You are on page 1of 4

Autisme ialah sejenis kecelaruan yang tidak diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa disebabkan oleh

kejahilan mereka. Sedangkan mengikut Persatuan Psikiatrik Amerika (APA) pada tahun 2000, kadar autisme adalah 2 hingga 20 orang dalam setiap 10,000 manusia. Terdapat kanak-kanak yang menghadapi isolasi yang serius sejak peringkat bayi. Mereka mengasingkan diri daripada pergaulan, pertembungan mata dan amat sukar untuk berinteraksi serta melahirkan perasaan hatinya. Ramai di antara mereka melukakan diri sendiri atau melakukan perbuatan yang sama secara berulang-ulang selama berjam-jam. Secara tradisional, situasi ini dikenali sebagai 'infantile autism' (berasal daripada perkataan Greek, Autus bererti diri). Kini, para penyelidik mendapati bahawa kecelaruan ini berlaku seumur hidup dan memerlukan ketabahan yang tinggi khususnya daripada ibu bapa untuk membantu anaknya. Terdapat ciri-ciri umum untuk kecelaruan autistik. Antaranya adalah ketidakupayaan dalam komunikasi. Kanak-kanak autistik menghadapi masalah untuk berkomunikasi, menjalin hubungan sosial dan berfikir secara kreatif. Mereka hidup dalam dunia sendiri. Pada peringkat bayi, anak autistik tidak peduli sama ada dipeluk atau tidak oleh ibu bapanya. Pada peringkat awal kanak-kanak, mereka akan mengasingkan diri serta menunjukkan reaksi yang agresif ketika dipegang, disentuh dan dipeluk. Mereka tidak suka senyum dan bertentang mata ketika berkomunikasi. Jika sakit, luka atau duka, anak autistik tidak akan meluahkan masalah untuk mengurangkan ketidakselesaan. Ini bererti jarang adanya ekspresi perasaan muka dalam pertuturan. Mereka suka berseorangan, tidak suka menjalinkan hubungan dengan orang lain dan hidup dalam dunianya sendiri. Hampir 50 peratus daripada anak autistik tidak dapat menguasai teknik pertuturan. Anak-anak ini mempunyai suatu corak komunikasi yang digelar 'echolalia', iaitu mengulangi perkataan orang lain. Contohnya kalau ditanya 'Annie, sudah makan?'. Dia akan membalas dengan mengulangi hampir keseluruhan ayat dengan berkata 'Annie, nak makan?'. Dalam kebanyakan kes, bukan sahaja perkataan diulangi malah intonasinya juga sama. Walaupun ada segelintir anak autistik yang dapat bertutur, namun mereka tetap menghadapi masalah berinteraksi dengan sekeliling secara berkesan. Selain itu, anak autistik memperlihatkan tingkah laku dan minat yang agak luar biasa. Annie misalnya suka menyusun alat permainannya dengan cara yang sama pada tempat yang sama. Tiada siapa yang berani menyentuh atau menukar cara susunannya. Sekiranya alat permainannya hilang atau pernah ditukar cara susunan, dia akan mengamuk dan melonjak-lonjak. Anak autistik sangat sensitif terhadap kehilangan benda. Mereka mempunyai kesabaran menyusun berpuluh-puluh biji guli secara teratur setiap hari tanpa berasa bosan. Mereka dapat mengesan dengan cepat walaupun kehilangan satu atau dua biji gulinya. Keupayaan yang menakjubkan ini digelar maintenance of sameness iaitu pengekalan kesamaan.

Anak autistik sanggup menggunakan masa yang panjang untuk mengulangi sesuatu perbuatan seperti memusingkan badan dalam bulatan, melambai tangan di depan mata sendiri atau menggigit kuku. Sekiranya perbuatannya diganggu, mereka akan mengamuk dan menunjukkan ketidakstabilan emosi. Anak autistik sering melakukan sesuatu mengikut kemahuannya tanpa merujuk kepada orang lain. Sikap mereka yang angkuh, suka menghafal, mengulang dan tidak menghiraukan kewujudan orang lain merupakan halangan yang merumitkan proses pembelajaran mereka. Menurut APA lagi, kebanyakan tanda anak autistik dapat dikesan sebelum usia mereka mencecah 3 tahun. Hampir 50 peratus daripada anak autistik mempunyai IQ (Darjah Kecerdasan) kurang daripada 50, iaitu julat kecacatan akal yang serius. Sementara itu, hampir 25 peratus tergolong dalam julat IQ 50 hingga 70 manakala bakinya memperlihatkan purata IQ yang melebihi 70. Ujian IQ amat berguna untuk menentukan pronogsis anak autistik. Semakin tingginya skor IQ, semakin kurang sokongan keluarga yang diperlukan. Untuk mereka yang memperoleh skor IQ yang rendah juga menghadapi masalah menguasai kebolehan berkomunikasi. Anak sedemikian memerlukan sokongan sosial dan pendidikan yang jauh lebih banyak apabila dewasa. Untuk kebanyakan kes, keupayaan menguasai sesuatu bahasa dan skor IQ merupakan petunjuk ramalan yang boleh dipercayai untuk masa depan anak autistik. Punca berlakunya kecelaruan autistik boleh ditinjau daripada perspektif psikologikal, sosial dan biologikal. Autisme merupakan suatu kecelaruan yang masih memerlukan banyak penerokaan. Autisme bukan berpunca daripada suatu faktor sahaja tetapi kombinasi faktor biologikal dan psikososial untuk melahirkan tingkah laku yang luar biasa. Pada peringkat permulaan, Kanner (1943) mengatakan autisme berpunca daripada faktor biologikal. Dingin Tidak lama kemudian, pakar klinikal pula membantah dengan mengatakan autisme adalah dipelajari. Keadaan anak sedemikian disebabkan ibu bapa yang bersikap dingin, tidak suka bergaul dan suka mengawal tingkah laku anaknya. Pada tahun 1967, Bettelheim turut menyokong dengan mengatakan bahawa kecelaruan autistik berlaku hasil daripada gaya layanan ibu bapa yang bercorak kesempurnaan, jarang berkomunikasi dengan anak dan secara relatifnya, jenis keluarga sedemikian mempunyai status ekonomi yang tinggi. Bettelheim percaya bahawa tingkah laku anak autistik sama seperti askar Jerman yang masih hidup di kem ketika Perang Dunia Kedua. Kumpulan askar ini menunjukkan ciri-ciri autistik seperti tidak prihatin, mengasingkan diri dan juga kelihatan murung. Pembaca pasti dapat membayang betapa pedihnya hati ibu bapa yang memarahi dirinya dan menyalahkan diri sendiri di atas kelahiran anak sedemikian. Dari perspektif lain, pada tahun 1975, Cox dan pakar psikologi yang lain telah menjalankan penyelidikan ke atas ibu bapa anak autistik.

Mereka mendapati ibu bapa ini bersifat mesra, suka bergaul dan berintraksi. Walaupun memiliki anak-anak autistik, mereka juga melahirkan anak-anak lain yang normal. Tahun kebelakangan ini, dimensi biologikal pula lebih diberi keutamaan oleh para penyelidik dan pusat kesihatan profesional. Beberapa faktor telah dikaitkan dengan kecelaruan autistik termasuk German measles, hypsarrhythmia, cytomegalovirus dan kesukaran bersalin. Terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa autisme disebabkan faktor genetik. Risiko Jones dan Szatmari (1988), mengatakan bahawa ramai ibu tidak mahu mengandung selepas melahirkan anak autistik kerana bimbang akan risiko mendapat anak yang menghidap kecelaruan tersebut lagi. Menurut Cook, 2001, keluarga yang mempunyai anak autistik menghadapi kebarangkalian 3 peratus hingga 5 peratus untuk melahirkan anak autistik yang berikutnya. Faktor genetik dikaitkan dengan sindrom X yang mengandungi komponen biokimia. Bukti terbaik untuk faktor genetik lahir daripada kajian anak kembar "Twin Studies". Kajian ini menunjukkan bahawa anak autistik daripada kembar monozigotik memperlihatkan peratusan autisme yang tinggi, iaitu 70 peratus manakala peratusan autisme untuk anak kembar dyzygotic adalah - 0 (Folstein & Rosen, 2001). Keputusan kajian menunjukkan bahawa kecelaruan autistik boleh diwarisi. Penyelidik genetik mencadangkan bahawa gen yang terlibat dalam kecelaruan autistik mungkin terletak pada kromosom 2,7,15 dan x. Bukti sedemikian turut diperoleh oleh Wassink et al (2001) yang mengatakan bahawa gen WNT2 terletak pada kromosom 7 yang mana gen inilah yang memainkan peranan utama dalam menyebabkan kecelaruan autistik. Untuk kebanyakan anak autistik, mereka menghadapi aras serotonin dan dopamine yang tinggi. Tsai dan Ghasinddin pada 1992 pula mengatakan 30 hingga 75 peratus daripada golongan autistik memperlihatkan struktur neurologikal yang luar biasa. Manakala penyelidik yang menggunakan teknologi CT dan MRT mendapati bahawa wujudnya keadaan yang luar biasa untuk bahagian serebelum iaitu saiz yang lebih kecil berbanding orang normal. Walaupun keluarbiasaan otak ini bukan dijumpai di setiap kajian, ini merupakan dapatan yang lebih boleh dipercayai. Menurut kajian, jantina merupakan satu faktor bahaya yang signifikan. Lelaki menunjukkan kecenderungan yang lebih tinggi menghidap autisme berbanding dengan perempuan. Kadarnya adalah tiga hingga empat lelaki berbanding perempuan, satu sahaja. Kajian autistik merupakan suatu bidang yang baru dan masih memerlukan suatu kombinasi teori yang lebih lengkap. Kebanyakan anak autistik tidak dapat menjaga dirinya dengan sempurna. Mereka terpaksa berada di rumah bersama ahli keluarganya. Sebagai ibu bapa, mereka tidak seharusnya berputus asa.

Penulis mempunyai seorang rakan yang anaknya Pennie telah menghidap kecelaruan autistik. Pada peringkat permulaan, pasangan suami isteri ini berasa kecewa dan sedih. Mereka enggan menerima kenyataan. Namun atas pegangan agama dan azam yang kukuh, mereka telah berubah sikap dan ingin membantu anaknya dengan hati terbuka. Pennie telah dihantar ke sekolah khas ketika berumur 4 tahun untuk menerima pendidikan. Untuk menjayakan program bimbingan si anak, mereka telah mengambil bahagian secara aktif. Pada hakikatnya, penguasaan bahasa dan keupayaan bersosialisasi merupakan aspek penting dalam segala rawatan atau program yang dikendalikan. Selepas dua tahun menjalani latihan dari sekolah khas, Pennie menampakkan perubahan yang ketara. Dia lebih ceria, mesra dan tidak lagi begitu agresif. Selain itu, kanak-kanak itu mulai boleh duduk diam untuk mendengar seketika dan berkomunikasi secara ringkas. Tingkah lakunya yang tidak normal juga banyak berkurangan. Ibu bapa dan guru menggunakan teknik pengukuhan seperti diberi buku bergambar selepas berjaya dalam suatu pembelajaran. Anak merupakan kurniaan Tuhan. Anak-anak autistik yang malang ini seharusnya menerima limpahan kasih sayang dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada ahli keluarganya. Dari segi perubatan psikososial misalnya, penekanan dari segi komunikasi dan sosiolisasi diberi keutamaan. Untuk perubatan biologikal pula, didapati kesannya tidak begitu baik. Kebanyakan terapi anak autistik meliputi pendidikan khas dalam bidang komunikasi dan sosiolisasi. Pendekatan tingkah laku didapati paling berkesan dalam membantu penguasaan pembelajaran anak autistik. Apabila dewasa, anak autistik harus digalakkan mengambil bahagian dalam intervensi yang melibatkan komuniti. Ibu bapa anak autistik harus menerima sokongan moral daripada ahli-ahli keluarga dan masyarakat kerana mereka menghadapi tekanan yang tinggi. Komuniti juga harus bersimpati dan prihatin terhadap anak autistik, menghulurkan bantuan dan sokongan moral supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa. Kepada ibu bapa, jangan sekali-kali berputus asa jika mempunyai anak autistik. Berikanlah rawatan dan pendidikan khas seberapa awal yang boleh kepada anak-anak dan jangan biarkan mereka terabai begitu sahaja. Oleh Dr. Tam Cai Lian (Pensyarah di Jabatan Psikologi, Fakulti Kesihatan dan Kesihatan Semulajadi Kolej Universiti Sunway)

http://www.rehal-centre.com/index.php?option=com_content&task=view&id=49&Itemid=79

You might also like