You are on page 1of 17

KOMUNIKASI DAN KEKELUARGAAN: SATU PERSPEKTIF ISLAM Oleh: Dr.

Amini Amir Abdullah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia Dr. Siti Zobidah Omar (Prof. Madya) Jabatan Komunikasi Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia ABSTRAK Artikel ini adalah satu kertas konsep mengenai kekeluargaan dan komunikasi dari perspektif Islam. Jack G. McAuley (1979) di dalam bukunya, People to People: Essentials of Personal and Public Communication, telah melahirkan kebimbangan terhadap suatu fenomena di dalam komunikasi. Menurutnya, kemajuan komunikasi tidak banyak membantu di dalam menyelesaikan masalah komunikasi kita yang paling asas. Alat-alat canggih komunikasi telah membantu kita menghantar dan menerima mesej; ia tidak membantu kita memahami mesej itu. Beliau kemudiannya menyimpulkan bahawa masalah komunikasi yang paling genting bukanlah masalah mekanikal, ia adalah manusia sendiri. Di dalam kekeluargaan Islam, manusia adalah komponen-komponen utamanya. Seringkali terjadi, keruntuhan rumahtangga adalah kerana manusia yang berada di dalam lingkungan institusi keluarga tidak berjaya mengwujudkan keharmonian dan kedamaian yang sepatutnya menjadi asas kebahagiaan dan keutuhan rumahtangga tersebut. Sungguhpun terdapat faktor-faktor lain, faktor komunikasi tidak kurang pentingnya di dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Kepincangan komunikasi dan kurangnya keberkesanan di dalam berkomunikasi antara ahli-ahli di dalam sesebuah keluarga adalah di antara faktor berlakunya krisis di dalam sesebuah rumahtangga. Bagaimana mengwujudkan sebuah keluarga bahagia sekiranya komunikasi antara manusia atau lebih jelas lagi iaitu sesama anggota di dalam sesebuah keluarga tidak berlaku sama sekali? Bertolak daripada sini, kertas kerja ini bertujuan mengutarakan suatu perspektif Islam tentang komunikasi dan kekeluargaan. Islam amat menitikberatkan komunikasi di dalam sistem kekeluargaannya. Komunikasi yang hendak diwujudkan haruslah secara hikmah (kebijaksanaan) yang merangkumi tatacara dan ketentuan syarak, keikhlasan, diplomasi, pendekatan-pendekatan psikologi dan adil (iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya). Persoalan yang akan dibincangkan juga berkisar dalam soal bagaimana mewujudkan komunikasi keluarga seterusnya meningkatkan interaksi, persefahaman dan meningkatkan jalinan kasih sayang dan kemesraan yang berterusan antara suami dan

isteri dan komponen kekeluargaan keseluruhannya. Dalam konteks Dasar Keluarga Negara, kertas ini menyumbang kepada pengisian dasar tersebut dalam mewujudkan keluarga yang bahagia dan sejahtera. Apabila komponen kekeluargaan itu baik, maka akan baik jugalah sesebuah masyarakat dan begitu juga sesebuah negara. ABSTRACT This article is a concept paper on family and communication from Islamic perspectives. Jack G. McAuley (1979) in his book, People to People: Essentials of Personal and Public Communication has expressed concerns about a phenomenon in communication. He said that the progress of communication has helped to solve our most basic communication. Advanced communication tools have helped us to send and receive messages but it does not help us to understand the message. He then concluded that the most critical communication problems are not mechanical problems, it is man himself. In the Muslim family, humans are the principal components. Often happens, the collapse of marriage is because people who are within the family institution is not able to create harmony and peace as the basis of marital happiness. Although there are other factors, communication factors no less important in a family institution. Communication breakdown and lack of effectiveness in communication between members of the family are among the factors of family crisis. How to foster a happy family if the communication between each member of the family does happen at all? Based on this premise, this paper seeks to discuss family communication from an Islamic perspectives. Muslims place great emphasis on communication in their family system. Communication should be established with wisdom which includes procedures, legislation, sincerity, diplomacy, and psychological approaches to justice (i.e. putting things in the right place). The issue to be discussed also revolves around the question of how to establish communication and family interaction, understanding and improving ties of love and affection among husband and wife as well as family members. In the context of the National Family Policy, this paper contributes to the enhancement of the policy in creating a happy and prosperous family. When the family component is good, the society also will be good as well as the country.

Pengenalan Komunikasi wujud di mana-mana di dunia ini. Kemajuan pesat komunikasi membuktikan bahawa taraf komunikasi antara manusia semakin meningkat. Islam amat menitikberatkan komunikasi antara manusia, begitu juga komunikasi manusia dengan khaliqnya (pencipta). Islam memandang kewujudan komunikasi yang harmoni sesama manusia boleh mengwujudkan persefahaman dan kedamaian manusia sejagat. Bermula daripada sebuah komponen keluarga, membentuk sebuah masyarat dan menuju kepada sebuah negara dan hubungan antara bangsa, ras, agama dan negara jagat. Islam telah menggariskan panduan akhlak dan sistem sosial yang amat terperinci dalam semua konteks kehidupan. Pencapaian tertinggi di dalam pelaksanaan yang melibatkan elemen-elemen ini ialah untuk mencapai martabat keredaan Allah s.w.t (Mardhat Allah). Konsep yang harus diraih ialah melalui konsep Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur (Negara yang aman makmur yang mendapat limpah perkenan dan keampunan daripada Allah s.w.t.). Pelaksanaan dasar-dasar kekeluargaan dan kenegaraan harus tidak terkeluar daripada garis panduan syariat dan konsep Al-Amr bi al-Maruf (menyuruh berbuat kebaikan) dan Al-Nahy an al-Munkar (menegah daripada kemungkaran). Komunikasi kekeluargaan Islam bukan hanya tertumpu kepada aspek-aspek dalaman rumahtangga semata-mata, malahan ianya juga melibatkan masyarakat persekitarannya. Aspek-aspek komunikasi yang wujud di dalam sistem kekeluargaan Islam ialah seperti berikut: 1. 2. 3. 4. 5. Komunikasi sesama pasangan (suami dan isteri) Komunikasi ibubapa dan anak-anaknya Komunikasi komponen keluarga dengan kerabat atau keluarga terdekat Komunikasi komponen keluarga dengan jiran Komunikasi komponen keluarga dengan masyarakat keseluruhan.

Dalam konteks kekeluargaan, Zaleha Ismail (2000) berpendapat cabaran utama bagi wanita Malaysia ialah membina keluarga bahagia. Seorang isteri yang menyediakan juadah untuk suami dan anak-anaknya bukan hanya mempunyai sumbangan kepada keluarganya bahkan turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat juga. Kedudukan seorang isteri dalam rumahtangga amatlah penting kerana tanpa peranan dan komitmen mereka, rumahtangga bahagia tidak akan tercapai. Prestasi keluarga yang baik akan menghasilkan rumahtangga yang bahagia. Rika Fatimah dan A.A. Jemain (2009) telah menggunakan tiga kaedah untuk mengukur prestasi keluarga di Malaysia iaitu hubungan kekeluargaan, perkembangan kekeluargaan dan kelestarian kekeluargaan. Mereka mendapati bahawa kepincangan dalam hubungan kekeluargaan menjejaskan kepuasan keluarga dan prestasi keluarga. Maka, elok benarlah

kertas ini membincangkan mengenai komunikasi kekeluargaan sebagai salah satu di antara elemen utama dalam pemerkasaan hubungan kekeluargaan. Helen B. Andelin (1984) pula menekankan konsep wanita ideal yang boleh dicapai oleh setiap wanita yang berumahtangga. Di samping kepentingan aspek komunikasi keluarga, beliau juga menumpukan kepada kaedah menjadi isteri yang menarik dan memberi perhatian kepada memahami suami, perasaan dan cita rasa suami. Beliau juga memberikan berbagai panduan kepada pasangan isteri akan kaedah untuk bertindak jika suami dalam keadaan terganggu atau tertekan. Pendekatan beliau dalam konteks sistem perkahwinan Barat sungguh mengagumkan melalui kaedah penerbitan buku. Lebih sejuta naskhah karyanya telah terjual dengan 29 kali cetakan sejak tahun 1963 hingga 1984. Pembentukan Rumahtangga Rumahtangga dan keluarga bahagia merupakan idaman bagi setiap pasangan yang ingin melansungkan perkahwinan. Terlebih dahulu asas-asas pembinaan rumahtangga haruslah dititikberatkan semasa melakukan pemilihan jodoh lagi. Tidak kira sama ada pemilihan itu berdasarkan pemilihan sendiri ataupun pemilihan ibubapa, yang penting pemilihan jodoh mestilah dilakukan berasaskan kriteria-kriteria yang telah diajarkan oleh Islam. Kriteria-kriteria yang harus ada pada seseorang calon suami ataupun calon isteri ialah keagamaan, rupa paras, berharta dan berketurunan baik. Di dalam satu sabda Nabi Muhammad s.a.s., baginda menjelaskan: Wanita dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana keagamaannya, pilihlah yang beragama nescaya membahagiakan kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim) Di dalam satu sabdanya yang lain, dijelaskan: Dunia itu adalah perhiasan, dan sebaikbaik perhiasan itu ialah isteri yang solehah. (Riwayat Muslim) Islam menggalakkan perkahwinan yang didasari oleh aspek keagamaan. Walau bagaimanapun, Islam tidaklah mengenepikan aspek-aspek lain. Aspek kecantikan, kehartawanan dan keturunan adalah pelengkap kepada aspek keagamaan. Amatlah beruntung sekiranya keempat-empat aspek ini berada pada pasangan yang ingin berkahwin. Tujuan Islam menggalakkan mencari pasangan yang beragama ialah untuk menjaga keharmonian rumahtangga itu sendiri. Ia haruslah menjadi keutamaan kerana isteri yang beragama akan sentiasa kasih dan sayang kepada suami dalam apa juga situasi, sedar tanggungjawabnya dan taat serta patuh sepenuhnya. Pasangan yang beragama ialah pasangan yang sedar peranan dan tanggung jawab masing-masing terhadap Tuhan, sesama pasangan dan rumahtangga sendiri. Apabila kesedaran ini timbul, sikap bekerjasama, tolong menolong, toleransi, kemesraan dan keramahan, bermanis muka dan layanan sempurna akan menjelma kemudiannya. Kesemua sikap ini terkandung di dalam kaedah komunikasi interpersonal masing-masing. Mana mungkin kelicinan komunikasi berlaku sekiranya masing-masing tidak sedar akan peranan mereka, suasana rumahtangga yang porak-peranda, pasangan yang curang, pasangan yang saling menonjolkan keegoan, bermasam muka dan nilai-nilai negatif

lainnya. Komunikasi akan hancur apabila salah satu pihak bersikap pasif. Komunikasi yang berkesan akan berlaku sekiranya kedua berlapang dada, saling memahami, mengubah sikap dan yang penting bersedia untuk mengadakan interaksi. Barulah persefahaman akan wujud dan keharmonian dapat dibentuk. Hubungan komunikasi yang diwujudkan di dalam sesebuah sistem kekeluargaan bukanlah sahaja melibatkan pasangan suami-isteri dan anak-anak malah melibatkan ibubapa dan kerabat di sebelah kedua pihak. Sebab itu, apabila berlaku penceraian, hubungan kekeluargaan tadi akan turut melibatkan ibubapa dan kaum kerabat pasangan. Komunikasi yang baik harus dijalin dengan semua pihak. Suami harus menghormati dan mengadakan interaksi yang baik dengan ibubapa dan kaum kerabat isterinya dan begitu jugalah dengan isterinya. Kita boleh melihat bagaimana jalinan komunikasi ini berlaku semasa proses pertunangan lagi. Semasa menjalankan pertunangan, keluarga kedua belah pihak berkumpul, berkenalan dan mengadakan perundingan mengenai soal-soal perkahwinan seperti penetapan bayaran mahar dan belanja, masa yang sesuai untuk melakukan upacara akad nikah dan begitu juga dengan walimah (kenduri kahwin). Matlamat Pembentukan Keluarga Islam Perkahwinan di dalam Islam bukanlah sekadar penyatuan jasmani dan batin dua insan berdasarkan akad yang dibenarkan oleh syarak dan kemudiannya terbentuknya sebuah keluarga dengan kehadiran anak-anak. Bahkan perkahwinan dan kekeluargaan di dalam Islam mempunyai matlamatnya yang tersendiri dan lebih luas daripada itu. Matlamat pembentukan kekeluargaan di dalam Islam adalah untuk memelihara keturunan manusia sejagat, memenuhi keperluan naluri seks dan fizikal manusia, memperbanyakkan jumlah keturunan manusia, memperolehi benih keturunan yang baikbaik dan mengwujudkan suasana kasih sayang, tolong menolong, kerjasama dan interaksi sesama manusia. Matlamat-matlamat ini terkandung di dalam beberapa firman Allah s.w.t. Di dalam satu firman Allah s.w.t. yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir (Surah Al-Rum: 21). Di dalam satu ayat yang lain Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih

keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu) (Al-Hujurat: ayat 13). Matlamat perkahwinan ialah untuk memperkembangkan zuriat keturunan manusia, di dalam sebuah firman Allah yang lain, bermaksud: Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu (Surah Al-Nisa: ayat 1). Lelaki ataupun suami adalah ketua keluarga dan rumahtangga. Manakala wanita atau isteri pula adalah pemimpin rumahtangga semasa ketiadaan suaminya. Dengan erti kata lain setiap insan adalah pemimpin dan dipertanggungjawabkan atas kepemimpinan masing-masing. Sabda Rasulallah s.a.w. yang bermaksud: Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggung jawab terhadap pimpinannya. Seorang ketua adalah pemimpin dan orang lelaki adalah pemimpin ahli keluarga rumahnya. Orang perempuan adalah pemimpin rumah dan anak-anak suaminya. Maka setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggung jawab terhadap pimpinannya (Yusuf Abdullah Al-Turki, 1992: 41-42). Menjalin Komunikasi Keluarga Secara Mudah Komunikasi keluarga banyak membabitkan prinsip-prinsip komunikasi antara peribadi. McAuley (1979) mendefinisikan komunikasi antara peribadi adalah komunikasi antara manusia yang berlaku dalam keadaan yang membolehkan seseorang membalas secara terus antara satu sama lain. Berkait dengan soal ini, pembuka bicara di dalam berkomunikasi secara Islam ialah memberi salam kepada saudara seagama, isteri, suami, ibubapa, anak-anak atau kepada audien yang majoritinya Islam. Memberi salam dan menjawab salam adalah etika komunikasi Islam yang terpenting. Lebih kerap memberi salam adalah lebih baik. Ianya amat mudah dan ringkas, hanya dengan dua perkataan iaitu assalamualaikum yang secara tidak langsung mendoakan hidup seseorang sepanjang hari itu penuh barakah dan kebaikan. Memberi salam fungsinya ialah untuk memupuk rasa cinta dan kasih sayang, mengeratkan tali silaturrahim dan keakraban sesama manusia. Rahsia keharmonian rumahtangga ini kurang disedari oleh kita semua. Perhatikan sebuah hadis Rasulullah s.a.w., sabdanya yang bermaksud: Sukakah kamu aku tunjukkan sesuatu, apabila kamu kerjakan kamu akan saling mencintai? Sebarluaskanlah salam sesama kamu (Al-Sabuni, 1987: 239). Memberi salam hukumnya sunat manakala menjawab salam hukumnya wajib. Memberi salam dan menjawab salam memanifestasikan rasa kesatuan, sikap ambil berat dan

pembuka bicara mengikut etika Islam. Orang yang berbuat baik, berkomunikasi secara sopan, berlemah-lembut dan bersikap toleran dan sabar terhadap isterinya dianggap sebagai salah satu bukti kesempurnaan akhlak dan kemantapan imannya. Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya. Dan orang yang paling baik di antara kami ialah orang yang sangat baik kepada isterinya (Imam Muslim, 1981: 512-513). Dalam konteks maksud berbuat baik kepada isteri juga ialah suami yang berbaik-baik dengan isterinya, berkomunikasi dan berinteraksi secara bersopan dan beradab, berlemah-lembut dan bersikap halus terhadap isteri. Kualiti serta sikap sebegini harus sentiasa diamalkan dalam kehidupan sehari-hari. Namun demikian, ini bukanlah bermakna si isteri boleh melakukan sesuatu sewenangwenangnya di luar batas-batas syarak. Suami atau isteri berhak menegur seandainya didapati berlaku sesuatu yang melanggar syariat. Suami sebagai pemimpin kepada keluarga biasanya mempunyai kuasa pemutus soal rumahtangga kerana ia adalah pemimpin keluarga. Isteri pula adalah pembantunya dan wajib menuruti perintah suami selagi mana tidak terkeluar daripada garis ketentuan syariat. Dalam akhlak Islam, isteri mesti meminta izin dari suami untuk keluar rumah. Suami harus diberitahu ke mana ia pergi kerana soal keselamatan keluarga dan diri isteri terletak di bahu dan di bawah tanggungjawab suami. Perkara ini juga termasuk di bawah prinsip ketaatan kepada suami. Orang yang tidak melayani isterinya dengan baik, tidak memperlakukan isterinya mengikut tuntutan Islam dianggap sebagai menghina isterinya dan orang itu juga dianggap sebagai orang yang hina. Orang yang memuliakan isterinya dianggap sebagai seorang yang berhati mulia. Nabi Muhammad s.a.w. memuji orang yang memuliakan wanita dan menganggap orang yang menghina mereka sebagai orang-orang yang hina. Rasullullah s.a.w. sendiri merupakan model terunggul yang harus dicontohi dan diteladani. Baginda begitu mesra dan intim dengan para isterinya. Baginda sering menghabiskan masa senggangnya dengan para isterinya. Sebab itu kita lihat isterinya Saidatina Aishah r.a. merupakan antara orang yang paling banyak meriwayatkan Hadis daripada baginda. Di dalam Islam, wajib bagi semua komponen keluarga berkomunikasi sesama mereka secara baik dan berkesan. Para suami-isteri mestilah melayani dan memperlakukan pasangan masing-masing dengan baik dan penuh penghormatan sehingga dapat mengwujudkan persefahaman, kemesraan dan ketenangan di dalam keluarga. Firman Allah s.w.t.: Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadaNya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana

boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu) (Surah Al-Nisa: 19). Anak-anak juga mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap ibubapa mereka. Islam mengajarkan para anak memberikan perhatian dan penghormatan terhadap ibubapa mereka. Apatah lagi seandainya para ibubapa telah lanjut usia dan perlukan bantuan anak-anaknya. Anak-anak yang menderhaka kepada ibubapa tidak mengambil berat tentang mereka, tidak menghormati bahkan walaupun menyanggah merka dengan berkata ah dianggap tidak akan mencium bau syurga. Perhatikan firman Allah s.a.w. tentang kewajipan anak-anak terhadap ibubapa mereka: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil" (Surah al-Isra: 23-24). Ayat ini menegaskan bahawa Allah memerintahkan supaya manusia jangan menyembah selain daripada Dia dan hendaklah manusia berbuat baik kepada ibubapa mereka dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedua ibu bapa itu atau kedua-duanya berumur lanjut dan berada pula di bawah pemeliharaan anak-anak, maka sesekali janganlah diherdik keduanya perkataan ah, janganlah dijerkah mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Allah juga menegaskan agar manusia merendahkan diri terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan doakanlah mereka dengan berkata: Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka mendidik aku sewaktu kecil. Kita wajib mensyukuri Tuhan dan berterima kasih kepada ibu bapa kita kerana mendidik kita menjadi manusia yang sebenarnya. Tanda terima kasih kita terhadap ibu bapa bukanlah hanya melalui ucapan semata-mata bahkan ia adalah melalui perlakuan dan perbuatan, ihsan belas, pertuturan, menjaga kebajikan, memberi perhatian dan mendoakan kebaikan terhadap mereka. Di dalam satu firman Allah s.w.t., diungkapkan maksud berikut: Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) (Surah Luqman: ayat 14). Di dalam sebuah keluarga, Islam memberikan garis panduan yang cukup jelas untuk menwujudkan keharmonian dan kedamaian sebuah rumahtangga. Isteri sebagai tiang seri rumahtangga mendapat penghormatan yang sewajarnya daripada Islam. Sebab itu banyak sekali saranan daripada al-Quran dan Hadis yang menyeru agar para suami

melayani isteri masing-masing dengan sebaik mungkin. Kewajipan suami ialah memberi nafkah, melayani isteri, menghormati isteri, bergaul mesra dengannya, memperlakukannya secara wajar sesuai dengan naluri lembut kewanitaannya dan mendahulukan kepentingannya mengikut keutamaan. Di dalam sepotong ayat, Allah s.w.t. berfirman: Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan-perempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kamu menyakiti mereka (dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil balik sebahagian dari apa yang kamu telah berikan kepadaNya, kecuali (apabila) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu) (Surah Al-Nisa: 19). Ayat ini menjelaskan bahawa komunikasi antara suami-isteri harus dijalankan secara baik. Sebagai manusia, kadang-kalanya ada kerenah tertentu atau kejadian tertentu yang menyebabkan suami merasa marah atau kecewa dengan isterinya. Al-Quran awal-awal lagi menasihatkan para suami agar bersabar terlebih dahulu kerana setiap peristiwa yang Allah paparkan itu mengandungi banyak hikmah dan rahsianya walaupun dari segi zahirnya ia amatlah kurang menyenangkan. Kerana itu, Islam menggalakkan sikap bersabar dan menahan diri daripada marah yang meluap-luap dan sikap yang tidak menyenangkan diri para isteri. Harus diingatkan bahawa kesabaran itu merupakan senjata penting semasa berlakunya konflik di dalam rumahtangga. Kadar perceraian akan dapat dikurangkan sekiranya setiap pasangan mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Komunikasi sesama anggota keluarga Islam mestilah berlandaskan hikmah. Hikmah bermaksud bijaksana dalam segala hal, menggunakan diplomasi serta psikologi, berlemah-lembut sesuai pada tempatnya, bertolak-ansur, bersabar, tegas dan sebagainya. Para isteri haruslah diberikan didikan dan nasihat yang sempurna secara penuh hikmah. Bimbingan suami amat-amatlah diperlukan kerana ia adalah peneraju utama rumahtangga. Untuk itu, suami haruslah berilmu kerana tanpa ilmu, pendidikan tidak akan berhasil. Begitu juga seorang ketua keluarga perlu mempunyai akhlak yang baik kerana ia kelak menjadi teladan kepada anggota keluarganya yang lain. Seseorang suami haruslah menggunakan pendekatan-pendekatan yang penuh hemah, lemah-lembut dan bijaksana. Satu perkara penting yang harus diambil kira ialah naluri dan sifat semula jadi kewanitaan para isteri. Di dalam satu Hadis digambarkan kaum wanita ini diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok. Sekiranya para suami menggunakan kekerasan di dalam usaha mendidik mereka, nescaya diibaratkan tulang rusuk itu akan patah. Sekiranya dibiarkan, nescaya ia akan bengkok untuk selama-lamanya. Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: Berpesan-pesanlah kepada wanita secara baik kerana perempuan itu dijadikan daripada tulang rusuk yang paling bengkok, dan tulang rusuk yang paling bengkok adalah yang di atasnya. Jika engkau cuba meluruskannya dengan cara yang keras nescaya engkau akan mematahkannya. Tetapi sekiranya engkau biarkan sahaja, nescaya ia tetap bengkok sedemikian rupa. (Nasaruddin, 2004: 14)

Hadis ini menerangkan dengan jelas suatu unsur penting di dalam aspek pendidikan dan komunikasi kekeluargaan Islam. Kalimah berpesan-pesan bermaksud menasihati, mendidik da mendekati para isteri dengan tujuan untuk mengajar dan memperbetulkan. Ini haruslah dilakukan secara khair iaitu secara terbaik. Hadis ini juga mengenegahkan sifat peribadi keperempuanan. Mereka adalah makhluk yang sensitif, bernaluri lembut, perlukan belaian kasih sayang serta didikan dan asuhan. Satu perkiraan penting dalam usaha untuk mendekati sifat-sifat mereka ini adalah melalui penggunaan kelembutan, penuh diplomasi dan psikologi. Seandainya penggunaan kekerasan yag terlalu melampau digunakan, tujuan pengajaran dan penasihatan tidak akan tercapai kerana pendekatan yang salah tidak akan mencapai matlamat. Hadis ini juga menerangkan betapa sukarnya untuk mengasuh dan mendidik kaum wanita. Tulang rusuk yang keras tidak semudah itu untuk diluruskan. Ini menunjukkan bahawa proses pendidikan itu akan memakan masa yang lama dan perlukan kesabaran di dalam setiap langkah pelaksanaannya. Adalah lebih baik sekiranya soal melakukan pembetulan dijalankan di peringkat awal lagi. Sekiranya akhlak yag buruk sudah menjadi kebiasaan dan terlalu lama berakar umbi di dalam diri wanita, tugas memperbetulkan akan menjadi semakin sukar. Namun, ia bukanlah mustahil. Ramai ibu bapa menghadapi masalah untuk menyuruh dan mengarah anak untuk menutup aurat. Komunikasi ibu bapa dengan anak dalam permasalahan ini amatlah tidak berkesan. Ramai ibu bapa gagal untuk mendidik anak-anak mereka bagi menutup aurat sedangkan ianya adalah perintah Allah. Firman Allah dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka Dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Menutup aurat termasuk dalam adab berpakaian. Rasulullah telah menegur Asma binti Abu Bakar ketika beliau memasuki rumah Rasulullah s.a.w. dengan berpakaian nipis. Rasulullah menyatakan kepada Asma bahawa bagi wanita yang telah baligh, aurat mereka ialah keseluruhan badan kecuali muka dan dua tangannya sahaja (Nik Ismah, 1989: 10). Satu lagi perspektif komunikasi kekeluargaan Islam ialah aspek pemuafakatan. Segala perkara berkaitan kebaikan rumah tangga mestilah didasari atas perkiraan pemuafakatan suami dan isteri. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: Bermuafakatlah dengan mereka (para ibu) tentang kemaslahatan anak-anak perempuannya (Riwayat Abu Daud) (Mansor Asyari, t.t.: 10). Para suami isteri haruslah menanam sikap saling memaafkan. Konsep kemaafan bukanlah hanya wujud pada setiap Hari Raya sahaja. Adalah lebih elok sekiranya pasangan suami isteri sering bermaafan walaupun pada setiap hari. Sikap ini akan menwujudkan suasana yang harmoni kerana setiap salah faham yang wujud tidak akan merebak dan

10

berpanjangan. Salah faham yang tidak berkesudahan dan pertelingkahan yang tidak berpenghujung akan mencetuskan keretakan komunikasi sesama keluarga. Sikap bermasam muka dan tidak bertegur sapa akan membawa hubungan menjadi semakin dingin. Kemudian timbullah sikap kebencian dan kemarahan yang meluap-luap yang akan membawa kepada keadaan yang lebih parah yang mungkin membawa kepada perceraian. Untuk mengatasi masalah ini, eloklah sekiranya diambil langkah pencegahan sebelum ianya merebak. Suami isteri juga haruslah memberikan pertimbangan yang adil ke atas tindak tanduk dan perlakuan pasangan masing-masing. Manusia mempunyai sifat-sifat yang baik dan juga sifat-sifat yang buruk. Manusia sering melakukan kesilapan. Jangan terlalu cepat mengambil kesimpulan tentang keburukan pasangan masing-masing. Pertimbangkanlah juga tentang kebaikan pasangan masing-masing. Setiap makhluk mempunyai kelemahan mahupun keistimewaan yang tertentu dan yang pastinya nobody is perfect. Rasulullah s.a.w. melarang manusia Muslim membenci seseorang perempuan mukminah sebab jika ia membenci salah satu daripada sifatnya, tentu ada sifat-sifat yang lain yang disenanginya. Mewujudkan Komunikasi Antara Keluarga A. Mengadakan Perbincangan Secara Tidak Formal

Bapa sebagai teraju keluarga boleh mengwujudkan satu perbincangan secara tidak formal bersama-sama anggota keluarganya pada situasi dan masa-masa yang difikirkan sesuai. Masa-masa yang boleh dilakukan perbincangan ialah pada waktu selepas makan, selepas minum petang ataupun ketika waktu-waktu makan. Kebiasaan mengadakan perbincangan seperti ini boleh memberikan ruang untuk mengwujudkan komunikasi, merapatkan silaturrahim, bertukar-tukar pandangan dan pendapat, mengetahui masalah masing-masing, menenangkan fikiran, meluahkan perasaan, penyelesaian masalah dan lain-lain lagi. Anak-anak harus diberi peluang untuk mengadu dan memperkatakan tentang soal-soal pembelajaran ataupun apa juga masalah yang dihadapi. Beri perhatian kepada apa yang mereka perkatakan dan yakinkan mereka bahawa kita cukup prihatin dengan apa yang mereka hadapi dan berikan jalan penyelesaiannya sekali. Ini akan mengwujudkan sikap tanggungjawab terhadap sesuatu kerja, mengwujudkan perbincangan yang sihat, penuh kegembiraan dan yang penting mereka merasakan bahawa mereka dihargai dan diberi perhatian. B. Menunaikan Tuntutan Agama Secara Bersama

Seorang bapa yang baik, yang ingin mengwujudkan komunikasi yang berkesan sesama keluarga akan mencari ruang yang sesuai untuk menunaikan tanggung-jawab keagamaan bersama-sama keluarga. Lakukanlah sembahyang berjemaah secara bersama. Atau boleh juga dilakukan aktiviti-aktiviti keagamaan secara bersama seperti berpuasa sunat, membaca al-Quran, berzikir, berzanji dan berbuka puasa. Kemungkinan juga boleh dilakukan aktiviti gontong-royong khusus untuk anggota keluarga seperti membersihkan halaman dan persekitaran rumah. Ini akan menanam sikap kebiasaan menunaikan

11

tanggung-jawab agama, tolong-menolong, melahirkan rasa keakraban sesama anggota keluarga, kasih sayang dan kemesraan. C. Pertemuan Dari Hati Ke Hati

Jarang sekali orang merancang atau memikirkan pertemuan dua mata sesama anggota keluarga. Pertemuan sebegini adalah penting kerana ada di antara masalah-masalah yang dihadapi oleh anak-anak yang sudah dewasa (baligh) mestilah melalui pertemuan tersendiri dengan anak-anak tersebut. Kebanyakan persoalan yang dihadapi oleh anak-anak yang meningkat dewasa ialah seperti persoalan seks, hubungan sosial dan hukum hakam mengenai anak-anak yang meningkat baligh. Demikian juga peranan ibu untuk memberitahu anak-anak perempuannya berkenaan masalah kewanitaan terutamanya ketika meningkat dewasa dan membantu anak tersebut mengatasi masalah-masalah yang dihadapinya dalam usia yang sebegitu. Pendekatan yang penuh diplomasi dan psikologi haruslah digunakan ketika berkomunikasi dengan anak-anak secara berterus-terang begini. Seandainya pendekatan yang digunakan mengguris perasaannya, maka sukarlah untuk mengadakan pertemuan secara berterus-terang di lain kali. Ibubapa mungkin boleh menggunakan pengalaman mereka semasa remaja untuk menyelesaikan masalah keremajaan anak-anak mereka, ataupun menggunakan ungkapanungkapan yang menarik perhatiannya seperti, Ketika saya berumur seperti kamu ini .......... atau Ayah masa kecil-kecil dulu .............. Ungkapan-ungkapan seperti ini mungkin mempunyai kesan yang mendalam baginya untuk meneruskan perbincangan selanjutnya. D. Mengadakan Aktiviti Sosial Secara Berkeluarga

Ibubapa perlu meluangkan masa mereka untuk berdampingan dengan anak-anak. Jangan biarkan mereka jauh atau mereka membiarkan diri mereka merasakan terlalu jauh daripada ibubapa mereka. Kelak mereka akan bertindak bersendirian kerana merasakan diri mereka tersisih. Implikasi daripada perkara ini juga boleh membawa keruntuhan akhlak kerana kurangnya kawalan dan pengawasan ibubapa terhadap pergerakan anak-anak. Anak mungkin pernah mendengar cerita anak-anak balik ke rumah jauh malam, anak-anak lari dari rumah, anakanak tidak pulang ke rumah berhari-hari lamanya atau anak-anak tidak memberitahu kepada ibubapanya ke mana ia pergi dan lain-lain lagi. Asuhlah anak-anak agar sentiasa gembira ketika bersama-sama keluarganya. Aturkanlah satu program khusus untuk bersantai bersama-sama keluarga anda seperti berkelah, melancong, bersiar-siar pada waktu cuti dan sebagainya. Anak-anak yang mampu berada

12

di bawah kawalan anda akan patuh kepada kehendak anda dan mereka tidak akan berasa terbiar. E. Hindarkan Perselisihan Berpanjangan

Semua pasangan yang telah berkahwin, pasti akan mengalami perselisihan faham. Ia adalah asam garam dalam kehidupan berumahtangga atau dengan ertikata lain ia adalah kelumrahan. Namun demikian, kita sebagai manusia yang berakal mampu untuk mencegah dan mengawal perselisihan yang berlaku daripada berpanjangan ataupun menjadi semakin bersemarak. Konflik suami isteri janganlah sama sekali dipertontonkan kepada khalayak anak-anak. Ini akan meninggalkan kesan psikologi yang kurang baik ke dalam jiwa anak-anak. Anak-anak amat mudah terpengaruh dengan kejadian-kejadian yang berlaku di sekelilingnya. Anak kita akan menjadi kaki gaduh kerana melihat contoh yang ditunjukkan oleh ibubapanya dan meniru perlakuan kedua ibu bapanya. Di samping itu, anak-anak juga akan kebingungan tentang kebenaran. Apakah ibunya yang betul atau bapanya yang betul? Keadaan ini akan menjadi semakin parah seandainya si anak mengambil sikap menyebelahi salah satu pihak. Oleh yang demikian, keharmonian komunikasi keluarga haruslah dijaga kerana ia mempunyai pengaruh yang besar. Barbara Bate dan Judy Bowker (1992: 109) menegaskan: The family is the first communication setting in which you learn who you are and who you are expected to become. For some the family is the place for observing clear human models of effective relationships and the smooth completion of cooperative tasks. For others the family is the source of painful memories of abuse or neglect, pressures to achieve or lack of recognition for achievements. Whichever version or what ever parts of both scenarios fit your own experience, you certainly have received many forms of gender communication during your early years. Keluarga adalah tempat pertama penetapan komunikasi. Keluarga adalah tempat untuk memerhati hubungan kemanusiaan yang berkesan dan tugas-tugas yang memerlukan sikap dan semangat kerjasama. Ada juga orang yang melihat bahawa keluarga menatijahkan memori negatif ataupun tekanan. Seseorang akan mengalami salah satu daripada dua senario ini dalam konteks komunikasi keluarga dan komunikasi gender. F. Jangan Berbohong Ibubapa juga tidak harus berbohong kepada anak-anak mereka kerana anak-anak mudah meniru ibubapanya. Anak-anak yang sedar dirinya dibohongi kemungkinan akan membohongi ibubapanya pula. Komunikasi dan interaksi harian haruslah diisi dengan bicara yang baik-baik, kejujuran, penuh teladan dan pengajaran. Ibubapa mestilah menanam sikap ramah-tamah, saling menghormati dan mengukir senyuman di hadapan anak-anak.

13

Sikap saling menghormati antara pasangan suami-isteri haruslah dijalin setiap masa. Ingatlah, anak-anak sentiasa memerhatikan gelagat anda. Sekiranya seseorang isteri tidak menghormati suaminya atau suami tidak menghormati isterinya, pasangan suami isteri ini mungkin tidak akan dihormati oleh anak-anak mereka kerana mereka melihat contoh yang terdekat. G. Sikap Prihatin

Keruntuhan rumahtangga sering kali berlaku kerana sikap suami dan isteri sendiri. Suami seharusnya sedar tanggung jawab sebagai pemimpin dan ketua rumahtangga. Sebagai seorang pemimpin, suami haruslah mempunyai sikap yang berwibawa, senang diajak berbincang dan bertukar-tukar pendapat, bertolak ansur terhadap bukan perkara-perkara hukum dan fundamental serta senang berbincang dan boleh berkongsi idea. Isteri pula sebagai pembantu suaminya, lebih menjurus peranannya menjaga hal ehwal kehidupan rumahtangga, bersifat pengasih dan penyayang serta mampu menangani kerenah anak-anak. Suami haruslah mengwujudkan keadaan di mana interaksi dan komunikasi berjalan lancar. Sungguhpun kata pemutus biasanya berada di tangan beliau, beliau juga haruslah mengambil kira pandangan dan pendapat isteri dan anggota-anggota keluarganya yang lain. Ini akan mengwujudkan suasana yang harmoni kerana setiap anggota keluarga merasakan mereka juga turut berperanan. Anak-anak juga akan turut bergembira apabila merasakan diri mereka dihargai. Berilah tumpuan kepada apa yang mereka nyatakan, kemudian jawapan kita kemungkinan boleh diselitkan dengan unsur-unsur nasihat, teladan dan pengajaran. H. Komunikasi Ibubapa Dengan Anak-anak Ibubapa harus mengwujudkan komunikasi yang berkesan dengan anak-anak mereka baik dalam apa juga lapangan hidup sam ada penasihatan, pengajaran, kaunseling, pendidikan, ibadah dan aspek-aspek budaya. Fungsi keberkesanan komunikasi adalah untuk kelancaran mesej-mesej yang akan disampaikan. Komunikasi boleh diwujudkan apabila anak-anak merasakan selamat dan selesa untuk berbuat demikian. McAuley semasa mengemukakan konsep asas penggalakan komunikasi telah menekankan tentang perlunya diwujudkan suasana yang mana orang dapat merasakan selamat untuk berkomunikasi. Katanya: Satu daripada cara yang cukup pasti untuk menggalakkan komunikasi ialah dengan mengwujudkan suasana di mana semua rakan merasakan selamat untuk berkomunikasi. Sebaliknya, satu daripada cara yang paling pasti untuk tidak menggalakkan komunikasi ialah memenuhi persekitaran dengan ancaman dan tindak balas pembelaan diri akibat ancaman (MacAuley, 1979: 61). Sebenarnya telah wujud komunikasi dan interaksi antara ibubapa dengan anaknya semenjak anak berada di dalam kandungan lagi. Kajian-kajian yang dilakukan di Barat telah membuktikan bahawa bayi di dalam kandungan yang berumur empat bulan ke atas dapat mendengar aktiviti-aktiviti bunyi yang berlaku di luar perut ibunya. Sebab itu Islam menggalakkan ibu-ibu yang mengandung membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan

14

harapan agar anak di dalam kandungan menjadi anak yang soleh selain daripada habuan pahala kerana membacanya. Inilah apa yang dilakukan oleh para ulama dan terdapat juga anjuran daripada Hadis. Mendidik anak-anak pada permulaan pertumbuhan mereka adalah termasuk di dalam perkara yang utama dan penting. Anak-anak pada prinsipnya diciptakan Allah dengan fitrah yang dapat menerima kebaikan ataupun kejahatan. Hanya ibubapanya sahaja yang dapat membawa anak-anak lepada salah satu daripada unsur ini. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: Setiap bayi itu dilahirkan atas fitrahnya, hanya ibubapanya sahaja yang boleh menjadikan ianya Yahudi, Nasrani atau Majusi (Hardianto, 1999: 338) Ibubapa juga mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mendidik anak-anak demi untuk mendapatkan keredaan Allah s.w.t. Seorang bapa sebagai pemimpin keluarganya mempunyai tanggungjawab yang amat besar untuk mengelakkan keluarganya daripada cengkaman api neraka. Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Tahrim ayat 6, yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. Ayat ini menggesa agar orang-orang yang beriman memelihara diri mereka sendiri dan ahli keluarga daripada api neraka. Ibubapa juga harus berperanan di dalam usaha-usaha mentarbiah, menasihati dan membentuk keperibadian anak-anak. Ramai orang beranggapan bahawa tanggungjawab ini lebih tertumpu secara formal kepada para guru di sekolah maupun institusi pendidikan yang bukan formal. Tanggungjawab pendidikan lebih menjurus kepada peranan para ibubapa. Kami menyarankan agar para ibu bapa membekalkan diri mereka dengan ilmu keibubapaan (parenting education). Masyarakat kita sekarang ini berkahwin pada usia yang terlalu muda. Mereka tidak berpengalaman dan memerlukan banyak tunjuk ajar dan bimbingan. I. Rumusan Kita telah membincangkan konsep kekeluargaan dan komunikasi dari perspektif Islam. Masalah komunikasi yang paling genting bukanlah masalah mekanikal, ia adalah manusia sendiri. Di dalam sistem kekeluargaan Islam masa kini seperti wujudnya kelompangan hingga banyak berlakunya keruntuhan rumahtangga. Keruntuhan rumahtangga adalah kerana manusia yang berada di dalam lingkungan institusi keluarga tidak berjaya mengwujudkan keharmonian dan kedamaian yang sepatutnya menjadi asas kebahagiaan dan keutuhan rumahtangga tersebut. Sungguhpun terdapat faktor-faktor lain, faktor komunikasi tidak kurang pentingnya di dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Kepincangan komunikasi dan kurangnya keberkesanan di dalam berkomunikasi antara ahli-ahli di dalam sesebuah keluarga adalah di antara faktor berlakunya krisis di dalam sesebuah rumahtangga sama ada di peringkat hubungan suami isteri ataupun ibu bapa dengan anak-anak. Asas-asas tentang komunikasi dan kekeluargaan menurut perspektif

15

Islam perlu diketengahkan agar pasangan Islam yang berkahwin dapat mewujudkan komunikasi keluarga seterusnya meningkatkan interaksi, persefahaman dan meningkatkan jalinan kasih sayang dan kemesraan yang berterusan antara suami dan isteri dan komponen kekeluargaan keseluruhannya. Dalam konteks Dasar Keluarga Negara, sedikit sebanyak kertas ini dapat menyumbang kepada pengisian dasar tersebut dalam mewujudkan keluarga yang bahagia dan sejahtera. Apabila komponen kekeluargaan itu baik, maka akan baik jugalah sesebuah masyarakat dan begitu juga sesebuah negara. J. Rujukan Al-Quran Al-Karim. Al-Sabuni, Muhammad Ali (1987), Tafsir Ayat-ayat Hukum Dalam Al-Quran, Jilid 2, Kuala Lumpur: Pustaka Al-Azhar. Al-Turki, Yusuf Abdullah (1992), Nasaih wa Taujihat ila Al-Usrah Al-Muslimah, Riyadh: Al-Maktab Al-Taawuni li Al-Dawah wa Al-irsyad bi Al-Badiah. Bate, Barbara dan Bowker, Judy (1992), Communication and the Sexes, Illinois: Waveland Press. Hardianto Prihasmoro (1999), Ringkasan Kitab Hadist Sahih Imam Bukhari, Jakarta: Pustaka Mizan. Syeikh Abdullah Basmeih (1989), Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian AlQuran, Kuala Lumpur: Jabatan Perdana Menteri. Andelin, Helen B. (1984), Fascinating Womanhood, California: Christian Life Publishers. Imam Abi Al-Husin Muslim bin Al-Hajjaj Al-Khusyairi Al-Naisaburi (1981), Sahih Muslim, Juz. 1, Istanbul: Dar Al-Dakwah. Mansor Asyari (t.t), Rumahtangga Yang Bahagia, Pulau Pinang: Majlis Ugama Islam Negeri Pulau Pinang dan Seberang Perai. McAuley, Jack G. (1979), People to People: Essentials of Personal and Public Communication, Belmont, California: Wadsworth Publication Company. Nasaruddin Umar (2004), Kudrat Wanita dalam Islam, Petaling Jaya: Sisters in Islam. Nik Ismah Nik Abdul Rahman (1989), Bentuk Pakaian Wanita Bekerja Sekarang: Antara Beruniform dan Tidak Beruniform, Kuala Lumpur: Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri.

16

Rika Fatimah dan A.A. Jemain (2009), Status Keluarga Malaysia dalam Perspektif Kualiti, Sains Malaysiana, 38 (5): 735743. Zaleha Ismail (2000), Perjuangan Wanita Malaysia Dalam Pembangunan Negara, Batu Caves: Thinkers Library.

17

You might also like