You are on page 1of 14

Pendahuluan

Istilah modal insan dipercayai pertama kali dibincangkan oleh Arthur Cecil Pigou

(1877-1959) dalam karyanya “A Study in Public Finance” pada tahun 1928.

Menurut perspektif barat, modal insan ialah pembangunan sumber manusia dari

sudut pengetahuan dan kemahiran tertentu yang dapat memberi pulangan

kepada ekonomi sesebuah organisasi atau masyarakat.

Di negara kita, konsep modal insan mula dipopularkan oleh Perdana

Menteri Malaysia kelima iaitu Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi semasa

pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Tegas beliau,

“Rakyat adalah aset negara paling berharga. Pembangunan modal insan dan

anjakan minda dan pemikiran warga merupakan salah satu cabaran terbesar.

Sekiranya kita ingin melangkah ke era ekonomi berpaksikan pengetahuan, jika

kita mahu menjadi negara maju dan kekal pada tahap tersebut, pembangunan

modal insan haruslah diutamakan. Dalam konteks dunia global, modal insan

bermutu tinggi adalah satu keperluan, bukan lagi satu kemewahan.” Beliau turut

memberi penekanan bahawa modal insan merupakan penggerak kepada

ekonomi, pembangunan dan kemajuan negara. Faktor kemanusiaan(termasuk

kerohanian) dan kemasyarakatan merupakan dua perkara penting dalam

pembangunan modal insan. Hal ini kerana insanlah faktor utama dalam semua

strategi dan pelan tindakan untuk menggerakkan aktiviti dan program

pembangunan negara. Baik insan, baiklah perancangan, pelaksanaan dan


natijah kerja dalam pembangunan negara. Buruk insan, buruklah natijahnya

kepada kemajuan dan pembangunan negara.

Signifikan modal insan dalam RMK9 mencakupi beberapa aspek.

Antaranya ialah keperluan kepada modal insan berkualiti, pendekatan holistic

dalam pembangunan modal insan, strategi melahirkan modal insan kelas

pertama, keselarian pembangunan modal insan dengan pendekatan Islam

Hadhari, modal insan dan pendidikan, modal insan dan aktiviti kebudayaan,

modal insan dan peranan golongan wanita, modal insan dan perundangan dan

modal insan dan integriti.

Kertas kerja ini akan membincangkan beberapa aspek dalam

modal insan. Bagi maksud ini, pengkaji akan membincangkan tiga aspek

daripadanya iaitu keselarian pembangunan modal insan dengan pendekatan

Islam Hadhari, keperluan kepada modal insan berkualiti, dan strategi melahirkan

modal insan kelas pertama. Aspek ini dipilih berdasarkan kesesuaian tajuk kerja

kursus itu gambaran modal insan dalam karya prosa.

Untuk menganalisis gambaran modal insan dalam karya prosa,

pengkaji akan menggunakan beberapa teks karya daripada prosa tradisional dan

prosa moden. Dalam hal ini, pengkaji menggunakan teks Sulalatus Salatin,

Ranjau Sepanjang Jalan dan beberapa buah cerpen karya sasterawan negara

seperti Keris Mas dan lain-lain lagi sebagai bahan analisis untuk melihat

gambaran modal insan dalam karya prosa. Pengkaji akan menganalisis sejauh

manakah penulis-penulis buku dapat menggambarkan ciri-ciri modal insan

dalam penulisan mereka sebagai mana yang dicitakan oleh Perdana Menteri.
Isi kandungan

Keselarian pembangunan modal insan dengan pendekatan Islam Hadhari

merupakan salah satu daripada aspek modal insan. Islam Hadhari

diperkenalkan oleh YAB Pedana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Ahmad Badawi

pada 23 September 2003 yang menjuruskan kepada pembinaan peradaban.

Pembinaan peradaban ini perlu dicanai dengan pegangan Islam dan memberi

fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan

ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta fizikal. Pendekatan ini

bertujuan melahirkan individu dan masyarakat Islam yang berdaya saing, melihat

ke hadapan, inovatif, memandang tinggi budaya integriti, membenci rasuah dan

melaksanakan sistem penyampaian pentadbiran negara yang cekap kepada

semua rakyat tanpa mengira golongan etnik.

Sepuluh prinsip utama yang digariskan oleh Perdana Menteri. iaitu

keimanan dan ketakwaaan kepada Allah SWT, kerajaan yang adil dan

beramanah, rakyat yang berjiwa merdeka, penguasaan ilmu pengetahuan ,

pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif, kehidupan berkualiti,

pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, keutuhan budaya dan moral,

pemeliharaan alam semula jadi dan kekuatan pertahanan.

Untuk kertas kerja ini, pengkaji akan mengkaji beberapa prinsip Islam

Hadhari yang digambarkan dalam karya sastera. Salah satunya ialah prinsip

keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Keimanan dan ketakwaan kepada
Allah bermaksud manusia yang beriman dan bertakwa kepada Penciptanya

yang sentiasa optimistik, berfikiran terbuka dan memiliki kekuatan jiwa dan

emosi yang terkawal untuk mengerjakan yang terbaik bagi diri, keluarga,

masyarakat, negara dan makhluk sejagat. Di samping itu, mereka juga memiliki

kemampuan menyaring dan menapis semua perkara atau budaya yang

bercanggah dengan norma dan nilai agamanya. Kerana iman dan takwanya

kepada Allah membimbingnya ke jalan yang lurus bagi melakukan perkara-

perkara yang bermanfaat, oleh sebab keimanan itulah menjadi sumber pelbagai

kebaikan.

Bagi melihat gambaran modal insan yang beriman dan bertakwa

kepada Penciptanya, pengkaji akan menggunakan teks pertama “Ranjau

Sepanjang Jalan” karya Shahnon Ahmad sebagai bahan kajian. Dalam novel ini,

pengarang melukiskan watak dan perwatakan Lahuma sebagai seorang yang

menyerahkan susah dan senang kehidupannya semata-mata kepada Allah

SWT. Digambarkan Lahuma seorang petani gigih yang dibelenggu kemiskinan

dan sentiasa ditimpa nasib yang malang. Walaupun demikian, Lahuma

menganggap segala yang berlaku adalah kehendak Allah Azzawajalla. Contoh

keimaman Lahuma yang tidak lupa memohon keizinan daripada Allah sebelum

melakukan pekerjaannya tertera di halaman 13.

“Oh Tuhanku Yang Maha Besar Yang Maha Agung, benarkanlah


aku mula bekerja besok dan biarlah selama itu aku dilindungi oleh-
Mu. Jauhkan aku daripada segala bencana alam, daripada lipan-
lipan dan ular-ular dan kala jengking yang bias-bisa. Singkirkan
segala banjir yang besar yang boleh melimpahi padiku. Singkirkan
kemarau panjang yang mengeringkan tanah bendangku.
Jauhkanlah segala malapetaka yang menghalang kami. Jauhkan
segala ketam-ketam putih yang mematahkan anak-anak padi kami
selama ini. Jauhkan segala ribut dan taufan. Jauhkan daripada
tikus dan babi dan juga manusia-manusia yang mencuri padi kami.
Lanjutkanlah usia aku, biniku Jeha dan anak-anakku, Sanah, Milah,
Jenab, Semek, Liah, Lebar dan Kiah. Jauhkanlah kami daripada
segala malapetaka.”

Dalam gambaran di atas, bolehlah disimpulkan bahawa sebagai

hamba yang taat dan beriman kepada Allah, kita hendaklah sentiasa mengingati

dan berserah kepada Allah dalam menempuh kehidupan sehariannya.

Konsep menyerah kepada Allah juga dapat dilihat di dalan cerpen

“Nenek”. Dalam cerpen nenek , Aku terpaksa berserah kepada Allah. Aku

digambarkan tidak dapat menjaga nenek kerana harus belajar. Dan Aku berasa

amat sedih sekali apabila pualng dan mendapati nenek sudah meninggal dunia.

Aku berasa kesal kerana tidak dapat menunaikan permintaan nenek yang

terakhir. Dua contoh di atas merupakan sebahagian daripada gambaran modal

insan yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Gambaran modal insan seterusnya ialah insan yang bermanah.

Amanah bermaksud menunaikan segala tanggungjawab dan kewajipan yang

diletakkan ke atasnya. Sebagai ketua negara atau pemimpin perlu mentadbir

negara dengan penuh bertanggungjawab dan amanah. Nilai pemimpin yang

menunaikan tanggungjawabnya dengan amanah dapat dilihat di dalam buku


“Sulalatus Salatin” berkisahkan tentang pemerintahan Sultan Alau’d-Din Riayat

Syah. Dikisahkan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah amat risau tentang kejadian

kecurian yang berlaku di dalam negerinya. Baginda sendiri telah menyamar

sebagai pencuri untuk menyelesaikan masalah di dalam negerinya. Di bawah

ini sebahagian daripada petikan :-

“Sebermula maka tersebutlah dalam Melaka pencuri terlalu buas,


orang kehilangan pun tiada berhenti lagi sentiasa malam. Setelah
Sultan Alau’d-Din Riayat Syah mendengar pencuri terlalu ganas itu,
maka baginda pun terlalu masyghul, setelah hari malam, maka
baginda pun memakai cara pakaian si pencuri. Maka baginda
berjalan menyamar, tiada membawa teman; hanya Hang Isap
dibawa baginda berserta pergi itu “

(Sulalatus Salatin, hlm 173)

Sindiran Sultan Alau’d-Din terhadap menterinya yang tidak

menjalankan tugas dengan bertanggungjawab dapat dilihat daripada dialog di

bawah ini :-

“Adakah kawal semalam?” Maka sembah Seri Maharaja, “Ada


tuanku.” Maka titah baginda, “Kita dengar ada orang mati dibunuh
orang; di atas bukit seorang, di bawah bodi seorang, dan di hujung
jambatan seorang; jikalau demikian, orang yang mati itu Seri
Maharajakah membunuh dia?” Maka sembah Seri Maharaja,
“Tidak patik tahu tuanku.” Maka titah Sultan Alau’d-Din, “Sia-sialah
kawal Seri Maharaja; orang mati tiga orang tiada diketahui.
Sekarang kita dengar pencuri terlalu ganas dalam negeri ini.”

(Sulalatus Salatin, hlm 174)


Daripada petikan di atas, menunjukkan pemimpin yang

menjalankan tanggungjawab yang amanah akan menjadi contoh kepada orang

bawahannya dan sikap seperti akan menjamin keadilan kepada rakyat di

bawahnya. Oleh itu penting kita memiliki sifat amanah dalam diri bagi menjamin

keadilan kepada orang lain. Inilah sebagai daripada aspek keselarian

pembangunan modal insan dengan pendekatan Islam Hadhari.

Seterusnya, aspek kedua modal insan ialah keperluan modal insan

yang berkualiti. Maksud modal insan yang berkualiti ialah insan yang memiliki

nilai-nilai moral tinggi seperti gigih, bertanggungjawab, dan memiliki semangat

nasionalisme yang tinggi. Adanya modal insan yang berkualiti akan dapat

melahirkan bangsa yang cemerlang di persada dunia. Gambaran insan yang

gigih dapat dilihat di dalam novel “Ranjau Sepanjang Jalan”. Pengkaji dapat

melihat bagaimana Lahuma digambarkan seorang yang gigih berusaha

walaupun dalam kesakitan. Diceritakan bagaimana Lahuma terpaksa

menanggung kesakitan kaki akibat tertusuk duri nibung semasa mengerjakan

tanahnya untuk dibuat bendang. Tusukan duri nibung menyebabkan kakinya

membengkak, mengeluarkan nanah dan menyebabkan dia sukar untuk berjalan.

Namum kesakitan itu tidak dihiraukan dan dia masih turun ke sawah untuk

bekerja. Berikut di bawah ini petikan yang menunjukkan kegigihan Lahuma :-

“Aku boleh turun pagi ini”.

Tapi bengkak kakimu melarat sekarang.”

“Biar dia melarat. Bendang kita tidak boleh dibiar saja.”


“Tapi kata kau suruh aku saja bersama Sanah dan Milah.”

“Aku tak sakit lagi.”

(Ranjau Sepanjang Jalan, hlm 83)

Gambaran kegigihan juga dapat dilihat pada watak anak-anak

Lahuma terutama Milah dan Sanah. Walaupun usia mereka masih muda, namun

mereka begitu gigih bekerja di sawah semenjak ibu mereka, Jeha menjadi gila.

Pelbagai rintangan dan kepayahan terpaksa dilalui oleh mereka sepanjang

mereka bersawah seperti serangan ketam, banjir besar dan serangan burung

tiak. Di bawah ini gambaran tentang kegigihan anak-anak Lahuma.

“ Sanah dan Milah serta Jenab turun di atas permatang yang


ditutupi oleh air deras itu. Air sudah tiba setakat pinggang Jenab.
Mereka meranduk air itu menuju ke sawah. Upih-upih yang
menyekat di tengah-tengah perjalanan itu dikuak-kuaknya. Batang-
batang kayu yang reput, ranting-ranting dan dahan-dahan pokok
yang tumbang, rumput-rumput yang mati, kertas-kertas yang
kembang, tin-tin kosong, tong-tong, dan serba jenis najis dikuak-
kuak ke simpang hingga lari benda-benda itu dihanyutkan oleh arus
yang sudah mulai deras datangnya, Jenab meneruskan juga
randukannya bersama-sama kedua-dua orang kakaknya.

(Ranjau Sepanjang Jalan, hlm 216)

Dua contoh di atas memberi gambaran jelas tentang nilai kegigihan

dalam menempuh rintangan untuk mencapai matlamat hidup. Gambaran ini

sewajarnya dijadikan contoh kepada kita bagaimana perlu kita memiliki kegigihan

untuk menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan yang datang.


Setiap insan perlu menjalankan tanggungjawab mereka terhadap

keluarga, masyarakat dan negara. Gambaran insan yang seterusnya ialah insan

yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Pengkaji masih menggunakan teks

“Ranjau Sepanjang Jalan” sebagai bahan kajian. Nilai tanggungjawab dapat

dilihat pada watak Sanah sebagai kakak sulung dalam keluarga. Digambarkan

Sanah seorang kakak yang amat bertanggungjawab memikul tugas sebagai

ketua keluarga. Dia terpaksa menjadi bapa dan ibu kepada adik-adiknya

semenjak kematian bapanya dan ibunya menjadi gila. Dia bertanggungjawab

memastikan sawahnya dijaga dengan baik sehingga mengeluarkan hasil dan

bertanggungjawab menjaga keselamatan ibunya yang gila. Di bawah ini dapat

dilihat gambaran Sanah seorang yang anak dan kakak yang bertanggungjawab.

“Sawahnya sekarang sedang menghijau. Perut batang-batang padi


itu sudah nampak kembungnya. Barangkali lagi dua tiga bulan
mereka akan menuailah padi-padi itu. Sanah sedar tentang tugas
menuai itu. Emaknya tidak lagi dapat berbuat apa-apa. Barangkali
lagi empat lima bulan. Tetapi padi mesti dituai juga cepat-cepat
supaya jangan terlampau masak. Luruhlah padi-padi itu kalau
renggang dari tangkai. Milah juga boleh menuai. Jenab dan
Semek boleh diajar sedikit. Liah, Lebar dan Kiah juga boleh
membawa padi-padinya itu segemal sekali. Dia percaya bahawa
padinya akan selamat hingga masuk jelapang.”

(Ranjau Sepanjang Jalan, hlm 191)


Gambaran modal insan yang memiliki semangat

nasionalisme dapat dilihat di dalam cerpen “Darah dan Air Mata” dan “Dalam

pelukan wanita sedar” karya Keris Mas. Cerpen “Darah dan air mata

memaparkan semangat perjuangan dan keperwiraan Perajurit Kita bertempur di

medan perang menentang penjajah Belanda. Walaupun pengarang tidak

meletakkan watak Perajurit Kita berada di Tanah Melayu, namun perjuangan itu

memperlihatkan betapa dalam usaha dan upaya menolak kehadiran penjajah,

lokasi perjuangan bukanlah perkara dasar. Dalam cerpen ini, dijelaskan

perjuangan untuk memperoleh hak kebebasan bangsa, dan tanah air itu

diransang kuat oleh Suriati, kekasih Perajurit Kita sebagai jururawat dan pernah

merawatnya semasa terlantar di hospital. Diakhir cerita dijelaskan Perajurit Kita

terkorban jua demi menyelamatkan tanah airnya. Berbanding dengan cerpen

“Dalam pelukan wanita sedar” (Mastika, Disember 1947), pengarang

menampilkan tipa wanita perjuangan yang pada peringkat awalnya menolak

cinta “aku” yang tidak mempunyai semangat nasionalisme. Norkamala Wati

adalah ahli kumpulan SEDAR yang berjuang untuk pembebasan tanah air dan

bangsa. Dalam surat jawapannya kepada “aku” yang mencintainya, dengan

terus terang Wati menyatakan sikapnya. Perhatikan petikan berikut :

….janganlah berkecil hati kiranya Wati terangkan bahawa pada


masa ini Wati telah menumpahkan segenap kecintaan Wati kepada
yang lebih berharga iaitu tanah air kita dan bangsa kita sedang
tertindih dan terhina.
…..Sebab itulah Wati mencintai dia, berjuang dan berkorban
kerana dia dengan meninggalkan kepentingan diri sendiri.

(hlm, 31)

Daripada petikan cerpen di atas memberi gambaran jelas,

seseorang yang memiliki semangat patriotik akan meletakkan negaranya

mengatasi segala kepentingan peribadi. Inilah gambaran insan yang ingin

dilahirkan oleh negara agar bangsa kita memiliki semangat nasionalisme yang

tinggi. Dengan adanya semangat ini, negara pasti tidak akan dijajah lagi pada

masa akan datang.

Aspek ketiga yang akan dikaji oleh pengkaji ialah modal insan

kelas pertama. Modal insan kelas pertama merangkumi nilai moral yang tinggi

seperti mementingkan ilmu pengetahuan, mempunyai akhlak yang terpuji dan

lain-lain.

Gambaran modal insan yang mementingkan ilmu dapat dilihat

daripada novel “Badai Semalam”. Mazni digambarkan sebagai wanita yang gigih

dan amat mementingkan cita-cita individu. Dia percaya pada diri sendiri dan

tahu matlamat hidup yang hendak dituju. Walaupun berasal daripada keluarga

miskin, Mazni bercita-cita untuk menjadi doktor. Pelbagai rintangan dan

cabaran hidup yang dihadapi oleh Mazni, Mazni tetap gigih melanjutkan

pelajarannya di sekolah malam, hingga berjaya lulus HSC dan akan masuk ke

universiti. Ini memberi gambaran betapa perlu seseorang itu memiliki ilmu

pengetahuan bagi mencapai cita-cita dan mengubah kehidupan keluarga.


Dengan memiliki ilmu pengetahuan, seseorang akan dipandang tinggi oleh

masyarakat dan masyarakat yang mementingkan ilmu akan dapat memajukan

negaranya. Inilah yang hendak dicapai oleh pemimpin negara menuju kepada

Wawasan 2020.

Gambaran modal insan yang memiliki akhlak yang terpuji dapat

dilihat di dalam cerpen “Hilangnya Cincin Pertunangan”. Cerpen ini

menggambarkan Imah seorang isteri yang tahu mengambil hati dan menjaga

perasaan suami meskipun terpaksa memendamkan perasaan yang amat pedih.

Sambil memendam perasaannya itu, Imah tidak pernah merungut walaupun

setiap kali pulang suaminya selalu membeli barang-barang untuk adik atau

ibunya, tidak untuk Imah. Tetapi Imah tetap sabar dan selalu meyambut apa

sahaja yang dibawanya dengan mesra dan penuh kesyukuran. Walaupun

perasaan Imah terhiris, Imah tidak pernah menunjukkan sebarang protes kepada

suaminya. Contohnya dapat dilihat di halaman 47.

“Aku sedar, sebagai isteri yang baik dan bertimbang rasa, aku perlu
menghargai keluarga suamiku. Aku perlu hormat kepada seluruh
adik-adiknya dan memuliakan mereka dengan ramah-tamahku.
Aku juga sedar kiranya kulakukan segalanya dengan ikhlas,
hidupku akan menjadi aman damai dan harmoni seperti dituntut
oleh agamaku-agama Islam yang suci.”
Kesimpulan

Karya-karya prosa yang dihasilkan oleh penulis sama ada prosa tradisioanal

mahu moden seperti novel dan cerpen mempunyai nilai-nilai moral yang tinggi.

Pengarang dapat melukiskan watak dan perwatakan dalam cerita yang memiliki

moral yang baik dengan begitu baik. Melalui tema dan penceritaan juga terdapat

nilai-nilai murni yang baik bagi menbolehkan pembaca menjadikan sebagai

panduan. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa karya prosa berjaya

memberikan gambaran modal insan yang baik kepada pembaca bagi

membolehkan pembaca menilai dan menjadikan contoh dalam kehidupan

seharian.

You might also like