You are on page 1of 1

Dasawarsa ini, aspek penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat semakin dititikberatkan oleh pihak kerajaan lantaran pembangunan

negara turut bergantung kepada faktor kehebatan fizikal dan dalaman rakyat itu sendiri. Namun demikian, selaras dengan kemajuan aktif negara, semakin ramai rakyat yang gemar memilih makanan ringan sebagai menu harian mereka berikutan faktor masa dan pengaruh iklan itu sendiri. Sedar atau tidak, tindakan ini sebenarnya hanya memberi lebih banyak keburukan berbanding kebaikkan. Keburukan utama makanan ringan ialah tidak berzat dan bertentangan dengan piramid makanan yang memaparkan jumlah dan jenis menu seimbang yang diperlukan oleh tubuh. Kebanyakkan makanan ringan hanya mementingkan rasa berbanding kualiti bahannya. Akibatnya, badan akan mendapat diet yang pincang dan mengakibatkan timbulnya pelbagai jenis penyakit seperti diabetes, kegagalan buah pinggang untuk berfungsi, kencing manis, dan sebagainya. Selain itu, makanan ringan juga mengandungi banyak bahan pengawet dan perasa yang berlebihan. Bahan kimia seperti sodium benzoate dan sodium chloride ternyata hanya mengundang kepada pelbagai penyakit berbahaya. Dalam hal ini, ginjal terpaksa bekerja lebih keras untuk menapis semula bahan ini dalam usaha memastikan tekanan darah sentiasa normal. Walau bagaimanapun, bagi saya, tindakan ini hanyalah seperti mencurah air ke daun keladi kerana kesan buruknya tetap ada pada usia emas nanti. Di samping itu juga, makanan ringan juga tidak mengenyangkan dan membazir wang sahaja. Faktor masa dan kesibukkan dalam urusan kerjaya memaksa ramai rakyat untuk memilih makanan segera kerana langkah ini ternyata mampu menjimatkan masa tetapi ramai yang alpa untuk melihat kembali seterusnya melakukan analisis belanjawan yang telah dilaburkan untuk membeli makanan ringan. Sekiranya dinilai balik, sudah terang lagi bersuluh, makanan ringan hanya membazirkan wang ringgit walhal ia lansung tidak mengenyangkan malah tidak berzat lagi., Tambahan pula, jika dilihat dari sudut lain, makanan ringan juga secara tidak lansung boleh mengurangkan kemesraan dalam hubungan kekeluargaan. Seorang pakar motivasi pernah berkata, air tangan seorang isteri mampu mengikat hati suami dan anak-anaknya. Intihanya, sekiranya lebih ramai yang memilih makanan ringan berbanding memasak sendiri, jadi hubungan keluarga itu akan jadi jauh dan tidak mustahil pula amalan memilih makan ringan akan menjadi tradisi dalam keluarga itu pula nanti, bak kata pepatah kemana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Konklusinya, makanan ringan hanya memudaratkan kesihatan. Saya percaya sekiranya kita mengamalkan menu seimbang dan peka akan kesihatan tubuh badan, maka tidak mustahil akal kita turut terpelihara dan otak juga akan menjadi cerdas. Oleh yang demikian, semua pihak harus sedar dan sama-sama mengelakkan diri dan keluarga masing-masing dari memilih makanan ringan yang terbukti memudaratkan diri.

You might also like