You are on page 1of 3

Jurnal Reflektif (T1A4)

Saya telah berkunjung ke salah sebuah rumah rakan berbangsa cina yang sedang menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bagi menyiapkan tugasan akhir Universiti Terbuka Malaysia. Tujuan kunjungan adalah untuk melihat suasana sambutan yang dialami sama dengan gambaran yang saya dapat daripada pembacaan dan juga temubual. Semasa berkunjung ke sana saya sempat membuat rakaman video dan memfokuskan terhadap beberapa perkara penting seperti pemberian angpau, bermain bunga api atau mercun, pakaian tadisional, hidangan kuih-muih dan beberapa perkara lain seperti pantang-larang serta amalan yang dilakukan semasa perayaan tersebut. Di depan rumah mereka pula terdapat bekas serpihan mercun dan bunga api yang membuktikan bahawa mereka telah bermain sebelum ini dan mungkin dimainkan pada sebelah malamnya. Kepercayaan terhadap bermain mercun atau bunga api sebagai tujuan menghalau hantu atau anasir jahat masih wujud dalam keluarga berkenaan. Mereka percaya jika anasir jahat tidak dihalau ia boleh menghalang rezeki atau tuah baik yang datang ke rumah. Setibanya kami di perkarangan rumah yang dikunjungi kami disambut mesra oleh ahli keluarga berkenaan. Kelihatan si ibu memakai pakaian cheong sam, manakala suami dan aanakanaknya memakai pakaian biasa yang baharu dan majoriti berwarna merah. Kesimpulan yang dapat saya lihat di sini ialah masih ada amalan mencintai pakaian tradisional dan kepercayaan warna merah sebagai lambang kekayaan dan kesenangan hidup. Walaupun si bapa dan anak-anaknya tidak menggunakan pakaian tradisi namun kepercayaan terhadap pakaian baharu mesti dipakai pada hari pertama masih dipercayai. Mereka percaya ia membawa tuah yang baik kepada isi rumah sepanjang tahun. Di hadapan pintu rumah juga terpampang kain rentang berwarna dengan perkataan dalam bahasa cina yang bermaksud Gong Xi Fa Cai. Menurut kepercayaan, sama ada dengan tulisan cina atau rumi ia tetap memberi makna tersirat iaitu mengharapkan dapat hidup dalam keadaan yang baik. Contohnya Gong xi fa cai membawa maksud sebagai Tahniah dan semoga mendapat rezeki.

Semasa di rumah kami dihidangkan pelbagai juadah. Kebanyakan juadah adalah manisan yang melambangkan tuah baik dan perlu dimakan bukan hanya kepada pengunjung malah setiap isi rumah tersebut. Kepercayaan memakan manisan boleh mengundang tuah yang baik kepada mereka. Tidak ketinggalan ialah kuih tradisi iaitu kuih bakul. Menurut tuan rumahnya, kuih bakul ini tidak dibuat sendiri dan dibeli dari pasaraya. Apa yang menjadi persoalan dan renungan ialah adalah perlu bagi ibu bapa mengajar anak-anak mereka membuat kuih tradisi supaya kemahiran ini tidak pupus begitu sahaja. Alasan yang diberikan oleh si keluarga berkenaan adalah proses membuat kuih tersebut adalah lama dan tidak boleh dilakukan sembarangan. Justeru mereka mengambil langkah mudah dengan membelinya sahaja di pasaraya berhampiran. Sebagai seorang guru sekolah kepentingan mencintai dan mendalami kemahiran membuat kuih tradisional harus disemaikan dalam diri pelajar agar ia tidak hilang begitu sahaja. Tidak hanya kuih tradisional masyarakat tersebut malah seluruh kaum yang terdapat di Malaysia. Pengetahuan tentang cara membuat kuih tradisional sangat penting diketahui oleh generasi pelajar kerana mereka adalah pewaris bangsa pada masa akan datang. Jika dibentuk dari awal ia mampu menyemaikan rasa kecintaan mereka terhadap bangsa sendiri dan negara amnya. Semasa kunjungan juga saya sempat melihat si bapa sedang memberikan ang pau kepada anak-anaknya. Ini memperlihatkan bahawa amalan memberi ang pau masih dijadikan amalan mereka. Menurut tuan rumahnya, jumlah wang dalam ang pau tersebut tidak menentu dan terpulang kepada keikhlasan dan kemampuan si pemberi. Ini bermakna angka 4 seperti rm4.00 atau yang berakhir dengan 4 yang sebelum ini dimaksudkan dengan sial tidak relevan lagi. Pemberian angpau kepada anak anak yang belum berkahwin juga tidak semestinya dilakukan. Ia banyak dipengaruhi oleh kemampuan dan peredaran zaman kerana ada di kalangan anak-anak yang belum berkahwin mempunyai pendapatan sendiri malah lebih mungkin lebih mewah daripada ibu bapa mereka. Maka kekadang anak-anak inilah yang akan memberikan angpau kepada kedua orangtua mereka.

Mesej yang dapat saya lihat di sini ialah, walaupun tradisi seperti memberikan ang pau kepada anak-anak belum berkahwin tidak dilakukan namun kemesraan dan rasa tanggungjawab dalam keluarga berkenaan masih teguh. Logiknya anak yang sudah mempunyai pendapatan sendiri malah mungkin lebih besar daripada kedua orangtuanya wajar menghulurkan wang atau ang pau kepada orang tua sebagai balasan mereka berpayah membesarkan anak-anak sejak dari kecil. Sebagai rakyat Malaysia kita haruslah sentiasa bersatu padu demi kesejahteraan dan keamanan negara yang kita cintai ini. Ibu bapa di rumah harus mengamalkan budaya hidup bermasyarakat supaya menjadi ikutan anak-anak. Budaya kunjung-mengunjung ke rumah rakan taulan semasa musim perayaan dan tidak hanya kepada bangsa sendiri harus menjadi amalan supaya kita dapat memahami budaya masyarakat lain yang akhirnya mewujudkan budaya saling memahami dan hormat-menghormati sesama kita. Peranan guru di sekolah supaya sentiasa menekankan kepentingan sebuah negara yang aman dan selamat dalam diri pelajar adalah mustahak. Guru perlu sentiasa menjadikan Falsafah Pendidikan Negara sebagai landasan untuk membina negara bangsa yang berkualiti dan disegani oleh negara luar.

You might also like