You are on page 1of 12

PERANAN REMAJA DALAM MEMBANGUNKAN NEGARA

Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti remaja di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini. Presiden Soekarno pernah mengungkap, Berikan saya 10 orang belia waja, nescaya akan saya gegarkan dunia. Ternyatalah di sini bahawa remaja yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, setiap remaja perlu memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara. Peranan signifikan remaja ialah mereka perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan remaja yang berkualiti demi kepentingan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Remaja juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tegasnya, tanpa remaja yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut. Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin pembangunan negara jika remaja kita tidak memiliki kesihatan fizikal dan mental. Remaja yang ingin membangunkan negaea perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, remaja kita perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan remaja di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, remaja kita patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja kita harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, remaja yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara. Selain itu, remaja juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Remaja kita harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, ibu bapa dan pihak sekolah memainkan peranan yang penting untuk mendidik remaja menjadi modal insan kelas pertama yang berakhlak mulia dan berjati diri unggul. Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, remaja kita harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan

memberikan khidmat sosial, misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Remaja yang dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Dengan kata lain, remaja berkepemimpinan harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti. Seperkara lagi, remaja juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif. Akhir sekali, remaja juga dapat memainkan peranan mereka untuk membangunkan negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, remaja seumpama ini dapat memberi kesan kepada negara kita. Mereka dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Mereka akan menjadi pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan kesejahteraan sosial. Mereka sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Maka, sifat keterbukaan remaja sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya. Intihanya, semua remaja mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjana pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Remaja sebagai tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika remaja kita tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, remaja kita perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.

DASAR SOSIAL NEGARA Pengenalan Dasar Sosial Negara (DSN) adalah satu dasar pembangunan sosial yang berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup masyarakat Malaysia yang maju dan mantap. Matlamat Dasar ini yang diluluskan oleh kabinet pada 19 Februari 2003 bermatlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang maju dan mapan dari aspek sosial, ekonomi dan teknologi. Setiap anggota masyarakat berpeluang untuk memperkembangkan potensi diri secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri-ciri bersatu-padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi, progresif, penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat Wawasan 2020. Objektif Objektif Umum 1. Menjamin setiap individu, keluarga dan komuniti tanpa mengira kumpulan etnik, agama,budaya,gender dan fahaman politik serta wilayah dapat menyertai dan memberi sumbangan kepada arus pembangunan negara serta menikmati kesejahteraan hidup secara berterusan. Objektif Khusus 1. Selaras dengan penyataan matlamat dan objektif umum, Dasar Sosial Negara menggariskan empat objektif khusus yang saling melengkapi dengan menerapkan nilai-nilai murni di setiap peringkat pelaksanaannya:

- Memastikan keperluan asas individu, keluarga dan masyarakat dipenuhi; - Membangun dan memperkasakan insan sepanjang hayat; - Memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial; dan - Menjana sinergi multisektor. Strategi Strategi-strategi bagi mencapai setiap objektif Dasar Sosial Negara adalah seperti yang berikut: Objektif 1: Memastikan Keperluan Asas Individu, Keluarga dan Masyarakat Dipenuhi Bagi menjamin kesejahteraan menyeluruh, hendaklah dipastikan supaya setiap individu, keluarga dan masyarakat berhak menikmati: - Keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal secukupnya; - Persekitaran fizikal yang sihat, bersih, selamat, dan mesra insan; - Persekitaran sosial yang mengutamakan nilai-nilai murni; - Peluang untuk meningkatkan kualiti hidup dari segi kesihatan, pendidikan, pekerjaan/kerjaya, keselamatan, kerohanian dan maklumat; - Kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat serta hak sebagai warganegara yang dilindungi oleh undang-undang; dan - Keperluan hidup yang lain sesuai dengan perkembangan semasa. Strategi Strategi-strategi bagi mencapai Objektif 1: 1. Mewujudkan pelbagai peluang dan kemudahan agar setiap individu, keluarga dan masyarakat dapat menikmati keperluan asas kehidupan dan menyertai arus pembangunan negara. 2. Memastikan setiap individu mendapat hak untuk kelangsungan hidup,

perlindungan, perkembangan dan penyertaan serta dapat menikmati keperluan asas sepanjang hayat, tidak terpinggir dan tersisih daripada arus pembangunan. 3. Memastikan keperluan hidup yang holistik menjadi teras kehidupan setiap individu, keluarga dan komuniti. Objektif 2: Membangun Dan Memperkasakan Insan Sepanjang Hayat Segala tindakan adalah bertujuan membangun dan memperkasakan setiap individu tanpa membezakan kumpulan etnik, agama, budaya, gender, wilayah, fahaman politik, taraf perkahwinan dan keupayaan fizikal, serta mengambil kira kepekaan terhadap keperluan dan kehendak jantina. Ini bagi memastikan individu dapat mengguna dan mempertingkatkan sumber serta kebolehan kendiri secara optimum bagi mencapai matlamat kendiri dan masyarakat pada setiap peringkat kitaran hidup. Usaha berterusan hendaklah dibuat bagi memastikan setiap individu memberi dan menerima kemesraan dan kasih sayang sepanjang hayat. Strategi Strategi-strategi bagi mencapai Objektif 2: 1. Menjamin hak janin atau kandungan untuk hidup dan berkembang dalam keadaan selamat dan sihat tanpa diganggu oleh ancaman dan eksploitasi. 2. Mengiktiraf dan memupuk keupayaan setiap bayi dan kanak-kanak berfikir dan berperasaan serta dilindungi daripada dilabel, didiskriminasi dan dijadikan mangsa oleh anggota masyarakat. 3. Menentukan setiap bayi dan kanak-kanak di peringkat awal (2-6 tahun) mendapat peluang meneroka persekitaran untuk menentukan perkembangan selsel otak secara maksimum. Ia juga bagi membantu pembinaan tubuh, peningkatan keyakinan diri serta perkembangan identiti kendiri yang sihat di dalam satu suasana dan jalinan perhubungan yang positif dalam keluarga dan komuniti.

4. Memastikan setiap kanak-kanak menerima pendidikan wajib peringkat sekolah rendah yang mendidik kemahiran sosial dan disiplin diri serta rangsangan minda melalui kurikulum yang meningkatkan kemahiran berfikir. 5. Menentukan setiap remaja (13-18 tahun) diberikan pengiktirafan, penghormatan, peluang serta bimbingan untuk mengenali hak-hak dan tanggungjawab dan mengamalkan peranan tertentu dalam keluarga, sekolah dan komuniti sebagai persediaan untuk memainkan peranan sebagai seorang dewasa sepenuhnya kelak. 6. Menentukan setiap individu yang sudah menjangkau umur melebihi 18 tahun, yang mula mencapai taraf berdikari dalam aspek ekonomi tertentu, diberi sokongan, bimbingan, pengetahuan dan kemahiran untuk membuat keputusan tentang pelajaran, pekerjaan, kekeluargaan dan perhubungan sosial. 7. Memastikan setiap individu di alam pertengahan dewasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta mendapat sokongan dan bimbingan untuk menguruskan keluarga; penyesuaian dalam hubungan kekeluargaan serta perubahan dalam kerjaya. 8. Menyalur dan memberikan peluang kepada setiap warga tua (60 tahun ke atas) yang merupakan insan di puncak kitaran hidup mereka dengan kematangan, pengalaman hidup dan berbagai-bagai kemahiran serta sumber-sumber yang dimiliki, untuk terus membuat sumbangan kepada masyarakat, berasaskan tahap tenaga, minat, kemampuan dan motivasi yang mereka miliki. 9. Memberikan pengiktirafan, sokongan dan bantuan kepada setiap warga tua yang memerlukannya dengan pihak keluarga dan kerajaan menentukan mereka tidak tertekan dari segi emosi, kewangan dan kesihatan dengan menyediakan berbagai-bagai kemudahan dan bantuan sehingga akhir hayat mereka. 10. Menanamkan nilai-nilai patriotisme di kalangan semua lapisan masyarakat.

11. Mengambil langkah untuk memastikan setiap perancangan dan penggubalan program bagi setiap kumpulan dirancang dan digubal bersama dengan anggota kumpulan berkaitan. Objektif 3: Memperkukuh dan Membangunkan Sistem Sokongan Sosial dan Perkhidmatan Sosial Segala usaha perlu diambil untuk memperkuatkan sistem sokongan sosial yang sedia wujud iaitu sistem keluarga, komuniti, kumpulan etnik, agama, pendidikan dan organisasi sosial untuk membantu setiap anggota masyarakat membangun dan berfungsi secara optimum serta berfungsi sebagai sistem kawalan sosial. Selain itu, sistem sokongan yang baru sebagai tambahan perlu diwujudkan bagi tujuan tersebut. Semua sektor yang terlibat di dalam sistem penyampaian perkhidmatan sosial perlu saling menyokong dan melengkapi untuk menentukan anggota masyarakat yang memerlukannya mendapat pilihan perkhidmatan bermutu. Strategi Strategi-strategi bagi mencapai Objektif 3: 1. Membangunkan setiap keluarga untuk berfungsi sebagai satu pasukan yang saling menyokong dalam memainkan peranan serta tanggungjawab supaya setiap ahli keluarga berkembang dengan optimum mengikut keunikan dan potensi setiap individu. 2. Mengiktiraf identiti, kepentingan dan keperluan pelbagai kelompok etnik dalam masyarakat Malaysia untuk mewujudkan sikap toleran dan saling membantu di dalam dan di antara kaum yang berbeza. 3. Mengiktiraf kelompok keagamaan sebagai kelompok sosial yang mengamalkan sistem nilai dan cara hidup tersendiri selaras dengan Perlembagaan Negara, menghormati sistem nilai dan cara hidup penganut agama lain serta

menggalakkan interaksi dan saling memahami antara penganut pelbagai agama. 4. Memberikan peluang kepada semua anggota masyarakat untuk mencapai kecemerlangan melalui sistem pendidikan yang fleksibel, aksesibel, inovatif, relevan dan dinikmati oleh semua anggota masyarakat sepanjang hayat mereka. 5. Memastikan sesebuah organisasi atau agensi menyediakan keperluan asas sosial serta memberikan sokongan dan bimbingan kepada kakitangannya sebagai satu tanggungjawab asas. 6. Menentukan supaya organisasi atau agensi yang memberikan khidmat sosial mementingkan kakitangan yang dilengkapi dengan kemahiran sosial dan teknologi terkini serta yang berhubung langsung dengan kumpulan sasar. 7. Menggalakkan setiap organisasi atau agensi, di semua peringkat dan sektor menggubal dan melaksanakan dasar di peringkat organisasi sebagai panduan bagi menentukan perkembangan sosial yang optimum untuk kakitangan dan kumpulan sasarnya. 8. Menggalakkan sesebuah komuniti, sama ada di dalam bandar atau luar bandar supaya bekerjasama dan saling membantu menyediakan berbagai-bagai perkhidmatan untuk memenuhi keperluan anggotanya dan mendirikan sistem amaran awal untuk mengenal pasti gejala sosial. 9. Menjalankan Penilaian Prestasi Perkhidmatan Sosial atau Audit Sosial bagi membuat pemantauan ke atas organisasi dan agensi perkhidmatan sosial. 10. Mensyaratkan Penilaian Impak Sosial atau Social Impact Assessment (SIA) digunapakai dalam perancangan dan pelaksanaan semua program dan aktiviti pembangunan awam dan swasta. 11. Menyediakan Laporan Tahunan Sosial yang mengandungi petunjuk-petunjuk sosial yang lengkap bagi memantau secara objektif dan tepat berkaitan kemajuan pembangunan sosial.

12. Menentukan sesuatu isu sosial dikaji, diselidiki dan dianalisisa dengan terperinci, objektif, rasional dan profesional dari segala sudut serta menyebarkan kefahaman tentang isu sosial itu kepada seluruh masyarakat supaya segala usaha yang diambil untuk menanganinya adalah cekap dan berkesan. 13. Mewujudkan peluang untuk semua anggota masyarakat memperolehi pelbagai kemahiran sosial sama ada secara formal ataupun tidak formal agar anggota masyarakat dapat berinteraksi dengan berkesan. 14. Memperluaskan khidmat bimbingan yang ditawarkan oleh semua sektor kepada semua kumpulan sasar yang memerlukan khidmat bimbingan serta menentukan perkhidmatan tersebut bermutu dan profesional, serta disokong oleh separaprofesional. 15. Mewujudkan satu pangkalan maklumat mengenai perkhidmatan sosial yang ditawarkan oleh semua sektor yang boleh dicapai oleh setiap anggota masyarakat dengan cepat, mudah dan pada kadar yang dimampuinya. 16. Menyediakan kemudahan bagi semua sektor untuk menjalankan perkhidmatan pendampingan bagi mendekati mana-mana pihak yang memerlukan pertolongan dan bimbingan. 17. Mewujudkan di dalam setiap organisasi satu pasukan intervensi krisis yang terlatih dan berkemahiran yang sentiasa bersedia untuk mengendalikan berbagai jenis krisis sosial dengan berkesan. 18. Membangunkan perkhidmatan pakar di dalam semua bidang berkaitan dengan pembangunan sosial untuk memenuhi keperluan sebenar masyarakat. 19. Menyediakan perkhidmatan bimbingan guaman degan kadar yang tidak membebankan untuk membantu anggota masyarakat membuat keputusan tentang tindakan terhadap hak dan tanggungjawab mereka dalam masyarakat. 20. Menggalakkan sektor swasta dan sukarela menubuh dan mengendalikan institusi

perkhidmatan sosial yang bermutu untuk memenuhi keperluan anggota masyarakat yang memerlukan perkhidmatan sedemikian. 21. Menggalakkan serta menyokong usaha berdikari dan pemerkasaan diri melalui penubuhan kelompok sokongan. 22. Menggalakkan serta menyokong penyertaan aktif komuniti dalam usaha mewujudkan pelbagai jenis perkhidmatan pemulihan untuk semua kumpulan sasar. Objektif 4: Menjana Sinergi Multisektor Kerjasama di kalangan sektor awam serta antara sektor awam dengan sektor swasta dan sukarela perlu dipertingkatkan supaya wujud satu sinergi tenaga dan sumber dalam masyarakat untuk tujuan menjaminkan perkhidmatan sosial yang terbaik bagi semua anggota masyarakat, berasaskan konsep bahawa pembangunan sosial adalah tanggungjawab bersama. Persaingan dan pertindihan peranan antara pelbagai agensi dan sektor perlu dikurangi dan diatasi agar penggunaan sumber dan tenaga dapat dioptimumkan. Strategi Strategi-strategi bagi mencapai Objektif 4: 1. Menggalakkan setiap organisasi atau agensi di peringkat persekutuan, negeri, daerah dan komuniti di sektor awam, swasta dan sukarela untuk melakukan kajian dari semasa ke semasa ke atas struktur dan fungsi masing-masing bagi menentukan kemampuan pencapaian matlamat pembangunan sosial. 2. Mewujudkan mekanisma Perancangan Sosial yang bertaraf agensi pusat di peringkat persekutuan, negeri dan daerah untuk merancang, melaksana, memantau, menyelaras dan menilai keberkesanan perancangan dan pelaksanaan perkhidmatan sosial dalam masyarakat. 3. Meningkat dan mengukuhkan peranan dan fungsi bahagian pembangunan sosial

di semua peringkat pentadbiran negeri, bahagian/ daerah dan komuniti. 4. Menggalakkan Pihak Berkuasa Tempatan mewujudkan program dan kemudahan sosial yang terancang dan lengkap supaya selaras dengan pembangunan fizikal dan ekonomi yang pesat. 5. Meningkatkan taraf dan memperluaskan peranan kepimpinan di peringkat akar umbi dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan pembangunan sosial. 6. Memastikan setiap wakil rakyat memainkan peranan dalam pembangunan sosial dan memberikan perkhidmatan berkesan kepada anggota masyarakat tanpa mengira perbezaan ideologi atau parti politik. 7. Menggalak dan menyokong perkembangan sektor sukarela dengan memberikan sokongan, pengiktirafan dan insentif kepada persatuan perkhidmatan sukarela yang memberi khidmat kepada masyarakat. 8. Menggalakkan sektor swasta memenuhi tanggungjawab sosial dengan membantu menyediakan program bagi kumpulan sasar dan menangani isu sosial secara teratur selaras dengan prinsip pertanggungjawaban sosial korporat. 9. Menyedarkan pelbagai lapisan masyarakat supaya terlibat secara proaktif, dalam proses globalisasi dengan memanfaatkan pelbagai peluang dan potensi untuk memajukan diri, keluarga dan komuniti. Penutup Dasar Sosial Negara merupakan dasar payung yang merangkumi falsafah dan pelbagai dasar pembangunan sosial negara. Dasar ini memberi halatuju kepada perancangan dan pelaksanaan program pembangunan sosial tersebut. Pelaksanaan dasar ini akan menjadi suatu agenda utama Kerajaan untuk mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan mapan menurut acuannya sendiri. Pelaksanaan Dasar Sosial Negara perlu dipantau bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan pencapaian pembangunan

sosial. Kejayaannya bergantung pada komitmen, sokongan dan kerjasama sektor awam, swasta dan sukarela. Sumber : Bahagian Pengembangan dan Pembangunan PINTAS, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

You might also like