menjadi pemimpin atau pun pengikut. Sebenarnya, kepentingan pengucapan awam ini telah dikaji sejak seawal 1000 tahun sebelum masehi lagi. Ahli-ahli falsafah Greek dan Roman telah membuat kajian tentang pengucapan umum ini dan telah membentuk pelbagai teori tentang pengucapan yang berkesan. Plato adalah antara orang terawal menggunakan pengucapan awam. Pengucapan awam adalah merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari dan bukanlah keistimewaan turun temurun atau warisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Terdapat ramai pemimpin dunia yang bijak dalam menyampaikan ucapan umum tidak datang dari keluarga yang pandai berucap di khalayak, contohnya bekas presiden Indonesia iaitu Presiden Suharto, Pemimpin India yang termahsyur iaitu Mahathma Gandhi dan sebagainya.

1.1 Definisi Ucapan a) Menurut Arnold dan Wilson, ucapan ialah .... ilham atau idea yang dicetuskan, disalurkan dan diluahkan melalui pemikiran, suara dan gerakan tubuh badan yang meransang audiens dan pengucap sendiri yang ada kalanya mempengaruhi pula pemikiran, perasaan dan tindakan seterusnya... c) Menurut Abdul Muati Ahmad,(1994) menyatakan bahawa pengucapan umum menggunakan anggota komunikasi verbal dan bukan verbal. Di sini dapat disimpulkan bahawa pengucapan umum adalah satu kaedah komunikasi secara lisan yang disampaikan dalam situasi yang terancang. Yang dimaksudkan dengan terancang di sini ialah dari segi tempat, masa dan isu yang hendak disampaikan.

1.2 Pengelasan Ucapan Ucapan boleh dikelaskan kepada dua, iaitu pengelasan ucapan berdasarkan tujuan dan pengelasan ucapan berdasarkan cara. 1.2.1 Pengelasan Ucapan Berdasarkan Tujuan Terdapat 4 bentuk pengelasan ucapan berdasarkan tujuan, iaitu: a) Ucapan berbentuk pemberitahuan Ucapan bentuk pemberitahuan dibuat untuk menyampaikan maklumat. Contoh ucapan dalam bentuk ini ialah taklimat, ceramah ringkas, pembentangan kertas kerja dan sebagainya. b) Ucapan Berbentuk Pemujukan atau Mempengaruhi Ucapan jenis ini dibuat bertujuan untuk mengubah kepercayaan, sikap dan perlakuan khalayak. Contohnya ialah kempen politik, kempen antidadah, keselamatan jalan raya dan sebagainya. Kredibiliti seseorang pengucap amat penting untuk mengukuhkan hujah-hujah bagi mempengaruhi pendengar. Apa yang lebih penting, pengucap perlu menunjukkan sikap ambil berat tentang kepentingan pendengar dan membuktikan pengucap adalah seorang yang cakap serupa bikin. c) Ucapan Untuk Menghibur Ucapan jenis ini dibuat untuk mencetuskan kegembiraan atau keriangan dalam sesuatu majlis. Contohnya dalam majlis-majlis keraian, majlis makan malam dan sebagainya. Ucapan untuk menghibur bukanlah hanya humor semata-mata tetapi adalah apa sahaja perkara yang menarik adalah asas kepada ucapan menghibur. Ciri-ciri yang perlu ada dalam ucapan menghibur ialah, optimistik, tidak mengelirukan dan diselangseli dengan cerita, gurauan dan teka-teki. d) Ucapan Untuk Majlis Khas Ucapan jenis ini hanya dibuat dalam majlis-majlis tertentu yang mempunyai tujuan yang spesifik. Contohnya adalah seperti ucapan alu-aluan, mempengerusikan sesuatu majlis, ucapan penganugerahan dan sebagainya.

1.2.2 Pengelasan Ucapan Berdasarkan Cara Pengelasan ucapan berdasarkan cara juga terbahagi kepada empat iaitu: a) Impromtu Impromtu bermaksud ucapan yang dibuat tanpa sebarang persediaan yang khusus dan tiba-tiba. Ucapan jenis ini biasanya dilakukan apabila tetamu yang diundang tidak hadir dan diganti dengan orang lain atau kebetulan pengucap berada di tempat kejadian. b) Dihafal Ucapan yang telah disediakan terlebih awal dan dihafal kata demi kata. Ucapan jenis ini biasanya kaku dan tidak boleh diubahsuai berdasarkan situasi. Ucapan ini biasanya dibuat dalam majlis yang melibatkan protokol. Contohnya, dalam majlis yang dihadiri oleh pembesar, tetamu diraja dan orang kenamaan. c) Dibaca Ucapan jenis ini disediakan lebih awal untuk dibaca perkataan demi perkataan dari teks dan manuskrip. Ucapan jenis ini juga tidak boleh diubah sesuka hati. Ucapan jenis ini digunakan dalam sesuatu majlis rasmi dan penuh adat istiadat dan juga separa rasmi. Contohnya ialah majlis konvokesyen, penganugerahan pingat dan sebagainya. 1.3 Unsur-unsur Pengucapan Umum Menurut Rahmat Ismail, (2000:2), terdapat empat unsur utama yang membentuk sesuatu ucapan, iaitu: a) Pengucap Pengucap ialah orang yang bertanggungjawab untuk menyampaikan isi ucapannya kepada audien atau khalayak dengan tujuan yang tertentu.

b) Ucapan/mesej Ucapan atau skrip ialah isi bicara yang telah ditetapkan oleh pihak tertentu untuk diluahkan kepada kepada pendengar dengan tujuan yang tertentu

c) Khalayak/ audien/ pendengar Khalayak membawa maksud sekumpulan manusia yang mendengar bicara dan memberi tindak balas terhadap bicara atau ucapan tersebut. Kumpulan pendengar ini merupakan sasaran utama pengucap ataupun secara ringkasnya isi ucapan direka khas untuk mereka.

d) Situasi Situasi membawa maksud keadaan atau gaya persembahan ucapan dan situasi tempat ucapan itu diadakan.

2.0 Elemen-elemen Penting Dalam Pengucapan Umum

Elemen-elemen yang perlu di ambil perhatian dalam menjayakan sesebuah pengucapan umum ialah terdiri daripada perkara-perkara berikut: a) Ucapan/ mesej b) Pengucap c) Pendengar/ audien d) Saluran/perantara e) Maklum balas f) Gangguan g) Setting

a) Ucapan/mesej Satu-satunya cara untuk mempengaruhi audien adalah dengan menjadi audien kepada mereka. Oleh yang demikian pilihlah tajuk yang berkaitan dengan mereka. Rahmat Ismail,(2000:3).

Jika dihayati kata-kata di atas, pemilihan tajuk amat penting dan boleh memberi impak yang besar dalam sesuatu ucapan. Oleh itu jika diberi pilihan untuk memilih tajuk, pilihlahlah tajuk berdasarkan ciri-ciri di bawah: i). ii). iii). Pastikan pemilihan tajuk dibuat oleh pihak penganjur atau dipilih sendiri. Pilih tajuk yang memenuhi minat kita dan juga minat audien. Pilih tajuk yang telah dikuasai sepenuhnya dan bersesuaian dengan bidang kepakaran.

iv). v). vi). vii).

Tajuk yang berkaitan dengan pengalaman kita dan audien. Tajuk yang berkaitan dengan isu-isu semasa. Tajuk yang dipilih mempunyai kepentingan kepada audien. Tajuk mesti sesuai dengan majlis.

Setelah pemilihan tajuk dilakukan, pengucap perlu menentukan fokus ucapannya supaya ucapan menjadi lebih lancar dan bernas serta dapat memberi faedah kepada audiennya.

b) Pengucap.

Karektor dan kredibiliti seorang pengucap perlu dibentuk agar ia boleh memberi kesan yang mendalam kepada pendengar. Justeru itu, pengucap yang baik perlu memiliki karektor-karektor di bawah bagi menjadi pengucap yang berkredibiliti. Di antaranya ialah:

i) Bermotivasi tinggi Apa yang dimaksudkan dengan bermotivasi di sini ialah seorang pengucap yang sentiasa bermotivasi walau di mana sahaja atau dalam keadaan apa jua. Sama ada dalam situasi yang ceria atau pun dalam saat-saat yang genting. Contohnya dalam situasi yang tidak tentu arah seperti kejadian gempa bumi, pengucap masih mampu bertenang dan memberi arahan kepada orang ramai apa yang patut dibuat.

ii) Kesedaran Diri Pengucap yang baik perlu mempunyai kesedaran diri iaitu ia tahu apakah kekuatan diri yang dimilikinya. Dengan adanya kesedaran diri, pengucap boleh mengasah ataupun terus mencungkil kekuatan dan kehebatan untuk digunakan semasa berucap. Selain mengetahui potensi diri sendiri, pengucap juga dapat mengenal pasti kelemahan sendiri dan cuba memperbaikinya.

iii) Berilmu pengetahuan yang luas Seorang pengucap yang baik perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu yang boleh dikongsi bersama. Pengetahuan am terutamanya perlu diperluaskan kerana audiens mungkin dari golongan yang pelbagai bidang pekerjaan, pangkat, status dan kelulusan.

Kebiasaannya, audien lebih tertarik pada isu-isu semasa. Semakin hangat sesuatu isu semakin menjadi bahan perbualan di kalangan pendengar. Jadi pengucap yang baik perlu peka dan mengambil tahu isu-isu terbaru untuk menarik minat pendengar.

iv) Pandai menyelitkan unsur humor Unsur humor dalam pengucapan merupakan satu cara untuk menarik minat pendengar. Ramai berpendapat, sifat humor adalah semulajadi dan memerlukan bakat. Walaubagaimanapun, unsur-unsur humor juga boleh dilatih berulangkali bagi mendapatkan kesan yang seolah-olah bakat semulajadi. Malah ia juga boleh ditulis dalam bentuk skrip. Walaubagaimanapun, kebijaksanaan diperlukan untuk memilih kisah lucu yang bersesuaian dengan jenis atau golongan pendengar.

v) Keyakinan diri yang tinggi Pengucap yang mempunyai keyakinan yang tinggi akan berusaha dan terus berusaha untuk memberikan persembahan terbaik serta dapat menimbulkan keyakinan diri kepada orang lain. Kesannya, ia akan memberi impak yang positif kepada pendengar bahawa apa yang diucapkan memberi erti dan membantu mereka untuk mencapai kejayaan. Oleh itu, tidak kira dengan siapa kita berucap, sentiasalah bersikap positif kerana sikap ini merupakan aset yang paling penting kepada kredibiliti sebagai seorang pengucap yang berjaya.

c) Pendengar/ audien Elemen seterusnya ialah pendengar atau audien. Lebih banyak maklumat yang diketahui tentang kumpulan sasaran maka lebih berkesanlah ucapan kita. Terdapat pelbagai jenis audien. Kita perlu mengenalpasti jenis audien supaya kita boleh menghadapi sebarang kemungkinan atau tindak balas dalam ucapan. Ini kerana jenis audien mempunyai berbagi ciri dan tahap tumpuan yang berbeza. Jenis-jenis audien yang dikenalpasti di antaranya ialah:

i) Diadik Merupakan kumpulan audien terkecil yang terdiri daripada seorang perucap dan seorang pendengar. Ia juga dikenali sebagai komunikasi interpersonal.Dalam keadaan ini, perucap dan pendengar sering bertukar peranan. Ia boleh berlaku di mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja.

ii) Kumpulan kecil

Biasanya terdiri daripada tiga orang atau lebih. Tetapi tidak lebih daripada sepuluh orang. Ia boleh jadi keadaan rasmi dan tidak rasmi. Contohnya mesyuarat, perbincangan, taklimat dan sebagainya.

iii) Ramai pendengar Kumpulan pendengar ini terdiri lebih daripada sepuluh orang. Untuk memahami audien jenis ini, perucap perlu membuat pemerhatian yang sistematik, pengumpulan data, sumber yang terpilih, kawan, penganjur, penyimpulan yang teliti, empati dan sebagainya.

iv) Jelata Jelata membawa maksud jumlah audien yang terlalu ramai hingga dapat memenuhi satu stadium bola sepak atau tersebar luas maka media yang sesuai digunakan untuk audien seperti ini alah melalui media cetak atau media elektronik.

Selain itu, keadaan audien juga perlu di ambil kira. Perucap perlu membuat tinjauan untuk memastikan audien yang hadir kerana sukarela ataupun terpaksa. Ini kerana audien yang sukarela lebih bersikap menerima, tenang dan memberi tumpuan yang seratus peratus. Begitu juga sebaliknya bagi audien yang dipaksa mendengar. Perucap juga perlu mengambil kira latar belakang kerjaya audien. Ini kerana karektor seseorang kebiasaanya banyak dipengaruhi oleh tugas seharian mereka.

d) Saluran Saluran bermaksud perantara. Saluran terdiri daripada dua iaitu secara lisan dan bukan lisan. Lisan merupakan apa yang diucapkan. Manakala, bukan lisan pula bermaksud bahasa badan iaitu yang menggunakan gerak geri badan dalam menyampaikan mesej. Penggunaan intonasi, kepelbagaian nada suara yang sesuai, kredibiliti pengucap serta penampilan diri dan hubungan mata dengan pendengar juga merupakan saluran dalam penyampaian mesej yang berkesan. Penggunaan alat yang sesuai seperti alat audio visual dalam mempersembahkan data, gambar dan sebagainya adalah amat penting untuk memastikan mesej yang disampaikan diterima semaksimanya oleh pendengar.

e) Maklum balas

Maklum balas atau respon daripada pendengar adalah merupakan satu penilaian terhadap ucapan yang telah disampaikan. Sekiranya penonton memberi respon yang baik dan melibatkan diri secara aktif, ini membuktikan perucap telah berjaya menyampaikan ucapannya secara dinamik dan berkesan. Begitu juga sebaliknya, jika pendengar memberikan respon yang kurang memberangsangkan, pengucap perlu membuat penilaian dan memikirkan penambahbaikan yang harus dilakukan. Oleh itu, pengucap perlu sentiasa peka terhadap maklum balas yang diterima. Beberapa perkara perlu diambil tindakan untuk melihat maklum balas daripada pendengar seperti meminta maklum balas daripada pendengar dan perlu pula memberi tindak balas terhadapnya. Selain itu, pengucap juga perlu mengulang isi atau mesej yang di anggap penting untuk mendapatkan maklum balas daripada pendengar.

f) Gangguan Gangguan sering terjadi dalam sesuatu ucapan sama ada secara sengaja atau tidak. Di antara ganguan yang sering terjadi adalah dari pendengar. Memang tidak dapat dinafikan, memang terdapat pendengar yang suka menyampuk atau mengganggu perucap. Pendengar yang sering menggangu ini biasanya terdiri daripada jenis pendengar yang dipaksa datang ataupun sememangnya pendengar ini mempunyai sikap suka menggangu dan suka menunjuk kepandaian mereka. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan perucap untuk mengatasi masalah ini, di antaranya ialah: i) berdiam diri ii) menyebut nama pengacau di dalam ucapan dan meminta beliau memberi pendapat. iii) menyindir secara halus. iv) Memandang sekali sekala ke arah pengacau.

Selain daripada pendengar, sesuatu pengucapan juga adakalanya terganggu dengan penggunaan pembesar suara yang tidak berfungsi dengan baik. Adakalanya jenis mikrofon yang digunakan menjejaskan pemyampaian seseorang. Mikrofon jenis multi directional iaitu yang dapat menangkap suara dari pelbagai arah. Penggunaan clip mike juga lebih sesuai kerana ia tidak mengganggu ketika menggunakan bahasa badan apabila berucap. Keadaan atau persekitaran sekeliling juga adakalanya boleh menimbulkan gangguan dalam sesuatu pengucapan. Pemilihan kemudahan, saiz, keselesaan tempat juga amat penting

di samping penggunaan PA sistem yang berkualiti dalam memastikan keselesaan pendengar bagi mengurangkan gangguan-gangguan yang mungkin timbul dalam pengucapan umum.

g) Setting Elemen yang seterusnya ialah setting. Iaitu persediaan awal sebelum berlakunya pengucapan awam. Setting membawa maksud perkara-perkara yang perlu diketahui berkenaan dengan majlis tersebut. Sebagai contoh mengetahui tentang keadaan dan keluasan tempat seperti saiz, faktor pencahayaan (lampu), suhu dan kemudahan-kemudahan audio, video yang disediakan seperti mikrofon, LCD, rostrum dan sebagainya. Selain itu, pengucap juga perlu mengetahui gilirannya untuk berucap atau dengan kata lain keseluruhan perjalanan majlis tersebut.

3.0 Persediaan Pengucapan Awam Perancangan dan persediaan yang baik akan membuahkan hasil yang baik. Oleh itu, dalam proses pengucapan awam, seseorang pengucap perlu membuat persediaan yang terperinci bagi mengelakkan berlakunya gangguan atau masalah semasa menyampaikan ucapan.

3.1 Proses persediaan dan perancangan

Di antara persediaan tersebut ialah: i) Memastikan tentang tajuk, tarikh dan tempoh masa. ii) Menetapkan objektif. iii) Penyediaan bahan. iv) Merangka ucapan. v) Menulis ucapan: vi) Membuat nota ringkas vii)Bahan bantuan ucapan viii)Menyediakan nota edaran

2.1.1 Tajuk, tarikh dan tempoh masa Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh pengucap ialah memastikan tajuk yang akan disampaikan sama ada pilihan sendiri ataupun telah ditetapkan oleh penganjur.

Disamping memastikan tarikh diadakan dan tempoh masa yang diberi. Ini untuk memudahkan pengucap membuat persediaan seterusnya.

2.1.2 Objektif Setelah memastikan tajuk yang hendak disampaikan, pengucap perlu menetapkan objektif yang hendak dicapai hasil daripada pengucapan tersebut. Objektif perlu kerana ia dapat memberi panduan bagi mencari isi yang menjurus kepada pencapaian objektif tersebut.

2.1.3 Penyediaan bahan Langkah seterusnya ialah mengumpulkan bahan-bahan yangh berkaitan dengan tajuk. Bahan dapat dikumpulkan daripada pemikiran sendiri, pengalaman, pengetahuan, buku, jurnal, sumber internet dan sebagainya. Pengumpulan bahan bermula daripada umum dan menjurus kepada yang khusus. Bahan perlu disusun bagi menunjukkan pertalian antara isi-isi ucapan yang hendak disampaikan. Bahan-bahan yang dikumpul boleh disusun seperti lakaran idea berikut: a) idea utama b) maklumat sokongan c) penjelasan idea d) penggunaan rangkai kata-rangkai kata e) penggunaan kenyataan, petikan dan sorotan idea

2.1.4 Merangka ucapan

Proses seterusnya adalah merangka ucapan. Untuk merangka ucapan, perlu mengandungi tiga aspek iaitu: a) Pendahuluan b) Kandungan c) Penutup 15 peratus daripada masa sepenuhnya 75 peratus daripada masa sepenuhnya 10 peratus daripada masa sepenuhnya

a) Pendahuluan Perkara-perkara yang perlu ada dalam pendahuluan ialah: i) Salam penghormatan contohnya memberi salam, selamat pagi dan sebagainya. ii) Penghormatan protokol sapaan dan penggilan hormat yang tepat. iii) Kenyataan untuk menarik perhatian antara teknik yang boleh digunakan ialah:

1) menyatakan fakta-fakta yang menarik dan unik 2) statistik yang menggemparkan. 3) soalan yang mencabar minda 4) kata-kata humor 5) menceritakan kisah benar atau rekaan yang menarik

iv) Rangsangan terhadap tajuk-memotivasikan audien terhadap kepentingan tajuk v) Preview membicarakan secara sepintas lalu keseluruhan ucapan vi) Prosedur mengikut prosedur yang ditetapkan oleh penganjur mengenai isi pengenalan vii) Masa viii) Penggunaan alat audio visual ix) Orientasi psikologikal membuat rayuan awal untuk menambat emosi audien

b) Kandungan ucapan Kandungan ucapan terdiri daripada dua perkara utama iaitu: i) idea utama merupakan isi utama yang hendak disampaikan. Bilangan isi bergantung pada masa yang diberi. 3 hingga 7 isi telah memadai. ii) maklumat sokongan untuk menguatkan impak kepada idea utama. Maklumat sokongan diperkukuhkan dengan data-data yang diperolehi dari sumber yang dipercayai dan sah.

c) Penutup Penutup dibuat sebagai satu penyataan untuk memberhentikan ucapan. Penutup yang baik mengandungi : i) Ringkasan idea utama dengan menghubungkan dengan tajuk yang luas dan umum. ii) Ulang sebut idea utama menekankan hujah yang paling kuat. iii) Mengaitkan kesan dan kepentingan ucapan dengan kehidupan audien. iv) Memberi kenyataan akhir dengan kata kunci.

2.1.5 Menulis Ucapan

Setelah rangka ucapan dibuat, proses seterusnya ialah menulis ucapan. Proses menulis ucapan ialah: a) merancang b) menulis draf

c) menyemak Masalah-masalah yang sering timbul dalam penulisan teks ucapan ialah bahan bahan yang tidak mencukupi, masalah dalam menyusun atur isi, dan penggunaan ayat yang kurang menarik dan berbelit-belit.

2.1.6 Penyediaan Kad Nota Kad nota yang mengandungi isi dan contoh ringkas cerita yang hendak disampaikan dibuat sebagai panduan kepada pengucap. Sistem kad ini dapat mengatasi masalan lupa ketika berucap.

2.1.7 Nota Edaran Nota edaran merupakan nota ringkasan ucapan yang hendak disampaikan. Nota ini diedarkan kepada pendengar sebagai rujukan untuk membolehkan pendengar lebih memahami mesej yang hendak disampaikan.

2.1.8 Bahan Bantuan Persembahan Pada masa kini, ramai pengucap menggunakan bahan bantuan semasa menyampaikan ucapan seperti LCD, persembahan power point dan sebagainya. Bahan yang diguna perlu jelas dan sesuai serta memenuhi objektif pengucapan.

2.2 Langkah-langkah Mempersembahkan Ucapan Yang Berkesan

2.2.1 Atasi masalah Gugup dan Gemuruh Bukan semua orang dapat bercakap dikhalayak. Antara perkara-perkara yang menjadi masalah bagi seseorang pengucap ialah masalah gugup. Kegugupan dan gemuruh menjadi lumrah bagi seseorang pengucap. Walaubagaimanapun, adakalanya ia dapat menjadi inspirasi kepada kebanyakan orang dan menjadikannya lebih bersedia.

2.2.2 Guna Bahasa Badan dan Kawalan Suara Penggunaan bahasa badan dan kawalan suara yang sesuai dan terkawal dapat menjadikan ucapan kita lebih menarik dan berkesan. Penggunaan bahasa badan adalah 70 peratus berbanding 7 peratus percakapan dan 23 peratus vokal ,Rahmat Ismail (2000:6).

4.0 Penutup Kesimpulannya, kemahiran dalam pengucapan awam amat penting dikuasai oleh semua individu kerana hampir keseluruhan hidup dan kerjaya memerlukan kita berkomunikasi dengan khalayak. Tidak semua pengucap dapat menyampaikan mesej dengan baik. Oleh itu jadilah seorang pengucap yang dinamik dan berkesan dengan mengamalkan serta memupuk sikap-sikap yang boleh meningkatkan kredibiliti diri. Selain itu perancangan yang sistematik dan persediaan awal yang baik serta memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan juga dapat menjadikan proses pengucapan menjadi lancar dan memberi impak positif kepada audien. Selain itu, penggunaan alat-alat atau bahan bantuan yang menarik dan jelas juga dapat membantu pencapaian objektif pengucapan. Selain itu, sikap peka dan mengambil berat terhadap audien, tajuk, kemudahan dan persekitaran akan membantu seseorang pengucap lebih bersedia dalam menangani masalah dan gangguan yang mungkin timbul dan bersedia untuk menanganinya dengan cara yang berhemah. Selain itu, gaya penyampaian pengucapan awam yang menarik memberi kesan yang besar terhadap minat dan kesediaan mendengar audien. Kebijaksanaan pengucap dalam mengeksploitasikan minat dan kecenderungan audien amat diperlukan. Antara usaha-usaha yang sering dilakukan untuk menjadikan pengucapan menarik ialah dengan menyelitkan unsur humor, bercerita dan sebagainya. Walaubagaimanapun, jarang kita lihat pengucap menggunakan kaedah bermain dalam sesi ucapan mereka. Aktiviti ini sesuai sebagi aktiviti selingan seperti permainan berdasarkan isi ucapan. Aktiviti permainan ini bertujuan supaya audien melibatkan diri secara aktif, memberi peluang pengucap berinteraksi dan membentuk suasana yang ceria dan bersemangat. Akhirnya, sesuatu ucapan yang cemerlang datangnya dari pengalaman dan latihan serta ilmu yang mencukupi dan kesediaan belajar untuk menjadi pengucap yang hebat dan cemerlang. Sesuatu ucapan yang cemerlang bukan hanya sekadar wujud dari kesungguhan dan kemahiran tetapi ia lahir dari ketulusan dan keikhlasan hati. Apa sahaja yang terlintas di fikiran kita dan terniat di hati akan terserlah melalui fizikal.

(3002 patah perkataan)

RUJUKAN

You might also like