You are on page 1of 13

JURNAL REFLEKTIF MINGGU KEDUA

Secara keseluruhannya, pada minggu ini saya bersama dengan rakan sepelatih iaitu Nik Ahmad Syafiq berjaya mengharungi dengan jayanya. Pada minggu ini terdapat pelbagai program sekolah antaranya ialah Kejohanan Olahraga Peringkat Zon Butterworth. Jadi, kami berdua turut sama mengikuti program ini kerana ingin turut merasakan bahang kejohanan. Akan tetapi, disebabkan kami berdua terikat dengan praktikum, kami hanya boleh pergi ke stadium hanya untuk acara petang sahaja iaitu bermula dari pukul 3 hingga 6.30 petang. Pada hari pertama pertama persekolahan minggu ini kami menghadapi sedikit kekangan iaitu masa perhimpunan terlalu panjang dari yang dijadualkan sehingga menjejaskan sedikit perancangan pengajaran dan pembelajaran saya. Akan tetapi, saya tidak menjadikan itu sebagai masalah besar dengan mengubah sedikit corak dan langkah pengajaran dengan hanya menerapkan aktiviti yang mampu membuat hasil pengajaran tercapai. Disebabkan bilangan ahli kelas darjah 4 Arif yang saya ajar hari ini adalah sedikit iaitu hanya 17 orang, jadi, saya telah menggunakan pendekatan aktiviti sukaneka kerana mereka kebanyakannya sangat aktif dan tidak cukup orang untuk bermain permainan berunsur kemahiran seperti bola sepak, bola jaring dan sebagainya. Walaupun menghadapi sedikit kekangan dan waktu pengajaran yang sedikit terjejas, namun hasil dan onjektif pengajaran saya pada hari ini masih tercapai. Murid-murid dapat mengikut arahan dengan baik dan kawalan kelas saya pada hari ini sangat memuaskan hati saya. Ini turut diakui oleh guru pembimbing saya iaitu Encik Roshidi dengan mengatakan aktiviti dan kawalan murid semasa pengajaran sangat baik. Pada hari kedua pengajaran minggu ini, saya telah merancang aktiviti yang menarik untuk murid-murid saya iaitu murid tahun 2 Bestari. Disebabkan murid tahun 2 ini lebih gemarkan aktiviti berunsur gembira dan seronok maka saya sekali lagi telah mengadakan aktiviti sukaneka bagi membolehkan mereka berasa seronok dan gembira semasa melakukan aktiviti. Murid tahun 2 Bestari ini mempunyai 17 orang murid dan kesemuanya begitu teruja dalam setiap aktiviti yang saya jalankan. Ini telah

menjadikan saya bersemangat untuk menghasilkan aktiviti pengajaran yang lebih

menyeronokkan kepada murid-murid pada minggu akan datang. Walaubagaimanapun, saya telah menghadapi sedikit kekangan iaitu pada pertengahan pengajaran hujan renyai-renyai telah turun dan sedikit merencatkan rentak pengajaran saya. Mujur disekolah ini terdapat beberapa khemah kanopi yang membolehkan saya melakukan aktiviti di situ. Secara keseluruhan pada hari kedua hasil pengajaran saya mencapai objektif sambil murid-murid berasa sangat seronok dengan aktiviti yang dijalankan. Pada hari ketiga pula, pengajaran saya menjadi terbantut kerana pada awalnya saya telah mengumpulkan kesemua murid tahun 3 Mahir di tengah padang untuk mengadakan aktiviti pengajaran. Akan tetapi, selepas membuat aktiviti memanaskan badan, tiba-tiba tanpa semena-mena hujan turut dengan lebatnya. Oleh yang demikian, saya dengan tidak bersedia untuk situasi tersebut telah meminta murid-murid untuk naik ke kelas dan mengadakan pengajaran di dalam kelas sahaja. Mujur pengajaran saya pada hari ini adalah bertajuk masa tindak balas. Jadi, saya telah mengadakan aktiviti seperti kuiz dan sebagainya untuk memastikan hasil pengajaran saya tercapai walaupun tanpa beraksi di atas padang. Alhamdulillah, objektif pengajaran masih tercapai namun murid-murid dilihat begitu kecewa kerana tidak dapat melakukan aktivti di padang. Pada sebelah petangnya pula, saya telah mengikuti program kokurikulum dan saya telah membantu guru pengakap iaitu Encik Muhammad dan Encik Ridzuan. Pada sesi kali ini, guru telah mengajar tentang persetiaan pengakap, prinsip rukun negara, dan beberapa buah lagu pengakap. Disebabkan saya merupakan ahli pengakap di institut, saya dapat belajar bagaimana untuk mengendalikan pengajaran aktiviti pengakap di dalam kelas pada petang ini. Pada hari keempat pula telah menyaksikan skrip serupa seperti hari sebelumnya kerana hujan telah mulai turun sejak tengah malam lagi sehingga ke pagi. Jadi saya tiada pilihan lain melainkan mengajar di dalam kelas berkaitan tajuk yang telah dirancang. Bilangan ahli kelas yang ramai juga telah membantutkan usaha saya untuk menggunakan khemah yang sedia ada di padang untuk aktiviti. Semasa pengajaran di dalam kelas, saya telah mendengar banyak keluhan dari muird-murid yang meminta saya untuk mengajar di padang walaupun hujan turun dengan lebatnya. Namun, saya terpaksa memekakkan telinga dengan menegaskan keputusan saya serta

menerangkan mengapa tidak boleh diadakan pengajaran di padang. Saya telah mengajar dan melaksanakan aktiviti yang sama seperti kelas tahun 3 Mahir semalam memandangkan tunjang dan kemahiran yang saya rancangkan tetap sama cuma tahun yang berbeza iaitu pada hari ini saya mengajar tahun 5 Mahir. Walaupun pengajaran berlangsung dengan sedikit hambar kerana murid-murid telah bosan dengan aktiviti kelas,akan tetapi mereka masih dapat memahami dan menjadikan hasil pengajaran saya pada hari ini tercapai. Pada hari kelima iaitu hari yang terakhir dalam minggu ini, saya telah mengajar kelas 6 Mahir yang kebanyakannya terdiri daripada murid-murid awal remaja. Pada sesi pengajaran hari ini, saya telah diselia oleh guru pembimbing iaitu Encik Roshidi. Saya sangat tidak berpuas hati dengan pengajaran saya pada hari ini kerana secara keseluruhannya saya dapat lihat murid-murid tahun 6 ini begitu obses dengan bola sehinggakan aktiviti yang saya rancangkan berjalan dengan hambar dan lesu kerana murid-murid menunjukkan sikap protes kerana tidak mengikut kehendak mereka yang mahukan bermain bola sepak dan bola jaring. Walaubagaimanapun, perancangan aktiviti pengajaran saya perlu juga mencapai objektifnya. Oleh yang demikian, memandangkan keadaan telah menjadi begitu rumit dengan beberapa murid telah menunjukkan ketegangan semasa aktiviti berlansung, saya telah mengambil langkah drastik dengan memanggil tiga murid yang menunjukkan sikap tidak disenangi untuk berjumpa saya di hadapan. Jadi, saya telah bercakap dengan nada perlahan dan lagak seperti kawan dengan mereka dan menerangkan serba sedikit tentang tujuan saya ke sekolah. Syukur alhamdulillah, selepas sahaja saya slow talk dengan mereka, aktiviti telah berubah dan murid-murid mula menghayati aktiviti yang saya rancangkan dengan seronok dan gembira. Di sini saya telah mendapat satu pendekatan baru iaitu memanggil beberapa murid bermasalah dan menyelesaikan dengan kaedah yang lembut bukan dengan kekerasan. Ini akan membuat murid-murid tersebut rasa dihargai seterusnya mereka akan memberikan kerjasama yang baik kepada guru. Hasil pengajaran saya pada hari ini mencapai objektifnya dan pujian dari Encik Roshidi turut diterima walaupun saya menghadapi sedikit masalah yang mampu menggugat kesabaran mana-mana guru.

Sebagai kesimpulan, pada minggu ini, semua aktiviti pengajaran berlangsung dengan baik dan mencapai objektifnya walaupun tidak semua yang dirancang dapat dijalankan terutama apabila cuaca tidak mengizinkan. Oleh yang demikian, sebagai guru yang serba boleh, saya perlu sentiasa peka dengan keadaan dan cuba suaikan diri dengan keadaan sekeliling supaya apa jua cabaran yang datang, objektif pengajaran perlu dicapai keseluruhannya. Semoga untuk minggu yang seterusnya, saya dapat melakukan aktiviti pengajaran dengan lebih baik dan tersusun lagi hendaknya, InsyaAllah.

Disediakan oleh : (..................................................) Mohd Zahiruddin Bin Abdul Halim 5 PISMP PJ/PK/PSK IPGM Tuanku Bainun

JURNAL REFLEKTIF Minggu Tarikh Masalah :1 : 21 Mac 25 Mac 2011-04-04 : Kehadiran Murid Lain Di Dalam Kelas

Masalah Yang Difokuskan Masalah yang telah saya hadapi pada minggu ini yang sukar untuk saya tangani ialah dengan kehadiran murid-murid dari kelas lain yang telah merencatkan sedikit rancangan pengajaran saya. Jadi sukar untuk saya melakukan aktiviti dengan murid yang jumlahnya dua kali ganda dari jumlah yang telah dirancangkan. Ini akan menyebabkan suasana dan kawalan kelas menjadi tidak kondusif dan teratur serta menyebabkan keadaan tidak terkawal. Jadi saya telah merujuk kepada orang yang pakar untuk membantu saya pada masa akan datang.

Analisis Masalah Masalah yang saya hadapi telah saya analisis dengan lebih terperinci. Saya dapat lihat kehadiran murid-murid kelas lain ke dalam kelas yang saya ajar adalah disebabkan guru yang sepatutnya mengajar tidak merancang aktiviti PJ mungkin kerana faktor mengandung dan sebagainya. Oleh yang demikian, murid-murid mereka terbiar dan ingin belajar bersama rakan dari kelas lain. Kesan dari keadaan ini akan menyebabkan kelas menjadi terlalu ramai dan kawalan kelas menjadi tidak teratur serta alatan tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan ahli kelas. Jadi, isu ini sangat besar bagi saya kerana ini merupakan praktikum saya yang pertama dan saya tidak mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan. Justeru, kawalan kelas akan menjadi lemah sekiranya murid terlalu ramai kerana saya mengajar di padang dan bukan di kelas. Suara saya tidak cukup kuat untuk mengawal jumlah murid yang terlalu ramai.

Cadangan dan Idea Menyelesaikan Masalah Saya telah mengambil beberapa langkah yang saya fikirkan relevan dan sesuai untuk merubah keadaan ini supaya tidak mengganggu hasil pengajaran saya pada hari yang lain. Langkah pertama ialah dengan bersemuka dan berbincang dengan guru yang sepatutnya mengajar kelas tersebut. Saya telah berbincang dengan berhemah dan mengemukakan mengapa saya perlu mengasingkan kelas supaya kawalan kelas lebih terkawal memandangkan saya masih dalam penyeliaan Institut perguruan. Langkah kedua yang saya ambil ialah dengan meminta semua murid yang saya sepatutnya mengajar agar memakai tali getah supaya saya dapat membezakan mereka dengan murid kelas yang lain. Ini bagi mengelakkan terdapat murid lain yang menyamar dan berada sekali semasa pengajaran berlansung.

Tempoh Masa Yang Diambil Saya telah mengambil tempoh masa seminggu untuk menyelesaikan masalah ini dengan berjumpa dengan setiap guru bagi kelas yang tiada pengajar subjek PJ. Saya telah meminta pandangan mereka dan rata-rata mereka menerima dengan hati terbuka dan sedia memberi kerjasama. Saya berharap pada minggu seterusnya tiada lagi insiden serupa ini berlaku.

Tindakan Susulan Tindakan susulan yang bakal saya ambil sekiranya berlaku lagi kejadian sebegini di masa hadapan, saya mungkin terpaksa mengubah rancangan pengajaran saya pada hari itu dengan menggunakan kaedah stesen. Saya memilih kaedah tersebut kerana saya rasakan itu sahaja teknik yang sesuai mengajar di dalam kelas yang ramai ahlinya beserta alatan yang terhad. Selain itu, saya turut akan membuat tindakan lain seperti meminta murid-murid dari kelas lain untuk bermain permainan bola sepak dan murid-

murid saya belajar apa yang telah dirancang. Jadi, tiada gangguan luar dari kelas lain semasa sesi pengajaran.

Pelaksanaan Saya akan sentiasa berurusan dengan guru-guru pendidikan jasmani terutama bagi kelas-kelas lain supaya tiada lagi berlaku masalah sedemikian semasa sesi pengajaran saya berlansung. Kesimpulan Secara keseluruhan, saya merasakan masalah ini dapat diselesaikan sekiranya saya mempunyai pengalaman yang luas dalam pendidikan perguruan ini.

Walaubagaimanapun, saya amat mengharapkan kerjasama dari guru dan kakitangan sekolah agar dapat membantu saya bagi memastikan praktikum saya buat fasa yang pertama ini berjalan dengan lancar dan terkawal. Itulah harapan saya.

JURNAL REFLEKTIF Minggu Tarikh Masalah :3 : 04 April 08 April 2011 : Masa Yang Digunakan Melebihi Dari Yang Diperuntukkan

Masalah Yang Difokuskan Masalah yang ingin saya fokuskan pada minggu ini ialah pengajaran saya melebihi masa yang telah diperuntukkan. Saya telah mengesan masalah ini dari minggu pertama lagi dan saya dapat rasakan bahawa masalah ini sangat besar memandangkan saya akan mengambil masa guru lain selepas waktu Pendidikan Jasmani. Ini akan menimbulkan perasaan kurang senang dikalangan guru lain jika tidak saya tangani dengan kadar segera. Analisis Masalah Masalah ini saya telah perincikan sedalam-dalamnya. Saya dapat lihat banyak faktor yang telah menyebabkan berlakunya keadaan demikian. Ini kerana salah satu faktornya ialah perancangan yang saya lakukan sebelum mengajar adalah terlalu bercita-cita tinggi. Saya berkata demikian kerana saya telah melakukan banyak perancangan aktiviti sehingga masa yang diperuntukkan tidak mencukupi untuk kesemuanya berjalan mengikut perancangan sedia ada. Selain itu, murid-murid pada minggu ini boleh dikatakan setiap hari akan habis perhimpunan lewat kira-kira 10 minit kerana perlu melihat persembahan pidato dan bercerita dari peserta yang akan mewakili sekolah. Jadi, ini antara penyebab masalah kelewatan pengajaran berlaku. Cadangan dan Idea Menyelesaikan Masalah Saya telah memikirkan dan bertanya dengan guru pembimbing saya iaitu Cikgu Roshidi tentang masalah yang saya hadapi. Jadi banyak pandangan yang telah diberikan oleh Cikgu Roshidi yang boleh saya aplikasikan pada sesi pengajaran pada masa akan

datang. Antaranya ialah, beliau mencadangkan agar saya mengurangkan sedikit aktiviti semasa merancang perancangan P&P. Ini penting agar saya dapat meneliti dan memastikan objektif pengajaran saya pada hari tersebut dapat dicapai dan murid-murid dapat menguasai kemahiran yang telah diajar. Selain itu, beliau juga turut mengatakan supaya saya menyiapkan dulu alatan sementara menunggu murid-murid habis perhimpunan. Ini bagi mengelakkan masa yang telah dibuang menjadi lebih terbuang. Tempoh Masa Yang Diambil Saya telah mengambil sedikit masa kira-kira 2 hari untuk mengubah dan memikirkan aktiviti yang sesuai dengan murid-murid terutamanya murid tahun 4, 5 dan 6. Jadi, saya akan sentiasa berkomunikasi dengan guru pembimbing saya iaitu Cikgu Roshidi untuk memastikan aktiviti yang saya rancangkan dapat kerjasama dan perhatian murid seterusnya membuatkan hasil pengajaran saya tercapai. Tindakan Susulan Tindakan susulan yang saya akan ambil sekiranya berlaku lagi kejadian sebegini ialah dengan bertemu dan berbincang muka ke muka dengan guru matapelajaran selepas waktu Pendidikan Jasmani. Saya akan berbincang dan akan meminta sedikit kelonggaran kepada mereka untuk murid-murid menukar baju dalam masa kira-kira 5 minit. Pelaksanaan Saya akan sentiasa berurusan dengan semua guru tidak terhad kepada guru pembimbing sahaja bagi memastikan pengajaran saya semakin meningkat dan mendapat kerjasama murid dan murid-murid akan menjadi gembira semasa melakukan aktiviti Pendidikan Jasmani. Langkah ini sangat penting bagi memastikan murid-murid lebih aktif semasa pengajaran berlansung seterusnya membantu mencapai objektif pengajaran.

Kesimpulan Secara keseluruhannya, saya dapat merasakan bahawa masalah ini dapat diselesaikan sekiranya saya menitikberatkan aktiviti-aktiviti yang dirasakan sesuai sahaja dalam merancang P&P agar tidak berlaku kejadian mengambil masa guru lain. Ini sangat penting bagi memastikan kesejahteraan dan kesenangan warga sekolah dapat dipelihara dan tiada istilah bermasam muka dan dendam mendendami di kalangan kami warga sekolah.

JURNAL REFLEKTIF Minggu Tarikh Masalah :4 : 11 April 15 April 2011 : Bilangan Murid Yang Terlalu Sedikit Mendorong Ketiadaan Gerak Kerja Kelas

Masalah Yang Difokuskan Masalah yang ingin saya fokuskan pada minggu ini ialah pengajaran saya terganggu pada minggu ini kerana murid yang terlalu sedikit di kelas 4 Arif. Kelas ini pada asalnya mempunyai 17 orang murid, akan tetapi pada minggu ini kelas ini hanya dihadiri tujuh orang murid sahaja. Terdapat 5 orang terlibat dengan pertandingan kawad dan 5 orang lagi tidak hadir ke sekolah. Oleh yang demikian, pengajaran saya menjadi sedikit suram dan murid-murid dilihat sangat pasif dengan keadaan ini. Keadaan ini juga telah menyebabkan saya mengubah cara pengajaran saya dengan menekankan gerak kerja kelas dan individu sahaja kerana gerak kerja kumpulan sukar untuk dijalankan. Perkara ini telah menjadi isu besar kepada pensyarah pembimbing iaitu Puan Shanti yang melihat perkara ini suatu masalah yang serius dan perlu diambil perhatian. Analisis Masalah Masalah ini saya telah perincikan sedalam-dalamnya. Saya dapat lihat banyak faktor yang telah menyebabkan berlakunya keadaan demikian. Antaranya ialah kelas 4 Arif merupakan kelas yang paling lemah berbanding kelas lain. Ini menyebabkan pergerakan dan minat mereka terhadap Pendidikan Jasmani ini dilihat begitu kurang. Selain itu, mungkin masalah dari keluarga yang ada hal penting atau murid tersebut tidak sihat untuk hadir ke sekolah telah mendorong masalah bilangan murid yang terlalu sedikit pada minggu ini. Ini telah sedikit sebanyak telah merencatkan proses pengajaran saya yang telah dirancang dengan begitu teliti dan tersusun. Walaubagaimanapun,

saya bersyukur kerana murid-murid masih dapat memberikan kerjasama yang baik walaupun hanya terdapat 7 orang di dalam kelas. Cadangan dan Idea Menyelesaikan Masalah Saya telah memikirkan dan bertanya dengan guru pembimbing saya iaitu Cikgu Roshidi dan pensyarah pembimbing Puan Shanti tentang masalah yang saya hadapi. Jadi banyak pandangan yang telah diberikan oleh Cikgu Roshidi dan Puan Shanti yang boleh saya aplikasikan pada sesi pengajaran pada masa akan datang. Antaranya ialah, mereka mencadangkan saya agar melakukan juga gerak kerja kumpulan walaupun bilangan murid yang ada terlalu sedikit di dalam kelas. Ini kerana mereka berpendapat gerak kerja kumpulan dapat menyebabkan murid-murid ada semangat ingin bersaing antara kumpulan dan keadaan ini akan menyebabkan suasana kelas menjadi hidup dan seronok. Tempoh Masa Yang Diambil Saya telah mengambil sedikit masa kira-kira 2 hari untuk mengubah dan memikirkan aktiviti yang sesuai dengan murid-murid terutamanya murid tahun 4, 5 dan 6. Jadi, saya akan sentiasa berkomunikasi dengan guru pembimbing saya iaitu Cikgu Roshidi untuk memastikan aktiviti yang saya rancangkan dapat kerjasama dan perhatian murid seterusnya membuatkan hasil pengajaran saya tercapai. Selain itu, saya turut meminta kerjasama guru disiplin iaitu Cikgu Yusof untuk mengambil tindakan kepada muridmurid yang tidak hadir ke kelas Pendidikan Jasmani. Dengan cara ini, murid-murid akan lebih berhati-hati dan akan hadir ke kelas PJ dengan penuh disiplin dan tidak ponteng kelas. Tindakan Susulan Tindakan susulan yang saya akan ambil sekiranya berlaku lagi kejadian sebegini ialah dengan bertemu dan berbincang muka ke muka dengan murid yang tidak hadir ke kelas Pendidikan Jasmani. Saya akan berbincang dan akan meminta alasan mengapa mereka tidak hadir ke kelas PJ semasa sesi pengajaran berlangsung.

Pelaksanaan Saya akan sentiasa berurusan dengan semua guru tidak terhad kepada guru pembimbing sahaja bagi memastikan pengajaran saya semakin meningkat dan mendapat kerjasama murid dan murid-murid akan menjadi gembira semasa melakukan aktiviti Pendidikan Jasmani. Langkah ini sangat penting bagi memastikan murid-murid lebih aktif semasa pengajaran berlansung seterusnya membantu mencapai objektif pengajaran.

Kesimpulan Secara keseluruhannya, saya dapat merasakan bahawa masalah ini dapat diselesaikan sekiranya ibu bapa dan pihak sekolah menitikberatkan disiplin yang tinggi ke atas setiap murid. Ini kerana dengan adanya disiplin yang baik, murid akan tidak berani untuk ponteng bukan sahaja dalam kelas PJ bahkan dalam semua kelas pembelajaran. Seterusnya, ianya akan menyenangkan guru-guru untuk menghasilkan pengajaran yang berkesan hasil dari kelansungan rancangan pengajaran yang dirancang sebelum ini.

You might also like