You are on page 1of 3

Orang Melayu terkenal dengan budaya berbahasa dan mempunyai sikap yang sopan dalam perhubungan sesama masyarakat.

Budaya yang baik ini bukan sahaja ditunjukkan melalui sikap perilaku seharian malahan dalam komunikasi juga. Orang Melayu pada suatu ketika dahulu boleh manipulasi dan menggunakan bahasa yang lembut dan bertapis untuk menegur, memberi nasihat serta menyindir orang lain. Penggunaan bahasa berkias dan bertapis ini bertujuan untuk mengelakkan orang lain sakit hati dan terluka dengan cara kita menegur atau menyindir. Cara berbahasa yang dimaksudkan adalah dengan menggunakan peribahasa. Peribahasa seperti yang yang didifinisikan oleh pendeta Zaba ialah segala susun cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataan, luas dan benar tujuannya, dipakai akan dia jadi sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Bidalan, pepatah, perbilangan dan perumpamaan merupakan peribahasa kerana mengandungi sifat peribahasa yang telah disebutkan itu. Salah satu bahagian daripada peribahasa yang dibincangkan dalam artikel ini ialah perumpamaan. Perumpamaan merupakan salah satu aspek bahasa sangat penting dalam mendidik masyarakat supaya dapat mengamalkan norma-norma dan nilai-nilai yang baik dalam sesebuah komuniti. Pada suatu ketika dahulu, perumpamaan digunakan secara meluas dalam persuratan dan pertuturan harian. Perumpamaan telah menjadi kebiasaan dan amalan dalam kehidupan bermasyarakat, bak kata pepatah, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Namun begitu, setelah masa berlalu dan arus pemodenan semakin rancak berkembang, penggunaan perumpamaan tidak lagi popular malahan tidak ramai yang boleh menggunakan perumpamaan dalam pertuturan seharian. Sesekali kita akan mendengar peribahasa dalam kaca televesyen apabila wartawan TV3 Karam Singh Walia membuat sesuatu liputan dan sesekali juga kita mendengar perumpamaan ini dalam kelas bahasa Melayu. Generasi baharu tidak lagi berminat untuk belajar dan mencuba untuk menggunakan peribahasa. Hal ini kerana, terdapat empat faktor yang menyebabkan mereka tidak berminat mengamalkan peribahasa. Pertama, generasi baharu merasa kabur dengan erti sebenar sesuatu peribahasa dan ini menyebabkan mereka ragu-ragu untuk menggunakannya. Kedua, mereka menganggap isi peribahasa tidak lagi relevan untuk masa sekarang. Ketiga, mereka mahu percakapan yang lebih jelas dan tepat serta yang keempat adalah mereka tiada kemahiran mengarang peribahasa secara sepontan dalam pertuturan. Dalam keadaan yang sebenar, penggunaan perumpamaan ini masih relevan dan sesuai untuk masa sekarang. Perkembangan teknologi bukan menjadi alasan untuk mengelakkan kita daripada menggunakan perumpamaan dalam pertuturan seharian. Kebolehan menggunakan perumpamaan dalam pertuturan merupakan satu kelebihan dan keunikan kepada diri kita sendiri. Penggunaan perumpamaan dalam pertuturan boleh mewujudkan keseronokan dalam pergaulan, meningkatkan kemahiran berkomunikasi, mengeratkan perhubungan dan memberi kesedaran secara positif kepada orang lain terhadap budaya orang Melayu yang sebenar. Fungsi peribahasa dalam masyarakat kita boleh lihat dalam beberapa aspek seperti yang dijelaskan di bawah. 1. Mewujudkan keseronokan dalam pergaulan Kerseonokan dalam pergaulan menunujkkan individu yang terlibat dalam pergaulan tersebut merasa gembira dan selesa semasa bergaul. Kadang-kandang terdengar tawa dan wajah yang ceria sentiasa ditunjukkan. Keseronokan dalam komunikasi berlaku apabila kesefahaman wujud dan terselit unsur humor di dalamnya. Unsur humor ini boleh ditunjukkan dengan adanya penggunaan perumpamaan yang sedikit jenaka tetapi tidak keterlaluan. Berikut

beberapa contoh peribahasa atau perumpamaan yang boleh digunakan dalam pergaulan untuk tujuan menimbulkan keseronokan. Dalam pergaulan, keseronokan boleh timbul apabila ada pujian yang ikhlas dan jujur di antara individu yang terlibat. Contohnya anda dan sahabat anda baharu sahaja pulang dari kelas mengaji. Secara jujurnya anda ingin memuji kelunakan suara sahabat anda yang begitu pandai mengaji. Maka anda boleh mengatakan Amin suara kamu merdu bagai bulu perindu. Perumpamaan ini bermaksud pujian yang berkias dengan bahasa yang lebih lembut dan menyeronokan. Mungkin anda juga mahu bergurau dengan sahabat anda dalam majlis yang kamu hadiri. Selesai sahaja makan dan merasa kenyang anda meminta izin pulang dengan sedikit gurauan dalam komunikasi. Gurauan seperti ini mungkin anda boleh gunakan, Kamal saya mahu pulang, saya seperti pacat kenyang. Gurauan ini bermaksud anda pulang tergesa-gesa selepas sahaja makan dengan kenyang. Mungkin anda ada hal penting yang ingin diselesaikan. Mendengar ungkapan ini rakan-rakan anda pasti gelak bukan bertujuan menyindir tetapi seronok kamu berbahasa dengan menggunakan kiasan. 2. Memberi nasihat Perumpamaan juga boleh digunakan dalam memberikan nasihat. Penggunaan perumpamaan dalam memberi nasihat bertujuan untuk menyedarkan seseorang dengan membandingkan perbuatannya dengan sesuatu benda yang mujud. Keadaan ini sebenarnya lebih berkesan kerana orang yang menerima nasihat akan sedar tentang kelemahan atau perbuatan yang tidak baik dia lakukan umpama benda yang digambarkan dalam peribahasa. Contohnya, mungkin anda mahu menasihatkan kawan anda supaya memberi didikan kepada anak bermula dari kecil lagi supaya sasiahnya boleh dibentuk dengan lebih mudah. Anda akan berkata dengan perumpamaan kalau menasihatkan kanak-kanak biarlah bermula dari mereka kecil, bak kata pepatah melentur buluh dari rebungnya. Setelah menilai nasihat anda, memang benar rebung mudah dilentur sebelum menjadi buluh yang dewasa. Begitu juga dangan kanak-kanak, mereka lebih mudah dibentuk sebelum menjadi dewasa. Setelah membandingkan benda konkrit dalam peribahasa tersebut iaitu rebung dengan kanak-kanak maka kawan anda akan lebih sedar supaya memberi nasihat yang terbaik kepada anak-anak sejak mereka kecil kerana mereka lebih mudah dinasihati pada waktu umur yang muda. 3. Menyindir dengan sopan Perumpamaan juga boleh digunakan untuk menyindir dengan sopan. Menyindir dengan sopan bertujuan untuk menegur seseorang dengan bahasa yang bertapis supaya tidak keterlaluan tetapi memberikan mesej yang tajam. Menyindir dengan sopan menandakan seseorang itu bijak menggunakan bahasa supaya mesej yang disampaikan berkesan dan orang yang mendengarnya dapat memperbetulkan kesilapannya. Perumpamaan yang sederhana dan bersifat praktikal boleh digunakan supaya maksudnya betul-betul sampai kepada penerima. Contoh perumpamaan yang digunakan untuk menyindir seseorang adalah seperti situasi yang berikut. Akmal kamu tidak akan dapat kahwin sekiranya terus duduk diam seperti Mat Jenin, pergilah bekerja. Sindiran seperti ini boleh menyedarkan seseorang supaya bertindak untuk mendapatkan keinginannya. 4. Menyatakan pendirian yang tegas Perumpamaan juga boleh digunakan untuk menyatakan pendirian yang tegas dengan menggunakan pemilihan kata dan kiasan yang memberi kesan yang sangat mendalam. Kadangkala kita mahu menyatakan pendirian dengan menggunakan kata putus yang biasa diungkapkan, namun kata putus ini lebih jelas dan tegas sekiranya disertakan dengan

perumpamaan. Contohnya, perumpamaan seperti berkerat rotan berpatah arang yang bermaksud memutuskan tali persahabatan atau persaudaraan dengan niat tidak mahu menyambungkannya semula. Perumpamaan yang dibayangkan dengan kiasan berkarat rotan dan berpatah arang cukup jelas bahawa pendirian yang dibuat itu adalah sungguh-sungguh dan tegas. Secara keseluruhannya, peranan perumpamaan sangat jelas dalam mendidik masyarakat. Perumpamaan yang tergolong dalam peribahasa perlu dipraktikkan supaya tidak hilang ditelan zaman kerana perumpamaan merupakan khazanah bahasa yang tidak ternilai harganya. Generasi baharu perlu sedar bahawa perumpamaan bukanlah kata-kata yang biasa tetapi merupakan ketertinggian permikiran. Zaba pernah menyatakan bahawa peribahasa merupakan lidah pendeta. Pernyataan ini jelas menggambarkan nilai dan ilmu yang terkandung dalam perumpamaan itu. Dengan hal yang demikian, perumpamaan ini juga perlu diajar di sekolah dengan sungguh-sungguh kerana perumpamaan yang termasuk dalam peribahasa merupakan salah satu karya sastera yang perlu dihayati seperti mana yang dikehendaki dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu. Bagi memupuk minat terhadap perumpamaan, berikut merupakan beberapa himpunan perumpamaan yang boleh kita mula praktikkan dalam pertuturan seharian dan juga dalam penuliasn. Seperti ayam tambatan (orang yang berani) Seperti anak muda jolong berkeris (keghairahan seseorang untuk menggunakan sesuatu yang baharu diperolehinya) Seperti anjing dengan bayang-bayang (orang yang sangat tamak selalu rugi) Seperti belut pulang ke lumpur (anak kampung pulang ke tempat asalnya) Seperti belanda minta tanah (mula-mula minta sedikit tetapi akhirnya ingin memiliki semua) Seperti bersaksi ke lutut (bersaksi kepada keluarga dendiri) Seperti berkerat rotan berpatah arang (memutuskan tali persahabatan atau persaudaraan dengan niat tidak mahu menyambungkannya semula) Seperti buluh perindu (suara yang sangat merdu) Seperti durian dengan timun, menggolek binasa, kena golekpun binasa (orang yang lemah dan tidak berupaya hendak menentang orang yang kuat dan berkuasa.) Seperti duri dalam daging (menanggung beban masalah yang sukar diatasi. Lama-kelamaan masalah itu semakin berat dan mendatangkan mudarat) Seperti enau dalam belukar (mementingkan diri-sendiri) Seperti gendang kosong (banyak bercakap dan berlagak pandai, tetapi sebenarnya pengetahuannya sedikit sahaja atau tiada langsung) Seperti gagak pulang ke benua (perantau yang pulang ke tempat asal tanpa sebarang perubahan) Seperti halilintar membelah bumi (bunyi atau suara yang kuat den mengejutkan) Seperti isi dengan kuku (persahabatan yang sangat rapat) Seperti kacang lupakan kulit (orang yang tidak tahu mengenang budi)

You might also like