You are on page 1of 4

BAHASA SEBAGAI ALAT KOMUNIKASI Keperluan bahasa sebagai alat komunikasi melebihi keperluannya sebagai ekspresi diri.

Melalui komunikasi manusia dapat menyampaikan semua yang dirasai, difikirkan, dan diketahui oleh mereka kepada orang lain. Melalui komunikasi juga manusia mewarisi dan mempelajari semua yang pernah diperoleh oleh individu yang terdahulu daripada mereka. Sebagai alat komunikasi, bahasa merupakan saluran untuk membolehkan penutur sesuatu bahasa dapat menjalin kerjasama dengan penutur daripada bahasa yang lain. Komunikasi merupakan satu bentuk tingkah laku social dan untuk memenuhi keperluan tersebut mereka yang berkomunikasi perlu menguasai beberapa perkara seperti bagaimana hendak menarik perhatian pendengar, memulakan dan mengakhiri pembicaraan, mencelah perbualan, mendapatkan penjelasan lanjut, memperbetul kesilapan dan mempengaruhi orang lain untuk melakukan sesuatu. Kesemua ini merupakan ciri khas dalam satu sesi komunikasi.

Bahasa sebagai alat komunikasi boleh berlaku dalam dua cara, iaitu secara lisan atau tulisan. Komunikasi lisan bermaksud penutur mengujarkan bunyi-bunyi bahasa untuk didengari dan difahami oleh pendengar. Komunikasi tulisan pula bermaksud penulis mencatatkan dan menggunakan tanda-tanda yang dapat dilihat atau dibaca bagi menyampaikan idea atau perkara yang terkandung dalam fikiran mereka kepada pembaca. Penutur dan penulis perlu mempunyai keupayaan tertentu apabila menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi seperti memilih bentuk bahasa yang sesuai dengan konteks.

Penggunaan bahasa sebagai alat komunikasi perlu menitikberatkan ciri-ciri konteks komunikasi yang terdiri daripada penutur, pendengar, topik pembicaraan, latar belakang dan tujuan komunikasi. Perkara ini dapat dijelaskan seperti berikut: (a) Penutur Penutur perlu diketahui terlebih dahulu untuk membolehkan mesej penutur dapat difahami dengan lebih tepat oleh pendengar. Sebagai contoh, ujaran Ada kes baharu hari ini sukar untuk difahami jika pendengar kurang jelas tentang identiti penutur. Ujaran ini boleh memberikan pelbagai makna bergantung pada siapa penuturnya. Misalnya, jika penuturnya seorang doktor, maka ujaran tersebut boleh membawa makna kes yang merujuk kepada pesakit. Jika penuturnya anggota polis, ujaran tersebut membawa maksud kes jenayah. Demikian juga halnya jika ujaran

tersebut diujarkan oleh guru, ujaran tersebut bermaksud untuk memaklumkan kepada bapa pelajar tentang kes pelajar ponteng sekolah.

(b) Pendengar Kepentingan mengenal pasti pendengar sama pentingnya dengan mengenal pasti penutur. Pendengar yang berbeza seperti rakan sebaya, suami isteri, orang tua serta yang berbeza status atau mempunyai gelaran akan membuatkan ujaran yang sama ditafsirkan secara berbeza. Sebagai contoh, ujaran Nakalnya budak-budak kita,yang pendengarnya terdiri daripada suami atau isteri akan memahami bahawa budak-budak itu bermaksud anak-anak mereka. Sebaliknya, jika pendengarnya terdiri daripada guru sebagai rakan sejawat di sekolah, ujaran yang sama akan berbeza tafsirannya, iaitu bermaksud murid-murid mereka.

(c) Latar belakang komunikasi/perbualan Latar belakang komunikasi termasuklah masa, tempat, situasi, dan hubungan antara penutur dengan pendengar. Pengetahuan latar belakang ini membolehkan makna ujaran dapat difahami dengan lebih tepat. Perhatikan ujaran yang berikut: Kalau kita tengok tv tu macam-macam hal berlaku. Budak-budak kena lempang, minta duit orang, orang pukul orang. Bahaya betul.

Ujaran tersebut sangat kabur kerana kita tidak mengetahui latar belakang komunikasi tersebut. Sebaliknya, jika kita tahu hubungan antara penutur dengan pendengar, iaitu bapa pelajar dengan guru, tentulah kita dapat meneka bahawa tempat perbualan itu berlaku di sekolah dalam situasi yang ada kaitan dengan masalah disiplin pelajar yang semakin meruncing.

(d) Topik pembicaraan Topik yang akan dikomunikasikan atau dibicarakan juga penting kerana dengan mengetahui topik yang dibicarakan mudahlah kita memahami ujaran yang dilafazkan dan mengetahui maksud penutur. Topik pembicaraan yang berada dalam pengetahuan dan pengalaman yang sama antara penutur dengan pendengar memudahkan mereka mencapai matlamat komunikasi. Sebaliknya, jika topik pembicaraan yang hanya diketahui oleh penutur, tetapi tidak diketahui oleh pendengar akan menyebabkan tiada tindak balas dan respons pendengar menjadi tidak tepat.

(e) Tujuan komunikasi Tujuan komunikasi ada berbagai-bagai, bergantung pada suasana formal atau tidak formal seperti mesyuarat, temu bual, ucapan atau perbualan biasa. Tujuan komunikasi bukan sahaja mengandungi gambaran keseluruhan tentang sesuatu peristiwa komunikasi seperti peranan penutur dan pendengar, topik dan latar belakang, malah secara tidak langsung memberikan maklumat tentang konteks komunikasi itu tersendiri. Ada kalanya pendengar tidak mengetahui tujuan pertuturan itu dilafazkan, tetapi berdasarkan nada suara, mimik muka dan gerak badan dapat membantu pendengar memahami maksud sebenar komunikasi tersebut. Sebagai contoh, perhatikan ujaran yang berikut: Siapakah nama kamu? Umur kamu berapa tahun? Kamu tinggal di mana? Apakah perkerjaan bapa kamu?

Contoh ini menunjukan bahawa komunikasi tersebut bertujuan untuk mendapatkan maklumat peribadi daripada pendengar. Berdasarkan situasi komunikasi ini, kita dapat membuat andaian bahawa ujaran ini dituturkan oleh seorang guru kepada pelajarnya.

Komunikasi dua hala yang melibatkan penutur dan pendengar memerlukan kedua-dua pihak mempunyai kemahiran berbahasa. Penutur harus boleh bercakap dengan jelas melalui sebutannya yang betul, kemas, teratur dan berupaya untuk menggunakan intonasi, jeda, tekanan dan gaya yang tepat. Pendengar pula harus boleh mendiskriminasikan bunyi-bunyi ujaran, mendengar dengan teliti, memahami dan mentafsirkan percakapan yang didengar dan seterusnya bertindak balas terhadap apa yang didengarinya itu. Komunikasi yang berkesan melibatkan penutur dan pendengar berketerampilan serta mesej yang jelas dan mudah difahami. Jarak dan pelbagai halangan atau gangguan boleh mempengaruhi keberkesanan komunikasi.

Bahasa yang digunakan sebagai alat komunikasi manusia melibatkan dua perkara, iaitu jarak tempat dan jarak masa. Jarak tempat boleh menyebabkan penutur dan pendengar tidak berhadapan antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, melalui teknologi canggih yang ada hari ini komunikasi masih boleh berlaku, iaitu melalui perantara telefon, komputer

dan Internet. Dari segi jarak masa pula, apabila seseorang mahu merakam sesuatu untuk pengetahuan generasi yang terkemudian daripadanya, maka dia boleh merakamkan pertuturannya melalui pita rakaman atau menuliskannya di atas kertas atau buku. Dengan cara ini, dia masih dapat menyatakan fikiran, kehendak dan pendapat kepada orang lain walaupun jarak kehidupan antara mereka memakan masa berpuluh-puluh tahun.

You might also like