You are on page 1of 15

1.

0 Pengenalan Sains adalah suatu subjek yang sangat menarik kerana ia membolehkan kita memahami banyak perkara dalam alam ciptaan Tuhan ini. Pembelajaran yang teratur dan interaktif akan dapat membantu pelajar-pelajar meningkatkan serta menambah kefahaman mereka berkaitan subjek sains di sekolah. Subjek sains juga mampu untuk meningkatkan daya kognitif murid-murid untuk melatih mereka berfikir secara kritis dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi. Pengajaran dan pembelajaran sains dalam kalangan murid Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran adalah jauh perbezaannya dengan methodologi Sains dalam kalangan murid arus perdana. Mereka memerlukan kaedah pengajaran khusus bagi membolehkan mereka untuk menguasai konsep-konsep asas sains serta konsep yang absrak. Dalam mempersoalkan hal ini, para guru memainkan peranan yang sangat penting dalam memberi pemahaman kepada murid bermasalah pembelajaran berkaitan dengan pembelajaran dalam setiap topik seperti mana yang telah sedia ada dalam sukatan pelajaran mereka. Dengan kata yang lebih mudah, para guru perlulah menjadi lebih kreatif dan kritis dalam menghasilkan bahan bantu mengajar untuk diaplikasikan kepada murid-murid di dalam bilik darjah. Kepentingan mata pelajaran sains kepada murid-murid bermasalah pembelajaran ini antaranya termasuklah meningkatkan sikap ingin tahu dan suka menyiasat, memupuk gaya pemikiran yang logikal matematik melalui manipulasi objek secara konkrit, meningkatkan kemahiran berfikir dan kemahiran proses Sains serta mengembangkan kemahiran dalam menyelesaikan masalah dalam kehidupan seharian. Terdapat juga beberapa strategi-strategi yang boleh diguna pakai bagi

menyampaikan konsep Sains dalam bilik darjah bagi murid-murid bermasalah pembelajaran. Antara strategi yang dimaksudkan termasuklah inkuiri penemuan, kajian lapangan, projek, eksperimen dan sebagainya. Namun begitu, tidak semua strategi pengajara ini boleh diaplikasikan kepada murid-murid kerana semua ini bergantung kepada masalah yang mereka hadapi. Justeru, adalah menjadi tanggungjawab guru

untuk mencari strategi pengajaran yang sesuai dengan murid mereka agar pembelajaran Sains dapat dilaksanakan secara optimum.

2.0 Masalah Berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains Dalam Kalangan Murid Bermasalah Pembelajaran Masalah-masalah yang dialami oleh murid bermasalah pembelajaran merupakan elemen yang paling penting untuk menjamin pencapaian objektif pembelajaran sains di dalam bilik darjah. Guru perlu bijak menangani masalah murid dengan mengaplikasikan variasi strategi dan juga pendekatan pembelajaran sehingga menemui strategi-strategi yang sesuai dan memberikan impak yang positif terhadap pembelajaran murid-murid. Antara masalah yang biasa dialami oleh murid-murid berkeperluan khas ini termasuklah masalah tingkah laku. Masalah tingkah laku itu sendiri mempunyai dua kategori yang berbeza iaitu tingkah laku bermasalah positif dan juga tingkah laku bermasalah negatif. Tingkah laku bermasalah positif bermaksud tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tetapi tingkah laku itu akan menjadi bermasalah sekiranya dilakukan secara berlebihan atau tanpa kawalan dan boleh menimbulkan masalah kepadanya. Sebagai contoh, sifat ingin tahu yang berlebihan kepada seorang kanak-kanak boleh menyebabkannya bertindak keterlaluan

sehingga menyusahkan dirinya sendiri dan juga orang lain. Sementara, tingkah laku bermasalah negatif pula merupakan tingkah laku yang menimbulkan masalah kepada dirinya dan juga orang lain. Terdapat pelbagai kategori tingkah laku bermasalah negatif antaranya termasuklah tingkah laku disruptif (mengganggu), tingkah laku distruktif (merosakkan), agresif, ponteng sekolah, pengasingan diri, dan sebagainya.

Kebiasaannya, tingkah laku bermasalah negatif akan mencatatkan peratusan yang tinggi yang dapat mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah seperti marah dengan tiba-tiba disebabkan oleh pelbagai faktor yang berlaku dalam persekitaran pembelajaran murid. Pendekatan yang digunakan oleh guru tidak bersesuaian dengan murid juga boleh menjadi faktor terjadinya masalah ini. Perkara ini akan memberi kesan negatif kepada pembelajaran mereka di mana murid tidak mampu untuk menguasai sub topik pembelajaran terutamanya bagi mata pelajaran sains. Tingkah laku bermasalah kedua yang menyumbang kepada masalah murid dalam pembelajaran sains ialah pengasingan diri. Murid-murid ini biasanya kurang bermotivasi selain kurang bersosial sehingga memberi kesan kepada proses P&P mereka. Murid yang mengalami masalah ini biasanya tidak suka untuk didampingi sama ada oleh rakan-rakan mahupun guru. Hanya guru yang bijak mengawal tingkah laku ini sahaja dapat mendampingi mereka. Hal ini disebabkan oleh timbulnya perasaan percaya murid kepada guru untuk menyampaikan ilmu kepada mereka selain menjadikan guru sebagai tempat untuk meluahkan perasaan atau masalah yang dialami oleh mereka. Dalam masa yang sama guru perlu mencari kekuatan atau bakat yang terpendam dalam diri murid-murid dan cua untuk menyerlahkan bakat terpendam berkenaan. Melalui cara ini, murid murid secara perlahan-lahan akan dididik dengan semangat dan juga motivasi kendiri yang penting bagi mereka terutamanya dalam proses P&P Sains sekaligus dapat mengatasi masalah tingkah laku ini secara total. Malu yang keterlaluan juga banyak memberi kesan terhadap pembelajaran muid-murid berkeperluan khas untuk mempelajari Sains. Murid yang mengalami masalah tingkah laku bermasalah negatif jenis ini kadangkala untuk berkomunikasi dengan guru mereka sendiri adalah tidak berkecuali. Justeru, para guru perlu bijak dalam menjalankan intervensi kepada murid-murid yang memiliki masalah tingkah laku ini kerana mereka sukar untuk mempelajari Sains sekiranya tingkah laku ini tidak diubah secara beransur-ansur. Hal ini kerana pembelajaran Sains adalah tidak berfokus di dalam bilik darjah semata-mata kerana pembelajaran subjek ini turut

melibatkan aktiviti luar seperti kajian lapangan, simulasi serta pembelajaran secara hands-on. Masalah lain yang menyebabkan murid bermasalah pembelajaran untuk mempelajari Sains ialah sawan. Sawan merupakan rangsangan elektrik yang berlaku di dalam otak secara tiba-tiba yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam tingkahlaku atau aktiviti kanak-kanak tersebut. Serangan sawan dapat ditentukan apabila kanak-kanak kelihatan diam untuk seketika, terjatuh ke lantai secara tiba-tiba diikuti dengan kaki dan tangan menyentak-nyentak, kaki dan tangan menjadi kejang selain kelihatan keliru atau hilang kesederan. Tindakan serangan ini terhadap kanak-kanak akan menyebabkan mereka sukar untuk mempelajari mata pelajaran Sains di dalam blik darjah. Bagi mengurangkan masalah ini, terdapat pelbagai jenis ubat-ubatan yang digunakan bagi merawat atau mengurangkan kesan sawan ini dalam kalangan kanak-kanak khas. Antara ubat atau dadah yan sering digunakan termasuklah Vigabatrin, Lamotrigine, Topiramate dan sebagainya. Namun demikian, seperti ubatan atau dadah lain, pengambilan ubatan ini akan memberikan kesan sampingan terhadap tubuh badan murid seperti mengantuk, sakit atau pening kepala, loya dan seumpamanya. Kesan sampingan ini turut memberi masalah kepada murid untuk menguasai atau mengikuti subjek Sains di sekolah. Mental antara masalah yang paling ketara dalam mempengaruhi P&P murid dalam pembelajaran Sains. Antara masalah mental yang sering dialami oleh mereka ialah ingatan jangka pendek. Perkara ini kebanyakannya terjadi dalam kalangan murid hiperaktif dan juga slow learner. Adalah menjadi suatu kesukaran bagi muridmurid ini untuk mengaplikasikan pembelajaran Sains secara praktikal dalam kehidupan seharian kerana mereka tidak mampu untuk menguasai konsep-konsep Sains yang mudah disebabkan oleh ingatan jangka pendek yang dialami. Selain itu, mental yang terencat atau terencat akal juga turut menyumbang kepada masalah penguasaan subjek Sains dalam kalangan murid bermasalah pembelajaran. Terencat akal merupakan kanak-kanak yang mengalami

perkembangan minda dan daya pemikiran yang kurang ataupun tidak lengkap termasuk kecacatan dalam fungsi intelek dan sosial. Secara normal, kanak-kanak yang mengalami masalah yang minima tidak dapat dikesan sejak kecil. Terdapat tanda-tanda awal yang dapat digunakan bagi mengesan kanak-kanak ini yang mengalami masalah akal terencat dan petanda ini dapat dipastikan menerusi ujian klinikal dan juga ujian IQ (intelligence quotient). Murid-murid yang mempunyai masalah akal terencat ini amat sukar untuk menerima dan memahami sebarang konsep Sains terutamanya yang bersifat abstrak seperti konsep angin, jirim, jisim, graviti dan sebagainya. Semua ini memerlukan kreativiti dan juga kebijaksanaan guru dalam menggunakan

pendekatan dan juga strategi yang relevan dengan keperluan dan masalah yang dialami murid. Bahan bantu mengajar (BBM) memainkan peranan penting dalam menghadapi murid terencat akal bagi menguasai sebarang konsep Sains yang dipelajari. Setelah kedua-dua ujian ini dilaksanakan, maka murid terencat ini akan dikelaskan mengikut kategori IQ mereka seperti terencat akal ringan dengan skor IQ 50 hingga 75, sederhana 30 hingga 50 dan teruk dengan skor IQ 30 ke bawah. Masalah lain yang dilihat mempunyai pengaruh besar terhadap masalah

pembelajaran murid pendidikan khas untuk mempelajari Sains ialah keadaan fizikal mereka. Masalah kecacatan fizikal merujuk kepada kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan fizikal, dan memerlukan pengubatan atau peralatan khas seperti pendakap atau kerusi roda dalam kehidupan seharian, Mohd Sharani(2006). Masalah ini merangkumi ketidakupayaan yang berbentuk neorologi yang melibatkan otak dan urat saraf yang mengalami kerosakan serta kecacatan ortopedik. Kecacatan ortopedik ini merangkumi keabnormalan pada bahagian tulang, sendi dan juga otot. Masalah fizikal ini akan menyebabkan murid berkeperluan khas ini mengalami kesukaran dalam memberi tumpuan terhadap P&P Sains kerana mereka tidak mampu untuk memberi tumpuan dalam tempoh masa yang lama disebabkan oleh ketidakmampuan otot untuk berada dalam keadaan yang sama pada masa yang lama.

Murid-murid yang mengalami masalah fizikal turut menghadapi kesukaran untuk menulis atau memegang bahan-bahan yang bersifat konkrit seperti pensel alatan eksperimen Sains dan sebagainya lagi. Perkara ini akan menyebabkan mereka kurang berminat untuk mempelajari Sains bahkan semua subjek. Oleh yang demikian, guru harus bijak dalam mengubahsuai cara pengajaran bagi murid-murid ini supaya mereka mempunyai minat untuk mempelajari apa-apa yang diajar guru berkaitan dengan subjek Sains ini. Antara kategori murid yang mempunyai masalah fizikal termasuklah spastik atau palsi serebral, muscular dystrophy, kekurangan anggota (limb deficiencies) dan sebagainya. Murid-murid bermasalah fizikal juga akan mempunyai masalah kesukaran untuk membuat pergerakan disebabkan oleh halangan kecacatan fizikal yang dialami. Masalah ini menyebabkan murid-murid tidak berupaya untuk menyertai aktivitiaktiviti Sains yang dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah. Disebabkan oleh masalah ini juga, murid-murid hanya dapat mempelajari Sains menerusi kaedah penglihatan dan pendengaran semata-mata. Perkara ini melibatkan pengolahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam proses pembelajaran mereka. Menerusi cara ini, kanak-kanak akan dapat mempelajari Sains dengan lebih sempurna tanpa pergerakan fizikal. Masalah komunikasi ini turut memberi kesan kepada para guru untuk menentukan sama ada murid-murid mereka benar-benar faham terhadap isi pelajaran atau sebaliknya. Perkara ini disebabkan oleh pertuturan murid yang sukar difahami. Justeru, para guru perlulah membuat perancangan awal dan strategik dalam proses P&P Sains agar segala imput yang disampaikan boleh diterima oleh murid bermasalah komunikasi dengan baik. Antara kategori murid yang biasa mengalami masalah komunikasi ini termasuklah murid sindrom Down, autisme, hiperaktif, serebral palsi dan juga terencat akal.

Masalah konsentrasi singkat atau Attention Deficit Disorder (ADD) juga turut tersenarai sebagai penyumbang kepada masalah murid berkeperluan khas untuk

mempelajari Sains. Sesetengah murid memerlukan guru yang berkebolehan untuk menarik minat mereka untuk mempelajari sesuatu. Sekiranya pengajaran guru tidak menarik akan menyebabkan murid ini masuk ke dunia khayalan mereka dan akan berinteraksi dengan dunia tersebut tanpa mempedulikan individu yang berada di sekeliling mereka. Masalah ini akan menyebabkan murid sukar untuk mempelajari subjek Sains kerana mereka hanya mampu memberikan tumpuan terhadap pembelajaran hanya untuk seketika sahaja. Kebanyakan murid pendidikan khas yang mengalami masalah ini ialah autisme. Mereka memerlukan kaedah pengajaran yang benar-benar dapat menarik minat mereka untuk mempelajari sesuatu subjek terutamanya subjek Sains seperti penggunaan ICT yang kreatif dan mampu untuk menarik tumpuan mereka sehingga tamat masa pembelajaran. Namun demikian, perkara ini tidak mudah untuk diaplikasikan kerana hal ini turut bergantung kepada jenis murid dan sikap atau tingkah laku yang mereka tunjukkan. Masalah bahasa yang dialami oleh murid-murid pendidikan khas bermasalah pembelajaran (PKBP) juga turut menyumbang kepada kesukaran mereka untuk menguasai kemahiran-kemahiran atau konsep-konsep mudah dalam Sains. Menurut definisi yang dinyatakan oleh The American Speech-Language-Hearing Association (ASHA) (1982), masalah bahasa ini merujuk kepada kecacatan atau perkembangan pemahaman yang menyimpang atau kandungan bahasa atau penggunaan dalam pertuturan, tulisan (atau kedua-duanya), atau sistem simbol yang lain. Masalah tersebut mungkin melibatkan satu atau gabungan mana-mana aspek bahasa berikut : 1) Bentuk bahasa (sistem fonologi, morfologi, dan sintaksis) 2) Kandungan bahasa (sistem semantik) atau 3) Fungsi bahasa dalam komunikasi (sistem pragmatik) Definisi masalah bahasa yang berbeza diberikan oleh The National Information Center for Children and Youth with Disabilities (1996), USA dengan memutuskan bahawa masalah bahasa adalah kelemahan dalam keupayaan untuk memahami dan atau menggunakan perkataan-perkataan mengikut konteks, sama ada secara verbal dan bukan verbal. Penggunaan perkataan dan maknanya yang

kurang sesuai, tidak berupaya menyampaikan idea, bentuk tatabahasa yang kurang sesuai, kurang perbendaharaan kata dan tidak berupaya untuk mengikut arahan merupakan antara ciri yang ditunjukkan oleh murid-murid yang mengalami masalah bahasa. Daripada definisi masalah bahasa yang dikemukakan oleh kepelbagaian organisasi kanak-kanak, dapatlah dibuat perkaitan masalah ini dengan keupayaan murid untuk menguasai konsep Sains yang diajar oleh guru. Pembelajaran Sains juga tidak dapat dipisahkan dengan bahasa kerana kaedah pembelajarannya memerlukan bahasa sebagai pengantara untuk memahami konsep yang

dikehendaki. Dengan wujudnya unsur bahasa dalam pembelajaran Sains, maka perkara ini akan memberi masalah kepada murid-murid pendidikan khas bermasalah bahasa untuk memahami kemahiran yang mereka pelajari dalam subjek Sains di sekolah. Murid yang mengalami masalah bahasa ini sukar untuk mengikut arahan yang diberikan kerana mereka tidak dapat mengaitkan perucapan secara verbal dengan semantik yang cuba disampaikan oleh pemberi arahan iaitu guru. Dalam pembelajaran Sains juga, banyak arahan atau proses pembelajaran yang memerlukan murid untuk menulis. Sebagai impaknya, pembelajaran murid ini akan menjadi bertambah rumit kerana mereka turut bermasalah untuk mengenal simbolsimbol bahasa yang lazimnya digunakan.

3.0 Cadangan Strategi-Strategi Yang Boleh Diubahsuai Bagi Mengatasi Masalah Murid Bermasalah Pembelajaran Untuk Memahami Konsep-Konsep Sains Strategi merupakan kemahiran seseorang guru dalam membuat perancangan dan mengurus kaedah serta pengajaran dengan tujuan untuk mencapai hasil pembelajaran seperti mana yang telah ditetapkan sementara pengajaran pula membawa maksud aktiviti ataupun proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran yang tertentu. Merujuk kepada Kamus Dewan edisi ke-4, strategi pengajaran didefinisikan sebagai rancangan yang teratur untuk mencapai matlamat atau kejayaan. Sekiranya dilihat dengan lebih terperinci dalam konteks pendidikan, strategi pengajaran ini memberi pengertian kebijaksanaan dalam memilih pendekatan serta kecekapan dalam merancang kaedah dan teknik dalam satu-satu pengajaran bersandarkan kepada objektif pelajaran yang telah ditentukan. Secara tuntasnya disini dapatlah disimpulkan bahawa strategi pengajaran merujuk kepada teknik perancangan kaedah atau teknik mengajar berdasarkan kepada sesuatu pendekatan untuk tujuan mencapai objektif pelajaran dengan berkesan selain memberi impak yang positif kepada murid-murid. Dalam bidang Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran, guru memainkan peranan yang sangat penting dalam membuat analisis masalah setiap murid yang berada di dalam sesebuah bilik darjah mereka. Langkah berikutnya ialah dengan mencari strategistrategi atau kaedah serta pendekatan yang bersesuaian dengan masalah yang dialami oleh murid-murid mereka. Perkara ini tidak seharusnya dipandang ringan kerana input pembelajaran murid-murid sama ada mereka dapat memahami perkara-perkara yang diajar adalah bermula disini. Sekiranya guru gagal dalam menyusun dan mengaplikasikan strategi pembelajaran, kemungkinan besar murid tidak dapat menerima sebarang intipati pembelajaran terutamanya dalam subjek Sains.

Daripada pernyataan di atas, para guru Pendidikan Khas wajar memberi penekanan yang lebih terhadap pengetahuan berkaitan strategi-strategi yang perlu dan berkesan dalam pembelajaran Sains murid-murid kurang upaya. Cara belajar mereka mempunyai jurang perbezaan yang amat ketara sekiranya hendak dibandingkan dengan murid-murid yang berada dalam arena pendidikan arus perdana. Ketepatan strategi yang diaplikasikan guru terhadap pembelajaran murid akan membolehkan murid menerima kandungan atau intipati pembelajaran Sains dengan baik dan berkesan seterusnya membolehkan mereka menggunakan ilmu Sains dalam kehidupan seharian yang berkaitan dengan konsep-konsep Sains yang mudah dan praktikal untuk mereka. Salah satu daripada strategi yang boleh digunakan oleh para guru di sekolah dalam pembelajaran Sains dalam kalangan murid Pendidikan Khas ialah eksperimen. Dalam strategi atau kaedah eksperimen ini terdapat banyak langkahlangkah yang harus dilakukan oleh murid disertai dengan bimbingan guru. Antara langkah yang harus dilaksanakan dalam proses membuat eksperimen ini termasuklah mengenal pasti masalah, membuat hipotesis, merancang eksperimen (mengawal pemboleh ubah, menentukan peralatan dan bahan yang diperlukan, menentukan langkah menjalankan eksperimen, kaedah mengumpul dan

menganalisis data), melaksanakan eksperimen, mengumpul data, menganalisis data, mentafsir data, membuat kesimpulan dan juga membuat laporan. Daripada langkah-langkah yang dinyatakan di atas, adalah jelas bahawa semua ini akan memberikan kesulitan atau kesukaran kepada murid-murid bermasalah

pembelajaran untuk mengikuti sesi P&P Sains menerusi kaedah atau strategi ekperimen. Oleh yang demikian, sedikit pengubahsuaian perlu dilakukan terhadap kaedah eksperimen ini iaitu dengan cara pelaksanaan yang lebih mudah seperti melakukan eksperimen dengan menggunakan alat dan radas yang bersesuaian. Langkah-langkah dalam pelaksanaan eksperimen ini tidak perlu diterangkan satu persatu kepada murid kerana perkara ini akan mengalihkan tumpuan mereka terhadap pernyataan masalah yang hendak diselesaikan menerusi eksperimen yang telah dirancang. Langkah pelaksanaan eksperimen ini boleh diterangkan kepada murid-murid secara ringkas dan mudah setelah selesai melakukan aktiviti

ekperimen ini. Sekiranya kaedah eksperimen dijalankan seperti pengajaran kanakkanak normal maka risiko murid-murid khas tidak mencapai objektif pembelajaran adalah sangat besar. Bagi murid yang mempunyai masalah hiperaktif, aktiviti pembelajaran seperti ini adalah sangat menyeronokkan bagi mereka kerana mereka gemar bermain dengan peralatan yang halus seperti peralatan eksperimen selain mempunyai pergerakan fizikal yang aktif. Sekiranya kaedah eksperimen ini sentiasa digunakan dengan memfokuskan murid-murid hiperaktif untuk menguasai konsep-konsep asas dalam Sains maka akan terbentuklah sebuah pengajaran dan pembelajaran yang berkesan selain meyakinkan murid-murid dengan penyelesaian masalah yang telah dilaksanakan mereka dengan bimbingan guru. Oleh yang demikian, para guru perlulah menjadi seorang berfikiran kritis terhadap cara belajar murid terhadap sesuatu subjek terutamanya Sains untuk menjamin keberkesanan murid-murid terhadap isi pelajaran yang dipelajari.

Guru juga boleh menggunakan strategi bermain sebagai medium proses pengajaran dan pembelajaran Sains yang efektif. Belajar melalui bermain adalah pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang menggembirakan dan bermakna. Pendekatan belajar melalui bermain diberi penekanan khusus dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana bermain adalah fitrah kanak-kanak. Melalui bermain mereka gembira dan senang hati membuat penerokaan, penemuan pembinaan melalui pengalaman langsung secara semula jadi(Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, 2003). Kaedah ini turut dapat mengurangkan rasa bosan dalam kalangan murid untuk menyelesaikan permasalahan yang ada dalam subjek ini. Penggunaan aktiviti bermain dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah adalah bersandarkan kepada prinsip bermain sambil belajar dan kaedah in i juga amat sesuai diaplikasikan terhadap murid yang mengalami masalah hiperaktif, sindrom Down, lembam, autisme dan lain-lain.

Bagi mengubahsuai kaedah atau strategi ini untuk diaplikasikan dalam kalangan murid-murid bermasalah pembelajaran, guru perlu melihat terlebih dahulu bagaimana murid mereka bermain. Maksudnya di sini sama ada murid mereka boleh menerima arahan atau tidak, mampu mengikut peraturan-peraturan permainan atau sebaliknya dan lain-lain perkara yang dirasakan perlu untuk dipertimbangkan sebelum

menggunakan strategi ini kepada murid. Daripada pengesanan permasalahan ini, guru boleh membuat pengubahsuaian strategi untuk sesi pengajaran mereka dengan berkesan. Contohnya permainan yang mempunyai kandungan pembelajaran ini tidak memerlukan peraturan-peraturan khusus (lebih kepada kebebasan murid untuk membuat keputusan sendiri) kerana melalui cara ini, murid akan lebih mudah untuk menerima intipati pembelajaran dengan baik. Strategi yang boleh diubahsuai berikutnya ialah strategi simulasi atau lakonan semula. Penggunaan strategi ini membolehkan para guru mencapai objektif pembelajaran dari segi isi kandungan, konsep, kemahiran dan sikap. Kaedah simulasi ini juga boleh memperbaiki kesihatan mental selain memberi peluang kepada muridmurid untuk meluahkan kreativiti masing-masing. Simulasi ini juga merupakan suatu situasi pembelajaran dalam keadaan yang terkawal dan sengaja diwujudkan sama dengan situasi yang sebenar. Pengubahsuaian strategi ini boleh dilakukan dengan melihat masalah murid dan peranan yang boleh mereka laksanakan dalam sesebuah sesi pembelajaran. Sebagai contoh, guru ingin menerangkan situasi atau kitaran hidup kupu-kupu. Melalui teknik simulasi, guru boleh menggunakan kaedah main peranan ke atas murid-muridnya dengan cara mereka yang mengalami masalah autisme bertindak sebagai telur ramarama yang melekat pada sehelai daun, murid sindrom Down sebagai beluncas, pupa juga dilakonkan oleh murid autisme, dan rama-rama dewasa dilakonkan oleh murid hiperaktif. Pengubahsuaian strategi ini dapat dilihat menerusi main peranan kepada murid yang sesuai dengan watak mereka dalam dunia realiti ini. Melalui cara sebegini murid akan dapat melihat dan memahami dengan lebih jelas sari pembelajaran mereka pada hari tersebut sekaligus dapat mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan oleh guru.

Pengubahsuaian strategi seterusnya ialah kerja berkumpulan. Lazimnya kerja berkumpulan ini dilaksanakan dalam kalangan murid di arus perdana sahaja. Namun demikian, strategi ini turut mempunyai impak yang positif kepada murid-murid bermasalah pembelajaran dalam usaha untuk memberi kefahaman kepada mereka untuk menguasai konsep-konsep Sains. Pelaksanaan strategi ini boleh diubahsuai dengan cara meletakkan murid yang mempunyai masalah yang sama dalam sesuatu kumpulan. Melalui cara ini, murid-murid akan berusaha untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang diberikan selain bersaing dalam kalangan mereka siapa yang lebih hebat untuk mencari penyelesaian dengan bimbingan guru. Seperti yang sedia maklum, kanak-kanak gemar untuk menunjukkan kehebatan masing-masing dalam sesuatu perkara untuk menarik perhatian guru semasa proses P&P berlangsung. Kerja berkumpulan ini boleh dilakukan terhadap murid-murid yang bermasalah seperti autisme, sindrom Down, serebral palsi, dan juga lembam. Strategi ini tidak digalakkan kepada murd-murid hiperaktif kerana mereka tidak mampu mengikuti sesi pembelajaran dengan baik menerusi strategi ini memandagkan mereka memerlukan sesi

pembelajaran yang lebih kepada pergerakan fizikal. Strategi hands-on juga boleh diubahsuai untuk diaplikasikan terhadap murid-murid bermasalah pembelajaran ini. Pengubahsuaian yang perlu dilakukan ialah dengan menggunakan alatan radas yang tidak membahayakan semasa melaksanakan sesuatu aktiviti berbeza dengan alatan yang digunakan oleh murid diarus perdana yang menggunakan peralatan sebenar untuk pembelajaran Sains mereka. Semasa aktiviti berjalan, guru perlu berada disisi murid sepenuh masa bagi memberi keyakinan kepada murid selain membantu mereka untuk menjalankan aktiviti dengan baik. Hal ini kerana kebanyakan murid pendidikan khas ini bermasalah dalam kemahiran motor halus mereka seperti penggunaan otot tangan untuk memegang sesuatu. Guru perlu membantu murid dengan memegang tangan mereka semasa proses pembelajaran secara hands-on ini berlangsung. Secara tidak langsung, sentuhan guru kepada murid akan memberi tindak balas yang positif dalam diri mereka selain mendapat sokongan secara instrinsik dalam pelaksanaan aktiviti yang dilakukan.

Strategi lain yang boleh digunakan dalam P&P Sains terhadap murid berkeperluan khas ini termasuklah aktiviti lawatan. Pembelajaran Sains amat praktikal untuk dilakukan kerana strategi pengajaran jenis ini sesuai untuk semua kategori murid pendidikan khas sama ada murid hiperaktif, serebral palsi, sindrom Down, lembam, terencat dan lain-lain. Strategi ini dilihat tidak memerlukan sebarang pengubahsuaian kerana kelihatan neutral untuk dilaksanakan. Antara standard kandungan yang sesuai untuk melakukan aktiviti lawatan ini ialah berkaitan dengan haiwan, tumbuh-tumbuhan, alam dan fenomena dan lain-lain yang bersesuaian. Penjaga murid sama ada ibu bapa, adik beradik mahupun saudara terdekat haruslah dijemput untuk menyertai aktiviti ini bersama-sama bagi menjamin keselamatan murid selain meringankan beban guru untuk mengawal pergerakan dan tingkah laku mereka yang pelbagai. Antara kelebihan yang diperoleh murid menerusi pembelajaran Sains menggunakan teknik atau kaedah lawatan ini ialah murid dapat mempelajari sesuatu berkaitan dengan Sains dalam dunia atau situasi sebenar sekaligus memberi pemahaman yang konkrit berkenaan dengan konsep-konsep yang ada dalam pembelajaran Sains. Strategi pembelajaran secara lawatan juga akan mendedahkan murid dengan situasi pembelajaran yang berbeza daripada lazimnya di dalam bilik darjah yang agak terhad untuk pembelajaran secara meluas dan menyeluruh dalam kalangan murid pendidikan khas. Kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah aktiviti lawatan dapat memberi peluang kepada murid untuk berada dalam suasana pembelajaran yang optimum dan terbuka selain memberi impak positif terhadap pemahaman mereka berkenaan dengan Sains.

4.0 RPH 5.0 Refleks

You might also like