You are on page 1of 11

ALIRAN JABARIYYAH: SATU ANALISIS KONSEPTUAL

1.1 Definisi

Aspek awal yang harus diperhalusi dalam perbincangan ini adalah aspek definisi. Melalui
definisi perbincangan seterusnya akan lebih jelas dan mudah difahami. Aliran Jabariyyah,
al-jabariyyah atau terdapat juga di dalam sumber lain disebut sebagai al-Mujbirah berasal
daripada satu perkataan al-jabr, iaitu dari sudut bahasanya bermaksud “terpaksa” atau
“tiada kehendak” dan “tiada kebebasan”. Dalam Lisān al-‘Arab memberi maksud
kekuasaan Allah di atas ciptaanNya sama ada di atas apa yang dikehendaki daripada
suruhan mahupun larangan . Di dalam istilah bahasa Inggeris ia disebut sebagai
“fatalism” atau “predestination”. Di samping itu ia juga ada hubungkait dengan persoalan
al-Qadr iaitu sesuatu ketetapan yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T kepada sekelian
ciptaannya termasuk manusia sejak awal penciptaannya.

Walaupun pada awal kemunculan, ia adalah sekadar fahaman yang mengemukakan


bahawa manusia tidak mempunyai kuasa mahupun upaya dalam menentukan kehendak
dan perbuatan. Ini bermaksud segala perbuatan adalah terpaksa atau terikat dengan
kehendak mutlak Pencipta iaitu Allah S.W.T dan manusia tidak mempunyai sebarang
ikhtiar ke atas dirinya . Kemunculan aliran ini juga adalah hasil daripada persoalan agama
yang bekaitan dengan Aqīdah di samping perkembangannya dipengaruhi oleh sistem
politik Islam iaitu aspek kepimpinan , Imamah atau Khilafah semasa pemerintahan Bani
Umayyah. Manakala Harun Nasution di dalam buku beliau yang bertajuk Teologi Islam,
Aliran-aliran Sejarah Analisa Perbandingan mengemukakan hujah yang menarik untuk
dilihat bahawa fahaman Jabariyyah ini telah dianuti oleh masyarakat Arab sebelum
kedatangan Islam lagi.

Beliau menulis:

“Bangsa Arab, yang pada waktu itu bersifat serba sederhana dan jauh dari pengetahuan,
terpaksa menyesuaikan hidup mereka dengan suasana padang pasir, dengan panasnya
yang terik serta tanah dan gunungnya yang gundul. Dalam dunia demikian, mereka tidak
banyak melihat jalan untuk mengubah keadaan sekeliling mereka sesuai dengan
keinginan mereka sendiri. Mereka merasa dirinya lemah dan tak berkuasa dalam
menghadapi kesukaran-kesukaran hidup yang ditimbulkan suasana padang pasir. Dalam
kehidupan sehari-hari mereka banyak tergantung pada kehendak natur. Hal ini membawa
pada sikap fatalistis”

Di dalam kertas kerja ini penulis tidak akan membincangkan aspek sejarah terutama di
sekitar sejarah Bani Umayyah, di mana munculnya aliran ini, tetapi perbincangan akan
difokuskan kepada bentuk pemikiran atau fahaman yang dibawa oleh beberapa tokoh
dalam aliran ini yang dilihat mempengaruhi cara berfikir masyarakat Melayu
sebagaimana yang dijelaskan di dalam pendahuluan di atas.

1.2 Pengasas dan Pemikiran Jabariyyah


Di dalam bahagian ini akan dipaparkan tokoh-tokoh awal Jabariyyah serta dasar
pemikiran yang dibawa. Walaupun pada hakikatnya setiap daripada peneraju aliran ini
mempunyai beberapa dasar pemikiran yang popular yang diikuti oleh pengikutnya tetapi
penulis akan memfokuskan hanya dasar pemikiran yang melibatkan persoalan berkaitan
perbuatan manusia(af’al al- ‘ibat) dengan perbuatan Allah(af’al Allah). Ini adalah kerana
atas dasar pemahaman inilah penulis melihat ianya mempengaruhi cara berfikir segelintir
masyarakat Melayu di samping budaya yang didokongi oleh mereka.

1.2(a)Aliran Al-Jahmiyyah dan Pemikirannya

Aliran Jabariyyah telah mula dipaparkan di dalam sejarah teologi Islam ialah oleh Ja’d
Ibn Dirham dan ia telah dikembangkan dengan hebatnya oleh Jahm bin Safwan al-Rasi.
Seterusnya aliran ini digelar sebagai alilran al-Jahmiyyah bersempena dengan nama
beliau. Aliran ini adalah sebuah aliran yang radikal dan ekstrem. Dalam aspek yang ingin
dibincangkan dalam kertas kerja ini iaitu persoalan perbuatan manusia(afal al-ibat),
bahawa manusia tidaklah mempunyai kebebasan, kehendak, kemampuan(al-istiţa’ah)
mahupun daya usaha sendiri. Di samping itu manusia juga dikatakan tidak mempunyai
ikhtiar atau pilihan. Maka segala apa yang dilakukakan oleh manusia adalah
dipaksa(majbur) dengan tiada kemahuan dan pilihan baginya . Segala perilaku dalam
sesuatu yang berlaku adalah telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Maka segala perilaku
manusia itu hanyalah simbolik semata-mata atau kiasan seperti mana peredaran bumi,
terbit dan terbenamnya matahari serta pasang dan surutnya air laut yang semua itu di
dalam kawalan dan ketentuan Allah. Selain itu ia juga termasuk dalam melaksanakan
kewajipan, menerima pahala dan dosa .

Dalam pernyataan yang lebih radikal sifatnya, mereka beranggapan bahawa kalau mereka
mencuri maka Allah yang mencuri, kalau mereka sembahyang maka Allah yang
sembahyang, kalau mereka berpuasa maka Allah yang berpuasa dan begitulah seterusnya.
Sehinggakan terdapat segelintir daripada mereka mempunyai fahaman yang lebih dalam
iaitu menyatukan dirinya dengan kewujudan Allah. Mereka berkata “wujudnya dan
wujud Tuhan satu” . Ini juga adalah tergolong dalam golongan yang mempercayai konsep
Wahdatul Wujud sebagaimana yang dibincangkan di dalam perbincangan Tasawwuf.

1.2(b) Aliran Al-Najjariyyah dan Pemikirannya.

Al-Husayn bin Muhammad al-Najjar adalah pelopor kepada kumpulan kedua dalam
aliran al-Jabariyyah. Selain dipanggil sebagai al-Najjariyyah ia juga dikenali sebagai al-
Husayniyyah sempena nama beliau. Syahrastani di dalam kitabnya al-Milal wa al-Nihal
berpandangan bahawa aliran yang dibawa oleh al-Husyan ini adalah aliran yang
pertengahan atau moderat sifatnya.

Mengenai persoalan perbuatan manusia(af’al al-‘ibad) dan perbuatan Allah(af’al Allah),


beliau mengatakan bahawa Allah berkuasa sepenuhnya mencipta setiap perbuatan
manusia sama ada baik atau pun buruk iaitu sama sebagaimana pemikiran yang dibawa
oleh Jahm bin Safwan. Tetapi yang membezakan di antara kedua-duanya ialah berkenaan
persoalan kasb atau acquisition . Ini bermaksud manusia mempunyai pengaruh kepada
kekuasaan baru dalam kewujudan perbuatan-perbuatan mereka. Walaubagaimanapun
setiap apa yang berlaku masih lagi di atas kehendak Allah S.W.T.

1.3(c) Aliran Al-Dirariyyah dan Pemikirannya

Aliran al-Dirariyyah juga merupakan salah satu daripada aliran al-Jabariyyah yang
dipelopori oleh Dirar bin ‘Amru al-Kufi yang wujud di akhir pemerintahan Bani
Umayyah. Pemikiran yang dibawa oleh Dirar ini juga dikatakan aliran yang moderat
sebagaimana aliran al-Najjariyyah mengenai konsep kasb . Menurut fahaman ini Tuhan
dan manusia bekerjasama dalam mewujudkan perbuatan-perbuatan manusia . Manusia
tidak semata-mata dipaksa melakukan perbuatan mereka. Walaubagaimanapun pada
hakikatnya setiap perbuatan manusia itu adalah diciptakan oleh Allah S.W.T.

Hubungan dengan budaya berfikir masyarakat Melayu

Diketahui umum bahawa Aqidah yang dianuti oleh masyarakat Islam di Malaysia ialah
mazhab Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah atau al-Asya’irah. Pelopor kepada aliran mazhab ini
ialah Abu al-Hasan ‘Ali bin Isma’il. Beliau merupakan keturunan yang kesembilan
sahabat Nabi iaitu Abu Musa al-Asy’ari dan merupakan seorang tokoh ilmu kalam yang
terkenal. Menurut Prof. Madya Dr. Wan Zailan Kamaruddin di dalam artikal yang
membincangkan aliran Jabariyyah dan kesannya di Malaysia, beliau menyatakan sama
ada sedar atau tidak akidah yang dianuti oleh masyarakat Islam di Malaysia ini adalah
bersumberkan fahaman Jabariyyah . Aspek yang paling jelas dilihat dalam pengamalan
masyarakat adalah dalam persoalan perbuatan manusia(af’al ‘ibad) dan perbuatan
Allah(af’al Allah) sebagaimana yang ingin dihuraikan oleh penulis dalam
menghubungkannya dengan corak berfikir masyarakat Malayu.

Di dalam artikal yang bertajuk “ Asal-Usul, Pengaruh dan Kesan Aliran Al-‘Asya’ari dan
Al-‘Asya’irah di Malaysia dan Kepulauan Melayu” beliau telah memberi gambaran yang
jelas bahawa terdapat dua aspek yang memperkuatkan hujah bahawa pengaruh al-
Jabariyyah mendasari pegangan aqidah masyarakat Islam Malaysia. Dua aspek itu adalah
(i) Bahan-bahan pengajaran dan pendidikan dan (ii) Tokoh-tokoh ulama’ yang
menyampaikan ajaran tersebut . Maka dengan pengajaran yang berlaku, akhirnya
meninggalkan kesan yang mendalam dalam pemikiran masyarakat Melayu sehingga
mereka lebih cenderung menyerah kepada Allah sahaja dalam banyak perkara daripada
berusaha mengatasinya. Penulis tidak berhajat untuk menghuraikan aspek ini dengan
lebih lanjut, maklumat ini hanya sekadar untuk melihat bagaimana fahaman al-Jabariyyah
mula bertapak dan akhirnya menjadi sumber utama aqidah bagi masyarakat Islam di
Malaysia keseluruhannya. Huraian akan difokuskan lebih kepada bentuk berfikir atau
budaya berfikir segelintir masyarakat Melayu yang dikatakan sebagai “ lemah ” hasil
daripada pengaruh aliran al-Jabariyyah.

BUDAYA BERFIKIR MASYARAKAT MELAYU

Pendahuluan
Idea mengenai Pemikiran Kritis merupakan suatu konsep pemikiran yang telah lama
diperbincangkan bahkan digunapakai oleh ulama’ Islam terdahulu dalam hal periwayatan
hadith. Ia bukan suatu yang baru sebagaimana yang diperkenalkan oleh tokoh-tokoh
pemikir barat sama ada tradisional mahupun moden seperti Socrates, Plato, Aristotle,
Edward de Bono dan ramai lagi. Bahkan juga ilmu-ilmu hadith telah diajar di dalam
sistem pendidikan kita di peringkat sekolah menengah apatah lagi di peringkat universiti
terutama di dalam bidang Pengajian Islam.

Walaubagaimanapun ia hanya dilihat sebagai satu aspek teoritikal dalam pembelajaran di


dalam kelas tetapi bukan satu aspek yang dapat membentuk pemikiran atau cara berfikir
golongan pelajar secara praktikal. Apatah lagi untuk membentuk pemikiran masyarakat
Melayu yang hanya bersandarkan pembelajaran tradisional iaitu kitab-kitab jawi yang
merupakan warisan tradisi dan tidak terdedah kepada sistem pembelajaran semasa iaitu
Sistem Pendidikan yang komprehensif dari sudut silibus mahupun pengisian.

Bangsa Melayu cukup kuat pegangannya dengan warisan tradisi mereka terutama budaya
setempat dari segi kefahaman Islam, cara berfikir, hidup bermasyrakat dan banyak lagi.
Malah mereka agak sukar untuk menerima suatu bentuk idea baru yang dirasakannya
akan menggugugat stabiliti kehidupan apatah lagi yang bersangkutpaut dengan
kefahaman agama mereka. Ini bermaksud masih wujud masyarakat Melayu lama yang
terlalu bertaklid dan taasub kepada bentuk pemikiran tradisi yang telah berakar-umbi
dalam pemikiran mereka sehinggakan tidak membuka ruang kepada mereka untuk
berfikir lebih jauh, aggresif, menganalisa berasaskan sumber yang benar, apatah lagi
untuk bersikap rasional dengan memahami realiti setempat.

Penulis berangapan idea untuk pembentukkan Minda Melayu Baru amat bertepatan
dalam abad ke-21 harus dipergiat dikalangan pelajar lagi. Ianya akan dapat melahirkan
bangsa yang dinamik sama ada dalam pemahaman Islam, cara berfikir mahupun
melaksanakan sesuatu idea dengan dapat memahami kehendak dan tuntutan semasa serta
tidak bertaklid serta taasub dengan warisan tradisional semata-mata. Maka dalam
penerangan seterusnya penulis akan melihat beberapa aspek kelemahan budaya Melayu
yang dikaitkan dengan kesan fahaman Jabariyyah sebagaimana yang dijelaskan sebelum
ini.

Dalam menghuraikan beberapa aspek ini penulis juga akan membawa contoh-contoh
peribahasa yang sehingga ke hari ini masih lagi bermain di bibir masyarakat Melayu
sama ada golongan muda mahupun tua. Peribahasa ini dilihat sudah sebati dengan
pemikiran masyarakat sehinggakan mempengaruhi corak berfikir dan tingkah-laku.

Pertama: Aspek Takdir dan Nasib

Persoalan takdir ini amat berkaitan dengan persoalan al-Qada’ dan al-Qadr di dalam
Islam. Walaubagaimanapun pemahaman yang cetek berkenaan persoalan itu di samping
dipengaruhi pemikiran aliran Jabariyyah yang difahami daripada warisan tradisi
sebagaimana yang dihuraikan sebelum ini masyarakat Melayu mempunyai fahaman yang
berbeza daripada pemahaman Islam yang sebenar. Mereka mempercayai bahawa semua
perkara telah ditentukan oleh Allah S.W.T sama ada baik atau buruk. Manusia tidak ada
daya dan kuasa untuk mengubah ketetapan itu. Oleh itu manusia harus berserah kepada
takdir yang ditentukan oleh yang maha kuasa, sekiranya mereka berusaha untuk
mencapai kejayaan sedangkan Allah telah menetapkan mereka akan gagal maka mereka
akan tetap gagal juga. Ini bermaksud segala usaha mereka sia-sia.

Di bawah ini terdapat beberapa peribahasa yang sinonim dengan masyarakat Melayu
dalam menghuraikan persoalan takdir .

Untung sabut timbul, untung batu tenggelam


Secubit tidak dapat jadi segenggam
Yang sejengkal tidak dapat jadi sedepa
Malang tak boleh ditolak, mujor tak boleh diraih

Dalam pemerhatian penulis tidak terdapat satu pun pepatah Melayu yang menyatakan
manusia boleh mempengaruhi takdirnya. Ini cukup jelas kepada kita bahawa pengaruh
Jabariyyah cukup sebati dalam masyarakat Melayu sehinggakan telah dipaparkan ke
dalam peribahasa Melayu. Bahkan sehingga ke hari ini ianya masih di paparkan di dalam
buku-buku peribahasa Melayu. Seharusnya untuk mengelakkan daripada ianya terus
dihayati oleh generasi akan datang pihak berwajib harus mencari usaha bersepadu untuk
mengenalkan konsep-konsep peribahasa Melayu yang lebih berkonsepkan proaktif,
agresif serta inovatif dalam menghadapi masa depan yang mencabar.

Sudah diakui bahawa fahaman sedemikian yang menganggap takdir adalah segalanya
berlawanan dengan ajaran Islam. Pada hakikatnya manusia disuruh dan diwajibkan
menggunakan akal dan berusaha menggunakan kebolehan yang dikurniakan Allah kepada
mereka. Allah berfirman:“ Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum
sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri ” . Kalaulah takdir
menentukan segalanya apa perlunya Allah S.W.T mengutus para nabi untuk membimbing
manusia ke jalan yang lurus. Cuba lihat dari aspek rasioanal, kalaulah datang orang untuk
merompak kita, adakah kita biarkan sahaja ianya berlaku dan berserah pada takdir?
Tidakkah kita berusaha untuk menghalang daripada perkara itu berlaku? Bagi pandangan
penulis kebanyakan masyarakat yang berpegang pada fahaman ini, adalah orang yang
sentiasa mencari helah di atas kemalasan dan tidak mahu berusah lebih dan akhirnya
hanya menyalahkan takdir apabila mereka tidak berjaya dalam kehidupan.
Kedua: Aspek Usaha dan Berdikari

Walaupun masyarakat Melayu mengggalakkan untuk berusaha tetapi sikap yang berserah
pada nasib lebih kuat sehingga konsep usaha itu tidak dapat dilaksanakan dengan sepenuh
hati. Sebagai contoh sikap “ ala kadar ” , “ cukup makan ” yang pada pandangan penulis
harus dilenyapkan dari pemikiran generasi kini. Inilah antara satu sebab masyarakat
Melayu ketinggalan dalam apa jua bidang terutama ekonomi dan pendidikan.

Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim menulis mengenai realiti sebenar masyarakat
Melayu di dalam kertas kerjanya yang bertajuk Agenda Melayu: Ekonomi Melayu Pasca-
Krisis Mencapai Kekebalan, “Pada hakikaynya, Melayu mempunyai dilema yang lebih
hebat apabila dilihat di dalam konteks pencapaian Melayu yang masih jauh ketinggalan di
dalam pelbagai bidang berbanding dengan pencapaian orang-orang bukan Melayu.....” .

Selain itu di dalam peribahasa Melayu juga kita dapat melihat betapa aspek usaha tidak
dititikberatkan :

Belajar tinggi-tinggi akhirnya ke dapur juga


Ulat dalam batu pun ada rezekinya

Ketiga: Aspek Memandang ke Hadapan

Tedapat satu peribahasa Melayu yang menggalakkan untuk memandang ke hadapan iaitu,
“ Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna ” , tetapi pengaruhnya di dalam
masyarakat masih di tahap yang rendah. Ini adalah kerana sikap untuk berserah pada
nasib masih lagi kuat dalam pemikiran masyarakat.

Keempat: Aspek Orientasi Akhirat keterlaluan

Di samping itu didapati masyarakat Melayu kurang mementingkan kehidupan di dunia


mahupun untuk mencari kekayaan dan bersaing dengan bangsa lain. Ini adalah kerana
fahaman ketentuan Allah yang mana semua akan mati dan akan meninggalkan segala-
galanya di dunia. Sepertimana dapat dilihat dalam peribahasa iaitu “ Dunia ini pinjam-
pinjaman, ke akhirat juga sudahnya ” . Selain itu pengamalan konsep ibadah sempit,
mengutamakan bentuk ritual persendirian, kurang aspek kemasyarakatan dalam bidang
mu’amalat, akhlak, persekitaran sosial dan fizikal, kebajikan komuniti, masyarakat dan
umah serta pengamatan konsep takdir yang keterlaluan dan sempit dan hanya berserah
pada nasib. Sedangan dalam Islam, Allah menyuruh hambanya berusaha dengan gigih di
dunia dalam mencari kekayaan dengan cara yang halal walaupun akhirat adalah
keutamaannya.

Kelima: Aspek Sindrom Mediokriti(Pencapaian Rehdah)

Ramai di antara masyarakat Melayu sama ada golongan Muda, Tua, peniaga, pelajar
mahupun orang awam yang bersikap dengan “ sikap tidak apa ” dalam banyak hal. Ini
adalah kerana semua itu telah ditetapkan oleh Allah. Justeru atas sikap itu mereka terus
tidak mahu cuba merobah fikiran yang lebih jauh sehinggakan berpuas hati dengan
pencapaian “cukup makan”, cari jalan mudah dalam banyak hal, dan kurang daya fikiran
untuk bersaing terutama apabila mereka hanya di dalam kelompok Melayu sahaja.

Keenam: Sindrom Pergantungan

Sikap terlalu bergantung kepada nasib dan takdir akhirnya sikap ini terbawa-bawa kepada
kebergantungan kepada hal yang bercirikan keduniaan. Sebagai contoh biasiswa, subsidi,
pinjaman, kontrak daripada kerajaan dan banyak lagi. Akhirnya ini akan melemahkan dan
membantutkan kreativiti dan inovasi terutama dalam pemikiran dan tindakan termasuk
pembangunan masyarakat. Kesannya seperti kemunduran serta tidak dapat bersaing
dengan bangsa lain. Sehinggakan ramai di antara graduan Melayu yang menganggur
terutama daripada lulusan agama selepas tamat pengajian disebabkan sikap
kebergantungan sepenuhnya kepada kerajaan untuk mendapatkan kerja. Mereka seolah-
olah tidak boleh berfikir dan kreatif untuk mencipta peluang sendiri seperti melibatkan
diri dalam perniagaan dan pelbagai peluang lain .

Ketujuh:Ketakutan kepada Matematik dan Sains

Akibat daripada fahaman yang sempit dan malas berfikir serta tidak mahu meningkatkan
usaha dan komitmen yang lebih, ramai di kalangan pelajar melayu tidak berapa minat
untuk mengikuti pengajian sains di peringkat universiti. Tetapi tidak dinafikan masih lagi
ada pelajar yang mempunyai kesungguhan dengan usaha yang berterusan dan akhirnya
berja dalam pelajaran mereka.

Kelapan: Kesalahfahaman Tafsiran Ayat-Ayat Al-Quran

Di dalam beberapa sumber yang membincangkan persoalan aliran Jabariyyah ini,


terdapat ayat-ayat al-Quran yang disandarkan oleh kaum aliran ini sebagai sokongan
kepada pemahaman mereka iaitu segala perkara yang berlaku adalah di bawah pengusaan
Allah dan manusia tidak mempunyai ikhtiar dalam apa jua yang berlaku. Oleh itu di
dalam bahagian ini penulis ingin melihat beberapa ayat yang yang disandarkan kepada
aliran Jabariyyah ini dari perspektif tafsir. Adakah ia benar-benar merujuk kepada apa
yang difahami oleh golongan Jabariyyah atau pun terdapat tafsiran lain di sebaliknya.

Contoh Ayat:

Kalau sekiranya Kami turunkan malaikat kepada mereka, dan orang-orang yang telah
mati berbicara dengan mereka dan Kami kumpulkan(pula) segala sesuatu kehadapan
mereka niscaya mereka tidak (juga) akan beriman, kecuali jika Allah menghendaki,
tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

SurahAl-An’am(6):112.

Penekanan yang khusus dibuat adalah pada maksud “niscaya mereka tidak(juga) akan
beriman kecuali jika Allah menghendaki”. Pada hakikatnya ayat ini untuk menerangkan
sikap keras kepala, kejahilan kaum musyrikin dan sikap mereka terhadap kerasulan
Muhammad S.A.W iaitu akan beriman apabila telah melihat sendiri mukjizat risalah
kerasulan dan bukti-bukti lain. Menurut tafsiran Ibn Kathir, walaupun bukti itu akan
diberikan kepada mereka sedangkan Allah dengan kekuasaannya masih tidak mahu
memberi hidayah untuk mereka beriman maka mereka tetap akan kufur . Sesungguhnya
mereka yang telah ditetapkan oleh Allah dalam Lauh Mahfuz bahawa mereka akan mati
dalam kekufuran seperti kaum musyrikin ini, maka selamanya mereka tidak akan beriman
walaupun segala macam bukti dipaparkan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya orang-orang yang telah pasti terhadap mereka kalimat Tuhanmu, tidaklah
akan beriman. Meskipun datang kepada mereka segala macam keterangan, hingga
mereka menyaksikan azab yang pedih.

Surah Yunus (10):96 – 97.

Jika dilihat daripada tafsiran ayat tersebut ianya menunjukkan kepada kekuasaan Allah
dari aspek memberi hidayah. Semestinya aspek hidayah adalah di bawah kekuasaan dan
kehendak Allah dan tidak ada hubungkaitnya dengan kekuasaan, ikhtiar mahupun usaha
manusia. Maka pada pandangan penulis ayat ini tidak ada hubungkait yang kuat untuk
menyokong pendapat Jabariyyah.

Dalam huraian di atas penulis hanya membuat pembahagian aspek ringkas dalam
menerangkan corak berfikir masyarakat Melayu yang sedikit sebanyak menunjukkan
wujud unsur Jabariyyah di dalamnya. Walaupun sebahagiannya tidak berapa menonjol di
samping wujud unsur sampingan lain. Telah dilihat bahawa kesan pemikiran membawa
impak yang amat besar kepada mana-mana bangsa khususnya Melayu sebagaimana yang
dibincangkan.

ANJAKAN PARADIGMA BANGSA MELAYU DALAM PEMIKIRAN

Pendahuluan

Dalam Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1988, Dato’ Seri. Dr.Mahathir
Mohamad(Tun Mahathir Mohamad) telah mengingatkan orang Melayu di dalam ucapan
dasarnnya, “ ....pegangan kepada agama Islam akan menjadi benteng kepada orang-orang
Melayu dan orang-orang Islam yang lain. Dalam kita mengejar kemajuan, penekanan
akan diberi kepada pembentukan peribadi yang benar-benar Islam.”

Kita harus melihat ucapan itu sebagai satu ucapan dalam konteks realiti dan bukan dalam
konteks politik kepartian. Penulis berangggapan bahawa penekanan kepada pembentukan
peribadi yang benar-benar Islam amat diperlukan pada waktu ini. Ianya harus
merangkumi pelbagai aspek termasuklah aspek pemikiran.

Pada awal 70an, di mana ketika itu masyarakat Melayu dirangsang untuk menjalani “
revolusi mental ”, terutama dalam aspek ekonomi dan kemajuan, tetapi mereka
mengalami satu konflik jiwa dan pertentangan nilai . Ini berlaku adalah kerana arus
kemajuan yang ingin dibawa itu adalah untuk menghasilkan “Kapitalis- Melayu-Muslim
yang tidak mendasarkannya kepada kemajuan yang di saran oleh Islam tetapi berpaksikan
barat . Akhirnya lahirlah usahawan yang tidak bercirikan dengan norma dan etika Islam
yang sebenar . Pada hakikatnya revolusi itu tidak menguntungkn Islam. Oleh itu anjakan
terhadap melahirkan Melayu Baru yang mempunyai kefahaman Islam yang sebenar
adalah penting terutama dalam aspek pemikiran sebagaimana yang dibincangkan dalam
kertas kerja ini.

Minda Melayu dan Pemikiran Kritis


Melayu Baru dalam perbincangan yang ingin diterangkan bukanlah Melayu yang hidup
serba moden serta meninggalkan keIslamannya. Tetapi Melayu yang mengalami tajdid
atau pembaharuan dalam pemikiran, kefahaman, komitmen dan penghayatan yang
mendalam terhadap Islam supaya akan menjadi umat yang benar-benar competent dalam
menghadapi cabaran abad ke-21 ini.

Apakah yang didefinisikan sebagai Melayu Baru? Siddiq Fadil telah mendefinisikannya
sebagai Melayu yang diperbaharui komitmen keIslamannya, berjiwa merdeka yang sujud,
ruku’ dan setia mutlaknya hanya kepada Allah, Melayu yang telah mendapatkan semula
kemuliaan status dan martabat keinsanannya, Melayu yang bangga menjadi umat terbaik
kerana imannya serta Melayu yang tahu erti hidup dan mati sebagai persaingan prestasi
amal cemerlang dan Melayu yang mempunyai semangat jihad yang tinggi dengan
memperoleh kekuatan rohaniah untuk menghayati kemakrufan dan menghindari
kemungkaran .

Pada pandangan penulis definisi yang diberikan di atas sangat menarik kerana ianya
merangkumi aspek fizikal dan juga spiritual yang dapat melahirkan bangsa Melayu yang
mampu berfikir dengan bebas dengan berpaksikan sumber-sumber Islam dan bukan
hanya semata-mata mengikut ajaran warisan secara bertaklid. Sebagai contoh fahaman
jabariyyah yang cuba dijelaskan oleh penulis di dalam kertas kerja ini.

Pada hakikatnya jika dilihat dengan teliti masyarakat Melayu terutama golongan tua,
sudah sebati dengan fahaman menyerah kepada takdir dan nasib dalam apa jua hal
sehinggakan menyebabkan mereka mundur dan ketinggalan dalam arus kemajuan kini.
Huraian ini telah dipaparkan oleh penulis sebelum ini. Jika ini masih berlaku amat
malanglah sekali, dan berkemungkinan masyarakat Melayu akan kekal dalam keadaan
da’if dan ketinggalan. Maka dengan ini penulis amat menyokong jika terdapat pihak yang
ingin mengetengahkan semula peri pentingnya aspek-aspek pemikiran kritis Islam dalam
arus perdana terutama dalam sistem pendidikan kita.

Dalam huraian seterusnya penulis akan cuba menghuraikan secara ringkas apakah yang
dimaksudkan dengan pemikiran kritis dan bagaimanakah dengan penanaman aspek cara
berfikir dengan kritis ini akan dapat menangkis fahaman negatif seperti Jabariyyah
sehingga dapat melahirkan bangsa Melayu yang mampu bersaing di pentas dunia.

Terdapat pelbagai definisi yang dibawa oleh para ilmuan berkenaan dengan pemikiran
kritis ini. Di antaranya sebagaimana yang dikemukakan oleh Mohd Michael Abdullah di
dalam bukunya “Pemikiran Kritis” iaitu suatu bentuk pemikiran yang “ bukan sahaja
yang membincangkan soal nilai(baik/buruk) tetapi juga soal fakta (benar/salah), soal
bahasa (jelas/kurang jelas), dan terutama sekali soal susunan hujah (sah/tak sah)” .

Manakala di antara definisi yang di bawa oleh Mohd. Azhar Abd Hamid di dalam
bukunya “Pengenalan Pemikiran Kritis dan Kreatif” sebagaimana yang diutarakan oleh
Nik Azis iaitu “ Secara kasar pemikiran kritis ialah pemikiran yang meletakkan logik
antara gerak hati dengan tindakan. Pemikiran kritis akan menganalisa isu-isu, tetapi
berfikir secara holistik dan melihat masalah dari berbagai-bagai dimensi. Mereka
berusaha menyelesaikan masalah dan bukan bergiat mencetuskan pelbagai krisis baru”.

Dua definisi yang diberikan di atas dilihat dari aspek definisi atau teoritikal sahaja. Tetapi
Mohd Senu Abdul Rahman mengemukakan definisi dan seterusnya dapat dijadikan
langkah atau metod yang bercorak praktikal atau penyelesaian kepada masalah bagi
seseorang yang berfikiran kritis. Ianya dapat disimpulkan sebagai mereka yang dapat
memahami sesuatu isu atau perkara yang dibincangkan atau dihadapi, mencari jalan-jalan
penyelesaian, menilai beberapa jalan penyelesaian itu dan memilih yang terbaik,
membuat rancangan untuk melaksanakannya seterusnya melaksanakan perancangan itu
dan akhirnya menilai sama ada ianya berkesan atau pun tidak. Selepas itu penelitian
semula harus dilakukan dengan berdasarkan pengalaman lampau .

Penulis membuat kesimpulan bahawa setiap apa-apa definisi yang diutarakan sekalipun
mungkin ianya dilihat benar pada penyusunan ayat, dari kaca mata penilai, mahupun
hujah yang diberikan wajar atau munasabah tetapi belum tentu ia diterima dari kaca mata
Islam iaitu dari sudut al-Quran dan As-Sunnah. Maka dengan ini penulis lebih cederung
ke arah memilih definisi yang dikemukakan oleh Nik Azis seperti di atas kerana ianya
merangkumi aspek berfikir secara holistik yang pada pandangan penulis ianya
merangkumi asas-asas falsafah Islam yang tinggi iaitu Tauhid.

Kembali kepada perbahasan kesan Aliran Jabariyyah sebagai penghalang kepada cara
berfikir masyarakat Melayu. Sama ada sedar atau tidak, hakikatnya fahaman berserah
pada takdir dan nasib yang diwarisi dari generasi terdahulu masih lagi dirasai oleh
masyarakat Melayu sama ada golongan tua atau pun muda dan sama ada berpendidikan
atau pun tidak. Dan ianya dilihat sabagai satu sebab kemunduran masyarakat Melayu
Islam terutama di Malaysia di samping aspek-aspek lain.

Penulis melihat bahawa pada hakikatnya generasi Melayu kini masih belum bersedia
dengan pendekatan pemikiran kritis ini untuk diketengahkan. Ini adalah kerana peratus
untuk melahirkan generasi yang mampu berfikir dengan baik atau generasi yang
mempunyai minat untuk melahirkan idea-idea baru yang kreatif cukup sukar apatah lagi
untuk menangani isu-isu terkini yang melibatkan kajian yang mendalam dari pelbagai
sudut. Jika dilihat di Institut Pengajian Tinggi Awam(IPTA) golongan pelajar dari jurusan
agamalah akan memikul tanggungjawab ini.

Tetapi hakikatnya pelajar-pelajar ini masih tidak mempunyai pemikiran yang terbuka dan
mempunyai sumber yang terhad iaitu hanya berdasarkan nota-nota di bilik kuliah sahaja.
Dan ada juga sebahagian daripada mereka berjuang hanya untuk mendapatkan gred yang
baik di dalam peperiksaan semata-mata dan tidak pula benar-benar memahami apa yang
dipelajari. Manakala segelintir daripada mereka pula telah ditanam dengan fahaman
kepartian yang mendalam. Di sini penulis melihat bahawa semua itu memerlukan usaha
dan komitmen yang berterusan dan istiqamah. Adakah kita melihat generasi Melayu
Islam berada dalam kapasiti itu berbanding generasi lain?

Penutup
Walaubagaimanapun sebagai kesimpulan awal, penulis optimis dengan pembangunan
untuk melahirkan generasi baru yang berfikiran kritis dan tidak hanya bertaklid atau
menerima bulat-bulat apa sahaja yang mereka terima. Tetapi penulis mengandaikan
bahawa usaha-usaha awal untuk meningkatkan daya berfikir dan minat untuk berfikir
dengan menghadapi cabaran abad ini harus dipergiat terutama di peringkat universiti. Jika
usaha ini berjalan dengan baik dengan sokongan golongan berwajib penulis percaya kita
akan dapat melahirkan generasi yang boleh menjadi global player, insan al-kamil serta
agent of change yang bukan hanya berfikiran kritis tetapi memahami nilai-nilai agama
yang tinggi.

You might also like