You are on page 1of 40

Peranan pembesar dalam sistem politik, ekonomi dan sosial.

Bincangkan.

Sehingga pertengahan abad ke-19, para pembesar merupakan aset penting


dalam sistem politik di Tanah Melayu. Setiap orang pembesar mempunyai
peranannya dalam ekonomi, politik dan sosial masyarakat Melayu.

Dari segi politik, di negeri-negeri Melayu, pembesar merupakan pentadbir


tempatan sebelum kewujudn sistem kerajaan dan institusi kesultanan. Misalnya,
pembesar bergelar Tun Derma Dewa dan Tun Perkasa telah mentadbir negeri
Kedah sebelum kewujudan Kerajaan Kedah. Datuk Am, Tok Penggawa
Permatang, Tok Klang dan Tok Naga serta Datuk Menteri telah mentadbir
jajahan-jajahan Selangor sebelum Raja Lumu dilantik sebagai rajanya. Empat
orang penghulu telah mengetuai pentadbiran Luak Sungai Ujong, Luak Rembau,
Luak Johol dan Luak Jelebu di Negeri Sembilan.

Selepas institusi kesultanan wujud, para pembesar dilantik untuk membantu raja
menjalankan pemerintahan dan pentadbiran negeri untuk melaksanakan kuasa
yang diamanahkan kepada mereka. Pembesar ini mempunyai cop mohor sendiri.
Pembesar-pembesar seperti Pembesar Empat Lipatan semasa Kesultanan
Melayu Melaka membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan
pusat. Mereka merupakan golongan yang memonopoli segala kuasa politik
dalam kerajaan. Sistem Pembesar Empat Lipatan Kerajaan Melayu Melaka telah
menjadi model bagi pengurusan dan pentadbiran pusat kerajaan-kerajaan awal
seperti Perak, Johor dan sebagainya. Di Kelantan, Jemaah Menteri membantu
Sultan dalam pentadbiran kerajaan pusat. Di Negeri Sembilan, Undang-undang,
Lembaga, Buapak membantu di dalam pentadbiran kerajaan pusat.

Pembesar-pembesar pusat memainkan peranan penting dalam menjaga


keamanan dan keselamatan negara. Sebagai contoh, Bendahara dalam
Kesultanan Melayu Melaka memimpin angkatan bersenjata semasa menghadapi
peperangan, Laksamana menjaga keselamatan negara di perairan dan
Temenggung menjaga keselamatan dalam negeri. Di negeri Kelantan, Jemaah
Menteri bertanggungjawab mengurus hal ehwal peperangan, ketenteraan dan
sebagainya.

Para pembesar juga menjadi ahli dalam Jemaah Penasihat Sultan. Sebagai
contoh, Bendahara menasihati Sultan dalam soal pentadbiran negara dan
perhubungan luar. Pembesar-pembesar yang lain pula bertanggungjawab dalam
bidang masing-masing.

Para pembesar juga membantu raja untuk mentadbir di luar wilayah yang
dipanggil pegangan yang merupakan anugerah Sultan kerana jasa dan
perkhidmatan cemerlang mereka. Bendahara Melaka telah memegang kawasan
Muar dan Bintan merupakan salah satu contoh daripadanya. Di tanah jajahan
atau daerah, pembesar yang bergelar Mandulika memainkan peranan penting
dalam pentadbiran. Di peringkat kampung pula, Penghulu atau Penggawa pula
mentadbir peringkat kampung. Pembesar ini akan memastikan penduduk di
bawah jajahannya sentiasa taat setia terhadap Sultan dan kerajaan. Mereka
membekalkan tenaga ketenteraan untuk mempertahankan negara dan untuk
ekspedisi memperluaskan empayar jika perlu. Mereka ini ibarat “jambatan
menghubungkan rakyat jelata dengan pemerintah”.

Adakalanya, pembesar-pembesar ini juga mempengaruhi pentadbiran raja


ataupun Sultan. Sebagai contoh, di Melaka, peranan Bendahara Tun Perak
sebagai “The King Maker” dan di negeri Perak, pembesar memainkan peranan
penting dalam perlantikan Sultan mengikut sistem penggantian raja.

Pembesar seterusnya juga memainkan peranan dalam menentukan


perhubungan antarabangsa, contohnya Bendahara Melaka memainkan perana
penting dalam hal ini.

Dari segi ekonomi, pembesar memainkan peranan penting dalam pengutipan


cukai. Sebagai contoh, Syahbandar mengutip cukai dari pedagang-pedagang
dan pembesar daerah atau penggawa memungut cukai di kawasan
pemakanannya. Pembesar pusat pula mengutip cukai dari kawasan
pegangannya. Daripada hasil tersebut, sebahagiannya akan diserahkan kepada
raja yang memerintah.

Pembesar-pembesar bertanggungjawab memastikan urusan perdagangan


berjalan dengan licin. Sebagai contoh, Temenggung bertanggungjawab
menentukan timbangan dan sukatan yang betul dan mengawasi saudagar-
saudagar daripada kepulauan Melayu. Laksamana pula menjaga pencerobohan
orang asing ke kawasan perairan kerajaannya. Syahbandar pula
bertanggungjawab menjaga pelabuhan, hal ehwal pedagang asing serta
mengaturkan tempat perniagaan dan menyediakan gudang untuk menyimpan
barang.

Dari segi sosial, pembesar memainkan peranan penting dalam menjaga


kebajikan anak buahnya. Di kawasan pegangannya, pembesar ini
bertanggungjawab membina balai raya, pondok dan segala kemudahan awam
yang akan digunakan oleh semua anak buahnya. Semasa pembinaan benda
berkenaan, pembesar ini akan mengarah anak buahnya untuk melakukan kerja
tersebut.

Pembesar juga memainkan peranan penting dalam mengawasi keamanan dan


kesejahteraan di kawasan pentadbirannya. Sebagai contoh, pembesar ini telah
menjadi hakim dalam perbicaraan di kawasan pegangannya. Seseorang yang
bersalah akan dijatuhkan hukuman yang selaras dengan kesalahan yang
dilakukan. Namun begitu, hukuman mati perlu mendapat keizinan daripada
Sultan yang memerintah terlebih dahulu.
Pembesar juga bertanggungjawab mengetuai kerja-kerja sosial seperti
pembinaan surau, masjid, balai raya, jambatan dan sebagainya. Semasa
pembinaan bangunan ini dilakukan, pembesar ini akan mengarahkan anak
buahnya melakukannya dan menetapkan seseorang yang bertanggungjawab
mengetuai pembinaan sesuatu bahagian bangunan tersebut.

Selain itu, pembesar juga bertanggungjawab mengawasi adat dan tradisi supaya
dapat diteruskan dari saru generasi ke generasi yang lain. Seseorang yang
didapati melanggar adat akan dijatuhkan hukuman. Tujuannya adalah supaya
adat dan tradisi dapat dijalankan tanpa gangguan dan sebagainya.

oleh SP Star

Bincangkan pengaruh agama Islam dalam masyarakat Melayu


tradisional.

Agama Islam mula tersebar di Asia Tenggara pada abad ke-7. Walau
bagaimanapun, pernyataan ini tidak mempunyai bukti yang sahih. Menurut
Sejarah Melayu, negeri Champa mulai menerima Islam pada abad ke-15 tetapi
dalam Sejarah China, Islam dikatakan wujud di Sumatera pada abad ke-13.
Namun begitu, Islam mula dibawa masuk ke Tanah Melayu khasnya Melaka
hanya selepas penghujung abad ke-14. Pemerintah Melaka yang pertama
menganuti Islam ialah Sultan Mahkota Iskandar Syah. Penerimaan agama Islam
oleh masyarakat tradisional bukan sahaja membawa pengaruh kepada akidah,
tetapi ia juga membawa pengaruh terhadap aspek kehidupan yang lain.

Dari segi pentadbiran, Islam telah mempengaruhi pentadbiran Kerajaan Melayu


Melaka, kerajaan-kerajaan lain seperti Kedah, Johor dan Terengganu. Ciri-ciri
kerajaan ini berubah menjadi sama seperti ciri-ciri pentadbiran kerajaan di Timur
Tengah seperti Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Konsep dewaraja telah diambil alih
oleh konsep Sultan yang menganggap Sultan sebagai zul-illahi-fil-alam iaitu
pegangan bahawa Sultan itu adalah amanah Allah s.w.t. di muka bumi. Sultan
juga dianggap sebagai Aminul Mukminin iaitu ketua kepada umat Islam. Dalam
sektor agama, Sultan menjadi ketua agama Islam dan baginda
bertanggungjawab memerintah dengan adil dan menjaga kebajikan rakyat
jelatanya. Selain daripada peranan Sultan, ahli-ahli sufi dan ulama-ulama juga
menjadi penasihat tentang agama Islam kepada raja. Kini, agama Islam telah
dijadikan sebagai agama rasmi.

Dari segi undang-undang, undang-undang Islam memainkan peranan dalam


kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Para ulama memainkan peranan
yang penting dalam perundangan Islam. Perundangan Islam telah menjadi
tunjang kepada undang-undang bertulis seperti Hukum Kanun Melaka. Hal ini
pula diwarisi oleh negeri-negeri Melayu yang lain pada hari kemudian. Sebagai
contoh, Undang-undang 99 Perak dan Undang-undang Pahang. Selain itu,
undang-undnag syariah yang meliputi pelbagai perkara seperti hukum kesalahan
jenayah (mencuri, membunuh dan sebagainya), jual beli, hal-ehwal perkahwinan
dan pembahagian harta pusaka juga diperkenalkan. Tokoh-tokoh yang akan
memelihara undang-undang ini terdiri daripada hakim dan kadi. Walaupun hakim
dan kadi menjadi tokoh yang memelihara undang-undang, tetapi rajalah yang
akan menjatuhkan hukuman. Baginda akan menjatuhkan hukuman mengikut
hukum adat dan bukan hukum Islam.

Dari segi kehidupan masyarakat, kehadiran agama Islam telah mengubah cara
hidup mereka. Kepercayaan asal iaitu animisme, Hindu dan Buddha telah
berubah menjadi agama Islam. Agama Islam telah mengubah cara pemikiran
orang Melayu. Mengikut agama Islam, ia menyuruh umatnya berfikir untuk
menerapkan unsur-unsur rasionalisme dalam pemikiran mereka. Selain itu,
unsur-unsur metafizik telah terterap ke dalam nilai hidup msyarakat tempatan.
Kini, masyarakat Melayu mempunyai pandangan dan falsafah hidup yang
berkaitan dengan unsur-unsur Islam seperti mencari rezeki yang halal, kewajipan
mencari ilmu pengetahuan dan sebagainya.

Islam juga membawa pengaruh kepada adat resam masyarakat tempatan.


Agama Islam telah membawa sistem nilai sosial yang berbeza dengan
sebelumnya. Masyarakat Melayu telah membuat penyesuaian antara unsur-
unsur Hindu dan Islam untuk mengelakkan amalan yang diamalkan pada dahulu
kala bertentangan dengan ajaran Islam. Agama Islam telah menghapuskan
sistem nilai sosial yang berasaskan perbezaan taraf atau sistem kasta. Mengikut
agama Islam, semua umat Islam merupakan stu gagasan. Mereka haruslah
sentiasa beriman dan bersaudara dan menjadikannya sebagai prinsip ke arah
perpaduan masyarakat. mereka juga menganggap orang asing yang beragama
Islam adalah saudara mereka. Antara adat resam yang banyak dipengaruhi oleh
Islam ialah adat bercukur, adat perkahwinan dan sebagainya. Selain itu, aspek
Islam yang baru juga diamalkan, contohnya membayar zakat, bekerjasama,
bergotong-royong dan kekeluargaan.

Islam juga memberi pengaruh yang kuat dari segi pendidikan masyarakat Melayu
tradisional. Pendidikan formal mula wujud sejak Kesultanan Melayu Melaka
dengan kedatangan pada pendakwah dan alim ulama agama Islam. Istana telah
dijadikan pusat pendidikan, pusat kegiatan intelektual dan menjadi tumpuan alim
ulama dari negara-negara Arab, India dan Parsi. Di sini, mereka akan berbincang
tentang hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Istana juga menjadi
khazanah hikayat yang memberi pengajaran agama bertemakan kisah para nabi,
contohnya, Hikayat Abu Samah dan Hikayat Nabi Yusof. Mereka mengadakan
pendidikan Islam dengan tujuan melahirkan pelajar-pelajar yang tahu tentang
agama Islam, memupuk akhlak mulia dan sebagainya.

Para ibu bapa sangat mementingkan pendidikan anak-anak mereka. Mereka


menghantar anak-anak mereka ke rumah tok guru untuk menerima pelajaran
agama. Pada peringkat pertama, mereka akan belajar tentang muqaddam dan
al-Quran mengikut tajwid yang betul. Pada peringkat kedua, mereka akan belajar
tentang fardu ain dan akhlak mulia. Pelajar-pelajar ini tidak dikenakan bayaran
tetapi ibu bapa akan memberi penghargaan dengan menghantar padi, beras, ubi
sebagai membalas budi tok guru. Selepas peringkat ini, mereka akan
melanjutkan pelajaran ke masjid atau surau untuk melanjutkan pelajaran tentang
ilmu agama. Di sini, mereka terus mempelajari tentang al-Quran, mendalami
fardu ain pada siang pagi. Kaedah hafalan digunakan dalam pembelajaran, iaitu
seseorang itu menghadapi kesulitan untuk memahami sesuatu kitab, mereka
akan hafalkannya sahaja. Walaupun pendidikan ini berbentuk formal, namun ia
adalah kurang teratur kerana bilangan murid yang tidak terhad dan gurunya
berkhidmat secara sukarela.

Selain itu, sistem pengajian madrasah juga merupakan sebahagian daripada


sistem pendidikan di Tanah Melayu selepas kedatangan Islam. Ia merupakan
lanjutan daripada sistem pendidikan di masjid dan surau. Di madrasah, kitab
bahasa Arab atau kitab bahasa Melayu yang ditulis ikut struktur Bahasa Arab
digunakan. Kitab mereka dipegang atau diletak di atas lantai dan kemudian tok
gurulah yang akan menjelaskan pengertiannya dengan menggunakan kaedah
menadah kitab.

Seterusnya, sekolah pondok merupakan pusat pengajian tertinggi di Tanah


Melayu. Ramai ibu bapa tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah
pondok kerana kesempitan wang. Sekolah pondok ini amat terkenal di negeri
Kelantan sehingga negeri ini digelar sebagai “Serambi Mekah”. Sekolah pondok
juga wujud di Kedah, Perlis, Terengganu dan Melaka. Sekolah ini didirikan oleh
seorang guru atau ulama yang kepakaran dalam ilmu agama yang dipelajari dari
Mekah. Sebuah sekolah madrasah akan dibina dan pondok-pondok kecil akan
dibina juga oleh Pelajar. Mereka tinggal secara berkongsi. Guru besar sekolah
pondok dipanggil Mudir dan ketokohannya amat dihormati oleh masyarakat.
Mereka menekankan aspek agama dan matapelajaran seperti saraf, tafsir,
wujudiah diajar. Selepas 10 tahun, pelajar boleh melanjutkan pelajarannya di
Mekah atau berkhidmat sebagai guru dipondoknya juga sekiranya ia lulus.

Walaupun pengaruh Islam memberi kesan yang kuat dalam pelbagai aspek
kehidupan, namun setelah kedatangan British, pengaruh Islam semakin luntur.
British telah menggantikan atau memperkenalkan kaedah baru dala pentadbiran
dan perundangan, kehidupan seharian dan pendidikan. Semuanya ini telah
menjadi asas kehidupan masyarakat sehinggalah apa yang wujud pada hari ini.

oleh SP Star
Corak pemerintahan dan pentadbiran di negeri-negeri Melayu
mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakatnya.
Bincangkan susun lapis masyarakat Melayu tradisional.

Sistem pemerintahan dan pentadbiran yang diamalkan oleh kerajaan awal di


Tanah Melayu telah mempengaruhi kepada pembentukan susun lapis
masyarakat. setiap lapisan masyarakat ini mempunyai peranannya yang masing-
masing. Secara amnya, susun lapis masyarakat Melayu lama ini dapat
dikategorikan kepada 2 kumpulan, iaitu golongan pemerintah dan golongan
diperintah.

Golongan pemerintah menduduki bahagian teratas susun lapis masyarakat. raja


atau Sultan merupakan orang yang menduduki tempat yang tertinggi dalam
kategori ini. Baginda di pandang mulia. Baginda mempunyai kuasa mutlak bagi
melakukan apa-apa sahaja. Sebagai contoh, baginda berkuasa menggubal
undang-undang untuk memperkukuhkan kedudukannya. Baginda merupakan
tunggak menyatupadukan rakyat. Mengikut konsep dewa raja, segala perintah
haruslah diikuti oleh rakyat jelata tanpa dipersoalkan. Baginda juga berhak
memiliki hak-hak keistimewaan seperti penggunaan bahasa dalaman,
penggunaan warna kuning dan sebagainya. Baginda juga dianggap sebagai
seorang yang daulat dan apabila baginda mangkat, tempatnya akan diwarisi oleh
puteranya melalui adat pertabalan.

Kerabat diraja pula menduduki tempat selepas raja. Mereka merupakan ahli
daripada keluarga di raja yang mempunyai pertalian darah dengan raja yang
sedang memerintah. Golongan kerabat diraja ini dibenarkan menggunakan
bahasa dalaman, warna kuning dan sebagainya. Semuanya ini merupakan hak
istimewa mereka tetapi hak istimewa yang dimiliki oleh mereka, tidak boleh
melebihi hak istimewa yang dimiliki oleh raja yang sedang memerintah.

Golongan bangsawan, pembesar dan ulama menduduki tempat selepas


golongan kerabat diraja. Golongan ini dikenali sebagai anak baik-baik. mereka
boleh terdiri daripada kerabat diraja dan juga kerabat raja. Taraf mereka adalah
sentiasa kekal. Mereka mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan pembesar
dan rakyat. Mereka juga memainkan peranan yang penting dalam bidang
pemerintahan dan pentadbiran. Bagi mengekalkan identiti mereka, golongan
bangsawan dibenarkan menggunakan bahasa dalaman.

Pembesar pula merupakan orang yang memainkan peranan yang penting dalam
sektor pemerintahan dan pentadbiran kerajaan. Mereka merupakan golongan
yang paling menghampiri raja atau Sultan yang memerintah. Jawatan pembesar
ini biasanya diwarisi secara turun-temurun. Sebagai contoh, Bendahara Melaka
di negeri Melaka diwarisi oleh keluarga Tun Perak secara turun-temurun.

Golongan ulama pula merupakan orang yang menjadi pemimpin agama. Mereka
merupakan orang mahir atau pakar dalam bidang keagamaan, kesenian,
kesusasteraan dan sebagainya. Mereka juga menjadi penasihat atau perujuk
kepada Sultan khasnya dalam soal keagamaan. Biasanya, golongan ulama ini
menjadi penulis atau perawi diraja juga. Mereka dikenali sebagai khatib, mufti
dan kadi dan memakai gelaran yang dianugerahkan oleh Sultan seperti
Maharaja Kadi dan sebagainya.

Golongan diperintah pula terdiri daripada 2 golongan utama manusia. Salah


satunya ialah rakyat. Golongan rakyat ini pula dapat dibahagikan kepada 2
kumpulan iaitu rakyat biasa dan orang asing. Rakyat biasa merupakan rakyat
yang bermastautin secara tetap dalam kerajaan itu. Mereka terlibat dalam aktiviti
perniagaan dan perdagangan. Biasanya, aktiviti perniagaan atau perdagangan
yang dijalankan oleh mereka merupakan milikan para pembesar. Mereka yang
terlibat ini dikenali sebagai orang kiwi. Selain itu, terdapat juga orang yang mahir
dalam sesuatu bidang seperti tukang kayu, tukang jahit dan mereka dikenali
sebagai orang menderhaka. Golongan rakyat biasa ini juga menjadi pengikut
atau penyokong kepada seseorang pembesar yang memegang kawasan mereka
menetap.

Orang asing pula merupakan sebahagian daripada golongan rakyat. Mereka ini
lebih dikenali sebagai orang dagang. Selain itu, penerokawan juga merupakan
orang asing. Biasanya, orang asing datang ke sini untuk menuntut, berniaga dan
sebagainya. Selain itu, terdapat juga mereka yang menjadi tentera upahan di
kerajaan-kerajaan Melayu awal. Orang asing ini dapat dibahagikan kepada 2
golongan, iaitu mereka yang mengunjungi sekali-sekala dan mereka yang
menetap terus di kawasan kerajaan tersebut. Dari golongan yang menetap terus,
ada kalangan mereka telah menukarkan identiti mereka supaya sama dengan
masyarakat tempatan; ada juga dikalangan mereka yang masih mengekalkan
identiti asal mereka. Walaupun begitu, mereka tetap tidak terlepas daripada
hukum adat seperti Hukum Kanun Melaka.

Golongan hamba pula merupakan golongan yang menduduki tempat paling


rendah dalam hierarki organisasi sosial. Golongan hamba ini juga dapat
dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu hamba diraja, hamba berhutang dan
hamba biasa. Hamba diraja ini merupakan orang yang secara sukarela menjadi
hamba bagi raja yang memerintah. Mereka bertanggungjawab melakukan apa-
apa saja yang dititah oleh Sultan. Mereka juga mempunyai status yang lebih
tinggi daripada golongan hamba yang lain.

Hamba berhutang pula terdiri daripada mereka yang tidak mampu membayar
hutang kepada pemiutangnya dalam tempoh masa yang ditetapkan. Mereka ini
disebut sebagai masuk hulan. Mereka ini terpaksa bersama isteri dan anak-
anaknya tinggal dengan si pemiutang dan bekerja sehingga hutangnya dibayar.
Mereka boleh diperjual beli kepada/daripada pembesar-pembesar lain. Walau
bagaimanapun, mereka boleh menjadi rakyat biasa semula apabila ia setelah
selesai berkhidmat kepada si pemiutang dalam tempoh yang dijanjikan.
Hamba biasa pula menjadi hamba seumur hidup kepada pemiliknya secara
turun-temurun. Mereka ini dapat digolongkan kepada 3 jenis iaitu hamba abdi
yang membuat kerja-kerja berat dan kasar, dengan yang merupakan hamba
yang dibeli dan biduanda yang merupakan orang suruhan yang selalunya dimiliki
oleh raja.

Setelah British hadir ke Tanah Melayu, struktur/organisasi sosial telah mengalami


perubahan yang mendadak. Kini, golongan raja tidak lagi berkuasa seperti
dahulu, kuasa mereka telah diambilalih oleh Residen. Sistem perhambaan juga
mengalami kemerosotan dan akhirnya pupus. Akhirnya, satu struktur organisasi
sosial yang lebih unik telah diwujudkan dan hak-hak setiap orang telah diperakui
dan dilindungi.

oleh SP Star

Bincangkan hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat


Melayu pada abad ke-19 dan nyatakan perbezaan di antara Adat
Perpatih dan Adat Temenggung.

Pengenalan
Pada dasarnya undang-undang dibentuk dengan tujuan untuk memelihara
keamanan, keselamatan dan ketertiban masyarakatnya. Walaupun kini undang-
undang Malaysia berdasarkan undang-undang British, namun undang-undang
tradisional telah memainkan peranan tersendiri di kalangan masyarakat Melayu.
Undang-undang tradisional tidak dianggap sebagai undnag-undang bertulis,
namun ia diamalkan dan diterima pakai. Ia dibentuk berdasarkan kepercayaan
serta adat-istiadat dan amalan hidup orang Melayu.

Isi
Hukum adat merupakan satu bentuk amalan dan peraturan yang diwarisi
sejak turun-temurun.
Masyarakat Melayu sangat kuat berpegang kepada hukum adat sehingga
lahirnya pepatah “biar mati anak, jangan mati adat”.
Hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu mempunyai
pengaruh keagamaan yang sangat jelas, misalnya pengaruh Hindu-Buddha
dan pengaruh Islam.
Antara hukum adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu adalah
berdasarkan kepada Adat Perpatih dan Adat Temenggung.
Adat Perpatih merupakan amalan masyarakat Melayu keturunan
Minangkabau.
Adat Temenggung mula dikesan sejak zaman Melaka dan diamalkan oleh
masyarakat Melayu di Negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan.
Adat khusus merupakan amalan yang diamalkan dalam sesuatu majlis
atau upacara tertentu seperti adat melenggang perut, adat bersalin, adat
perkahwinan, adat pertabalan raja dan sebagainya.

Perbezaan Adat Perpatih dengan Adat Temenggung


Adat Perpatih disusun oleh Dato Perpatih Nan Sebatang, sementara Adat
Temenggung disusun oleh Dato Ketemenggungan.
Adat Perpatih diamalkan khusus oleh orang Melayu keturunan
Minangkabau dan boleh dilihat dibeberapa kawasan terutamanya di Negeri
Sembilan dan Naning. Sementara itu, Adat Temenggung diamalkan disemua
negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan dan Naning.
Dalam sistem pemerintahan, Adat Perpatih mementingkan prinsip
demokrasi iaitu kuasa pemerintahan tidak berada di tangan seorang sahaja
dan kerjasama di dalam masyarakat keseluruhannya. Pemerintah tidak
mempunyai kuasa mutlak di mana ketua pelbagai peringkat dipilih dari
peringkat bawah ke atas. Contohnya, anak buah memilih Buapak, Buapak
memilih Lembaga, Lembaga memilih Undang dan Undang memilih Yamtuan
Besar. Sementara itu, Adat Temenggung lebih mengutamakan kedudukan
istimewa dan kebesaran pemerintah. Mengikut Adat Temenggung, raja
adalah pemerintah tertinggi dan berkuasa mutlak atau autokratik. Tempat
baginda akan diwarisi oleh putero sulung atau adik lelaki selepas
kemangkatan baginda. Raja mempunyai kuasa melantik pembesar untuk
membantu mengendalikan tugas baginda.
Dalam sistem kekeluargaan, Adat Perpatih mementingkan pihak sebelah
perempuan. Hal ini dapat dilihat dalam soal pembahagian harta dan jurai
keturunan yang merujuk kepada golongan sebelah perempuan. Perempuan
menjadi ketua keluarga dan harta pusaka akan diturunkan daripada ibu
kepada anak perempuan. Suami dikehendaki tinggal bersama keluarga
isterinya. Perkahwinan sesama suku adalah dilarang. Sementara itu, Adat
Temenggung pula mementingkan pihak sebelah lelaki dalam soal
pembahagian harta, pemegang kuasa dan lain-lain. Gelaran dan pangkat
akan disalurkan daripada ayah kepada anak lelaki. Lelaki menjadi ketua dan
keturunan keluarga. Dalam soal perkahwinan, isteri dikehendaki tinggal
bersama dengan keluarga lelaki. Dalam Adat Temenggung, perkahwinan
dibenarkan selagi tidak melanggar hukum syarak.
Pembahagian harta mengikut Adat Perpatih, harta daripada sesebuah
keluarga akan diwarisi oleh anak perempuan sahaja. Tanah hanya dimiliki
oleh anak perempuan. Harta akan diwarisi oleh ibu kepada anak perempuan.
Harta pusaka turun-temurun adalah milik suku. Sementara itu, dalam Adat
Temenggung, pewarisan harta pusaka lebih kepada mengikut hukum syarak.
Di dalam hukum syarak, harta yang diwarisi oleh anak lelaki lebih banyak
daripada harta yang diwarisi oleh anak perempuan.
Dari segi jenayah, hukuman yang dilaksanakan oleh Adat Perpatih adalah
bersifat timbang rasa dan peri kemanusiaan. Undang-undang jenayah
berunsur pemulihan atau memperbaiki keadaan dan berdasarkan kerjasama
serta jalinan kekeluargaan yang rapat. Adat Perpatih percaya bahawa orang
yang melakukan jenayah boleh memperbaiki perangainya dan pulih menjadi
seorang yang baik. Sementara undang-undang jenayah Adat Temenggung
sangat ketat dan keras serta berpegang kepada prinsip pembalasan.
Undang-undangnya bertujuan untuk menghukum.
Adat Perpatih tidak dipengaruhi oleh unsur pengaruh luar. Sementara itu,
Adat Temenggung mempunyai unsur pengaruh agama Hindu-Buddha dan
kemudiannya agama Islam.

oleh SP Star

Golongan pembesar dikatakan memonopoli segala kuasa politik


dalam kerajaan sebelum campur tangan British di negeri-negeri
Melayu. Bincangkan peranan pembesar dari segi politik, ekonomi
dan sosial.

Pengenalan
Sistem pembesar di negeri-negeri Melayu adalah warisan Kesultanan
Melayu Melaka.
Sistem pembesar empat lipatan Kesultanan Melayu Melaka telah menjadi
model bagi pengurusan dan pentadbiran kerajaan-kerajaan di negeri-negeri
Melayu.
Sehingga pertengahan abad ke-19, para pembesar merupakan aset
terpenting dalam sistem politik di Tanah Melayu.
Setiap orang pembesar mempunyai peranannya dalam politik, ekonomi
dan sosial dalam masyarakat Melayu.

Politik
Peranan utama pembesar ialah dalam bidang politik.
Mereka merupakan golongan yang memonopoli segala kuasa politik dalam
kerajaan.
Ada kalanya, golongan pembesar mempunyai kuasa untuk melantik raja.
Misalnya, empat orang Undang (Undang Jelebu, Undang Sungai Ujong,
Undang Rembau dan Undang Hohol) akan melantik Yang Di-Pertuan Besar
Negeri Sembilan.
Dalam keadaan biasa, pembesar membantu raja dalam menjalankan
pemerintahan dan pentadbiran negeri.
Untuk melaksanakan kuasa yang diamanahkan kepada mereka, para
pembesar ini mempunyai cop mohornya sendiri.
Para pembesar menjadi penasihat atau menjadi ahli Jemaah Penasihat
Sultan.
Misalnya, pada tahun 1800, Sultan Muhammad I (Sultan Kelantan) telah
melantik seramai 7 orang pembesar untuk memudahkan dan melicinkan lagi
jentera pentadbirannya.
Sultan Muhammad II telah melantik 8 orang Jemaah Menteri.
Sultan Abu Bakar (1862-1895) telah melantik Jemaah Menteri untuk
menasihati Sultan (Johor).
Pembesar juga membantu raja mentadbir kawasan-kawasan tertentu di
luar wilayah dipanggil “pegangan” yang merupakan anugerah Sultan kerana
jasa dan perkhidmatan semerlang mereka atau menjadi pentadbir
daerah/jajahan. Misalnya, Dato’ Bahaman menguasai kawasan Semantan
dengan gelaran Orang Kaya Semantan; Tok Gajah mentadbir Pulau Tawar;
Ngah Ibrahim menguasai Larut.
Para pembesar juga memainkan peranan penting dalam menjaga
keamanan dan keselamatan negara. Misalnya, Jemaah Menteri Peperangan
di Kelantan menguruskan hal-ehwal peperangan, ketenteraan, pertahanan
dan keamanan; Lembaga di Negeri Sembilan menjaga keselamatan dan
keamanan.
Sebagai pentadbir kawasan atau daerah/jajahan, para pembesar
memastikan penduduk di bawah jagaannya taat setia kepada pemerintah.
Menyediakan dan membekalkan tenaga ketenteraan untuk
mempertahankan negara dan juga untuk ekspedisi memperluaskan empayar
(jika ada).
Para pembesar ibarat “jambatan” menghubungkan rakyat jelata dengan
pemerintah.

Ekonomi
Para pembesar memainkan peranan penting dalam pengutipan cukai.
Pembesar di pelabuhan (Shah Bandar) mengutip cukai daripada
pedagang-pedagang.
Pembesar daerah/jajahan mengutip cukai daripada rakyat di kawasannya
dengan bantuan Penghulu.
Pembesar menguasai sumber ekonomi seperti lombong bijih timah dan
juga hasil eksport lain.
Menggunakan sistem kerah dan sistem serah untuk dapatkan hasilan.
Hasil pendapatannya lebih lumayan dan ini kadang-kala menyebabkan
mereka lebih kaya daripada Sultan. Contoh: Long Jaafar dan Ngah Ibrahim
yang menguasai Larut.
Pembesar juga melibatkan diri dalam perdagangan.
Mereka menjadi pengeluar modal.
Perniagaan dan perdagangan pembesar diuruskan oleh wakil-wakilnya.
Para pembesar juga memastikan urusan perdagangan dalam negeri
berjalan licin.
Menentukan timbangan dan sukatan yang betul.
Menjaga perairan daripada pencerobohan lanun.
Mengawasi pedagang-pedagang; menjaga hal-ehwal pedagang asing;
mengaturkan tempat perniagaan dan menyediakan gudang untuk
menyimpan barang-barang.

Sosial
Kebajikan anak buahnya adalah tanggungjawab para pembesar.
Memastikan kewujudan keamanan.
Menjadi hakim dalam sesuatu perbicaraan dan meleraikan perselisihan.
Mengetuai kerja-kerja sosial seperti pembinaan surau, masjid, balai raya,
jambatan dan sebagainya.

Kesimpulan
Golongan pembesar memainkan peranan penting sebagai “penggerak”
dalam sistem pemerintahan di negeri-negeri Melayu sebelum campur tangan
British.
Cmapur tangan British dan pengenalan Sistem Residen menjelang tahun
1870-an, menjejaskan kedudukan politik, ekonomi dan sosial pembesar
Melayu.
Perkhidmatan sebahagian para pembesar Melayu, kemudiannya
digunakan oleh British untuk membantu pegawai-pegawai British.

oleh SP Star
Analisakan penentangan pribumi terhadap campur tangan
British di Tanah Melayu.

1. Terdapat 3 ciri yang membezakan penentangan pribumi di Tanah Melayu:


a. Penentangan yang dipimpin oleh golongan atasan atau pembesar;
b. Penentangan yang dipimpin oleh golongan ulama;
c. Penentangan oleh rakyat biasa.
2. Sebab penentangan:
a. Adat – tindakan British campur tangan dalam hal-hal adat/tradisional di
Tanah Melayu.
b. Agama – tindakan berperang dengan penjajah dilihat sebagai jihad
kerana menentang kafir.
c. Peribadi – penentangan untuk kepentingan darjat dan kewibawaan
seseorang pembesar atau raja.
d. Ekonomi – tindakan penjajah kegiatan sosial ekonomi orang Melayu.

Adat
1. Larangan ke atas pembesar Perak untuk memungut cukai bercanggah
dengan nilai-nilai tradisi pembesar yang bebas memungut cukai di mana
cukai telah menjadi sumber pendapatan mereka.
2. J.W.W. Birch cuba menghapuskan amalan perhambaan di Perak – memberi
perlindungan kepada hamba – menghasut hamba melarikan diri dari
tuannya. Dengan ini, melanggar amalan tradisi.
3. Ketidakhadiran Dato’ Kelana dalam upacara pertabalan Tengku Antah
sebagai Yamtuan Besar Seri Menanti; mengakui hak ke atas Terachi dan
melantik seorang penghulu di Terachi.

Agama
1. Unsur agama menjadi asas perjuangan iaitu ajaran yang menegaskan
bahawa sesiapa yang mematuhi peraturan baru yang diperkenalkan oleh
British adalah menyebelahi orang kafir dan segala peraturan yang
diperkenalkan itu adalah undang-undang kafir – ini merupakan ajaran Haji
Musa bin Abdul Ghani di Terengganu.
2. Haji Abdul Rahman Limbong seorang ulama telah memimpin penentangan
di Terengganu. Beliau menegaskan bahawa tanah adalah hal Allah dan pihak
British tidak berhak untuk memungut cukai ke atas tanah tersebut. Rakyat
jelata memberi sokongan padu kepada pemimpin agama kerana seorang
yang alim dalam ilmu agama dianggap sebagai pemimpin masyarakat.

Peribadi/Kewibawaan
1. Desakan-desakan ke atas raja dan pembesar mencabar kewibawaan
mereka, misalnya di Perak. J.W.W. Birch mendesak Sultan Abdullah
menandatangani surat perjanjian pengisytiharaan penyerahan kuasa
pentadbiran. Beliau juga mengugut akan menyerahkan takhta Perak kepada
Raja Ismail sekiranya Raja Abdullah tidak mahu menandatanganinya.
2. Di Pahang, kewibawaan pembesar dicabar oleh British apabila British
memperkenalkan jawatan-jawatan baru untuk mengambilalih tugas
pembesar Melayu, contohnya jajahan Temerloh diletakkan di bawah E.A.
Wise – mencabar kewibawaan Engku Besar Jeram kerana jajahan Temerloh
ialah di bawah kuasanya – penentangan dilakukan oleh Dato’ Bahaman.

Ekonomi
1. Residen-residen British menubuhkan pusat pemungutan cukai yang
diletakkan di bawah kawalan pegawai-pegawai British.
2. Cukai disusun semula seperti cukai-cukai pajak, candu, arak, judi, permit
balak, cukai perahu, cukai senjata, cukai padi dan juga cukai untuk
memotong atap (pungutan hasil hutan).
3. Di Perak, tindakan J.W.W. Birch disedari oleh Sultan dan pembesar bahawa
kehadiran Residen bukanlah sekadar untuk menasihati Sultan tetapi mahu
merampas kuasa pemerintahan mereka. Bila menyedari hakikat ini, Sultan
Abdullah kembali berbaik-baik dengan Raja Ismail dan Dato’ Maharaja Lela
membina kubu pertahanan di Pasir Salak untuk menghadapi sebarang
kemungkinan percubaan Britisk memperkenalkan peraturan-peraturan baru
di sana.
4. Perang Naning (1831-1832) adalah satu lagi bukti penentangan masyarakat
tempatan – diketuai oleh Dol Said (Penghulu Naning). Sebabnya: dilihat
mempunyai perkaitan dengan pengenalan dasar British terutamanya dari
sudut pembayaran cukai – mendesak Naning menghantar 1/10 hasil padi ke
Melaka setiap tahun. Tindakan ini membebankan penduduk Naning. Naning
sebenarnya bukan berada di bawah Melaka tetapi sebuah negeri yang
merdeka. Maka, cukai yang dituntut oleh British adalah satu paksaan –
wujudkan ketidakpuasan hati dan mencetuskan peperangan.

oleh SP Star
Bincangkan kesan-kesan campur tangan British di Tanah Melayu
menjelang tahun 1870-an.

Sebelum tahun 1874, British mengamalkan polisi tidak campur tangan di Negeri-
negeri Melayu. Pegawai British juga diarahkan supaya hanya menumpukan
perhatian di Negeri-negeri Selat. Tujuannya adalah untuk mengelakkan
permusuhan dengan Siam kerana Negeri-negeri Melayu, khasnya Negeri-negeri
Melayu Utara diakui sebagai negeri naungan Siam. Selain itu, penglibatan
mereka dalam Perang Naning (1831-1832) yang menyebabkan mereka
mengalami kerugian $100 ribu juga menyedarkan mereka supaya tidak campur
tangan. Tetapi selepas tahun 1874, akibat beberapa faktor seperti faktor
ekonomi, kebimbangan terhadap kuasa asing yang lain, keselamatan Negeri-
negeri Selat, faktor kemanusiaan, perubahan pegawai dan tindakan Sir Andrew
Clarke telah menyebabkan campur tangan British. Campur tangan British ini
telah meninggalkan banyak kesan di Tanah Melayu, Borneo sama ada dari segi
ekonomi, politik, pendidikan dan sebagainya.

Kesan utama campur tangan British di Tanah Melayu ialah kewujudan


msayarakat majmuk atau masyarakat berbilang kaum. Apabila British datang ke
Tanah Melayu, tujuan utama mereka adalah memperolehi sumber bahan mentah
seperti bijih timah bagi perusahaan mereka di Eropah. Akibat Revolusi
Perindustrian yang berlaku di Eropah, permintaan terhadap bijih timah semakin
meningkat sehingga akhirnya pengeluaran tidak dapat menampung permintaan.
Kelebihan permintaan timah mendorong British menggalakkan para pengeluar
untuk mengeluarkan lebih banyak bijih timah kerana perdagangan bijih timah ini
amat menguntungkan. Tetapi masalah telah ditemui apabila para pelombong
Melayu enggan bekerjasama dengan pihak British. British dengan initiatifnya
telah membawa orang Cina dari China untuk bekerja di tapak perlombongan
untuk mengatasi masalah kekurangan buruh di samping meningkatkan
pengeluaran. Selain perusahaan bijih timah, perusahaan getah juga menjadi
semakin giat pada abad ke-19. Ladang telah dibuka secara besar-besaran dan
permintaan terhadap tenaga buruh untuk bekerja di ladang getah juga semakin
meningkat. Orang Melayu di Tanah Melayu enggan bekerjasama dengan British
dalam hal ini menyebabkan British terpaksa membawa masuk orang India ke
Tanah Melayu untuk mengusahakan ladang getah. Orang Cina dan orang India
yang datang membawa masuk bahasa, agama dan budaya mereka yang
tersendiri. Mereka melibatkan diri dalam perusahaan yang berbeza. Keadaan ini
menyebabkan mereka tidak bergaul kecuali di pasar untuk membeli-belah.

Campur tangan British di Tanah Melayu juga menyebabkan masyarakat


tempatan menentang kedatangan mereka terutamanya apabila tindakan mereka
yang telah mengancam kepentingan mereka. Di Sungai Ujong, tindakan British
yang melantik Dato’ Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong ditentang kuat
oleh Dato’ Syahbandar. Sebagai balasan, Dato’ Syahbandar melancarkan
serangan terhadap Dato’ Kelana. Tetapi, atas bantuan British, Dato’ Syahbandar
dikalahkan oleh Dato’ Kelana dan terpaksa berundur ke Selangor. Dato’
Syahbandar dipaksa mengaku salah kemudian, pihak British menetapkannya di
Singapura. Di Seri Menanti, Tengku Antah membantah perlantikan Kapten
Tatham sebagai penolong Residen di Sungai Ujong. Dato’ Kelana di Sungan
Ujong pula tidak mengiktiraf perlantikan Tengku Antah sebagai Yamtuan Besar
Seri Menanti. Perselisihan menjadi hebat apabila Dato’ Kelana menuntut
kawasan Terachi. Pertempuran di antara mereka telah berlaku dan Tengku Antah
telah dikalahkan oleh Dato’ Kelana yang dibantu oleh pihak British. Tengku Antah
terpaksa berundur ke Bukit Putus tetapi kawasan ini akhirnya juga ditawan oleh
British. Atas usaha Maharaja Abu Bakar di Johor, pada bulan Disember 1876,
perundingan telah diadakan di antara British dengan Tengku Antah dan satu
perjanjian damai telah ditandatangani bagi menyelesaikan masalah ini.

Di Perak pula, tindakan J.W.W. Birch telah menyebabkan masyarakat Melayu di


Perak tidak senang hati. Pembaharuan Birch telah bercanggah dengan amalan
tradisi Melayu seperti pembasmian hamba adbi dan pembatalan hak pajakan.
Keadaan ini telah menyebabkan hubungan Birch dan Sultan Abdullah menjadi
tegang. Tambahan pula, tindakan Sir William Jervols seterusnya menyebabkan
keadaan menjadi semakin teruk. Maka, Sultan Abdullah telah mengadakan
persidangan dengan pembesarnya di Durian Sebatang dan mengamanahkan
Dato’ Maharaja Lela untuk membunuh Birch. Pada 2 November 1875, Birch
ditikam oleh orang suruhan Dato’ Maharaja Lela di Sungai Pasir Salak. Peristiwa
ini menggempakan British. British dengan segera mendapat bantuan dari India
dan Hong Kong dan menawan Pasir Salak, Kota Lama dan kawasan di sekitar.
Dato’ Maharaja Lela dan Pandak Induk serta Dato’ Sagor dihukum mati dan yang
lain do buang negeri ke Pulau Seychelles termasuk Sultan Abdullah. Raja Ismail
diarahkan pergi ke Johor dan Raja Yusof dilantik sebagai Sultan.

Di Pahang, campur tangan British tidak disenangi oleh pembesar-pembesar


seperti Dato’ Bahaman dan Tok Gajah. Apabila J.P. Rodger dilantik sebagai
Residen di Pahang, beliau mengambil langkah terburu-buru untuk
memperkenalkan peraturan baru yang bercanggah dengan sistem tradisional
Pahang. Tindakan ini menyebabkan Dato’ Bahaman melancarkan tentangan
terhadap pentadbiran baru yang diwujudkan. Beliau melancarkan beberapa
serangan dengan bantuan Mat Kilau dan pengikut-pengikutnya. Tetapi British
telah berjaya mematahkan serangan ini, malah Dato’ Bahaman dan Mat Kilau
terpaksa berundur ke Terengganu. Walaupun serangan balas dilakukan tetapi
akhirnya semua menemui kegagalan sehinggalah Dato’ Bahaman terpaks
berundur ke Siam dan menetap di situ.

Di Kelantan, peraturan baru yang diperkenalkan oleh W.A. Graham menimbulkan


rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Kelantan. Tambahan pula, tindakan
British yang menggunakan pegawai-pegawai Melayu dari luar negeri Kelantan
untuk melaksanakan peraturan-peraturan tersebut juga tidak disukai oleh
pembesar di Kelantan. Tindakan British ini telah mencetuskan kebangkitan di
daerah Pasir Putih, Kelantan pada tahun 1915. Kebangkitan ini adalah dibawah
pimpinan Tok Janggut dan berjaya buat sementara mengundurkan kakitangan
kerajaan yang bertugas di Kota Bharu. Namun, kebangkitan ini telah gagal
mempertahankan kejayaannya. Pasukan British balas dengan cepat dan berjaya
mematahkan kebangkitan dan Tok Janggut sendiri terkorban dalam
pertempuran.

Dari segi pentadbiran, campur tangan British telah membuat penyesuaian baru
dalam sistem pemerintahan tradisional. Satu sistem yang dipanggil sebagai
Sistem Residen telah diperkenalkan di negeri Perak, Negeri Sembilan, Selangor
dan Pahang. Sistem ini adalah berdasarkan konsep pemerintahan secara tidak
langsung di mana Kerajaan British memerintah tanpa sebarang tanggungjawab
yang berat. Menurut sistem ini, Sultan dan pembesar Melayu dapat mengekalkan
kedudukannya. Seorang Residen British dilantik untuk menasihati Sultan dalam
semua perkara kecuali adat istiadat Melayu dan agama Islam. Di bawah sistem
ini, Sultan tidak lagi berkuasa penuh dalam pentadbiran dan terpaksa menerima
nasihat Residen. Sistem ini telah ditamatkan pada tahun 1895 dan digantikan
dengan sistem pentadbiran berasaskan persekutuan.

Dari segi ekonomi, ekonomi yang bercorak pertanian sara diri telah berubah
menjadi ekonomi komersil atau ekonomi perdagangan. Perkembangan yang
dapat dilihat adalah dalam sektor pertanian niaga dan perlombongan. Dalam
sektor perlombongan, perusahaan bijih timah menjadi semakin maju. Ramai
orang Cina telah dibawa masuk ke daerah Lukut, Ampang, Klang dan Kuala
Lumpur untuk mengusahakan kawasan lombong bijih timah. Kedatangan orang
Cina telah membekalkan tenaga buruh yang mencukupi. Seterusnya, pelbagai
cara baru juga diperkenalkan untuk melombong dengan lebih berkesan.
Antaranya ialah lombong dedah dan cara pam. Penggunaan teknik baru ini telah
menyebabkan hasil lombong bijih timah meningkat berlipat ganda. Dalam sektor
pertanian juga, getah telah diperkenalkan. Penanaman getah adalah hasil usaha
Sir Henry Wickham. Pada tahun 1876, beliau pergi ke Brazil untuk mendapatkan
benih getah dan menanamnya di Taman Kew di London. Pada tahun 1877, 22
anak pokok dihantar ke Singapura. Beberapa daripadanya ditanam di Taman
Bunga Singapura dan yang lain dihantar ke Kuala Kangsar. Pada mulanya,
sambutannya tidak begitu baik dan hanya dijalankan oleh pengusaha Inggeris.
Peladang-peladang tempatan lebih suka menanam kopi yang mempunyai harga
tinggi di pasaran dunia. Namun demikian, penanaman getah telah berkembang
dengan pesat pada awal abad ke-20 kerana permintaan tinggi bagi getah dalam
pasaran dunia.

Dari segi pendidikan, dasar pendidikan British mewujudkan 5 jenis sistem


persekolahan yang berasingan antara satu sama lain telah menyebabkan
sekolah-sekolah tersebut terpisah. Setiap sekolah khusus untuk sesuatu kaum
tertentu sahaja seperti sekolah Melayu untuk orang Melayu, sekolah Cina untuk
orang Cina dan sebagainya. Selain itu, bahasa pengantar yang digunakan juga
berbeza. Kurikulum yang digunakan oleh setiap sekolah turut mengikut sukatan
pelajaran di sekolah-sekolah negara asal. Perbezaan yang ketara ini wujud
kerana penjajah British telah mengabaikan pengawalan dan perancangan
pendidikan di negara kita. Malah, penjajah British juga tidak berminat untuk
membangunkan rakyat melalui pendidikan.

Selepas tahun 1870-an, campur tangan British semakin meluas dan


pengaruhnya semakin kukuh di Tanah Melayu. Selepas semua penentangan
masyarakat tempatan dipatahkan, British pun dapat memerintah dan mentadbir
Negeri-negeri Melayu dengan lancar. Pelbagai pembaharuan telah dilakukan
dalam pelbagai aspek sehinggalah akhirnya terbentuk Persekutuan Tanah
Melayu pada tahun 1948.

oleh SP Star

Bincangkan kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu


mulai pertengahan abad ke-19.

Abad ke-19 adalah titik tolak penting dalam sejarah Tanah Melayu. Tanah Melayu
bukan sahaja mengalami perubahan politik tetapi juga perubahan sosial dan
ekonomi. Perubahan politik telah membawa kepada perubahan sosial.
Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah membawa kepada
kedatangan orang Cina dan India ke Tanah Melayu. Selain orang Cina dan India,
terdapat satu lagi kumpulan imigran di Tanah Melayu iaitu orang Indonesia.
Kedatangan imigran ini seterusnya bersama orang Melayu tempatan membentuk
masyarakat yang berbilang kaum.

Sebelum pemerintahan Inggeris, orang Indonesia telah berhijrah ke Tanah


Melayu. Mereka terdiri daripada orang Bugis, orang Jawa dan orang
Minangkabau. Pada penghujung abad ke-19, penghijrahan masuk orang
Indonesia ke Tanah Melayu semakin meningkat. Kesemuanya ini disebabkan
masalah politik, ekonomi dan sosial yang berlaku di Indonesia. Dari segi sosial,
penduduk Indonesia terutama dari Pulau Jawa dan Sumatera telah bertambah
dengan pesat menyebabkan kemiskinan, kebuluran dan kemerosotan taraf hidup
rakyat Indonesia. Sementara itu, tekanan politik oleh pihak penjajah iaitu
Belanda telah mendorong kemasukan orang-orang Indonesia ke Tanah Melayu.
Sebagai contoh, Sistem Kultur (1830-1870) yang dikenakan terhadap orang
Jawa menyebabkan rasa kurang senang hati orang Jawa menyebabkan mereka
berhijrah ke Tanah Melayu. Dari segi ekonomi, pelbagai cukai seperti cukai
tanah, cukai kepala dan cukai tol telah menambahkan lagi kesenangan hidup.

Bagi orang Cina, sebenarnya mereka telah pun datang ke Tanah Melayu sejak
abad ke-15. Mereka datang ke Tanah Melayu adalah untuk berdagang.
Menjelang awal abad ke-19, penghijrahan orang Cina semakin bertambah.
Penghijrahan orang Cina ini adalah disebabkan oleh 2 faktor iaitu faktor penolak
dan faktor penarik.
Keadaan politik dan sosial di negeri China merupakan faktor penolak. Keadaan
politk di China yang tidak stabil menggalakkan kedatangan orang Cina ke Tanah
Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China sejak tahun 1644 mengamalkan
sikap diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang
tidak berpuas hati sering melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan
Kerajaan Manchu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebih tegas dan kejam untuk
memadamkan perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontak. Oleh itu, ramai
orang Cina terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman
Kerajaan Manchu. Mereka mula berhijrah ke seberang laut seperti Korea, Jepun
dan negara-negara di Asia Tenggara seperti Tanah Melayu, Filipina, Indonesia
dan lain-lain.

Selain faktor penolak, faktor penarik juga menyebabkan penghijrahan orang Cina
ke Tanah Melayu. Faktor penarik ini telah berlaku di Tanah Melayu. Dari segi
ekonomi, peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong
kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh bagi
menjayakan perusahaan bijih timah di Tanah Melayu adalah salah satu faktor
disamping peluang-peluang perniagaan yang banyak di kawasan bandar dan
kawasan perlombongan. Peluang untuk menjalankan pertanian seperti di bawah
Sistem Kangchu (Johor) juga menggalakkan lagi penghijrahan orang Cina ke
Tanah Melayu. Di bawah Sistem Kangchu, orang Cina diberi tanah untuk
mengerjakan pertanian terutamanya lada hitam.

Dari segi politik, hasil daripada pemerintahan British yang liberal telah
mewujudkan keadaan politik yang stabil. British juga menggalakkan kedatangan
orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang
dan sebagainya. Pembesar-pembesar tempatan pula menggalakkan kemasukan
buruh Cina untuk mengerjakan perusahaan bijih timah.

Orang India pula mulai datang ke Tanah Melayu sejak abad yang pertama.
Mereka menamai Tanah Melayu sebagai “Suvarnabumi” atau “Tanah Emas”.
Namun begitu, mereka hanya berhijrah secara beramai-ramai ke Tanah Melayu
pada penghujung abad ke-19 akibat perkembangan perusahaan getah di Tanah
Melayu. Faktor yang menggalakkan penghijrahan orang India juga terdiri
daripada faktor penolak dan faktor penarik.

Perkembangan perusahaan getah dan galakan daripada Kerajaan British


merupakan faktor penarik yang menarik orang India datang ke Tanah Melayu.
Peluang ekonomi di Tanah Melayu terutamanya dalam perusahaan getah telah
menggalakkan kedatangan orang India ke Tanah Melayu. Peluang ekonomi yang
wujud dalam sektor ini adalah disebabkan oleh keengganan orang Melayu untuk
bekerja di ladang getah. Selain itu, dua buah perkhidmatan awam yang paling
banyak menggunakan tenaga buruh India ialah Jabatan Keretapi dan Jabatan
Kerja Raya juga menarik kehadiran orang India ke Tanah Melayu. Seterusnya,
peluang pekerjaan bagi golongan menengah di Tanah Melayu turut dipenuhi oleh
orang India. Pada tahun 1920-an, kestabilan politik di Tanah Melayu telah
mendorong kedatangan orang India. Di samping itu, adanya koordinasi di antara
Kerajaan British di Tanah Melayu dengan Kerajaan British di India telah
memudahkan lagi kemasukan India ke Tanah Melayu. Kejayaan orang India
yang lebih awal datang ke Tanah Melayu juga telah mendorong kepada
kemsukan lebih ramai orang India.

Setelah meninjau sebab kedatangan imigran orang Indonesia, orang Cina dan
orang India dalam pembentukan masyarakat majmuk, biarlah kita meneliti cara
atau sistem kemasukan mereka.

Bagi orang Indonesia, tidak ada satu sistem yang tertentu yang dilalui untuk
datang ke Tanah Melayu. Mereka datang ke sini dengan berusaha sendiri.

Bagi orang Cina, terdapat 3 cara mereka datang ke Tanah Melayu, iaitu melalui
sistem tiket kredit, melalui cara bersendirian dan melalui Sistem Kangchu. Bagi
orang yang datang dengan cara sistem tiket kredit, mereka terikat dengan
perjanjian untuk bekerja bagi suatu tempoh masa sehingga hutang mereka
dijelaskan. Sementara itu, orang yang datang melalui cara persendirian adalah
dibantu oleh rakan atau ahli keluarga ataupun dengan perbelanjaan sendiri.
Melalui Sistem Kangchu pula, orang Cina berpindah dan menetap kekal di Johor
dam membuka ladang-ladang lada hitam, gambir, kopi, teh dan sebagainya.

Bagi orang India, imigrasi mereka dijalankan melalui sistem buruh kontrak (1820-
1910) dan Sistem Kangani (1898-1938). Melalui sistem buruh kontrak, pemilik
ladang akan membuat pesanan bagi buruh melalui seorang ejen di India. Ejen ini
akan pergi ke kampung-kampung untuk mengumpulkan buruh India. Tambang
pelayaran mereka dibiayai oleh majikan yang membuat pesanan. Setelah
sampai di Tanah Melayu, mereka akan menandatangani kontrak untuk bekerja
selama 5 tahun dengan gaji yang ditetapkan. Pekerja-pekerja ini biasanya
dilayan dengan buruk. Melalui Sistem Kangani, majikan yang ingin mendapat
buruh dari India akan menghantar seorang Kangani dari ladangnya ke India
untuk mendapatkan buruh dari kampung halaman Kangani itu. Kangani itu akan
dibayar mengikut bilangan pekerja yang diambil dan dia sendiri pula dikehendaki
membayar tambang dan perbelanjaan lain bagi buruh-buruh itu sehingga
ketibaan mereka di ladang. Biasanya pekerja dilayan dengan baik.

Kedatangan imigran ini bukan sahaja mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah


Melayu, namun mereka juga memberikan banyak sumbangan terhadap pelbagai
sektor terutamanya sektor ekonomi di Tanah Melayu.

Orang Indonesia telah menyumbangkan tenaga dalam perusahaan getah dan


bijih timah di samping dalam pertanian seperti padi, kelapa, dusun buah-buahan
dan sebagainya. Kecenderungan dalam mengusahakan pertanian yang sama
dengan tempat asal mereka adalah pendorong kepada kedatangan mereka ke
Tanah Melayu.
Kedatangan orang Cina pula menggalakkan perkembangan perusahaan bijih
timah di Tanah Melayu terutamanya di kawasan Larut, Kinta, Lembah Klang dan
Sungai Ujong. Buktinya, eksport bijih timah Tanah Melayu telah meningkat
secara berterusan dari tahun 1850 dengan jumlah eksport 6500 tan kepada 77
ribu tan pada tahun 1937. Dari segi perniagaan pula, banyak kedai di buka oleh
orang Cina terutamanya di bandar yang terletak di kawasan perlombongan.
Kegiatan penanaman lada hitam juga berkembang hasil daripada Sistem
Kangchu.

Kemasukan orang India telah menyebabkan pembukaan lebih banyak kawasan


ladang getah. Buktinya, pada tahun 1897, hanya terdapat 345 ekar ladang getah
di Tanah Melayu tetapi pada tahun 1940, angka ini telah meningkat menjadi 3.5
juta ekar. Di samping itu, dalam bidang professional, orang India telah
menyumbangkan tenaga mereka dengan menjadi guru, doctor, kerana dan
sebagainya.

Imigran Cina, dan Indonesia yang masih tinggal membentuk satu masyarakat
majmuk. Kaum-kaum ini berpisah bukan sahaja dari segi bangsa tetapi juga
bahasa, agama, kepercayaan, tempat kediaman dan sebagainya. Walau
bagaimanapun, mereka masih dapat hidup dengan aman damai dan keadaan ini
telah menggalakkan perkembangan ekonomi di Tanah Melayu.

oleh SP Star

Bincangkan tindak balas pribumi terhadap campur tangan


British di Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Sebelum tahun 1874, British mengamalkan polisi tidak campur tangan di Negeri-
negeri Melayu. Pegawai-pegawai British diarahkan supaya hanya menumpukan
perhatian di Negeri-negeri Selat. Tujuannya ialah untuk mengelakkan
permusuhan dengan Siam kerana Negeri-negeri Melayu khususnya Negeri-
negeri Melayu Utara yang diakui sebagai negeri-negeri naungan Siam. Tetapi
selepas tahun 1874, British mula mengubah polisinya terhadap Negeri-negeri
Melayu dari dasar tidak campur tangan kepada dasar campur tangan. Pada
mula-mulanya, British campur tangan di Perak, Selangor, Sungai Ujong dan
Pahang. Seterusnya, campur tangan mereka merebak ke negeri Kelantan dan
Terengganu selepas Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani. Campur tangan
mereka di negeri-negeri tersebut telah membawa kepada perubahan pelbagai
aspek dalam negeri tersebut. Keadaan ini telah menjejaskan kepentingan
penduduk pribumi dan akhirnya mereka bangun bertindak untuk menentang
pemerintahan British.

Di Pahang, perlantikan J.P. Rodger sebagai Residen Inggeris pertama amat tidak
disenangi oleh pembesar-pembesar terutamanya Dato’ Bahaman dan Tok Gajah.
Mereka ini pernah membantu Wan Ahmad dalam Perang Saudara (1857-1863)
untuk merebut takhta kerajaan daripada abangnya, Wan Mutahir. Sebagai
balasan, pmbesar-pembesar itu dianugerahi gelaran oleh Sultan Ahmad. Dato’
Bahaman dilantik sebagai Orang Kaya Semantan, Tok Gajah dilantik sebagai
Orang Besar Raja. Apabila J.P. Rodger dilantik sebagai Residen Pahang pada
bulan Oktober 1888, beliau mengambil langkah terburu-buru untuk
memperkenalkan peraturan baru yang bercanggah dengan sistem tradisional
Pahang. Keadaan inilah yang menjadi punca kepada tercetusnya peristiwa
penentangan yang dipimpin oleh Daro’ Bahaman dan dibantu oleh Tok Gajah
dan anaknya Mat Kilau.

Pada bulan Disember 1891, orang Melayu Pahang di bawah pimpinan Dato’
Bahaman melancarkan tentangan terhadap pentadbiran baru yang diwujudkan
oleh Inggeris. Beliau mendapat sokongan daripada Tok Gajah dan anaknya Mat
Kilau. Dato’ Bahaman melancarkan serangan ke atas rombongan C.E.B.
Desborough yang menawan dan enggan menyerahkan tiga orang pengikut Dato’
Bahaman yang dituduh mengutip cukai secara haram. Dato’ Bahaman dan
pengikut-pengikutnya datang ke Bentong berjumpa dengan Penghulu di situ
untuk melancarkan serangan ke atas balai polis di Bentong. Pada awal tahun
1892, Sultan Ahmad dan pembesar-pembesar Pahang mengadakan perjumpaan
sulit di Pulau Tawar. Sultan Ahmad berjanji akan mengekalkan kedudukan tradisi
pembesar. Sementara itu, para pembesar akan merujuk kepada Sultan terlebih
dahulu sebelum menghubungi Residen Inggeris. Pada bulan Mac 1892, Dato’
Bahaman melancarkan serangan ke atas Lubuk Trua dan berjaya menawan
bandar Temerloh. Pasukan Inggeris di bawah pimpinan Hugh Low dan E.A. Wise
bersama angkatan Tengku Ali membuat serangan balas ke atas Dato’ Bahaman
di Temerloh dan pertahanannya dimusnahkan. Beliau dan pengikut-pengikutnya
sempat mengundurkan diri ke dalam hutan. Pada bulan April 1892, Panglima
Muda Jempul menyerang Pekan. Beliau telah membunuh dua orang pegawai
Inggeris iaitu Harris dan Steward. Pada 8 Mei 1892, berlaku pertempuran di Batu
Hampar. Dato’ Bahaman dikalahkan dan anaknya Awang Hamat terbunuh
sementara Mat Lela pula cedera. Seterusnya, pengikut-pengikut Mat Kilau
melancarkan serangan terhadap Inggeris dan menyebabkan beberapa orang
Cina dan polis Sikh terbunuh pada awal bulan Mei 1892. Apabila Inggeris
membuat serangan bebas, Dato’ Bahaman, Mat Kilau dan pengikut-pengikutnya
berundur ke Kuala Ceka tetapi mereka diserang di situ oleh tentera Inggeris.
Akibatnya, Dato’ Bahaman dan pengikut-pengikutnya terpaksa berundur ke
Terengganu. Pada bulan Ogos 1892, Tok Gajah dan keluarganya berundur ke
Kuala Tembeling dan bergabung dengan gerakan menentang Inggeris. Akhirnya,
menjelang bulan September 1892, para pejuang Pahang mengundurkan diri ke
Kelantan dan Terengganu. Inggeris memujuk Dato’ Bahaman dan Tok Gajah
supaya menyerahkan diri dan dijaminkan pengampunan. Namun demikian,
mereka enggan menyerah diri.

Ketika bersembunyi di Terengganu, para pejuang Pahang mendapat perangsang


dari seorang ulama bernama Tokku Paloh. Tokku Paloh menanam semangat
perang jihad dan menghadiahkan sebilah pedang bertulis ayat al-Quran. Pada
bulan Jun 1894, Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau serta pengikut-
pengikutnya melancarkan serangan ke atas balai polis di Kuala Tembeling. Lima
orang polis terbunuh. Kemudian mereka menyerang dan menawan Kubu Jeram
Ampai untuk mempertahankan kedudukan mereka. Pasukan Inggeris dengan
bantuan orang Pahang telah melancarkan tindak balas. Pertempuran berlaku di
Jeram Ampai dan pihak Inggeris menawan kubu itu. Para pejuang Pahang sekali
lagi terpaksa mengundurkan diri ke Kelantan dan Terengganu. Hugh Clifford
mengetuai sepasukan askar untuk memberkas mereka tetapi tidak berjaya
kerana Sultan Kelantan dan Sultan Terengganu tidak memberi kerjasama yang
diharapkan. Pada bulan November 1895, beberapa orang pembesar termasuk
Dato’ Bahaman berundur ke Siam dan menetap di situ. Pembesar-pembesar lain
seperti Tok Gajah dan Mat Kilau diwartakan meninggal dunia. Keseluruhannya
perjuangan orang Melayu Pahang pada tahun 1891 hingga tahun 1895
mengalami kegagalan.

Di Kelantan pula, kebangkitan menentang British bermuka sejak termeterainya


Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902. Menurutnya, seorang Inggeris bernama
William Amstrong Graham dilantik sebagai penasihat dan Pesuruhjaya Siam di
Kelantan pada bulan Julai 1903. Beliau telah memperkenalkan pelbagai
peraturan baru dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat
Kelantan. Kebangkitan ini semakin hebat apabila Perjanjian Bangkok 1909
ditandatangani antara British dengan Siam. Penglibatan British dalam
pentadbiran Kelantan menimbulkan rasa tidak puas hati sehingga tercetusnya
kebangkitan di daerah Pasir Putih pada tahun 1915 yang diketuai oleh Haji Mat
Hassan bin Munas (Tok Janggut).
Tok Janggut yang mendapat sokongan daripada Engku Besar Jeram Tun Ahmad
dan disokonh oleh Haji Said, Che Ishak, Penghulu Adam, Tok Husin, Tok Abas,
Tok Laboh dan Tok Deraman telah menjalankan kempen mempengaruhi
penduduk Pasir Putih menentang peraturan baru serta menentang Inggeris. Pad
28 April 1915, Encik Abdul Latiff, Pegawai Daerah Jajahan Pasir Putih mendapat
berita yang Tok Janggut dan pengikutnya bermesyuarat di Kampung Jeram.
Pada 29 April 1915, beliau menghantar Sarjan Che Wan dan beberapa orang
anggota polis untuk menangkap Tok Janggut atas tuduhan tidak membayar
cukai. Dalam pertengkaran yang berlaku, Sarjan Che Wan ditikam oleh Tok
Janggut dan anggota polis yang lain dapat menyelamatkan diri dan membuat
laporan kepada Encik Latiff. Peristiwa pembunuhan itu mencetuskan
penentangan bersenjata rakyat Kelantan terhadap Inggeris di Jeram. Encik Latiff
cuba mengambil tindak balas dengan menghantar 7 orang polis untuk
menangkap Tok Janggut. Apabila pasukan polis tiba di Kampung Kelubi, mereka
diberitahu bahawa Tok Janggut dan pengikutnya sedang mara hendak
menyerang Pasir Putih. Dengan itu, Encik Abdul Latiff bersama kakitangannya
berundur ke Kota Bharu dengan bot melalui Kuala Semerak. Tok Janggut, Engku
Besar Jeram, Penghulu Adam dan Che Ishak Merbol melancarkan serangan tiga
penjuru ke atas Pasir Putih kira-kira pukul 4 petang pada 29 April 1915 dan
mendudukinya selama 3 hari. Mereka membakar pejabat-pejabat kerajaan,
menawan balai polis dan membebaskan orang tahanan. Mereka kemudian
menubuhkan kerajaan sementara di Pasir Putih. Engku Besar Jeram sebagai
Raja Jeram dna Tok Janggut sebagai Perdana Menteri. Penasihat Inggeris, W.
Longham Carter menerima berita ke atas serangan Pasir Putih pada 30 April
1915. Beliau menasihati Sultan Muhammad IV supaya menguatkan pertahanan
Kota Bharu. Penasihat Inggeris meminta bantuan dari Singapura. Pada 5 Mei
1915, bantuan dari Singapura tiba di Tumpat dengan Kapal H.M.S. Cadmus yang
terdiri daripada 239 orang di bawah pimpinan Kolonel C.W. Brownlow. Pada 9
Mei 1915, pasukan Inggeris tiba di Pasir Putih tetapi gagal menangkap pemimpin
yang terlibat. Kebanyakan pemimpin telah melarikan diri ke dalam hutan dan
juga ke Besut. Hadiah $500 ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya
menangkap Tok Janggut atau Engku Besar. Penghulu Adam telah menyerah diri.
Rumah Tok Janggut, Che Ishak Merbol dan Haji Said dibakar. Pada 23 Mei 1915,
Tok Janggut sekali lagi melancarkan serangan ke atas Pasir Putih. Hal ini
memaksa Major Borton bersama 50 orang polis Sikh dan 7 orang Eropah datang
ke Jeram pada 24 Mei 1915 untuk menjejaki kedudukan Tok Janggut dan
pengikutnya. Tok Janggut dan pengikutnya yang berkubu di Kampung Dalam
Pupuh akhirnya bertempur dengan pasukan Inggeris. Dalam pertempuran ini,
Engku Besar Jeram Tun Ahmad telah mengalami kecederaan dan diselamatkan
oleh Awang Deraman ke Reman, Negeri Thai. Mayat Tok Janggut di bawa ke
Kota Bhasa. Setelah diarak, mayat beliau digantungkan dengan kepala di bawah
di Padang Bank atau Padang Merdeka, Kota Bharu selama satu jam sebelum
dimakamkan di Pasir Putih. Kebangkitan ini berjaya buat sementara sahaja dan
mengalami kegagalan pada akhirnya disebabkan tindak balas British yang cepat
dan handal.
Usaha British meluaskan kuasa di Terengganu turut menyebabkan kebangkitan
rakyat menentang British antara tahun 1922 hingga 1928. Punca kebangkitan ini
juga disebabkan oleh tindakan British yang memperkenalkan peraturan yang
mencabul kepentingan penduduk pribumi Terengganu dan peraturan yang
bercanggah dengan agama Islam.

Penentangan terhadap British yang pertama berlaku pada tahun 1922 di Hulu
Telemong. Penentangan bermula apabila 43 orang rakyat ditangkap dan
dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membersihkan tanah dan bercucuk
tanam tanpa mendapatkan pas kebenaran daripada Kerajaan Inggeris. Mereka
dibela oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berjaya membebaskan mereka
dari tuduhan dengan menitikberatkan undang-undang Islam.

Pada tahun 1925, satu lagi kebangkitan menentang campur tangan British
berlaku di Kuala Telemong. Kebangkitan ini disebabkan oleh beberapa orang
yang telah membersihkan tanah kepunyaan Tengku Haji Nik dan tanah kerajaan
yang terbiar untuk bercucuk tanam tanpa meminta pas kebenaran. Kebangkitan
ini telah mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat Terengganu. Walau
bagaimanapun, tidak berlaku sebarang kejadian buruk dalam kebangkitan
tersebut.

Peristiwa kebangkitan rakyat Terengganu di Hulu Telemong dan Kuala Telemong


menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap British. Semangat kebangkitan
rakyat Terengganu sampai ke kemuncaknya pada tahun 1928 di Kuala Berang.
Penduduk Kuala Berang, Kampung Pelam, Tersat dan Dungun telah membuka
tanah untuk bercucuk tanam tanpa mengambil pasa kebenaran daripada pihak
Inggeris. British mengancam hendak mengambil tindakan ke atas penduduk
yang terlibat. Berikutan dengan ancaman itu, penduduk dari kawasan-kawasan
tersebut telah berhimpun beramai-ramai untuk bangkit menentang British. Pada
23 Mei 1928, penduduk yang berhimpun di Kuala Berang telah menguasai
pejabat kerajaan dan memusnahkan balai polis di situ. Pegawai-pegawai
Inggeris di Kuala Berang telah berundur ke Kuala Terengganu. Setelah
kemenangan awal itu, pejuang-pejuang itu telah menuju ke arah Kuala
Terengganu untuk mengadu masalah mereka kepada Sultan Sulaiman. Pada
masa itu, Kerajaan Inggeris telah menghantar sepasukan polis di bawah
pimpinan Datuk Seri Lela Diraja dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang untuk
mengawal keadaan. Pasukan polis telah bertempur dengan rakyat yang sedang
mara di Padang Kachong. Di situ, Datuk Seri Lela Diraja telah memberi amaran
kepada rakyat supaya berhenti dan tidak meneruskan pergerakan. Walau
bagaimanapun, kebanyakan mereka tidak menghiraukan amaran tersebut dan
pasukan polis telah melepaskan tembakan. Dengan bantuan polis Negeri-negeri
Melayu Bersekutu, kebangkitan rakyat Terengganu dipadamkan. Semua
pemimpin ditangkap dan dipenjarakan. Mereka ialah Haji Zakaria (7 tahun), Abu
Bakar Chinting (10 tahun), Abdullah Juru Kaka (10 tahun), Mat Tok Pitas (5
tahun) dan Lebai Hassan (5 tahun). Penghulu Salleh Pasir Nyior telah
dibebaskan. Haji Abdul Rahman Limbong dibuang negeri ke Makkah kerana
beliau sangat berpengaruh. British takut hukuman penjara akan meningkatkan
lagi semangat kebangkitan. Selain itu, beliau sendiri juga meminta British supaya
menghantarnya ke Makkah untuk mendalami dan mengajar agama Islam.

Penentangan pribumi terhadap pemerintahan British mengingatkan British


supaya jangan melaksanakan sesuatu peraturan baru dengan terburu-buru.
Peraturan baru haruslah diperkenalkan langkah demi langkah agar penduduk
tempatan dapat menyesuaikan diri mereka dengan peraturan baru ini. Dengan
itu, pada masa yang seterusnya, British telah mengambil sesuatu keputusan
dengan berhati-hati agar tidak menimbulkan ketidakpuasan penduduk pribumi
yang seterusnya mencetuskan penentangan.

oleh SP Star

Bincangkan perubahan-perubahan sistem pentadbiran Tanah


Melayu dari tahun 1874 sehingga 1896.

Pada tahun 1860-an dan 1870-an, berlaku pelbagai kekacauan di Perak,


Selangor, Pahang dan Sungai Ujong. Antara kekacauan itu ialah perebutan
takhta, pergaduhan pembesar, pergaduhan di antara pelombong Cina dan
sebagainya. Kekacauan tersebut telah dijadikan alasan oleh British untuk
campur tangan. Hasil usaha daripada Sir Andrew Clarke, dasar campur tangan
bermula di Perak, kemudian Selangor, Sungai Ujong dan Pahang. Berikutan
dasar campur tangan, Sistem Residen telah diperkenalkan di negeri-negeri
tersebut. Di bawah Sistem Residen, Sultan menerima seorang Residen sebagai
penasihat bagi menasihatinya dalam segala hal kecuali hal-hal yang berkaitan
dengan agama Islam dan adat resam orang Melayu.

Pengenalan Sistem Residen ini telah mewujudkan satu jawatan baru selepas
Sultan iaitu Residen. Residen ini dilantik untuk menasihati Sultan-sultan dalam
urusan-urusan pentadbiran kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan
agama Islam dan adat resam orang Melayu. Beliau bertanggungjawab
mengekalkan ketenteraman dan menegakkan peraturan serta undang-undang di
wilayah pemerintahannya. Segala tindakan hendaklah jangan menggunakan
paksaan. Beliau juga bertugas membentuk sebuah sistem cukai yang berkesan
serta merancang dan membangunkan kawasan-kawasan bandar. Selain itu,
beliau juga dikehendaki memperbaiki sistem perhubungan.

Di peringkat negeri, pemerintahan secara tidak langsung dan nasihat Residen


kepada Sultan dijalankan melalui pembentukan Majlis Mesyuarat Negeri. Tujuan
utama majlis ini ialah untuk membolehkan para pegawai British berunding
dengan para pembesar tempatan tentang segala hal yang berhubung dengan
kepentingan masyarakat Melayu. Majlis ini mula-mulanya ditubuhkan sebagai
penasihat sahaja. Kemudian, tugas-tugasnya termasuk juga membuat undang-
undang, menjadi mahkamah rayuan tertinggi dan menjadi badan kerajaan utama
yang menguruskan perubahan dalam struktur cukai, pencen kepada orang
Melayu dan perlantikan ketua tempatan, pegawai kerajaan dan kadi. Pada
amnya semua perkara yang berkaitan dengan kerajaan tempatan diuruskan oleh
majlis ini kecuali urusan mengawal hasil-hasil yang berada di bawah Residen.
Seluruh Mesyuarat Negeri ini dijalankan dalam Bahasa Melayu dan segala
perkara yang berkaitan dengan pentadbiran, ekonomi dan sosial dibincangkan
dalam majlis ini. Semua cadangan dan usul Residen harus dibahaskan dan
diundi sebelum diluluskan menjadi undang-undang. Semua rang undang-undang
harus mempunyai tandatangan Sultan tetapi mestilah terlebih dahulu mendapat
keizinan Gabenor yang mempunyai kuasa pembatal. Sungguhpun majlis ini amat
berguna untuk membincangkan pendapat mengenai perkara-perkara yang
menyentuh orang Melayu tetapi sebenarnya, majlis ini tidak mempunyai kuasa
perundangan yang luas. Lagipun, apabila pentadbiran menjadi semakin rumit,
fungsi perundangan majlis ini diabaikan. Lama-kelamaan, majlis ini hanya
meluluskan keputusan yang sudah dibuat.

Di peringkat daerah, pentadbirannya diserah di bawah jagaan seorang pegawai


daerah British. Pada peringkat awal, pegawai daerah dikenali sebagai
“Pemungut Cukai dan Majlistret” kerana beliau berfungsi sebagai pemungut
cukai dan menjadi majlistret di peringkat daerah. Pegawai daerah juga
bertanggungjawab menjaga perbandaharaan daerah dan memungut cukai.
Beberapa cawangan jabatan seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Polis dan
Jabatan Perubatan ditubuhkan di bawah Ketua Pegawai Eropah dan Pegawai
Daerah bertugas untuk mengawasi ketua jabatan itu.

Setiap daerah ini dibahagikan kepada beberapa mukim pula. Seorang pembesar
dilantik untuk menjadi Ketua Mukim dengan gelaran Penghulu. Anak raja dilantik
menjadi Penghulu kerana beliau mempunyai pengaruh yang kuat. Selain itu,
British juga berhasrat melibatkan mereka dalam pentadbiran British. Mereka ini
juga lebih memahami sikap dan perasaan rakyat jelata dan mempunyai
pendidikan yang diperlukan untuk menjalankan tugas. Tugas mereka
termasuklah memungut hasil tanah, mentadbir undang-undang tempatan,
menjaga keamanan dan keselamatan, mengadakan hubungan erat dengan
rakyat jelata, menyampaikan dasar dan usaha kerajaan kepada rakyat jelata,
menyampaikan maklumat balas rakyat kepada kerajaan dan menyimpan kira-kira
dan membuat laporan bertulis.

Seterusnya, di peringkat kampung, ia diketuai oleh Ketua Kampung. Biasanya,


mereka terdiri daripada orang tua yang dihormati oleh penduduk sesebuah
kampung. Ketua Kampung bekerjasama dengan Penghulu di mukim dan
mendapat pengiktirafan daripada Sultan negeri-negeri masing-masing. Selain
Penghulu dan Ketua Kampung, terdapat lagi Kapitan Cina dan Penghulu
Dagang.
Pada awal tahun 1890-an, sebuah Lembaga Kesihatan telah ditubuhkan bagi
mentadbir bandar Kuala Lumpur. Tugas lembaga ini adalah untuk mengeluarkan
lesen peniaga dan penjaja, meluluskan pelan bangunan dan menjaga kebersihan
bandar. Ahli-ahli lembaga ini terdiri daripada jurutera di Jabatan Kerja Raya,
Ketua Polis Daerah dan individu yang dilantik oleh Residen.

Pada tahun 1892, Frank Swettenham memperkenalkan idea penubuhan


persekutuan kepada Gabenor Negeri-negeri Selat, Cecil Smith. Pada tahun
1893, Cecil Clementi menghantarkan cadangan ini kepada Pejabat Tanah
Jajahan. Frank Swettenham dengan initiatifnya mendapat persetujuan dari Raja-
raja Melayu. Akihirnya, pada 1 Julai 1895, Raja-raja Melayu menandatangani
Perjanjian Persekutuan dan perjanjian ini berkuatkuasa pada 1 Julai 1896 di
mana persekutuan yang dinamakan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan.

Di bawah sistem persekutuan ini, pemusatan kuasa di tangan Residen Jeneral


telah berlaku. Sudahpun diketahui, Negeri-negeri Melayu Bersekutu (NNMB)
bukan merupakan persekutuan dalam erti kata yang sebenarnya tetapi satu
kesatuan politik. Kuasa pentadbiran dipusatkan dalam tangan Residen Jeneral di
Kuala Lumpur yang menjadi ibu negeri persekutuan. Semua keputusan penting
berkaitan dengan keempat-empat Negeri-negeri Melayu berkenaan dibuat di
Kuala Lumpur. Tiada terdapat pengagihan kuasa pentadbiran di antara negeri-
negeri dan kerajaan pusat. Beberapa jabatan persekutuan seperti Jabatan
Keretapi, Jabatan Polis, Jabatan Hutan, Jabatan Hal-ehwal Cina, Malay States
Guides dan Jabatan Kewangan ditubuhkan. Residen Jeneral mempunyai kuasa
atas perkara kewangan. Punca utama hasil, iaitu duti-duti atas eksport, berada di
bawah kawalan kerajaan pusat. Sir Frank Swettenham dilantik sebagai Residen
Jeneral yang pertama bagi NNMB. Pemusatan kuasa ini mengakibatkan Sultan-
sultan Melayu, Residen-residen dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa.

Di bawah persekutuan juga, Persidangan Raja-raja Melayu (DURBAR)


ditubuhkan. DURBAR membolehkan Sultan-sultan membincangkan kepentingan
mereka bersama dengan pegawai-pegawai British. Persidangan ini dijalankan
dalam Bahasa Melayu. Persidangan Raja-raja Melayu yang pertama diadakan
pada tahun 1897 di Kuala Lumpur. Sultan Idris dari Perak mengkritik pemusatan
kuasa pentadbiran di tangan Residen Jeneral. Baginda menggesa Kerajaan
British untuk melaksanakan pengagihan kuasa. Baginda juga menggesa
Kerajaan British untuk menambahkan bilangan pegawai Melayu dalam
perkhidmatan kerajaan.

Penubuhan NNMB telah menyebabkan kuasa Sultan-sultan, Residen-residen


dan Majlis Mesyuarat Negeri kehilangan kuasa. Sultan Idris dari Perak selalu
mengkritik Kerajaan British atas tindakan ini dan mendesak Kerajaan British
untuk melaksanakan pengagihan kuasa atau desentralisasi. Hasil usaha dari
John Anderson, desentralisasi peringkat pertama dimulakan pada tahun 1904.
Pada peringkat ini, Majlis Mesyuarat Persekutuan ditubuhkan pada tahun 1909.
Selepas John Anderson, Guillemard dan Sir Cecil Clementi juga melaksanakan
dasar desentralisasi masing-masing pada tahun 1920 dan 1930.

oleh SP Star

Jelaskan pengertian imperialisme dan huraikan proses


imperialisme British di Negeri-negeri Melayu sehingga tahun 1874.

Pendahuluan
Nyatakan secara ringkas kedatangan kuasa-kuasa Barat ke Timur dan juga
faktor yang mendorong mereka berbuat demikian secara umum.

Nyatakan apakah yang dimaksudkan dengan pengertian imperialisme.


Imperialisme boleh ditakrif sebagai kegiatan sesebuah negara meluaskan
wilayahnya dengan menguasai dan menjajah negara lain dari segi ekonomi,
sosial dan politik.

Proses imperialisme British di Negeri-negeri Melayu sehingga tahun 1874


Melalui perjanjian
Perjanjian Pengambilan Seberang Perai dengan Sultan Kedah, 1800.
Seberang Perai sebagai kawasan pertanian bagi bekalkan makanan kepada
Pulau Pinang.
Perjanjian Pengambilan Singapura pada tahun 1819 antara Raffles dengan
Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman (6 Februari 1819).
Perjanjian Inggeris-Belanda, 1824 yang memisahkan kepulauan Melayu
kepada dua bahagian, iaitu bahagian British dan Belanda.
Perjanjian Burney, 1826 antara Inggeris dengan Siam, Negeri-negeri
Melayu Utara iaitu Kedah, Perak, Terengganu dan juga Kelantan sedikit demi
sedikit jatuh dalam pengaruh British.
Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 antara British dengan Sultan Abdullah
di Perak. Hal ini merupakan perjanjian yang boleh dikatakan sebagai “turning
point” kepada proses perluasan kuasa British secara menyeluruh di Tanah
Melayu.

Melalui peperangan
Perang Naning, 1831-1832.
Konflik timbul apabila gabenor Robert Fullerton dan Dol Said bertelagah
tentang tuntutan bayaran sebanyak 10% daripada hasil Naning serta
cadangan Inggeris melantik pembesar-pembesar Naning sebagai pengutip
cukai atau membayar pencen sebagai bayaran ganti rugi.
Dol Said tewas dan dibuang negeri ke Melaka.
British kuasa Naning.
Penutup
Inggeris berjaya meluaskan pengaruhnya/imperialismenya ke negeri-negeri
Melayu melalui dua cara, iaitu melalui perjanjian dan juga peperangan.
Imperialisme cara peperangan dijalankan oleh British dalam usaha menguasai
Tanah Melayu. Imperialisme British di negeri-negeri Melayu oleh British kerana
British bimbang kuasa Barat yang lain akan masuk ke Tanah Melayu jika mereka
tidak berbuat demikian.

oleh SP Star

Perihalkan kewujudan masyarakat majmuk di Tanah Melayu


pada abad ke-19.

Pengenalan
Selepas campur tangan British di negeri-negeri Melayu, kestabilan politik yang
wujud membolehkan eksploitasi ekonomi dan politik sepenuhnya.
Perkembangan perusahaan bijih timah dan getah telah menyebabkan
kemasukan orang Cina dan Indis secara beramai-ramai. Penghijrahan kaum
imigran mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu.

Faktor-faktor kewujudan masyarakat majmuk


1. Kesengsaraan sosial dan ekonomi di negara asal
Pertambahan penduduk melebihi pertambahan hasil tanah pertanian
menyebabkan hidup rakyat menderita. Oleh itu, mereka berhijrah
mencari penghidupan baru.
Kerajaan Manchu mengenakan pelbagai cukai, petani terpaksa
menjual tanah dan akhirnya mereka kehilangan tanah.
Bertambah sengsara, kerap kali berlaku bencana alam.
Pengangguran berleluasa, mereka terpaksa cari pekerjaan di Tanah
Melayu terutama orang Cina bahagian Selatan.
Di India, penduduk ramai tidak dapat menampung sumber makanan.
Hidup petani menderita, terpaksa jual tanah.
Amalan sistem kasta penghalang kepada mobiliti sosial dan ekonomi.
Orang kasta rendah berhijrah ke Tanah Melayu.
Indonesia, keadaan yang serupa, taraf hidup petani rendah malah
Belanda gagal tingkat taraf hidup mereka. Mengenakan pelbagai cukai
seperti buruh, tanah, kepala – menambahkan kesengsaraan rakyat.
2. Perkembangan ekonomi yang pesat di Tanah Melayu
Kemajuan pertanian dan perusahaan bijih timah dan getah
menggalakkan kemasukan kaum imigran.
1840-an, banyak lombong dibuka di Larut, Lembah Kinta. Tambahan
pula, permintaan bijih timah bertambah di pasaran dunia akibat Revolusi
Perindustrian di Eropah.
Perusahaan getah memerlukan tenaga buruh yang ramai.
Kemasukan orang India bertambah lebih-lebih lagi ketika harga getah
meningkat.
Perkembangan perusahaan ini dan pertanian ladang yang lain wujud
peluang pekerjaan. Hal ini mendorong orang Indonesia juga berhijrah ke
sini.
3. Kestabilan politik dan galakkan kerajaan
Campur tangan Inggeris 1874 memberi jaminan keamanan terutama di
negeri yang kaya dengan bijih timah dan hasil ekonomi yang lain. Hal ini
menjadi daya tarikan kemasukan modal Eropah.
Kemasukan imigran membekalkan tenaga buruh.
Kerajaan juga mengamalkan dasar penghijrahan yang longgar
sehingga tahun 1929, tidak kenakan sekatan kerana perlu tenaga buruh
yang murah dan banyak.
Orang India Selatan bekerja di ladang dan gaji rendah.
Orang Punjabi dan Sikh berkhidmat dalam polis dan tentera.
Orang Tamil yang berpendidikan Inggeris berkhidmat dalam
perkhidmatan perkeranian dan teknikal.
Menurut A.R. Rathborne, faktor pemerintahan British menjamin
keamanan dan ketenteraman awam telah mendorong penduduk
Indonesia untuk berhijrah ke Tanah Melayu.
4. Pergolakan dan korupsi politik di negara asal
Politik yang tidak stabil terutama bahagian China dan India.
Wilayah Kwangtung dan Kwangsi sering timbul pemberontakan untuk
menggulingkan Manchu. Contohnya, Pemberontakan Taiping.
Untuk elak tekanan kerajaan, melarikan diri ke negara lain.
Manchu amal rasuah dan kenakan pelbagai cukai yang tinggi.
Indonesia – pergolakan politik, tekanan daripada Belanda
menyebabkan penghijrahan orang Bugis dan Sumatera.
5. Sifat mengembara dan perniagaan
Terutama bagi penduduk Kwangtung dan Fukien.
Menurut Azizi Haji Muda, sifat pengembaraan, pelayaran dan
pengembaraan ini yang ada pada orang Bugis merupakan faktor
penggalak proses migrasi di Tanah Melayu.
Orang Minangkabau, keadaan sosial mempengaruhi penghijrahan
mereka, sistem kekeluargaan matrilincal (Adat Perpatih) melahirkan
konsep merantau kerana wanita berperanan besar pemilikan harta
pusaka.

Kesan migrasi
1. Wujud masyarakat majmuk di Tanah Melayu
Membentuk organisasi sosial dan budaya yang berbeza.
Furnival mendefinisikan masyarakat majmuk sebagai pelbagai bangsa
yang berbeza wujud dalam satu kawasan politik tertentu iaitu wujud
berdampingan tetapi berasingan.
Kaum-kaum imigran berpisah bukan sahaja kerana bangsa tetapi
agama, bahasa, budaya, adat resam, kegiatan ekonomi, tempat tinggal
dan taraf hidup.
2. Pertambahan bilangan penduduk
Peringkat awal kebanyakan imigran tidak menetap, untuk mencari
kekayaan tetapi akhirnya ada yang berkahwin dengan orang tempatan
dan menetap kekal.
Orang India melebihi 30000 orang pada tahun 1870 dan bertambah
melebihi 120000 orang pada tahun 1901.
3. Lahir satu kebudayaan yang unik
Setiap kaum mengekalkan agama dan kepercayaan masing-masing.
Melayu – agama Islam, Cina – Buddha dan India – Hindu.
Bahasa, ketiga kaum bertutur dalam bahasa ibunda yang berlainan.
4. Segi ekonomi – setiap kaum mengikut kegiatan tertentu
Melayu – bidang pertanian dan penangkapan ikan.
Cina – perlombongan dan perdagangan.
India – ladang getah dan perladangan lain.
5. Kegiatan ekonomi – terpisah tempat kediaman
Melayu – kampung berhampiran kawasan pertanian dan pinggir laut.
Cina – perlombongan dan bandar pusat perniagaan.
India – di estet-estet dan kelapa sawit.
Taraf kemajuan ketiga-tiga kaum berbeza mengikut jenis pekerjaan.

Penutup
Keseluruhannya, faktor penolak seperti sosial, ekonomi dan politik negara asal
serta faktor penarik seperti perkembangan ekonomi dan politik yang pesat
mendorong penghijrahan imigran ke Tanah Melayu. Penghijrahan ini
mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu.

oleh SP Star
Sistem pemerintahan Dinasti Brooke pada abad ke-19 di
Sarawak merupakan suatu bentuk pemerintahan baru berbanding
pemerintahan tradisional. Bincangkan.

Sarawak asalnya wilayah pegangan atau hak Kesultanan Brunei. Namun begitu,
pada tahun 1836, telah berlaku pemberontakan di Sarawak. Sultan Brunei waktu
itu, Sultan Omar Ali Saifuddin gagal untuk menyelesaikan krisis tersebut.
Fenomena inilah yang menyebabkan baginda meminta bantuan daripada James
Brooke pada tahun 1839 yang kebetulan berada di sana. Atas bantuan James
Brooke pada masa itu, krisis tersebut diselesaikan, beliau telah dilantik oleh
Sultan Brunei sebagai Gabenor Sarawak pada 24 November 1841. Akhirnya,
pada tahun 1846, Sultan Brunei telah mengakui sepenuh James Brooke dan
penggantinya sebagai pemerintah bebas di Sarawak.

James Brooke mentadbir Sarawak mengikut asas pentadbiran British. Beliau


telah memperkenalkan satu kod undang-undang keamanan di Sarawak. Namun
begitu, bagi jenayah-jenayah berat, hukumannya masih berpandukan kepada
undang-undang tradisi Brunei. Pada tahun 1855, James Brooke telah
menubuhkan sebuah Majlis Tertinggi yang berperanan sebagai penasihatnya
dalam pentadbiran. Majlis ini terdiri daripada Charles Brooke dan 4 orang Datu
daripada orang Melayu. Selain itu, beliau juga memperkenalkan sistem
perdagangan bebas kecuali bagi dagangan antimoni dan candu.

James Brooke juga telah menghapuskan amalan tradisi masyarakat pribumi iaitu
perburuan kepala dan sistem perhambaan. Pada tahun 1840-an ini juga, beliau
cuba menghapuskan aktiviti pelanunan yang selama ini mengganggu keamanan
di perairan Sarawak. Beberapa kubu lanun berjaya dimusnahkan seperti di
Saribas, Padeh, Teluk Marudu, Dayak Laut dan Batang Muru. Selain daripada
usaha-usaha pentadbiran James Brooke di atas, beliau juga berjaya memperluas
wilayah Sarawak itu sendiri. Kawasan asal Sarawak yang diperolehinya dari
Sultan Brunei hanyalah kawasan antara Tanjung Datu dan Sungai Samarahan.
Pada tahun 1853, Sultan Brunei, Sultan Abdul Mumin telah menyerahkan
kawasan di sekitar Sungai Sadong, Batang Lupar, Saribas dan Kalaka. Sultan
Brunei telah menerima bayaran tahunan sebanyak 1000 paun atas penyerahan
ini. Pada tahun 1861 pula, Sultan Brunei telah menyerahkan kawasan pantai di
antara Sungai Rajang dan Tanjung Kindurong dan Sultan menerima bayaran
tahunan sebanyak 4500 paun atas penyerahan ini.

Pada September 1865, James Brooke telah menyerahkan tampuk pemerintahan


Sarawak kepada anak saudara beliau Charles Brooke. Charles Brooke turut
mengambil beberapa langkah untuk mengemaskinikan sistem pemerintahan
Sarawak. Pada tahun 1865, beliau telah menubuhkan sebuah Majlis Negeri.
Penubuhan majlis ini untuk memberi peluang kepada suku-suku kaum tempatan
terlibat dalam pentadbiran. Di antara ahli-ahlinya ialah, ahli Majlis Tertinggi,
ketua-ketua suku daerah, pegawai kanan Eropah dan Residen Eropah. Oleh
sebab wilayah Sarawak semakin besar, beliau membahagikan Sarawak kepada
3 bahagian yang diketuai oleh Residen Eropah setiap satu. Residen ini dibantu
oleh penolong Residen dan pegawai rendah. Di bawah Residen ini pula
ditubuhkan Majlis Bahagian yang bertanggungjawab sebagai penasihat kepada
Residen tadi. Sementara itu, di peringkat Kampung, ketua-ketua kampung masih
dipegang oleh ketua suku kaum di kawasan berkenaan.

Di dalam soal kehakiman, hukuman masih berasaskan undang-undang


tradisional suku kaum pribumi. Namun, sekiranya terdapat sebarang hukum yang
diragui, undang-undang British akan digunakan. Pada tahun 1883, Charles
Brooke telah memperkenalkan rang undang-undang untuk membebaskan semua
hamba di Sarawak dalam masa 5 tahun. Sebagai mana bapa saudaranya,
Charles Brooke turut berusaha memperluaskan wilayah Sarawak. Pada tahun
1890, misalnya, Sultan Brunei telah menyerahkan kawasan Limbang kepada
Brooke. Pada tahun 1905 pula, Syarikat Berpiagam Borneo Utara telah
menyerahkan kawasan Sungai Lawas kepada Brooke.

Charles Brooke turut membuat beberapa pembaharuan dan usaha untuk


memajukan ekonomi Sarawak. Contohnya, pada tahun 1876, beliau telah
menggubal dasar yang menggalakkan kemasukan orang Cina dari Singapura ke
Sarawak untuk mengerjakan tanaman lada hitam. Pada tahun 1885, Sarawak
berjaya mengeksport lada hitam sehingga berjumlah 392 tan. Getah pula mula
ditanam di Sarawak pada tahun 1905. Untuk itu, buruh-buruh Jawa telah diimport
untuk mengerjakan ladang-ladang getah. Sagu turut diusahakan dan kemudian
salah satu tanaman eksport yang diusahakan oleh orang Malanau. Selain hasil
pertanian, kegiatan ekonomi turut pesat dalam aktiviti perlombongan. Antara
sumber galian yang dilombong di Sarawak ialah antimoni, raksa dan arang batu.

Pemerintahan Charles Brooke ini kemudian berakhir apabila beliau diganti oleh
anaknya Vyner Brooke pada 24 Mei 1917. Vyner Brooke banyak menyambung
usaha-usaha yang dilakukan oleh bapanya. Pada tahun 1924, beliau telah
memperkenal satu kanun jenayah Sarawak. Kanun ini amnya berasaskan
kepada Kanun Jenayah India. Pada tahun 1923 pula, beliau telah
memperkenalkan jawatan Ketua Setiausaha. Selain itu, beliau juga telah
mewujudkan jawatan Peseruhjaya Hakim yang sebelum ini dikenali sebagai
Ketua Hakim. Pada tahun 1929, beliau telah melantik seorang Setiausaha Hal-
Ehwal Orang Cina. Jawatan ini berfungsi untuk menguruskan perkara yang
berkaitan dengan orang Cina. Pada 24 September 1941 pula, Vyner Brooke
telah memperkenalkan sebuah perlembagaan baru untuk Sarawak.
Perlembagaan ini merupakan langkah pertamanya ke arah pemerintahan sendiri.
Intipati kepada perlembagaan ini, Raja Sarawak memerintah dengan nasihat
Majlis Tertinggi. Majlis Negeri dikekalkan dengan keanggotaan seramai 25 orang
ahli yang bertindak sebagai badan perundangan.

Vyner Brooke turut berusaha untuk meningkatkan aktiviti ekonomi di Sarawak.


Getah kini menjadi eksport terpenting Sarawak dengan keluasan ladangnya yang
kian bertambah. Petroleum telah ditemui di Miri dan ia menjadi pengeluaran
utama bagi negeri Sarawak. Perusahaan kayu balak turut dimulakan.
Perkembangan infrastruktur juga turut bertambah dengan lebih banyak
pembinaan jalan raya dan keretapi. Namun, pengangkutan air masih merupakan
pengangkutan utama di Sarawak.

Pemerintahan Vyner Brooke berhenti seketika apabila berlaku Perang Dunia


Kedua dan jatuhnya Sarawak ke tangan Jepun. Vyner Brooke mengambilalih
semula Sarawak selepas Perang Dunia Kedua. Namun begitu, pada 1 Julai
1946, Vyner Brooke telah menyerahkan Sarawak ke bawah pentadbiran
Kerajaan British. Hal ini disebabkan beliau tidak mempunyai waris dan beliau
tidak cukup wang untuk membangunkan semula Sarawak selepas mengalami
kemusnahan teruk semasa Perang Dunia Kedua. Justeru itu, tahun 1946 ini,
berakhirlah pentadbiran Dinasti Brooke di Sarawak.

oleh SP Star

Bincangkan transformasi ekonomi di tanah melayu selepas


campur tangan british sehingga Perang Dunia Kedua.

Masyarakat tradisional Melayu telahpun melibatkan diri dalam kegiatan ekonomi


sara diri sebelum kedatangan pihak atau penjajah British. Antara, kegiatan-
kegiatan yang telah dijadikan asas sistem ekonomi sebelum kedatangan pihak
British adalah seperti kegiatan ekonomi sara diri, kegiatan perlombongan,
kegiatan pertukangan, sistem berjaja di pasar-pasar dan sebagainya. Dengan
adanya sistem ekonomi yang kukuh sebelum kedatangan pihak Inggeris dan
perintis kepada pihak Inggeris dalam membuka Negeri-negeri Selat iaitu Pulau
Pinang, Singapura dan Melaka. Maka terdapatnya penghijrahan beramai-ramai
kaum asing seperti kaum cina, India dan Melayu di bawah pengawasan
pembesar-pembesar di Tanah Melayu. Penguasaaan kaum-kaum ini
terutamanya kaum Cina dalam perusahaan lombong bijih timah dalam ekonomi
Tanah Melayu telah sekaligus membangunkan ekonomi di Tanah Melayu. Namun
demikian, hasil dari tuntutan, tekanan-tekanan dan keadaan kacau bilau oleh
penduduk di Tanah Melayu telah menyebabkan pihak British telah campur
tangan dalam Tanah Melayu yang sebelum ini mengamalkan dasar ‘tidak campur
tangan’ dalam hal elwal politik di negeri-negeri Melayu sehingga September
1873.
Dengan adanya campur tangan oleh British dalam Tanah Melayu, maka ini telah
mendorong pihak British dalam menguasai ekonomi dalam Tanah Melayu
khususnya dalam perusahaan bijih timah, getah dan sebagainya. Transformasi
atau perubahan yang dibawa oleh pihak British tidak dapat dinafikan memang
telah membawa banyak kemajuan dan pembangunan dalam negeri-negeri
Melayu. Sebelum kedatangan pihak British, perusahaan lombong bijih timah ini
telah dimonopoli oleh saudagar-saudagar Cina hampir setengah abad lamanya.
Sejak pertengahan abad yang ke-18 hinggalah akhir abad tersebut hampir
seluruh perusahaan lombong bijih timah di Tanah Melayu dimiliki oleh orang-
orang Cina, sementara hampir seluruh pekerjanya juga terdiri daripada orang-
orang Cina. Namun demikian mulai akhir abad yang ke-19 terdapatnya pula
pemodal-pemodal Inggeris yang melaburkan modal mereka di beberapa buah
lombong di Tanah Melayu ini.

Lombong-lombong yang mereka usahakan itu mula-mulanya terdiri di Lembah


Kinta, iaitu suatu kawasan yang amat kaya dengan bijih timah di dunia.
Kemunculan Kinta sebagai kawasan perlombongan yang terpenting sekali
bermula dari awal tahun-tahun 1890an lagi, dan sejak itu pula Larut tidak lagi
merupakan kawasan perlombongan yang utama yang sebelum ini dibuka oleh
Long Jaafar.

Akibat dari pembukaan lombong bijih timah ini dan akibat daripada kemasukan
pelombong-pelombong Cina itu maka banyaklah bandar baru telah muncul
terutama di sekitar kawasan-kawasan perlombongan itu. Jalanraya-jalanraya dan
jalan-jalan keretapi juga telah dibina bagi memudahkan lagi proses mengeluar
dan mengeksport bijih timah itu.

Penglibatan orang-orang Eropah secara besar-besaran di dalam perusahaan


melombong bijih timah ini bermula di awal abad yang keduapuluh, terutama
selepas mula diperkenalkan cara melombong yang lebih moden dalam tahun
1913, iaitu dengan menggunakan kapal korek (dredges) yang diperkenalkan oleh
Syarikat Malayan Tin Dredging di Batu Gajah, Perak. Kapal korek yang pertama
telah digunakan di Selangor pada tahun 1918.

Melombong dengan kapal korek ini memerlukan modal yang besar dan hanya
pelombong-pelombong Eropah sahajalah yang mampu. Bagaimanapun,
perlombongan menggunakan kapal korek ini telah dapat menghasilkan jumlah
bijih timah yang banyak dan sebab itu telah dapat memberikan keuntungan yang
lebih besar kepada pengusaha-pengusahanya dan seterusnya menambahkan
lagi ekonomi Tanah Melayu. Justeru, pihak British dengan bantuan syarikat-
syarikat Eropah telah mula bertinak membuka kilang-kilang melebur bijih timah.
Contohnya, Straits Trading Company yang telahpun mendirikan dua buah kilang
melebur di Pulau Brani, Singapura(1887) dan di Butterworth(1897).

Pengeluaran bijih timah dari Tanah Melayu pda mulanya tidak mendapat saingan
dari lain-lain negara. Dalam tahun 1904, misalnya jumlah pengeluaran bijih timah
Tanah Melayu ialah sebanyak 51733 tan, iaitu lebih kurang separuh daripada
jumlah pengeluaran bijih tmah dunia seluruhnya pada masa itu.

Justeru, bolehlah dikatakan bahawa bijih timah yang memulakan sejarah Tanah
Melayu moden. Ini adalah sebab bijih timahlah yang menyediakan pendapatan
bagi membangunkan dan memodenkan negeri ini. Seterusnya bijih timahlah
yang memberikan industrinya yang pertama iaitu industri melebur bijih timah.
Kilang-kilang melebur dan memproses bijih timah yang dikeluarkan di Tanah
Melayu telah didirikan di Singapura dan Pulau Pinang dan ini telah
menambahkan lagi jumlah pekerjaan di negara ini di samping memurahkan lagi
belanja memprosesnya.

Perusahaan getah juga merupakan satu perusahaan yang amat penting di Tanah
Melayu khususnya selepas kedatangan pihak British. Getah berasal dari Brazil
(di Amerika Selatan). Kebetulaanya penemuan getah ini sejajar pula dengan
kemajuan perusahaan membuat kereta dan alat-alat yang lain yang
menggunakan getah sebagai salah satu bahan penting dalam ciptaan-ciptaan
tersebut. Sejak itu maka permintaan terhadap getah telah bertambah.

Tetapi selama beberapa tahun pokok-pokok getah yang mula-mula ditanam itu
tidak dihiraukan. Ini adalah kerana pada masa itu pihak pemerintah dan
peladang-peladang di Tanah Melayu lebih mengutamakan perusahaan menanam
kopi dan tebu.

Dalam tahun 1888, Ridley dilantik oleh pemerintah Inggeris menjadi Pengarah di
Botanical Garden, Singapura. Semasa beliau bertugas di Botanical Garden inilah
beliau membuat kajian-kajian dan penyiasatan-penyiasatan berhubung dengan
kegunaan dan faedah getah. Beliau sangat berkeyakinan terhadap kejayaan
getah di Tanah Melayu.
Kebetulan perusahaan menanam kopi di Tanah Melayu pada akhir abad yang
ke-19 sedang menghadapi dua ancaman besar. Pertama, ialah kejatuhan harga
kopi akibat saingan yang hebat dari pengeluaran kopi di negeri-negeri lain.
Kedua, pokok-pokok kopi itu pada masa itu banyak yang diserang oleh sejenis
serangga hingga membunuh pokok-pokok itu.

Apabila Ridley berkunjung ke Tanah Melayu di akhir abad tersebut, beliau telah
mengesyorkan supaya peladang-peladang itu cuba pula menanam pokok getah.
Waktu ini permintaan getah telah menjadi semakin bertambah akibat
perkembangan perusahaan-perusahaan membuat kereta dan sebagainya di
Amerika dan Eropah.

Pada tahun 1897, peladang-peladang atau penanam-penanam getah itu jua


telah mengambil faedah daripada kaedah menoreh getah sejalur nipis kulit dari
getah itu mengikut corak tulang ikan dan membiarkan getahnya mengalir masuk
ke dalam sebuah mangkuk kecil, membolehkan pokok getah itu ditoreh setiap
hari selama beberapa tahun tanpa mengurangkan hasilnya. Kaedah Ridley ini
adalah suatu kaedah yang saintifik dan lebih dikenali sebagai sistem ibedem
atau istem tulang ikan herring. Ia boleh menjamin setiap pokok akan
mengeluarkan hasil yang setinggi-tingginya.

Di bawah pemerintahan dan pengawasan pihak Britsh, kemajuan dan


pembangunan yang dicapai hasil daripada perusahaan getah telah
menampakkan kejayaan. Kerajaan British juga bertindak dalam memperkenalkan
dan menubuhkan Institut Penyelidikan Getah pada tahun 1926 di Kuala Lumpur
untuk menjalankan penyelidikan teknik bagi memajukan perusahaan getah.
Telah diketahui permintaan terhadap getah oleh negara-negara lain dari Tanah
Melayu juga meningkat bahkan kawasan penanaman getah telah bertambah
beratus-ratus ganda jika dibandingkan dengan kawasan penanaman getah
sebelum kedatangan British. Kemajuan sedemikian telah mendorong kemasukan
beramai-ramai tenaga-tenaga pekerja dari India yang telah dianggap sebagai
buruh-buruh ladang.

Apabila negeri-negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu masuk ke dalam


pengawasan Inggeris dengan Perjanjian Bangkok tahun 1909, perusahaan
menanam getah ini telah diperluaskan pula ke negeri-negeri tersebut. Adalah
tidak dapat dinafikan bahawa, penanaman getah secara besar-besaran ini
didorong oleh pendapatan yang lumayan darinya berikutan dengan harag yang
mahal. Antara tahun 1910 hingga 1912, misalnya, harga getah telah mencapai
kemuncak yang paling tinggi dalam sejarah perusahaan itu, iaitu hampir lima
ringgit bagi setiap paun.

Peluasan penananam getah yang demikian pesat itu telah memberi sumber hasil
yang besar kepada rakyat dan pemerintah negeri ini di bawah pengawasan dan
perancangan pihak British. Penghasilan itu telah menyediakan wang yang
diperlukan oleh pemerintah untuk mengadakan banyak kemudahan bagi
pemodenan negara. Pembukaan ladang-ladang getah oleh pihak Inggeris yang
dijalankan secara besar-besaran ini juga membuka kawasan hutan rimba
dengan luasnya.

Selain daripada perkembangan dan kemajuan kegiatan perusahaan bijih timah


dan getah, pihak Inggeris juga membawa banyak perubahan dan transformasi
terhadao sistem ekonomi yang lain. Contohnya, sistem ekonomi komersil. Sistem
ekonomi komersial di Tanah Melayu bukanlah hanya wujud setelah kehadiran
penjajah British dan akab ke-19 itu tetapi telah wujud semenjak daripada
Kesultanan Melayu Malaka lagi. Walau bagaimanapun kita tidak dapat menafikan
juga bahawa dengan kahadiran penjajah British telah mempergiat lagi bentuk
ekonomi tersebut memandangkan mereka mempunyai teknologi yang lebih
maju. Satu perkembangan yang nyata semasa pemerintahan penjajah Inggeris
pada abad ke-19 ialah pembangunan pesat industri perlombongan terutamanya
bijih timah dan getah sehingga meletakkan Semenanjung Tanh Melayu sebagai
negara terkemuka dalam pengeluaran dan eksport bahan-bahan mentah
tersebut. Selain itu, perusahaan-perusahaan lain seperti perlombongan emas,
perlombongan arang batu, perlombongan bijih besi dan sebagainya dapat
diperinci sebagai berikut.

Pada tahun 1889, sebuah syarikat perlombongan emas Australia iaitu Raub
Australian Gold Mining Company telah ditubuhkan di Raub, Pahang. Ia
merupakan syarikat perlombongan emas yang terpenting dan berjaya di Tanah
Melayu. Syarikat tersebut telah mengeluarkan 24700 gram emas dalam tempoh
50 tahun sejak pengeluaran dimulakan.

Dengan adanya kedatangan pihak British, perlombongan arang batu telah giat
dijalankan di Batu Arang, Selangor dan Enggor, Perak. Kegiatan perlombongan
tersebut dijalankan oleh Syarikat Malayan Colloeries semenjak tahun 1915.
Arang batu keluaran lombong-lombong berkenaan telah dijual dalam pasaran
tempatan iaitu kepada Kereta Api Tanah Melayu, stesen-stesen kuasa dan
lombong-lombong bijih timah. Jelasnya, perusahaan perlombongan arang batu di
Tanah Melayu hanyalah merupakan sampingan sahaja iaitu menjadi pemangkin
kepada perusahaan lain dan pengeluarannya hanya untuk kegunaan tempatan
sahaja. Umpamanya untuk bahan api kepada kereta api sebahagian sistem
pengangkutan utama selepas perusahaan bijih timah semakin meningkat di
Tanah Melayu.

Ekonomi perdagangan juga giat dijalankan semasa British campur tangan dalam
Tanah Melayu. Kegiatan perdagangan di Tanah Melayu telah dikembangkan oleh
pihak British memandangkan terdapatnya banyak bahan-bahan mentah di Tanah
Melayu. Keuntungan yang diperoleh selepas pihak British bertindak dalam
mengeksport bahan-bahan mantah ini adalah besar. Contohnya, pertambahan
eksport bijih timah pada 1870an telah menguntungkan pihak penjajah. Dalam
tahun 1879 umpamanya, pendapatan cukai terhadap perlombongan bijih timah
dari negeri Perak dan Selangor masing-masing berjumlah $281 823 daripada
jumlah hasil $388 372 dan $107 558 daripada jumlah hasil $184 387.

Kesimpulaanya, akibat daripada kemajuan ekonomi yang telah dicapai di Tanah


Melayu di bawah pengaruh pihak British terutamanya perusahaan bijih timah dan
getah telah mewujudkan masyarakat majmuk di Tanah Melayu. Tambahan pula,
kemajuan ekonomi juga telah membawa kesan-kesan yang menguntungkan
kerana adanya kemajuan seperti sistem perhubungan, munculnya bandar-
bandar baru dan juga menambahkan pendapatan Tanah Melayu hasil daripada
keluaran. Kewujudan masyarakat majmuk telah membawa kepada perubahan
keadaan sosial yang besar di Tanah Melayu. Contohnya, pengekalan identiti
kaum masing-masing dan kurangnya pergaulan telah mewujudkan banyak
masalah sosial sehingga munculnya kebudayaan, persatuan-persatuan, kongsi-
kongsi gelap kaum masing-masing. Perpaduan kaum kurang dirasai di kalangan
penduduk antara kaum yang punca utamanya adalah disebabkan kaum masing-
masing mengusahakan kegiatan ekonomi yang berlainan.

oleh SP Star

You might also like