You are on page 1of 22

“NILAI DAN KENEGARAAN”

AMINI AMIR ABDULLAH (Ph.D)


Pusat Islam/Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan,
Fakulti Ekologi Manusia,
Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

PENDAHULUAN

Kertas ini membincangkan aspek nilai dan cara bernegara. Apakah nilai-nilai
yang perlu ada pada setiap warganegara? Bagaimana warganegara dapat
menyumbang kepada negara? Bagi penulis, nilai-nilai murni dan positif yang ada
pada setiap warganegara akan dapat menyumbang pembangunan dan kemajuan
negara. Inilah penumpuan yang diberikan oleh kertas ini.

DEFINISI NILAI

Makna nilai ialah sesuatu yang mempunyai harga, kepentingan atau keburukan.
Nilai kebiasaannya diletakkan ukuran sama ada positif, negatif ataupun neutral.
Makna nilai juga ialah pengukuran sesuatu yang dihajati dan dihargai.
Kebiasaannya mencakupi aspek taraf, darjat, kualiti dan mutu. Sesuatu yang
mempunyai harga, kepentingan atau keburukan. Nilai akhlak Islam misalnya
berasaskan kepada prinsip ajaran kebaikan Islam yang mengandungi nilai-nilai
murni, positif dan akhlak.

Nilai mempunyai perkaitan dengan aksiologi. Asal usul perkataan aksiologi


terdiri daripada perkataan Inggeris axiology yang bererti sains nilai, teori dan
sistem nilai. Perkataan axiology terdiri daripada dua sukukata; AXIOS iaitu
harga atau nilai dan LOGOS iaitu logik atau teori.

Aksiologi merupakan satu cabang dalam bidang falsafah yang berkait rapat
dengan nilai, etika, estetika dan agama, kriteria nilai dan pembuatan
keputusan berasaskan nilai. Dalam Islam misalnya, nilai dasarnya ialah wajib,
sunat, harus, makruh dan haram.

DEFINISI KENEGARAAN DAN ILMU KENEGARAAN

Halaman 1 daripada 25
Kenegaraan berkait rapat dengan semangat tinggi dan sikap prihatin serta
pemahaman terhadap sejarah dan hal ehwal perjuangan meninggikan martabat
dan mempertahankan kedaulatan dan maruah negara.

Ilmu kenegaraan pula lebih menjurus kepada pengajian mengenai Malaysia


termasuklah sistem demokrasi berparlimen, kemerdekaan, sejarah awal hingga
kontemporari, perbincangan mengenai kepelbagaian masyarakat majmuk,
sistem raja berperlembagaan, dasar-dasar dan pentadbiran awam serta
rancangan-rancangan pembangunan fizikal, sosial, pendidikan, ekonomi,
keagamaan, peranan Malaysia dalam hal ehwal antarabangsa dan
seumpamanya.

NILAI YANG PERLU ADA PADA SETIAP WARGANEGARA MALAYSIA

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berparlimen dengan raja


berpelembagaan. Kemerdekaan negara kita telah dicapai melalui semangat
taat setia dan perasaan cintakan tanah air (negara) yang tinggi dengan kaedah
perundingan yang bijaksana. Malaysia telah dijajah lebih daripada 400 tahun
oleh Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1821) dan Inggeris (1824) serta Jepun
(1942-1945) dan Siam. Sepanjang tempoh itu, rakyat negara ini bangkit
menentang penjajahan melalui berbagai cara untuk mempertahankan maruah
negara dan harga diri. Kemerdekaan pula dicapai melalui perundingan yang
penuh bijaksana. Inilah nilai-nilai yang sepatutnya menjadi warisan kita.

Apabila pihak Inggeris kembali ke Tanah Melayu pada bulan September 1945,
mereka telah memperkenalkan Pentadbiran Tentera British (BMA) dan
seterusnya Kesatuan Malaya (Malayan Union). Penentangan terhadap Malayan
Union dilakukan kerana dasarnya yang merugikan orang Melayu. Orang-orang
Melayu telah bangkit menentang sistem pentadbiran Kesatuan Malaya (Malayan
Union) kerana beberapa sebab, iaitu:

1. Ia menggugat kedaulatan raja-raja Melayu.


2. Menggugat hak keistimewaan orang Melayu sebagai pribumi utama.
3. British telah membenarkan pemberian hak kewarganegaraan yang
tiada batasan kepada etnik bukan Melayu.
4. Di samping sikap dan kaedah yang digunakan oleh Harold MacMichael
yang berunsur pemerasan dan ugutan dalam usaha mendominasikan
kuasa pihak British.

Islam dijadikan sebagai sandaran menentang penjajahan. dan perlindungan diri


orang-orang daripada cabaran-cabaran luaran dan ancaman-ancaman dominasi
dan penjajahan pihak Barat. Dasar-dasar pendidikan penjajah yang melahirkan
ketidakseimbangan ekonomi di kalangan masyarakat berbilang kaum dan yang
lebih khusus memundurkan bangsa Melayu telah dicanai semula bagi
mewujudkan keseimbangan bahkan pembangunan fizikal yang lebih seimbang

Halaman 2 daripada 25
antara bandar-desa, wilayah dan juga negeri. Lantas kemajuan ekonomi tidak
hanya dinikmati oleh satu kaum sahaja.

NILAI DALAM AKHLAK

Akhlak adalah perkataan Arab, kata jamak kepada perkataan daripada Khuluq.
Perkataan ini adalah pecahan daripada perkataan Khalaq yang bererti ciptaan
atau keindahan kejadian insan dengan bentuknya yang zahir atau fizikal.
Keadaan rohani yang sepatutnya berada dalam situasi yang sebaik-baiknya
dipanggil Khuluq dengan jamaknya akhlak.

Ibnu al-Athir dalam bukunya “An-Nihayah” menerangkan hakikat makna Khuluq


itu ialah gambaran batin manusia yang tepat, iaitu jiwa dan sifat-sifatnya. Akan
tetapi, Khulqun merupakan gambaran luarannya (raut wajah, tinggi rendah
tubuhnya, warna kulitnya dan sebagainya.

Perkataan akhlak adalah istilah yang sering disinonimkan dengan istilah


“ethics” dalam Bahasa Inggeris yang berasal daripada perkataan Yunani “ethos”
yang bererti watak. Akhlak berbeza dengan etika dari segi falsafahnya. “Ethics”
adalah satu bidang pengajian mengenai konsep-konsep nilai seperti baik,
buruk, benar, salah dan sebagainya yang ada hubungan dengan tingkahlaku.
Akhlak pula adalah satu nilai yang berdasarkan timbangtara dan neraca Allah
s.w.t. bukannya penilaian manusia semata-mata.

Perkataan akhlak daripada sudut bahasa dapat dikhususkan kepada tiga aspek,
iaitu sifat semulajadi yang dimiliki oleh seseorang secara fitrah, sifat yang
dimiliki oleh seseorang secara usaha dan latihan yang akhirnya sebati dan
menjadi adat atau tabiat, dan sifat yang diarah ke arah ketundukan kepada
perintah Allah s.w.t. atau kepatuhan kepada semua laranganNya.

Akhlak terbahagi kepada dua bahagian, batin atau kejiwaan dan zahir atau
kelakuan. Definisi akhlak daripada sudut istilah ialah kejiwaan yang
daripadanya akan lahir tingkahlaku dan perbuatan manusia tanpa perlu
difikirkan atau diusahakan. Imam al-Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai
suatu keadaan atau sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul
perbuatan dengan mudah tanpa berkehendakkan pertimbangan fikiran dan
penelitian terlebih dahulu.

Menurut Imam al-Ghazali lagi, sekiranya keadaan jiwa itu melahirkan


perlakuan-perlakuan yang baik dan terpuji berasaskan fikiran yang rasional
serta mengikut peraturan syarak, ianya dinamakan akhlak yang baik dan
sebaliknya jika ia melahirkan perlakuan yang jahat, ianya dinamakan akhlak
yang buruk. Ibn Maskawaih mempunyai definisi yang hampir serupa tentang
pentakrifan akhlak dengan al-Ghazali, iaitu keadaan jiwa yang mendorong
seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan tanpa pertimbangan fikiran
terlebih dahulu.

Halaman 3 daripada 25
Akhlak sebenarnya adalah kebiasaan atau sikap yang mendalam tertanam
dalam jiwa yang boleh melahirkan perbuatan dengan mudah dan cepat tanpa
dipaksa-paksa. Ianya merupakan satu faktor yang boleh mempengaruhi
tingkahlaku manusia. Akhlak juga adalah prinsip-prinsip dan dasar atau kaedah
yang ditentukan oleh wahyu untuk mengatur perlakuan, membatasi bentuk
hubungannya dengan orang lain sehingga mencapai matlamat kewujudan di
dunia ini secara menyeluruh.

Pembentukan akhlak perlu melalui proses kesempurnaan sama ada melalui


kaedah pendidikan, pembelajaran dan pengalaman. Cara yang dipilih oleh al-
Ghazali ialah Al-Takhalluq iaitu sentiasa melakukan perbuatan atau perlakuan
yang sesuai dengan akhlak yang mulia yang ingin dimiliki, yang juga dinamakan
riyadah iaitu latihan membiasakan diri, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh
beliau: “… Sesungguhnya akhlak yang cantik (mulia) mungkin boleh diusahakan
dengan cara latihan membiasakan diri iaitu dipertanggung-jawabkan perlakuan-
perlakuan yang mucul daripadanya.”

PERJALANAN KEHIDUPAN DAN SISTEM NILAI (AKSIOLOGI)

Norma kehidupan insan dapat digarap dengan lebih gemilang seandainya


manusia menerapkan nilai positif dan akhlak dalam setiap aspek kehidupan.
Kecintaan terhadap kebenaran dapat dipupuk melalui nilai yang terdapat dalam
agama agar manusia dapat menjadi manusia yang bertanggungjawab.
Kebahagiaan hakiki sama ada di dunia dan akhirat akan dapat dicapai sekiranya
manusia berpegang kepada sikap menunaikan amanah dan tanggungjawab
sebagai nilai yang diajarkan dan ditekankan oleh agama.

Pemegangan yang tidak berdolak dalih kepada nilai postif dalam sistem agama
kita akan melahirkan manusia yang menyedari peranan sebagai khalifah Allah di
atas mukabumi, menjalani kehidupan dengan beradab dan juga berakhlak.

Makna dan hakikat kehidupan tidaklah akan terserlah seandainya manusia


melihat kepada kebahagiaan atau kekayaan yang sementara berbanding dengan
kehidupan hakiki. Dalam soal ini, pemahaman terhadap nilai positif yang
disarankan oleh agama membentuk pemikiran tentang kebahagiaan mutlak
yang berkait dengan konsep ketuhanan dan hari Akhirat. Justeru sistem nilai
tidak akan tertegak tanpa adanya pembudayaan ilmu dalam diri setiap insan.
Daripada ilmu dan percambahan sistem nilailah akan lahir insan-insan yang
beradab, berakhlak dan beketrampilan tinggi dengan budaya berkepemimpinan
tinggi yang memakmurkan, membangunkan dan menerajui bumi ini.

Di antara nilai-nilai positif pekerjaan dan kemahiran hidup yang diperolehi oleh
seseorang ialah seperti amanah, bertanggungjawab, tidak cuai, tidak
menyalahgunakan kuasa, integriti, jujur, setia, bersedia, berdisiplin,
pengurusan dan penggunaan masa, menambahkan keyakinan orang lain, benar,

Halaman 4 daripada 25
murni niat, tepati janji, rendah diri, suka menolong dan berkhidmat dalam
sebarang keadaan.

Nilai-nilai positif lain adalah seperti menerima arahan, belajar dari kesilapan,
berkongsi pengalaman, tolong menolong, toleransi, kerjasama berpasukan,
menggunakan akal dan kebijaksanaan bukannya emosi, tidak mengambil jalan
mudah, professional, berfikir dan menimbang-nimbang, mendalami ilmu dan
kepakaran, mensyukuri Allah dan berterimakasih kepada manusia, memuji yang
baik dan menegur kesalahan, menghargai, sabar, tenang, yakin, tidak berputus
asa, menerima hakikat, rajin, pengorbanan, berdedikasi, berakhlak, ceria,
cergas, pantas, suci hati, ikhlas, menghormati, layanan baik, bersedia
mengkritik diri dan menerima teguran, menyayangi, bertimbang rasa,
menerima tugas sukar, mesra tugas, mesra pelanggan dan muhasabah.

PERNYATAAN NILAI, PRINSIP DAN OBJEKTIF ETIKA KERJA: NILAI POSITIF


YANG PERLU ADA PADA PENJAWAT AWAM

Pada asasnya ruanglingkup nilai dan etika penjawat awam di Malaysia


berasaskan kepada Polisi Penerapan Nilai-nilai Islam, Etika Dalam Perkhidmatan
Awam, budaya, nilai dan etika dalam pengurusan organisasi perkhidmatan
awam, Peraturan-peraturan Perkhidmatan Awam, pendekatan Islam Hadhari,
kempen nilai-nilai murni dan budi bahasa dan penghayatan nilai-nilai murni
dalam perkhidmatan awam.

Etika kerja ialah cara, kaedah, peraturan, petunjuk dan panduan perlakuan,
adab dan sikap yang menjadi ikutan dan panduan setiap warga Universiti Putra
Malaysia berlandaskan nilai-nilai murni, moral, etika dan akhlak yang mulia.

Objektif etika kerja mencakupi perkara-perkara berikut:

1. Mengamalkan sikap dan cara bekerja yang positif dengan pelanggan,


sesama rakan, majikan, organisasi dan menyumbang kepada negara.
2. Menjauhkan, mencegah, mengelak dan membuangkan sikap negatif
dalam pelaksanaan tugas.
3. Mempertingkatkan kualiti, keberkesanan dan hasil kerja.
4. Peningkatan disiplin diri bagi kecemerlangan dan keunggulan; dan
5. Melaksanakan tugas secara positif dalam apa jua keadaan.
6. Menyumbang secara berterusan demi pembangunan universiti,
masyarakat, agama dan negara.

Sebagai pekerja, kita perlu membetulkan niat, tekad dan harapan. Tujuan
bekerja kerana niat murni kerana Allah boleh menjadi ibadah. Sebagai contoh
meniatkan bahawa kerja adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. dan
mencari nafkah hidup bagi menyara diri, ibubapa, keluarga dan sebagainya.
Bekerja adalah tuntutan agama kerana Islam menuntut mencari rezeki. Bekerja
adalah amanah Allah dan pekerja perlu memikul tanggungjawab yang diberikan

Halaman 5 daripada 25
oleh majikan selagi mana tidak bertentangan dengan wahyu. Setiap profesion
yang halal akan mendapat ganjaran yang besar daripada Allah s.w.t.
sepertimana sabda Nabi Muhammad s.a.w.: ”Barangsiapa bekerja untuk anak
isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi mereka pahala seperti orang yang
berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Al- Bukhari) Islam tidak membebankan
umatnya dengan bekerja di luar keupayaan menanggung bebanan kerja di luar
kemampuan seseorang. Firman Allah s.w.t. “Allah tidak membebani seseorang
melainkan sesuai dengan apa yang terdaya olehnya”. (Al-Baqarah : 286)
Rasulallah s.a.w. menyukai apabila orang yang melakukan sesuatu kerja, ia
melakukannya dengan tekun dan bersungguh-sungguh serta berkualiti (itqan).
Kerja biarlah bermakna kepada semua. Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang
bermaksud : ‘Sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat
bagi sesama manusia’. (Riwayat Al-Quda’) Bekerja adalah amanah dan
penunaian amanah. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah
menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya”. (An-
Nisa’: 58)

Pelaksanaan ikrar Aku Janji, Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam, Ikrar


Perkhidmatan Awam dan Ikrar Kualiti adalah janji kepada majikan juga.
Sebagai pekerja, kita perlu mempunyai tingkahlaku, sikap, cara bekerja dan
perangai yang baik, kesempurnaan tugas (yang terbaik), sentiasa memperbaiki
kelemahan dan kepincangan, menepati spesifikasi kerja, kepuasan pelanggan
dan masa, meninggikan imej organisasi, mengutamakan kualiti, memantingkan
hasil mengikut matlamat organisasi, memelihara penampilan diri, tingkahlaku,
layanan dan pertuturan terbaik dan menggerakkan segala potensi yang ada ke
arah terbaik.

Pekerja yang baik juga ialah mereka yang mempunyai kreativiti, bersikap
positif dan dinamik, cemerlang, pendorong dan menjadi sumber inspirasi
kepada yang lain, memotivasi, berdaya saing, ketelitian, kecermatan,
berhemah, berjimat, meminimumkan kesilapan, ketepatan, menunaikan
tanggungjawab, janji dan amanah, berdisiplin, bersopan santun dan beradab.

Staf Universiti Putra Malaysia perlu melakukan suruhan dan menjauhi larangan
agama, mematuhi Perlembagaan Persekutuan, Akta Universiti Kolej Universiti,
peraturan dan arahan perkhidmatan universiti serta mengikut peraturan,
kaedah dan prosedur perkhidmatan.

Pekerja yang baik ialah mereka yang mengamalkan nilai-nilai positif pekerjaan
seperti amanah, bertanggungjawab, tidak cuai, tidak menyalahgunakan kuasa,
berintegriti, telus, jujur, setia, bersedia, berdisiplin, pengurusan dan
penggunaan masa yang berkesan, menambahkan keyakinan orang lain,
melaporkan kesalahan dan pelanggaran undang-undang, benar, murni niat,
menepati janji, rendah diri, suka menolong, berkhidmat dalam sebarang
keadaan, menerima arahan/tugas/kerja dengan hati terbuka dan ceria,
belajar, belajar dari kesilapan, berkongsi pengalaman, tolong menolong,

Halaman 6 daripada 25
bertoleransi, kerjasama berpasukan, menggunakan akal dan kebijaksanaan
bukannya emosi, tidak mengambil jalan mudah, professional, berfikir dan
menimbang-nimbang, mementingkan mutu, mendalami ilmu dan kepakaran,
mensyukuri Allah dan berterimakasih kepada manusia, memuji yang baik dan
menegur kesalahan, menghargai orang lain, kesabaran, ketenangan, keyakinan,
tidak berputus asa, menerima hakikat, rajin dan positif (tidak bosan),
berkorban, berdedikasi, berakhlak, ceria, riang (elakkan rungutan), cergas,
kepantasan, suci hati, ikhlas, menghormati, baik layanan, bersedia mengkritik
diri dan menerima teguran, menyayangi, bertimbang rasa, menerima tugas
sukar, mesra tugas dan mesra pelanggan dan akhirnya bermuhasabah.

KEGANASAN, ANCAMAN ANASIR SUBVERSIF DAN MILITAN: NILAI NEGATIF


YANG MEROSAKKAN IMEJ NEGARA DAN NILAI KEAMANAN

Kita mampu mengekalkan intipati kemerdekaan kerana kita bersatu padu,


bertolak ansur, saling memahami dan berkerjasama antara umat Islam dengan
bukan Islam. Nilai keamanan dan keharmonian perlulah kita pelihara dan kita
baja. Inilah juga merupakan manifestasi kemerdekaan. Kita sepatutnya
merealisasi pengertian kemerdekaan yang lebih bermakna dengan cara
menyumbang kepada organisasi tempat kita bekerja dan juga masyarakat
setempat dengan menjana kemajuan fizikal dan juga spirituil.

Malaysia sudah lama memerangi anasir-anasir subversif yang menggunakan


taktik keganasan untuk memecahbelahkan dan melemahkan masyarakat dan
menjatuhkan kerajaan yang memerintah. Sejak tahun 50an lagi kegiatan anasir
subversif telah ditentang oleh kerajaan Malaysia. Pengganas komunis
membakar rumah-rumah dan kilang-kilang getah, membunuh rakyat yang tidak
berdosa dan menimbulkan ketakutan dalam jiwa masyarakat berbilang kaum.
Malaysia, ditegaskan oleh YAB Perdana Menteri mengambil masa lebih kurang
20 tahun untuk menghapuskan anasir subversif.

Secara eksplisit, ancaman terorisme menjadi nyata selepas Peristiwa 11


September 2001. Kronologi beberapa peristiwa penting berkaitan dengan
ancaman dan peristiwa keganasan dan anasir subversif perlu menjadi
pengiktibaran kepada kita. Perkembangan terkini berkaitan keganasan
membabitkan gerakan dan pergerakan orang Islam yang memahami Islam
secara tidak betul dan kabur. Gerakan Jamaah Islamiah telah menjejaskan imej
Malaysia kerana beberapa orang mastermindnya adalah orang-orang Malaysia.
Tuduhan bahawa Selat Melaka berada dalam zon bahaya (zon perang) adalah
tidak benar hanya kerana beberapa kes kegiatan lanun di perairan itu. Gerakan
yang disyaki pengganas ditangkap di Sandakan dan Tawau (2006). Tiada
maklumat lanjut diperolehi.

YAB. Perdana Menteri menegaskan bahawa dalam keghairahan umat Islam


untuk mengamalkan Islam demi menuntut keredhaan Allah, ramai yang terlibat
dalam tindakan-tindakan yang ditegah dan dikutuk oleh Islam. Ini termasuklah

Halaman 7 daripada 25
tindakan membunuh orang-orang yang tidak bersalah dan mengebom sasaran-
sasaran yang tidak membahayakan. Semuanya digunakan atas asas yang salah
tetapi dikaitkan dengan agama Islam. [Ucapan PM, Asia Society of Australia,
Sydney, Australia, 8 April 2005]
Secara terus terang YAB Perdana Menteri telah menyatakan bahawa orang-
orang Islam yang memperjuangkan aktiviti terrorisme atas nama Islam adalah
mereka yang melanggar ajaran Islam dan sebenarnya tidak mendokong ajaran
Islam yang sebenar. Orang-orang Islam dan bukan Islam tidak patut terpengaruh
dengan dakyah yang menyatakan kegiatan sedemikian sebagai kewajipan
keagamaan dalam Islam. YAB Perdana Menteri mengajak semua untuk bersatu
bagi memerangi terrorisme dan menyingkirkannya daripada kehidupan kita.
[Ucapan PM, Asia Society of Australia, Sydney, Australia, 8 April 2005]

NILAI KEMAHIRAN ASAS HIDUP DAN TUNTUTAN AGAMA

Nilai murni dan nilai Islam merupakan tuntutan agama. Untuk tujuan
kelangsungan dan kecemerlangan hidup manusia, seseorang individu perlulah
memperlengkapkan diri dengan berbagai bidang ilmu. Sebagai contoh, untuk
mencari rezeki dengan berniaga, seseorang individu perlulah mempunyai
kemahiran asas perniagaan dan keusahawanan. Islam menuntut agar seseorang
mencari rezeki untuk menampung kehidupan dan menyara keluarganya. Sabda
Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Barangsiapa bekerja untuk anak isterinya melalui jalan yang halal, maka bagi
mereka pahala seperti orang yang berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Al-
Bukhari)

Dalam Islam, Allah s.w.t. tidak akan membebani seseorang dengan


tanggungjawab kecuali atas dasar keupayaan dan kapasiti manusia. Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:

”Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia


mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa
kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan
kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami
tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami
bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-
orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau
pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan
maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat
kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk
mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (Surah Al-Baqarah:
286)

Halaman 8 daripada 25
Dalam konteks pekerjaan yang dilakukan seseorang mestilah melakukan yang
terbaik dan berkualiti sebab Rasulallah s.a.w. menyukai apabila orang yang
melakukan sesuatu kerja, ia melakukannya dengan tekun.

Begitu juga dalam aspek fungsi sosial manusia, di antaranya adalah untuk saling
bantu membantu dalam segala aspek kehidupan yang dibenarkan oleh Allah
s.w.t.. Seseorang perlu mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu dalam usaha
untuk memanafatkan orang lain. Justeru, setiap pekerjaan biarlah bermakna
kepada semua. Rasulullah S.A.W. menekankan betapa sebaik-baik manusia
ialah orang yang paling banyak bermanfaat bagi sesama manusia. (Riwayat Al-
Quda’)

NILAI BERFIKIR DAN MENAAKUL

Berfikir (atau dalam bahasa Inggerisnya thinking) dari segi istilah bermaksud
proses berfikir menggunakan akal fikiran manakala menaakul atau dalam
bahasa Inggerisnya reasoning dari sudut istilah ia bermaksud satu proses di
mana seseorang akan sampai kepada satu kesimpulan selepas daripada
mengambil kira dan memikirkan segala fakta-fakta. Dalam Islam, nilai berfikir
dikira sebagai satu ibadah dan kebiasaannya Allah akan mengaitkan peranan
akal insan dengan perbuatan yang dilakukan. Secara rasionalnya, Allah
menyuruh manusia menggunakan akal bersekali dengan bimbingan wahyu
kerana keupayaan akal dianggap terbatas.

Menurut pandangan Islam, anugerah akal diakui sebagai anugerah dan


pemberian Allah s.w.t. serta suatu keistimewaan kepada manusia berbanding
dengan makhluk-makhluk lain. Tiada ertinya walaupun setinggi mana dan
sebaik mana kita berfikir, tetapi pemikiran itu tidak direalitikan dalam bentuk
perbuatan dan praktikal.

Dalam pemikiran kritis dan kaedah berfikir, kemahiran berfikir termasuklah


kemahiran menghafal, mengingat, membuat analisa, menjana idea,
merancang, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan.

Seseorang dikatakan sebagai berfikiran rasional apabila ia berfikir dan


bertindak berdasarkan akal fikiran yang seimbang, menimbangkan baik buruk
serta akibat daripada sebarang tindakan, beralasan jelas beserta bukti-bukti
kukuh. Berfikiran rasional juga adalah dengan cara melakukan pertimbangan
tentang kewajaran pembuatan sesuatu keputusan ataupun tindakan. Implikasi
kepada sebarang keputusan dan tindakan, baik yang positif maupun yang
negatif mendasari sebarang pertimbangan sebelum dilakukan. Justeru,
berfikiran rasional adalah salah satu nilai yang baik.

NILAI PERPADUAN DAN BERNEGARA

Halaman 9 daripada 25
Keutamaan perpaduan memang tidak dapat dinafikan kerana perpaduan dan
persefahaman adalah prasyarat bagi keutuhan tamadun manusia. Tanpa
perpaduan, mana-mana tamadun tidak akan dapat berkelangsungan kerana
keadaan huru hara dan kucar kacir tidak akan menstabilkan negara bahkan
boleh membawa musibah besar kepada kemajuan tamadun dan pembangunan
negara. Perpaduan yang yang dimaksudkan bukan sahaja di kalangan Muslim
bahkan juga dengan bukan Islam. Kerajaan juga tidak dapat menumpukan
perhatian kepada pembangunan negara sekiranya terpaksa melayani dan
menumpukan kepada konflik dalaman dan masalah perkauman.

Setiap komuniti ras mempunyai agama, bahasa, adat resam dan kebiasaan
masing-masing. Penggunaan bahasa kebangsaan secara meluas oleh semua
kaum boleh membawa kesatuan dan perpaduan antara kaum. Masalah utama
yang dihadapi oleh masyarakat berbilang kaum ialah perpaduan dan integrasi
nasional. Masalah ini boleh dilihat daripada dua perspektif, pertama, konflik
dalaman antara kaum-kaum sendiri, dan kedua, konflik antara kelompok-
kelompok dan kaum-kaum yang berbeza. Semenjak peistiwa 13 Mei 1969,
beberapa perubahan besar telah berlaku untuk memperkukuh dan
memantapkan perpaduan kaum. Antaranya;

1. Pindaan perlembagaan yang menguatkan lagi status hak-hak


keistimewaan orang-orang Melayu.
2. Penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk meningkatkan ekonomi
Bumiputera iaitu dengan cara menghapuskan kemiskinan dan
penstrukturan semula pengagihan ekonomi.
3. Kerajaan telah menubuhkan beberapa agensi seperti Jabatan
Perpaduan Negara dan Biro Tata Negara.
4. Kerajaan telah memperkenalkan Rukunegara, Dasar Pelajaran
Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan pindaan Akta
Hasutan untuk mengekalkan kestabilan nasional, dan
5. Penstrukturan semula parti-parti politik melalui kerjasama politik
dengan penubuhan Barisan Nasional.

NILAI KEBEBASAN BERAGAMA DAN BERNEGARA

Kebebasan beragama yang diamalkan oleh orang Islam di Malaysia merupakan


kewajipan dan ajaran yang telah ditentukan oleh agama Islam itu sendiri.
Keharmonian dan kehidupan hidup bermasyarakat dan bernegara tidak akan
tercapai sekiranya tidak wujud kebebasan beragama, toleransi, saling
memahami dan perpaduan.

Kebebasan beragama diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.


Kebebasan beragama diberikan sepenuhnya kepada setiap warganegara. Setiap
warganegara bebas untuk menganut dan mengamalkan agamanya dan

Halaman 10 daripada 25
menyebarkannya. Walau bagaimanapun, pendakyahan sebarang kepercayaan
dan doktrin agama kepada individu Islam adalah tidak dibenarkan. Tiada orang
boleh disuruh untuk membayar apa jua bentuk cukai untuk tujuan agamanya
melainkan untuk agama orang itu sendiri. Setiap kelompok agama mempunyai
hak untuk mengurus hal ehwal agamanya dan memgwujudkan institusi untuk
tujuan keagamaan dan tujuan-tujuan kebajikan, memperoleh dan memiliki
serta menguruskannya mengikut undang-undang. Tiada diskriminasi yang
dibenarkan terhadap mana-mana warganegara atas dasar agama, bangsa,
keturunan dan tempat kelahiran. Setiap kelompok agama mempunyai hak untuk
menubuhkan institusi untuk tujuan pendidikan di dalam agamanya sendiri.
[Artikel 11 (1), (2), (3) (a,b,c), (4) dan Artikel 12 (1) dan (2) Perlembagaan
Persekutuan]

Perincian kebebasan agama dalam Perlembagaan Persekutuan mencakupi


perkara-perkara berikut:

1. Menganut dan mengamalkan agama masing-masing (Artikel II (1),


Perlembagaan Persekutuan).
2. Larangan penyebaran agama selain Islam kepada orang Islam (Artikel
II (4), Perlembagaan Persekutuan)
3. Pembayaran cukai atau seumpamanya untuk tujuan keagamaan
masing. [Artikel II (2), Perlembagaan Persekutuan).
4. Menguruskan hal ehwal agama masing-masing, menubuhkan institusi
untuk tujuan-tujuan keagamaan ataupun memiliki harta (Artikel II (3)
(a,b,c) Perlembagaan Persekutuan)
5. Tiada sebarang diskriminasi dibenarkan terhadap sesiapa sahaja
daripada kalangan rakyat berdasarkan agama, bangsa, keturunan
ataupun tempat lahir. (Artikel 12 (1) Perlembagaan Persekutuan).
6. Setiap kelompok agama mempunyai hak untuk menubuhkan dan
mengurus institusi pendidikan untuk kanak-kanak seagama mereka
sendiri (Artikel 12 (2) Perlembagaan Persekutuan)

Semua isu berkaitan dengan kebebasan beragama perlulah penelitian yang


serius dan penyelidikan yang mendalam dan mengambil kira realiti agama Islam
sebagai agama rasmi Malaysia dan realiti masyarakat berbilang agama dan
kaum di Malaysia. Ini bertujuan menjamin dan memelihara kerukunan dan
keharmonian kehidupan masyarakat berbilang kaum. Kerajaan juga bersikap
tegas terhadap mereka yang cuba mengeksploitasi dan memanipulasi isu-isu
kebebasan agama dan sensitiviti agama dan kaum di Malaysia.

NILAI BUDAYA, EKONOMI DAN BERNEGARA

Islam menjadi komponen penting dalam formulasi Dasar Kebudayaan Nasional


(DKN) dengan penekanan kepada golongan Bumiputera. Jaminan telah
diberikan oleh pihak kerajaan kepada rakyat bahawa DKN tidak akan

Halaman 11 daripada 25
menghalang sebarang penerapan budaya dan nilai bukan Melayu dan juga tidak
menghalang perkembangan budaya bangsa lain.

Kaum Melayu sedar bahawa keadaan sekarang memerlukan mereka bersaing


dengan kaum-kaum yang lain dalam dunia politik. Proses urbanisasi dan
perkembangan ekonomi menyebabkan kebanyakan mereka hanyut dalam dunia
baru dan mendapati peranan mereka pada dasarnya hanyalah sedikit sahaja.
Kaum Melayu sedar bahawa penyertaan mereka dalam proses pembangunan dan
pembaharuan perlukan anjakan paradigma. Mereka dikuasai oleh kelemahan
yang kian ketara dalam bidang ekonomi. Walau bagaimanapun mereka
dilindungi oleh warisan dan kedaulatan (kekuasaan) politik dan penguasaan
bidang pendidikan. Kesedaran yang tinggi sedang menyuntik semangat orang
Melayu untuk melonjak dalam ekonomi dan sains dan teknologi pula.

NILAI, PENDEKATAN ISLAM HADHARI DAN BERNEGARA

Pendekatan Islam Hadhari merupakan salah satu daripada manifesto yang perlu
ditunaikan oleh kerajaan sekarang sejak kemenangan besar dalam piliharaya
yang lalu. Justeru, kerajaan akan melipatgandakan lagi usaha untuk
membangunkan prinsip Islam Hadhari dan Maqasid Al-Syariah bagi memastikan
negara kita terus progresif, moden, maju dan seimbang di antara tuntutan
fizikal dan spirituil. Usaha menjana dan memperkasa Islam Hadhari adalah
selari dengan ajaran agama Islam yang juga merupakan negara rasmi negara
kita. Pelaksanaan program Islam Hadhari dengan menyeluruh dan semaksima
mungkin adalah tindakan kerajaan untuk meninggikan imej dan martabat umat
Islam sesuai dengan ungkapan “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi
daripadanya”.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah haji Ahmad Badawi telah
menjelaskan: ”Islam Hadhari memberi tekanan kepada pembangunan.
Pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Peradaban yang
dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha
mempertingkatkan mutu kehidupan. Mempertingkatkan mutu kehidupan
melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta
pembangunan fizikal. Mempertingkatkan mutu kehidupan dengan mengamalkan
sistem ekonomi, sistem perdagangan dan sistem kewangan yang dinamik.
Pembangunan sepadu dan seimbang bagi melahirkan umat yang berilmu dan
beriman, bertamadun tinggi, berakhlak mulia, jujur lagi amanah, serta
bersedia menangani cabaran semasa dunia global.”

Rakyat Malaysia yang berbilang kaum mestilah bersama-sama memerangi


elemen negatif budaya dan pemikiran Barat yang bertentangan dengan nilai
agama dan ketimuran. Budaya dan moral bangsa Malaysia mestilah
dipertahankan demi keutuhan budaya kebangsaan dan menghalang ianya
daripada dicemari oleh budaya yang merosakkan akhlak dan moral serta budi
bahasa rakyat Malaysia.

Halaman 12 daripada 25
Mesej risalah Nabi Muhammad s.a.w. menampilkan signifikan manusia
berbudaya positif dan moral yang tinggi. Sabda Rasulallah s.a.w. yang
bermaksud: ”Bahawasanya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak
(budaya dan moral) yang mulia”. Prinsip-prinsip Maqasid Al-Syariah pula
menumpukan perhatian kepada penyempurnaan akhlak yang lebih
komprehensif termasuk pemeliharaan, keutuhan dan pembaikan agama, akal,
nyawa (jiwa), hartabenda dan keturunan (zuriat).

Asas pembentukan dan kemajuan tamadun ialah berakhlak mulia dan berbudi
pekerti tinggi yang selari dengan amalan beragama dan akhirnya membentuk
pandangan semesta masyarakat. Penghayatan beragama memastikan
kesinambungan dan keutuhan tamadun.

Melalui pendekatan Islam Hadhari, kerajaan memandang serius kepada gejala


sosial pada semua peringkat dalam masyarakat. Nilai-nilai budaya dan moral
yang tinggi amat penting untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang utuh,
kuat lagi berjati diri. Nilai-nilai budaya dan moral disandarkan kepada ajaran
agama Islam yang menyeru kepada kebaikan dan menentang keburukan.

Melalui pendekatan Islam Hadhari, kerajaan di bawah pimpinan Dato’ Seri


Abdullah Ahmad Badawi akan berusaha agar budaya dan moral masyarakat
dapat dipermantapkan dan menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan
negara. Kerajaan bukan sahaja menumpukan perhatian kepada kemajuan
fizikal bahkan mementingkan juga kemajuan spirituil.

Budaya dan moral yang kuat lagi jitu adalah pemangkin dalam usaha kita
menjadi negara maju dan ke arah pencapaian Wawasan 2020. Nilai-nilai murni
dan budi bahasa rakyat Malaysia adalah di antara identiti rakyat Malaysia yang
mesti dipertahankan walaupun kita sudah moden dan membangun. Ketua
keluarga mestilah memastikan keutuhan budaya dan moral ahli keluarga
masing-masing. Pemimpin masyarakat pula bertanggungjawab terhadap
masyarakat masing-masing.

Kerajaan ingin wujudkan masyarakat yang mempunyai personaliti unggul


(towering personality) agar bangsa Malaysia dapat duduk dan berdiri sama
tinggi dengan bangsa-bangsa lain. Personaliti unggul terletak pada diri dengan
kekuatan hemah yang tinggi, berilmu pengetahuan tinggi, tinggi pencapaian,
ketokohan dan keintelektualan.

NILAI PATRIOTIK DAN BERNEGARA

Kita juga perlu meneruskan rasa patriotik dan kecintaan yang tinggi pada
negara tempat tumpah darah kita ini. Islam mengajarkan bahawa kasihkan
negara itu sebahagian daripada iman. Cara membuktikan kecintaan kita kepada
negara adalah melalui sumbangan kita kepada negara dan kecintaan itu bukan

Halaman 13 daripada 25
setakat tersemat di sanubari. Kelangsungan kemerdekaan negara kita
bergantung kepada sejauh mana kita bersedia untuk bersama-sama dengan
pihak kerajaan memerangi segala bentuk fahaman yang bercanggah dengan
Islam, faham ras yang chauvinistik, ektremisme, terrorisme serta sebarang
bentuk keganasan yang merugikan bangsa dan agama kita.

Nilai kepemimpinan mencakupi sifat dan nilai amanah, mengamalkan syura


dalam pembuatan keputusan, memaklumkan kepada pihak atasan sesuatu
keputusan, mengidamkan kejayaan bersama melalui perkongsian pintar,
pengalaman dan kepakaran, arahan yang tepat lagi jelas, tidak sombong dan
angkuh, mempelajari daripada mereka yang cemerlang, menerima teguran dan
nasihat, berniat baik, jujur pada ilmu dan kerja, benar dan tepati janji.

NILAI INTEGRITI DAN BERNEGARA

Pelan Integriti Nasional (PIN) telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia
pada 23 April 2004. Ia bertujuan melahirkan masyarakat berintegriti tinggi,
amanah dan beretika. Nilai integriti terkandung dalam cabaran keempat
Wawasan 2020 iaitu membentuk masyarakat yang mempunyai ciri-ciri moral
dan etika yang kukuh, mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh
serta berbudi pekerti luhur. Agensi dan jentera pelaksana PIN ialah Institut
Integriti Malaysia (IIM) manakala Y.Bhg. Tan Sri Samsudin Osman, Ketua
Setiausaha Negara (KSN) ketika itu telah dilantik sebagai pengerusi pertama.
Peranan IIM ialah sebagai sebuah institusi bebas yang berfungsi sebagai agensi
pemantau dan penyelaras bagi PIN.

Dalam “Tekad 2008” kerajaan telah mensasarkan usaha-usaha berikut dalam


peningkatan integriti kakitangan awam iaitu:

1. Mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa


secara berkesan.
2. Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan
awam dan mengatasi kerenah birokrasi.
3. Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.
4. Memantapkan institusi keluarga.
5. Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.

Teras etika dalam perkhidmatan awam yang umum merangkumi nilai keazaman
meningkatkan mutu perkhidmatan, bekerja dengan penuh tanggungjawab,
berusaha mengikis sikap mementingkan diri, bekerja dengan penuh muhibbah
dan kemesraan, bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan
pembangunan negara, bekerjasama dalam membenteras kelemahan serta
musuh negara dan berpegang teguh kepada ajaran agama.

Nilai dan etika perkhidmatan awam dalam ”Tonggak Dua Belas” pula
mencakupi nilai-nilai seperti menghargai masa, ketekunan, membawa

Halaman 14 daripada 25
kejayaan, keseronokan bekerja, kemuliaan kesederhanaan, ketinggian peribadi,
sifat baik hati, pengaruh teladan, menjalankan tugas, kebijaksanaan berhemat,
keutamaan kesabaran, peningkatan bakat dan nikmat mencipta.

Dalam amalan tasauf Islam, terdapat lapan nilai yang boleh diamalkan oleh
orang Islam mencakupi murabatah (siapsiaga), musyaratah (penetapan syarat),
muraqabah (Pengawasan), muhasabah (menghitung dan menilai) setelah
beramal, mu’aqabah (menghukum diri atas segala kekurangan), mujahadah
(bersungguh-sungguh) dan mu’atabah (mencela diri dan membawa kepada
sikap memohon keampunan Ilahi dan bertaubat).

Dalam ikrar integriti perkhidmatan awam, penekanan diberikan kepada aspek


ketaatsetiaan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan dan negara, sifat
amanah, cekap dan berkesan dalam menjalankan tugas, pelaksanaan tugas dan
penawaran perkhidmatan yang berkualiti, bersungguh-sungguh dalam
melakukan kerja, peningkatan prestasi dan produktiviti kerja, pewujudan dan
merealisasikan budaya kerja cemerlang serta keazaman mencapai matlamat
Wawasan 2020.

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mempunyai tekad dan keazaman untuk
menghapuskan gejala rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa secara
berkesan, meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan
awam dan mengatasi kerenah birokrasi, meningkatkan tadbir urus korporat dan
etika perniagaan, memantapkan institusi keluarga, meningkatkan kualiti hidup
dan kesejahteraan masyarakat. Kita perlu mempunyai usaha untuk mengawal
hawa dan nafsu serakah materialistik dan eksplisit, budaya hedonisme,
menyucikan hati agar menjadi bersih daripada sebarang noda dan daki,
bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa yang sejati, mempunyai
sifat ihsan dan jatidiri, serta memantapkan aqidah Ilahi dan akhlak terpuji.

Etika kerja penjawat awam mencakupi tatacara kemudahan pegawai seperti


elaun-elaun, cuti, kemudahan rumah kerajaan, pinjaman kerajaan dan rawatan
perubatan, tata kelakuan dan tatatertib, keutuhan peribadi, Tonggak 12 dan
pelaksanaan Nilai-nilai dan Etika Perkhidmatan Awam.

NILAI-NILAI DALAM MISI NASIONAL

Misi nasional mempunyai lima teras. Teras pertama Misi Nasional ialah
meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara. Tumpuan diberikan kepada:

1. Peningkatan nilai tambah sektor ekonomi


2. Pewujudan aktiviti berasaskan pengetahuan
3. Peluang pekerjaan dalam bidang terkini seperti ICT, bioteknologi,
nanoteknologi dan perkhidmatan.

Halaman 15 daripada 25
4. Pewujudan persekitaran yang kondusif bagi sektor swasta menerajui
kemajuan ekonomi.1

Teras kedua Misi Nasional menekankan tiga perkara2, iaitu:

1. Peningkatan keupayaan pengetahuan. Penumpuan dan peranan lebih


menjurus kepada penambahbaikan semua peringkat sistem
pendidikan negara dan inisiatif rakyat mencari dan menambah ilmu.
2. Peningkatan kreativiti dan inovasi negara. Kerajaan memberikan
perhatian kepada persoalan persekitaran yang menggalakkan
penyelidikan dan pembangunan terutamanya institusi pengajian
tinggi dan institusi-institusi penyelidikan. Budaya menyelidik,
mengkaji, berfikir, kreatif dan inovatif perlu dibudayakan pada
peringkat pendidikan rendah juga.
3. Pemupukan minda kelas pertama. Perkara ini menyentuh kualiti
modal insan yang menjadi impian YAB. Perdana Menteri seperti
ketinggian intelektual dan sahsiah serta memiliki dan membudayakan
kekuatan etika, moral dan akhlak.

Teras ketiga Misi Nasional memberikan penumpuan kepada kaedah menangani


ketidaksamaan sosio-ekonomi3 secara berhikmah, di antaranya:

1. Pendekatan yang digunakan adalah secara membina dan


menghasilkan sesuatu input yang positif.
2. Pembasmian kemiskinan
3. Memajukan pembangunan secara lebih seimbang terutamanya di
antara bandar-luarbandar, Pantai Timur dan Pantai Barat
termasuklah Sabah dan Sarawak.
4. Manfaat pembangunan dinikmati rakyat secara adil dan saksama.

Teras Keempat Misi Nasional menekankan aspek peningkatan kualiti hidup4.


Indeks Kualiti Hidup Malaysia merangkumi 11 aspek iaitu:

1. Dunia pekerjaan – Hubungan etnik boleh dimantapkan dengan menjalin


hubungan yang baik di tempat kerja. Dalam aspek pekerjaan, semua kaum
mendapat peluang yang sama rata untuk memberikan tenaga dan bakti dalam
apa jua profesion.

2. Pengangkutan dan komunikasi – Kemalangan jalanraya kadangkala


mengakibatkan perbalahan berasaskan sentimen etnik. Ini perlu dielakkan,
biarlah mahkamah menentukan sesiapa yang bersalah ataupun tidak. Berbudi

1 Petikan ucapan Perdana Menteri YAB. Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi semasa membentangkan
usul mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), 2006-2010 di Dewan Rakyat pada 31 Mac 2006.
2 Ibid.
3
Ibid.
4
Ibid.

Halaman 16 daripada 25
bahasa dan bersopan santun di jalanraya dan ketika menggunakan
pengangkutan awam adalah amalan mulia dan amalan kesedaran sivik yang
tinggi. Alat telekomunikasi seperti fax, telegraf, e-mail dan SMS boleh
menyumbang kepada pengukuhan hubungan etnik.

3. Kehidupan berkeluarga – Individu yang baik dan beradab akan melahirkan


keluarga yang baik. Keluarga yang baik akan melahirkan komuniti dan
masyarakat yang baik. Masyarakat yang baik adalah pemangkin kepada
kemajuan dan kesejahteraan negara. Di Malaysia, walaupun keakraban keluarga
semakin baik, setiap ahli keluarga perlulah mempunyai hubungan yang baik
dengan ahli keluarga kelompok etnik yang lain.

4. Keselamatan dan ketenteraman awam – Rakyat pelbagai kaum mestilah


sama-sama memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa
terpelihara dan mengelakkan daripada menjadi pencetus kepada perselisihan
faham ataupun konflik etnik, menimbulkan provokasi ataupun isu-isu sensitif.

5. Pendapatan dan pengagihannya – Kita mendapat tempat untuk mencari


rezeki hasil daripada kemakmuran dan kesejahteraan negara yang diusahakan
pemerintah dan rakyat dengan izin Allah s.w.t.. Tidak lagi timbul rasa cemburu
dan iri hati kerana kita sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan
pembangunan negara. Wang pembayar cukai digunakan untuk membangunkan
keluarga, masyarakat dan juga negara.

6. Kesihatan – Isu-isu seperti HIV, AIDS, dadah, sakit jantung dan kanser
melibatkan semua kaum. Kita mesti bersatu untuk memerangi dan
menanganinya.

7. Pendidikan – Bidang pendidikan sendiri sama ada di peringkat rendah,


menengah dan tinggi adalah satu wadah yang boleh digunakan untuk
menyatupadukan kaum. Secara teorinya, semakin tinggi pendidikan seseorang
itu, semakin tinggilah juga kesedaran dan amalan dalam memperkasa hubungan
etnik dan intra etnik.

8. Perumahan – Terdapat kecenderungan pembeli rumah membeli rumah di


kawasan kelompok etnik sendiri. Sikap ini perlu dibendung kerana ia boleh
mengwujudkan polarisasi kaum. Banyak kawasan perumahan yang mempunyai
pelbagai kelompok etnik. Maka usaha perlu dijalankan untuk memperkukuh
hubungan etnik di kawasan kediaman terlebih dahulu.

9. Alam sekitar – Isu alam sekitar sebaiknya ditangani secara bersama. Kempen
gotong royong pembersihan taman perumahan yang melibatkan pelbagai
kelompok etnik boleh mengwujudkan semangat dan sikap kerjasama
berkumpulan dan tolong menolong.

Halaman 17 daripada 25
10. Penglibatan sosial – Kerja-kerja sukarela sama ada di peringkat komuniti
dan masyarakat boleh mengwujudkan sikap sayang menyayang dalam konteks
hubungan etnik. Begitu juga kerja sosial dan pembangunan komuniti dan
masyarakat.

11. Budaya dan hiburan – Program kebudayaan dan hiburan yang melibatkan
penyertaan pelbagai kelompok etnik mestilah sentiasa digalakkan kerana ia
boleh memperkukuhkan hubungan etnik.

Sebagai kerajaan yang adil dan beramanah, kerajaan telah memperuntukkan


jumlah bajet yang terlalu besar untuk peningkatan pembangunan infrastruktur
dan infostruktur di samping penekanan diberikan kepada penambahbaikan dan
keberkesanan kemudahan-kemudahan asas tersebut.

Teras kelima Misi Nasional memberikan penekanan kepada aspek pelaksanaan,


implementasi dan sistem penyampaian perkhidmatan awam dalam agensi-
agensi kerajaan dan separa kerajaan.5 Keupayaan melaksana adalah paling
penting di samping perancangan, penilaian, pemantauan dan
pengimplementasian. Tiada gunanya merancang tanpa melaksana. Penekanan
juga diberikan kepada semua rakyat dalam aspek integriti, akauntabiliti dan
tanggungjawab menunaikan amanah.

NILAI DALAM RUKUNEGARA

Rukunegara merupakan rukun kesempurnaan bernegara. Ia terdiri daripada:

1. Kepercayaan Kepada Tuhan


2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
3. Keluhuran Perlembagaan
4. Kedaulatan Undang undang
5. Kesopanan dan Kesusilaan

Nilai dalam Rukunegara mencakupi aspek sistem kepercayaan (spirituil dan


kerohanian), persoalan dalaman hati (setia), kekerajaanan (raja), kenegaraan
dan pemerintahan (setia pada negara), kesucian (perlembagaan), ketinggian,
sakral dan ketaatan (undang-undang) dan elemen moral (bersopan dan
bertatasusila). Kebebasan yang ada pada manusia tidaklah melangkaui prinsip-
prinsip ini. Rukunegara merupakan manifestasi daripada rasahati pemimpin
masyarakat berbilang kaum yang mewakili setiap kelompok etnik di Malaysia.
5
Ibid.

Halaman 18 daripada 25
CABARAN ERA PASCA-MODENISME

Dr. Akhbar Ahmed dalam bukunya Post-Modernism and Islam memberikan


beberapa cabaran kepada umat Islam dalam era pasca-modenisme iaitu
dekolonialisasi, pertembungan Muslim dengan tamadun Barat sebagai satu
angkubah manifestasi sejarah, krisis budaya Barat dan kebejatan media yang
datang dari Barat.

Unsur-unsur modenisme masih lagi mewarnai ciri zaman pasca modenisme dan
terdapat peningkatan-peningkatan pada tahap tertentu terutamanya yang
berkaitan dengan fenomena globalisasi. Justeru itu, kita akan melihat
berlakunya anjakan paradigma dalam asas-asas modenisme seperti kemajuan
teknologi dan semangat ilmu sains, rasionalisasi dan pragmatik dalam soal
kehidupan, kesekularan dalam menanggapi persoalan hubungan sosial dan
pembinaan negara-bangsa (nation-state building). Anjakan paradigma ini
bukanlah bertujuan untuk mengintegrasikan ajaran-ajaran Islam yang
berkonsepkan Addin itu bahkan berlawanan pula dengannya. Secara teorinya,
zaman pasca-pemodenan akan mengambilalih zaman moden walaupun tidak
sepenuhnya. Perubahan-perubahan drastik tidak akan menjelma dengan
mendadak tetapi beralih secara beransur-ansur seperti juga berkembangnya
tamadun itu sendiri.

Berkenaan dengan persoalan keobjektifan sains dalam era pasca-modenisme,


materialisme tetap akan menjadi neraca utama. Muhammad Asad [1992]
melihat modenisme yang berasaskan materialisme sebagai Dajjal; satu simbolik
kepada mereka yang berfikir dan berfalsafahkan kebendaan dan melihat
dengan sebelah mata tanpa memberikan pertimbangan agama (ukhrawi)
terutamanya yang berkaitan dengan kemajuan sains dan teknologi dan juga
ilmu pengetahuan.

Dewasa ini, sains teknologi dan ilmu pengetahuan dikomersialkan dan sudah
wujud tanda-tanda bahawa penentuan objektif ilmu dan sains adalah
berdasarkan wang ringgit semata-mata, bukan lagi soal etika, moral, akhlak
dan agama. Bahkan kesejahteraan sosial dan tujuan-tujuan kemanusiaan
seperti diabaikan. Ini bukan lagi membahayakan manusia Muslim semata-mata
bahkan umat manusia keseluruhannya.

Dalam era pasca-modenisme, akal atau rasional akan diberikan tempat


tertinggi dalam soal kehidupan. Semua bidang-bidang akan dirasionalisasikan.
Apa yang dikatakan baik dan bagus menurut rasional, maka baiklah sesuatu
perkara itu. Akibatnya agama akan turut mengalami pengalaman yang serupa.
Perkara ini amat membahayakan pemikiran umat Islam kerana menurut Islam,
akal sahaja bukan penentu mutlak apa yang dikatakan sebagai kebaikan.

Halaman 19 daripada 25
Idea Francis Fukuyama [1989] tentang berakhirnya sejarah di dalam karyanya
The End of History mendorong kita untuk memikirkan sedalam-dalamnya
hubungan sesama manusia secara global. Beliau kemudiannya melanjutkan
tesisnya itu dalam buku beliau yang bertajuk The End of History and the Last
Man [Francis Fukuyama: 1992] Tafsiran beliau tentang penamatan sejarah
boleh dilihat sebagai satu zaman peralihan daripada moden ke pasca-moden
iaitu “demokrasi liberal”. Sebenarnya, pemikiran beliau banyak dipengaruhi
oleh idea Hegel mengenai the arrival of absolute idea (ketibaan idea mutlak)
di mana ideologi politik sedunia akan beralih kepada demokrasi mutlak dan
itulah idea mutlak. Dalam era kebangkitan Islam di mana para aktor
kebangkitan Islam melaung-laungkan slogan Negara Islam moden, wacana yang
diketengahkan oleh Fukuyama menjadi cabaran yang cukup besar. Sejauh mana
sistem demokrasi liberal bersesuaian dengan sistem syura Islam misalnya, atau
bagaimana falsafah dan sistem itu diubahsuai agar menepati konsep syura dan
pemerintahan Islam? Bahkan fahaman-fahaman kapitalis dan sosialis dikira akan
turut terlibat dalam wacana tentang tuntutan para ideolog kebangkitan Islam.
Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana para ideolog kebangkitan Islam
menjawab masalah-masalah dalam era pasca-moden dan merancang secara
teliti dan berstrategi agenda global atau nasional akan menentukan klimaks dan
pencapaian matlamat kebangkitan Islam sebenarnya iaitu kembali kepada
ajaran Islam tulen bersesuaian dengan al-Quran dan al-Sunnah.

Warna-warna politik pascamoden akan menrefleksi pertentangan budaya dan


pertembungan tamadun. Samuel P. Huntington [1993] di dalam artikelnya ”The
Clash of Civilizations” mengutarakan pendapat yang cukup kontroversial ini
tetapi mempunyai banyak nilai-nilai pemikiran yang perlu ditanggapi oleh umat
Islam. Salah satu “pertembungan” yang sedang berlaku ialah sekularisme
dengan “fundamentalisme” Islam. Sungguhpun saya tidak bersetuju dengan
istilah fundamentalisme seperti tafsiran Barat (yang berdasarkan etnosentrik
Barat), pemakaian istilah ini tetap akan digunakan kerana ia biasa difahami
oleh pembaca khalayak. Masalah sekularisme bukanlah isu baru. Ketamadunan
Barat tercapai hasil daripada penolakan mereka terhadap ajaran-ajaran Nasrani
manakala tamadun Islam pula terbina kerana penerimaan total ajaran-ajaran
agama termasuk yang fundamental. Perdebatan-perdebatan kontemporari
mengenai ketuhanan berasaskan rasional di Barat sudah mencapai tahap dan
kesimpulan bahawa Tuhan itu tidak wujud. Buktinya Schellenberg [1993] di
dalam bukunya yang penuh dengan unsur-unsur atheism yang bertajuk Divine
Hiddenness and Human Reason mengutarakan hujah-hujah mantiq untuk
membuktikan bahawa Tuhan tidak ada. Berikut adalah hujah-hujahnya:

1. Sekiranya terdapat Tuhan, maka Tuhan itu cintanya cukup-cukup


sempurna.
2. Sekiranya Tuhan yang cukup-cukup sempurna itu wujud,
ketidakpercayaan (yang masuk akal) tidak berlaku.
3. Ketidakpercayaan berlaku.
4. Oleh kerana itu, tiada Tuhan yang cintanya sempurna wujud;

Halaman 20 daripada 25
5. Justeru itu, Tuhan itu tiada.

Sengaja saya membawa hujah ini untuk menunjukkan betapa impak sekularisme
cukup berkesan dalam pemikiran Barat. Bahkan boleh dikatakan benar juga
bahawa sekularisme akhirnya akan membawa kepada atheisme. Apakah
akhirnya pertembungan peradaban itu akan membentuk pertembungan
atheisme dengan Islam atau dengan agama lain?

Kemerbahayaan atheisme sudah mula menapak. 15% penduduk dunia dikatakan


berfahaman atheis. Orang atheis tidak percayakan kewujudan Tuhan. Dalam
konteks Malaysia, orang atheis tidak layak untuk menjadi warganegara negara
ini kerana berlawanan dengan semangat dan falsafah Rukunegara yang
menyatakan kepercayaan kepada Tuhan sebagai tunggak utamanya.

KESIMPULAN

Nilai dan kenegaraan sebenarnya mempunyai isi perbincangan yang begitu luas.
Nilai positif menwujudkan warganegara yang menyedari tanggungjawab
kewarganegaraan. Sebagai staf UPM, kitalah yang akan menentukan UPM
menjadi universiti bertaraf dunia dan bereputasi tinggi dengan mengamalkan
etika kerja yang sebenarnya. Ini juga menyumbang kepada pembangunan dan
kemajuan negara. Selamat Bernegara.

Halaman 21 daripada 25
RUJUKAN

Al-Quran Al-Karim.

Fukuyama, Francis “The End of History?”, The National Interest, Summer,


1989.

Fukuyama, Francis [1992], The End of History and The Last Man, London:
Penguin Books.

Huntington, Samuel P., “The Clash of Civilizations?”, Foreign Affairs, Vol. 72,
No. 3, Summer, 1993.

INTAN, Citra Karya: Falsafah, Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam
(INTAN), Kuala Lumpur, 1994.

Kerajaan Malaysia, Perintah Am Bab A, B, C, F dan G.

Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Muhammad Asad [1992], The Road to Makkah, India: Adam Publishers and
Distributers.

Nilai dan Etika dalam Perkhidmatan Awam (INTAN) 1991.

Peraturan-Peraturan Pegawai Perkhidmatan Awam (Perlantikan, Kenaikan


Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) Tahun 2005.

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2004.

Schellenberg, J.L. [1993], Divine Hiddenness and Human Reason, Cornell:


Cornell University Press.

Halaman 22 daripada 25

You might also like