You are on page 1of 21

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

Unit

1
LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA
HASIL PEMBELAJARAN Setelah selesai mempelajari unit ini, anda seharusnya dapat: i. menerangkan definisi linguistik dan cabang-cabangnya, ii. mengetahui asal perkataan linguistik, iii. mengetahui pelopor linguistik moden, dan iv. menjelaskan ilmu linguistik aliran tatabahasa transformasi generatif.

Pengenalan
Unit ini membincangkan hal tentang Linguistik dan Cabang-cabangnya yang mencakupi konsep linguistik, asal perkataan linguistik, pelopor linguistik moden, cabang-cabang linguistik serta aliran linguistik tatabahasa transformasi generatif.

Tahukah Anda Pengertian Linguistik?


Menurut Kamus Dewan (2005:945) linguistik bererti pengajian ilmu bahasa. Oleh David Crystal dalam bukunya, A Dictionary of Linguistics and Phonetics (1986:181), linguistik merupakan kajian saintifik terhadap bahasa (the scientific study of language).

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

Tahukah Anda Asal Perkataan Linguistik?


Perkataan linguistik berasal daripada perkataan Latin, iaitu lingua yang bermaksud bahasa. Perkataan Latin ini juga digunakan dalam banyak bahasa lain yang berasal daripada bahasa Latin seperti dalam bahasa Perancis (langue, langage), bahasa Itali (lingua), atau bahasa Sepanyol (lengua) atau dalam bahasa Inggeris (linguistics). Perkataan linguistik dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Inggeris, iaitu linguistics yang dipinjam daripada bahasa Perancis, iaitu linguistique. Orang yang pandai atau faham bermacam-macam bahasa asing atau ahli bahasa dipanggil linguis, dan orang yang mengetahui atau bertutur dalam dua bahasa atau banyak bahasa dikenali sebagai bilingual, atau multilingual.

Siapakah Pelopor Linguistik Moden?


Ferdinand de Saussure ialah seorang sarjana bangsa Swiss. Beliau dianggap sebagai pelopor linguistik moden. Bukunya Cours de Linguistique Generale (1916) sangat terkenal dan dianggap sebagai buku asas linguistik moden. Oleh sebab itu, beberapa istilah yang dipakai oleh de Saussure diterima umum sebagai istilah rasmi, misalnya langage, langue dan parole (Prof. Dr. J.W.M. Verhaar, 1983:1). Langage bererti bahasa pada umumnya, misalnya semua manusia di dunia ini mempunyai bahasa. Langue bererti bahasa tertentu kepunyaan satu-satu kumpulan penutur tertentu, misalnya bahasa Perancis, bahasa Belanda, bahasa Jerman, bahasa Indonesia dan bahasa Melayu merupakan bahasa-bahasa atau langue-langue tersendiri. Langue dianggap bahasa kepunyaan kumpulan atau masyarakat bahasa tertentu dan parole pula merupakan pertuturan atau bentuk ucapan individu yang kerap disebut sebagai idiolek.

Kesimpulan Tentang Ilmu Linguistik


Kesimpulannya, ilmu linguistik ialah ilmu yang mengkaji bahasa secara saintifik. Maksudnya ilmu yang mengkaji dan menganalisis satu-satu bahasa tertentu secara empirikal dan objektif, iaitu mengkaji bahasa itu seperti yang benar-benar wujud tanpa dipengaruhi oleh agak-agakan, ramalan, sentimen atau falsafah. Misalnya, kita menggunakan ilmu linguistik itu untuk mengkaji bahasa Melayu.

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

Kita mengkaji bahasa Melayu seperti yang benar-benar wujud dan digunakan oleh masyarakat bahasa itu, misalnya bagaimana bahasa Melayu itu diucapkan, bentuk dan sistem bahasa itu. Kita mengkaji secara formal dan objektif bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dihasilkan, sistem fonem, morfem, kata, frasa dan ayat yang berlainan bentuk dalam bahasa Melayu. Kajian ini dilakukan secara objektif dan tidak boleh berdasarkan agak-agakan, ramalan, sentimen atau falsafah dan hasil kajian itu pula boleh diuji kebenarannya.

1.1 Jelaskan konsep Linguistik. 1.2 Siapakah pelopor Linguistik Moden?

Tahukah Anda Cabang-cabang Linguistik?


Linguistik mempunyai cabang atau bidang pengajian yang berlainan seperti: i) ii) iii) iv) v) vi) vii) viii) Linguistik Deskriptif (Descriptive Linguistics) Linguistik Historis (Historical Linguisticsi) Linguistik Komparatif (Comparative Linguistics) Sosiolinguistik (Sociolinguistics) Neurolinguistik (Neurolinguistics) Linguistik Am (General Linguistics) Linguistik Terapan (Applied Linguistics) Psikolinguistik (Psycholinguistics)

i. Apakah Linguistik Deskriptif?


Linguistik Deskriptif ialah satu cabang linguistik yang menghuraikan satu-satu bahasa tertentu pada satu-satu masa tertentu. Misalnya, ilmu linguistik yang

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

menghurai atau menganalisis bahasa Melayu seperti yang dituturkan oleh masyarakat Melayu pada hari ini. Linguistik Deskriptif menghuraikan bagaimana bunyi-bunyi bahasa itu dituturkan dan bagaimana sistem bahasa Melayu itu digunakan dalam bidang fonologi, morfologi, sintaksis dan segala aspek yang terdapat dalam bahasa Melayu. Linguistik Deskriptif hanya membuat huraian tentang satu-satu bahasa itu dan tidak pula membuat perbandingan dengan bahasa-bahasa lain atau mengkaji daripada sudut sejarah bahasa itu. Misalnya, Linguistik Deskriptif akan menghuraikan bunyi-bunyi vokal, konsonan, diftong, sistem suku kata, perkataan, frasa dan ayat bahasa Melayu, tetapi tidak membuat perbandingan antara sistem vokal, konsonan, diftong, suku kata, perkataan, frasa atau ayat bahasa Melayu dengan ciri-ciri dan sistem dalam bahasa Inggeris, bahasa Perancis, Jepun atau bahasa Cina. Linguistik Deskriptif juga tidak berminat untuk mengkaji sejarah perkembangan atau pertumbuhan bahasa Melayu, baik pada awal ataupun pada akhir satu-satu zaman itu. Apa yang diutamakan dalam disiplin ini ialah menghuraikan bentuk dan sistem bahasa itu secara objektif dan secara empirikal, iaitu seperti yang benar-benar wujud dalam bahasa itu. Ilmu Linguistik Deskriptif boleh digunakan untuk mengkaji dan menghuraikan secara umum sebarang bahasa di dunia, baik bahasa Melayu, bahasa Iban, bahasa Kadazan, bahasa Jawa, bahasa Tagalog mahupun bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Jepun, bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Portugis, bahasa Itali dan lain-lain.

1.3

Apakah yang dimaksudkan dengan Linguistik Deskriptif? Apakah yang menjadi keutamaan dalam disiplin Linguistik Deskriptif?

1.4

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

ii. Apakah Linguistik Historis?


Linguistik Historis ialah satu cabang linguistik yang mengkaji satu-satu bahasa itu daripada sudut sejarah, iaitu menyelidiki segala perubahan dan perkembangan satu-satu bahasa itu. Misalnya, Linguistik Historis mengkaji sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu sejak zaman sebelum merdeka hingga ke hari ini atau mengkaji sejarah perkamusan bahasa Melayu atau sejarah sistem ejaan bahasa Melayu dan seumpamanya. Apa yang diutamakan dalam disiplin ini ialah sejarah dan perubahan-perubahan yang berlaku dalam bahasa dari satu masa ke satu masa yang lain.

1.5 Huraikan maksud Linguistik Historis. 1.6 Apakah yang menjadi keutamaan dalam disiplin Linguistik Historis?

iii. Apakah Linguistik Komparatif?


Linguistik Komparatif ialah cabang linguistik yang mengkaji bahasa secara perbandingan, iaitu dengan cara melihat aspek-aspek persamaan dan perbezaan antara satu bahasa dengan satu bahasa yang lain, baik daripada segi fonologi, morfologi, sintaksis dan seumpamanya. Lazimnya, ahli bahasa membandingbandingkan ciri-ciri bahasa serumpun seperti membandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Jawa, bahasa Tagalog, bahasa Iban, bahasa Kadazan, bahasa Murut dan lain-lain atau membandingkan bahasa Inggeris dengan bahasa-bahasa induk Jerman yang lain seperti bahasa Belanda, Perancis dan Jerman. Namun demikian, ada pula ahli-ahli bahasa yang turut membandingkan struktur bahasa-bahasa yang bukan daripada satu rumpun seperti membandingkan struktur frasa dan ayat bahasa Melayu dengan struktur frasa dan ayat bahasa Inggeris. Linguistik Komparatif kerap digunakan untuk membandingkan antara dialek Kedah dengan dialek Perak atau dialek Kelantan dengan dialek Terengganu atau membandingkan bidang fonologi, morfologi dan sintaksis antara dialek-dialek seperti dialek Kedah, dialek Negeri Sembilan dan dialek Perak dengan bahasa Melayu baku. 5

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

1.7 Apakah yang dimaksudkan dengan Linguistik Komparatif? 1.8 Dengan memberikan contoh-contoh yang sesuai, huraikan Linguistik Komparatif.

iv. Apakah Sosiolinguistik?


Sosiolinguistik yang juga dikenali sebagai linguistik antropologi atau linguistik sosial ialah satu cabang linguistik yang mengkaji hubungan antara bahasa dengan masyarakat. Menurut Dell Hymes (1966), Sosiolinguistik merupakan ilmu yang mengkaji bahasa daripada segi hubungan antara latar (setting), peserta (participant), tajuk perbincangan, fungsi sesuatu interaksi, bentuk perhubungan dan nilai-nilai yang dipegang oleh ahli-ahli yang terlibat dalam pertuturan terhadap sesama sendiri (Nik Safiah Karim, 1981:4) dan Fishman (1968) pula menyatakan bahawa Sosiolinguistik ialah bidang yang mengkaji ciri-ciri variasi bahasa, ciri-ciri fungsi variasi-variasi ini dan ciri-ciri penutur yang menggunakannya apabila ketigatiga unsur ini berinteraksi, berubah dan mengubah satu sama lain dalam sesuatu masyarakat bahasa. Dengan perkataan lain, Sosiolinguistik merupakan kajian yang menumpukan perhatian kepada bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan. Manusia menggunakan bahasa sebagai alat perhubungan untuk menyampaikan hasrat, buah fikiran dan perasaan serta mengeratkan hubungan antara satu sama lain dalam kalangan masyarakat. Bahasa digunakan sebagai alat oleh masyarakat untuk berhubung, mengenal orang yang sedang bercakap dengan lebih mendalam. Bagaimanakah orang itu bercakap dan apa yang dicakapkan itu akan memberikan tanda-tanda dan keterangan-keterangan tertentu tentang dirinya. Bagaimanakah seseorang itu bercakap, cara ia menyebutkan perkataan, bunyibunyi perkataan, bagaimanakah ia menyusun frasa dan ayat-ayat tertentu, serta jenis-jenis perbendaharaan kata yang digunakan olehnya akan menunjukkan dari daerah mana dan golongan mana ia berasal dan jenis pendidikan yang telah diterimanya. Daripada apa yang dicakapkan, seseorang itu dapat menangkap sikap dan pendiriannya, pekerjaannya dan berbagai-bagai aspek latar

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

belakangnya. Bidang-bidang seperti inilah yang tercakup oleh disiplin Sosiolinguistik. Di samping itu, Sosiolinguistik juga turut mengkaji sistem ganti nama, sistem panggilan dan sistem gelaran dalam sesebuah masyarakat dalam masyarakat Melayu seperti penggunaan kata ganti nama, panggilan dan gelaran seperti aku, patik, beta, engkau, anda, Pak Cik, Mak Cik, Abang, Adik, Encik, Tuan, Puan, Dato, Tan Sri, Puan Sri dan seumpamanya. Sosiolinguistik lazimnya menumpukan kajian pada aspek atau topik seperti yang berikut: i) Bahasa rasmi ii) Bahasa kebangsaan iii) Pidgin iv) Kreol v) Bilingualism vi) Multilingualism vii) Dialek viii) Ideolek ix) Ragam bahasa x) Sikap terhadap bahasa xi) Sistem panggilan dalam masyarakat xii) Kesetiaan terhadap bahasa dan perancangan bahasa

1.9

Apakah yang anda faham tentang Sosiolinguistik? Bincangkan aspek-aspek yang boleh dikaji dalam bidang Sosiolinguistik.

1.10

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

v. Apakah Neurolinguistik?
Neurolinguistik ialah cabang ilmu linguistik yang mengkaji hal-hal otak dan perkaitannya dengan bahasa. Neurolinguistik menumpukan kajian terhadap bagaimana bahasa itu diproses di dalam otak dari awal pemerolehan bahasa sampailah ke bahasa itu berkembang dalam kehidupan manusia. Dengan perkataan lain, Neurolinguistik ingin mengetahui bagaimana otak diorganisasi pada waktu mengelolakan aspek-aspek kemampuan bahasa dan perlakuan bahasa yang begitu rumit. Neurolinguistik mempunyai hubungan yang erat dengan afasiologi kerana kedua-dua disiplin ini sama-sama mengkaji penyakit bertutur. Afasiologi mengkaji penyakit bertutur, terutama untuk tujuan mengubatinya dan Neurolinguistik cenderung untuk mengetahui hakikat hubungan antara otak dengan bahasa demi pengubatan penyakit bertutur. Neurolinguistik banyak mendapat manfaat daripada kerjasama antara psikologi dengan linguistik dan afasiologi pula mendapat manfaat daripada neurologi. Neurologi mula-mula wujud pada abad ke-19, diwujudkan oleh P.Broca dan C.Wernicke. Teori Neurolinguistik Wernicke merupakan teori yang pertama lahir daripada beberapa kes kajian penyakit afasia. Menurut ilmu Neurolinguistik, otak manusia mempunyai dua bahagian, iaitu Medan Wernicke korteks (hemisfera kiri korteks) dan Medan Broca korteks. Medan Wernicke mengandungi representasi ingatan perbendaharaan bentuk kata yang berfungsi mengamati dan menerima ucapan. Kalimat-kalimat bahasa disimpan dan diproses di hemisfera kiri otak manusia. Kalimat-kalimat difahami melalui Medan Wernicke belahan kiri (hemisfera kiri korteks) otak manusia. Medan Broca korteks pula berfungsi melahirkan kalimat-kalimat. Medan Broca korteks menukar kalimat-kalimat yang disimpan dalam Medan Wernicke korteks kepada bentuk bunyi. Pakar kajian neurolinguistik, Damasi H., 1987 telah mengemukakan penemuan terbaharu beliau yang menunjukkan bahawa Medan Broca tidak sahaja berfungsi untuk melaksanakan proses-proses sintaksis dan produksi fonologi, tetapi juga proses-proses morfologi. Menurut teori Neurolinguistik Klasik, hemisfera kanan berfungsi untuk komunikasi kebahasaan yang penting. Hemisfera kanan mempunyai fungsi mengendalikan semua fonem segmental (aspek-aspek intonasi dan prosodi) dan tona suara, ekspresi muka dan gerak-geri badan waktu bertutur dan makna perumpamaan serta ungkapan ideomatik juga. Oleh sebab itulah, pemahaman kalimat-kalimat terganggu apabila hemisfera kanan secara aktif terlibat dalam

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

proses kebahasaan pada waktu berkomunikasi (Mangantar Simanjuntak, 1991:143). Kajian Neurolinguistik juga mendapati bahawa hemisfera kiri mengendalikan kata-kata yang membawa makna-makna literal (tersurat) dalam kalimat-kalimat, sedangkan hemisfera kanan bertanggungjawab mengendalikan makna-makna tersirat. Kedua-dua hemisfera bekerjasama pada waktu berkomunikasi untuk menjamin pemahaman dan penyampaian makna yang sempurna. Di samping itu, hemisfera kanan juga berfungsi untuk semua hal yang berkaitan dengan pembentukan idea yang bukan bahasa seperti kebolehan konstruksi, proses kegiatan gestalt, pengenalan muka dan garis gambar yang rumit, muzik dan lagu, ruang dan segala sesuatu yang termasuk ke dalam apa yang dulunya terkenal dengan istilah bawah sedar. Implikasi penemuan ini sangat penting pada bidang pendidikan, pengajaran bahasa, pengubatan penyakit bertutur, permainan tenis, badminton, inovasi dan kekaryaan (Mangantar Simanjuntak, 1991:142-143).

1.11 1.12

Jelaskan konsep Neurolinguistik. Bincangkan hubungan Neurolinguistik dengan Afasiologi.

vi. Apakah Linguistik Am?


Linguistik Am juga disebut linguistik umum merupakan ilmu linguistik yang membuat kajian atau membicarakan bahasa secara umum. Maksudnya, dalam Linguistik Am dibicarakan hal-hal tentang teori-teori kajian bahasa, kaedahkaedah, pendekatan-pendekatan atau model-model yang digunakan dalam kajian bahasa. Dalam Linguistik Am turut dihuraikan cara kajian bahasa dilakukan mengikut teori, kaedah dan pendekatan tradisional, kajian bahasa mengikut aliran struktur, teori dan kaedah kajian bahasa mengikut aliran transformasi generatif, relasional, fungsional dan seumpamanya.

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

Dalam Linguistik Am, kajian ditumpukan kepada perkara-perkara umum dalam bahasa secara universal. Huraian bahasa secara umum dan universal ini mencakupi bidang fonologi, morfologi, sintaksis dan seumpamanya secara umum. Dengan menggunakan pengetahuan ilmu Linguistik Am, ahli bahasa dapat mengkaji dan menghuraikan segala bahasa yang dituturkan oleh manusia di dunia seperti bahasa Melayu, bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Thai, bahasa Jepun, bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Itali dan seumpamanya.

1.13

Apakah yang dibincangkan dalam Linguistik Am? Huraikan ciri-ciri Linguistik Am bahasa Melayu.

1.14

vii. Apakah Linguistik Terapan?


Linguistik Terapan ialah satu cabang linguistik yang memanfaatkan teori, deskripsi, kaedah dan hasil kajian linguistik dalam pengajaran bahasa, penulisan buku-buku teks, dalam leksikografi, penterjemahan, stilistik, patologi bahasa dan sebagainya. Teori, pendekatan, kaedah dan hasil kajian linguistik sangat berguna untuk diterapkan ke dalam pengajaran bahasa, sama ada pengajaran bahasa sebagai bahasa pertama ataupun sebagai bahasa kedua.

1.15

Apakah yang dimaksudkan dengan Linguistik Terapan? Bagaimanakah Linguistik Terapan dapat dimanfaatkan dalam pengajaran bahasa?

1.16

10

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

viii. Apakah Psikolinguistik?


Psikolinguistik ialah cabang linguistik yang mengkaji hubungan antara bahasa dengan jiwa manusia. Maksudnya, Psikolinguistik menganalisis jenis-jenis, bentuk-bentuk bahasa dan perkataan-perkataan yang digunakan oleh penutur dan hubungannya dengan fikiran dan jiwa penutur itu. Robert Lado, seorang ahli dalam bidang pengajaran bahasa mengatakan bahawa Psikolinguistik ialah pendekatan gabungan melalui psikologi dan linguistik bagi telaah atau studi pengetahuan bahasa, bahasa dalam pemakaian, perubahan bahasa dan hal-hal yang ada kaitannya dengan itu yang tidak begitu mudah dicapai atau didekati melalui salah satu dari kedua ilmu tersebut secara terpisah atau sendiri-sendiri (Lado, 1976:220). Emmon Bach dengan singkat dan tegas mengutarakan bahawa Psikolinguistik adalah satu ilmu yang meneliti bagaimana sebenarnya para pembaca/ pemakai sesuatu bahasa membentuk/ membangun atau mengerti kalimat-kalimat bahasa tersebut (Bach, 1964:64). Menurut Ronald W. Langacker, Psikolinguistik ialah studi atau telaah mengenai behaviour atau perilaku linguistik, iaitu performansi atau perbuatan dan perlengkapan atau aparat psikologis yang bertanggungjawab atasnya (Langacker, 1968:6) (lihat Henry Guntur Tarigan, 1985:3). Psikolinguistik turut mengkaji perkaitan antara peranan bahasa dengan proses mengingat, membuat persepsi, pemerhatian dan pembelajaran. Disiplin ini juga memberikan perhatian terhadap pengaruh ingatan ke atas pertuturan dan kefahaman. Psikolinguistik turut meneliti aspek penguasaan bahasa kanak-kanak dan mengkaji proses akal kanakkanak dalam memahami, mengingat dan melahirkan kembali bentuk-bentuk bahasa dalam pertuturan.

1.17

Jelaskan Psikolinguistik berdasarkan definisi tokoh-tokoh bahasa. Apakah yang diteliti dalam Psikolinguistik?

1.18

11

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

Apakah Cabang Linguistik Lain?


Terdapat juga beberapa cabang linguistik yang lain seperti Linguistik Etnografi (Ethnographic Linguistics), iaitu kajian terhadap lingkungan alam dan budaya sesuatu masyarakat dan hubungannya dengan bahasa dan situasi pertuturan, Linguistik Fungsional (Functional Linguistics), iaitu analisis bahasa yang memberi perhatian kepada pelbagai fungsi bahasa, baik dalam bidang bahasa ataupun di luar bidang bahasa. Huraian tentang Linguistik Fungsional ini ada terkandung di dalam teori dan tulisan sarjana-sarjana seperti Buhler, Firth, Martinet, Halliday, Pike, Troubetzkoy dan lain-lain. Pada tahun 1970-an, telah wujud Tatabahasa Fungsional (Functional Grammar), iaitu satu teori linguistik yang lahir sebagai satu alternatif kepada teori Tatabahasa Transformasi Generatif; Linguistik Kognitif (Cognitive Linguistics), iaitu kajian terhadap bahasa yang menekankan hubungan antara bentuk-bentuk bahasa dengan informasi-informasi yang terdapat di dalam otak atau akal manusia. Lamb mengakui bahawa teori stratifikasi merupakan sejenis Linguistik Kognitif; Linguistik Matematik (Mathematical Linguistics), iaitu sejenis kajian terhadap bahasa yang mempelajari ciri-ciri matematik dalam bahasa dengan menggunakan konsep-konsep statistik dan algebra; Linguistik Komputasi (Computational Linguistics), iaitu cabang linguistik yang menggunakan teknik komputer dalam kajian bahasa dan kesusasteraan; Linguistik Medis (Language Pathology), iaitu cabang Linguistik Terapan yang mengkaji permasalahan dalam bahasa seperti cacat bahasa dan sebagainya. Kajian ini juga disebut patologi bahasa; Linguistik Pedagogi (Pedagogical Linguistics), iaitu cabang kajian bahasa yang menerapkan teori dan hasil kajian bahasa dalam pengajaran, misalnya menerapkan teori dan dapatan kajian linguistik dalam mencari kaedah-kaedah yang efektif dalam pengajaran bahasa dan lain-lain; Linguistik Kontrastif (Contrastive Linguistics), iaitu cabang linguistik yang mengkaji persamaan dan perbezaan antara bahasa-bahasa atau dialek-dialek untuk mencari prinsip-prinsip yang dapat diterapkan dalam pengajaran bahasa atau penterjemahan; Linguistik Renaisans (Renaissance Linguistics), iaitu kajian linguistik pada zaman Renaisans, iaitu zaman sesudah linguistik abad pertengahan yang ditandai oleh perluasan kajian atau pandangan di luar bahasa Yunani dan Latin dan bahasa-bahasa Indo-Eropah dengan menambahkan beberapa konsep dan kategori baharu dalam kajian bahasa; Linguistik Saussure

12

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

(Saussure Linguistics) ialah istilah yang digunakan untuk kajian linguistik teori Ferdinand de Saussure, yang mencakupi pemisahan antara pendekatan diakronis dan sinkronis, perbezaan antara langue dengan parole, hubungan paradigmatis dan sintagmatis. Teori ini dianut pula dengan perubahan atau tanpa perubahan oleh aliran Praha dan Glosematik; Linguistik Struktural (Structural Linguistics), iaitu bidang kajian linguistik yang menggunakan teori, kaedah dan pendekatan struktural, iaitu yang menganggap bahasa itu mempunyai struktur atau sistem yang bebas. Aliran ini menumpukan kajian ke atas bahasa lisan dan tidak mengutamakan aspek semantik. Hasil kajian linguistik struktural ini boleh digunakan untuk melatih pelajar-pelajar asing atau yang baru mempelajari bahasa atau pelajar yang lemah pencapaian dalam penguasaan bahasa. Linguistik Taksonomi (Taxonomic Linguistics) ialah pendekatan kajian dan analisis bahasa dengan tujuan utama untuk mendaftarkan dan mengklasifikasikan pelbagai fenomena bahasa kepada kelompok atau golongan seperti kelas atau golongan kata dalam tatabahasa, jenis-jenis konsonan dalam bidang fonetik, medan makna dalam bidang semantik dan sebagainya; Linguistik Sinkronis (Syncronic Linguistics), iaitu kajian bahasa yang dilakukan terhad pada satu-satu masa tertentu, misanya kajian bahasa Melayu pada hari ini, atau pada abad ke-20 tanpa melihat perubahan-perubahan pada bahasa itu dan tidak pula membuat perbandingan antara perkembangan bahasa dari satu masa ke satu masa. Cara Linguistik Sinkronis ini digunakan dalam kajian Linguistik Deskriptif, iaitu mengkaji satu-satu bahasa itu pada satu-satu masa tertentu. Kajian cara Sinkronis ini diperkenalkan oleh linguis bangsa Swiss, Ferdinand de Saussure (1916). Linguistik Diakronis (Diachronic Linguistics), iaitu linguistik yang mengkaji bahasa pada dua masa atau yang berlainan masa, misalnya mengkaji bahasa Melayu pada zaman sebelum merdeka dengan bahasa pada zaman selepas merdeka dengan melihat perubahan-perubahan bahasa daripada segi fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik. Cara kajian Linguistik Diakronis ini diperkenalkan oleh ahli bahasa bangsa Swiss, Ferdinand de Saussure.

13

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

1.19 1.20 1.21

Terangkan cabang linguistik lain. Huraikan maksud Linguistik Fungsional. Bincangkan perbezaan antara Linguistik Sinkronis dengan Linguistik Diakronis.

Linguistik Aliran Tatabahasa Transformasi Generatif


Apabila membicarakan ilmu linguistik dan cabang-cabang atau bidang-bidangnya, rasanya tidak lengkap jika tidak disentuh serba ringkas tentang ilmu Linguistik Aliran Tatabahasa Transformasi Generatif (Transformational Generative Grammar) sebagai pengetahuan ringkas. Tatabahasa aliran Transformasi Generatif ini ialah satu aliran kajian bahasa yang dikemukakan oleh ahli bahasa Amerika bernama Noam Chomsky, Profesor Linguistik dan bahasa-bahasa moden di Massachusetts Institute of Technology. Beliau telah mengemukakan teori tatabahasa Transformasi Generatif ini dalam buku monografnya yang terkenal, iaitu Syntactic Structures pada tahun 1957. Teori Transformasi Generatif ini dianggapkan sebagai satu aliran linguistik yang baru dan sebagai revolusi dalam bidang kajian tatabahasa. Kemudian Chomsky telah memperbaiki teori ini dan menerbitkan pula buku Aspects of the Theory of Syntax pada tahun 1965 dan teori ini dianggap sebagai teori standard. Teori ini menumpukan kajian dalam bidang sintaksis atau ayat dan mengutamakan bidang makna atau semantik. Menurut teori ini, setiap ayat yang dilahirkan mengandungi dua peringkat. Pertama, peringkat struktur dalaman, iaitu struktur yang biasanya mengandungi bentuk ayat dasar atau ayat inti yang diperlukan untuk membentuk asas makna ayat atau dengan kata lain membentuk semantik ayat. Kedua, peringkat struktur permukaan, iaitu struktur ayat yang biasanya telah mengalami perubahan daripada struktur dalamannya dan merupakan bentuk ayat yang akan sebenarnya diucapkan oleh si penutur dan yang diperlukan untuk ditafsirkan oleh bahagian bunyi bahasa yang dinamai komponen fonologi (Nik Safiah Karim dan rakanrakan, 2003:505).

14

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

Kedua-dua jenis struktur, iaitu struktur dalaman dan struktur permukaan diterbitkan oleh dua jenis hukum atau rumus tatabahasa, iaitu rumus struktur frasa dan rumus transformasi. Rumus struktur frasa menerbitkan ayat-ayat pada peringkat struktur dalaman dan rumus transformasi pula berfungsi menukarkan pola atau struktur ayat-ayat hingga membawa kepada peringkat struktur permukaan. Bentuk ayat struktur permukaan selalunya tidak serupa dengan bentuk struktur dalaman. Struktur dalaman yang diwujudkan oleh rumus struktur frasa kemudian akan menjadi input kepada komponen yang mengandungi rumus transformasi. Rumus transformasi itu berkuasa untuk menggugurkan unsur kata, menambahkan unsur kata dan mengubah atau menyusun semula susunan unsur kata. Teori ini juga mengandaikan bahawa kedua-dua jenis rumus tatabahasa itu menjadi sebahagian daripada unsur kecekapan berbahasa seseorang individu (ibid:202).

1.22

Huraikan konsep Linguistik Aliran Tatabahasa Transformatif Generatif. Jelaskan rumus struktur frasa dan rumus transformasi. Nyatakan semua Cabang Linguistik. Bincangkan sejauh mana Ilmu Linguistik penting kepada guru bahasa. Huraikan Ilmu Linguistik yang melihat perubahan dan perkembangan bahasa.

1.23

1.24 1.25

1.26

15

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

PANDUAN MENJAWAB SOALAN LATIHAN UNIT 1


1.1 Bagi soalan ini, jawapan anda harus mencakupi: i. Asal usul perkataan linguistik ii. Bapa linguistik moden iii. Laras-laras linguistik seperti Langue, Langage, Parole, bilingualisme dan multilingualisme iv. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya 1.2 Jawapan bagi soalan ini perlu menyentuh: i. perihal Ferdinand de Saussure dan hasil usahanya dalam bidang ilmu linguistik (Linguistique General) ii. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.3 Bagi soalan ini, anda harus menghuraikan: i. Maksud Linguistik Deskripstif ii. Sertakan contoh-contoh bidang linguistik yang dihuraikan oleh Linguistik Deskriptif, termasuklah bidang fonetik dan fonologi kata, frasa dan ayat iii. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube, dll. 1.4 Bagi soalan ini, anda perlu memberikan: i. Ciri-ciri Linguistik Deskriptif ii. Sertakan contoh-contohnya sekali, misalnya menghuraikan bahasa Melayu iii. Aspek yang dihuraikan meliputi fonetik dan fonologi kata, frasa dan ayat bahasa Melayu secara deskriptif iv. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya 1.5 Bagi soalan ini, anda perlu memberikan: i. Definisi Linguistik Historis ii. Contoh perkembangan bahasa secara historis, misalnya bahasa Melayu sebelum merdeka dan bahasa Melayu selepas merdeka

16

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

iii. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya 1.6 Bagi menjawab soalan ini, anda perlu: i. Memahami disiplin Linguistik Historis yang mengutamakan sejarah satu-satu bahasa itu ii. Misalnya bahasa Melayu, mempunyai sejarah perkembangan dan pertumbuhan bahasa itu iii. Pengaruh bahasa Arab, Sanskrit, Cina dan Inggeris dari segi sejarah turut menambah perbendaharaan kata bahasa Melayu. iv. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.7 Bagi menjawab soalan ini, anda perlu: i. Menjelaskan maksud linguistik komparatif ii. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.8 Bagi menjawab soalan ini, anda perlu: i. Menghuraikan linguistik komparatif, misalnya bahasa yang boleh dibanding-bandingkan, iaitu bahasa serumpun iv. Contoh bahasa serumpun: bahasa Melayu, bahasa Tagalog, bahasa Iban, bahasa Indonesia v. Dialek serumpun bahasa Melayu seperti dialek Kedah, dialek Kelantan, dialek Perak dan seumpamanya. vi. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube, dan seumpamanya. 1.9 Bagi menjawab soalan ini, anda perlu memberikan: i. Maksud bidang Sosiolinguistik ii. Tokoh-tokoh Sosiolinguistik dalam negara dan luar negara iii. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.10 Bagi soalan ini, anda harus menghuraikan: i. Bidang Sosiolinguistik yang mencakupi semua aspek yang ada kaitan antara bahasa dengan masyarakat

17

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

ii. Anda perlu memberi jawapan anda yang meliputi bahasa kebangsaan, pidjin, kreol, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan seumpamanya iii. Jawapan anda juga harus meliputi bilingualisme dan multilingualisme serta dialek dan ideolek iv. Anda juga harus memberikan jawapan anda meliputi sikap terhadap bahasa, sistem panggilan dalam masyarakat, kesetiaan terhadap bahasa dan perancangan bahasa. 1.11 Bagi soalan ini, jawapan anda harus mencakupi: i. Penjelasan tentang konsep neurolinguistik ii. Aspek-aspek neurolinguistik 1.12 Bagi soalan ini, jawapan anda harus: i. Menerangkan hubungan antara neurolinguistik dengan penyakit afasia ii. Aspek-aspek lain berkaitan dengan neurolinguistik iii. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.13 Bagi menjawab soalan ini, anda perlu memberikan: i. Maksud linguistik am ii. Contoh linguistik am yang terdapat dalam bahasa Melayu iii. Sila hurai secara am bidang fonetik dan fonologi bahasa Melayu. 1.14 Bagi menjawab soalan ini, anda perlu memberikan: i. Ciri-ciri linguistik am ii. Contoh ciri-ciri linguistik am yang terdapat dalam bahasa Melayu seperti huraian secara umum tentang bunyi-bunyi bahasa, sistem fonem, pembentukan suku kata, kata, kata, frasa, klausa, ayat dan seumpamanya iii. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.15 Bagi soalan ini, anda perlu: i. Menerangkan maksud linguistik terapan ii. Menghuraikan kegunaan linguistik terapan dan seumpamanya, khususnya dalam pengajaran bahasa iii. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 18

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

1.16 Bagi soalan ini, anda perlu: i. Menghuraikan maksud linguistik terapan ii. Menjelaskan bagaimanakah linguistik terapan dimanfaatkan dalam pengajaran bahasa iii. Memberikan contoh buku teks yang mengandungi linguistik terapan iv. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.17 Bagi soalan ini, anda perlu: i. Memberikan definisi mengenai psikolinguistik ii. Menyatakan nama tokoh-tokoh psikolinguistik iii. Memberikan nama tokoh-tokoh bahasa Bahasa Melayu iv. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.18 Untuk menjawab soalan ini: i. Anda perlu menjelaskan jenis-jenis bahasa yang kerap digunakan oleh penutur tertentu ii. Anda perlu mengenal pasti bahasa-bahasa yang lazim digunakan oleh murid-murid tertentu pada peringkat-peringkat umur tertentu iii. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.19 Untuk menjawab soalan ini, anda perlu: i. Memberikan pelbagai cabang linguistik yang anda tahu ii. Menghuraikan dengan lebih lanjut setiap cabang linguistik tersebut iii. Menyertakan tokoh-tokoh linguistik dan aliran mereka iv. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.20 Untuk menjawab soalan ini, anda perlu: i. Berikan maksud linguistik fungsional ii. Menjelaskan aspek-aspek yang dicakupi oleh linguistik fungsional iii. Sertakan nama tokoh-tokoh linguistik fungsional iv. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya.

19

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

1.21 Untuk menjawab soalan ini, anda perlu: i. Berikan maksud linguistik sinkronis ii. Berikan maksud linguistik diakronis iii. Mengenal pasti perbezaan antara linguistik sinkronis dengan linguistik diakronis iv. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.22 Untuk menjawab soalan ini, huraian anda perlu meliputi: i. Maksud tatabahasa transformatif generatif ii. Noam Chomsky dan seumpamanya iii. Ciri-ciri tatabahasa transformatif generatif iv. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.23 Untuk menjawab soalan ini, anda perlu: i. Berikan maksud rumus struktur frasa ii. Berikan maksud rumus transformasi iii. Berikan contoh-contohnya sekali iv. Sila rujuk sumber lain daripada buku, internet, jurnal, youtube dan seumpamanya. 1.24 Untuk menjawab soalan ini, huraian anda perlu: i. Menyatakan semua cabang linguistik yang anda tahu ii. Berikan penjelasan ringkas bagi setiap cabang linguistik tersebut iii. Sertakan contoh-contohnya sekali. 1.25 Untuk menjawab soalan ini: i. Saya yakin anda pasti dapat menjelaskan kepentingan ilmu linguistik kepada guru, termasuklah membantu mengajar sebutan kepada murid-murid ii. Memahirkan murid-murid dengan sistem ejaan baharu iii. Memahirkan guru-guru menghuraikan bidang-bidang bahasa kepada murid-murid termasuklah frasa dan ayat 1.26 Untuk menjawab soalan ini, anda perlulah: i. Menghuraikan segala aspek perubahan dan perkembangan bahasa Melayu sebelum merdeka, selepas merdeka dan bahasa Melayu terkini ii. Sila sertakan contoh-contohnya sekali. 20

LINGUISTIK DAN CABANG-CABANGNYA / 1

Rujukan
Abdul Hamid Mahmood (1995). Ejaan bahasa Melayu terkini. Masa Enterprise. Abdul Hamid Mahmood (2002). Guru dan bahasa Melayu. Kuala Lumpur: City Reprographic Services. Abdul Hamid Mahmood dan Nurfarah Lo Abdullah (2007). Linguistik fonetik dan fonologi bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Aslita Sdn. Bhd. Abdullah Hassan (1993). Linguistik am untuk guru Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Alias Mohammad Yatim (1992). Fonetik dan fonologi suatu tinjauan. Kulim: Penerbit Sarlis. Arbak Othman (1983). Permulaan ilmu linguistik. Kuala Lumpur: Sarjana Enterprise. Ashby, P. (1995). Speech sounds. London: Routledge. Barnhart, C.L. & Barnhart, R.K. (Ed.) (1981). The world book of encyclopedia volume two. Toronto: World Book Inc. Bright, W. (Ed) (1992). International encyclopedia of linguistics. New York: Oxford University Press.

21

You might also like