You are on page 1of 4

1

KOC3402 ASAS STRATEGI KOMUNIKASI (PJJ) Semester Kedua, 2012/2013 (Februari 2013) (Dr. Mohd Nizam Osman) Tugasan 1: Penulisan Laporan Menganalisa Keberkesanan Stategi Komunikasi Dalam Kempen Sosial (20%) Pengenalan Kempen sosial adalah suatu medium yang dilaksanakan untuk mencapai sesuatu objektif khusus. Kempen sosial lebih bersifat sosial, iaitu ianya digubal dan dilaksanakan untuk kepentingan rakyat dan masyarakat secara keseluruhannya. Kempen sosial dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan tujuan di kebanyakkan negara, sama ada negara membangun mahupun negara maju. Dalam konteks negara membangun seperti Malaysia, kempen sosial dilihat sebagai suatu usaha untuk membantu masyarakat untuk i) meningkatkan kesedaran mengenai sesuatu isu ii) meningkatkan pengetahuan mengenai sesuatu isu iii) untuk memberikan maklumat pencegahan iv) untuk memberikan pendidikan atau v) untuk tujuan pembujukan. Sebagai contoh, kempen keselamatan jalan raya, kempen hidup sihat tanpa AIDS, kempen berbudi bahasa, kempen cintailah sungai kita, kempen menanam pokok, kempen perpaduan perkauman, kempen memerangi nyamuk AEDES dan bermacam lagi kempen sosial yang dijalankan semuanya bertujuan untuk memberikan informasi dan pendidikan kepada masyarakat. Antara elemen penting dalam melaksanakan sesuatu kempen sosial adalah untuk menyampaikan maklumat dan informasi yang berguna kepada masyarakat dengan menggunakan strategi komunikasi yang bekesan. Objektif sesuatu kempen sosial juga dilihat penting dan penganjur kempen akan mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan objektif, informasi serta maklumat mengenai sesuatu kempen sosial kepada masyarakat dengan menggunakan pelbagai pendekatan, termasuklah pendekatan media massa. Strategi komunikasi yang dilihat sebagai berkesan akan digunakan dalam menyampaikan intipati sesuatu kempen sosial kepada masyarakat

melalui media massa seperti televisyen, radio dan akhbar. Namun, adakah langkah ini berkesan dalam memberikan pendidikan yang efektif kepada masyarakat? Sebagai contoh, walaupun kerajaan telah membelanjakan wang yang banyak dalam mengubal serta melaksanakan sesuatu kempen sosial, namun masih terdapat ramai golongan masyarakat yang sama ada tidak memahami intipati kempen sosial kerajaan atau mereka sekadar tidak mempedulikan kempen tersebut. Sebagai contoh, setiap tahun, kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam menjalankan kempen keselamatan jalan raya, khususnya pada musim-musim perayaan tetapi bilangan kemalangan jalan raya, termasuklah kemalangan maut tidak berkurangan, malahan semakin bertambah. Mengapakah perkara ini berlaku? Adakah kesilapannya berpunca daripada i) strategi komunikasi yang digunakan dalam kempen keselamatan jalan raya adalah tidak berkesan atau ii) pemilihan media massa untuk menyalurkan maklumat mengenai kempen keselamatan kepada masyarakat dilakukan dengan kurang berkesan atau iii) masyarakat sekadar tidak mengambil peduli mengenai kempen tersebut? Di manakah kesilapannya? Siapakah yang harus dipersalahkan? Bagaimanakah keberkesanan sesuatu kempen sosial dapat dipertingkatkan? Inilah di antara persoalan yang harus dijawab dalam tugasan ini. Misi Anda Untuk tugasan ini, anda dikehendaki menulis suatu laporan secara individu yang panjangnya tidak melebihi 10 muka surat di mana anda perlu menganalisa keberkesanan dan kelemahan strategi komunikasi yang digunapakai dalam melaksanakan sesuatu kempen sosial di Malaysia. Anda boleh memilih untuk menganalisa keberkesanan apa sahaja kempen sosial seperti kempen Keselamatan Jalan Raya atau kempen Tak Nak Merokok atau Kempen Berbudi Bahasa atau Kempen Hidup Sihat Tanpa AIDS dan sebagainya. Sebagai contoh, anda boleh memilih untuk menganalisa keberkesanan strategi komunikasi yang digunakan dalam melaksanakan kempen Tak Nak Merokok dengan memaparkan gambar-gambar yang mengerikan pada kotak rokok mengenai barah

paru-paru, barah otak, barah bibir dan sebagainya yang dihidapi oleh perokok akibat daripada tabiat merokok. Pada pandangan anda, adakah strategi komunikasi ini berkesan atau sebaliknya dalam memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai bahaya tabiat merokok? Adakah strategi komunikasi yang digunakan dalam kempen Tak Nak Merokok lebih efektif di kalangan masyarakat bandar berbanding masyarakat luar bandar? Mengapa? Adakah anda rasa kempen Tak Nak Merokok yang terbaru ini berjaya atau gagal dalam memberikan pendidikan yang berkesan kepada masyarakat mengenai bahaya tabiat merokok? Anda perlu memberikan sebab dan alasan yang kukuh untuk mempertahankan pandangan anda. Salah satu cara untuk mempertahankan pandangan anda adalah dengan menyertakan sokongan dan pandangan dari penulis-penulis lepas mengenai masalah kesihatan yang diakibatkan oleh tabiat merokok. Anda perlu menyertakan sekurang-kurangnya 5 sumber (pandangan dari penulis lepas) untuk menyokong pandangan anda mengenai isu ini. Format Laporan Tugasan Format untuk penulisan laporan tugasan ini adalah seperti berikut: Laporan perlulah ditulis dalam bentuk esei dan panjang laporan adalah tidak melebihi 10 muka surat (tidak termasuk kulit hadapan dan bahagian kandungan). Laporan perlulah ditulis dengan menggunakan fon Times New Roman (saiz 12) dan ditulis 1 langkau. Laporan perlulah mempunyai 1) Pengenalan, iaitu perbincangan umum mengenai kempen sosial yang anda pilih seperti tahun dilaksanakan, objektif pelaksanaan dan sebagainya. 2) Cara Pelaksanaan, iaitu adakah pelaksanaan kempen ini dilakukan melalui media massa dan/atau media elektronik atau dengan menggunakan pendekatan lain. 3) Khalayak Sasaran, iaitu siapakah khalayak sasaran kempen tersebut dan bagaimanakah khalayak sasaran ini dikenalpasti, 4) Perbincangan mengenai keberkesanan atau kelemahan strategi komunikasi yang digunakan dalam kempen komunikasi tersebut, di mana anda perlu membincangkan kelemahan serta kekuatan strategi komunikasi dalam kempen sosial yang anda pilih dan 5) penutup, iaitu anda berikan rumusan mengenai perbincangan yang telah anda berikan secara keseluruhan.

Sekurang-kurangnya 5 sumber rujukan diperlukan untuk laporan ini. Sumber rujukan perlulah diperolehi daripada jurnal, buku, artikel, kertas kerja persidangan/konferens dan/atau majalah ilmiah. Sumber rujukan perlulah yang terkini, iaitu penerbitannya adalah tidak melebihi 10 tahun lepas.

Tarikh Penyerahan Tugasan Tarikh penyerahan Tugasan 1 adalah pada atau sebelum 29 Mac 2013 (Jumaat). Sila serahkan laporan anda terus kepada PPL atau kepada pusat pembelajaran anda untuk diserahkan kepada PPL untuk direkodkan sebelum tugasan tersebut diserahkan kepada saya untuk disemak dan untuk tindakan selanjutnya. 2 markah akan dipotong bagi setiap hari laporan diterima selepas tarikh yang ditetapkan ini.

You might also like