You are on page 1of 3

Adab Makan Di Majlis Rasmi: Penggunaan Pisau, Garpu dan Sudu

(Dipetik daripada buku Cara Mudah Menguasai Kemahiran Bersosial - Tatacara Diri
Dan Etiket Sosial)

Tidak banyak yang mengetahui atau menitikberatkan adab makan di meja makan semasa
majlis rasmi. Perlakuan ketika makan melambangkan taraf dan hubungan sosial dan
perangai sebenar seseorang individu.

Individu yang mempunyai adab yang baik di meja makan lazimnya dilabel sebagai
seorang yang dibesarkan dengan penuh tatasusila dan dihormati. Seseorang yang nampak
gelojoh, tidak sabar dan tidak mempedulikan orang lain dianggap sebagai seorang yang
tiada didikan dan kurang ajar.

Adab meja makan merangkumi banyak aspek, daripada cara anda menerima jemputan
dan memaklumkan kepada hos, cara berpakaian, ketibaan anda di majlis, cara anda
mengendalikan sudu dan garpu, cara anda melayan pelayan, perbualan anda semasa
makan, etika sebelum, semasa dan selepas makan, dan sebagainya. Antara adab meja
makan yang saya paling kurang mahir ialah cara menggunakan pisau, garpu dan sudu.
Walau bagaimanapun, saya selalu menggunakan tips di bawah untuk membantu saya
ingat sudu dan garpu yang sepatutnya digunakan ketika makan.

Menggunakan pisau, garpu, sudu dan kadang-kadang, tangan!

Penggunaan pisau, sudu dan garpu sinonim dengan makanan ala barat. Jenis makanan
yang dihidangkan lazimnya mengandungi daging atau ayam yang disediakan dalam saiz
besar yang perlu dipotong sebelum makan. Sebagai contoh, steak, lamb chop, grilled
chicken dan sebagainya.

Sekiranya terdapat lebih daripada satu sudu dan garpu yang perlu digunakan, anda perlu
tahu sudu yang sepatutnya digunakan untuk makan, sudu untuk sup, sudu untuk pencuci
mulut dan begitu juga garpu. Ada garpu untuk daging dan ada untuk salad. Jika anda
keliru, jangan bimbang. Lazimnya, juadah yang dihidangkan adalah mengikut kedudukan
sudu dan garpu. Gunakan sudu atau garpu yang terletak paling hujung atau jauh sekali
dan bergerak ke arah dalam.

Sebagai contoh, appetizer akan dihidangkan dahulu, seperti sup, jadi gunakan sudu yang
paling kanan. Begitu juga salad, gunakan garpu yang paling kiri. Namun, trend yang
digunakan sekarang ialah sudu atau garpu akan diberikan mengikut juadah yang akan
dihidangkan. Jadi, anda hanya perlu mengikut sahaja!

Pisau hendaklah dipegang dengan tangan kanan dan garpu dengan tangan kiri. Hal ini
kerana banyak orang yang memotong dengan tangan kanan. Jadi, keadaan ini semata-
mata untuk keselesaan. Lain pula sekiranya anda kidal, anda boleh memotong dengan
tangan kiri.
Cara memakan steak dengan betul ialah anda menggunakan garpu yang dipegang dengan
tangan kiri untuk memegang daging dan memotong dengan pisau. Potong kecil beberapa
ketul daging dan letakkan pisau anda melintang di atas bahagian depan pinggan dengan
bahagian tajam menghadap ke dalam. Tukar garpu ke tangan kanan dan makan perlahan-
lahan. Jangan gelojoh.

Sudu dan garpu hendaklah dipegang secara mendatar dengan mengimbanginya di antara
jari hantu dengan jari telunjuk, dan distabilkan oleh ibu jari. Sudu dan garpu yang telah
digunakan tidak boleh diletakkan di atas meja kerana akan mengotorkan alas meja. Sudu
dan garpu juga tidak boleh diletakkan di dalam mangkuk atau di dalam gelas kerana tidak
stabil. Sudu atau garpu hendaklah diletakkan di tepi piring yang digunakan untuk
mengalas mangkuk.

Kenali jenis-jenis makanan yang boleh dimakan menggunakan utensil yang sesuai atau
dengan tangan

1. Sup – harus menggunakan sudu yang disediakan bagi sup. Sudu tersebut agak dalam
dan bulat bentuknya. Sup mesti dihirup perlahan-lahan. Jangan sampai mengeluarkan
bunyi kerana perbuatan tersebut tidak sopan.

2. Salad – gunakan garpu yang dikhaskan untuk salad. Garpu salad kecil sedikit
berbanding garpu biasa.

3. Ikan – gunakan garpu dan pisau yang dikhaskan untuk ikan. Garpu untuk ikan
selalunya pendek sedikit daripada garpu untuk daging.

4. Daging – gunakan garpu utama yang disediakan.

5. Pencuci mulut – sebagai contoh agar-agar, puding, bubur dan sebagainya. Biasanya
sudu untuk pencuci mulut dibawa bersama dengan mangkuk atau piring sebelum juadah
pencuci mulut dihidangkan.

6. Asparagus – asparagus boleh dimakan dengan tangan asalkan asparagus tersebut tidak
disaluti apa-apa sos. Jika tidak, anda boleh menggunakan garpu yang disediakan untuk
salad.

7. Bacon – apabila bacon iaitu kepingan daging nipis dibakar sehingga garing dan tidak
berminyak, anda boleh menggunakan jari untuk memakannya seperti snek biasa. Hal ini
kerana agak susah untuk memotong bacon yang garing menjadi kepingan kecil. Anda
juga tidak mahu bacon tersebut terpelanting ke tempat lain semasa memotong!

8. Roti – roti mesti dipecahkan dengan tangan, jangan sekali-kali gunakan pisau. Koyak
secebis yang sederhana besar dan makan dahulu sebelum mengoyak cebis yang
seterusnya. Jika mentega disediakan, gunakan pisau untuk menyapu mentega tersebut
pada cebisan roti sebelum anda memakannya. Sekiranya anda dihidangkan roti ban yang
masih panas, anda dibenarkan memotong ban berkenaan memanjang di tengah dan
menyapu mentega di rekahan tersebut bagi mencairkannya.

9. Biskut – biskut lazimnya dimakan dengan tangan walaupun dihias dengan buah-
buahan atau tuna di atasnya.

10. Jagung – sekiranya hanya butir (kernel) jagung yang dihidangkan, anda boleh
menggunakan garpu untuk memakannya tetapi jika dihidangkan secara sebiji-biji, anda
dibenarkan makan dengan menggunakan tangan. Sekiranya mentega disediakan, gunakan
pisau untuk menyapu pada dua baris jagung dan makan dahulu dengan bersih sebelum
menyapu dua baris berikutnya.

11. Kentang goreng, ayam goreng dan burger – makanan seumpama ini dikategorikan
sebagai makanan ringan dan selalunya tidak dihidang di majlis-majlis formal. Makanan
ini boleh dimakan dengan tangan tetapi ayam bakar atau chicken chop hendaklah
dimakan dengan menggunakan pisau dan garpu.

12. Sandwich – sandwich biasa yang dihidangkan tidak mempunyai filling yang terlalu
tebal atau lembik dan boleh dimakan dengan tangan.

13. Buah-buahan kecil bertangkai – kadang-kadang pada juadah pencuci mulut,


dihidangkan buah-buahan kecil seperti ceri, beri dan strawberi yang masih bertangkai.
Anda boleh mengambil dan memakannya dengan tangan. Sekiranya anda tidak mahu
menggunakan tangan, anda boleh menggunakan sudu tetapi berhati-hati, jangan pula
buah tersebut melayang! Bagi gugusan buah anggur yang dihidangkan dengan
tangkainya, anda boleh memotong sedikit bersama tangkainya dan letakkan di dalam
pinggan anda. Jangan ambil buahnya sahaja kerana tangkai yang kosong di hidangan
nampak kurang elok dan tidak menyelerakan bagi orang lain.

You might also like