You are on page 1of 6

Masyarakat Melayu yang beragama Islam akan mengadakan adat merisik dan meminang.

Berbeza pula bagi adat perkahwinan etnik Bugis kerana adat pertunangan tidak begitu digalakkan. Bagi mereka perkahwinan merupakan satu ikatan yang

menghalakan perhubungan antara lelaki dan perempuan menurut Islam. Ibu bapa beranggapan bahawa pertunangan boleh menimbulkan fitnah dan pelbagai syak wasangka dalam kalangan masyarakat. Tempoh pertunangan yang paling lama pun adalah dalam masa 2 minggu. Walau bagaimanapun, terdapat majlis yang menyerupai adat bertunang tetapi masyarakat bugis tidak menganggapnya adat bertunang. Majlis ini digelar Mapendrek doik yang membawa naik duit (wang hantaran). Mapendrek doik atau naik duit (wang hantaran) dalam majlis ini, pihak lelaki akan membawa wang hantaran yang telah ditetapkan semasa meminang. Sebilangan besar di keluarga pihak perempuan akan menerima kesemua wang hantaran dan selebihnya hanya menerima sebahagian sahaja. Oleh yang demikian, semasa dulang hantaran diberikan ketka majlis pernikahan, dulang wang hantaran sekadar simbolik sahaja kerana wang hantaran telah pun diserahkan kepada pihak perempuan untuk menampung kos perbelanjaan majlis persandingan. Semasa majlis ini berlangsung, pihak pengantin lelaki akan menyarungkan cincin sebagai tanda ikatan sebelum tiba majlis pernikahan yang berlangsung selepas tiga hingga tujuh hari setelah majlis naik duit. UNDANGAN PERKAHWINAN Seminggu sebelum majlis persandingan, proses mengundang atau menjemput tetamu menggunakan khidmat dua orang wanita untuk mappiseng atau erti kata lain memanggil. Wanita yang belum berkahwin tidak dibenarkan untuk menjemput tetamu kerana tidak manis dipandang oleh masyarakat lain. Kedua-dua wanita ini digelar

pattampa yang bermaksud pemanggil tetamu. Pattampa akan mattampa, iaitu berkunjung dari rumah ke rumah. Pattampa akan membawa dulang yang dibalut dengan kain berwarna dan bermanik. Dulang diisi dengan dua bungkus rokok pelbagai jenama beserta mancis atau gula-gula. Rokok, suatu ketika dahulu merupakan lambang prestij sesebuah keluarga. Hanya golongan yang berkemampuan sahaja mampu memilikinya. Tetamu yang dijemput akan membuka dulang dan mengambil sebatang rokok lalu membakarnya. Adat ini penting kerana bagi tetamu yang mempunyai anak dara, kerana dengan cara ini diharapkan anak mereka pula akan menemui jodoh. Adat mattampa ini berbeza dengan adat kaum lain yang menggunakan kad undangan. MALAM MAPPACI Malam mappaci atau lebih dikenali sebagai malam berinai yang dilakukan pada malam sebelum hari pernikahan. Majlis ini dilakukan di rumah pengantin perempuan dan. Majlis berinai ini akan dimulakan dengan majlis khatam al-Quran, disusuli dengan majlis berzanji. Setelah selesai menginai pengantin perempuan, rombongan gadis muda yang memakai inai kepada pengantin perempuan akan bersiap untuk berkunjung ke rumah mempelai lelaki. Tujuannya untuk menghantar lebihan inai daripada bakal isteri kepada pengantin lelaki. Adat ini merupakan satu usaha agar kedua-dua mempelai hidup harmoni. Sebelum pengantin perempuan memakai inai, adat memakai bedak dilakukan dengan meriah. Majlis ini dianggap penting untuk melicinkan kulit dan menambahkan seri wajah pengantin perempuan. Bedak tersebut digelar bedak kecek yang bermaksud sejuk. Bedak ini dibuat sendiri dengan menggunakan beras dan diadun dengan bahan lain termasuk kunyit dan ditumbuk dengan lesung. Lebihan bedak pengantin perempuan akan disapu pada wanita yang belum berkahwin.

Kemeriahan malam berinai turut disertakan dengan permainan domino yang dipertandingkan kepada kaum lelaki. Cabutan undi dilakukan untuk membentuk kumpulan yang terdiri daripada empat pemain. Dalam permainan ini, golongan muda tua beradu kemahiran dan berkumpul dalam suasana yang muhibbah. Sementara kaum lelaki bermain domino, kaum wanita akan menyediakan jamuan seperti kopi dan kuihmuih. SOMPA Dalam adat resam perkahwinan etnik ini, mas kahwin yang akan diberikan kepada pengantin perempuan tidak dihias dengan bunga dan dipegang begitu sahaja. Pengantin lelaki perlu menyediakan sompa terlebih dahulu. Sompa dianggap menyimpan harga diri bakal isteri. Sompa merupakan kain putih yang diisi dengan wang mas kahwin. Di dalam kain putih tersebut terdapat juga beras, buah pala, kayu manis dan jarum. Makna yang tersirat disebalik sompa sangat mendalam bagi kaum ini. Justeru, sompa harus disimpan di tempat yang paling berharga dan selamat. Barang-barang yang disertakan dengan mas kahwin melambangkan cabaran dan dugaan yang perlu ditempuhi oleh pasangan pengantin semasa hidup bersama. Cabaran digambarkan dengan meletakkan jarum di dalam beras, sedangkan beras itu pula melambangkan keperluan asas dalam kehidupan. Perisa dan keharmonian rumah tangga digambarkan dengan buah pala dan kayu manis termasuklah rezeki yang bakal diterima. Saudara lelaki pengantin perlu bersiap sedia membawa sompa. Amanah ini bukan satu tanggungjawab yang ringan kerana sompa dikatakan lambang panjang atau pendek jodoh seseorang. Sompa tidak boleh jatuh daripada kendungan. Jika jatuh, masyarakat Bugis percaya bahawa itulah peranda yang tidak baik. Selain sompa, bakul sugi perlu disediakan sebelum menjadi raja sehari. Bakul ini diisi dengan buah-buahan tempatan seperti nangka, pisang, betik dan lain-lain. Buah-buahan ini melambangkan kemanisan dalam berumah tangga. Sompa dan bakul sugi akan diserahkan kepada pihak perempuan setibanya rombongan lelaki di rumah perempuan. Buah-buahan ini

tidak boleh dihidangkan kepada semua orang tetapi hanya untuk saudara perempuan yang belum berkahwin agar mereka juga menerima jodoh.

Wakil pengantin lelaki membawa sompa

Rombongan lelaki membawa bakul sugi

MAJLIS PERNIKAHAN DAN PERSANDINGAN Majlis persandingan etnik ini berlangsung sama seperti umat Islam yang lain. Sebelum melafazkan akad nikah, pengantin lelaki akan duduk di atas kain pelekat yang disusun sebanyak 9 atau 12 susunan. Kain ini dilipat dengan membawa kesemua hujung kain ke tengah. Adat ini bagi menghormati pengantin lelaki yang akan bernikah. Susunan kain ini menggambarkan pangkat dan darjat seseorang.

Pengantin lelaki duduk di atas susunan lipatan kain pelekat

Majlis persandingan selalunya akan diadakan di luar rumah. Sarapo atau khemah kahwin adalah tempat di mana persandingan ini akan diadakan. Sarapo diperbuat dari bambu yang didirikan menjadi sebuah khemah yang besar. Proses membina sarapo ini selalunya akan dibuat seminggu sebelum majlis. Dan akan diusahakan oleh ahli keluarga, saudara mara, kawan-kawan dan jiran tetangga. Semangat kekitaan sangat dititikberatkann dalam etnik bugis. Segala kerja dilakukan bersama-sama. Di bahagian dapur juga begitu, segala aktiviti masak memasak akan dilaksanakan sesama mereka.

Pelamin etnik Bugis

Tempayan (tempat solo) : Tetamu memasukkan sumbangan berupa duit

Di samping itu, anak-anak gadis yang menyerikan majlis akan memakai baju bodo. Pakaian ini menjadi begitu bernilai kerana baju bodo diperagakan oleh golongan istana pada zaman Kesultanan Bugis. Hidangan utama dalam majlis perkahwinan ialah beppa richa yang bermaksud kuih basah. Apabila tetamu datang, mereka akan dihidangkan dengan kuih basah. Selepas itu, barulah tetamu akan menikmati hidangan nasi putih dan pelbagai jenis lauk. Kuih-muih disediakan oleh jennang, seorang tukang masak. Majlis persandingan di rumah pengantin perempuan akan berlangsung sehingga larut malam. Ada pasangan pengantin yang terus memperagakan baju bodo pelbagai jenis dan warna sehingga malam. Pada malam ini juga pemenang permainan domino akan diumumkan oleh mempelai.

Apabila selesai majlis di rumah perempuan, pada keesokannya persandingan akan terus berlangsung di rumah lelaki. Kehadiran pengantin perempuan di rumah pasangannya digelar merolla atau berkunjung ke rumah mentua. Adat mamettoa atau mengenali keluarga mentua dilakukan di rumah pihak lelaki. Semasa adat ini, keduadua mempelai duduk di satu penjuru ruang tamu. Pengantin perempuan akan diperkenalkan kepada seluruh ahli keluarga suaminya. Seorang demi seorang akan bersalaman dan berpelukan dengan kedua-dua mempelai yang didahului dengan ibu bapa lelaki. Lazimnya, ibu dan saudara perempuan pihak lelaki sahaja yang akan memberikan hadiah kepada orang baharu dalam keluarga mereka. Ibu mentua akan menyarungkan cincin atau rantai emas. Bagi mereka, semakin tinggi nilai pemberian maka semakin tinggi penghargaan yang diberikan kepada pengantin perempuan.

Rombongan pengantin disambut dengan tarian Bugis

Disambut dengan tikar mengkuang

Sesi penggambaran seisi keluarga

You might also like