You are on page 1of 2

TEKS UCAPAN TIMBALAN NAIB CANSELOR HAL EHWAL PELAJAR

PROF DR AMRAN BIN AHMED


PROGRAM BINGKISAN MAHASISWA 2005
17 SEPTEMBER 2005

Bismillahhirrohmanirrohim,
Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Jutaan terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada pihak pengajur
iaitu Persatuan Mahasiswa/i Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial
(pGURU) Universiti Malaysia Sabah atas kesudian menjemput saya untuk turut
serta dalam majlis pada hari ini. Tidak dilupakan saya memohon kemaafan
kepada rombongan dari SMK Tebobon andainya ada kekurangan yang
menyebabkan ada rasa tidak selesa setibanya di sini. InsyaALLAH kami
berusaha menyediakan keperluan dalam kelangsungan majlis ini sebaik yang
mungkin kerana saya yakin dengan kepimpinan yang dimiliki oleh semua ahli
pGURU dalam melaksanakan apa yang telah dirancang.

Saya bagi pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS berasa cukup bangga
atas usaha yang dilakukan oleh para mahasiswa / i yang terlibat secara langsung
dan syabas serta tahniah kepada anda sekalian kerana bijak menguruskan masa
dalam mengatur segala aktiviti-aktiviti yang dirancangkan. Sebagai bakal guru,
anda haruslah bersedia dari sekarang menimba seberapa banyak ilmu yang
dapat disesuaikan dengan pelbagai persekitaran terutama ketika mengajar di
sekolah nanti. Program seperti ini sentiasa digalakkan bagi memantapkan bakat
kepimpinan para pelajar UMS di samping membina keyakinan sebagai
pengalaman selepas graduan kelak seterusnya melangkah ke alam pekerjaan
yang menuntut pelbagai keperluan sosial.

Apa yang saya ingin fokuskan di sini ialah profesion perguruan yang anda bakal
ceburi nanti menuntut kesabaran, kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi
tugas yang mencabar semakin hari sepertimana kita sedia maklum. Tanpa
kesediaan sepenuhnya, saya yakin negara kita bakal ketandusan generasi yang
cemerlang, gemilang dan terbilang untuk mewarisi pembangunan negara kini
dan kesannya akan dapat kita lihat pada masa akan datang. Maka, disarankan
penglibatan dalam apa jua aktiviti anjuran universiti dapat membantu para
mahasiswa dan mahasiswi membina dan mengukuhkan keupayaan diri yang
kamu sendiri tidak ketahui.

Mengenai Program Bingkisan Mahasiswa 2005 ini, saya harap agar ianya tidak
terhenti begitu sahaja dan ada kesinambungannya selepas ini agar kami dapat
mengikuti perkembangan para pelajar SMK Tebobon yang terpilih ini supaya
kami dapat menganjurkannya lebih kerap insyaALLAH dan belajar daripada
kekurangan bagi tujuan bersama-sama membantu guru-guru meningkatkan self-
esteem para pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan pada masa yang akan
datang.

Namun, harus diingatkan kepada semua bahawa pengharapan yang terlalu


tinggi juga boleh menjatuhkan estim para pelajar. Dengan itu, usaha yang
maksimum, hubungan yang baik antara guru dan pelajar yang berterusan
diperlukan meskipun kadang-kadang terpaksa melakukan pengorbanan dari segi
masa, tenaga mahu pun wang untuk mencapai kejayaan. Diingatkan di sini
kejayaan tidak akan dapat dikecapi semudah-mudahnya tanpa usaha yang gigih
dan tekun. Tuhan sentiasa membantu hamba-hambaNya untuk memperoleh
kejayaan yang diinginkan.

Akhir sekali, syabas dan tahniah kepada pGURU dan juga unit kaunseling SMK
Tebobon kerana dapat bekerjasama dengan baik bagi memastikan kelancaran
program seterusnya memaksimumkan pengisian para pelajar yang sentiasa
mengharapkan sesuatu yang berharga dari kita sebagai orang dewasa supaya
kejayaan mereka tercapai. Sekian, terima kasih.

You might also like