You are on page 1of 20

PPGPJJ SEMESTER 1 SESI 2012/2013

BML3012 SEJARAH BAHASA MELAYU BAHAGIAN A (ESEI ILMIAH)


(a) Buat satu kajian mengenai suku bangsa atau etnik anda dan hubungannya dengan rumpun bahasa Melayu. (b) Berdasarkan kajian terhadap suku bangsa atau etnik yang dikaji, beri contoh-contoh kata, ayat atau apa sahaja yang sesuai untuk membuktikan hubungan kekerabatan dengan bahasa Melayu.

KUMPULAN: UPSI 03 (A121PJJ) DISEDIAKAN OLEH NAMA NITO ANAK TONY NO. MATRIK D20112055167

NAMA TUTOR E-LEARNING: ENCIK RAZALI BIN AYOB TARIKH SERAH: 11 NOVEMBER 2012

PENGHARGAAN Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan kerana dengan izin-Nya, tugasan ini dapat disiapkan tepat pada masanya. Dalam menyiapkan tugasan ini saya mendapat sokongan dan bantuan daripada pelbagai pihak yang bersungguh-sungguh dalam membantu saya supaya dapat menyiapkan tugasan ini dengan jayanya.. Saya ingin menyampaikan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Encik Razali bin Ayob kerana membantu saya dalam memberikan maklumat dan penjelasan yang sejelasnya untuk membuat tugasan ini. Tidak ketinggalan juga penghargaan untuk rakan-rakan guru yang turut sama membantu dari segi memberi tunjuk ajar dan idea dalam usaha untuk memahami dan menyiapkan tugasan yang diberikan mengikut had masa yang ditetapkan. Saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung sepanjang usaha saya menyiapkan tugasan ini. Sekian, terima kasih.

Kandungan Bil. 1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. 8. Perkara Pengenalan. Latar belakang suku bangsa. Kedudukan lokasi dan geografi. Asal-usul suku bangsa atau etnik. Proses penghijrahan. Hubungan dengan rumpun bahasa Melayu. Perkaitan atau persamaan dengan bahasa Melayu. Rumusan. Muka surat 1 2 3 5 6 8 10 15

Pengenalan Asal-usul perkataan Melayu mengikut R.O Winstedt dalam bukunya The Malays, A Cultural History membahagikan pengertian Melayu kepada dua makna iaitu pertama, orang Melayu adalah bumiputera di sekitar Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera. Makna kedua pula orang Melayu adalah penduduk asal kepulauan Melayu, Farmosa, Filipina dan beberapa puak yang mendiami wilayah Indo-China. Menurut Zuber Usman, perkataan Melayu berasal daripada perkataan Himalaya yang telah disingkatkan kepada Malaya dan kemudian menjadi Melayu. Berdasarkan Slametmuljana, kata Melayu sebenarnya berasal daripada perkataan Sanskrit yang berkembang di dua tempat yang berbeza. Pertama di seberang Utara Selat Melaka, perkataan tersebut mengekalkan sebutan aslinya iaitu Malaya manakala kedua di seberang sebelah Selatan mengalami perubahan bunyi kepada Melayu. Bukti seterusnya ialah catatan dalam tulisan Cina (Tiongkok) dianggarkan ditulis sekitar tahun 644 Masihi yang menyatakan bahawa ada utusan yang mempersembahkan hasil bumi kepada Kaisar Tiongkok yang datangnya dari kerajaan Mo-lo-yeu. Nama Melayu bagi kerajaan Melayu itu berasal dari nama sebuah sungai yang terletak di sekitar kawasan tersebut iaitu sungai Melayu. Penamaan kerajaan atau negeri daripada nama sungai sudah menjadi kebiasaan dalam budaya Melayu seperti nama Negeri Johor, Pahang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak, Siak, Terengganu dan Inderagiri. Mengikut cerita, air sungai itu mengalir begitu deras arusnya selaju orang yang berlari. Oleh itu, nama Melayu diberikan berdasarkan nama sungai itu. Melayu yang dimaksudkan adalah sama dengan pengertian dalam bahasa Jawa bermakna lari. Hal ini boleh dipadankan dengan orang Indo-Melayu (Austronesia) yang bergerak dari Yunan. Bangsa Melayu adalah bangsa termuda di antara bangsa-bangsa lain di dunia. Menurut Kamus Dewan (2006) mendefinisikan Melayu merujuk kepada nama suatu bangsa dan bahasa terutama di Semenanjung Malaysia. Mengikut UNESCO (1972) merumuskan bangsa Melayu adalah satu keluarga bangsa yang mempunyai satu keluarga bahasa yang sama; bentuk fizikal tubuh badan yang hampir sama, berkulit sawo matang, rambut halus, mempunyai ketinggian sederhana; dan penduduk asli di satu kawasan yang sangat besar iaitu dari Madagaskar di pantai timur benua Afrika di barat hingga ke Pulau Paskah (Easter Islands) di Lautan Pasifik berhampiran dengan Republik Chile di timur kemudian dari kepulauan Hawaii dan Taiwan di utara hingga ke Pulau New Zealand di selatan. 1

Latar belakang suku bangsa Malaysia merupakan sebuah negara yang didiami oleh masyarakat majmuk iaitu terdiri daripada pelbagai kaum atau bangsa. Terdapat tiga bangsa utama atau majoriti di dalam negara kita yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Manakala di dalam kepelbagaian bangsa ini pula terdapat lagi kaum-kaum lain seperti Iban, Melanau, Kadazan, dan sebagainya. Negeri Sarawak merupakan salah satu negeri dalam Malaysia yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina, Dayak dan sebagainya. Manakala di dalam masyarakat Dayak pula dibahagikan kepada dua iaitu Dayak Laut yang terdiri daripada suku bangsa Iban dan Dayak Darat merupakan suku bangsa Bidayuh. Semua kaum di Malaysia telah menggunakan satu bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan kita iaitu Bahasa Malaysia. Bahasa yang digunakan mengikut kaum masingmasing adalah berlainan seperti bangsa Melayu menggunakan bahasa Melayu, kaum Cina dengan bahasa Mandarin atau Kantonis, dan kaum India menggunakan bahasa Tamil. Di Sarawak pula, kaum Iban dengan bahasa Iban, kaum Melanau menggunakan bahasa Melanau dan kaum Bidayuh dengan bahasa Bidayuh mereka. Namun suku bangsa Bidayuh sendiri terdapat tiga pecahan bahasa mereka mengikut dialek seperti dialek Biatah, dialek Bau Jagoi dan dialek Bukal Sadong. Masyarakat Bidayuh adalah salah satu suku kaum atau suku bangsa yang terdapat di negara kita, Malaysia. Suku bangsa Bidayuh merupakan salah satu kaum minoriti yang terdapat di negeri bumi kenyalang ini. Namun di dalam bangsa Bidayuh pula boleh dibahagikan lagi kepada suku etnik lain yang mengikut kawasan seperti Selakau di sebelah Lundu, Bidayuh Bau di kawasan Bau, Bidayuh Padawan di kawasan Padawan, Bidayuh Siburan-Penrissen di kawasan Siburan dan Penrissen, dan Bidayuh Serian di kawasan Serian termasuklah Gedong. Suku bangsa Bidayuh di Bau sendiri dapat lagi dibahagikan kepada kawasan seperti Singai, Bau-Lundu, Jagoi, Krokong dan Serumbu. Setiap kawasan akan menggunakan bahasa dialek yang tersendiri di mana terdapat persamaan makna tetapi sedikit perbezaan dari segi bunyi sebutan. Singai merupakan salah satu kawasan yang menjadi pilihan kajian saya pada kali ini. Kawasan Singai adalah tempat kelahiran saya yang mengandungi banyak cerita lama dan kesan sejarahnya. Mengikut cerita dongengnya daripada nenek moyang dahulu menyatakan 2

bahawa Gunung Singai adalah sebuah kapal yang terbalik pada suatu ketika dahulu dan satu lagi cerita dongeng menceritakan bahawa Gunung Singai adalah sebuah lesung gergasi yang telah diterbalikkan pada zaman dahulu. Oleh sebab itulah jika dilihat dari jarak jauh kita akan nampak bentuk gunung itu seperti sebuah kapal atau lesung yang terbalik. Peninggalan sejarah yang paling terkenal sehingga ke hari ini di Gunung Singai ialah sebuah tempat beribadat bagi penganut agama Kristian yang terawal semasa penyebaran agama tersebut di Sarawak. Tempat ini yang terletak di kaki gunung itu adalah tidak jauh dari salah sebuah kampung di kawasan ini iaitu kampung Tanjung yang bersebelahan dengan kampung Atas. Sebenarnya nama kawasan Singai adalah berasal daripada nama gunungnya iaitu Gunung Singai. Menurut W. J. Charter (1994) menyatakan bahawa Singghi atau nama yang biasa disebut penduduk tempatan adalah Singai kebanyakannya mengenai tempat

perlindungan bagi suku bangsa Bidayuh di kawasan berkenaan. Kawasan Singghi atau Singai jika dibandingkan dengan kawasan Bidayuh yang lain mempunyai sejarahnya yang lebih tua. Singghi atau lebih dikenali dengan sebutan Singai adalah di kawasan Dayak Darat iaitu suku bangsa Bidayuh. Sementara mengikut Patrick Rigep Nuek (2002) menyatakan bahawa asal penempatan Kampung Singai adalah bersamaan dengan nama gunungnya yang telahpun wujud sehingga tahun 1963. Selepas beberapa lama, semenjak orang Bidayuh meninggalkan kampung lama telah menyebabkan rumah panjang lama menjadi usang dan runtuh. Persamaan Dayak Darat (Bidayuh) dengan Dayak Laut(Iban) adalah pada masa dahulu mereka menetap di rumah yang disebut sebagai rumah panjang. Manakala keunikan suku bangsa Bidayuh ialah mereka membina sebuah lagi rumah yang disebut sebagai baruk yang berbentuk bulat dan pada zaman dahulu digunakan sebagai tempat menyimpan tengkorak kepala musuh mereka. Kedudukan lokasi dan geografi Singai yang meliputi kawasan di sekitar gunung Singai adalah penempatan suku bangsa Bidayuh iaitu Dayak Darat. Sebenarnya kawasan ini adalah terletak di bawah kuasa pentadbiran daerah Bau dan berada dalam bahagian pertama iaitu Kuching di negeri Sarawak (Patrick Rigep Nuek, 2002). Terdapatnya kawasan yang bergunung, berbukit, tanah rata dan kawasan sawah di tempat tersebut. Gunung Singai terletak bersebelahan dengan Gunung Serapi yang merupakan salah satu stesen pemancar di negeri Sarawak. Di sebelah selatan kawasan ini adalah Bandar Raya Kuching, di sebelah timurnya adalah Matang dan di sebelah 3

barat pula adalah Lundu. Sungai yang mengalir dari kawasan pergunungan ini melalui Sungai Kayan yang bersambung ke Sungai Sarawak kanan dan seterusnya sampai di Laut China Selatan. Pada masa dahulu, kebanyakan orang Bidayuh melibatkan diri dengan aktiviti pertanian seperti menanam padi, menoreh getah dan menanam lada. Kemudian, akibat daripada arus pembangunan di bandar Kuching memnyebabkan mereka telah menukar bidang pekerjaan daripada pertanian kepada kerja di sektor awam dan swasta yang berhampiran. Tempoh perjalanan dari bandar Kuching ke Singai akan mengambil masa lebih kurang 30 minit manakala masa perjalanan dari pekan Bau ke Singai ialah 15 minit dengan kenderaan. Gunung Singai dapat dilihat dari jauh terutama apabila anda sudah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di Sarawak. Gunung ini merupakan salah satu daripada sambungan yang terdapat pada banjaran Kalimantan. Ketinggian Gunung Singai adalah 1,600 kaki (W. J. Charter, 1994) atau lebih kurang 562 meter di atas paras laut (Patrick Rigep Nuek, 2002). Menurut Patrick Rigep Nuek (2002) menyatakan bahawa terdapat lapan buah kampung iaitu Giang yang sekarang dipanggil Kampung Tanjung, Daun yang kini masih dikenali Kampung Daun, Tubon, Saga yang sekarang disebut Kampung Sagah, Sajuong, Moti, Somu yang juga dipanggil Kampung Atas dan Puot yang kini dikenali sebagai Kampung Segong. Pada asalnya, Singai merupakan sebuah kampung yang dipanggil sebagai Kampung Singai. Kemudian Kampung Singai ini telah berpecah kepada lapan buah kampung seperti yang tersebut di atas tadi. Penempatan perkampungan suku bangsa Bidayuh yang mengelilingi hampir setengah kawasan pergunungan itu. Wujud perkampungan yang menggunakan rumah panjang telah dibina di kawasan tanah rata atau di cerun yang agak landai. Walaupun orang Bidayuh tinggal di rumah panjang, namun mereka menganggapnya sebagai sebuah kampung walaupun hanya terdapat sebuah rumah panjang di situ. Berdasarkan kepada lapan buah kampung sebagai satu kumpulan atau kawasan yang digelar Singai menyebabkan mereka menggelarkan diri mereka sebagai Bisingai. Pada masa ini, perkataan Bidayuh tidak biasa digunakan lalu mereka merujuk diri mereka dalam kumpulan yang lebih besar iaitu Daya. Perkataan ini juga biasa digunakan oleh orang ramai secara umum di Sarawak. Apabila merujuk kepada hubungan mereka dengan kampung dalam kawasan Singai, mereka menyebut nama kampung itu seperti Bigiang, Bidaun, Bitubon, Bisaga, Bisajuong, Bimoti, Bisomu dan Bipuot. Begitu juga apabila mereka menggelar bangsa lain seperti orang Cina disebut Bisina, orang India daripada perkataan Tamil disebut Bitami, orang putih atau Eropah disebut Biputis, 4

orang Melayu disebut Kirieng dan orang Iban disebut Sikorang. Asal-usul suku bangsa atau etnik Menurut W. J. Charter (1994), cerita tentang Singghi atau Singai adalah kebanyakannya mengenai tempat perlindungan. Singghi merupakan kawasan yang didiami oleh Dayak Darat iaitu suku bangsa Bidayuh. Setelah sekian lama orang-orang Dayak Darat selalu diserang oleh musuh mereka yang lebih ramai bilangannya dan lebih kuat dari segi fizikal iaitu Dayak Laut bermaksud orang Iban yang datang dari Sungai Saribas. Inilah sebabnya orang-orang Dayak Darat yang hanya mampu menentang secara kecil-kecilan telah berlindung di atas gunung Singai mempunyai tepi curam dan rata di puncaknya. Teknik bertahan di puncak mempunyai kelebihan kerana laluan yang curam dan sempit itu hanya membolehkan pihak musuh mendaki dalam satu barisan. Oleh kerana keadaan ini sama seperti binaan-binaan kota dalam sejarah awal Eropah, mereka yang berada di atas hanya membaling batu ke atas musuh yang cuba naik dan dalam pertarungan satu lawan satu di laluan yang sempit itu maka mereka yang berada di atas sentiasa mempunyai kelebihan. Percubaan serangan terakhir yang diketahui tetapi nasib baik gagal yang berlaku tidak lama setelah ketibaan Rajah pertama iaitu James Brooke pada kira-kira tahun 1840. Pada kali ini, giliran orang-orang Dayak Skrang (Iban) yang datang ke hulu Sungai Sarawak dengan botbot perang seperti kebiasaan mereka telah dipimpin oleh dua orang ketua yang terkenal iaitu Bulan dan Mata Hari. Dayak Skrang menganggap bahawa Rajah seorang pemurah dan sederhana orangnya, mereka meminta kebenaran untuk menyerang orang-orang Dayak Singghi. Namun Rajah tidak bersetuju dan tidak membenarkan Dayak Skrang menyerang Dayak Singghi kerana beliau berpendapat bahawa Dayak Singghi tidak pernah menyerang mereka. Pada ketika itu, Rajah masih belum ditabalkan secara rasmi dan hanya bergelar sebagai Tuan Besar. Oleh itu, mereka berjumpa dengan Raja Muda Hashim yang masih menjadi wizurai di Sarawak di bawah naungan Sultan Brunei. Raja Muda Hashim bersetuju dengan syarat bahawa orang-orang Dayak Skrang akan mengambil kepala manakala orang Melayu mengambil barangan rampasan termasuk wanita-wanita cantik dan kanak-kanak sebagai hamba. Hal seperti ini sudah menjadi satu kebiasaan sejak bertahun-tahun. Walau bagaimanapun, Rajah menghantar beberapa orang utusan untuk menghubungi dan memberi amaran bahawa sekiranya mereka menyerang orang-orang Dayak Singghi, dia 5

akan menyerang rumah-rumah mereka di Sungai Skrang. Maka serangan itu pun dapat dihalang. Tetapi orang-orang Dayak Singghi sentiasa hidup dalam ketakutan dan terus tinggal di puncak gunung itu untuk kira-kira seratus tahun selepas ancaman ini. Akhirnya, sekarang dengan keamanan dan keselamatan di kalangan semua ras dan suku kaum di Sarawak, kebimbangan lama bahawa mereka akan diserang sudah hilang dan telah meninggalkan kubu lama mereka dan menetap di kaki gunung Singghi. Menurut laporan yang mutakhir, tempat perlindungan lama mereka sudah ditinggalkan dan dengan cepat tempat itu telah ditumbuhi hutan. Sementara itu mengikut Patrick Rigep Nuek (2002), penempatan asal Kampung Singai adalah terletak di atas Gunung Singai yang telah wujud sehingga tahun 1963. Kemudian hanya tinggal beberapa keluarga yang menetap di kampung asal tersebut dan peninggalan rumah panjang lama itu menjadi usang dan runtuh. Selepas itu, penduduk Bidayuh mula memindahkan penempatan mereka ke kaki pergunungan tersebut yang bermula seawal tahun 1929 kesan daripada pembinaan gereja Katolik, penyebaran dan pemelukan agama Kristian oleh penduduk kampung yang meninggalkan kepercayaan tradisional. Peristiwa ini berlaku semasa dan selepas Perang Dunia Kedua apabila Sarawak berada di bawah jajahan Jepun kemudiannya di bawah pentadbiran British iaitu sebelum menyertai Malaysia. Proses penghijrahan Pendapat yang menyatakan bahawa asal bangsa dan bahasa Melayu adalah dari Tanah Besar atau lebih dikenali sebagai Teori Yunan telah diterima umum dan lebih popular. Secara keseluruhannya, alasan-alasan yang menyokong teori ini adalah penemuan Kapak Tua di Asia Tengah dan di Kepulauan Melayu menunjukkan adanya proses migrasi penduduk daripada Asia Tengah ke Kepulauan Melayu; adat resam bangsa Melayu mirip kepada adat resam yang diamalkan oleh suku Naga di daerah Assam yang terletak berhampiran dengan sempadan India dengan Myanmar; dan bahasa Melayu adalah serumpun dengan bahasa di Kemboja iaitu bahasa Cham. Ini mengukuhkan kepercayaan penduduk di Kemboja mungkin berasal daripada dataran Yunan dengan menyusuri Sungai Mekong. Secara tidak langsung hal ini menunjukkan pertalian bangsa Melayu dengan bangsa Kemboja dan sekaligus pertaliannya dengan dataran Asia Tengah atau Yunan. Berpandukan teori ini, mengatakan orang Melayu datang dari Yunan ke Kepulauan 6

Melayu menerusi tiga gelombang yang utama iaitu ditandai dengan perpindahan orang Melayu Negrito, Melayu Proto dan diikuti Melayu Deutro. Sebelum perpindahan penduduk Asia berlaku, Kepulauan Melayu iaitu Nusantara ini telah ada penghuninya yang dikenali sebagai penduduk asli. Ahli sejarah mengandaikan orang Melayu Negrito telah ada sejak tahun 8000 SM di Tanah Semenanjung. Mereka tinggal di dalam gua dan sumber pencarian mereka adalah berburu binatang. Alat perburuan mereka diperbuat daripada batu dan zaman ini disebut sebagai Zaman Batu Pertengahan. Sebagai contoh di Kedah pada tahun 5000 SM iaitu pada Zaman Paleolit dan Mesolit telah didiami oleh orang Austronesia yang menurunkan orang Negrito, Sakai dan Semai. Orang Negrito adalah penduduk paling awal di Kepulauan Melayu mengikut data arkeologi yang ditemui di Gua Cha, Kelantan. Kemudian daripada orang Negrito telah diperturunkan pula orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh dan saiz badan yang pendek. Penghijrahan orang Melayu Proto ke Kepulauan Melayu dianggarkan berlaku pada 2,500 SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito seperti kemahiran bercucuk tanam. Kedatangan Melayu Deutro menyebabkan kelompok Melayu Proto berundur ke kawasan pendalaman iaitu memasuki hutan, lembah dan kawasan-kawasan pergunungan. Walaupun kelompok ini telah melarikan diri ke kawasan pedalaman, namun kelompok ini masih wujud sehingga kini dan keturunan mereka dikenali sebagai orang asli yang terdiri daripada orang asli Negrito, Senoi, Jakun dan Temuan. Penempatan Melayu Proto ini telah terpisah-pisah namun begitu bahasa yang dituturkan oleh mereka telah berkembang dan melahirkan dialek-dialek dan bahasa yang berlainan. Penghijrahan orang Melayu Deutro adalah gelombang perpindahan orang Melayu kuno yang kedua berlaku pada 1,500 SM. Mereka adalah manusia yang hidup di pantai dan mempunyai kemahiran berlayar. Golongan Melayu Deutro pula dikatakan mempunyai peradaban lebih tinggi daripada Melayu Proto. Golongan ini mempunyai kemahiran dalam bidang membina petempatan di pesisiran pantai dan terus menetap serta kemahiran yang tinggi dalam bidang pelayaran. Kemahiran yang dimiliki ini membolehkan mereka telah membuka penempatan baru dan seterusnya berkembang di kawasan tersebut. Encyclopedia Britannica mencatatkan bahawa bangsa Melayu merupakan kelompok yang berasal dari Yunan dan telah merantau di antara tahun 2500 S.M. hingga 1500 S.M. 7

Mereka bertaburan mendiami dari Malagasi hingga ke pulau Hawaii di lautan Pasifik. Mereka bertutur dalam pelbagai dialek dari rumpun bahasa Austronesia dalam keluarga bahasa Melayo-Polynesia. Di sini jelas membuktikan bahawa sarjana-sarjana barat sendiri telah mengakui tentang wujudnya bangsa Melayu yang bertaburan di sekitar dua buah lautan yang besar iaitu lautan Pasifik dan lautan Hindi. Hubungan dengan rumpun bahasa Melayu Pengetahuan mengenai asal-usul bangsa Melayu sebagai rumpun bahasa Melayu diperoleh dari bahan-bahan peninggalan purbakala. Maka dengan itu, orang-orang Melayu dan orang-orang yang seketurunan dengannya di seluruh Kepulauan Melayu dikatakan berasal dari Tanah Besar Asia (Asmah Haji Omar, 1985). Alat-alat yang mereka gunakan seperti kapak dan gendang tembaga pernah ditemui di gua-gua di Semenanjung dan di Sungai Tembeling di Pahang telah memperlihatkan persamaan peralatan yang terdapat di Tonkin di negeri China, Jawa dan Bali. Gendang-gendang yang ditemui di Tonkin menunjukkan lukisan perahu yang sama dengan perahu yang digunakan oleh suku-suku bangsa di Borneo dalam upacara kematian. Sementara pada gendang-gendang itu terdapat lukisan orang menumbuk padi atau meniup alat muzik seperti seruling yang sama dengan alat muzik orang Dayak. Perpindahan bangsa Melayu dari daratan Asia itu berlaku secara berperingkatperingkat. Peninggalan-peninggalan purbakala yang dijumpai itu ada yang berasa dari budaya palaeolit, mesolit dan neolit. H. Kern, seorang sarjana Belanda berpendapat bahawa perpindahan itu bermula kira-kira 1500 tahun sebelum Masihi. Kepercayaan dan adat kebiasaan juga dapat menunjukkan arah gerak perpindahan dan perkaitan antara suku-suku bangsa di seluruh kepulauan yang dikenali sebagai kepulauan Melayu itu. Kepercayaan dan adat-adat kebiasaan itu juga boleh dikaitkan kepada kepercayaan dan adat yang terdapat di dataran Asia. Suku-suku bangsa dalam rumpun Melayu ini juga percaya pada petanda-petanda baik dan buruk dari binatang seperti burung, ular dan rusa serta bunyi binatang tersebut. Adatadat dalam menyambut anak yang baru lahir, kematian dan menanam padi serta rentak irama dalam tarian menunjukkan persamaan-persamaan dari suku bangsa ke suku bangsa. Bukti-bukti kebahasaan juga boleh mengaitkan suku-suku bangsa yang dikatakan termasuk dalam rumpun yang sama. Walaupun bahasa-bahasa yang dituturkan oleh suku-suku bangsa di kawasan bukit iaitu orang Bidayuh di Sarawak ini berlainan dengan bahasa Melayu 8

sekarang ini dan berlainan dengan bahasa-bahasa lain yang kawasannya membentang dari Madagaskar ke Kepulauan Easter dan dari Taiwan (Farmosa) ke New Zealand yang keseluruhannya dikenal sebagai kawasan Austronesia. Terdapat persamaan-persamaan terutama sekali dalam perbendaharaan kata dan menurut pola-pola tertentu yang berlaku secara teratur itu tidak mungkin wujud dari pinjaman. Tidak ada penjelasan lain tentang persamaan-persamaan itu selain daripada asal-usul yang sama. Dalam perkataan lain, bahasabahasa yang berkenaan itu berasal dari sumber yang sama iaitu sekarang dikenal sebagai bahasa Austronesia Purba. Mengikut Ismail Hussein (1998) ketiga-tiga rumpun bahasa iaitu Bahasa Austronesia, Bahasa Tibet Cina dan Bahasa Austroasia menguasai lebih separuh daripada bahasa benua Asia. Filum bahasa ini merupakan bahasa yang awal berdasarkan kebudayaan Dongson di Yunan. Ensiklopedia Bahasa Utama Dunia (1998), menjelaskan istilah Austronesia terbentuk daripada unsur formatif bahasa Yunani yang bermaksud pulau-pulau selatan. Jumlah bahasa dalam keluarga bahasa ini dianggarkan dalam lingkungan 500 hingga 1000 bahasa. Austronesia meliputi Madagaskar, Indonesia, Filipina, Farmosa dan kelompok pulau Melanesia, Mikronesia dan Polinesia di Pasifik. Dari segi geografi, secara mudah Austronesia merentasi kira-kira 130 garis bujur timur, satu garis yang melalui barat Pulau-pulau Caroline dan New Guinea. Kawasan barat mempunyai 300 bahasa dengan jumlah penutur lebih 170 juta orang. Bahasa yang terdapat dalam rumpun bahasa Austronesia seperti bahasa Jawa dengan bilangan penuturnya 60 juta orang, bahasa Melayu, bahasa Aceh, Batak, Minangkabau di Sumatera, bahasa Sunda di Jawa Barat, bahasa Madura, Bali, Sasak di pulau-pulau timur Jawa, bahasa Iban, bahasa Ngadju, bahasa Madagaskar dan bahasa Bugis di Sulawesi. Mengikut Asmah Haji Omar (1988), istilah Austronesia untuk rumpun bahasa Melayu pertama kali digunakan oleh sarjana linguistik bandingan iaitu Wilhem Schamidt. Beliau menyimpulkan bahawa bahasa-bahasa itu satu ketika dahulu berasal dari satu sumber yang sama tetapi perkaitan kekeluargaan itu disusur-galurkan kepada jarak masa yang lama iaitu 5,000 tahun ke atas. Sumber yang menurun bahasa-bahasa di daratan dan pulau-pulau diberi nama Filum Austrik. Istilah ini merujuk kepada kelompok bahasa yang lama waktunya 5,000 atau lebih. Filum Austrik dipecahkan kepada dua cabang iaitu rumpun Austronesia dan rumpun Austroasia. Istilah Austronesia dibentuk dari unsur Latin austru dan unsur Yunani nesos iaitu pulau dengan itu Austronesia bermaksud pulau-pulau selatan. Walaupun bahasa Melayu 9

bukan sebuah tetapi bahasa Melayu dan bahasa bangsa asli iaitu Jakun dan Temuan digolongkan dalam bahasa Austronesia. Sebelum istilah Austronesia digunakan, Austronesia dikenali sebagai Malayu-Polinesia. Istilah ini telah dicipta oleh Wilhelm Von Humboldt. Perhubungan ketiga-tiga rumpun bahasa dalam filum bahasa Austrik ialah rumpun bahasa Austronesia, rumpun bahasa Tibet dan rumpun bahasa Austroasia. Rumpun bahasa Austronesia terdiri daripada empat keluarga iaitu bahasa-bahasa Nusantara (Kepulauan Melayu), Polinesia, Melanesia dan Mikronesia. Semua rumpun bahasa Austronesia mempunyai persamaan dan kelainan yang terdapat dalam kalangan keluarga bahasa ini berdasarkan sistem bunyi, pembentukan kata, perbendaharaan kata dan pembentukan ayat. Cabang bahasa Nusantara dipercayai mempunyai jumlah bahasa yang paling banyak iaitu kira-kira 200-300 bahasa. Keluarga bahasa Nusantara atau keperluan Melayu dibahagikan kepada kelompokkelompok dan setiap kelompok boleh dibahagikan lagi kepada beberapa bahagian mengikut kawasan. Bagi memudahkan penelitian, keluarga bahasa Nusantara dibahagikan mengikut daerah dan pulau iaitu Sumatera, Jawa, Kalimantan, Sulawesi, Filipina, Nusa Tenggara, Maluku, Madagaskar dan Tanah besar Asia Tenggara. Kelompok Kalimantan atau Borneo terdapat pelbagai jenis bahasa yang tersebar luas di pelbagai daerah dari Kalimantan Indonesia hingga ke Sarawak, Sabah dan negara Brunei. Kelompok bahasa Kalimantan terdiri daripada Melayu, Dayak, Melanau, Bisaya, Murut, Dusun, Bajau, Sulu, Tidung, Basap, Labu, Kenyah dan Kayan. Bahasa Dayak mempunyai beberapa jenis seperti Iban, Bidayuh, Kedayan, Mualang, Ambawang, Selakau dan lain-lain. Perkaitan atau persamaan dengan bahasa Melayu Bahasa-bahasa bumiputera di Malaysia khususnya di negeri Sarawak telah

memperlihatkan perkaitan yang erat antara satu sama lain. Persamaan yang sangat ketara dan sangat dekat kelihatan pada ganti nama diri, kata bilangan, nama anggota tubuh dan nama kekeluargaan. Sebagai contoh, sila lihat senarai nama anggota tubuh badan yang mempunyai perkaitan di antara bahasa Bidayuh dengan bahasa Melayu seperti di bawah ini: Nama anggota tubuh dalam Bahasa Melayu Kepala Badan 10 Bahasa Bidayuh (Singai) Bak Gonan

Perut Tangan Kaki Rambut Mata Telinga Mulut Hidung Gigi Lidah Kerongkong Jari Kuku Siku Paha Betis Lutut Pinggang Punggung

Toin Tongan Peen Buok Boten Kojit Boba Nung Jupen Jola Gaguong Trinyu Silun Siku Kupang Tigieng Koluob Kupuong Rubat

Perkaitan kata bilangan dalam bahasa Bidayuh (Singai) di Sarawak dengan bahasa Melayu adalah seperti berikut:

11

Kata bilangan dalam Bahasa Melayu Sifar atau kosong Satu Dua Tiga Empat Lima Enam Tujuh Lapan Sembilan Sepuluh Sebelas Dua belas Tiga belas Empat belas Lima belas Enam belas Tujuh belas Lapan belas Sembilan belas 12

Bahasa Bidayuh (Singai) Kosong Ni Dueh Taruh Pat Limuh Nuom Ju Moih Prii Smuung Smuung ni Smuung dueh Smuung taruh Smuung pat Smuung limuh Smuung nuom Smuung ju Smuung moih Smuung prii

Dua puluh Seratus Seribu Sejuta

Dueh pulu Siratus Siribu Sijuta

Persamaan dari segi penjodoh bilangan di antara bahasa Melayu dengan bahasa Bidayuh (Singai) adalah seperti berikut: Penjodoh bilangan dalam Bahasa Melayu Sebaris Sebakul Sebatang Sebiji Sebotol Sebuah Sebungkus Seekar Seekor Segulung Segenggam Semangkuk Seorang Sepintu Sepohon 13 Bahasa Bidayuh (Singai) Ni baris Ni bakul Ni botang Ni kiruang Ni bokam Ni buan Ni muos Ni ikar Ni pereng Ni gulung Ni gaguom Ni makuok Ni urang Ni tiban Ni puun

Seraga Seruas Sesenduk Setitik Setingkat

Ni raga Ni ruas Ni sonuk Ni tatieg Ni tikat

Sementara persamaan dari segi kata nama dan nama kekeluargaan di antara bahasa Melayu dengan bahasa Bidayuh (Singai) adalah seperti di bawah ini: Kata nama dan nama kekeluargaan Aku Awak Dia Kami Kamu Kita Mereka Adik Abang Kakak Emak Bapa Nenek Datuk 14 Bahasa Bidayuh (Singai) Oku Muu Yeh Koih Ingan Otto Nyaa de munu Sudik Sikie de dari Sikie de dayung Sine Samak Sumuk Babai

Pakcik Makcik Cucu Sepupu Anak buah Rumusan

Soma Noyung Sukun Sinoken Onak buah

Di Malaysia pengertian Melayu mempunyai implikasi keagamaan Islam sebab dalam Perlembagaan, orang Melayu ditakrifkan sebagai orang yang bertutur dalam bahasa Melayu, menganut agama Islam dan mengamalkan cara hidup Melayu. Jika dilihat dari sudut yang lebih luas, takrifan Melayu itu telah menjadikan suku bangsa Melayu sebagai satu sistem terbuka bermaksud sesiapa sahaja dapat menjadi ahli suku bangsa Melayu asalkan dia memenuhi keperluan-keperluan dalam takrifan itu. Ungkapan masuk Melayu dapat menggambarkan konsep ini seperti suku bangsa lain yang memeluk agama Islam. Sistem terbuka juga diterapkan di Sarawak terutama di kalangan kaum bumiputera yang terdiri dari pelbagai suku bangsa dan agama. Apabila seseorang dari suku bangsa lain memeluk agama Islam maka dia dikenal sebagai orang Melayu. Di samping itu, di Sarawak terdapat suku-suku bangsa tertentu yang dikenal sebagai suku bangsa Melayu kerana ahli-ahlinya menganut agama Islam. Di Sarawak juga, suku bangsa Narom yang sebenarnya ahli dari subkeluarga Kenyah dikenal sebagai orang Melayu sedangkan orang-orang Kenyah lainnya menganut agama lain dan tidak dirujuk sebagai Melayu. Berdasarkan huraian dan perbincangan di atas itu, jelaslah kepada kita bahawa bahasabahasa yang berkenaan mempunyai persamaan dan juga perbezaan antara satu sama lain. Menurut ciri-ciri bahasanya, kita boleh membuat kesimpulan bahawa bahasa-bahasa tersebut dalam beberapa subkelompok. Ciri-ciri bahasa menunjukkan perkaitan yang erat antara bahasa Bidayuh dengan bahasa Melayu yang melebihi perkaitan kedua-dua bahasa ini dengan bahasabahasa lainnya. Demikianlah juga perkaitan antara bahasa Bidayuh Singai dengan bahasa Bau Jagoi, bahasa Biatah dan bahasa Bukal Sadong atau Bidayuh Serian. Pemecahan kepada subkelompok-subkelompok memberi kemungkinan kemasukan beberapa lagi anggota bagi tiap15

tiap subkelompok seperti bahasa Selakau yang termasuk dalam subkelompok bahasa Bidayuh. Subkelompok-subkelompok Melayu, Bidayuh, Kelabit dan Kenyah juga boleh ditambah anggota-anggotanya. Pengkelompokan seperti di atas menunjukkan bahawa bahasa Melayu dan bahasa Bidayuh memasuki subkelompok yang berbeza. Perkara ini nampak menyimpang sedikit dari apa yang tergambar dalam tulisan-tulisan ahli-ahli kebudayaan orang-orang ini. Biasanya tulisan-tulisan menyatukan kedua-dua subkelompok ini semata-mata mengikut ciri-ciri budaya mereka. Bagaimanapun, ciri-ciri bahasa menunjukkan bahawa perkaitan antara bahasa Bidayuh dengan bahasa Melayu hampir sama darjatnya dengan perkaitan antara mana-mana satu di antara keduanya dengan bahasa Iban, Kayan, Kenyah, Melanau, Kelabit dan sebagainya. Saya berpendapat bahawa ciri-ciri bahasa lebih asas dalam penentuan subkelompok dibandingkan dengan ciri-ciri kebudayaan. Ini disebabkan pengambil-alihan sesuatu bahasa asing dan penguasaannya itu lebih sukar dicapai dibandingkan dengan pengambil-alihan cara hidup dan ciri-ciri kebudayaan. Dalam hubungan ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa antara orang-orang Melayu dan orang-orang Bidayuh terdapat saling pinjam meminjam ciri-ciri kebudayaan dan kehidupan kemasyarakatan secara menyeluruh. Hal ini tidak menghairankan disebabkan kawasan kediaman mereka yang sama dan letaknya rumah-rumah mereka yang berdekatan atau di dalam satu negara iaitu dengan satu slogan Satu Malaysia dan Satu Bahasa Satu Bangsa di mana Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan di negara kita.

16

Rujukan Asmah Haji Omar (1998). Susur galur bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Azhar Wahid dan Razali Ayob (2011). Sejarah Bahasa Melayu. Perak Darul Ridzuan : Universiti Pendidikan Sultan Idris. Ensiklopedia Bahasa Utama Dunia. (1998). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Ismail Hussein (1966). Sejarah pertumbuhan bahasa kebangsaan kita. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim et.al, (2004). Tatabahasa Dewan: edisi semakan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. Patrick Rigep Nuek (2002). A Dayak Bidayuh Community:Rituals, Ceremonies & Festivals. Sarawak : Lee Miing Press Sdn. Bhd. W. J. Charter (1994). Sarawak Zaman Dahulu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like