You are on page 1of 7

Bincangkan usaha-usaha yang dapat diambil untuk memartabatkan batik Malaysia.

Batik merupakan satu kraf tangan yang unggul di Malaysia. Sejarah mengatakan sejak abad ke 15 Masihi lagi manusia telah menemui kaedah pembuatan batik secara tradisional. Pada masa dahulu, masyarakat Melayu menggunakan ubi kentang sebagai alat pengecap tetapi kini kain batik telah diusahakan dengan menggunakan alat-alat moden. Perusahaan batik telah mula di negara kita khususnya di negeri Kelantan sejak tahun 1910 lagi. Batik berasal dari Indonesia dan terbit dari perkataan Jawa tik yang bermaksud menitik atau menulis titik-titik. Selain itu, batik juga dikenali sebagai ambatik yang bermaksud melukis, menulis, mewarna atau menitik. Industri batik di Malaysia dirintis oleh Su Ishak di Kelantan pada tahun 1911. Di alam Melayu pula, sejenis batik yang dipanggil Batik Pelangi telah diperkenal sejak tahun 1770-an lagi. Di Malaysia kebanyakan kilang perusahaan batik banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu. Seni batik merupakan satu daripada akar budaya yang menjadi identiti bangsa Malaysia. Walaubagaimanapun, industri batik ini mula merudum tetapi dimartabatkan semula pada tahun 2003 atas usaha Datin Seri Endon Mahmood. Sememangnya, bukan mudah untuk membina identiti bangsa dan mendaulatkan maruah bangsa. Justeru, langkah proaktif dan berterusan perlu diambil demi memartabatkannya kembali. Dalam usaha memartabatkan industri seni batik di Malaysia, pihak kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mempromosikan industri ini. Ungkapan peribahasa tak kenal maka tak cinta menggambarkan betapa penting nya aktiviti promosi yang agresif untuk memperkenalkan seni batik kepada masyarakat di Malaysia yang semakin meminggirkan tradisi dan budaya. Hal ini demikian kerana masyarakat di negara kita kurang didedahkan dengan amalan tradisi mahupun kraf tangan yang menjadi warisan nenek moyang kita terdahulu. Kerajaan telah menguatkuasakan agenda baru dalam kalangan penjawat awam iaitu mereka diwajibkan memakai pakaian batik pada setiap hari Khamis dan di majlis-majlis rasmi. Secara tidak langsung, masyarakat kita akan membuka mata dan memikirkan signifikannya pewajiban pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam dan motif sebenar kerajaan menguatkuasakan peraturan ini. Usaha kerajaan ini juga mendapat sambutan dan sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan dan Perbadanan Kemajuan Luar Malaysia demi merealisasikan hasrat yang sama iaitu mengembalikan keagungan seni batik. Institut Kraf Negara(IKN) merupakan salah satu agensi bagi membantu mencapai matlamat ini. IKN merupakan pusat kecemerlangan pendidikan kraf yang dapat melahirkan tenaga mahir berteknologi terkini, usahawan kraf dan menjadi pusat rujukan, penyelidikan serta pemuliharaan warisan negara. Dalam hal ini, IKN dapat membantu melatih pengusaha batik yang baru dan ingin menambah ilmu dalam industri ini. Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Skim Intensif Galakan Dagangan yang bertujuan untuk membantu usahawan kraf menerokai pasaran baru di Timur Tengah seperti di United Arab Emirates(UAE). Dalam erti kata lain, dengan adanya agenda kerja yang tersusun dan sempurna, misi memartabatkan seni batik ini pasti dapat dicapai. Peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tidak dipecahkan ruyung, dimanakan dapat sagunya yang membawa maksud, tanpa usaha kita tidak akan dapat hasilnya. Dalam memartabatkan industri seni batik, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) haruslah giat dilaksanakan. Agensi-agensi kerajaan seperti institut pengajian tinggi awam(IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta(IPTS) mestilah bijak mengambil langkah yang progresif demi membantu menaiktarafkan batik Malaysia. Misalnya, IPTA dan IPTS boleh memperkenalkan atau menawarkan matapelajaran seni kebudayaan batik kepada para pelajar di institut-institut tersebut. Universiti Teknologi Mara(UiTM) merupakan contoh universiti yang mempunyai fakulti seni tekstil ; di sini pelajar dilatih untuk menghasilkan batik. Di samping itu, IPTA dan IPTS juga boleh menganjurkan forum ceramah apresiasi batik dan pameran batik bertujuan untuk melahirkan pengusaha batik yang berkualiti dan mencambahkan kreativiti mereka dalam menghasilkan batik. Sekali lagi Institut Kraf Negara(IKN) memainkan peranan yang penting dalam melatih tenaga mahir dalam industri pembuatan batik dan mengenal pasti corak batik terkini yang menembusi pasaran baharu. Jelaslah di sini bahawa usaha yang mapan dan agresif banyak membantu usaha memartabatkan dan mengglobalkan seni batik. Selain itu, program promosi dan pemasaran yang agresif juga boleh melicinkan lagi usaha kerajaan dalam mengembalikan kegemilangan seni batik di Malaysia. Perbadanan Kraf Tangan Malaysia telah mengambil langkah yang responsif dan drastik dengan mengadakan promosi yang berterusan di dalam dan di luar negara. Seni batik mula menapak di pasaran antarabangsa apabila batik menerjah ke seantero dunia apabila kerajaan berjaya mendapatkan tempat pameran baru yang sangat berpengaruh dan popular iaitu di Harrods,London. Pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih menggambarkan betapa keras usaha kerajaan dalam memurnikan usaha memartabatkan seni batik yang sangat bernilai ini.Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara turut memainkan peranan dengan mengadakan promosi dan jualan di pusat beli-belah, hotel, lapangan terbang, dan lain-lain tempat. Di samping itu, usaha Datin Seri Endon Mahmood juga mendapat sokongan daripada pihak kerajaan demi memurnikan hasrat melonjakkan industri batik di negara kita. Hasilnya, pada tahun 2003, hasil jualan batik ialah RM33 juta dan meningkat kepada RM39.7 juta pada tahun 2004. Sememangnya, usaha yang padu daripada pelbagai pihak dapat memendekkan masa untuk mencapai misi memartabatkan industri batik negara kita. Di samping usaha-usaha yang giat dilaksanakan, pengusaha batik turut memainkan peranan yang sangat penting. Pengusaha perlulah berani menanam modal demi menjalankan perniagaan mereka dan rajin menimba ilmu baharu seperti kata pepatah Melayu,berkayuh sambil bertimba. Selain itu, pengusaha juga boleh mengadakan kesepakatan dan kerjasama dalam kalangan pengusaha batik dan agensi kerajaan dengan mewujudkan institusi latihan batik. Usaha ini sememangnya dapat

memenuhi dasar kerajaan dan aspirasi rakyat apabila terhasilnya batik yang berkualiti dengan wujudnya kerjasama yang dijalinkan. Kesimpulannya, mutiara berharga seperti seni batik yang menjadi identiti bangsa dan warisan tradisi ini wajar dipertimbangkan supaya tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan. Pada masa hadapan, generasi muda akan datang menghayati dan berbangga akan budaya tempatan yang dikekalkan untuk sekian lamanya. Sudah sampai masanya industri batik tempatan yang diusahakan secara turun temurun ini beralih kepada industri berdaya saing dan menampilkan kewibawaan bangsa. Semoga warisan tradisi khazanah bangsa terpelihara agar keindahan yang terpancar melaluinya tidak terus dilupakan oleh generasi yang akan datang dan dihormati di peringkat antarabangsa. ( 920 patah kata ) KEBAIKAN PENDIDIKAN MAYA Pepatah ada mengatakan zaman beralih, musim bertukar,sememangnya tidak dapat dinafikan lagi pendidikan konvensional kini telah bertukar wajah. Sistem pendidikan maya telah diperkenalkan di negara kita atas usaha kerajaan untuk memartabatkan lagi sistem pendidikan kita agar bertaraf dunia. Sistem ini bertujuan untuk melonjakkan taraf pendidikan rakyat Malaysia agar setanding dengan sistem pendidikan di negara-negara maju dan juga untuk meningkatkan sistem pengajaran dan pembelajaran agar boleh diaplikasikasikan di seluruh dunia.Pendidikan maya merupakan satu bentuk pendidikan masa depan yang akan memaksimumkan penggunaan Teknologi dan Maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pendidikan maya dapat ditakrifkan sebagai sistem pengajaran dan pembelajaran yang melepasi sempadan bilik kuliah atau kelas di sekolah. Jika kita menerobosi secara terperinci tentang sisitem pendidikan maya ini, banyak kelebihan yang bakal kita dapati. Dalam hal ini, pendidikan maya membolehkan para pelajar mengikuti tutorial tanpa perlu terikat dengan waktu pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana, para pelajar dapat menghadiri mana-mana sidang dimana-mana sahaja tanpa mengira waktu. Pembelajaran secara asinkronis ini memudahkan lagi para pelajar untuk melakukan perbincangan pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja tanpa perlu duduk setempat bersama-sama. Hasilnya, lebih banyak informasi dapat digali dan pelbagai idea baru dapat ditunasi. Selain itu, sitem ini turut membuka peluang untuk para pelajar berinteraksi menggunakan internet dan juga e-mel. Hal ini secara tidak langsung dapat menjimatkan lagi masa para pelajar. Dalam nada yang serupa, menerusi sistem pendidikan maya, para pelajar dapat menggunakan E-buku yang boleh dimuat turun secara langsung dari alam maya. E-Buku mempunyai pelbagai aplikasi. Antaranya termasuklah pemprosesan kata, hamparan data, senarai kandungan, kalendar dan sebagainya. Dengan e-buku itu, para pelajar tidak perlu membawa buku yang banyak. Penggunaan buku elektronik ini dijangka dapat mengurangkan kos bagi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) di sekolah dalam jangka masa yang panjang. Penggunaan e-buku mampu menangani kepelbagaian masalah pelajar dalam bidang akademik di dalam sesebuah kelas. E-buku menjadi suatu wahana dengan pendekatan interpersonal antara guru dengan pelajar. Sebagai seorang pelajar, internet juga boleh dijadikan sebagai medium rujukan. Malahan, internet juga dianggap sebagai perpustakaan maya yang menyimpan khazanah ilmu pengetahuan. Maklumat yang diperoleh lebih cepat, mudah dan dapat menjimatkan masa. Di samping itu, para pelajar terutama di peringkat pengajian tinggi tidak perlu lagi bersemuka dengan pensyarah. Sebagai contoh Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) membolehkan para pensyarah mengendalikan telesidang yang menggabungkan audio, video dan grafik dapat dilakukan di lokasi yang berbeza dengan peralatan canggih dan didengari ramai tanpa melibatkan kos yang tinggi. Malahan, konsep universiti terbuka seperti Universiti Tun Abdul Razak dapat dirancakkan lagi kewujudannya tanpa pelajar perlu bersua muka dengan pensyarah seperti masa ini. Dalam hal ini, golongan seperti suri rumah dan pesara dapat terus melanjutkan pelajaran tanpa perlu menghadirkan diri di institusi pendidikan. Hal ini secara tidak langsung dapat memanifestasikan slogan pendidikan sepanjang hayat yang digalakkan oleh kerajaan. Seterusnya, pendidikan secara maya juga dapat menjimatkan pelbagai kos kehidupan seperti penginapan dan pembelanjaan. Hal ini kerana pendidikan maya boleh dilakukan di rumah. Hal ini secara tidak langsung telah menjimatkan kos perbelanjaan dan penginapan para pelajar. Demi melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menggalakkan pendidikan maya dalam kalangan masyarakat. Antara usaha yang telah di lakukan ialah menaik taraf sekolah dan institut pengajian tinggi. Kementerian Pelajaran telah melaksanakan Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan (PIPP) yang bertujuan untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat.Menerusi teras yang keenam Pelan Induk Pembangunan dan Pendidikan, Kementerian Pelajaran berhasrat untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan tidak kira sama ada sekolah mahupun institusi pengajian tinggi. Sebagai contoh, menerusi PIPP, sebanyak 60 buah sekolah telah dinaik taraf sebagai sekolah kluster.Skolah Kluster dapat disignifikasikan sebagai satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti kecemerlangannya dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Penggunaan kemudahan teknologi maklumat yang disediakan perlu diikuti oleh semua pelajar sekolah kluster. Misalnya, beberapa sekolah kluster telah mengambil beberapa langkah untuk mempraktikkan pendidikan maya dalam proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah seperti menghantar tugasan melalui e-mel dan juga melakukan pembentangan melalui pengunaan komputer. Para pelajar juga digalakkan untuk menguasai perisian komputer seperti Microsoft Words,

Microsoft Power Point dan sebagainya. Di samping itu, banyak universiti telah diiktiraf sebagai Universiti penyelidikan seperti Universiti Malaya dan juga Unversiti Sains Malaysia untuk melonjakkan lagi sistem pendidikan di negara kita. Kesimpulannya, sememangnya pendidikan maya memberikan pelbagai kelebihan kepada seluruh lapisan masyarakat. Umum mengetahui bahawa bentuk pengaajaran dan pembelajaran yang baharu membolehkan rakyat meningkatkan kemahiran dan kelayakan akademik. Pelaksanaan sistem pendidikan maya di negara kita dapat meluaskan lagi horizon minda para pelajar. Para pelajar akan lebih terdedah dengan dunia globalisasi sekiranya pendidikan maya dilaksnakan secara menyeluruh. Walaupun usia telah meningkat ilmu pengetahuan tetap dapat dikuasai. Konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi pendidikan sedemikian patut dimanfaatkan oleh semua bertunjangkan pepatah sebab mutiara sebiji, lautan dalam diselami orang. Selain itu pelbagai pihak tidak kira pihak swasta mahupu n badan bukan kerajaaan (NGO) perlulah berganding bahu bersama kerajaan untuk membangunkan lagi sistem pendidikan di negara kita agar duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain. SATU daripada tujuh aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia yang diwujudkan pada 1995 ialah teleperubatan yang menyaksikan bidang perubatan dibabitkan secara langsung atau tidak langsung ke dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ia sejajar dengan komitmen negara dalam era digital yang mahu bergerak menuju ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) dengan pembabitan masyarakatnya secara aktif. Disebabkan perubahan mendadak akibat perkembangan teknologi, sektor perubatan atau penjagaan kesihatan mengalami perubahan yang sama. Teleperubatan menggunakan ICT dan elektronik bagi penyediaan serta menyokong sektor berkaitan yang bukan sekadar sebagai kegunaan setempat, malah amat berfaedah ketika pengguna berada di lokasi berlainan. Ia adalah sistem yang menghubungkan doktor, pentadbir, penyedia perkhidmatan dan pesakit. Kaedah capaiannya berkaitan rapat dengan komputer peribadi, komputer riba, komputer telapak dan telefon bimbit. Apabila teknologi capaian berkembang, sukar untuk dinafikan bahawa pelbagai kemudahan boleh disediakan terutama bagi masyarakat yang tinggal jauh di kawasan pedalaman. Akibat prasarana fizikal yang menyukarkan, teknologi telekomunikasi canggih ketika ini memungkinkan pesakit dapat diselamatkan kecuali memerlukan sentuhan fizikal seperti pembedahan oleh doktor ke atas pesakit. Tetapi, sekurang-kurangnya pendekatan awal menghadapi saat kecemasan boleh dilakukan serta-merta ke atas pesakit dengan bantuan doktor menerusi telefon atau Internet. Teknologi telekomunikasi tanpa wayar kini sudah ke peringkat perbualan bervideo (3G/3.5G), begitu juga dengan Internet yang jauh lebih maju untuk membolehkan kita berbicara bersemuka walaupun berada di lokasi berjauhan. Antara aplikasi utama teleperubatan termasuk klinikal, pendidikan, pentadbiran, penyelidikan, penilaian atau pemeriksaan pesakit, diagnosis (telediagnosis) dan perundingan (telekonsultasi). Secara ringkasnya, pegawai perubatan kini boleh merawat pesakit dari jauh. Pemantauan boleh dilakukan dari mana saja.

Sementara pentadbiran boleh dilakukan dengan telesidang, penjadualan, kepenggunaan serta penilaian kualiti kerja, penyelidikan pula dimajukan menerusi agregasi data daripada berbilang sumber dan koordinasi. Bagaimanapun, mungkin ada yang berfikiran sebaliknya dengan pendapat bahawa negara kita masih terlalu jauh dengan situasi sedemikian yang kononnya masih di peringkat imaginasi. Usah berfikiran negatif. Teleperubatan adalah satu daripada aplikasi perdana MSC Malaysia. Ia kian menjadi kenyataan dengan pelaksanaan beberapa pendekatan untuk menuju ke matlamat berkenaan. Kerajaan kita serius dan mahukan rakyatnya maju serta mengecapi pelbagai manfaat daripada kemajuan ICT. Hospital Putrajaya adalah antara hospital kerajaan pertama mengamalkan pendekatan berelektronik. Sistem Maklumat Hospital Bersepadu (THIS) membolehkan proses rujukan kes pesakit dilakukan di mana saja pesakit mendapatkan rawatan. Pelaksanaan THIS dikatakan akan mengurangkan kesesakan di hospital merangkumi sistem maklumat di hampir keseluruhannya termasuk dari aspek klinikal, pengurusan kewangan dan sumber manusia. Selain Hospital Putrajaya, beberapa hospital baru lain terbabit dengan pelaksanaan inisiatif ini termasuk Hospital Serdang, Ampang, Sungai Buloh dan Hospital Selayang. Kerajaan Malaysia memperuntukkan lebih setengah juta ringgit untuk mewujudkan inisiatif ICT di Hospital Putrajaya. Sudah tentu hospital lain juga akan memakan belanja yang besar. Secara logik akal, jika hospital kerajaan sedia ada hendak melaksanakan inisiatif teleperubatan, sudah tentu ia memerlukan belanja besar. Bagaimanapun kerajaan dikatakan akan melaksanakannya secara berperingkat. Walaupun hanya hospital kerajaan yang dilihat terbabit dalam teleperubatan, hospital swasta sebenarnya turut serta melaksanakannya, malah ada yang lebih awal. Pelaksanaan teleperubatan secara menyeluruh bukan satu perkara yang mudah kerana pelbagai aspek perlu diambil kira termasuk prasarana asas penyediaannya. Ia bukan saja perkakasan, perisian, jalur lebar dan berbagai aspek lagi dalam ICT, malah perundangan adalah aspek utama yang perlu diambil kira. Kita yakin bahawa pelbagai perkakasan, perisian atau aspek teknologi penyediaan untuk melaksanakan teleperubatan sudah terlalu banyak dibangunkan, namun masih ada beberapa perkara yang menjadi kekangan. Ia termasuk perundangan dan peraturan serta penyepaduan antara berlainan hospital swasta, hospital kerajaan dan antara hospital swasta dengan hospital kerajaan.

Jika difikirkan logik akal/teknologi, sesebuah sistem berkomputer dan berelektronik itu tidak sukar untuk menyepadukan teknologi dibangunkan untuk membolehkan setiap sistem itu berkomunikasi antara satu dengan lain walaupun di atas platform berlainan. Jika semua itu disepadukan, maka wujudlah sebuah rangkaian perkomputeran perubatan yang besar. Semua orang khususnya pentadbir dan pengamal perubatan boleh mencapai semua maklumat dikehendaki di hujung jari. Rekod pesakit boleh diperoleh dengan pantas walaupun berada di hospital berlainan. Malah, dengan adanya satu lagi aplikasi perdana iaitu kad pelbagai guna yang kini diaplikasi ke dalam MyKad. Ia membolehkan rekod perubatan disimpan ke dalam MyKad dan dibawa ke mana saja. Bagaimanapun, semua itu belum terlaksana disebabkan beberapa perkara termasuk perundangan atau peraturan walaupun Akta Teleperubatan 1997 sudah diwujudkan. Pengwujudannya untuk mengadakan peruntukan bagi pengawalseliaan dan pengawalan amalan teleperubatan dan bagi perkara yang berkaitan dengannya. Pelbagai kekangan itu sering dibincangkan pemain industri. Philips ialah syarikat terkemuka dunia yang banyak membangunkan peralatan berkaitan penjagaan kesihatan seperti mesin pengimbas x-ray, CT scan, MRI, ultrabunyi dan sebagainya. Satu persidangan meja bulat anjuran Philips baru-baru ini yang dipengerusikan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kumpulan Syarikat Philips di Malaysia, Rajah Kumar diadakan bertujuan untuk bertukar pendapat. Ia dihadiri beberapa panel termasuk Pengarah Biro Peralatan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Wang Hwee Beng, dan CEO, Kumpulan Penjagaan Kesihatan, Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC). Turut serta ialah Naib Presiden dan Pengurus Besar, Rantau Pelbagai Negara Asia, Philips Medical Systems, Wayne Spittle; Pengarah Sains Penjagaan Kesihatan & Kehidupan, IBM Asia Pasifik, R R Madhav dan Ketua Penyelesaian dan Integrasi Bahagian Perniagaan Enterprise, Maxis Broadband Sdn Bhd, Abdur Rahman Ebrahim. Pelbagai topik dibincangkan berkaitan dunia perubatan dengan merujuk terus kaitannya dengan Malaysia. Tinjauan Philips mendapati penyepaduan teknologi ke dalam segmen penjagaan kesihatan akan menggalakkan capaian yang lebih saksama kepada penjagaan kesihatan bermutu tinggi bagi rakyat Malaysia. Ia juga menjadi objektif utama bagi Kementerian Kesihatan Malaysia. Pengerusi menyimpulkan Malaysia memiliki sistem penjagaan kesihatan yang baik dengan penyediaan perkhidmatan secara saksama dengan kos berpatutan kepada rakyat.

Bagaimanapun, kebolehan untuk mencapai adalah sesuatu yang perlu diusahakan dan kosnya pula dikawal. Semua ahli panel bersetuju bahawa sistem dan teknologi sudah ada, begitu juga dengan peralatan dan perkakasan, cuma kaedah pelaksanaannya saja yang perlu difikirkan untuk disegerakan agar seluruh masyarakat mendapat manfaat terbaik. Mereka juga sependapat bahawa faktor capaian amat penting. Ia perlu dilaksanakan sama ada menerusi kios atau apa juga jenis capaian. Walaupun bersetuju dengan isu capaian saksama, wujud kekangan mengenai isu hak milik rekod pesakit. Adakah ia milik pesakit atau milik hospital? Sering timbul masalah pesakit yang hadir atau dibawa ke hospital, tetapi memiliki rekod di hospital lain. Tidak dinafikan kerana kemungkinan ketika itu, pesakit berada dalam waktu kecemasan. Daripada pengalaman lalu atau rungutan yang sering kita dengar ialah kesukaran seseorang pesakit itu membawa keluar rekod perubatan untuk diserahkan kepada hospital lain. Mungkin tidak sukar bagi hospital kerajaan. Tapi bagaimana pula dengan hospital swasta? Terutama jika hospital swasta itu berlainan pengurusan. Panel persidangan meja bulat Philips menyarankan supaya kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan mewujudkan peraturan khas atau memusatkan (seperti bank data) semua rekod pesakit. Wakil kementerian dalam panel itu berpendapat ia boleh dilaksanakan, cuma masa yang akan menentukan. Sebagai permulaan, disarankan semua hospital sama ada milik kerajaan atau swasta supaya lebih bersikap terbuka dan bertoleransi. Rekod kesihatan elektronik adalah sesuatu yang amat berharga. Ia boleh dimasukkan ke dalam sistem berasaskan web dan boleh diuruskan melalui badan kesihatan nasional supaya pemilikan tidak menjadi isu. Ini bagi membolehkan maklumat pesakit dihantar apabila beliau berpindah dari satu hospital ke hospital lain. Jika memperkatakan mengenai capaian, perkara ini amat perlu dilaksanakan secepat mungkin. Walaupun mereka akur dengan kos yang besar untuk sesuatu penyepaduan, penyeragamannya adalah suatu yang kritikal. Pihak kementerian perlu menyediakan kemudahan penyeragaman dan membawa semua pemegang kepentingan untuk berbincang mengenai cara bagi memajukannya ke peringkat seterusnya. Dalam perkembangan lain, laporan Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005) mengatakan teleperubatan bertujuan mempercepatkan pencapaian visi penjagaan kesihatan di Malaysia untuk melahirkan individu, keluarga dan masyarakat yang sihat. Teleperubatan sudah dilaksanakan di 42 pusat kesihatan dan 41 pusat perundingan yang kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar.Tiga projek lagi iaitu Mass Customised/Maklumat Kesihatan Peribadi dan Pendidikan (MCPHIE), Pendidikan Perubatan Lanjutan (CME) dRancangan Kesihatan Sepanjang Hayat (LHP) selesai dilaksanakan untuk fasa pertamanya.

You might also like