You are on page 1of 16

PERBEZAAN BAHASA MELAYU KLASIK DAN BAHASA MELAYU MODEN DARI ASPEK MORFOLOGI DAN SINTAKSIS

1.0 Pengenalan

Bahasa Melayu sebenarnya telah melalui sejarah yang amat panjang. Bermula daripada zaman Bahasa Melayu purba sehingga zaman Bahasa Melayu moden, perkembangan bahasa ini telah menarik minat yang mendalam dalam kalangan pengkaji bahasa. Berdasarkan catatan sejarah, Bahasa Melayu klasik dikatakan telah menggantikan Bahasa Melayu kuno. Peralihan ini telah dikaitkan dengan kedatangan agama Islam yang ke Asia Tenggara. Peristiwa ini berlaku pada abad ke-13. Pengaruh Islam menjadi semakin kukuh di daerah nusantara ini sehingga bahasa Melayu mengalami banyak perubahan dari segi kosa kata, morfologi, struktur ayat dan tulisan. Pengkaji bahasa telah memberikan beberapa definisi khusus kepada Bahasa Melayu klasik . Asmah Hj.Omar pula menjelaskan bahawa , bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik Bahasa Melayu Klasik mula berkembang pada abad ke -13 dan ke -14. Buktinya ialah penemuan beberapa buah prasasti. Ketika itu juga bahasa Melayu Klasik telah digunakan sebagai lingua franca iaitu zaman kerajaan Melayu Melaka. Penggunaan bahasa Melayu Klasik ini jelas dalam aktiviit perdagangan dan penyebaran agama Islam. Menurut Ismail Hussein, bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-14. Tetapi beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan di seluruh kepulauan Melayu dengan kedatangan agama Islam. Bukti konkrit tentang bertapaknya Islam di Nusantara dari sudut sejarah diperoleh pada tahun 1292 Mesihi sewaktu Marco Polo melawat Sumatera Utara dan catatannya tentang pengislaman Pasai. Bahasa Melayu kini berkembang seiring dengan masa. Hal ini jelas mencerminkan masyarakat penggunanya yang sedang mengalami pembangunan pesat. Dalam fasa ini, istilah Bahasa Melayu moden digunakan. Konsepnya juga berbeza. Bahasa Melayu moden kini

ditafsirkan mempunyai fikiran baru, gaya baru dan konsep baru . Dalam keadaan seperti ini jelas kelihatan perkembangan pesat di dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu telah berubah. Masyarakat di negara ini sedang membangun, dan perlu mengungkapkan segala sesuatu yang baru ditemuinya. Pertama, penggunaan bahasa Melayu umum untuk perhubungan biasa, baik rasmi atau tidak rasmi. Kedua ialah bahasa saintifik untuk bidang atau disiplin pengajian tertentu. Bahasa Melayu itu sendiri sedang berkembang untuk menampung sebarang keperluan baru. Perkembangan ini besar ertinya kepada bahasa Melayu kerana bahasa tersebut terpaksa melahirkan ungkapan-ungkapan yang diperlukan untuk menjalankan tugas-tugas ini, seiring dengan perkembangan teknologi terkini terutama dalam bidang teknologi maklumat. Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa ilmiah untuk memikul banyak fungsi dan tanggungjawab baru terutama sekali sebagai bahasa penghantar di sekolah, maktab dan universiti. Bahasa Melayu juga telah menjadi bahasa pentadbiran kerajaan, urusan rasmi kerajaan, majlismajlis rasmi dan perantaraan awam. Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) juga mencerminkan tentang keupayaan bahasa ini untuk bertahan dalam arus kemodenan. Di samping berkembang dengan sendirinya, pembinaan bahasa Melayu ini dikendalikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Tugas ini memang besar dan permintaan penutur bahasa Malaysia untuk kata-kata baru, istilah, ejaan, kamus, dan pedoman tatabahasa, dan pedoman sebutan masih belum dilaksanakan dengan sepenuhnya. Sejajar dengan perkembangsan semasa, bahasa Melayu terus mengalami perubahan walaupun terhimpit dengan kerosakan bahasa yang dilanyak-lunyaikan dalam facebook, sistem pesanan ringkas, twitter dan sebagainya. Sangat membimbangkan apabila difikirkan, adakah ini bahasa Melayu moden yang sering digunakan masyarakat kini, terutama remaja sebagai generasi masa depan.

2.0 Perbezaan Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden dari Sudut Morfologi

Bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden telah melalui dua era yang berbeza. Jesteru itu, perbezaan dalam bentuk penggunaan bahasa ini tidak boleh disangkal lagi. Perubahan bukan sahaja melibatkan bentuk pertuturan dan kosa kata, tetapi juga pertambahan bilangan penutur yang mencecah ratusan juta, terutama di daerah nusantara ini. Bahasa Melayu moden dikatakan bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan kepada zaman bahasa Melayu moden kerana sifatnya yang dikatakan agak menyimpang dengan bentuk bahasa Melayu klasik.

Bahagian ini akan membincangkan perbezaan antara bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden dalam aspek morfologi. Secara asasnya, morfologi adalah merujuk kepada pembentukan kata. Nik Safiah Karim (1996), merujuk morfologi sebagai bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) pula menyatakan bahawa morfologi ialah satu kajian tentang pembentukan kata dalam sesuatu bahasa termasuk infeksi (pengimbuhan), terbitan dan pemajmukan. Manakala Marzuki (1993) pula menjelaskan bahawa morfologi adalah perubahan dalam struktur kata, golongan kata dan maksud kata. Ruminah Haji Sabran dan Rahim Syam (1985) pula menjelaskan morfologi adalah satu bidang dalam kajian bahasa yang mengkaji tentang perkataan dan cara-cara pembentukannya.

Untuk memperlihatkan kepada perbezaan dari aspek morfologi antara bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden, maka perbandingan antara karya dari dua zaman berbeza ini perlu dilakukan. Merujuk kepada naskhah Hikayat Malim Deman dan beberapa naskhah yang berkaitan, kita dapat melihat banyak perbezaan dalam struktur ayat yang digunakan.

Antara perbezaan bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden dari aspek morfologi ialah seperti berikut;

2.1 Penggunaan kata pangkal ayat yang agak klise

Penggunaan kata pangkal ayat ini agak meluas. Banyak menggunakan kata pangkal ayat seperti sebermula, alkisah, hatta, adapun syahadan, maka, alkisah, hatta, arakian", kata sahibul hikayat, maka, tatkala dan adapun. Kata-kata seperti itu bukan sahaja digunakan untuk memulakan sesuatu perenggan, malah digunakan juga pada awal ayat-ayat dalam perenggan. Penulisan dalam bahasa Melayu moden tidak memperlihatkan penggunaan kata pangkal ayat yang sedemikian.

2.2 Perbezaan dari aspek penggunaan partikel pun dan lah. Selain itu, dalam bahasa Melayu Klasik juga banyak menggunakan partikel pundan lah.Contoh perkataan yang digandingkan dengan partikel ialah seperti adapun, bertitahlah, dan berebutlah. Manakala contoh penggunaan partikel dalam ayat pula ialah seperti berikut Maka Bendahara pun hairanlah kalam raja seperti dikhatankan orang rupanya dalam Sejarah Melayu. Manakala dalam bahasa Melayu moden, penggunaan partikel pun dan lah adalah terhad dan tidak meluas. Penggunaan partikel ini hanya pada aspek-aspek tertentu sahaja, bertujuan sebagai kata penguat bagi sesuatu perkara yang hendak disampakan.

2.3 Perbezaan dari aspek penggunaan kosa kata Bahasa Melayu klasik banyak menggunakan kosa kata lama dan sering digunakan pada zaman yang lampau seperti ratna mutu manikam, edan kesamaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih), galau pundak, merenyuk, azmat, menitah, bersemayam dan sebagainya. Bahasa-bahasa ini tidak lagi digunakan pada bahasa Melayu moden, samada yang ditutur atau ditulis.

2.4 Pengaruh Bahasa Arab dalam Bahasa Melayu Klasik Bahasa Melayu klasik banyak menggunakan aksara jawi, iaitu aksara yang dipinjam daripada bahasa Arab yang telah ditambah dengan beberapa huruf tambahan. Bahasa Melayu klasik juga telah menerima pelbagai jenis kosa kata Arab dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa seperti alam bidang ilmu keagamaan, undangundang, kesusasteraan, pemerintahan dan pentadbiran, perubatan, falsafah, tasawuf dan kata-kata umum. Frasa dan ayat pengaruh Arab terutama dalam kitab-kitab klasik Melayu seperti frasa ketahuilah olehmu (dari terjemahan IlamL, maka kemudian daripada itu (dari Amma badu); atau pada ayat sunat berbuka atas tamar dan lainlain. Frasa dan ayat bentuk ini wujud hasil daripada terjemahan harfiah daripada teksteks bahasa Arab. Bahasa Melayu moden secara asasnya agak kurang dalam pengaruh bahasa Arab kecuali hal-hal yang berkaitan dengan keagamaan seperti teks khutbah dan sebagainya.

2.5 Penggunaan kata ganda yang berulang-ulang

Bahasa Melayu klasik banyak menggunakan kata ganda dalam kebanyakan penulisan, berbanding dengan bahasa Melayu moden yang menggunakan kata ganda pada tempat tertentu sahaja. Contohnya adalah petikan dari Hikayat Malim Deman seperti di bawah; Maka orang besar-besar, rakyat hina-dina, laki-laki perampuan, kecil besar, tua muda semuanya berhimpun masuk mengadap ke dalam kota istana membawa sekalian permainan: joget, wayang-wayang mendora, bangkit menari semuanya, terlalu azmat bunyinya, tambahan pula di gelanggang sabung terlalu gegak-gempita, sorak-tempik sekalian juara.

2.6 Penggunaan perkataan yang bersifat mistik

Dalam bahasa Melayu klasik, terdapat banyak penggunaan perkataan yang bersifat mistik, tahyul dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Perkataan-perkataan ini sentiasa diulang-ulang sehinggan mempengaruhi persepsi dan kepercayaan orang-orang pada zaman tersebut. Dalam bahasa Melayu moden, perkataan-perkataan tersebut sudah jarang sekali digunakan, kecuali pada hal-hal yang berkaitan dengan aktiviti yang tidak normal sahaja. Antara contoh ayat yang banyak menggunakan unsur-unsur ini ialah; Sekonyong-konyong di kayangan dalam sayembara Mambang Molek dialahkan dengan kekuatan dan kesaktian. Penggunaan perkataan yang bersifat mistik juaga dapat dilihat dalam contoh ayat di bawah; Maka mana-mana rakyat yang tiada datang, lari ke dalam bumi dan ke atas udara, disuruh oleh Si Raja Jin palu dengan cemeti Nabi Allah Sulaiman itu; semuanya ketakutan datang mengadap Si Raja Jin.

2.7 Penggunaan perkataan yang sukar di fahami Penulisan dalam bahasa Melayu klasik cenderung untuk menggunakan perkataanperkataan yang amat sukar difahami oleh khalayak pembaca berbanding bahasa Melayu moden. Bahasa Melayu moden lebih mengutamakan penulisan cerita, mesej atau pandangan yang dapat disampaikan dengan mudah kepada pembaca untuk difahami. Antara perkataan-perkataan yang ditulis, kemungkinan pembaca tidak memahami langsung apa yang disampaikan oleh penulis cerita pada zaman bahasa Melayu klasik. Antara contoh perkataan-perkataan tersebut ialah; a. Dititir canang pemanggil b. Rengkiang tujuh sejanjar, c. Batuan sawa mengulur,

d. Maka terdirilah jogan alam

2.8 Penggunaan perkataan yang berulang-ulang Penulis bahasa Melayu klasik sangat gemar menggunakan perkataan yang berulang-ulang dipangkal ayat berbanding penulis bahasa Melayu moden yang menggunakan perkataan yang pelbagai bagi setiap penulisan mereka. Perkataan ini diulang-ulang dengan terlalu banyak bagi menunjukkan kehebatan sesuatu peristiwa yang diceritakan. Di bawah disertakan contoh perkataan-perkataan yang diulang-ulang oleh penulis bahasa Melayu klasik; Ditikam ke kiri ia ke kanan, Ditikam ke kanan ia ke kiri, Ditikam ke hadapan ia ke belakang, Ditikam ke atas ia menyusup ke bawah, Ditikam ke bawah ia melompat ke atas. Contoh yang seterusnya ialah; Habis hari berganti hari, Habis malam berganti malam, Habis bulan berganti bulan, Habis tahun berganti tahun. 2.9 Penggunaan Perkataan Tiada dan Tidak Bahasa Melayu klasik juga sangat cenderung untuk menggunakan perkataan tiada dalam kebanyakan ayat yang dibina manakala sebaliknya bahasa Melayu moden pula dilihat lebih banyak menggunakan perkataan tidak dalam kebanyakan ayatnya. Jika ayat bahasa Melayu moden adalah, Dia tidak ada pada waktu itu, maka penulis bahasa Melayu klasik lebih gemar menggunakan, maka tiadalah ia pada waktu itu. 2.10 Penggunaan Bahasa Istana

Seterusnya, apabila kita lebih jauh mengkaji corak penggunaan perkataan dalam bahasa Melayu klasik, kita akan dapat melihat banyak penggunaan kata ganti nama diri bahasa istana. Contohnya adalah seperti beta. Perkataan ini bukan sahaja digunakan oleh raja, tetapi juga watak bukan raja seperti watak Tuan Puteri Bongsu dalam Hikayat Malim Deman. Contohnya adalah ucapan dari watak tersebut iaitu Ayuhai bapa, orang yang pengail, empunya sembahlah beta sekali ini permintaan beta kepada bapa, tolonglah pulangkan kain layang baju layang beta itu, kerana beta hendak kembali ke kayangan, takut dimurkai oleh ayahanda bonda beta, jikalau tiada mahu memulangkan pun marilah kita berhakim kepada Nenek Kebayan, siapa salah siapa benar!. Berbanding pada masa kini, penggunaan perkataan ini hanya khas untuk raja sahaja. Bahasa Melayu klasik lebih bersifat "bahasa istana". Ini amat ketara dari segi penggunaan perkataan dan sistem panggilannya. Contohnya ialah sembah, beta, titah, berangkat, dan gering. Penggunaan ini adalah disebabkan kebanyakan hasil penulisan bahasa Melayu klasik adalah dalam bentuk karya sastera, yang menceritakan kisah dan peristiwa yang dialami oleh kalangan raja di istana.

3.0 Perbezaan Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden dari Sudut Sintaksis

Bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden juga mempunyai banyak perbezaan yang sangat ketara dari aspek sintaksis. Sintaksis adalah cabang ilmu yang mengkaji bentuk, struktur dan binaan atau konstruksi ayat. Sintaksis bukan sahaja mengkaji proses pembinaan ayat, tetapi juga hokum yang menentukan bagaimana perkataan disusun dalam ayat. Dalam sintaksis, terdapat pelbagai kajian bentuk penulisan seperti subjek dan prediket, ayat dasar atau ayat inti, ragam dan jenis ayat, pengenalan frasa nama, binaan frasa nama dan konstituen frasa nama. Di bawah ini disertakan contoh-contoh perbezaan bahasa Melayu klasik dan bahasa Melayu moden dari aspek sintaksis.

3.1 Penggunaan Ayat yang Panjang dan Berbelit-belit.

Dinilai dari aspek struktur ayat, bahasa Melayu Klasik sangat berbeza dengan bahasa Melayu Moden kerana struktur ayatnya panjang-panjang dan berbelit-belit. Bahasa Melayu moden lebih senang menggunakan ayat yang pendek dan mudah difahami oleh khalayak pembaca. Contohnya adalah seperti frasa di bawah; Maka orang besar-besar, rakyat hina-dina, laki-laki perampuan, kecil besar, tua muda semuanya berhimpun masuk mengadap ke dalam kota istana membawa sekalian permainan: joget, wayang-wayang mendora, bangkit menari semuanya, terlalu azmat bunyinya, tambahan pula di gelanggang sabung terlalu gegak gempita sorak tempik sekalian juara.

3.2 Cantuman Ayat dengan Perkataan Tertentu

Bahasa Melayu klasik banyak menggunakan gabungan beberapa ayat tunggal yang dicantumkan dengan menggunakan kata-kata hubung yang tertentu, terutamanya "dan" dan "atau" ataupun dengan menggunakan tanda koma dan tanda koma bertitik sahaja. Situasi ini tidak wujud dalam penggunaan bahasa Melayu moden. Contoh ayat bahasa Melayu Klasik seperti ayat berikut Maka apabila dibawalah akan mereka itu ke penghadapan Tajul Muluk, demi terpandang akan anak si peladang itu, mesralah ke dalam hatinya, diberinya wang yang tiada berhisab banyaknya serta disuruh perbela akan dia baik-baik.

3.3 Perbezaan dari Aspek Bentuk Ayat yang Digunakan. Dalam bahasa Melayu Klasik juga, terdapat perubahan dari aspek bentuk ayat yang digunakan. Bentuk ayat yang lebih lumrah digunakan, ialah bentuk ayat pasif, iaitu bentuk ayat yang lebih mengutamakan objek pelaku atau subjek. Sebagai contoh, Hatta datanglah kepada suatu hari maka Hamzah dan Umar Umayyah dibawanya oleh Khoja Abdul Mutalib kepada mualim

3.4 Penggunaan Ayat yang Berulang-ulang. Antara ciri utama yang membezakan bahasa Melayu klasik dengan bahasa Melayu moden adalah penggunaan ayat yang berulang-ulang. Dalam naskhah Melayu lama yang menggunakan bahasa klasik, penggunaan ayat yang berulang-ulang selalu digunakan bagi tujuan untuk memperbesarkan sesuatu perkara atau peristiwa kepada khalayak pembaca. Di bawah disertakan contoh penggunaan ayat yang berulang-ulang dalam naskhah Malim Deman. Ayuhai kakanda, silalah ambil sirih ini. Jika kakanda menempuh lautan gelap, kakanda santaplah sekapur, nescaya teranglah lautan itu, dan Jika kakanda menempuh lautan api, kakanda santaplah sekapur, nescaya padamlah api itu, apabila kakanda menempuh lautan sejuk, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah sejuk itu, dan apabila kakanda menempuh lautan kuning, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah kuning itu, dan apabila kakanda menempuh lautan hijau, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah hijau itu dan apabila kakanda menempuh lautan masin, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah masin itu, dan apabila kakanda menempuh lautan bisa, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah bisa itu.

3.5 Penggunaan Kiasan dan Perbandingan Berbeza dengan bahasa Melayu moden, bahasa Melayu klasik juga lebih banyak menggunakan kiasan dan perbandingan . Buktinya ialah terdapat banyak dalam hikayat-hikayat Melayu lama. Mungkin disebabkan oleh sifat sastera Melayu klasik itu sendiri, yang pada asalnya dalam bentuk lisan dan penggunaan unsur-unsur tersebut dikatakan dapat menghidupkan suasana penceritaan. Contohnay adalah seperti, Maka Tuan Puteri Bongsu pun lalulah menangis teramat sangat, air matanya seperti mutiara yang putus dari karangannya.

3.6 Penggunaan Koma dalam Ayat

Terdapat terlalu banyak penggunaan koma dalam ayat bagi bahasa Melayu klasik jika dibandingkan dengan bahasa Melayu moden yang hanya menggunakan tanda koma pada tempat tertentu sahaja. Contohnya dapat dilihat dalam ayat di bawah; Ayuhai anakku Tuanku Malim Deman, pergilah berjalan ke hulu sungai ini. Maka adalah seorang puteri bernama Tuan Puteri Terus Mata, anak Raja Jin Islam, ialah yang ada menaruh borak kesaktian, pinjamlah oleh anakanda.

3.7 Penggunaan Perkataan Berdasarkan Ungkapan atau Dialog.

Bahasa Melayu klasik dilihat banyak menggunakan frasa yang berbentuk dialog atau dialog dalam penulisan mereka. Penulisan berbentuk dialog pula tanpa diikuti oleh tanda baca yang sewajarnya. Bahasa Melayu moden hanya menggunakan dialog dalam bentuk tertentu sahaja seperti penulisan novel atau cerpen, serta dengan penggunaan tanda baca yang diletakkan di tempat yang betul. Contohnya yang dapat dilihat dalam karya Melayu klasik yang menggunakan kata ungkapan atau dialog ialah; Ayuhai kakanda, silahlah ambil sirih ini. Jika kakanda menempuh lautan gelap, kakanda santaplah sekapur, nescaya teranglah lautan itu, dan Jika kakanda menempuh lautan api, kakanda santaplah sekapur, nescaya padamlah api itu, apabila kakanda menempuh lautan sejuk, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah sejuk itu, dan apabila kakanda menempuh lautan kuning, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah kuning itu, dan apabila kakanda menempuh lautan hijau, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah hijau itu dan apabila kakanda menempuh lautan masin, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah masin itu, dan apabila kakanda menempuh lautan bisa, kakanda santaplah sekapur, nescaya hilanglah bisa itu.

3.8 Penggunaan banyak Ayat Perbandingan

Bahasa Melayu klasik dilihat banyak menggunakan perbandingan dalam kebanyakan ayatnya. Pelbagai keadaan dibuat perbandingan dengan merujuk sesuatu keadaan yang lain. Aspek perbandingan tentang sesuatu juga ditulis dalam bahasa Melayu moden tetapi dengan cara yang berbeza dan tidak terlalu kerap digunakan. Contoh ayat perbandingan dalam bahasa Melayu klasik ialah;

Dinihari belum lagi tampak, Budak-budak dua kali jaga, Orang muda pulang bertandang, Orang tua berkalih tidur; Embun jantan rintik-rintik, Berbunyi kuang juah ke tengah, Sering lanting riang di rimba; Melenguh lembu di padang, Sambut menguak kerbau di kandang, Berkokok mendung, merak mengigal

3.9 Penggunaan Laras Bahasa Puisi, Seperti Syair, Seloka, Pantun dan Gurindam

Antara perbezaan ketara antara bahasa Melayu klasik dan moden adalah penggunaan laras bahasa puisi dalam kebanyakan penulisan bahasa Melayu klasik. Ayat-ayat seperti ini berulang-kali digunakan dalam kebanyakan naskhah klasik.

Berbeza dengan bahasa Melayu moden, laras ayat seperti ini jarang atau tidak lagi digunakan. Contohnya adalah seperti di bawah; Awak tua bandar terbuka, Emas habis dagangan mudah, Kerbau kambing sesak di pandang, Itik angsa tenang kuala, Merpati lindungan langit, Rengkiang tujuh sejanjar, Teman dengan sekerat kota

3.10 Gambaran Peristiwa Secara Terperinci

Ayat-ayat dalam bahasa Melayu klasik banyak menggunakan susunan yang menggambarkan sesuatu keadaan atau peristiwa secara terperinci. Berbanding dengan bahasa Melayu moden, biasanya penulis menggambarkan sesuatu peristiwa itu secara umum sahaja. Contohnya adalah seperti di bawah; Santap ia santap beradat, Dua suap tiga sudah, Keempat basuh tangan, Kelima kumr-kumur, Keenam makan sirih, Kelat jatuh ke rongkongan, Seri naik ke peroman

4.0 Kesimpulan

Bahasa Melayu klasik dapat disimpulkan sebagai bahasa yang digunakan dalam kesusasteraan, pemerintahan dan undang-undang, agama, sejarah, perdagangan, dan perhubungan iaitu budaya dan kemasyarakatan. Penggunaan bahasa Melayu dapat dilihat dalam beberapa buah karya seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Misa Melayu, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Negeri Johor dan banyak lagi karya yang ditulis dalam tulisan Jawi. Dalam masa yang sama bahasa Melayu Klasik digunakan oleh pengarang untuk tujuan menghasilkan sesebuah karya dalam bidang kesusasteraan, ketatanegaraan, kebudayaan, kemasyarakatan dan keagamaan. Manakala pada abad ke-19 pula, ditafsirkan sebagai bermulanya era bahasa Melayu moden. Sebenarnya, bahasa Melayu moden itu sendiri telah mengalami perkembangan yang sangat drastik dan banyak perubahan yang berlaku sehingga ke hari ini. Walau bagaimanapun, fonemena kini agak membimbangkan. Generasi baru pada hari ini telah kurang jati diri dalam mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda yang sepatutnya berada di tempat yang tersendiri. Mereka gagal untuk menghayati keindahan bahasa Melayu klasik dan mereka juga lemah dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

Disediakan oleh: Mahadi bin Abd Aziz SK Lahar Kepar, Kepala Batas, Pulau Pinang.

14 RUJUKAN

Asmah Haji Omar (1986). Bahasa dan Alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan (1987). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pawang Ana dan Raja Haji Yahya (1987). Hikayat Malim Deman. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

V.I. Braginsky (1994). Erti Keindahan dan Keindahan Erti Dalam Kesusteraan Melayu Klasik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sumber dari: http://edubahasabyayda.blogspot.com/2009/09/sejarah-perkembangan-bahasamelayu.html

Sumber dari: http://koleksikertaskerja1.blogspot.com/2009/03/7-bahasa-melayu-moden-bahasamalaysia_24.html

Sumber dari: http://nassuryibrahim.blogspot.com/2012/06/konsep-ruang-dan-waktu-dalamhikayat_19.html

Sumber dari: http://sasterasmso.tripod.com/id1.html

Sumber dari: http://rujuknota.blogspot.com/2009/07/ciri-ciri-bahasa-melayu-klasik.html

You might also like