You are on page 1of 17

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 75

UNIT 5 STILISTIK, SKEMA DAN MAJAZ

HASIL PEMBELAJARAN Pada akhir unit ini, anda diharap dapat: 1. 2. 3. Mengenal pasti konsep dan pengertian stilistik Menghuraikan kategori stilistik dalam penulisan Menjelaskan strategi dan teknik stilistik dalam penulisan

Pengenalan Stilstik merupakan salah satu ranting dalam ilmu retorika. Strategi stilistik lazimnya diaplikasi dalam penulisan popular seperti dalam media massa atau dalam penulisan kreatif. Stilistik berkait rapat dengan gaya bahasa dan teknik mengindahkan bahasa supaya tampak menarik bahkan maknanya akan lebih mudah difahami dan lebih memberi kesan kepada pembaca. Hashim Awang (1987), menyatakan bahawa gaya bahasa ialah cara menggunakan kata-kata dalam menyampaikan fikiran dan perasaan. Gaya bahasa juga merupakan penyusunan kata sebagai satu cara yang baik dan berkesan untuk menyatakan sifat individu pengarang, fikiran dan tujuannya. Tanpa stilistik sesuatu teks akan kelihatan stereotaip, kaku dan mendatar. Pendek kata, ilmu stilistik bertujuan melenturkan bahasa mengikut kehendak pengarang selari dengan maksud yang hendak disampaikan. Pengarang-pengarang terkenal biasanya menguasai pelbagai teknik stilistik sehingga tulisan-tulisan mereka terasa indah, mantap dan sedap apabila dibaca. Ciri-ciri Stilistik Gaya stilistik yang baik seharusnya mengandungi lima unsur, iaitu kejujuran, kesantunan, kejelasan, kesingkatan dan menarik. Kejujuran: Kejujuran bermaksud: (i) sanggup melakukan pengorbanan demi menyatakan sesuatu secara ikhlas dan jujur (ii) mematuhi peraturan dan kaedah yang betul dalam berbahasa (iii) menggunakan bahasa yang jelas dan mengelakkan kekaburan, dan (iv) menyatakan sesuatu dengan tepat.

Kesantunan: Kesantunan bermaksud (i) memberi penghargaan atau menghormati pihak yang terlibat, misalnya pendengar atau pembaca (ii) mewujudkan rasa nikmat melalui penggunaan kata-kata, (iii) menyampaikan sesuatu dengan jelas.

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 76

Kejelasan:

Kejelasan dapat diperlihatkan dari segi ketatabahasaan, hubungannnya dengan fakta yang diungkapkan melalui kata dan ayat, urutan idea secara logis dan penggunaan kiasan serta perbandingan.

Kesingkatan: Kesingkatan dapat diwujudkan melalui usaha menggunakan kata secara efisien, mengelakkan penggunaan kata yang sinonim, menghindari tautologi atau pengulangan yang tidak perlu. Menarik: Sesuatu gaya bahasa yang dikatakan menarik itu dapat diukur dari segi kewujudan unsur-unsur yang berikut, iaitu (i) bervariasi, (ii) mengandungi humor yang sihat (iii) mempunyai pengertian yang baik, (iv) mempunyai kekuatan (vitalitas) dan penuh dengan daya khayal atau imaginasi.

Jenis-jenis Stilistik Gaya bahasa atau stilistik boleh diklasfikasikan kepada beberapa kategori, iaitu berdasarkan:

i.

Pengarang: gaya yang dapat dikaitkan dengan penulis tertentu, misalnya gaya Shahnon Ahmad, gaya Usman Awang, gaya Keris Mas dan lain-lain.

ii. Masa: gaya yang dikaitkan dengan masa atau period tertentu, misalnya gaya klasik atau gaya moden. iii. Medium atau wahana: gaya yang dikaitkan dengan cara penggunaan sesuatu bahasa, misalnya gaya Melayu, gaya Indonesia, gaya Utusan, gaya Berita Harian dan lain-lain. iv. Subjek atau perkara: gaya bahasa yang ditentukan berdasarkan subjek yang diperkatakan, misalnya gaya ilmiah, gaya popular, gaya falsafah, gaya kewartawanan dan sebagainya. v. Tempat: gaya yang dihubungkan dengan lokasi atau tempat yang mempengaruhi penggunaan ungkapan atau cara mengungkapkan sesuatu, misalnya gaya K.L., gaya Kelantan, gaya Pulau Pinang, gaya Sabah dan lain-lain. vi. Khalayak: gaya yang berdasarkan golongan sasaran, misalnya gaya popular untuk masyarakat umum, gaya formal untuk suasana formal, gaya intim atau mesra untuk lingkungan keluarga atau gaya orang yang akrab. vii. Tujuan: gaya bahasa yang ditentukan oleh maksud atau tujuan atau apa-apa yang ingin disampaikan oleh pengarang. Misalnya, gaya sentimental, gaya sarkastik (sindiran), gaya diplomasi, gaya humor dan lain-lain.

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 77

Selain itu, terdapat juga gaya bahasa yang berdasarkan teori dalam bidang bahasa dan kesusasteraan, misalnya teori stilistik. Dalam unit ini akan dibincangkan dua strategi daripada teori stilistik, iaitu aspek skema dan majaz.

Strategi Skema Skema atau scheme berasal daripada bahasa Greek schema merupakan unsur stilistik dalam fakulti elocutio atau gaya yang bermaksud bentuk (Corbett dan Connors, 1999: 379). Daripada ungkapan ini, Corbett membentuknya menjadi suatu strategi dalam figures of Speech. Skema merupakan penyimpangan atau perubahan dari segi bentuk ayat atau susunan perkataan. Selain itu, skema atau orthographical schemes melibatkan perubahan dalam ejaan mahupun bunyi perkataan yang terhasil dengan cara menambah atau mengurangkan huruf atau suku kata yang terletak di hadapan, tengah mahupun di akhir perkataan ataupun melalui perubahan bunyi. Quintilianus (1920) mendefinisikan skema sebagai suatu wacana berseni hasil manipulasi kata-kata yang menyimpang daripada bentuk yang lazim. Golden (1983) pula mendefinisi skema sebagai sebarang jenis perkataan, bentuk penyusunan kata-kata atau bentuk penulisan yang tidak mengubah makna. Laurie dan Kirszmer (1981: 208) memberikan makna skema sebagai merujuk kepada pengukuran tentang kepandaian penulis menggunakan bahasanya, yakni sejauh mana penulis itu berjaya mencapai matlamat stilistik. Daripada kepelbagian susunan rangkaian kata, ejaan mahupun bunyi ini akan menentukan jenis strategi dalam kategori skema. Dalam modelnya, Corbett dan Connors, (1999: 381-395) mengemukakan skema kesamarataan (schemes of construction) yang merangkumi empat kategori, iaitu skema seimbang, skema hiperbaton, skema pengulangan, skema pengguguran dan skema ragaman.

1. Skema Seimbang Skema seimbang merujuk perubahan bentuk atau susunan sesuatu perkataan secara seimbang yang menghasilkan kesan makna yang berbeza. Terdapat tiga teknik dalam skema ini, iaitu paralelisme, antitesis dan isokolon. Paralelisme Paralelisme merujuk kepada salah satu asas dalam ilmu stilistik. Corbett dan Connors (1999: 381) menterjemahkannya sebagai kesamaan struktur dalam pasangan atau siri kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa yang berhubungan. Gaya ini mensejajarkan beberapa ayat yang berpola sama. Contohnya: Bapa memang meminati sukan air, tinju, ragbi dan jenis-jenis sukan yang memerlukan banyak stamina.

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 78

Antitesis Menurut Lanham (1968: 12), antitesis adalah tindakan mengabungkan idea-idea yang bertentangan, manakala Umar Junus (1989: 213) pula menjelaskan istilah antitesis merujuk kepada bentuk peletakkan dua ayat atau kata yang bertentangan dalam kedudukan berdampingan. Contohnya: Besar kecil, tua muda, laki-laki perempuan, semua menyaksikan hiburan itu. Isokolon Isokolon adalah pengulangan frasa-frasa dalam kepanjangan yang sama dan lazimnya berstruktur sejajar. Kerapkali juga isokolon membawa nada yang puitis. Isokolon terjadi apabila wujud elemen yang tidak sahaja setara dari segi struktur malah elemen yang mempunyai kepanjangan yang sama. Umar Junus (1989: 224) berpendapat isokolon adalah suatu pengertian dalam retorik klasik yang digunakan untuk menyebut perulangan dari baris atau fikiran yang sama. Contohnya: Lain caranya, lain gayanya dan lain rasanya.

2. Skema Perulangan Skema perulangan merujuk kepada perulangan kata atau frasa yang menghasilkan kesan makna, nada dan bunyi yang puitis, berirama atau pelbagai. Skema ini dibahagikan kepada sepuluh jenis seperti berikut: Anafora Anafora ialah pengulangan perkataan yang sama atau sekumpulan perkataan pada permulaan klausa yang berturutan. Pengulangan ini akan menghasilkan kesan emosi yang kuat (Corbett dan Connors, 1999: 390). Contohnya: Setiap musuh mesti dihapuskan. Setiap cabaran mesti dihadapi dengan tabah. Epistrop Corbett dan Connors (1999: 391) menjelaskan bahawa epistrop adalah sejenis pengulangan kata-kata yang sama atau kumpulan yang sama pada akhir klausa yang berturutan. Pengulangan ini memberikan rima pada ayat dan memberikan penekanan yang khusus pada elemen yang diulang. Lanham (1968: 125) pula mentakrifkan sebagai pengulangan kata atau kata-kata yang hampir pada akhir beberapa klausa, ayat atau versi. Contohnya: Kelmarin adalah hari ini. Besok adalah hari ini. Hidup adalah hari ini. Segala sesuatu buat hari ini. Anadiplosis Anadiplosis adalah pengulangan kata akhir dalam sesuatu klausa pada permulaan klausa yang berikutnya. Umar Junus (1989: 210) mendefinisikannya sebagai pengulangan kata terakhir sesuatu klausa pada awal klausa yang berikutnya. Contohnya: Hidup ini adalah suatu perjuangan. Perjuangan dalam mencari ilmu pengetahuan.

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 79

Poliptoton Poliptoton adalah pengulangan perkataan yang berasal daripada kata akar yang sama (Corbett dan Connors, 1999: 395). Umar Junus (1989: 233) menjelaskan bahawa poliptoton adalah permainan kata hingga terasa ada dua kemungkinan makna. Contohnya: Makna memulakan dan mengakhir makna atau kebencian bertemu dengan kebencian Epanalepsis Corbett dan Connors (1999: 392) mendefinisikannya sebagai pengulangan kata pada akhir sesuatu klausa yang sudah dinyatakan pada awal klausa. Beliau menjelaskan bahawa jenis pengulangan ini jarang terdapat dalam prosa. Epanalepsis adalah bentuk pengulangan yang menghasilkan kesan emosi. Contohnya: Si isteri kalau masih tetap di kampung akan insaf bahawa dia hanya seorang isteri. Klimaks Klimaks ialah penyusunan kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa dalam urutan kepentingan yang meningkat. Urutan ini disusun berdasarkan darjah topik (Corbett dan Connors, 1999: 393). Menurut Umar Junus (1989: 225), klimaks ialah ayat atau wacana dengan urutan fikiran yang semakin menaik dan penting. Contohnya: Dari desa, dusun, kampung dan kota, orang berkumpul menghadiri rapat raksasa itu. Antiklimaks Antiklimaks merupakan susunan ayat atau wacana dengan urutan fikiran yang semakin menurun dan berdarjah kepentingan maknanya (Umur Junus, 1989: 225). Contohnya, Dari gunung yang tinggi, ke bukit bukau, dataran dan menyelinap ke hutan kecil di desa terpencil. Demikianlah pengembaraan sang helang. Antimetabole Antimetabole adalah pengulangan kata-kata dengan aturan tatabahasa yang terbalik dalam klausa yang berurutan (Corbett dan Connors, 1999: 394). Lanham (1968: 119) menjelaskannya sebagai penginversian susunan perkataan yang diulang-ulang. Contohnya: Seseorang itu harus makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Asonansi Corbett dan Connors (1999: 389) mendefinisikan asonansi sebagai pengulangan bunyi vokal yang sama dalam suku kata yang diberi penekanan pada kata-kata yang bersebelahan yang mungkin didahului dan dikuti oleh konsonan yang berbeza. Selain mewujudkan rima dalam ayat, asonansi juga menghasilkan kesan onomatopuisi (onomatopoetic) dan humor. Lanham (1968: 18) mendefinisikan asonansi sebagai kesamaan dalam bunyi antara bunyi vokal yang didahului dan diikuti oleh bunyi konsonan yang berbeza dalam kata-kata yang berhampiran. Skema ini lazimnya terdapat dalam puisi

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 80

dan amat jarang ditemui dalam teks prosa. Contohnya: Kilau kilat membelah gelap, Lidah api menjulang tinggi. Kiasmus Corbett dan Connors (1999: 394) menjelaskan bahawa kiasmus adalah kebalikan struktur tatabahasa dalam urutan frasa atau klausa. Kiasmus sama seperti antimetabole kerana melibatkan penginversian struktur tatabahasa. Yang berbeza, kiasmus tidak melibatkan pengulangan kata-kata sebagaimana antimetabole. Berdasarkan definisi Lanham (1968: 119), kiasmus ialah susunan frasa atau klausa pertama yang diterbalikkan pada frasa atau klausa yang kedua. Contohnya: Semua kesabaran kami sudah hilang, lenyap sudah ketekunan kami untuk melanjutkan usaha itu. Aliterasi Corbett dan Connors (1999: 388) berpendapat aliterasi ialah pengulangan konsonan pertama atau pertengahan dalam dua atau lebih kata-kata yang bersebelahan. Pengulangan ini mewujudkan rima dalam ayat. Umar Junus (1989: 208) menjelaskan bahawa aliterasi adalah pengulangan konsonan yang sama, biasanya pada awal kata. Skema jenis ini lazimnya lebih banyak ditemui dalam bahasa puisi berbanding prosa. Contohnya: Bukan Beta Bijak Berperi.

3. Skema Penguguran Terdapat dua bentuk skema jenis ini. Pertama, pengguguran kata hubung atau tanda mekanis. Kedua, penggunaan kata hubung dengan jumlah yang melebihi kebiasaan. Tujuan penggunaan skema ini untuk memberi kesan keunikan dan kepelbagaian gaya bahasa. Terdapat tiga strategi dalam skema ini, iaitu elipsis, asindeton dan polisindeton. Elipsis Elipsis ialah pengguguran secara sengaja kata atau beberapa kata yang dibayangkan oleh konteks (Corbett dan Connors, 1999: 386). Menurut Umar Junus (1968: 217) elipsis adalah pengsirnaan unsur-unsur yang terdapat dalam ayat. Contohnya: Pelajar-pelajar itu berlari bertebaran di tepi pagar, di padang, di kantin, juga di belakang bangunan sukan. Asindeton Asindeton ialah pengguguran kata hubung antara siri-siri klausa yang berhubungan (Corbett dan Connors, 1999: 387). Lawan bagi asindeton ialah polisindeton, iaitu penggunaan kata hubung yang banyak. Menurut Corbett, asindeton memberikan kesan rima yang tepat dalam ayat. Umar Junus (1989: 214-215) pula mendefinisikan asindeton sebagai ketiadaan penggunaan kata hubung yang menghubungkan satu ayat dengan ayat yang lain atau satu frasa dengan frasa yang lain. Contohnya: Besarkanlah Tuhanmu, bersihkan pakaianmu, jauhilah perbuatan maksiat, janganlah kamu memberi kerana hendak memperoleh yang lebih banyak.

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 81

Polisindeton Polisindeton menurut Corbett dan Connors (1999: 388) ialah penggunaan kata hubung yang melebihi daripada jumlah yang lazim digunakan menurut rumus tatabahasa. Dengan kata lain, polisindeton merupakan kebalikan asindeton. Menurut Corbett, strategi polisindeton bertujuan melambatkan irama prosa dalam perenggan dan seterusnya menghasilkan kesan penegasan yang jitu. Polisindeton boleh juga digunakan bagi menunjukkan penekanan terhadap sesuatu maksud. Perhatikan contoh berikut: Wang dan harta dan pangkat dan kemewahan, semuanya menggelapkan matanya.

4. Skema Ragaman Skema ragaman merujuk kepada manipulasi perkataan atau frasa yang tidak dapat dihimpunkan dalam salah satu kumpulan skema disebabkan kepelbagaian bentuk, gaya dan penyusunan ayat yang mencetuskan kesan yang berbeza. Terdapat enam jenis strategi dalam skema ini seperti yang berikut: Umum Khusus Strategi umum khusus merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang membawa makna umum pada bahagian awal ayat sebelum bergerak kepada makna khusus pada bahagian tengah atau pengakhiran ayat. Gandingan makna umum dengan makna khusus ini membentuk tangga makna yang tersusun, lancar dan mudah difahami oleh khalayak. Contoh ayat yang menggunakan strategi umum khusus seperti berikut: Dia bermaksud hendak ke Kedah, tetapi lebih dahulu singgah di Sungai Petani. Pengarang terlebih dahulu menyebut lokasi yang umum, iaitu Kedah sebelum menjurus kepada lokasi yang khusus, iaitu Sungai Petani. Khusus Umum Strategi khusus umum adalah kebalikan strategi umum khusus. Strategi ini meletakkan kata atau frasa yang membawa makna khusus pada awal ayat sebelum bergerak kepada kata atau frasa yang membawa makna umum pada pertengahan atau akhir ayat. Contohnya: Mulanya belajar di Azhar, lalu melanjutkan ke Eropah. Dalam ayat ini, pengarang memulakannya dengan kata nama yang khusus, iaitu Universiti Al-Azhar sebelum menyebut kata nama yang bersifat umum, iaitu Eropah. Abstrak Konkrit Strategi abstrak konkrit merujuk gandingan kata atau frasa yang ertinya berbentuk abstrak pada awal ayat dengan kata atau frasa yang bermaksud konkrit atau yang dapat ditanggapi sifatnya pada ayat berikutnya. Tujuan gandingan ini untuk memberi kesan keunikan pada ayat tersebut. Contoh ayat yang menggunakan strategi ini seperti: Tiada lagi rindu, cuma sebuah coretan di kertas. Dalam ayat ini, pengarang lebih dahulu menyebut kata abstrak, iaitu rindu sebelum bergerak kepada kata yang konkrit, iaitu kertas.

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 82

Konkrit Abstrak Strategi konkrit abstrak berkaitan gandingan antara kata atau frasa yang ertinya berbentuk konkrit pada awal ayat dengan kata atau frasa yang bermaksud abstrak atau ghaib pada ayat berikutnya. Contoh ayat yang menggunakan strategi ini seperti: Tapi Sungai Ceper meninggalkan banyak kenangan; kenangan hampir-hampir 60 tahun yang lampau. Dalam ayat ini, frasa Sungai Ceper adalah sesuatu yang konkrit kerana sungai mempunyai bentuk dan dapat dilihat secara zahir, tetapi kenangan adalah kata nama abstrak kerana hanya dapat digambarkan dalam minda dan perasaan. Enumerasi Strategi enumerasi bermaksud menyatakan frasa penting terlebih dahulu sebelum maksudnya dijelaskan secara ringkas pada frasa atau klausa berikutnya. Menurut Adnani dan Sofjan (1970: 105), enumerasi ialah penghuraian sesuatu peristiwa atau hal secara terperinci supaya terasa lebih hidup dan lebih nyata. Dengan kata lain, strategi ini merupakan pendefinisian ringkas terhadap sesuatu ungkapan yang dirasakan penting oleh pengarang bagi memudahkan khalayak memahaminya, sama ada yang berkaitan dialek, sosiobudaya, bahasa arkaik atau ungkapan yang jarang diketahui maknanya. Contoh ayat yang menggunakan strategi ini seperti: Gigi air ialah pasir-pasir dalam bumi yang tersusun dan bergerak mengikut aliran air itu. Frasa gigi air yang berbentuk simpulan bahasa diberi penghuraian lanjut oleh pengarang bagi memudahkan pembaca memahami maksudnya dengan jelas. Huraian ini disebabkan istilah gigi air jarang digunakan dalam konteks bahasa Melayu baku. Ungkapan ini hanya menurut tafsiran pengarang. Mungkin bagi pengarang tertentu pula, istilah gigi air mengandung makna yang lain pula. Ringkasnya, enumerasi tidak mempunyai satu definisi yang tetap dan standard.

4. Skema Hiperbaton Skema hiperbaton bermaksud strategi penyusunan perkataan yang menyimpang daripada aturan yang lazim. Skema ini juga dinamakan inversi aturan kata yang menurut Corbett dan Connors (1999: 104) sebagai susunan perkataan yang normal dalam ayat yang diterbalikkan atau berlaku transformasi dalam ayat. Skema ini terbahagi kepada tiga jenis, iaitu aposisi, anastrop dan parentesis. Aposisi Aposisi merujuk kepada penyusunan sebelah menyebelah dua elemen yang berkaitan dengan elemen yang kedua berfungsi sebagai penjelasan bagi elemen pertama (Corbett dan Connors, 1999). Menurut Lanham (1968) aposisi sebagai meletakkan dua kata atau frasa nama secara bersama dengan frasa yang kedua mendefinisi frasa yang pertama. Contohnya: Kuala Lumpur, ibu kota

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 83

Malaysia, terletak di kawasan lembah yang subur dan cantik. [Sepatutnya ayat ini ditulis - Ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur terletak di kawasan lembah yang subur dan cantik]. Anastrop Corbett dan Connors (1999: 383) menjelaskan bahawa anastrop adalah susunan kata yang lazim. Fungsi utamanya ialah untuk memberikan penekanan. Takrifan anastrop menurut Umar Junus (1989: 108) merujuk kepada pembalikkan susunan ayat dengan tujuan supaya frasa yang diletakkan pada awal lebih penting daripada frasa yang di belakang. Contohnya: Berbondong-bondong orang datang menunggu ketibaannya [penekanan pada frasa berbondong-bondong]. Parentesis Parentesis ialah penyisipan beberapa unit verbal yang mencelah dalam sesuatu urutan ayat. (Corbett dan Connors 1999: 384). Kehadiran parentesis menyebabkan hubungan antara pola dalam ayat terputus. Beliau menambah bahawa parentesis merupakan komentar yang menyelitkan emosi komunikator. Menurut Lanham, parentesis adalah kata, frasa atau ayat yang mencelah sebagai penyimpangan dalam ayat yang sempurna. Contoh ayat parentesis: Kami telah diminta yang sebenarnya kami telah dipaksa supaya meninggalkan perhimpunan itu. Frasa Kami telah diminta [bernada lembut/perlahan/bisikan, manakala ayat selepas sempang harus bernada kuat dan bersemangat].

Strategi Majaz Majaz merupakan terjemahan daripada tropes atau tropein dalam leksikal Greek yang bermaksud mengubah atau memalingkan maksud. Dalam stilistik Barat, trope merupakan elemen figures of Speech berdasarkan model Corbett dan Connors (1999). Trope adalah bentuk gaya bahasa yang melibatkan ungkapan, pepatah dan yang seumpamanya (Umar Junus, 1989: 237). Dalam bahasa Melayu, majaz boleh diterjemahkan sebagai kiasan, namun konsep kata kiasan dalam bahasa Melayu tidak terperinci berbanding dengan majaz. Majaz terbahagi kepada lima kategori, iaitu majaz pertautan, majaz perbandingan, majaz pertentangan, majaz ragaman dan majaz Melayu. 1. Majaz Pertautan Majaz pertautan merujuk hubungan pertautan makna, sama ada yang bersifat simbolik, perumpamaan atau tamsilan. Terdapat tujuh jenis strategi dalam majaz pertautan, iaitu:

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 84

Periprasis Umar Junus (1989: 232), berpendapat, periprasis adalah sesuatu yang dapat difahami maknanya secara literal tetapi diterangkan melalui ungkapan. Contohnya: Banyak yang mengatakan Pak Belang sudah parah dan lari masuk rimba yang lebih tebal. Ungkapan Pak Belang merupakan kiasan kepada harimau. Sinekdot Corbett dan Connors (1999: 379) menjelaskan bahawa sinekdot adalah suatu bentuk bunga bahasa yang mana sebahagian mewakili keseluruhan. Terdapat dua bentuk sinekdot, iaitu pars pro toto yakni menggunakan ungkapan sebahagian untuk maksud keseluruhan dan totem pro parte dengan menyebut keseluruhan untuk maksud sebahagian. Contohnya seperti berikut: Pars pro toto - Sudah begitu lama kami tidak nampak batang hidungnya [ Indera hidung dalam ayat ini merujuk kepada seorang manusia yang sempurna sifatnya]. - Pertandingan itu berakhir dengan kemenangan Selangor [Selangor dalam ayat ini merujuk kepada hanya sebuah pasukan yang mewakili negeri Selangor].

Totem pro parte

Alusi Alusi ialah sejenis stilistik yang merujuk secara eksplisit atau implisit terhadap peristiwa, tokoh atau tempat dalam kehidupan nyata, mitos atau karya sastera yang terkenal. Menurut Anton Moeliono (1989: 4), alusi ialah majaz yang menunjukkan kepada suatu peristiwa, karya atau tokoh terkenal berdasarkan praanggapan adanya pengetahuan bersama yang dimiliki oleh pengarang dan pembaca. Selain itu, alusi boleh juga menggunakan peribahasa bagi menggambarkan sesuatu perkara, hal, keadaan dan peristiwa yang selalunya berdasarkan pengetahuan umum. Contoh ayat alusi seperti: Peristiwa 13 Mei harus dijadikan pengajaran oleh setiap rakyat Malaysia. Peristiwa 13 Mei merupakan sejarah hitam yang pernah berlaku di Malaysia pada tahun 1969. Hampir kebanyakan rakyat Malaysia mengetahui tragedi tersebut. Tetapi bagi rakyat Jerman atau Jepun, peristiwa 13 Mei merupakan sesuatu yang asing bagi mereka kerana peristiwa bersejarah itu bukan suatu alusi bagi bangsa tersebut. Eufemisme Strategi eufemisme digunakan bagi memperhalus kata-kata atau ungkapan. Ia juga disebut sebagai ucapan pemanis atau ungkapan lembut. Eufemisme bersifat seperti acuan bagi bahasa yang tidak menyinggung perasaan orang atau kata-kata pemanis bagi menggantikan kata-kata yang mungkin boleh menghina, menyinggung, kasar, biadap, tidak bersopan atau yang dianggap tidak menyenangkan (Anton Moeliono, 1989: 3-4). Eufemisme bukan sahaja wujud dalam bahasa baku, tetapi juga dalam bahasa daerah, kolokial atau dialek. Contoh eufemisme dalam bahasa baku seperti:

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 85

meninggal dunia (mati), bermalam (tidur), bersantap (makan), bersiram (mandi), berbadan dua (hamil), manakala dalam bahasa daerah seperti: ke sungai (membuang air besar). Disfemisme Strategi disfemisme ialah kebalikan daripada eufemisme. Disfemisme memilih bentuk kata atau ragam bahasa daripada yang lembut kepada yang kasar. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu lama katakata kasar selalunya bertujuan untuk bergurau dan berjenaka. Ungkapan disfemisme banyak terdapat dalam pantun jenaka. Disfemisme turut digunakan dalam bahasa daerah. Contoh disfemisme, seperti: celaka (kutukan), laknat (kutukan), haram jadah (jahat), anak haram (anak luar nikah), keparat, bedebah, sial (makian). Terdapat bentuk disfemisme menggunakan bahasa daerah dan bahasa basahan, seperti: tongong (bodoh), bangang (bodoh), tutuh (hentaman), barua (makian), kepala otak (kutukan) dan kata carutan. Pleonasme Strategi pleonasme merujuk bentuk bahasa yang menggunakan kata-kata yang lebih banyak daripada yang diperlukan bagi menyatakan sesuatu maksud. Selalunya, dengan menggunakan sifat kata-kata itu sendiri. Tetapi, sebenarnya kata-kata itu tidak perlu kerana kata-kata yang ditegaskan itu sudah mempunyai sifat yang berkenaan. Strategi pleonasme disebut juga sebagai bahasa penegasan yang berlebih-lebihan. Yang berikut ialah contoh pleonasme: Orang yang meninggal itu menutup mata buat selama-lamanya. Metonimi Metonimi adalah penggantian sifat-sifat atau perkataan yang tepat untuk menggantikan sesuatu maksud (Corbett dan Connors, 1999: 398). Kita dapat menyebut pencipta atau pembuatnya jika kita maksudkan ciptaan atau buatannya ataupun kita menyebut bahannya jika yang kita maksudkan itu barangannya. Nama lain bagi metonimi ialah denominatio dan transnominatio. Contohnya: Rakyat menumpahkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada mahkota. Mahkota dalam ayat tersebut merujuk kepada raja di sesebuah negara yang berdaulat.

2. Majaz Perbandingan Majaz perbandingan merupakan penggunaan bahasa yang bersifat membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan atau yang dengan sengaja dianggap sama (Anton Moeliono, 1989: 67). Terdapat pelbagai bentuk majaz jenis ini dalam bahasa Melayu. Antara yang terpenting ialah metafora. Zaba dalam Ilmu Mengarang Melayu (2000: 1997) di bawah bab kiasan berpindah telah membahagikan metafora Melayu kepada tujuh bentuk, iaitu kiasan sandar, kiasan terus, kiasan berangkap, kiasan berbunga, kiasan pemanis, kiasan melompat dan kiasan melarat.

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 86

Kiasan Sandar Kiasan yang tidak menyatakan bandingan, sebaliknya terus berpindah kepada benda bandingan itu sendiri. Contohnya: pekak badak atau mandi kerbau. Kiasan Terus Bentuk kiasan yang mempunyai makna yang lain daripada makna perkataan itu sendiri. Contohnya: harimau berantai (orang yang sangat garang), kutu embun (orang yang selalu pulang lewat malam), pisau cukur (wanita yang suka mengikis harta). Kiasan Berangkap Kiasan jenis ini menunjukkan perbandingan dengan cara yang berbeza-beza atau bersajak; selalunya berisi jenaka. Contohnya: Dulu papan, sekarang besi Dulu sayang, sekarang benci Kiasan berbunga Kiasan yang menggunakan rangkai kata yang indah atau berbunga-bunga. Contohnya: Selimut kemalasan menyeliputi tubuhnya atau adat lama telah reput di mamah usia. Kiasan Pemanis Kiasan yang menggunakan perbandingan yang tidak tepat untuk melindungi sesuatu makna yang kurang elok atau kurang manis jika dinyatakan secara terus terang. Contohnya: pergi ke sungai besar (membuang air besar), berbadan dua (mengandung) atau kembali ke alam baqa (mati). Kiasan Melompat Kiasan yang melangkah satu tingkat atau lebih daripada perkara atau benda yang asal atau sebenarnya. Contohnya: menanak nasi (sebenarnya memasak beras), menjahit baju (sebenarnya menjahit kain untuk dibuat baju) atau mencucuk atap (sebenarnya mencucuk daun nipah untuk dijadikan atap). Kiasan Melarat Kiasan yang makna atau maksudnya sudah menyimpang jauh daripada maksud asal, seolah-olah menjadi perkataan yang mempunyai makna baharu. Contohnya: sudah berisi (hamil), badannya melidi (terlalu kurus) atau tubuhnya membadak (terlalu gemuk). Pada asalnya perkataan berisi, lidi dan badak mempunyai makna yang lain tidak seperti mana maksud dalam kiasan tersebut. Tetapi katakata tersebut apabila dicantumkan dengan perkataan tertentu telah mengeluarkan makna baharu yang berbentuk kiasan.

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 87

3. Majaz Pertentangan Majaz pertentangan merujuk kepada penggunaan kata atau frasa yang saling bertentangan dari segi makna, sama ada secara simbolik, tersurat atau tersirat dalam struktur ayat yang sama atau yang berhubungan. Terdapat empat jenis majaz dalam kategori ini. Hiperbola Hiperbola ialah penggunaan istilah yang membesar-besarkan dengan tujuan memberi penekanan atau kesan memperhebat (Corbett dan Connors, 1999: 158). Menurut Lanham (1968: 56), hiperbola atau superlatio bermaksud menyatakan sesuatu dengan cara berlebih-lebihan. Anton Moeliono (1989: 56) berpendapat hiperbola sebagai ungkapan yang melebih-lebihkan sama ada dari segi jumlahnya, ukurannya atau sifatnya. Contohnya: Kematiannya memalapkan dunia ini. Ironi Anton Moeliono (1989: 58), berpendapat ironi sebagai majaz yang menyatakan makna yang bertentangan dengan maksud berolok-olok atau menyindir. Maksud itu dapat dicapai dengan mengemukakan makna yang berlawanan dengan makna yang sebenarnya. Contohnya: Cantik sungguh muka awak! Oksimoron Oksimoron menurut Corbett dan Connors (1999: 407) ialah penggandingan dua kata atau istilah yang secara lazimnya bersifat bertentangan. Oksimoron didefinisikan sebagai frasa atau ayat yang mengandungi dua hal yang bertentangan. Contohnya: Untuk menjadi manis seseorang harus menjadi kasar / Benci tapi rindu / Malu tapi mahu. Litoses Litotes ialah penggunaan kenyataan yang tidak lengkap bukan untuk menipu tetapi untuk menunjukkan kehebatan apa yang hendak diperkatakan (Corbett dan Connors, 1999: 404). Menurut Anton Moeliono (1989: 66), litotes ialah sejenis majaz yang menyatakan sesuatu yang positif dalam bentuk yang negatif atau bentuk yang bertentangan dengan tujuan merendah diri. Contohnya: Perjuangan kami hanya setitik air di samudera.

4. Majaz Ragaman Majaz ragaman merangkumi penggunaan strategi retorik yang tidak digolongkan dalam kategori majaz yang sudah dibincangkan kerana kepelbagaian bentuk dan struktur kemajaziannya. Dengan demikian jenis-jenis majaz yang terasing ini digolongkan di dalam satu kelompok. Terdapat lapan jenis majaz ragaman.

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 88

Simetri Strategi simetri bermaksud penggunaan perkataan atau frasa yang sama atau hampir sama maksudnya, sama ada dalam bahasa Melayu baku, bahasa daerah atau bahasa kolokial. Dalam keadaan tertentu, pengarang mungkin menggunakan lebih daripada dua ungkapan dengan makna yang serupa atau hampir serupa. Penggunaan strategi ini dapat memberikan penegasan terhadap makna yang diingini pengarang daripada hanya menggunakan satu ungkapan sahaja. Contohnya: Bapa ibu seorang panglima dan sekali gus pendekar handal. Dalam konteks ayat ini, perkataan panglima dan pendekar mempunyai maksud yang hampir sama. Onomatopia Menurut Umar Junus, (1989: 229) onomatopia bermaksud perkataan yang berasal daripada peniruan bunyi. Biasanya bunyi itu diambil daripada unsur alam, seperti berdesir, menderu, berderai atau bunyi kesan daripada perbuatan manusia seperti mengetuk, ketawa atau bunyi suara binatang seperti mengembek, menguak, mengaum, berkokok dan sebagainya. Terdapat dua bentuk onomatopia sama ada dengan meniru bunyi asal seperti derapderap (bunyi tapak kaki sedang memijak sesuatu), tap...tap (bunyi air menimpa daun kering), kedebuk (bunyi benda jatuh), Syhhhh...(lambang pintaan diam), Cit...cit...cit (bunyi tikus), miau...miau (suara kucing) ataupun dalam bentuk kata berimbuhan seperti menderap, mengaduh, berkukku (suara burung terkukur), mengeruh dan lainnya. Strategi onomatopia bertujuan memberi kesan estetik dan realistik terhadap maksud yang hendak disampaikan oleh pengarang. Antimeria Lanham (1968: 9) mendefinisikan antimeria sebagai peralihan fungsional dengan menggunakan sebahagian ucapan untuk yang lain. Contohnya: Pelbagai macam permainan yang kami main. Perkataan permainan dan main adalah daripada kata akar yang sama tetapi berbeza dari segi golongan kata. Ekslamasi Strategi ekslamasi digunakan dalam ayat bagi melahirkan isi hati, sama ada sakit, gembira, sedih, suka, duka dan seumpamanya. Penggunaannya dapat menimbulkan kesan rasa dan kesan emosi yang tinggi dalam minda pembaca. Melalui ekslamasi, dapat meruntun hati pembaca supaya menghayati perasaan yang disampaikan pengarang. Contoh kata ekslamasi seperti: hei, cis, aduhai, amboi, hoi, yah, oh, wah, eh, ayuh, ah dan wahai. Paronomasia Paronomasia adalah sejenis puns yang merujuk kepada permainan kata-kata seperti mengulangi perkataan dalam dua makna yang berbeza atau menggunakan perkataan yang bunyinya seakan

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 89

sama tetapi mempunyai makna yang berbeza (Corbett dan Connors: 1999: 399). Dalam hubungan ini, paronomasia tergolong dalam penggunaan kata-kata yang seakan sama bunyinya tetapi berbeza maknanya. Contohnya: Ramai askar yang berbaju perang berangkat menuju ke medan perang. Majaz Melayu Majaz Melayu merujuk kepada kaedah orang Melayu memanipulasi bahasa secara simbolik dan kiasan melalui bahasa lisan atau tulisan untuk menyampaikan idea, fikiran dan perasaan mereka. Orang Melayu menggunakan pelbagai elemen bahasa seperti peribahasa, pepatah, petitih, kiasan, pelambangan, perbilangan, sindiran, imejan di samping penggunaan patah kata, suku kata seperti awalan, sisipan atau akhiran. Dalam Ilmu Mengarang Melayu (2000), Zaba telah meletakkan peribahasa setara dengan simpulan bahasa dan kiasan. Peribahasa dipecahkan kepada tiga kategori utama, iaitu peribahasa yang membawa makna selapis, peribahasa berlapis dan lidah pendeta. Beliau membahagikan bidalan, perbilangan dan pepatah sebagai peribahasa yang membawa makna selapis, manakala perumpamaan sebagai peribahasa berlapis. Menurut Zaba , gunanya peribahasa Melayu, (i) untuk menghiasi karangan dan percakapan, (ii) menguatkan tujuan karangan atau percakapan, (iii) boleh dijadikan pedoman hidup kerana isinya yang benar dan luas. Antara majaz Melayu yang terpenting ialah, pantun, pepatah, bidalan, tamsilan dan simpulan bahasa. Pantun Pantun tergolong dalam puisi Melayu tradisional yang dipercayai berakar umbi daripada sastera lisan dalam kalangan rakyat bawahan sebelum berkembang kepada bentuk penulisan. Menurut Zaba (2002: 222) pantun ialah kaedah karangan berangkap yang jati terpakai pada orang-orang Melayu bagi menggambarkan fikiran hiba sayu dan warna-warna perasaan yang indah-indah seperti hal ehwal berkasih sayang dan pujuk rayu yang lemah lembut antara kekasih dengan kekasihnya. Contoh pantun Melayu yang indah dan membawa mesej didaktik seperti: Tanjung Katung jauh ke laut tampak dari belakang mati laksana apung di tengah laut dipukul ombak jatuh ke tepi Lambang apung dalam pantun ini membawa maksud sesuatu yang timbul di atas air. Hakikatnya kedudukan apung tidak kukuh dan mudah dihanyutkan air ke mana sahaja. Begitu juga dengan manusia yang tidak punyai kekuatan diri, sudah pasti akan punah dan sirna seandainya dilanda cabaran hidup. Kiasan pada kata apung yang dipukul ombak amat cocok dengan sifat manusia yang tidak mempunyai prinsip hidup, jahil, miskin rohani dan jasmani. Manusia sedemikian umpama sampah sarap yang terbuang di tengah lautan. Begitu mudah dipukul ombak ke tepi dan ke tengah. Tidak mempunyai kekuatan untuk mempertahankan dirinya sendiri serta mudah dipengaruhi dan diperkotak-katikkan oleh orang lain.

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 90

Pepatah Pepatah adalah salah satu unsur dalam peribahasa Melayu. Pepatah ialah kiasan yang digunakan untuk mematah atau memutuskan pembicaraan orang lain. Pepatah lebih memberatkan tentang sifat ringkasnya, bijaksana perkataannya dan benar pengajarannya (Zaba, 2002: 170). Contoh pepatah seperti: Biar lambat asal selamat, Alah bisa tegal biasa, Bahasa menunjukkan bangsa dan sebagainya. Bidalan Bidalan merupakan satu lagi bentuk dalam peribahasa yang digolongkan dalam sastera Melayu lama. Bidalan lebih memberatkan tentang sifat melekatnya di mulut orang ramai dan tentang bandingan dan teladan yang ada di dalamnya (Zaba, 2002: 170). Contoh bidalan seperti: Bawa resmi padi; makin berisi makin tunduk, atau Ikut suka luka, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tamsilan Tamsilan berasal daripada bahasa Arab at-tamsil. Tamsilan bertujuan mengumpamakan seseorang atau sesuatu mengenai pekerti, tabiat dan keadaan. Biasanya, tamsilan dimulai dengan kata-kata: seperti, laksana, bagai, sebagai. Menurut Zaba (2002: 170) tamsilan ialah peribahasa yang menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan atau dikiaskan kepada sesuatu perkara lain dan oleh sebab itu jadi ertinya dua lapis. Contoh tamsilan: Seperti bulan di pagar bintang, Seperti sirih pulang ke gagang, Seperti embun di hujung rumput dan lain-lain. Simpulan Bahasa Simpulan bahasa merupakan rangkaian perkataan atau ungkapan yang telah tersimpul dengan susunan yang khas dan digunakan dengan makna khusus, berlainan daripada makna asalnya (Safian Hussain, et al. 1988: 308). Bentuk majaz ini paling banyak digunakan oleh orang Melayu kerana sifatnya yang ringkas dan dapat menyampaikan maksud dengan tepat, tajam dan berseni. Contoh simpulan bahasa seperti: menongkat langit, berganti tikar, bongkok sabut dan kaki bangku.

KATA KUNCI
1. Stilistik 2. Hiperbaton 3. Parentesis 4. Skema 5. Peribahasa 6. Alusi 7. 8. 9. Majaz Anomatopia Pantun

S t i l i s t i k , S k e m a d a n M a j a z | 91

PENILAIAN KENDIRI
1. 2. 3. 4. 5. Bincangkan dengan jelas pengertian stilistik. Apakah yang dimaksudkan dengan konsep kejujuran dan kesantunan. Apakah yang dimaksudkan strategi skema dan majaz. Jelaskan lima jenis metafora menurut pandangan Zaba. Bina dua ayat menggunakan teknik anomatopia atau paronamasia.

Bahan Rujukan Awang Sariyan (1992) Asas Penulisan Deskriptif. Kuala Lumpur: Menara Ilmu Sdn Bhd. _____________( 2006. Tertib Mengarang. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Ismail Ahmad (1996) Penulisan Saintifik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Henry Guntur Tarigan (1986) Menulis sebagai Satu Ketrampilan Berbahasa. Bandung: Penerbit Angka. Sulaiman Masri et al. (2007) Bahasa Melayu; Rujukan Menengah. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. Zaba. (2000). Ilmu Mengarang Melayu. Edisi Rumi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like