You are on page 1of 14

BANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN MALAYSIA 2010 (BANCI 2010) RALAT LAPORAN TABURAN PENDUDUK DAN CIRI-CIRI ASAS

DEMOGRAFI 2010 1. Pendahuluan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 (Banci 2010) merupakan banci kelima yang dilaksanakan sejak tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963. Banci sebelum ini telah dijalankan pada tahun 1970, 1980, 1991 dan 2000. Banci merupakan projek statistik yang besar telah dijalankan bagi menghasilkan data yang berguna untuk perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara. 2. Ringkasan Penemuan Banci 2010 menunjukkan jumlah penduduk Malaysia adalah 28.3 juta, berbanding 23.3 juta pada tahun 2000 (Carta 1). Ini memberikan purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 2.0 peratus untuk tempoh 2000-2010. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding 2.6 peratus bagi tempoh 1991-2000 (Carta 2). Negeri yang mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi bagi tempoh 2000-2010 ialah W. P. Putrajaya (17.8%), diikuti oleh Selangor (2.7%), Melaka (2.6%) dan Sabah (2.1%). Antara negeri yang mengalami kadar pertumbuhan yang rendah ialah Terengganu (1.4%), Perak (1.4%), W. P. Labuan (1.3%) dan Perlis (1.2%).

3. Taburan penduduk Taburan penduduk mengikut negeri menunjukkan Selangor sebagai negeri yang mempunyai penduduk paling ramai (5.46 juta), diikuti oleh Johor (3.35 juta) dan Sabah (3.21 juta). Sumbangan negeri tersebut kepada jumlah penduduk Malaysia ialah 42.4 peratus. Negeri yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah W. P. Putrajaya (72,413) dan W. P. Labuan (86,908).

4. Kepadatan penduduk Kepadatan penduduk Malaysia ialah 86 orang bagi setiap kilometer persegi pada tahun 2010 berbanding 71 orang pada tahun 2000. Kepadatan penduduk memberikan gambaran yang berbeza berbanding taburan penduduk. Selangor yang mempunyai penduduk paling ramai hanya menduduki tangga kelima dari segi kepadatan penduduk dengan 674 orang setiap kilometer persegi. Antara negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi ialah W. P. Kuala Lumpur (6,891 orang), Pulau Pinang (1,490 orang) dan W. P. Putrajaya (1,478 orang).

5. Urbanisasi Seiring dengan perkembangan pembangunan negara, perkadaran penduduk bandar meningkat kepada 71.0 peratus pada 2010 berbanding 62.0 peratus pada 2000 (Carta 5). Selain daripada W. P. Kuala Lumpur dan W. P. Putrajaya dengan paras urbanisasi 100 peratus, negeri lain yang mencatatkan paras urbanisasi yang tinggi adalah Selangor dan Pulau Pinang masing-masing 91.4 peratus dan 90.8 peratus (Carta 6). Sebaliknya, negeri yang mencatatkan paras urbanisasi yang rendah ialah Kelantan (42.4%), Pahang (50.5%) dan Perlis (51.4%).

6. Komposisi etnik Jumlah penduduk Malaysia adalah 28.3 juta yang merangkumi 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara. Warganegara Malaysia terdiri daripada kumpulan etnik Bumiputera (67.4%), Cina (24.6%), India (7.3%) dan Lain-lain (0.7%). Di kalangan warganegara Malaysia, Melayu merupakan kumpulan etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus. Iban mencatatkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan warganegara di Sarawak, manakala Kadazan/Dusun merekodkan sebanyak 24.5 peratus di Sabah.

7. Umur Perkadaran penduduk Malaysia di bawah umur 15 tahun menurun kepada 27.6 peratus berbanding 33.3 peratus pada 2000. Sebaliknya, perkadaran penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) meningkat kepada 67.3 peratus daripada 62.8 peratus. Perkadaran penduduk berumur 65 tahun dan lebih juga bertambah kepada 5.1 peratus berbanding 3.9 peratus pada 2000. Ini menyebabkan umur penengah meningkat daripada 23.6 tahun pada 2000 kepada 26.2 tahun pada 2010, manakala nisbah tanggungan menurun daripada 59.2 peratus kepada 48.5 peratus. Trend indikator ini selari dengan peralihan struktur umur ke arah penuaan penduduk di Malaysia.

8. Nisbah jantina Bilangan lelaki melebihi perempuan dengan nisbah jantina 106 (Carta 9). Situasi ini sama seperti yang diperoleh pada tahun 2000 (104). Nisbah lelaki berbanding perempuan secara relatifnya adalah tinggi bagi Pahang (113), Johor (112), Negeri Sembilan (107), Sabah (107), Selangor (107), W. P. Labuan (107) dan Sarawak (106). Sebaliknya, bilangan lelaki kurang daripada perempuan bagi W. P. Putrajaya (89) dan Perlis (97) seperti ditunjukkan dalam Carta 10.

9. Taraf perkahwinan Pada 2010, penduduk berumur 15 tahun dan lebih yang belum pernah berkahwin adalah 35.1 peratus manakala yang berkahwin 59.6 peratus. Perkadaran lelaki yang belum pernah berkahwin (37.8%) adalah lebih tinggi sedikit berbanding perempuan (32.2%). Namun, perkadaran lelaki dan perempuan yang berkahwin adalah hampir sama masing-masing 59.8 peratus dan 59.4 peratus. Umur min perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28.0 tahun berbanding 28.6 tahun pada 2000. Sebaliknya, umur bagi perempuan meningkat kepada 25.7 tahun berbanding 25.1 tahun pada 2000.

10. Agama Islam merupakan agama yang paling meluas dianuti di Malaysia dengan perkadaran 61.3 peratus. Sebagai negara berbilang kaum, antara agama lain yang dianuti adalah Buddha (19.8%), Kristian (9.2%) dan Hindu (6.3%).

You might also like