P. 1
Nota Penulisan Akademik Untuk Sains Sosial

Nota Penulisan Akademik Untuk Sains Sosial

|Views: 5,693|Likes:
Published by zairizul2145

More info:

Categories:Types, School Work
Published by: zairizul2145 on Mar 19, 2009
Copyright:Attribution Non-commercial

Availability:

Read on Scribd mobile: iPhone, iPad and Android.
download as DOC, PDF, TXT or read online from Scribd
See more
See less

08/08/2013

pdf

text

original

Penulisan Akademik PEMIKIRAN DAN PENULISAN ILMIAH DI UNIVERSITI

*
Oleh

Sivachandralingam Sundara Raja
Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera & Sains Sosial,

Universiti Malaya
I. II. III. IV. V. VI. VII. Pengenalan Pengertian Penulisan Akademik Ciri-ciri Penulisan Akademik Esei Akademik Yang Baik Perkara-Perkara Asas Dalam Membuat Penyelidikan Ilmiah Kaedah Menulis Nota Kaki, Bibliografi dan Gaya Penerbitan Senarai Rujukan

I. Pengenalan

Modul ini akan memperkenalkan mahasiswa/siswi kepada lima persoalan utama dalam penulisan akademik. Pertama, pengertian penulisan akademik yang akan diperjelaskan dengan mengemukakan contoh esei yang mewakili kaedah yang dijalankan oleh ahli sains sosial. Kedua, adalah ciri-ciri penulisan akademik. Harus diketahui penulisan boleh dibahagikan kepada penulisan akademik dan bukan akademik. Penulisan yang akan dijalankan oleh siswa/siswi di universiti adalah penulisan akademik dan ia mewakili penulisan berbentuk kertas kerja, laporan dan latihan ilmiah. Sebaliknya penulisan cerpen dan novel tergolong dalam penulisan yang bersifat bukan ilmiah kerana ia tidak terikat kepada peraturan-peraturan penulisan akademik. Dalam bahagian ini akan diterangkan ciri-ciri yang harus ada pada penulisan akademik yang baik. Bahagian Ketiga, esei akademik yang baik akan menjelaskan tiga bahagian utama esei, iaitu pengenalan, isi esei dan penutup. Adalah penting untuk memastikan ketiga-tiga bahagian ini terjalin untuk menghasilkan esei yang baik. Contoh-contoh akan dikemukakan sebagai lampiran untuk memudahkan pemahaman siswa/siswi. Bahagian Keempat pula adalah perkara-perkara asas dalam penulisan esei akademik atau latihan ilmiah. Bahagian ini penting kerana sebelum memulakan kajian, siswa/siswi perlu mengetahui persoalan kajian, skop kajian, kepentingan kajian dan kaedah untuk menjalankan kajian. Bahagian Kelima, kaedah penulisan nota kaki, bibliografi dan gaya penerbitan adalah perkara asas yang harus diketahui oleh siswa/siswi sejak semester pertama untuk memudahkan penulisan esei akademik yang baik. Penguasaan teknik penulisan nota kaki, bibliografi dan aspek-aspek lain adalah sangat-sangat perlu dalam melahirkan siswa/siswi yang berkemahiran dalam lapangan penyelidikan dan penulisan untuk membantu penulisan di universiti dan juga apabila menjawat pekerjaan di sektor awam ataupun swasta. Untuk menguji pemahaman siswa/siswi mengenai ciri-ciri penulisan akademik, di akhir modul ini disediakan latihan yang memerlukan siswa/siswi menilai sejauh manakah

makalah yang dilampirkan memperlihatkan ciri-ciri penulisan akademik yang baik. Menyedari bahawa pembacaan yang luas diperlukan untuk memahami ciri-ciri penulisan akademik, modul ini telah disertakan dengan bibliografi yang mempunyai nombor panggilan perpustakaan. Bahan bacaan ini boleh dirujuk di bahagian Bertanda Merah (RS) dan Rak Terbuka (OS) di perpustakaan utama, Universiti Malaya. Adalah diharapkan penyediaan modul ini dapat membantu siswa/siswi menguasai teknikteknik penulisan dan menghasilkan penulisan yang baik dalam bidang-bidang yang bakal dikhususi di jabatan masing-masing di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.

II. Pengertian Penulisan Akademik
Penulisan akademik adalah penulisan yang dijalankan secara ilmiah atau saintifik.Ia mengkaji secara teratur dan teliti sesuatu persoalan. Ia berbeza dari kaedah-kaedah lain seperti penulisan novel yang berasaskan khayalan atau rekaan dan generalisasi daripada pengalaman. Kaedah saintifik adalah berasaskan kepercayaan bahawa mana-mana fenomena mempunyai keterangan-keterangan tertentu; iaitu tiap-tiap kesan mempunyai sebab. Kaedah ini berasaskan idea bahawa kesimpulan hanya boleh diterima bila disokong oleh bukti. Seorang penulis akademik harus mengumpulkan data secara objektif, tidak berat sebelah dalam mengumpulkan data yang menyokong kebenaran hipotesis dan mengabaikan yang tidak mengikut kehendak peribadi penyelidik. Untuk membolehkan pengetahuan biasa menjadi pengetahuan ilmiah(sains), ia harus melalui jalan yang panjang. Proses yang disebut sebagai kaedah ilmiah dapat disusun seperti di bawah; (a) Pengumpulan data dan fakta (b) Pengamatan data dan fakta (c) Pemilihan data dan fakta (d) Penggolongan data dan fakta (e) Penafsiran data dan fakta (f) Kesimpulan umum (g) Perumusan hipotesis (h) Pengujian terhadap hipotesis melalui kajian dan percubaan empiris (i) Penilaian; menerima atau menolak atau menambah, ataupun merubah hipotesis (j) Perumusan teori ilmu pengetahuan (k) Perumusan dalil atau hukum ilmu pengetahuan Rujuk Lampiran I untuk gambaran lebih jelas pengaplikasian kaedah saintifik oleh ahli

sains sosial.

III. Ciri-ciri Penulisan Akademik
Secara ringkas ciri-ciri penulisan akademik adalah seperti di bawah; (a) Menyampaikan fakta secara sistematik atau mengemukakan hukum alam kepada situasi yang spesifik. (b) Penulisannya cermat, tepat, benar dan tidak membuat andaian. (c) Tidak menulis untuk memenuhi kehendak golongan-golongan tertentu. (d) Penulis hanya menulis untuk memaklumkan tentang sesuatu dan tidak bersifat prejudis. (e) Penulisan ilmiah bersifat sistematik. Setiap langkah direncanakan secara sistematik, konseptual dan mengikut prosedur yang jelas. (f) Penulisan ilmiah tidak bersifat emosional. Ia mengemukakan sebab-musabab dan pengertian sesuatu masalah/persoalan. Kata-katanya mudah diidentifikasi. (g) Setiap pandangan yang dikemukakan disokong dengan bukti. (h) Menulis dengan jujur dan hanya mengemukakan kebenaran. Tidak ada kenyataankenyataan yang boleh menimbulkan keraguan. (i) Penulisan ilmiah tidak bersifat argumentatif. Rumusan yang dibuat dalam penulisan ilmiah akan membiarkan fakta berbicara sendiri. (j) Penulisan ilmiah tidak bersifat persuasif. Jika penulisan berkenaan berjaya mengubah pandangan pembaca, ia bukan melalui kaedah persuasif, argumentasi, percanggahan pendapat dan protes, tetapi melalui fakta yang berdiri/berbicara sendiri. (k) Penulisan ilmiah tidak akan memutar-belitkan fakta kerana ia akan merosakkan tujuan penulisan ilmiah. Ia juga tidak akan melebih-lebihkan sesuatu kerana ia akan menunjukkan motif penulis yang mementingkan diri sendiri (Keraf, 1981, hlm. 15-19).

IV. Esei Akademik Yang Baik
Esei akademik kebiasaannya akan mempunyai tiga bahagian yang jelas, iaitu pengenalan esei, isi esei dan penutup. (a) Pengenalan Pengenalan akan bermula secara umum dan kemudian memokus kepada suatu idea utama.Pengenalan penting untuk menarik minat pembaca supaya terus membaca.

Pengenalan harus mempunyai ciri-ciri menyeronokkan, menyampai dan memberi maklumat yang baru serta merangsang naluri ingin tahu pembaca. Sebaik-baiknya ayat yang digunakan biarlah mudah, tepat dan menarik. Perenggan pengenalan juga perlulah ringkas dan jitu. (b) Isi Esei Isi esei harus mempunyai banyak fakta dan maklumat. Bahagian ini biasanya lebih panjang daripada bahagian-bahagian lain. Maklumat-maklumat tersebut boleh disertakan dengan penjelasan lanjut dalam bentuk statistik, kutipan, anekdot, fakta, carta dan rajah. Ia bertujuan untuk menyokong idea dan pendapat penulis. Di samping itu penjelasan ini juga menjadikan sesebuah esei lebih menarik dan senang difahami dan ditulis dalam bentuk perenggan. Setiap perenggan perlu ada tiga perkara penting iaitu kesatuan idea, urutan idea dan penonjolan idea utama. Ketiga-tiga perkara ini perlu diberikan perhatian untuk memastikan peralihan idea berjalan lancar dan memudahkan pembaca mengikuti perkembangan idea tersebut. Apabila mengemukakan sesuatu idea dalam sesuatu perenggan, adalah perlu untuk menghubungkannya dengan penyambung ayat yang betul. Caranya adalah dengan menggunakan kata-kata penghubung seperti sementara itu, selepas itu, walau bagaimanapun, tetapi, sejajar dengan, dalam perkembangan ini dan sebelum ini. Kata penghubung penting bagi memastikan kelancaran idea dalam sesuatu esei dan memberikan maklumat yang sejelas-jelasnya kepada pembaca. Bilangan perenggan yang ingin digunakan oleh penulis bergantung kepada jumlah isi yang ingin diketengahkan. Bahagian tubuh sebenarnya adalah bahagian atau argumentasi hujah. Penulis perlu mengemukakan hujah yang akan meyakinkan pembaca. Untuk menarik perhatian pembaca, penulis perlu memperkayakan perbendaharaan kata dan menguasai gaya bahasa supaya penulisan menjadi lebih kemas dan efektif. Antara semua ini, yang paling penting ialah hujah-hujah disusun secara logik. Isi yang disusun juga mestilah mengikut keutamaan. (c) Penutup Bahagian ini harus kembali kepada pengenalan dan membuat kenyataan umum. Bahagian penutup juga sama penting dengan pengenalan. Penutup harus menarik seperti pengenalan dan jumlah perkataan lebih kurang sama dengan pengenalan. Untuk gambaran jelas mengenai struktur esei yang jelas, rujuk Sulaiman Masri. (1988). Penulisan dalam Bahasa Malaysia Baku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 5663.

V. Perkara-perkara Asas Dalam Membuat Penyelidikan Ilmiah
Membuat Penyelidikan Ilmiah Penyelidikan ilmiah melibatkan dua kegiatan, pertama, proses penyelidikan dan kedua, cadangan penyelidikan ( research proposal). Kedua-dua proses ini harus dijalankan mengikut peraturan-peratauran tertentu untuk memastikan penulisan terakhir adalah

lengkap dan tidak mengalami kecacatan. (a) Proses Penyelidikan (i) Mendapatkan masalah atau tajuk Penyelidikan bermula dengan masalah; iaitu penyelidik melihat wujudnya masalah di bidang yang hendak dikaji. (ii) Membentuk Hipotesis Ia merupakan kesimpulan sementara bagi masalah yang hendak dikaji. Hipotesis juga mestilah bersifat khusus dan bukan umum. Sebagai contoh, (a) wanita yang bekerja lambat berkahwin; (b) pelajar rajin lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan dan (c) petani yang mempunyai bendang yang luas akan menggunakan jentera lebih awal dari petani yang mempunyai bendang yang sempit (Ahmad Mahdzan Ayob,1983, hlm.17). Hipotesis juga tidak harus dipengaruhi oleh nilai, pertimbangan moral atau etika; yang merupakan cadangan-cadangan yang mengatakan sesuatu itu baik atau buruk. Sebagai contoh, (a) melewatkan perkahwinan di kalangan wanita yang bekerja adalah tidak baik (nilaian) (b) petani yang tidak mengunakan jentera adalah ketinggalan zaman (nilaian), (c) petani yang tidak menggunakan benih padi baru perlu mengubah sikap (norma). Ketigatiga hipotesis ini akan menyukarkan untuk mengukur kenyataan seperti tidak baik dalam contoh (a) ketinggalan zaman dalam (b) dan (c) perlu mengubah sikap yang lebih merupakan pandangan peribadi yang bersifat pertimbangan nilai. Menurut Ahmad Mahdzan Ayob (1983), tidak ada ukuran yang objektif untuk menyukat buruk baik, ketinggalan zaman dan keperluan mengubah sikap. Sesungguhnya suatu hipotiesis mestilah boleh diuji dan untuk itu memerlukan data yang konkrit. (iii) Memungut Data Data atau sumber boleh dibahagikan kepada sumber pertama dan kedua. Sumber pertama merujuk kepada data asli yang dihasilkan oleh penyelidik sendiri sama ada melalui ujikaji, ujian kes atau kajiselidik dan juga penerbitan rasmi. Sumber kedua berupa bahan-bahan bercetak yang dihasilkan oleh individu atau institusi. Proses pengumpulan data berbeza-beza mengikut disiplin. Kaedah pemungutan data yang biasa digunakan ialah kajian perpustakaan, siasatan( survey), temuramah ( interview), soal-selidik ( questionares) dan pemerhatian ikutserta ( participation observation). (iv) Analisis Data Analisis data adalah proses yang berbeza mengikut bidang kajian. Dalam bidang ekonomi, data akan dianalisa dengan menggunakan ilmu statistik dan kaedah saintifik. Manakala dalam bidang Sejarah/Pengajian Melayu, analisa lebih berupa huraian idea secara sistem dengan menggunakan bukti, memapar atau menerang supaya fakta-fakta dapat difahami. Analisa boleh diringkaskan seperti dibawah; - Pengenalan - Idea pokok

- Sokongan fakta utama kepada idea pokok - Huraian daripada idea pokok dengan sokongan fakta pecahan atau fakta kecil termasuk misalan dan/atau rajah - Rangkaian idea pokok - Fakta-fakta besar menyokong kepada rangkaian idea pokok Analisis yang baik tidak harus mempunyai idea yang meloncat. Setiap idea mesti dikembangkan dengan baik dari satu perenggan ke perenggan yang lain. Pendek kata analisis yang baik mesti mempunyai flow of ideas, thoughts and descriptions yang baik. ( Metodologi dan Penyelidikan dalam Pengajian Melayu, 1990, hlm.55). Harus juga diketahui bila harus diletakkan petikan dan nota kaki supaya maklumat yang disampaikan adalah jelas dan tidak mengganggu aliran idea dalam para berkenaan. Petikan pula seeloknya digunakan untuk menyokong fakta, tidak banyak dan terlalu panjang. Petikan juga biarlah yang sangat-sangat perlu dan tepat. Catatan kaki pula harus berperanan untuk menyokong huraian dan analisis. Disamping itu untuk membantu pembaca membuat pembacaan lebih lanjut dan untuk memberi perspektif lain tentang isu yang dibincangkan. Ini kerana jika perspektif yang berbeza dibincang dalam teks ia akan menganggu aliran pemikiran ( Metodologi dan Penyelidikan dalam Pengajian Melayu, 1990, hlm.56). (b) Menyediakan Cadangan Penyelidikan (i) Masalah Kajian Dalam masalah kajian, penulis harus menyatakan pernyataan kajian. Pengkaji harus menyatakan persoalan yang ingin dikaji dan persoalan ini pula boleh dibahagikan kepada persoalan pokok dan sampingan. (ii) Skop Kajian Skop kajian harus menyatakan batas kajian hingga setakat mana dan kenapa. Dalam bahagian ini juga boleh dinyatakan bab-bab yang dijangkakan. Bab-bab ini seboleh mungkin mestilah berkait antara satu dengan yang lain. Bahagian ini penting untuk pembaca atau penyelia mendapat gambaran menyeluruh kerangka tesis pelajar. (iii) Kepentingan Kajian Dalam bahagian ini pengkaji harus menjelaskan keistimewaan kajian. Kepentingan kajian ini boleh dilihat dari sudut akademik dan kepentingan kepada negara. Dari segi akademik, pembuktian adalah dengan membuat literature review bidang yang dikaji dan menilaikan sejauh manakah tajuk yang dipilih belum diusahakan dan ia dapat mengisi kekosongan dalam bidang berkenaan. Kepentingan kepada negara adalah dengan merujuk kepada kajian-kajian bersifat kontemporari. Sebagai contoh masalah keruntuhan moral di kalangan pelajar, kemasukan pekerja tanpa izin dari Indonesia dan lain-lain. Kajian-kajian seperti ini dapat membantu kerajaan mengenalpasti masalah golongan-golongan ini dan merancang dasar-dasar yang bersesuaian untuk menangani isu tersebut secara efektif.

(iv) Kaedah Kajian Kaedah kajian kebiasaannya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama kajian perpustakaan, kajian lapangan dan kajian menemudaga dan persamplen. Kaedah-kaedah kajian ini berbeza mengikut bidang-bidang yang diusahakan. Bagi pengkaji di bidang Sejarah, kajian mereka adalah bersifat library research dengan merujuk sumber-sumber pertama dan kedua. Bagi pengkaji dalam bidang Antropologi dan Sosiologi, pengkajiannya akan memerlukan penyelidik ke lapangan dan bersama responden yang diselidiki. Bagi pengkaji dari bidang ekonomi, perlu menguasai ilmu statistik, persamplen dan kaedah menggunakan komputer untuk menganalisis data. Rujuk Lampiran II untuk gambaran jelas suatu contoh cadangan penyelidikan.

VI. Kaedah Menulis Nota Kaki, Bibliografi dan Gaya Penerbitan
Nota Kaki dan Bibliografi Terdapat pelbagai stail penulisan nota kaki dan bibliografi. Terpulanglah kepada siswa/siswi untuk memilih stail yang sesuai mengikut cita-rasa masing-masing. Walau apapun stail yang dipilih, paling utama ia mestilah konsisten. Stail yang biasa digunakan ialah American Physological Association (APA), The Chicago Manual Style dan Modern Language Association of America (MLA). Pelajar boleh melihat kesemua stail ini dan pilih yang sesuai dengan kehendak masing-masing. (a) Stail APA Stail ini biasa digunakan oleh ahli psikologi, sains sosial dan pendidik. Stail ini hanya memerlukan penulis menyatakan nama keluarga pengarang, tahun buku diterbitkan dan halaman buku dalam kurungan. Untuk pengetahuan pelajar, modul kertas kerja ini ditulis dengan stail APA. Stail ini sebenarnya adalah ekonomik kerana maklumat yang dinyatakan dalam kurungan tidak perlu dinyatakan dalam nota kaki. Dalam pada itu maklumat yang akan diketengahkan hanyalah nama keluarga pengarang, tahun terbit dan halaman (Sufean Hussin, 1985, hlm. 66-67). Maklumat lengkap setiap sumber yang dirujuk dalam teks diberikan dalam senarai bibliografi yang disusun mengikut abjad dan nama keluarga. Untuk maklumat lanjut rujuk Lester, J.D. (1987). Writing Research Papers, A Complete Guide. London: Scott, Foresman and Company, (211-214) dan Campbell, Wilia, Giles, Balldu, Stephen Vaughan dan Slade, Carole (1990). Form and Style, Theses, Reports, Term Papers, Boston:Houghton Mifflin Company, 251-261. (b) Stail Chicago Stail Chicago pula digemari oleh sejarawan, ahli sains politik, arkeologi, antropologi dan ahli falsafah. Stail ini tidak mengganggu continuity dan flow dalam pembacaan (Sufean Hussin, 1995, hlm. 67). Stail ini memerlukan nombor nota kaki diletakkan dalam teks dan maklumat penuh perlu dinyatakan dalam nota kaki halaman yang sama. Ada kalanya nota kaki ini akan mewakili separuh dari nota kaki halaman berkenaan. Stail ini selain dari menyatakan maklumat penuh buku yang dirujuk di nota kaki, ia juga boleh digunakan untuk membahas sesuatu isu, memberi rujukan tambahan dan

mengemukakan nota kaki untuk menyokong hujah. Untuk maklumat lanjut sila rujuk Lester, J.D. (1987). Writing Research Papers, A Complete Guide. London: Scott, Foresman and Company, 237-240. (c) Stail Modern Language Association (MLA) Stail MLA jarang digunakan dalam bidang sains sosial. Kaedah ini memerlukan sesuatu petikan disusuli oleh pengarangnya yang membuat kenyataan tersebut. Petikan tersebut pula berakhir dengan nombor halaman yang dinyatakan dalam kurungan. Dokumentasi sumber yang mempunyai maklumat lengkap tentang tajuk buku, tempat terbit dan penerbit boleh didapati di bahagian bibliografi. Stail ini hanya membenarkan penggunaan nota kaki jika ia bertujuan untuk membuat huraian kandungan ( content footnotes) (Lester, 1987, hlm. 108). Stail ini dapat dilihat dalam contoh di bawah:Dalam buku History and Education, Paul Nash menyatakan, "Facts do not speak for themselves: They are meaningless and powerless without a human mind to give them shape, form, organization, sequence, interrelationship, and significance". (10).4 _____________________________________________________________________ 4. Untuk lebih lanjut tentang interpretasi dalam sejarah, rujuk Barzun dan Graff (42-56) dan Suntharalingam (28-40). Untuk maklumat lebih lanjut tentang stail ini rujuk Hult, C.,A. (1996). Researching and writing across the curriculum. Boston: Simon & Schuster Company, 311-333 dan Lester, J.D. (1997). Citing cyberspace. Diperolehi pada 3 Februari 1999 daripada World Wide Web: http://longman.awl.com/ english pages/cyber.htm. Susunan Bibliografi Susunan bibliografi bagi kesemua sistem penulisan tidak banyak berbeza. Hampir kesemua penulisan menganjurkan penulisan bibliografi mengikut susunan nama keluarga pengarang, tajuk buku, tempat terbit , penerbit, tahun terbit dan halaman. Suatu kewajipan bagi kesemua bibliografi adalah nama keluarga pengarang, tajuk buku, tempat terbit, penerbit dan tahun. Untuk maklumat lanjut, rujuk penyusunan bibliografi mengikut stail APA dalam Campbell, Wilia, Giles, Ballou, Stephen Vaughan dan Slade, Carole (1990). Form and Style, Theses, Reports, Term Papers, Boston:Simon & Schuster Company, (251-261) Gaya Penerbitan Penulisan yang baik juga harus memberi perhatian kepada gaya penerbitan yang merujuk kepada peraturan menulis huruf besar, singkatan, penomboran, tanda bacaan, tata bahasa dan tanda kutip yang seragam. Semua ini akan menentukan samada esei yang dinilai wajar diberi gred yang baik. Untuk maklumat lebih lanjut, rujuk Sulaiman Masri. (1988). Penulisan dalam Bahasa Malaysia Baku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 97-106, 114-129.

Senarai Rujukan

Abdullah Zakaria Ghazali. (1981). Raja Kechil-Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah 17181722: Suatu kajian tentang asal-usulnya. Jernal Sejarah Melaka, 6, 48-52. Ahmad Mahdzan Ayob. (1983). Kaedah penyelidikan sosioekonomi, suatu pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (H 62 Ahma - RS) Andaya, L.Y. (1973). Raja Kechil and the Minangkabau conquest of Johore 1718. Journal of Malayan Branch Royal Asiatic Society, 40 (2), 51-75. Appudurai Ganaran Ganasan. (1969/70). A study of the Federal Industrial Development Authority (FIDA) and industrial development in Malaysia. Tesis ijazah sarjana muda ekonomi dan pentadbiran yang belum diterbitkan. Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya. Barzun, J. dan Graff, H.F. (1977). The modern researcher, the classic manual on all aspects of research and writing. New York: Harcourt & Brace Javanovich Inc. (D 13 Bar OS) Campbell, W. G., Ballou, S.V., dan Slade, C. (8th ed.). (1990). Form and style, theses, reports, term papers. Boston: Houghton Mifflin Company. (LB 2369 Cam – RS) Chalmers, A.F. (1963). What is this thing called science. St. Lucia: University of Queensland Press. Chon Huay Ye. (1994/95). Satu kajian terhadap pelaburan asing di Malaysia. Tesis ijazah sarjana muda ekonomi dan pentadbiran yang belum diterbitkan. Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya. Copleston, F. (1963). A history of philosphy. London: Image Book Edition. Dane, F, C. (1990). Research methods. California: Brooks/Cole Publishing Company. (H62 Dan – RS) Fitz-Gibbon, C.T., dan Morris, L.L. (1987). How to analyse data. California: Sage Publications. (H 62 Fit –RS) George Cho. (1992). The Malaysian economy:Spatial perspective. London: Routledge. Goode, W.J., dan Hatt, P.K. (1952) Methods in social research. New York: McGraw-Hills. (H 62 Goo – RS) Harcharan Singh Khera. (1972). Problems and prospects of the Malaysian economy. Kuala Lumpur: Khera Sdn Bhd. Horton, S. R.,(Terjemahan). (1993). Penulisan:Cetusan fikiran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (PE 1408 Hor – RS) Hult, C. A. (1996). Researching and writing across the curriculum. Boston: Allyn and Bacon. (LB 2369 - OS).

Jackson, W.. (1995). Methods doing social research. Ontario: Prentice-Hall Canada Inc. (H 62 Jac – RS) Johnson, M.J. (1975). Doing field research. New York: Macmillan Publishing Co., Inc. (H62 Joh – RS) Jomo Kwame Sundaram. (1993). Pertumbuhan dan kemelesatan ekonomi Malaysia pada tahun lapan puluhan. Kuala Lumpur: Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya. Jomo Kwame Sundaram. (1997). Southeast asia's misunderstood miracles: Industrial policy and economic development in Thailand, Malaysia and Indonesia. New York: Westview Press. Kamus dwibahasa. (1989). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Keraf, G. (1981). Komposisi. Jakarta:Penerbit Nusa Indah. (PL 50803 Ker – RS) Lester, J.D. (1987). Writing research papers, a complete guide. Glenview: Scott, Foresman and Company. (LB 2369 Les - OS) Lester, J.D. (1997). Citing cyberspace. Diperolehi pada 3 Februari 1999 daripada World Wide Web: http://longman.awl.com/englishpages/cyber.htm Logic II:Proof. (1971). London:The Open University Press. M.C.Lamin. (1993/94). The role of direct foreign investment in Malaysia. Tesis ijazah sarjana ekonomi yang belum diterbitkan. Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya. Metodologi dan penyelidikan dalam pengajian Melayu. (1990). Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Melayu. Miller, D.C. (1983). Handbook of research design and social measurement. London: Sage Publications. (H 62 Mil – RS) Mohammad Hatta. (1982). Alam fikiran Yunani. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd Sheffie Abu Bakar. (1991). Metodologi penyelidikan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsan Malaysia. (HB 131 Mohsab – RS) Nash, P. (1970). History and education. New York: Random Howe Inc. Nuraini Yusoff. (1991). Penulisan berformat. Kuala Lumpur: Pustaka Pertiwi Sdn. Bhd. Pengenalan kepada sains sosial. (1998). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (H61 Pen – OS) Preece, R. A. (1994). Starting research. London: Pinter Publishers. (LB 2369 Pre - RS)

Ranjini Balakrishnan. (1997/98). Pelaburan asing di Negeri Sembilan. Tesis ijazah sarjana muda ekonomi yang belum diterbitkan. Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya. Robinson, C.E. (1965). Apollo history of Greece. New York: Thames Y.Cromwell Company. Samarudin Rejab dan Nazri Abdullah. (1992). Panduan menulis tesis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (LB 2369 – RS) Shaharom TM Sulaiman dan Wan Ab.Kadir Wan Dollah. (1998). Pengurusan maklumat alaf baru. Pemikir, 11, 176-184. Sufean Hussin. (1995). The art of research and dissertation writing, for the Humanities and Arts. Kuala Lumpur: Asas Tunas Publications. (LB2369Sufh – OS) Sulaiman Masri. (1988). Penulisan dalam bahasa Malaysia baku. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (PL 5083 Sulm – RS) Suntharalingam, R. (1985). Pengenalan kepada sejarah. Kuala Lumpur: Marican and Sons (M) Sdn. The Chicago manual of style (14th ed.). (1993). Chicago:The University of Chicago Press. (Z253 UCP – RS) Turabian, K.L. (1973). A manual for writers of term papers, theses and dissertations, Chicago: The University of Chicago Press. (LB 2369 Wil – OS) Wan Hashim, Ting Chew Peh dan Shamsul Amri Baharuddin (Disunting). (1980). Kaedah penyelidikan sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. (Th 62 Kae – RS) Winkler, C.A., dan McCuen, J.R. (1979). Writing the research paper, a handbook. New York: Harcout Brace Jovanovich Inc. (LB 2369 Wil - OS) Zainal Mat Saat. (1985). Pengantar statistik. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd. (HA 29.5 M2Zains – RS)

* Kertas kerja yang dibentangkan dalam bengkel fasilitator untuk modul Pengayaan Pembelajaran Pelajar Baru Sesi 1999/2000 di Fakulti Sastera & Sains Sosial pada 26 April, 1999.

HOMEPAGE BIODATA KARYA PETIKAN PENULISAN VISUAL E-MAIL
April, 1999

You're Reading a Free Preview

Download
scribd
/*********** DO NOT ALTER ANYTHING BELOW THIS LINE ! ************/ var s_code=s.t();if(s_code)document.write(s_code)//-->