You are on page 1of 9

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

UNIT 6 MEMBACA SECARA INTENSIF DAN BERFOKUS UNTUK MENCARI MAKLUMAT


HASIL PEMBELAJARAN
Di akhir unit ini anda akan dapat : 1. Konsep Bacaan Intensif 2. Tujuan Bacaan Intensif 3. Objektif Program Bacaan Intensif 4. Membaca Secara Intensif dan Berfokus 5. Membaca Merentas Kurikulum

PENGENALAN
Bacaan Intensif adalah ialah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami, dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Di samping itu, ia memberi penekanan kepada kajian-kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Latihan-latihan bacaan intensif biasanya memerlukan bimbingan dan bantuan penuh daripada guru-guru terutama dalam menghadapi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid-murid. Setelah murid-murid memperoleh asas yang kukuh dalam kemahiran membaca, mereka hendaklah dilatih untuk membaca dengan lebih mendalam dan meluas. Mereka bukan hanya setakat boleh membaca kuat, menyebut perkataan-perkataan dengan jelas dan tepat, menggunakan intonasi, gaya dan tekanan yang betul, tetapi mereka juga harus boleh memahami dengan baik apa sahaja yang dibaca. Untuk mencapai maksud ini latihan bacaan intensif dan ekstensif boleh dilaksanakan.

ISI KANDUNGAN
Konsep-Konsep Bacaan Intensif
Secara khusus, bacaan intensif diertikan sebagai kegiatan membaca mentelaah isi yang dikaitkan dengan usaha melanjutkan lagi perkembangan pembelajaran bahasa di bawah bimbingan guru. la memberi asas untuk pengajar memberi

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

penjelasan tenteng struktur yang sukar dan juga memberi asas memperkembangkan perbendaharaan kata. Ia juga dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti mengkaji ciri-ciri tatabahasa iaitu susunan kata dalam ayat, dan pengertian menurut kamus yang ditemui oleh pelajar dalam bacaannya. Selain itu bacaan intensif juga berperanan mengembangkan lagi usaha mengawal penggunaan bahasa dalam pertuturan dan tulisan. Dalam pembelajaran bacaan intensif, gerak laju (speed) dan kelainan latihan adalah penting.

Tujuan Bacaan Intensif


Pembacaan intensif melibatkan pendekatan yang teliti terhadap teks di bawah pengawasan yang bersesuaian daripada guru, atau atas sebab-sebab penyelesaian sesuatu tugas yang meminta pelajar memberikan sepenuh perhatian pada teks tersebut. Pada amnya, tujuan pembacaan intensif adalah untuk mencapai pemahaman sesuatu teks secara mendalam dan terperinci, bukan hanya memberi tumpuan terhadap aspek makna tetapi juga tentang bagaimana makna tersebut dihasilkan. Secara lebih khusus, bacaan intensif mempunyai beberapa tujuan: a) Untuk membolehkan kanak-kanak membaca dengan baik. Betul dari segi sebutan, intonasi, lancar dan tahu menggunakan tanda-tanda bacaan dengan baik. b) Untuk mengembangkan kebolehan mentafsir apa yang tertulis dalam bacaan itu dengan mengkaji susunan kata dalam ayat dan pengertian dalam kamus. c) Membaca secara senyap dengan kepantasan yang sesuai. d) Menilai atau mengulas isi-isi yang diperoleh daripada bahan-bahan yang dibaca. e) Mengesan, memahami dan menikmati unsur-unsur estetik dalam bahasa. f) Mengenal pasti laras bahasa yang berbagai-bagai. g) Membuat rumusan atau kesimpulan daripada apa yang dibaca dan sebagainya.

Cara menjalankannya
Cara kita menghasilkan makna adalah sama penting dengan apa yang dimaksudkan oleh makna tersebut. Aspek ini dianggap penting kerana pengajaran pembacaan intensif berfungsi untuk melatih para pelajar menggunakan strategi pembacaan secara berkesan.Berbanding dengan teks-teks yang panjang, penggunaan teks-teks pendek yang boleh dipelajari dalam satu atau dua sesi pengajaran sahaja adalah lebih mudah. Secara amnya, untuk memahami keseluruhan teks atau buku, para pelajar perlu memahami bahagian-bahagian teks seperti ayat, perenggan dan bab yang membentuk keseluruhan bahan bacaan tersebut.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa kita juga mampu untuk memahami sesebuah buku tanpa memahami setiap bahagian daripada buku itu. Guru harus menggunakan kebolehan ini dengan sepenuhnya dan menggalakkan para pelajar untuk menggunakan kemahiran tersebut. Ini bermakna guru perlu memberikan perhatian terhadap pembacaan intensif. Azman Wan Chik (1989:24) menyebut bahawa bacaan intensif bermaksud bacaan yang dilakukan secara bersungguh-sungguh, bukan sebagai kerja sampingan sahaja. Setiap yang dibaca itu dapat difahami secara mendalam. Kamarudin Hj. Husin (1988:173) pula menyatakan bahawa bacaan intensif ialah bacaan yang pada asasnya bertujuan untuk memperkembangkan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca secara tepat. Disamping itu, ia memberi penekanan pada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Robert Lado (1979:138) pula mendakwa bacaan intensif sebagai peringkat membaca untuk mendapatkan maklumat. Pada peringkat ini, pelajar bukan lagi belajar membaca tetapi membaca untuk mendapatkan maklumat bagi tujuan pembelajaran.

Objektif Program Bacaan Intensif


Terdapat beberapa objektif dalam bacaan intensif yang boleh membantu guru menjalankan program bacaan intensif dengan berkesan di dalam bilik darjah. Antaranya adalah seperti yang berikut: a) Dapat menggunakan teknik skimning apabila diperlukan untuk memastikan pelajar membaca perkara yang berkaitan di samping membantu pemahaman yang seterusnya. b) Dapat menggunakan pengetahuan bukan teks seperti carta, gambar rajah, Jadual dan graf untuk mentakrifkan bahan-bahan teks yang dibaca dan juga meningkatkan kefahaman. c) Boleh membaca dengan cara yang berbeza mengikut tujuan dan jenis teks yang dibaca. d) Tidak perlu bimbang jika pelajar tidak faham maksud setiap perkataan yang dibaca kecuali apabila melengkapkan teks pemahaman dengan perkataan yang penting. e) Dapat mengenal pasti bahawa penulis yang baik memilih perkataan dengan teliti dan mempunyai alasan tertentu atau maksud yang berbeza jika dia memilih perkataan A, dan bukan perkataan B. Pelajar yang cekap akan dapat menerangkan sebab-sebab perbezaan tersebut.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

f) Menggunakan sistem rujukan dan penanda wacana untuk membantu pelajar menerangkan maksud petikan yang susah. g) Sentiasa berwaspada terhadap ayat-ayat yang sama maksudnya tetapi mempunyai nilai budaya yang berbeza mengikut konteks. Pelajar perlu diberi penjelasan tentang nilai tersebut. h) Berupaya menggunakan bahasa yang retorik dalam teks untuk membantu pelajar mentafsirkan mesej yang kompleks. i) Berhati-hati dengan gaya penulisan kerana seseorang penulis tidak melahirkan segala apa yang dimaksudkan di dalam teks. Oleh itu, pelajar diajarkan cara membuat kesimpulan atau rumusan yang diperlukan. j) Berhati-hati dengan jangkaan pembaca yang dapat mempengaruhi interpretasinya. Guru perlu mengenal pasti keadaan tersebut apabila kesimpulan penulis berbeza daripada apa yang dibuat oleh pelajar. k) Guru perlu memberi perhatian apabila terdapat pelajar yang tidak memahami teks. la harus berupaya mengesan punca ketidakfahaman itu serta berusaha mengatasinya. l) Bertanggungjawab sepenuhnya terhadap teks yang telah dipilih melalui kaedah penyampaian yang sesuai.

Soalan-Soalan
Objektif-objektif tersebut bukanlah satu perkara. yang rigid yang mesti guru ikuti sepenuhnya. la mengingatkan guru tentang banyak perkara yang berbeza yang kita hendak capai dalam program bacaan kita.

Membaca Secara Intensif Dan Berfokus Oleh sebab kita akan membicarakan khusus tentang apa yang akan berlaku di dalam bilik dadah semasa pelajaran membaca, kita sebagai guru harus dapat mengingatkan diri kita tentang peruntukan dan jenis bantuan yang dapat kita berikan.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

Mencari alternatif daripada teks


Guru yang mengajar membaca seharusnya meletakkan teks bacaan di hadapan pelajar. Kemudian baru memberi tugas yang dapat membantu pelajar memahami teks tersebut. Dengan ini guru dapat menilai sejauh mana teks itu difahami oleh para pelajar. Selepas itu, guru memberi laluan kepada pelajar sendiri untuk memahami teks yang dibaca. Perkara ini bukanlah mudah untuk dijalankan. Teks tersebut mestilah dipilih dengan teliti, fungsinya bersesuaian dan pelajar pula mesti dilatih untuk mempelajarinya sendiri. Bahagian yang paling susah sekali adalah bagaimana seseorang guru dapat memahirkan dirinya dalam pengendalian teks. Guru yang terlalu banyak menjelaskan dan menghuraikan tentang teks yang sepatutnya dilakukan oleh pelajar tidak sedar bahawa dia secara tidak langsung telah menurunkan tahap mutu teks dan melemahkan peranan pelajar sebagai pembaca.

Peranan pelajar sebagai pembaca


Peranan pelajar sebagai pembaca memerlukan mereka menyedari tentang apa yang ada dalam teks tersebut. Di dalam kelas bacaan, dia perlu tahu bagaimana cara untuk mempelajari teks. Guru yang terlalu kerap melakukan tugas ini untuk pelajar tidak akan membantunya. Dari awal awal lagi pelajar mesti melakukannya sendiri. la memerlukan dorongan yang kuat, terutama sekali apabila pelajar menunjukkan kejayaan hasil daripada usahanya sendiri. Kejayaan ini hanya wujud hasil daripada pengalaman teks yang sesuai dan teks yang telah dirancang dengan sempurna. Perkara paling asas yang perlu dilakukan oleh pelajar sebagai pembaca adalah mengaitkan bentuk-bentuk tulisan di atas kertas dengan bahasa bahasa pertuturan yang diketahuinya. Jika guru memulakan pengajaran dengan membaca teks secara kuat sebelum satu-satu aktiviti, bermakna ia merupakan tugasan yang dilakukan oleh guru, bukannya hasil kerja pelajar. Dengan kata lain, guru telah melakukan salah satu tugasan pelajar. Pelajar juga perlu mentafsir sendiri teks. Oleh itu, jika guru memulakan pelajaran dengan menerangkan atau merumuskan sesuatu, bermakna guru telah melanggar objektif pelajaran kerana dia memberitahu pelajar perkara yang sepatutnya pelajar lakukan sendiri. Jika dalam pelajaran seterusnya pelajar menghadapi masalah dan guru terus menerangkan atau menterjemahkan sesuatu, ini merupakan suatu perbuatan yang salah kerana pelajar hanya akan cuba memahami guru bukannya teks yang dibaca. Semua aktiviti hanya sesuai untuk sesuatu tujuan dan dalam keadaan tertentu sahaja. Dengan ini ia tidak memberi banyak manfaat untuk melatih pelajar dalam kemahiran bacaan senyap. Walau bagaimanapun, guru perlu mendedahkan

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

pelajar pada kaedah tersebut supaya pelajar tidak menjadi pembaca yang pasif. Guru tidak boleh melakukan tugas membaca untuk pelajar kerana itu hanya akan melemahkan tujuan guru mengajar membaca.

Kesan teks pada mutu persembahan


Kaedah yang memerlukan guru membaca kuat teks dan memberi rumusan pada peringkat permulaan dianggap tidak baik kerana ia hanya akan menurunkan nilai teks itu sendiri. Kaedah jenis ini sepatutnya hanyalah berupa bantuan atau sokongan dalam proses untuk mendapatkan makna daripada teks. Dalam pelajaran yang sebegini rupa, penggunaan teks bercetak menjadi satu kebiasaan kerana pentafsiran makna dalam teks tersebut kebanyakannya dilakukan oleh guru. Tambahan pula, guru sering menterjemahkan teks, bukan sahaja sebagai bantuan tetapi sebagai salah satu cara untuk memahami teks itu sendiri. Dengan kata lain, guru telah mengambil alih peranan pelajar yang sebenar. Jika guru sendiri biasa menggunakan cara tersebut, guru akan beranggapan bahawa tanpa bantuannya pelajar mungkin tidak memahami teks yang dibaca. Persoalan tersebut mempunyai banyak pendapat pro dan kontra. Pandangan guru ini mungkin salah kerana banyak kajian menunjukkan bahawa sering berlaku guru salah anggap kemampuan pelajar mereka. Walaupun pelajar tidak memahami semua yang dibaca seperti yang diharapkan oleh guru tetapi guru sepatutnya memberi peluang kepada pelajar untuk mencuba. Guru hanya akan mengetahui keupayaan pelajar setelah memberi peluang kepada mereka. Walau apa pun yang diperkatakan, guru mestilah faham akan tugasnya dan juga tugas murid-muridnya. Harus diingat bahawa pengajaran membaca tidak bererti sekiranya pelajar tidak berupaya memahami dan mengesan maklumat yang dipelajarinya serta tidak menambahkan daya kreatif dan kebolehan berfikir mereka.,

Program Bacaan Merentasi Kurikulum


Seperkara yang perlu ditekankan ialah pengajaran membaca sebenarnya tidak mempunyai satu-satu pola yang tertentu. Ini kerana setiap teks memerlukan cara pengendalian yang berbeza-beza, iaitu tidak menggunakan rangka kerja atau prosedur penggunaan yang sama. Tambahan pula, tidak semua pengajaran melibatkan hanya satu teks sahaja. Teks bacaan boleh dilakukan merentasi kurikulum iaitu boleh digunakan dari pelbagai bidang kurikulum. Seandainya guru berminat mengajarkan kemahiran tertentu umpamanya, kemahiran meramal, guru mungkin perlu menggubah latihan-latihan yang menggunakan format yang khusus atau penggunaan berbagai-bagai teks. Namun. demikian, kesemua teks yang digunakan tidak perlu dipelajari secara terperinci. Beberapa kemahiran mungkin dapat dilatih melalui pembelajaran tentang pola-pola

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

ayat yang ada kaitannya dengan laras tertentu, dan yang lainnya merujuk buku atau teks itu secara keseluruhan. Oleh itu, keperluan utama dalam program pembacaan merentasi kurikulum ini, ia perlu fleksibel untuk membolehkan pelajar memberi tindak balas yang pelbagai atau di luar jangkaan. Pelajar diberi tunjuk ajar untuk terus maju secara progresif dalam bidang-bidang yang menimbulkan kesukaran kepadanya, di samping menggalakkan penggunaan pelbagai jenis teks dan kemahiran. Terdapat beberapa, kemahiran membaca yang dikenal pasti dapat diajarkan kepada para pelajar melalui latihan khusus yang dirancang untuk tujuan tersebut. Oleh itu, apabila guru membaca sesuatu teks tertentu, guru perlu prihatin terhadap penggunaan kemahiran yang spesifik serta menggunakannya bersama-sama dengan kemahiran yang lain secara bergabung jalin. la dapat membantu guru mengendalikan bahan bacaan tersebut dengan lebih berkesan di dalam bilik darjah. Dalam program bacaan merentas kurikulum ini, guru perlu meluangkan lebih masa untuk kemahiran yang hendak dikuasai serta memilih teks yang menekankan penggunaan kesemua kemahiran kursus. Guru mungkin akan semakin kerap dibebani dengan tugas yang mencabar apabila menggunakan teks yang menghendaki pelajar melatih koordinasi kemahiran. Kesimpulannya, guru sendiri perlu mendalami kemahiran-kemahiran spesifik dalam pembacaan. Guru perlu meneliti kebaikan dan kelemahan pengajaran yang berasaskan teks. Pada masa yang sama guru perlu diingatkan bahawa pengajaran bacaan tidak terhad pada satu-satu teks sahaja, tetapi juga bahan-bahan lain yang boleh dieksploitasi untuk pengajaran dan pembelajaran.

RUMUSAN
Dalam bab ini, perbincangan telah diberikan kepada konsep intensif dalam bacaan bagi membolehkan pembaca memberikan fokus terhadap bacaan mereka. Turut telah dibincangkan tujuan bacaan intensif serta kepentingan dan keperluan membaca secara intensif.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

RUJUKAN
Abd. Ghafar Md. Din (1993).Meningkatkan Keberkesanan Dalam Penulisan Pembacaan, dan Pemahaman. Jurnal Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. Brown, A.L. (1980). Metacognitive Development and Reading dalam Theoritical Issues In Reading Comprehension Perspectives From Cognitive Psychology Linguistics, Artifical, Intelligence And Education. Spiro R.J (ed.) Hillsdale. Lawrence Erlbaum Associates. Dale D. Johnson dan P. David Pearson (1978). Teaching Reading and Reading Vocabulary. New York. Holt, Rinehart dan Winston. Dorothy Grant Henning (1993).Reading With Meaning. New Jersey. Prentice Hall. Dorothy Rubin (1993).A Practical Approach to Teaching Reading. Boston. Allyn and Bacon. Frank B. May (1990). Reading as Communication. Ohio. Merrill Publication Company. Frank Smith (1971). Understanding Reading. New York. Holt, Rinehart dan Winston. H. Alan Robinson (1978). Teaching Reading And Study Strategies. The Content Area. Boston. Allyn and Bacon. Irwin L. Joffe. (1980). Opportunity For Skinful Reading. Sixty Edition. California. Wadsworth Publishing Company. Kathleen T. McWhorter (1984). Academic Reading. Harper Collins College Publishers. New York. Marohaini Yusof (1989). Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman. Kuala Lumpur. Karya Bistari. McNeil, J.D. (1992). Reading Comprehension. New Directions For Classroom Practice. New York. Harper Collins Publishers. Safiah Osman (1990). Peningkatan Kemahiran Membaca dalam Safiah Karim (ed.) Membaca : Satu Pengenalan. Kuala Lumpur. Berita Publishing Sdn. Bhd. Sharon J. Crawley & Lee H. Mountain (1988). Strategies For Guiding Content Reading. Boston. Allyn & Bacon, Inc.

KRB 3013 : Prinsip Pengajaran Bacaan

You might also like