You are on page 1of 7

Pengenalan Kreativiti merupakan satu anugerah Allah s.w.

t kepada setiap insan yang berada di atas muka bumi ini, namun kadang kala kita tidak meyedari kelebihan yang dikurniakan itu dan selalu mengabaikannya. Kebolehan semulajadi yang dianugerahkan kepada manusia ini membawa perasaan istimewa dan eksklusif kepada diri individu itu kerana dia sering dianggap mempunyai kualiti sejati yang jarang dijumpai. Ini dapat dilihat pada kenyataan yang diberikan oleh tokoh seni seperti Lowenfeld (1975), percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif. Penyataan ini disokong dengan sifat semula jadi kanak-kanak yang gemar meneroka dan penuh dengan perasaan ingin tahu. Dalam Pendidikan Seni Visual unsur kreativiti ini amat berkait rapat dengan pemikiran kreatif. Kurikulum Pendidikan Seni Visual melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar melalui penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar. Pendidikan Seni Visual juga mampu meningkatkan kualiti berfikir kerana pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi dapat merangsang penjanaan idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi maklumat serta idea, pengolahan simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif, menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara rasional dan fleksibel. Jesteru itu, telah menjadi tanggungjawab para pendidik khususnya guru pendidikan seni visual untuk memupuk dan meningkatkan daya kreativiti di kalangan murid ke tahap yang optimum. 1.1 Definisi Kreativiti

Pelbagai definisi yang diberikan oleh pujangga seni Eropah kepada kreativiti dalam seni visual iaitu kreativiti ialah menghasilkan sesuatu yang baru. Mengikut Kamus Dewan (2002) mentakrifkan kreativiti sebagai satu kemampuan atau kebolehan mencipta daya kreatif dan kekreatifan seseorang. Namun yang pasti menurut de Bono (1970), kreativiti itu memang berlaku tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Lantaran itu, sehingga kini terdapat ribuan maksud berkenaan pemikiran kreatif dan kesemuanya dapat disimpulkan sebagai berikut (Hassan, 1989) dan (Nik Azis, 1994); Terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin creare yang bermaksud membuat (to make). Manakala dalam bahasa Greek pula, Krainein yang membawa makna memenuhi. Dalam bahasa Inggeris create atau cipta dalam bahasa Melayu. Antara definisi lain, June King McFee mentakrifkan kreativiti itu sebagai keupayaan seseorang mencipta

sesuatu yang baru dan pada masa yang sama mampu untuk mengolah idea tersebut kepada idea yang baru seterusnya dapat melahirkan satu idea lain yang lebih bermakna. Walaupun terdapat pelbagai takrifan tentang maksud kreativiti, namun secara ringkasnya kreativiti melibatkan daya berfikir dan kemahiran berfikir dalam melahirkan sesuatu idea yang baru dan asli. Jelasnya menurut Leonard M S Yong (1994), semua manusia dilahirkan dengan potensi untuk bersifat kreatif dan dengan adanya persekitaran serta teknik-teknik yang sesuai maka potensi ini boleh dikenali, dipupuk dan diukur (Jones 1972). Profesor Dr. Ellis Paul Torrence merupakan seorang penyelidik dan ahli akdemik yang tersohor dalambidang kreativiti. Beliau membuat banyak kajian dan penyelidikan tentang perkembangan kreativiti manusia. Berdasarkan kepada penulisan dan kerja-kerja penyelidikannya di dalam bidang kreativiti dan pendidikan akhirnya beliau telah diiktiraf sebagai Bapa Kreativiti. Beliau juga bertanggungjawab dan berjaya mencipta satu kaedah penanda aras bagi membolehkan proses pengukuran tahap kreativiti pada seseorang individu. Instrumen yang telah berjaya beliau bangunkan dan perkenalkan adalah Torrence Test of Creative Thinking (TTOCT). Sebagai menghargai segala jasa dan sumbangannya University of Geogia telah menubuhkan Toorance Centre of Creativity and Talent Development pada tahun 1984. Di samping membangunkan pengujian dan pengukuran kreativiti beliau juga mencipta serta memperkenalkan teori kreativiti di dalam proses penjanaan kreativiti seseorang individu. 1.2 Penggunaan persekitaran dalam membangun pemikiran kreativiti kanak-kanak

Mengikut teori perkembangan Torrence, proses menjurus ke arah pemikiran kreatif kanak-kanak dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pelajar itu sendiri dan juga suasana persekitaran. Persekitaran adalah merangkumi elemen fizikal seperti bahan, alat, ruang dan sosial pula terdiri daripada penjagaan ibu bapa, interaksi dengan rakan sebaya, guru, masyarakat dan sebagainya. Faktor persekitaran dapat membantu dalam membangunkan pemikiran kreativiti kanak-kanak melalui pembelajaran seni visual. Perkembangan seni kanak-kanak dilihat oleh para pengkaji kreativiti manusia adalah seiring dengan perkembangan fizikal, kognitif dan emosi mereka. Dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual, menghargai keindahan alam semulajadi merupakan salah satu daripada objektifnya. Jesteru itu persekitaran adalah merujuk kepada keadaan sekeliling kanak-kanak seperti di rumah, di sekolah dan masyarakat sekelilingnya.

Persekitaran mempunyai hubungan yang amat rapat dengan kreativiti kanak-kanak kerana mereka banyak menghasilkan imej seperti pokok, figura manusia, haiwan dan sebagainya. Persekitaran rumah dan keluarga banyak mempengaruhi perkembangan kreativiti mereka dalam seni visual. 1.2.1 Persekitaran rumah

Rumah merupakan persekitaran terawal yang dialami oleh kanak-kanak. Di sini mereka dikelilingi oleh ibu bapa, adik-beradik dan jiran. Kreativiti kanak-kanak telah diterjemahkan mereka secara tidak langsung melalui contengan dan garisan yang dilakukan. Kita dapat lihat di rumah kanakkanak yang berumur dua hingga lima tahun akan menggunakan kreativiti mereka untuk membuat contengan dan garisan yang tidak terkawal ke atas dinding rumah bagi menggambarkan imej yang diimaginasikan oleh mereka. Walaupun imej yang dihasilkan itu tidak bersifat realistik namun itu adalah percubaan mereka untuk bereksperimentasi dengan garisan. Jika ada ahli keluarga seperti ibu bapa terus memberikan rangsangan, motivasi dan penyediaan alatan dan bahan yang mencukupi kepada kanak-kanak ini, kreativiti mereka akan dapat ditingkatkan. Sebaliknya, jika wujud halangan terhadap aktiviti ini maka perkembangan pemikiran kreativiti kanak-kanak tidak dapat dibangunkan dengan baik. Ini kerana halangan merupakan salah satu faktor yang menyebabkan wujudnya suasana persekitaran yang negatif dan ini akan membantutkan pembinaan pemikiran kreativiti kanak-kanak.

1.2.2

Persekitaran sekolah

Bagi kanak-kanak yang telah memasuki peringkat umur enam tahun ke atas persekitaran mereka telah beralih ke alam persekolahan. Mereka akan dikelilingi oleh rakan sebaya dan guru serta bahan-bahan pembelajaran. Dalam suasana pembelajaran ini kanak-kanak akan mendapat pengetahuan dan kemahiran secara lebih formal dan sistematik yang mana ia amat berbeza semasa mereka berada di rumah. Ini kerana di kawasan persekitaran sekolah khususnya bilik darjah mereka akan mempelajari pendidikan seni visual secara terancang dan ditambah dengan pelbagai kemudahan seperti alat dan bahan yang mencukupi, suasana pembelajaran yang kondusif dan guru yang mahir, secara tidak lansung ia membantu memperkembangkan keativiti. Ini berbeza dengan kanak-kanak yang tidak mendapat pendidikan yang formal dan yang hidup dalam kekurangan

terutama kanak-kanak di kawasan luar bandar. Akibat kekurangan kemudahan dan media kanakkanak ini tidak dapat meningkatkan kemahiran kreativiti mereka walaupun sebenarnya mereka mempunyai bakat dalam seni visual. Oleh itu persekitaran yang lengkap dan positif membantu meningkatkan daya pemikiran kreativiti kanak-kanak. Aktiviti melukis merupakan satu bentuk aktiviti yang banyak digunakan oleh para saintis, pendidik dan ibu bapa bagi menyelami perasaan dan fikiran kanak-kanak kerana ia dapat membantu meningkatkan daya sensitiviti terhadap alam sekeliling mereka. Ini kerana proses melukis lebih menjurus ke arah pengamatan terhadap objek sekeliling di samping melatih deria kanak-kanak supaya menjadi lebih peka dan dapat meningkatkan daya persepsi mereka terhadap persekitaran. Penghasilan karya mereka lebih kepada imejan dalam lukisan figura seperti rumah, kereta, bunga, alat permainan dan sebagainya. Oleh itu, jelaslah faktor persekitaran mempunyai pengaruh yang besar terhadap kreativiti murid di samping dapat meningkatkan daya imginatif kanak-kanak terhadap alam sekeliling dan menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan. Dalam teori perkembangan Torrence, beliau telah mengaris dan memperkenalkan tujuh perkara utama dalam proses penjanaan kreativiti seseorang individu iaitu penyoalan, penemuan, pemerhatian, percubaan, penerokaan, memanipulasi dan aktiviti bermain. Ketujuh-tujuh ciri ini dilihat mampu untuk melonjakkan pemikiran kreativiti kanak-kanak ke tahap yang optimum seiring dengan aspirasi pembangunan negara untuk melahirkan generasi yang berminda kreatif dan kritis agar dapat memajukan negara di persada dunia. 1.2 Penyoalan dapat

Untuk memupuk pemikiran kreativiti kanak-kanak ke tahap yang optimum berdasarkan teori perkembangan kreativiti Torrence unsur penyoalan adalah amat penting bagi tujuan untuk merangsang pemikiran seseorang pelajar perlu dipraktikkan. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru memainkan peranan penting untuk mewujudkan suasana pembelajaran seni visual yang kondusif serta menyeronokkan. Penggunaan kaedah berpusatkan pelajar dan bahan serta teknik sumbangsaran semasa pengajaran akan merangsang pelajar untuk menjana idea yang kreatif. Di dalam proses pembelajaran seni visual, sesi kritikan seni boleh melahirkan dan mewujudkan cetusan pemikiran kritikal yang baik. Guru perlu memberi motivasi dan

menggalakkan murid bertanya dengan pelbagai soalan seperti apa, mengapa, siapa, bagaimana dan sebagainya supaya mereka dapat menjana pelbagai idea yang kreatif dan kritis tentang sesuatu isu atau persoalan yang dikemukakan. Oleh itu, persekitaran bilik darjah yang kondusif akan membantu membina daya kreativiti kanak-kanak. 1.3 Penemuan

Selain itu, suasana persekitaran murid yang dikelilingi alam semulajadi seperti flora dan fauna juga dapat dijadikan sebagai landasan untuk mereka berkreativiti. Ini kerana suasana seperti ini akan mewujudkan pelbagai penemuan melalui aktiviti yang dibuat. Penemuan adalah merupakan satu aspek yang penting dalam usaha guru untuk memberikan galakan dan rangsangan kepada murid untuk tujuan mengalakkan penemuan-penemuan yang terkini melalui kajian dan juga penyelidikan. Dalam hal ini murid-murid digalakan mencuba serta melakukan berbagai ekplorasi dan eksperimen bagi mencari penemuan terkini tentang seni visual melalui aktiviti seni tampak seperti melukis, mewarna dan sebagainya. Aktiviti lawatan sambil belajar ke tempat-tempat menarik seperti zoo, tempat bersejarah, dan kawasan perkhemahan juga dapat membantu meningkatkan kemahiran kreativiti mereka. 1.4 Pemerhatian

Pemerhatian ataupun observasi ini adalah merujuk kepada penggunaan pelbagai deria yang terdapat pada manusia. Biasanya apabila kita memperkatakan tentang pemerhatian, ia berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti dan penghasilan lukisan. Di dalam proses pendidikan seni visual, proses pemerhatian tidak hanya tertumpu pada pengamatan sahaja malahan juga merangkumi deria-deria lain termasuklah deria sentuhan, rasa, hidu dan dengar. Pemerhatian tentang persekitaran yang terdiri daripada pelbagai rupa,bentuk, ruang dan sebagainya akan merangsang pemikiran kreatif murid untuk menghasilkan sesuatu yang baru. Kanak-kanak akan menggunakan pelbagai derianya untuk membuat pemerhatian terhadap alam sekelilingnya seperti tumbuhan, binatang, alam benda dan sebagainya. Proses ini juga boleh diperolehi melalui kemajuan teknologi komputer seperti capaian internet yang mengandungi pelbagai maklumat. Kecanggihan teknologi dapat membantu pelajar untuk meningkatkan daya kreativiti mereka. Melalui pemerhatian ini para pelajar dapat menjana idea baru, jesteru itu meningkatkan rasa ingin tahu dan seterusnya membantu mereka untuk berkreativiti dengan lebih kritis dan inovatif.

1.5

Percubaan

Percubaan dan ekperimentasi yang berterusan bagi mendapatkan hasil yang terbaik adalah satu proses penghasilan kerja yang sangat baik diamalkan di kalangan pelajar. Seseorang yang kreatif tidak akan berhenti dari bereksperimentasi bagi memastikan apa yang dihasilkannya adalah sesuatu yang terbaik. Secara tidak langsung proses mendidik pelajar supaya tidak mudah berpuas hati dan berputus asa dalam membuat ekperimentasi akan berupaya membina satu pengalaman yang berguna ketika menghasilkan karya.

1.6

Penerokaan

Di samping itu juga, persekitaran yang positif akan mewujudkan inisiatif kepada pelajar bagi membuat penerokaan dan ekplorasi dengan menggunakan pelbagai bahan dan peralatan yang terdapat di sekeliling mereka. Dalam konteks ini, pendidik dalam bidang pendidikan seni digalakkan untuk membimbing murid untuk menggunakan bahan terpakai yang terdapat di sekeliling mereka dalam proses menghasilkan karya. Proses ini secara tidak langsung akan membuatkan pelajar berkenaan akan menjadi lebih peka dan sensitif di samping berupaya menjadi seorang individu yang mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling dan secara tidak langsung ianya juga memberi peluang kepada murid untuk mengatur dan menetapkan gaya hasil karya mereka. 1.7 Memanipulasi

Seseorang individu yang mampu bertindak dan menghasilkan sesuatu melalui bahan atau keadaan yang ada merupakan satu proses memanipulasi yang sempurna. Ini bermakna apabila seseorang murid mampu menggunakan bahan dan objek yang berada di sekelilingnya untuk menghasilkan satu karya seni maka proses memanipulasi telah pun berlaku. Manakala di dalam proses pembelajaran seni pula, ia mampu menyedarkan pelajar supaya lebih berjimat cermat di samping mengelakan dari melakukan pembaziran penggunaan bahan semasa menghasilkan karya. 1.8 Aktiviti/Bermain

Aktiviti bermain juga boleh meransang kreativiti individu. Bagi seorang kanak-kanak bermain adalah merupakan satu situasi yang penuh dengan keseronokan dan cabaran. Kreativiti seseorang

kanak-kanak akan lebih terangsang melalui aktiviti-aktiviti yang sempurna dan berbentuk akademik. Ini dengan secara tidak langsung akan membantu merangsang proses perkembangan pemikiran dan kreativiti yang sihat. Bagi guru yang mengajar Pendidikan Seni Visual perlu bijak menyesuaikan aktiviti permainan dengan pengajaran agar murid tidak bosan semasa melakukan aktiviti seni. Ini kerana aktiviti bermain dapat membantu murid membina pemikiran kreativiti mereka. Oleh itu, jelaslah bahawa penggunaan persekitaran murid dengan positif dan berkesan akan dapat membangun dan melonjakkan pemikiran kreativiti mereka ke tahap yang lebih baik menerusi pembelajaran Pendidikan Seni Visual. Ini kerana seni visual tidak dapat dipisahkan dengan pemikiran kreativiti dan nilai-nilai estetika. Berfikiran kritis dan kreatif menurut Torrance (1966) ialah mengaplikasikan pengetahuan seni, kemahiran berfikir dan kemahiran mengaplikasi secara analitis dan kreatif untuk menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang rasional dan bertanggungjawab berkaitan dengan isu kreativiti. Pendidikan Seni Visual merupakan satu disiplin ilmu yang merentas kurikulum dan boleh dikatakan sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Murid-murid yang didedahkan dengan Pendidikan Seni Visual berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan tugasan dalam mata pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Kefahaman menerusi visual tentunya lebih mudah daripada penghafalan fakta menerusi catatan berjela. Peta minda yang digrafikkan lebih berkesan untuk menyatakan sesuatu konsep atau penerangan yang sukar. Prinsip dalam Pendidikan Seni Visual berupaya memenuhi tuntutan dalam masalah ini. Fedman (1996), mendefinisikan Pendidikan Seni Visual sebagai usaha yang melibatkan pelajaran dan pengajaran membuat dan memahami seni, disamping mengetahui tentang dunia diri kita sendiri melalui seni.

You might also like