You are on page 1of 12

1

TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL DALAM KONTEKS PEMBANGUNAN NEGARA MALAYSIA : ISU DAN CABARAN Oleh : Hawati Hasan & Md Yusoff Daud Fakulti Pendidikan UKM ABSTRAK Perkembangan dan kemajuan sesebuah negara diukur dalam pelbagai bidang dalam kerangka menuju kepada sebuah negara maju. Malaysia, sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun telah melaksanakan pelan transformasi yang mencakupi semua aspek termasuk pendidikan. Selaras dengan program transformasi sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, Transformasi Pendidikan Vokasional dirangka bertujuan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif dan berdaya saing yang diiktiraf oleh industri dan diterima dalam pasaran kerja. Kertas kerja ini membincangkan mengenai transformasi pendidikan vokasional dalam pembangunan negara. Namun begitu, timbul perdebatan dari segi kemampuan sistem pendidikan bagi menyediakan generasi muda Malaysia dengan ilmu, kemahiran dan nilai murni yang menyumbang ke arah pembangunan negara abad ke-21. Antara isu yang diperdebatkan ialah dari segi tahap kesediaan guru, kesedaran kerjaya pelajar dan kebolehpasaran sumber tenaga yang memenuhi kehendak industri. Bagi mencapai matlamat tersebut, pelbagai cabaran mendepani sistem pendidikan vokasional sedia ada. Justeru itu, pelbagai pendekatan dan strategi dirangka dalam penambahbaikan sistem yang ada. Antaranya ialah pengukuhan kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan latihan semasa kerja kepada pelajar, meneruskan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan mewujudkan laluan kerjaya yang menarik.

Kata kunci : Transformasi; Pendidikan Vokasional; Pembangunan Negara

1.0 PENDAHULUAN Perkembangan arus globalisasi dan ledakan teknologi maklumat (ICT) membawa impak yang besar dalam kehidupan seharian. Malaysia berjaya menjadi negara maju, berpendapatan tinggi serta mempunyai peranan yang penting dalam ekonomi global, satusatunya pilihan ialah menggerakkan semua potensi, kemahiran dan bakat seluruh rakyat Malaysia secara aktif malah kualiti sumber manusia mestilah dipertingkatkan untuk menambah kecekapan dan daya pengeluaran negara (Sahila Suadi et.al 2012) menjelang abad ke-21. Kemahiran-kemahiran abad ke-21 adalah penting kerana ia mencakupi literasi era digital, pemikiran inventif, komunikasi berkesan, produktiviti yang tinggi serta mempunyai norma dan nilai kerohanian. Penguasaan kemahiran ini akan melahirkan rakyat yang mampu mengaplikasikan segala kecanggihan ICT, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, berdaya saing dan mempunyai sahsiah diri dan interpersonal yang tinggi (Zamri Mahamod 2011). Tenaga pekerja mahir merupakan syarat asas untuk menjamin perkembangan dan pembangunan ekonomi negara menjelang tahun 2020. Ini kerana latihan kemahiran dikenal pasti menjadi tonggak kejayaan sektor ekonomi di negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman. Negara tersebut mempunyai sistem latihan yang mantap serta mampu menghasilkan tenaga kerja yang kompeten serta memenuhi keperluan sektor industri. Sistem pendidikan Malaysia telah diangkat di arena antarabangsa malah secara tidak langsung dapat menambah modal insan yang berkemahiran untuk membantu pembangunan negara dan individu tersebut (Noor Azreen dan Sulaiman 2012). Justeru, fokus pembangunan tenaga manusia di Malaysia adalah untuk meningkatkan seramai mungkin sumber tenaga kerja melalui pendidikan dan latihan (Mohd Ghazali 2007). Sistem pendidikan di Malaysia juga telah berubah dan tidak ketinggalan perubahan yang begitu ketara berlaku dalam pendidikan vokasional seiring perkembangan arus globalisasi. Semenjak mencapai kemerdekaan 55 tahun yang lalu, sistem Pendidikan Vokasional di Malaysia telah mengalami pelbagai inovasi dalam menentukan perkembangan potensi individu. Hal ini sejajar dengan cabaran globalisasi baru ke atas pendidikan vokasional masa kini yang memerlukan paradigma yang lebih berinovasi agar mampu melahirkan modal insan minda kelas pertama (Siti Nor Atiqah et.al, 2011).

Perkara ini turut dibentangkan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak yang menyeru transformasi besar-besaran berasaskan inovasi dilakukan secara menyeluruh bagi membolehkan negara terus berdaya saing, membangun secara mampan dan terselamat daripada belenggu berpendapatan pertengahan (Rancangan Malaysia Ke Sepuluh-RMK10 2010). Justeru, pendidikan vokasional dilihat sebagai pemangkin untuk menjana tenaga mahir yang berupaya menghadapi cabaran ekonomi baru, dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi yang diperlukan untuk mencapai status negara maju. 2.0 DEFINISI ISTILAH : i. Transformasi Transformasi bermaksud perubahan bentuk seperti sifat, rupa, keadaan dan sebagainya. Transformasi sistem pendidikan di Malaysia direncanakan untuk tempoh 15 tahun akan datang bermula 2013-2025. Transformasi pendidikan ini bermatlamat melengkapkan setiap murid di Malaysia dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan menangani cabaran abad ke-21. ii. Pendidikan Vokasional Vokasional ialah pendidikan dan latihan yang akan menyediakan individu untuk pekerjaan tertentu atau berkaitan dengan pembelajaran berasaskan amali (hands-on). Pendidikan vokasional menyediakan murid kepada kerjaya yang memerlukan kepakaran teknikal yang khusus. Aliran vokasional lebih berorientasikan kerjaya dan berupaya menghasilkan tenaga kerja mahir dan usahawan. iii. Pembangunan Negara Pembangunan Negara bermaksud menjadikan negara Malaysia maju dengan mengukuhkan keadilan sosial, nilai etika, moral, kualiti hidup dan mengamalkan prinsip pentadbiran yang adil serta kecemerlangan ekonomi. Transformasi pendidikan vokasional yang dilancarkan awal tahun 2012 membuka tirai kepada program transformasi sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh Kementerian

Pelajaran Malaysia. Program ini adalah selaras dengan agenda yang telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke Sepuluh iaitu mengarusperdanakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (Mohd Fuad Razali 2012). Sebanyak RM150 juta diperuntukkan dan seramai 20,000 pelajar tercicir mendapat manfaat (RMK10 2010). Kerajaan Malaysia mensasarkan 33% tenaga kerja dalam kategori pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2015 dan 40% menjelang tahun 2020. Dalam memenuhi aspirasi ini, Pendidikan Vokasional adalah laluan penting ke arah melahirkan modal insan yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan, berinovatif dan mampu menghadapi saingan pada peringkat serantau dan juga global serta relevan dengan keperluan semasa. Dalam hal ini, penekanan terhadap penambahbaikan kualiti pendidikan vokasional adalah sangat penting seterusnya menyumbang kepada mencapai hasrat negara Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi (Tan Sri Muhyiddin Yassin 2012). Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) Kementerian Pelajaran Malaysia, Ahmad Tajudin Jab berkata, pengarusperdanaan pendidikan vokasional mampu menjana bakat-bakat yang kreatif dan inovatif serta membantu ke arah mempercepat proses melahirkan tenaga kerja mahir yang mempunyai nilai-nilai insaniah, kebolehpasaran dan kemahiran yang mencapai standard dunia. Transformasi ini melibatkan kurikulum teknik dan vokasional, tempoh pengajian, pengiktirafan persijilan, tenaga pengajar, infrastruktur dan yang paling utama penjenamaan semula sekolah-sekolah menengah vokasional kepada Kolej Vokasional. Pendidikan Vokasional di Malaysia pada masa kini sedang menuju ke arah konsep Pendidikan Untuk Semua (Education For All) seperti yang digariskan oleh UNESCO (United Nations Educational, Scientific, and Cultural Organization). Pelancaran pelaksanaan transformasi Pendidikan Vokasional telah disempurnakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada 6 Januari 2012 dan salah satu tindakan yang digariskan dalam Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional ialah mewujudkan program Pendidikan Asas Vokasional peringkat menengah rendah bermula Tingkatan 1 hingga 3. Ahmad Tajudin (2012) berpendapat, pelaksanaan Pendidikan Asas Vokasional bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga muda berkemahiran tinggi

memandangkan tidak semua pelajar cenderung ke arah akademik yang berorientasikan peperiksaan. Program Pendidikan Asas Vokasional yang dibentuk bertujuan untuk memberi pilihan alternatif kepada pelajar yang cenderung kepada pendidikan bercorak hands-on dan berasaskan pekerjaan (work-based) dari peringkat menengah rendah (Mohd Fuad Razali 2012). Matlamat kurikulum Pendidikan Vokasional adalah ke arah pembinaan jati diri, pengembangan kompetensi keusahawanan dan pembangunan kompetensi kemahiran vokasional pada aras Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 dan Tahap 2. Ketika menjelaskan mengenai kepentingan transformasi pendidikan vokasional, Timbalan Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa hasrat yang terkandung dalam Model Baru Ekonomi Malaysia adalah untuk melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang baharu bagi menjana kekayaan negara. Modal insan sedemikian adalah faktor kritikal bagi menentukan pencapaian kemajuan dan kemakmuran masa depan negara Malaysia. Oleh itu, pertumbuhan ekonomi nasional menuntut peningkatan bilangan graduan dalam bidang vokasional (Tan Sri Muhyiddin Yassin 2012). 3.0 LAPORAN AWAL PELAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN VOKASIONAL 2013-2025 Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 hingga 2025 (PPP Malaysia 2013-2025) diilhamkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui kajian dan penilaian yang mendalam serta penglibatan meluas pihak awam. Berdasarkan kedudukan pencapaian sistem pendidikan Malaysia pada masa kini dan cabaran yang bakal ditempuhi, pelan ini bermatlamat mengukuhkan visi dan aspirasi sistem pendidikan Malaysia sehingga tahun 2025. Pelan ini juga menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif pelaksanaan yang direncanakan dengan terperinci bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara yang dinamik serta memenuhi hasrat dan keperluan semua serta memenuhi pasaran global. Melalui program ini, murid boleh memperoleh Sijil Asas Vokasional Tahap 2 iaitu Sijil Kemahiran Malaysia pada usia yang lebih muda bermula 15. Kemasukan pada usia

yang lebih muda adalah selari dengan sistem global negara lain seperti di Austria dan Jerman yang mempunyai sistem pendidikan vokasional yang mantap. Gabungan kurikulum yang baharu iaitu 70% melibatkan latihan kemahiran vokasional manakala 30% tertumpu pada pendidikan akademik turut diperkenalkan. Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah melakukan penambahbaikan program pendidikan vokasional peringkat menengah atas dengan menukarkan Sekolah Menengah Vokasional kepada Kolej Vokasional. Kolej ini menawarkan kurikulum yang disusun semula dan akreditasi diploma melalui Diploma Vokasional Malaysia. Diploma ini diiktiraf untuk mendapatkan kredit di bawah Standard Kebangsaan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Kurikulum diploma yang baharu ini mengandungi 70% latihan kemahiran praktikal dan 30% pendidikan akademik. Kurikulum ini juga melibatkan tujuh bulan penempatan praktikum. Pelbagai rakan industri dirujuk bagi memastikan keselarasan dengan piawai dan amalan industri (PPP Malaysia 2012). 4.0 ISU DAN PERMASALAHAN Pertambahan jumlah institusi pendidikan vokasional adalah perlu bagi memenuhi keperluan tenaga kerja tempatan. Peratusan pelajar yang berpeluang melanjutkan pengajian di bidang vokasional masih kurang berbanding jumlah peluang yang sepatutnya dibuka (Siti Syahirah 2011). Walau bagaimanapun, baru-baru ini, sistem pendidikan negara sering menjadi perhatian dan bahan perdebatan. Polemik ini berbangkit disebabkan jangkaan ibu bapa semakin meningkat, manakala majikan pula menyuarakan kebimbangan tentang keupayaan sistem pendidikan negara dalam menyediakan generasi muda Malaysia dengan ilmu, kemahiran, dan nilai murni untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi abad ke-21 (PPP Malaysia 2012). Antara isu atau permasalahan yang dibangkitkan dalam melaksanakan transformasi pendidikan vokasional adalah seperti berikut : i. Tahap Kesediaan Guru

Guru-guru di sekolah vokasional mempunyai latar belakang akademik yang berbeza. Sesetengah daripada mereka datang dari sekolah harian biasa dan tidak mempunyai kemahiran dalam aspek pengajaran dan penyampaian serta pengalaman. Siti Syahirah (2011) menyatakan Jabatan Teknik dan Vokasional menghadapi cabaran dalam mengatasi

masalah guru yang berpengalaman dan berkemahiran untuk mengajar walaupun terdapat guru lepasan Pendidikan Teknik dan Vokasional, Universiti Tun Hussien Malaysia (UTHM). Guru-guru baru ini kurang berpengalaman dan ilmu untuk mengajar mata pelajaran vokasional. Selain itu, guru-guru di sekolah vokasional juga mempunyai sejarah latar belakang akademik yang berbeza misalnya mereka datang daripada sekolah harian biasa. Ini akan menimbulkan masalah terutama dalam aspek pengajaran dan penyampaian kerana kurangnya pengalaman iaitu tidak mencakupi keperluan kemahiran yang diperlukan. ii. Kesedaran kerjaya pelajar rendah

Pada masa kini, semakin ramai pelajar yang keliru dengan minat mereka. Menurut Hairunnaja (2006), terdapat pelajar yang tidak tahu peluang kerjaya bagi kursus yang mereka sedang duduki. Masalah pemilihan bidang kerjaya banyak dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Antara faktor yang dikenal pasti adalah minat dan kebolehan seseorang pelajar dalam menentukan hala tuju kerjaya mereka. Pelajar sewajarnya tahu ke mana arah tujuan pendidikan dan kerjaya mereka sejak awal persekolahan menengah lagi. Hasil kajian yang diterajui oleh Yusri (2010) di dalam Graduate Employability graduan UTHM siri 1-2010, berkenaan dengan persediaan sebelum memasuki alam kerjaya. Dapatan analisis menyatakan bahawa hanya 22% responden berbincang dengan kaunselor, 52% mengikuti kerjaya dan hanya 57% menghadiri latihan temu duga. Ini menunjukkan bahawa pelajar secara keseluruhannya kurang mengikuti program-program dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak universiti. Ini jelas membuktikan bahawa kajian perlu dilakukan untuk mengetahui tentang kefahaman hala tuju pelajar-pelajar sedari alam persekolahan dalam aspek perkembangan pendidikan dan kerjaya. Hala tuju ini penting sebagai panduan dan rujukan dalam diri pelajar. iii. Kebolehpasaran graduan yang rendah

Secara sejarahnya pendidikan tinggi dan pendidikan vokasional wujud dengan arah yang bertentangan. Pengajian tinggi seperti universiti lebih menekankan ilmu saintifik yang bersistematik manakala pendidikan vokasional menuntut kepada latihan untuk pekerjaan tertentu. Hasilnya, keluaran universiti dinilai berdasarkan sumbangan pelajar pada sains manakala keluaran pendidikan vokasional lebih menekankan kepada keupayaan untuk mendapatkan pekerjaan yang berguna. Ini menyebabkan sumber tenaga yang dihasilkan

tidak menepati kehendak pasaran global dan tidak memenuhi permintaan majikan yang mementingkan pelbagai kemahiran (Sahila Suadi 2011). Pengangguran dalam kalangan graduan bukanlah suatu isu yang baru. Dilema dalam isu pengangguran sudah menjadi agenda utama perbincangan di seluruh negara (Sahila Suadi 2011). Menurut kajian yang dilaporkan oleh Rasul (2007), peratus graduan Melayu yang menganggur ialah sebanyak 96.33 peratus berbanding graduan kaum lain. Ini dibuktikan melalui perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (2012) menyatakan bahawa pertambahan mereka yang menganggur adalah seramai 385,600 orang. Kadar ini agak membimbangkan kerana secara tidak langsung akan memberi impak kepada pembangunan negara. Isu dan cabaran yang dikenal pasti dalam merealisasikan pembangunan tenaga kerja mahir bagi menyumbang ke arah menjadikan Malaysia negara maju di peringkat global adalah ketidaksepadanan kemahiran di antara pelajar dengan industri, pekerja yang kurang kompeten dan kurang penekanan kepada kemahiran kerja teras seperti kemahiran penyelesaian masalah, kemahiran berkomunikasi dan sebagainya. 5.0 CADANGAN DALAM PPP MALAYSIA 2013-2025 i. Tahap Kesediaan Guru

Kursus Perguruan Lepasan Ijazah telah memperlihatkan peningkatan dari segi standard kemasukan. Peratus pemohon berkelayakan tinggi yang telah ditawarkan tempat dalam program ini meningkat daripada 7% pada tahun 2010 kepada 13% pada tahun 2012. Langkah-langkah yang diambil ini merupakan amalan sistem berprestasi tinggi seperti di Singapura, di Korea Selatan dan di Finland yang membenarkan hanya 10% hingga 30% daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan. Guru adalah tunjang kepada sistem pendidikan negara. Mereka merupakan golongan pelaksana dasar dan matlamat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia. Sehubungan dengan itu, guru-guru sedia ada perlu didedahkan dengan program latihan sangkutan industri. Ini penting bagi memastikan tenaga pengajar bidang vokasional mengetahui keperluan supaya dapat diadaptasikan dalam pengajaran.

ii.

Kesedaran kerjaya pelajar rendah

Guru bimbingan dan kaunseling perlu membantu murid merancang laluan pendidikan dan seterusnya memilih hala tuju kerjaya. Menjelang penghujung tahun 2013, Kementerian Pelajaran Malaysia menyatakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling akan dimasukkan dalam jadual waktu persekolahan menengah. Semua guru bimbingan dan kaunseling dilatih bagi memastikan mereka mempunyai pengetahuan dan kemudahan untuk membimbing murid dengan berkesan. Menjelang tahun 2015, sebanyak 35% murid sekolah menengah rendah akan membangunkan laluan pendidikan dan profil kerjaya masing-masing. Profil ini akan merekodkan minat, sejarah akademik serta pencapaian lain setiap murid, semuanya dibangunkan untuk membantu murid membuat pilihan laluan pendidikan yang bersesuaian pada peringkat menengah rendah. Sebuah buku panduan yang komprehensif berkaitan akademik dan laluan kerjaya dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Buku ini akan digunakan oleh murid, ibu bapa dan kaunselor sekolah untuk membimbing dan membantu murid membuat keputusan dan pilihan laluan akademik dan kerjaya bermula dengan murid Tahun 6 hingga ke peringkat seterusnya. Buku panduan ini akan diterbit dan diagih pada penghujung tahun 2013. Di samping itu, kempen dan promosi kesedaran terhadap pelbagai laluan pendidikan dan keluwesan laluan tersebut diperhebatkan. Kempen tersebut akan menggunakan radio, televisyen, artikel surat khabar, portal atas talian, jerayawara dan pelbagai saluran lain. Kempen ini akan dijalankan bermula pada tahun 2013 sehingga akhir tahun 2015. iii. Kebolehpasaran graduan yang rendah

Kementerian Pelajaran Malaysia akan memastikan sistem pendidikan mempunyai laluan yang jelas, sesuai dengan minat dan keupayaan murid yang berbeza. Laluan ini akan mudah dicapai dan menarik dengan memberikan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi menyediakan murid ke arah profesion pilihan. Menurutnya lagi, fokus akan diberi untuk mengukuh laluan pendidikan sedia ada untuk menjadikan ia pilihan menarik untuk murid. Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia akan memastikan sistem pendidikan menyediakan beberapa laluan pendidikan yang berbeza untuk memenuhi minat serta kebolehan murid yang pelbagai. Laluan ini berdaya maju dan menarik bagi menyediakan peluang pembelajaran yang bermakna dan bersesuaian. Matlamat usaha ini

10

adalah ke arah perkembangan kemahiran khusus dan ilmu pengetahuan yang relevan dengan keperluan laluan khusus yang tertentu. Di samping itu, setiap laluan pendidikan akan disepadukan dengan keperluan pasaran buruh bagi menyediakan murid kepada laluan yang jelas dan terarah kepada bidang kerjaya pilihan mereka. Penawaran kemasukan ke laluan ini bersifat inklusif dan dibuka kepada semua murid termasuk murid berkeperluan khas. Permintaan industri untuk murid lulusan vokasional adalah tinggi dan akan terus meningkat. Pada tahun 2008, Kementerian Sumber Manusia melaporkan terdapat kekurangan sumber tenaga kerja mahir, iaitu melebihi 700,000 orang dalam industri pembuatan, pertanian dan pembinaan. Permintaan untuk sumber tenaga mahir pada masa depan akan terus meningkat. Menjelang tahun 2020, daripada 3.3 juta peluang pekerjaan, sekurang-kurangnya 46% memerlukan kelayakan sijil vokasional atau diploma, berbanding 22% yang memerlukan kelayakan ijazah sarjana muda universiti. Bagi merapatkan jurang permintaan ini, terdapat keperluan untuk menyediakan 50,000 tempat tambahan dalam pendidikan vokasional setiap tahun. Pelan Transformasi Vokasional memerlukan lebih daripada 220,000 penempatan praktikum menjelang tahun 2020. Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengukuhkan kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan latihan semasa kerja kepada pelajar. Bagi menggalakkan lebih ramai rakan industri yang berpotensi menyertai kerjasama ini, beberapa insentif disediakan seperti pelepasan cukai dan memberi keutamaan kepada mereka memilih graduan bagi mengisi peluang kerjaya. Kerjasama ini akan dimeterai secara formal melalui Memorandum Persefahaman antara Kementerian Pelajaran Malaysia dengan rakan industri. Sebanyak 40% kolej vokasional akan menandatangani perjanjian dengan industri utama pada tahun 2015. 6.0 JUSTIFIKASI Secara dasarnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 memberi impak yang positif dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi kehendak komersil dan industri. Walaupun hala tuju transformasi ini jelas namun pada pendapat saya, proses pelaksanaannya masih di peringkat awal dan perlu dibuat penambahbaikan dari semasa ke

11

semasa. Beberapa perkara yang boleh difikirkan semula dalam melaksanakan transformasi pendidikan vokasional di sekolah terutama dari segi pelaksanaan program Kolej Vokasional. Jalinan kerjasama dengan rakan industri bagi menyediakan latihan semasa kerja kepada pelajar perlu diperkukuhkan. Namun begitu, jalinan kerjasama kurang dilaksanakan. Ini menyebabkan pelajar vokasional tidak menepati pasaran kerja. Menurut Akhmal (2011) satu sistem yang dikenali sebagai Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang diperkenalkan perlu diadakan di sekolah vokasional. Sistem ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar kepada keadaan sebenar alam pekerjaan dalam industri. Konsep SLDN dalam mempersiapkan individu yang berkemahiran tinggi ialah dengan mendedahkan pelajar kepada 80% latihan perindustrian yang dilakukan dalam industri itu sendiri dan 20% lagi dipelajari melalui latihan di sekolah dengan mengikut kurikulum yang telah ditetapkan oleh National Occupational Core Curriculum (NOCC). 7.0 RUMUSAN Perancangan pendidikan tidak akan berjaya sekiranya dilaksanakan tanpa mengambil kira kepentingan semua pihak. Perubahan sesuatu dasar dalam tempoh masa yang terlalu cepat boleh menjejaskan objektif sebenar vokasional diwujudkan. Di samping itu, perubahan pendidikan yang kerap dalam tempoh masa yang pendek boleh menyebabkan tenaga pengajar tidak sempat mempelajari dan mempraktikkan pembelajaran dan pengajaran yang berkesan. Di sini dapat ditegaskan bahawa sesuatu dasar perlu dibuat penelitian menyeluruh dalam semua aspek demi masa hadapan generasi muda yang akan menjadi pemangkin kepada perubahan pembangunan negara. RUJUKAN : Ahmad Tajudin Jab. (2012). BPTV Laksana Strategi Lahirkan Modal Insan Terbaik.Pendidik Akhmal & Amimudin. (2011). Sistem Latihan Kemahiran Dua Hala Di Malaysia : Satu Perbandingan Dengan Negara Jerman. Journal of Edupres, Vol. 1 September 2011, Pages 214-222

12

Jabatan Perangkaan Malaysia. (2012). Perangkaan Utama Tenaga Buruh, Malaysia, Ogos 2012. Jabatan Perangkaan Malaysia.Putrajaya. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. (2012). Kementerian Pelajaran Malaysia. Putrajaya. Laporan Jabatan Pembangunan Kemahiran.2008 Mohd Fuad Razali. (2012). Strategi PIPP Kembangkan Pendidikan Vokasional.Pendidik Noor Azreen. Sulaiman. (2012). Pentaksiran Alternatif : Menuju Ke Arah Transformasi Sistem Pentaksiran Di Malaysia. Penerbit : Universiti Tun Hussien Onn Malaysia. Rancangan Malaysia Ke Sepuluh. (2010). Ringkasan Eksekutif 2011-2015. Unit Perancang Ekonomi.Jabatan Perdana Menteri. Putrajaya. Sahila Suadi, Ahmad Esa. (2012). Tahap Kepuasan Pelajar Terhadap Kualiti Perkhidmatan Program Kerjaya Di UTHM. Prosiding Seminar Pendidikan Pasca Ijazah dalam PTV Kali Ke-2, 2012. Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia. Siti Nor Atiqah, Rohana & Amirmudin. (2011). Pendidikan PTV Dalam Membangunkan Tenaga Manusia Berminda Kelas Pertama. Journal of Edupress, Volume 1 September 2011, Pages 279-286. Siti Syahirah. (2011). Transformasi PTV, Kesediaan Guru-guru Vokasional Terhadap Pelaksanaan Kolej Vokasional KPM Aspek Tahap Kemahiran. Fakulti UTHM. Tan Sri Muhyiddin Yassin. (2012). Majlis Pelancaran SkillMalaysia 2011. Auditorium Cempaka Sari. Putrajaya. Yusri. (2010). Graduate Employability UTHM. Siri 1-2010. Fakulti UTHM. Zamri Mahamod. (2011). Memperkasa guru, Mempercekap Pelajar : Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu Dalam Abad Ke-21. Ucaptama Seminar Bahasa Melayu. UKM. Bangi.

You might also like