You are on page 1of 7

BUDAYA DAN KEPELBAGAIAN KELOMPOK DI MALAYSIA

Definisi Budaya Dan Kelompok Secara umum, berdasarkan kamus Dewan, budaya ditakrifkan sebagai nilai, kepercayaan, tingkah laku dan objek-objek material yang meliputi cara hidup. Schein (1985) pula

mentakrifkan budaya sebagai andaian-andaian asas dan kepercayaan yangg dikongsi oleh warga organisasi dengan organisasi menganggap amalan dan nilai organisasi tersebut sebagai biasa. Nias (1989) pula mendefinisikan budaya sebagai sistem kepercayaan organisasi yang sukar diubah merangkumi amalan dan tingkah laku artifak, norma masyarakat, sistem nilai dan sistem kepercayaan. Modern Dictionary of Sociology pula mendefinisikan budaya sebagai keseluruhan cara hidup manusia meliputi kehidupan kelompok yang bercorak kebendaan dan bukan kebendaan. Budaya kebendaan (artifak) merupakan apa sahaja ciptaan manusia berbentuk objek (alat, bangunan, senjata, kenderaan). Manakala mentifak (bukan kebendaan) pula ciptaan manusia yang berbentuk abstrak seperti kepercayaan, adat, undang-undang, dan sebagainya. AL Kroeber dan Clyde Kluckhohn (1952) seterusnya mendefinisikan budaya sebagai kelengkapan hidup, sistem kemasyarakatan, sistem ekonomi, bahasa, kesenian, ilmu pengetahuan dan keagamaan selain segala yang diterima, dipercayai dan diamalkan oleh masyarakat itu mestilah berterusan atau diulangi oleh generasi berikutnya, jika tidak, ia dianggap terkeluar daripada kelompok budayaan. Menurut Nik Safiah Abdul Karim, budaya adalah tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa. Penggerak ini dimiliki oleh semua individu dan melaluinya sesuatu perkara itu dapat dilaksanakan. Ini bermaksud bahawa kemampuan seseorang menggunakan segala tenaga sama ada berbentuk fizikal mahupun rohani, kearah menggerakkan jiwa bagi mencapai hasrat yang diingini. Hasrat dan nilai yang diingini itu pula seharusnya tidak bercanggah dengan kehendak masyarakat dan diterima serta dipersetujui untuk diamalkan bersama. Nilai tersebut akan membentuk norma dalam masyarakat. Kelompok pula didefinisikan (Kamus Dewan) sebagai dua individu atau lebih yang berinteraksi saling bergantung dan saling bergabung untuk mencapai sasaran tertentu. Alasan untuk saling bergantung dan bergabung dalam kelompok merangkumi keamanan, status, harga diri, afiliasi, kekuatan dan pencapaian tujuan. Cartwright dan Zender (1968) dalam Goldhaber,

Gerald M. (1990) mentakrifkan kelompok itu sekumpulan individu yang mempunyai hubungan antara satu sama lain yang membuat mereka saling bergantung dalam tingkatan tertentu. Baron & Byrne (1979) pula menyatakan kelompok memiliki 2 identiti psikologi, iaitu pertama, terdapat sense of belonging dan kedua, nasib anggota kelompok bergantung satu sama lain sehingga hasil setiap anggota berkait dengan anggota yang lain. Forsyth (1991) pula mendefinisikan kelompok adalah dua atau lebih individu yang saling mempengaruhi melalui interaksi sosial manakala definisi oleh James B. Lau dan A.B Shani (1992) mentakrifkan kelompok sebagai pengumpulan individu yang secara nyata memiliki hubungan saling bergantung dengan anggota yang lain. Berdasarkan hakikat tersebut, dapat dikatakan bahawa setiap manusia merupakan sebahagian atau anggota dari pelbagai kelompok. Dalam kehidupan bermasyarakat, kelompok sangat beraneka ragam dari aspek jenis dan jumlahnya. Sebagai contoh, kelompok dapat dibezakan berdasarkan struktur formal dan informal. Kelompok formal memiliki struktur serta peraturan yang jelas yang sengaja dibuat untuk mengatur hubungan antara anggota kelompok (peraturan, pendaftaran, pemilihan ketua) berbeza dengan kelompok informal yang tidak memiliki struktur serta peraturan yang jelas.

Budaya Dan Kelompok di Malaysia Malaysia pada hari ini didiami oleh pelbagai kelompok bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah. Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan masayarakat majmuk. J.S.Furnivall merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep kelompok majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967), masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat

berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras. Selain daripada Furnivall dan Smith, P.L. Van Den Berghe juga memberikan sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep masyarakat majmuk. Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat dipecahkan kepada kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan budaya iaitu wujud daripada beberapa kelompok etnik. Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum pendatang daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985). Pada awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India. Menurut B.W. Andaya dan L.Y Andaya (1983), masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu melalui sistem tiket yang sangat popular. Menurut W.L. Blythe (1953), bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan kerana ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah Melayu. Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina

Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar. Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu. Selain migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan (Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain kepulauan yang berhampiran dengan Selat Melaka. Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar. Menurut S.N. Arseculeratne (1991), pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. Faktor ekomoni adalah bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang mereka dapat di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991). Setelah kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian. Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa 13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Teluk (Weiner, 1990).

Campur tangan Inggeris di Tanah Melayu bermula apabila Francis Light menduduki Pulau Pinang pada Ogos 1786, menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran daripada luar. Dalam jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial British di Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786 hingga 1957. Antara tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Walau bagaimanapun, jangka masa singkat itu dianggap tidak mempunyai signifikan yang besar kepada komposisi dan mobiliti penduduk. Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah mengalami transformasi kepada masyarakat heterogenios Malaysia yang mengandungi etniketnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen utamanya. Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan MelayuArab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain. Pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompokkelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.

Jenis Dan Demografi Kelompok Di Malaysia Malaysia merupakan negara Bangsa yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ia meliputi 13 buah negeri dan 3 buah Wilayah Persekutuan. Keluasan Malaysia meliputi 330, 252 kilometer persegi dengan Semenanjung Malaysia 131, 598 kilometer persegi, Sabah 73, 710 kilometer persegi dan Sarawak seluas 131, 598 kilometer persegi. Penduduk Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang bangsa, agama dan keturunan. Jumlah anggaran penduduk tahun 2005 ialah 26.1 juta orang. Terdiri daripada kaum Melayu (61%), kaum Cina (30%), kaum India (8%) dan lain-lain (1%) (Norkhanizan, 2006:54).

Kepelbagaian suku kaum yang ada di Malaysia juga sebenarnya satu rahmat kerana ia sekali gus menambahkan citra bahasa dan kepelbagaian budaya. Umumnya, kebudayaan Kebangsaan Malaysia adalah berasaskan kebudayaan Melayu yang mengutamakan nilai-nilai sopan-santun, kesederhanaan, keindahan dan keharmonian (Norkharizan, 2006). Dari segi perlembagaan, orang Melayu ialah orang yang berkulit sawo matang, berbahasa Melayu dan beragama Islam. Kira-kira satu perempat daripada penduduk Malaysia ialah kaum Cina, dan 7% lagi terdiri daripada kaum India. Hampir 85% daripada kaum India di Malaysia merupakan masyarakat Tamil. Lebih separuh populasi Sarawak dan 66% populasi Sabah terdiri daripada kaum bumiputera bukan Melayu. Kemasukan kaum lain sedikit sebanyak mengurangkan peratusan penduduk peribumi di kedua-dua negeri itu. Kelompok di Sabah terbahagi kepada puluhan kumpulan etnik tetapi memiliki budaya umum yang sama. Kaum yang utama adalah Kaum Kadazan-Dusun, Murut dan Iban. Sehingga abad ke 20, kebanyakan daripada mereka mengamalkan kepercayaan tradisional tetapi kini telah ramai yang sudah bertukar kepada Kristian atau memeluk Islam. Selain itu, Malaysia juga mempunyai penduduk yang berasal daripada Eropah (dipanggil Eurasia) dan Timur Tengah. Kepadatan penduduk Malaysia tidak sama dengan 17 juta daripada 25 juta rakyat Malaysia menetap di Semenanjung Malaysia dan selebihnya menetap di Sabah dan Sarawak.

Bibliografi Andaya, B.W. Andaya, L.Y. 2001. A History of Malaysia 2nd ed. Palgrave: Basingstoke Arseculeratne, S. N. 1991. Sinhalese Immigrants In Malaysia And Singapore 1860-1990: History Through Recollections. Colombo: K. V. G. De Silva & Sons (Colombo) Blythe, W. L. 1947. Historial sketch of Chinese labour in Malaya. Singapore: Govt. Print. Off., 1953. 38p. Dicetak semula dalam: Journal of the Royal Asiatic Society, Malayan Branch, v. 20, pt. 1 (June 1947). [HD8769 Bly] Forsyth, P. 1992. Agreed! Making Management Communication Persuasive : A Guide To Obtaining Agreement and Getting Ideas Accepted. Singapore: Heinemann Asia. Furnivall, Frederick J. 1894. The Boke of Nurture. Edited from the Harleian. British Museum. London: Early English Text Society. Goldhaber, Gerald M. 1990. Organizational Communication. USA: Wm. C. Brown Publisher. James P. Ongkili. 1985. Nation-building in Malaysia 1946-1974. Singapore: Oxford University Press. Kamarulzaman Azkandar. 2006. Perpaduan dan Perdamaian Etnik. Berita Harian. (20/08/2006) Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kroeber, A.L. & Kluckhohn, C. 1952. Culture: A Critical Review of Concepts and Definitions. Cambridge, Mass: Peabody Museum. Lau, James B. dan A.B Shani. 1992. Behavior in Organizations. Boston: Irwin Nias, J. 1987. The Primary School Staff Relationships Project; Origins, Aims and Methods: Cambridge Journal of Education. Nik Safiah Karim. Et. Al. 2008. Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Norkharizan Manaf dan Hartini Hashim. 2006. Malaysia: Buku Rasmi Tahunan. Kuala Lumpur: Jabatan Penerangan Malaysia. Schein, E. H. 1985. Organisational Culture and Leadership. San Francisco: Jossey-Bass.

You might also like