You are on page 1of 30

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

FAKULTI SAINS KOGNITIF


DAN PEMBANGUNAN MANUSIA

KPS 5042 (SEKOLAH DAN MASYARAKAT)

“APLIKASI ILMU SOSIOLOGI PENDIDIKAN DALAM


PENGURUSAN BILIK DARJAH”
Disediakan oleh :

Nama : ROSIADI BIN TAJUDIN


No. Matrik : L20081002254
Program : AT46D (PRODUKSI MULTIMEDIA)

Nama : NUR SHAHIDATUL AKMAR MOHD SHAHIBI


No. Matrik : L20081002255
Program : AT46D (PRODUKSI MULTIMEDIA)

Nama : SITI FATIMAH BINTI NOR DIN


No. Matrik : L20081002253
Program : AT46D (PRODUKSI MULTIMEDIA)

Nama : AZMA HANIM BINTI ABDUL AZIZ


No. Matrik : L20081002256
Program : AT46D (REKABENTUK GRAFIK BERKOMPUTER)

Nama : AFZAN BINTI MUSTAFA


No. Matrik : L20081002257
Program : AT47D (REKABENTUK GRAFIK BERKOMPUTER)

Pensyarah:

EN. IKHSAN OTHMAN

KUMPULAN (DPLI) SEMESTER 1, 2008


ISI KANDUNGAN

Muka Surat

1.0 PENGENALAN 1–2

2.0 LATARBELAKANG PENGURUSAN BILIK DARJAH


2.1 Pengenalan
3
2.2 Konsep Bilik Darjah
3–4
2.3 Guru Dan Peranannya
5–7
2.4 Pelajar Dan Peranannya 7-8

2.5 Pengurusan Fizikal, Sumber Dan Organisasi


9 – 10
2.6 Persekitaran dan Aplikasi Bilik Darjah
10 – 11
2.7 Pengurusan Murid
11 – 13
2.8 Pengurusan pengajaran dan pembelajaran
14 – 15

3.0 TEORI-TEORI SOSIOLOGI

3.1 Teori Struktural-Fungsional


16 – 17

3.2 Teori Interaksionisme 17 – 18

4.0 APLIKASI TEORI SOSIOLOGI DALAM MENANGANI ISU


KEBERKESANAN PENGURUSAN BILIK DARJAH
4.1 Guru Kurang Berfungsi 19

4.2 Wujud Kumpulan Tertentu 19 – 20

4.3 Pengajaran Dan Pembelajaran Kurang Berkesan 20 – 21

4.4 Wujudnya Halangan Komunikasi 21 – 22

4.5 Kawalan Kelas Yang Longgar 22 – 23

4.6 Mengamalkan Diskriminasi Terhadap Pelajar 23 – 25

5.0 RUMUSAN 26 - 27

BIBLIOGRAFI
1.0 Pengenalan.

Tugas mengurus bilik darjah merupakan satu cabaran bagi seorang guru.
Pengurusan bilik darjah yang berkesan merupakan satu faktor utama dalam
menentukan keberkesanan proses pembelajaran dan pengajaran di dalam bilik
darjah dengan menjadikan pelajar sebagai subjek utama. Guru yang bijak dalam
pengurusan bilik darjah haruslah memahami dan mengenalpasti keperluan subjek
utamanya. Oleh itu, menjadi peranan bagi seorang guru untuk mengkaji
latarbelakang sosial pelajarnya supaya keberkesanan dalam pengurusan bilik darjah
dapat dicapai dengan jayanya.

Berdasarkan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh guru dalam mengurus


sebuah bilik darjah, maka dalam kajian ini penulis cuba mengkaji “Aplikasi Sosiologi
Dalam Pengurusan Bilik Darjah”. Skop kajian lebih tertumpu kepada mengkaji
struktur sosial di dalam bilik darjah iaitu guru dan pelajar.

Kajian ini terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu; bahagian pertama,
mengkaji latarbelakang pengurusan bilik darjah; bahagian kedua, mengkaji teori-teori
sosiologi yang boleh diguna pakai dalam pengurusan bilik darjah dan bahagian
ketiga, menghuraikan mengenai aplikasi teori sosiologi dalam menangani isu
pengurusan bilik darjah. Seterusnya, bahagian terakhir ialah rumusan.

Dalam bahagian pertama, huraian kajian lebih memfokuskan kepada komuniti


di dalam bilik darjah dengan mengkaji sejarah, latarbelakang dan peranan setiap
anggota komuniti. Dalam konteks ini, subjek yang dikaji terdiri daripada guru dan
pelajar. Selain itu, teknik-teknik pengurusan yang perlu dilaksanakan oleh seorang
guru di dalam bilik darjah turut diterangkan.

Dalam bahagian kedua pula, tumpuan kajian adalah mengenai teori-teori


sosiologi yang boleh dikaitkan dan diaplikasikan dalam pengurusan bilik darjah.
Beberapa teori sosiologi dikaji secara ringkas dan aplikasi pengunaannya
diterangkan secara mendalam dalam bahagian yang seterusnya.

Manakala, dalam bahagian ketiga pula huraian menjurus kepada pengunaan


teori sosiologi dalam menangani isu-isu pengurusan bilik darjah. Dalam bahagian ini
kajian juga menumpu pada faktor-faktor yang mempengaruhi keberkesanan
pengurusan bilik darjah dari aspek sosiologi. Hampir keseluruhan sub topik yang
dihuraikan adalah berdasarkan kepada sub topik dalam bahagian pertama.
Bahagian terakhir pula ialah rumusan. Bahagian ini memberi kesimpulan
keseluruhan mengenai tajuk dan skop kajian yang dikaji. Semoga hasil daripada
kajian ini akan dapat digunakan oleh para guru dan juga para pelajar bidang
perguruan dalam memahami konsep pengurusan bilik darjah dengan lebih baik ke
arah menghasilkan perancangan proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik
darjah dengan lebih berkesan.
2.0 Latar Belakang Pengurusan Bilik Darjah

2.1 Pengenalan

Pengurusan bermaksud satu proses mendapatkan penyertaan, kerjasama, dan


campurtangan ahli untuk mencapai objektif-objektif organisasi atau kumpulan, gerak
kerjanya termasuk proses merancang, mengelola, memimpin, mengarah dan
mengawal. Dalam topik perbincangan aplikasi ilmu sosiologi dalam pengurusan bilik
darjah ini penulis mengemukakan pendapat dan hujah betapa pentingnya seorang
guru atau pengurus mengambil perhatian terhadap aspek sosiologi dalam sebuah
bilik darjah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Kesemua aspek sosiologi
yang disentuh akan mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan
pembelajaran yang dilakukan guru di dalam bilik darjah.
Apabila kita membincangkan aspek sosiologi itu dalam konteks bilik darjah,
maka perkara khusus yang perlu dikaji ialah komuniti yang terdapat dalam
lingkungan bilik darjah tersebut. Adalah penting untuk dibincangan dalam perkara ini
tentang maksud bilik darjah itu sendiri, siapa guru dan pelajar dari segi sejarah,
biografi, peranan dan struktur, teknik dan cara pengurusan bilik darjah yang
berkesan dengan merujuk kepada aspek sosiologi serta faktor-faktor yang
mempengaruhi keberkesanan pengurusan sebuah bilik darjah tersebut.

2.2 Konsep Bilik Darjah

Sekolah merupakan wacana untuk setiap insan membina diri mereka dengan
pengisian dari pelbagai sumber ilmu agar dapat memudahkan individu menghadapi
arus kehidupan di alam ini. Pembelajaran ini bermula dengan penyediaan diri pelajar
dengan pelbagai perkara bermula dari segi mental hinggalah kepada fizikal. Dalam
sebuah sekolah, bilik darjah merupakan tempat yang terpenting dalam membentuk
sahsiah dan pengetahuan pelajar. Bilik darjah merupakan tempat yang paling sesuai
untuk penyampaian pengajaran dan pembelajaran. Bilik darjah yang mempunyai
suasana yang tenteram dan selesa serta ditambah dengan pelbagai bahan
pengajaran atau bahan bantu mengajar akan memberi kesan yang mendalam
kepada penerimaan pelajar terhadap pengajaran guru.

Menurut Kamarudin Husin (2004:352), konsep bilik darjah sebenarnya telah


wujud sejak sekian lama. Namun demikian konsep tersebut berubah-ubah mengikut
perkembangan pendidikan dari semasa ke semasa. Pada zaman dahulu,
pembelajaran dilakukan di bawah pokok dengan bilangan pelajar yang kecil sekitar
lima hingga enam orang, dan ini boleh dianggap sebagai satu bilik darjah. Begitu
juga dengan surau atau pondok yang menjadi tempat kanak-kanak Melayu mengaji
al-Quran daripada imam juga tergolong sebagai bilik darjah. Oleh itu, boleh
dikatakan di mana sahaja tempat sesuatu ilmu itu disampaikan tempat tersebut
boleh dianggap sebagai bilik darjah.

Konsep bilik darjah pada hari ini biasanya ditafsirkan mengikut fungsi
pendidikan atau ciri penyusunan fizikal. Oleh itu, tempat seperti sebuah bilik atau
ruang yang mengandungi sekumpluan pelajar di bawah pengawasan seorang guru,
sebuah padang yang digunakan untuk pendidikan jasmani, sekumpulan pelajar yang
sedang menjalankan uji kaji dalam sebuah makmal sains serta pendidikan yang
diadakan di pusat sumber boleh digolongkan di bawah konsep bilik darjah.
Secara asasnya dalam konteks hari ini, bilik darjah akan dilengkapi dengan
kemudahan seperti kerusi dan meja pelajar yang disusun mengikut aktiviti
pengajaran dan pembelajaran, papan tulis dan alat bantu mengajar serta yang paling
utama ialah sejumlah pelajar yang berada dalam lingkungan umur yang sama di
bawah jagaan seorang guru. Bilik darjah merupakan satu organisasi yang sangat
mudah yang terdiri daripada guru dan sekumpulan pelajar yang mempunyai
matlamat dan harapan yang sama.

Persekitaran bilik darjah penting dalam situasi pembelajaran pelajar. Hal ini
boleh mengalakkan atau menghalang sesuatu aktiviti pembelajaran. Menurut
Sharifah Alwiah Alsagoff (1986:44), persekitaran fizikal bilik darjah yang baik akan
dapat meningkatkan kuasa serta sumber pengajaran guru. Beliau juga menekankan
tentang pengurusan dan penyusunan bilik darjah yang menyentuh cara guru
menyusun, mengorganisasi dan menggunakan perkara-perkara yang berkaitan,
menyusun tempat duduk pelajar serta penyusunan perabot dan alat bantu mengajar.
Secara keseluruhannya, semua perkara tersebut perlu diatur dengan sempurna
untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran.

Bilik darjah sebagai tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran,


merupakan tempat yang terpenting di sekolah. Bilik darjah juga merupakan medan
perjuangan utama kerjaya seorang guru. Pengurusan bilik darjah dinamik ke arah
pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi, rohani
dan intelek memerlukan pelbagai pengetahuan, kemahiran, prosedur, teknik dan
strategi. Guru seharusnya memiliki gaya kepimpinan, kemahiran merancang,
kecekapan mengurus, kepelbagaian dalam pengajaran dan pembelajaran,
kebijaksanaan interpersonal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran kaunseling dan
mampu mengendalikan teknologi maklumat dan komunikasi.

2.3 Guru dan Peranannya

Bilik darjah merupakan satu organisasi yang sangat mudah, yang lazimnya terdiri
daripada guru, pelajar dan sumber pembelajaran. Guru sebagai individu yang terlibat
secara langsung dalam menerajui pembelajaran. Ketiga-tiga entiti ini mempunyai
peranan masing-masing bagi membolehkan sebuah bilik darjah berfungsi dengan
baik dan mencapai objektif yang diharapkan oleh pihak sekolah.

Guru ialah seorang manusia biasa yang berada di tahap dewasa dan lebih
tua usianya berbanding pelajar. Dalam konteks pendidikan di Malaysia bagi sekolah
kerajaan, guru merupakan seorang yang menerima latihan perguruan serta
mendapat kelayakan untuk menjadi seorang guru sama ada dalam bentuk sijil,
diploma ataupun ijazah. Guru di sekolah merupakan satu fenomena moden di mana
mereka mempunyai pengkhususan dalam bidang tertentu dan dibayar gaji.
Pengurusan guru-guru sekolah awam di letakkan di bawah tadbiran Kementerian
Pelajaran Malaysia dan mereka dibayar gaji oleh kerajaan. Manakala guru-guru
sekolah swasta pula dibayar oleh majikan masing-masing. Dalam skim penjawatan
guru sekolah Malaysia, secara umumnya dibahagikan kepada dua bahagian iaitu
guru siswazah dan guru bukan siswazah.

Menurut Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman (2008:42), guru ialah teras
kepada pelaksanaan proses pendidikan walaupun proses pendidikan itu boleh juga
berlangsung secara tanpa guru. Guru mempunyai peranan yang besar dalam
melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang pendidik. Di antara peranan
guru yang utama adalah sebagai role model kepada pelajar, pembentuk akhlak yang
mulia, pakar dalam pengetahuan yang dimilikinya serta mahir dalam beberapa
kemahiran khususnya yang akan diajarkan kepada pelajarnya. Menurut
Schickendanz (1977) pula, guru berperanan dalam konteks pengurusan bilik darjah.
Katanya, “Pembelajaran terganggu dalam iklim yang kucar-kacir atau destruktif;
adalah menjadi tanggungjawab guru menolong pelajar bertingkah laku dengan cara
meningkatkan hormat pada diri sendiri dan mewujudkan cohesiveness kumpulan”.

Tugas untuk mendidik anak bangsa merupakan peranan utama bagi seorang
guru. Oleh hal yang demikian, untuk mendidik orang lain, guru sendiri perlu
mempunyai keperibadian yang mulia serta sahsiah yang terpuji supaya dapat
menjadi contoh dan ikutan para pelajarnya. Hal ini menuntut sifat profesionalisme
yang tinggi. Guru haruslah mempunyai disiplin yang cemerlang seperti bekerja keras,
menepati waktu, berakhlak mulia, mempunyai emosi yang mantap dan disiplin
kendiri yang utuh. Semua hal ini penting untuk menarik minat pelajar terhadap guru
yang mengajar kerana pelajar akan lebih memberikan tumpuan kepada pengajaran
dan pembelajaran di dalam kelas jika mereka menyukai guru yang mengajarnya.
“Segala-galanya yang dilakukan oleh guru daripada merancang jadual harian
sehingga membantu murid menyelesaikan perbalahan adalah mempengaruhi
keberkesanan guru sebagai pendisiplin” (Rohaty Mohd. Majzub, T. Subahan, Maerah
Faridah Karim, Ahmad Jeffiri Hassan, 1991. Persatuan Pendidikan Malaysia, 48)

Peranan yang dimainkan oleh seseorang guru di sesebuah sekolah amat


penting terutama dari segi menjadikan aspirasi dan matlamat sekolah menjadi
kenyataan. Menurut Kamarudin Husin (2004:384), peranan seorang guru dapat
diringkaskan seperti berikut:

1. Tenaga pengajar dan perancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran


berdasarkan sukatan pelajaran dan melaksanakannya di dalam bilik
darjah berdasarkan sukatan pelajaran dan melaksanakannya di dalam
bilik darjah mengikut strategi pengajaran yang sesuai.
2. Pengerak pembelajaran dengan menjadi pembimbing kepada pelajar
supaya mereka berusaha belajar secara individu atau secara
berkumpulan.
3. Pengurus bilik darjah seperti menguruskan jadual tugas bilik darjah,
menentukan corak penyusunan kerusi, meja dan peralatan serta
mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang sesuai.
4. Menjadi ibu bapa kepada pelajar, terutamanya dalam menjaga
keselamatan dan kebajikan mereka.
5. Bertanggungjawab dalam segala urusan yang berkaitan dengan disiplin
pelajar.
6. Model hidup yang akan menjadi ikutan dan contoh kepada pelajar.
7. Sebagai pembimbing dan kaunselor kepada pelajar yang menghadapi
masalah dalam pelajaran atau peribadi.
8. Menjadi penasihat kepada aktiviti ko-kurikulum.
9. Menjadi pemeriksa dan penilai kepada aktiviti pembelajaran.
10. Menjadi seorang pelajar, dengan sentiasa mengikuti kursus peningkatan
keilmuan profesionalisme.
11. Menjadi pembantu pentadbir sekolah dan pegawai perhubungan antara
pengetua dengan pelajar serta antara pihak sekolah dengan ibu bapa.

Oleh yang demikian dan menjalankan tugas dan peranannya, guru mestilah
menjadi seorang yang penyabar dan sentiasa bersedia menghadapi segala
kemungkinan yang akan berlaku. Peranan yang amat besar dan mencabar ini
menjadikan guru seorang yang dihormati dan disanjungi di mata masyarakat.
Cabaran ini disahut oleh setiap insan bergelar guru yang mendukung satu falsafah
keguruan iaitu Falsafah Pendidikan Guru Malaysia, iaitu:

“ Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan


saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung
warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu
dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik
dan berdisiplin”

2.4 Pelajar dan Peranannya

Gelaran pelajar atau murid diberikan kepada seseorang apabila mereka memasuki
alam persekolahan diperingkat sekolah tadika, sekolah rendah mahupun sekolah
menengah. Walaupun kedudukan pelajar dalam carta hierarki organisasi sekolah
terletak paling bawah, namun mereka juga memainkan peranan penting, sesuai
dengan keupayaan dan kedudukan mereka.

Setiap pelajar adalah berbeza dari segi perwatakkan, tingkah laku, bangsa,
budaya dan agama. Mereka juga berasal dari latar belakang ekonomi keluarga yang
berbeza serta tahap pengetahuan yang berlaianan. Oleh itu, adalah amat sukar
melayan kerenah mereka kerana semua hal yang disebutkan mempengaruhi
perkembangan mereka serta penerimaan mereka terhadap pelajaran. Adalah
penting bagi seorang guru dan kakitangan sekolah mengetahui tentang latar
belakang dan status pelajar dari setiap sudut sama ada sejarah, ekonomi, dan
keluarga supaya mereka tidak terasa tersisih dan kesamarataan dapat dirasai antara
semua pelajar.

Dalam konteks kajian ini, penulis memberi tumpuan kepada pelajar


peringkat sekolah menengah yang berada dalam lingkungan usia remaja. Menurut
Dorothy Roger dalam Muhd Mansur Abdullah (1988:37), perkataan remaja berasal
daripada perkataan Latin iaitu adolscere yang bermaksud tumbuh dan berkembang
ke arah kematangan. Manakala dari segi definisinya pula, Cyril Simmons dan
rakan-rakannya mentakrifkan remaja sebagai jangka masa ketika pengakhiran
zaman kanak-kanak dan permulaan zaman dewasa (1984:16). Secara teorinya
remaja adalah satu tempoh masa daripada bermulanya baligh (umur 10 ataupun
11 tahun bagi perempuan dan 12 ataupun 13 tahun bagi lelaki) sehingga mencapai
dewasa sepenuhnya daripada segi fizikal, sosial, undang-undang dan ekonomi.
Manakala menurut Jean-Jacques Rousseau pula, umur remaja boleh di anggap
berada pada usia 15 hingga 20 tahun. Dan demikian juga menurut undang-undang,
umur remaja adalah antara 10 hingga 18 tahun.

Jika kita melihat kepada pentakrifan usia remaja, secara kasarnya semua
takrifan berada pada usia pelajar peringkat sekolah menengah (13 hingga 18 tahun).
Maka tidak hairanlah, mengapa pelajar pada usia ini perlu untuk diberi perhatian
kerana mereka sedang mengalami satu tempoh peralihan yang mencabar ke arah
menempuh alam dewasa dan kematangan. Menurut Crow and Crow, umur yang
meningkat membawa kepada perubahan dalaman penyatuan emosi dan cara
bertindak balas dibangkitkan (1983:102). Pada tahap ini mereka mengalami
pelbagai perubahan fizikal, emosi dan sosial. Mereka akan lebih mudah terpengaruh
dengan rakan sebaya dan ingin mencari satu identiti dalam kehidupan mereka. Di
sinilah dilihat peri pentingnya tugas seorang guru dalam membantu pelajar
memainkan peranan mereka yang sepatutnya dan bukannya goyah dengan tarikan
dunia luar ataupun rakan sebaya.

Setiap pelajar yang hadir ke sekolah mesti belajar. Sudah menjadi lumrah
tugas sebagai seorang pelajar adalah untuk menghadirkan diri ke sekolah dan
menuntut ilmu. Pelajar haru melihat, mendengar, meneliti, memahami dan
mengekalkan apa sahaja yang diajar oleh gurunya. Pelajar perlu tahu bagaimana
untuk menyeimbangkan dirinya dengan segala perubahan dan kemajuan yang
terdapat di sekeliling mereka. Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab pelajar
untuk mematuhi setiap peraturan sekolah, menjalin kemesraan dengan guru dan
rakan sebaya, berusaha mengawal diri dan perasaan, serta sentiasa bersedia untuk
memberikan kerjasama dan komitmen jika diperlukan.

Dalam menjalani alam persekolahan, sememangya tidak dinafikan bahawa


pelajar sebenarnya membentuk pelbagai hubungan secara tidak langsung.
Hubungan yang wujud ini banyak membantu pelajar menyesuaikan diri mereka
dengan persekitaran persekolahan. Pelajar membentuk hubungan dengan kumpulan
rakan sebaya mereka dan hubungan ini melibatkan aktiviti pelajar yang berorganisasi
sama ada di dalam atau di luar sekolah. Rakan sebaya di alam persekolahan adalah
kumpulan rujukan pelajar yang memberi ‘sokongan moral’ dalam mencari identiti diri
dan pembentukkan imej (Fomberi, 1990; Mahmood, 1991). Oleh itu, pelajar adalah
cenderung ke arah pengaruh kumpulan umurnya berbanding dengan orang dewasa.
Kebiasaannya pelajar mudah terpengaruh kepada gaya pakaian, pertuturan,
orientasi kepada muzik, tarian, tayangan filem dan sebagainya. Situasi di sekolah
mengizinkan pembentukan kumpulan rakan sebaya. Secara tidak langsung, pelajar
dapat membentuk struktur sosial mereka sendiri di mana mereka akan mempunyai
kedudukan dan memainkan peranannya.

Begitulah serba sedikit tentang siapa pelajar dan peranan yang seharusnya
dimainkan oleh pelajar.Guru harus mengetahui latar belakang pelajar dengan baik
supaya penumpuan boleh diberikan kepada mereka dan teknik pengajaran dan
pembelajaran dapat disesuaikan dengan latar belakang pelajar yang berbeza-beza.
Menurut Farington (1990), walaupun mereka mungkin berasal dari kampung yang
sama tetapi kecetekkan akal yang muda menyebabkan mereka lebih bertindak
mengikut hati dan perasaan dan bukannya mengikut pertimbangan akal yang waras.

2.5 Pengurusan Fizikal, Sumber dan Organisasi

Bilik darjah merupakan sebuah tempat yang menempatkan para pelajar untuk
menerima dan menimba ilmu yang disampaikan oleh tenaga pengajar yakni guru
secara terus melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Pada zaman
kecanggihan ledakan teknologi maklumat dan penggunaan multimedia terutama
dalam bidang perkomputeran, penggunaan bilik darjah sebagai wadah penyampaian
ilmu mulai ada penggantinya iaitu melalui sistem pembelajaran secara ‘online’ .
Namun tahap yang dapat dicapai melalui pembelajaran sistem ini hanya lebih
praktikal kepada pelajar yang senior sahaja terutama di peringkat menengah dan ke
atas. Atas perkara ini, kita masih lihat kepentingan bilik darjah dalam penyampaian
ilmu masih lagi terus relevan kerana pembelajaran dalam bilik darjah adalah lebih
mudah dan tidak banyak masalah yang remeh untuk diselesaikan.

Konsep bilik darjah berubah-ubah mengikut perkembangan pendidikan dari


semasa ke semasa. Bilik darjah selalunya mempunyai peralatan asas seperti papan
hitam, papan kenyataaan, meja dan kerusi untuk guru dan pelajar, almari yang
dilengkapi dengan penyediaan bahan-bahan bacaan dan bahan bantuan mengajar
serta peralatan sokongan yang dihiasi untuk keceriaan dan kebersihan persekitaran
untuk ruang pembelajaran. Susunan meja dan kerusi dalam bilik darjah sebaik-
baiknya di atur untuk kemudahan para pelajar bagi mengadakan aktiviti
pembelajaran yang berpusatkan pelajar dan aktiviti berkumpulan. Pelajar mudah
berinteraksi sesama mereka dan mudah berinteraksi dengan guru. Bilik darjah yang
berukuran 7 meter x 9 meter boleh memuatkan seramai 40 orang pelajar. Sistem
pencahayaan yang baik serta pintu dan tingkap yang terbuka membolehkan
peredaran udara yang secukupnya diperolehi.

Papan kenyataan yang dilengkapi dengan jadual waktu pembelajaran, jadual


bertugas, carta organisasi, pelan keselamatan, sudut mata pelajaran dan sudut
bacaan boleh melahirkan suasana bilik darjah yang kondusif. Hasilnya persekitaran
pembelajaran yang harmonis boleh menceriakan dan meningkatkan semangat para
pelajar dan guru untuk berada lebih lama di bilik darjah kerana proses pengajaran
dan pembelajaran seolah-olah berada di dalam sebuah rumah sendiri. Selain itu,
wujudnya perasaan saling bekerjasama dan semangat kekitaan disamping berdikari
untuk bersama berusaha memajukan diri dan kumpulan secara kolektif.

Pelajar sebagai sumber manusia yang akan dijelmakan menjadi pelajar yang
berpengetahuan dan berketrampilan memerlukan pengurusan dan perancangan
strategik yang berkesan. Guru berperanan sebagai pencetus idea atau fasilitator bagi
melahirkan suasana pembelajaran yang mencakupi semua bidang kemahiran
sebagai sumber kepada pembinaan modal insan. Suasana pembelajaran yang
kondusif dan kreatif akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih
berfokus. Kejayaan guru menguruskan fizikal, sumber dan suasana bilik darjah yang
kondusif memberi gambaran bahawa guru telah berjaya membentuk budaya yang
positif dikalangan pelajar yang melambangkan sebahagian daripada rukun negara
yang diterapkan.

2.6 Persekitaran dan Aplikasi Bilik Darjah

Suasana bilik darjah yang harmoni dapat membantu meningkatkan kualiti proses
pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih bermakna. Guru memainkan peranan
penting dalam membentuk suasana dan budaya bilik darjah yang baik. Gaya
kepimpinan yang berwibawa seperti mengurangkan arahan untuk pelaksanaan tugas
kepada pelajar dalam bilik darjah boleh dianggap sebagai kepimpinan berasaskan
demokratik. Selain dapat merapatkan jurang komunikasi antara guru dan pelajar,
hubungan mesra dan semangat bekerjasma di kalangan pelajar boleh diwujudkan.
Berbeza dengan kepimpinan berasaskan Laiissez-faire yang memberi arahan-
arahan yang tidak jelas dan jawapan-jawapan yang ringkas tentang sesuatu
persoalan yang ditimbulkan atau yang telah sedia ada.

Pendekatan yang hendak digunakan bagi mengawal suasana dalam bilik


darjah perlu berlandaskan tahap perkembangan pelajar. Suasana bilik darjah yang
baik biasanya dikaitkan dengan penglibatan dan penghayatan pelajar bersama guru
dalam bilik darjah tersebut. Guru yang memiliki gaya kepimpinan yang matang akan
lebih bersedia menerima dan menghormati setiap pelajar dalam pengawasannya di
samping menekankan terhadap perubahan ke arah yang lebih baik. Apabila keadaan
ini berlaku guru sebagai pendidik dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi
dan pertumbuhan kendiri para pelajar serta bersikap keterbukaan dalam perkara-
perkara yang boleh membawa ke arah kebaikan.

Pengurusan bilik darjah akan menjadi bertambah baik jika sistem penyeliaan
diuruskan dengan berkesan. Segala tugasan yang diberikan kepada setiap pelajar
sedikit sebanyak dapat membantu perkembangan budaya bertanggungjawab dan
bekerjasama di kalangan mereka. Guru hanya berperanan sebagai pembantu dalam
menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi oleh para pelajar dalam
merealisasikan suasana bilik darjah yang baik.

Secara umumnya pengurusan bilik darjah sebaik-baiknya merangkumi ciri-ciri


yang bersesuaian dengan proses pembelajaran pelajar seperti persediaan suasana
pembelajaran yang berkesan atau penubuhan organisasi pengajaran yang dapat
membantu meningkatkan aktiviti-aktiviti perkembangan pembelajaran secara lebih
aktif dan produktif. Penggunaan teknik motivasi dan penyelesaian konflik juga boleh
menampakkan keberkesanannya. Oleh itu, peranan dan pengorbanan guru
mengubah suasana bilik darjah yang kurang menyerlah kepada suasana yang lebih
kondusif dapat dilihat sebagai jambatan utama proses pembelajaran yang
memberangsangkan ke arah pembentukan modal insan di kalangan pelajar.

2.7 Pengurusan Murid

Pelajar adalah aset utama yang boleh dikategorikan sebagai pelanggan bagi setiap
guru dalam bilik darjah. Golongan ini akan sentiasa bersama setiap kali proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam bilik darjah. Perlakuan mereka
perlu dibentuk melalui pendidikan dan asuhan yang terbaik. Terdapat perbezaan
antara individu pelajar atau kumpulan pelajar dengan yang lain yang mendesak guru
untuk menggunakan kemahiran yang optimum dalam pengurusan bilik darjah. Malah
adalah penting bagi guru memahami tingkah-laku dan budaya pelajar terlebih dahulu
supaya sebarang tindakan dapat dilakukan mengikut kaedah yang betul dan tepat.

Kemahiran berkomunikasi juga memainkan peranan penting ke arah


pembentukan budaya penyayang. Komunikasi yang baik dapat dijelmakan dalam
cara bertutur, penggunaan bahasa badan, penulisan juga melalui penggunaan alat-
alat tertentu seperti komputer, telefon dan sebagainya. Apabila seorang guru
menggunakan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan terhadap pelajarnya,
secara tidak langsung dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang lebih
dinamik dan pembentukan akhlak yang mulia serta peningkatan kemahiran tertentu
dapat diterap dengan lebih mudah. Komunikasi boleh menghasilkan motivasi yang
berkesan kepada pelajar. Pengurusan hal ehwal pelajar melalui pendekatan “Guru
Penyayang” yang ditunjukkan oleh guru dalam bilik darjah juga dapat dipraktikkan
dengan adanya sifat mahmudah yang wujud dalam diri guru itu sendiri yang akan
mempercepatkan proses pemindahan maklumat daripada guru kepada pelajarnya
terlaksana.

Guru yang berwibawa sentiasa melihat pembelajaran sosial sebagai satu


aspek penting dalam bilik darjah. Setiap golongan yang dipimpin memerlukan
penghargaan dan pengiktirafan dari golongan pendidik ini. Guru seharusnnya
menggunakan kebijaksanaan berkomunikasi dan pendekatan penyayang dengan
menghadiahkan senyuman di samping memberikan penghargaan apabila mereka
mempamerkan sesuatu yang baik meski pun objektif atau matlamat proses
pengajaran dan pembelajaran kurang menyerlah. Sekeping kertas berbentuk surat
pengiktirafan atau sebatang pen sebagai tanda penghargaan sudah mampu untuk
menunjukkan keikhlasan guru bagi meningkatkan prestasi anak didik mereka.

Guru seharusnya menunjukkan teladan sebagai seorang profesional dengan


mewujudkan program-program yang bertujuan membangunkan insaniah pelajar
dengan peraturan dan arahan yang jelas bagi mengurang segala tingkah-laku
negatif. Guru sepatutnya mengelakkan diri daripada menggunakan pendekatan yang
bertentangan dengan norma kemanusiaan yang boleh menggalakkan pelajar untuk
tidak menghargai pertumbuhan pengetahuan dan kemahiran diri.

Budaya bilik darjah yang dinamik lebih mementingkan aspek pembentukan


nilai-nilai murni seperti hubungan yang mesra di kalangan pelajar dengan guru.
Selain kecergasan mental yang kreatif dan inovatif, penyertaan yang aktif dari
kalangan pelajar membolehkan pembelajaran yang berobjektif dan bermatlamat
diwujudkan kerana pelajar sentiasa mendapat dorongan dan bimbingan dari guru
dan rakan sebaya sekaligus dapat meningkatkan tahap disiplin yang terkawal melalui
tindakan yang berhemah yang dibaluti dengan perasaan kasih dan sayang. Ini dapat
memberi peluang yang terbaik kepada pelajar untuk mengembangkan potensi diri
mereka ke arah pembentukan modal insan yang berkualiti.

Guru boleh membuat penilaian dalam mengurangkan kadar ponteng dan


permasalahan disiplin pelajar melalui pendekatan pengurusan bilik darjah yang
berkesan. Kadar bilangan pelajar yang terlalu ramai dalam sesebuah bilik darjah
bukan satu ukuran yang subjektif untuk dibuat satu kesimpulan bahawa kelas
tersebut tidak boleh dibangunkan. Kecekapan dan kesungguhan yang ditunjukkan
oleh guru boleh menghasilkan bilik darjah sebagai sebuah rumah dalam slogan “bilik
darjah ku, rumah ku”.

Kemahiran mengawal disiplin pelajar sangat penting kerana seorang guru


tidak boleh melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan
sekiranya para pelajar tidak dapat memberikan tumpuan atau fokus dalam bilik
darjah. Guru mungkin berhadapan dengan beberapa pelajar yang nakal tetapi
seharusnya diingatkan bahawa bukan semua pelajar menjadi punca segala
permasalahan yang timbul kerana jika tiada pengawalan yang baik, jumlah pelajar
yang akan menimbulkan ketidakselesaan guru akan bertambah dan akhirnya
menjejaskan penumpuan guru terhadap penyampaian pengajaran dalam bilik darjah.

Strategi awal bagi mengawal keadaan ini adalah guru memainkan peranan
penting dengan mengenalpasti pelajarnya yang boleh menimbulkan punca
permasalahan supaya pelajar lain tidak menjadi ‘pak turut’ semata-mata.
Permasalahan yang diwujudkan oleh rakan mereka itu perlu dikenalpasti terlebih
dahulu sebelum bertindak untuk cuba membantu menyelesaikan permasalahan
tersebut. Pendekatan boleh dilakukan dalam aktiviti pengajaran dengan banyak
berinteraksi dengan pelajar yang berkenaan sehingga pelajar tersebut merasakan
dirinya mendapat perhatian dan dihargai bukan kerana dirinya tetapi kerana tingkah-
lakunya yang tidak disenangi guru. Ketegasan kepada disiplin pembelajaran perlu
diterapkan dengan cara yang berhemah yang boleh menampakkan bahawa
ketegasan itu bukan bertujuan penderaan tetapi sebagai pengajaran sekiranya
pelajar berkenaan perlu diberikan nasihat, teguran dan kata-kata motivasi yang
menggambarkan bahawa guru menyayanginya. Kesabaran, kecekalan dan
kesungguhan dalam membentuk tingkah-laku pelajar kadangkala mengambil masa
yang agak lama.

Beberapa perkara yang boleh dijadikan panduan dalam pengurusan tingkah-


laku pelajar adalah seperti menerangkan peraturan yang wajib dipatuhi oleh pelajar
sepanjang masa pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan selain menyatakan
sebab-sebab serta objektif pelaksanaannya. Guru perlu membiasakan diri menepati
masa datang ke bilik darjah untuk mengelakkan tumpuan pelajar terganggu.
Penggunaan pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap
pencapaian pelajar yang dimulakan dengan set induksi yang menarik kemudian
diikuti dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran boleh menghilangkan rasa kebosanan
pelajar selain melakukan beberapa tugasan yang berkaitan dengan isi-isi pengajaran
tersebut. Guru tidak boleh melengah-lengahkan waktu untuk memulakan pengajaran
dan melambatkan untuk menamatkan pembelajaran bagi mengelakkan pelajar
melakukan perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan hasil pembelajaran. Guru
yang kreatif perlu merangsangkan minda pelajar dengan kata-kata motivasi
disamping jenaka ‘sense humor’ dan pujian supaya suasana bilik darjah ceria dan
tidak membosankan.

2.8 Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran

Pengurusan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah merupakan tugas


utama yang perlu diberi perhatian yang serius. Pembaziran waktu akan berlaku
dalam satu masa pengajaran dan pembelajaran sekiranya objektif pembelajaran
tidak tercapai. Pelan Tindakan Strategik bagi mata pelajaran yang diajar perlu
disediakan terlebih dahulu oleh guru sebagai panduan. Kajian dari aspek kekuatan,
kelemahan, peluang dan halangan yang disertai dengan perancangan untuk lima
tahun dan perancangan untuk tahun semasa perlu selaras dengan perancangan
strategi sekolah.

Peningkatan profesionalisme guru dalam bilik darjah dilihat dalam aspek


kebolehan mencorak kualiti pengajaran, kebolehan menyusun organisasi
pembelajaran, kebolehan mencorak suasana persekitaran dalam bilik darjah,
kebolehan mencorak perkembangan pelajar termasuk perkembangan akademik,
sosial, emosi, rohani, intelek dan jasmani.

Guru yang bercita-cita untuk menjadi pengurus bilik darjah yang berkesan
perlu memahami perasaan dan kehendak hati nurani para pelajar dengan
mencorakkan tingkahlaku dan pengawalan disiplin pelajar. Oleh itu guru berperanan
sebagai pendidik, pemimpin, pembimbing, penilai, perancang dan pendorong ke
arah kecemerlangan pelajar. Perancangan yang berkualiti menjamin peningkatan
kuantiti dan kualiti dalam proses perkembangan pembelajaran serta penghasilannya.

Pembelajaran yang bermakna melibatkan proses memahami, berfikir,


berbincang, membuat pertimbangan, menganalisis bagi mengembangkan minda
pelajar. Selain itu, kemahiran komunikasi, menyesuaikan diri, kemahiran sosial dan
perkembangan tingkahlaku dapat diperluaskan di kalangan mereka. Prinsip umum
pembelajaran ialah meningkatkan dan mengekalkan tahap kejayaan di samping
memberi ruang dan peluang untuk pelajar mengatasi kelemahan mereka tanpa
membiarkan kegagalan berterusan. Pembelajaran perlu lebih realistik dan mampu
mencabar kebolehan pelajar bagi mengembangkan potensi mereka pada masa akan
datang.

Guru perlu memiliki beberapa kemahiran penting dalam proses pengajaran


dan pembelajaran kerana kemahiran boleh menjadi instrumen untuk kejayaan dalam
menguruskan bilik darjah. Antara kemahiran yang boleh dipraktikkan ialah kemahiran
interpersonal, kemahiran dalam bimbingan dan kaunseling, kemahiran dalam
mengawal emosi pelajar boleh menjadi pemangkin dalam mencapai objektif
pembelajaran yang berkesan.

Komunikasi adalah medan pemindahan pengetahuan dan proses


mendapatkan maklumat. Melalui komunikasi juga, pelajar mampu melahirkan
pandangan dan menyuarakan pendapat dalam meningkatkan kecekapan dan
pengetahuan bagi maklumat yang diperolehi. Justeru itu guru seharusnya
mengelakkan masalah yang boleh menjejaskan keberkesanan proses komunikasi
seperti penggunaan bahasa yang kasar, suara yang tidak jelas, bahasa badan yang
tidak sesuai serta tidak mampu memberi perhatian dan tumpuan tentang pengajaran
dan pembelajaran. Pembelajaran pelajar terhasil melalui proses pendengaran dan
pemerhatian selain latihan dan percubaan dalam aktiviti pembelajaran.

Kejayaan seseorang guru sebagai pengurus di bilik darjah tidak semata-mata


dinilai atau diukur daripada aspek kemahiran dan teknik pengajaran dan
pembelajaran semata-mata tetapi kualiti peribadi dan sahsiah diri juga menjadi
tarikan kepada pelajar. Pada amnya guru yang disenangi pelajar ialah guru yang
pandai berjenaka, jujur dan ikhlas dalam menjalankan tugas, berfikiran positif,
pendengar yang aktif dan tenang menyelesaikan konflik. Imam al-Ghazali
menggariskan ciri-ciri guru yang efektif iaitu guru yang memiliki rasa simpati terhadap
setiap pelajar dan melayani mereka seperti anak sendiri. Tambahan lagi, seorang
guru tidak sekali-kali merendahkan disiplin ilmu yang lain di hadapan pelajar. Guru
juga bertanggungjawab menghadkan pembelajaran bersesuaian dengan tahap
pencapaian dan pemahaman pelajar serta tidak memaksa mereka mencapai
sesuatu di luar kemampuan serta menyediakan bahan pembelajaran yang mudah
difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal pelajar mereka.

3.0 Teori - Teori Sosiologi

3.1 Teori Struktural-Fungsional

Teori Struktural-Fungsional adalah sesuatu yang sangat penting dan bermanfaat


dalam mengkaji masalah sosial di kalangan masyarakat khususnya dalam bidang
pendidikan. Teori ini wujud berasaskan pandangan dan pemikiran tokoh-tokoh awal
seperti Comte, Spencer dan Durkheim yang kemudiannya di kaji oleh tokoh-tokoh
terkemudian seperti Talcott Parsons dan Robert K.Merton. Secara kasarnya teori ini
terdiri atas dua elemen iaitu struktur sosial dan fungsi sosial. Menurut teori ini,
struktur sosial dan fungsi sosial tersebut berada dalam suatu sistem sosial yang
terdiri daripada bahagian-bahagian atau elemen-elemen yang saling berkaitan untuk
mewujudkan keseimbangan dalam struktur sosial masyarakat. Teori ini juga banyak
mengkaji fungsi perlakuan sosial atau sesebuah institusi dalam kegiatan-kegiatan
yang menyumbang kepada kehidupan masyarakat amnya yang mana khusus
merujuk kepada para pelajar. Masyarakat boleh dianggap sebagai satu tubuh badan
manusia yang terdiri dari bahagian-bahagian tertentu yang mempunyai fungsi-
fungsinya yang tersendiri yang mana merujuk kepada individu yang wujud dalam
pelbagai lapisan umur dalam masyarakat. Bahagian-bahagian ini juga dikenali
sebagai struktur. Teori ini juga menghuraikan mengenai organisasi sosial dan
menerangkan bagaimana sesuatu organisasi boleh dikekalkan.

Dengan demikian dapat dikatakan bahawa teori ini lebih menekankan kepada
penyusunan dan mengabaikan isu konflik dan perubahan-perubahan yang wujud
dalam masyarakat. Jelas di sini bahawa setiap struktur dalam sistem sosial
memainkan peranan antara satu sama lain. Sebaliknya jika sistem sosial tidak
berfungsi maka secara sendirinya fungsi struktur itu akan hilang.

Emile Durkheim, seorang ahli sosiologi Perancis menganggap bahawa teori


Struktural-Fungsional merupakan suatu yang berbeza. Durkheim melihat
masyarakat moden sebagai keseluruhan organisasi yang memiliki realiti kehidupan
tersendiri. Keseluruhan yang dimaksudkan oleh Durkheim ialah keperluan atau
fungsi-fungsi tertentu yang perlu dipenuhi oleh bahagian-bahagian yang menjadi
anggotanya agar sentiasa berada dalam keadaan yang teratur.

Menurut teori ini, masyarakat akan dikaji dari segi perjalanan sistem sosial
atau perhubungan mereka yang telah wujud. Struktur-struktur sosial yang dibentuk
akan membantu kelancaran perjalanan atau keharmonian sesuatu masyarakat.
Brinkerhoff dan White (1989 : 9) telah merumuskan tiga andaian utama ahli-ahli
fungsionalisme iaitu stabiliti, harmoni dan evolusi. Stabiliti merujuk kriteria penilaian
yang utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah masyarakat dapat
dikekalkan. Harmoni menunjukkan bagaimana semua bahagian atau struktur-struktur
dalam masyarakat bekerjasama untuk mencapai tujuannya. Evolusi pula
menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku kepada masyarakat melalui
proses adaptasi struktur sosial kepada pembaharuan yang mana sekaligus akan
menyebabkan sesuatu yang tidak diperlukan oleh masyarakat dihapuskan.
Struktural-Fungsionalisme sering menggunakan konsep sistem ketika membahas
struktur atau lembaga sosial. Ianya terdiri dari bahagian yang rapi, sesuai, teratur
dan saling bergantungan. Seperti sebuah sistem, maka struktur yang terdapat
dalam masyarakat akan berkemungkinan untuk selalu berubah. Perubahan yang
berlaku akan terus berjalan seiring dengan perkembangan kehidupan manusia.

Berdasarkan teori ini, dapat disimpulkan bahawa penglibatan setiap individu


yang terlibat dalam pembentukan sesebuah organisasi bilik darjah memainkan
peranan yang penting dalam mewujudkan suasana sosial yang sesuai untuk
peningkatan dan kemajuan dalam melancarkan proses pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah.

3.2 Teori Interaksionisme

Teori ini lebih merujuk kepada pendekatan mikro iaitu bagaimana seseorang
menginterprestasi dan bertindak menurut kemahuan masing-masing dalam
masyarakat di mana peranan individu itu di lihat dalam sesuatu sistem sosial yang di
wujudkan. Setiap perlakuan atau aksi individu bersifat subjektif ditafsirkan dan
diperjelaskan akan maknanya. Manusia tidak pasif dan menekankan bahawa
interaksi sosiallah yang membentuk realiti. Blumer (1969) telah memberikan tiga
huraian penting mengenai konsep makna.
1) Kepentingan dalam memahami makna.
2) Makna meningkatkan kemesraan
3) Makna boleh dirundingkan

Oleh itu dapat dikatakan bahawa interaksionisme simbolik melihat bagaimana


individu membentuk dan dibentuk oleh interaksinya dengan orang lain. David
Hargreaves melihat kendiri, persepsi dan peranan individu sebagai interaksionisme
simbolik. Setiap tindakan yang di ambil adalah berdasarkan pandangan diri sendiri
dan juga pandangan dari orang lain. Dalam bilik darjah pendekatan
interaksionalisme diaplikasikan dengan sebaiknya, dimana hubungan yang
melibatkan guru dengan guru, guru dengan pelajar dan pelajar sesama pelajar
berlaku sepanjang masa. Hargreaves mengatakan guru berkuasa menentukan
pelajar-pelajar menerima situasi yang telah ditetapkan dalam bilik darjah. Walaupun
beliau mencadangkan tiga jenis konsep diri yang ada pada guru iaitu si ’penjinak
singa’, si ’penghibur’ dan si ’romantik’ tetapi ketiga-tiga jenis konsep ini bukanlah
sesuatu yang tetap kerana guru mempunyai pelbagai sifat. Bagi pelajar–pelajar pula
mereka menganggap pentingnya bagi mereka untuk mengembirakan guru, dalam
erti kata lainnya, mereka mempunyai kemahiran yang tersendiri untuk berhadapan
dengan guru yag berlainan. Menurut Hargreaves (1975: 105) lagi, pelajar-pelajar
merasakan mereka perlu mengembirakan hati guru tetapi pada masa yang sama
mereka kecewa dan bosan. Beliau juga berpendapat terdapat situasi konflik dalam
bilik darjah tetapi tidak bersifat terbuka. Pelajar mempunyai sedikit kuasa untuk
membantah situasi yang tidak sesuai dengan mereka. Rundingan merupakan jalan
terbaik, apabila guru boleh memoderasi setengah kehendak mereka sebagai
balasan kepatuhan pelajar terhadap permintaan dari guru. Guru dan pelajar
mempunyai pelbagai strategi untuk mencapai matlamat masing-masing. Guru
menggunakan teknik seperti pecah dan perintah, ancaman dan amaran dan merujuk
kepada pihak atasan. Manakala pelajar pula merujuk kepada pihak yang lebih
berautoriti seperti ibu bapa dan sebagainya. Interaksi saling mempengaruhi antara
guru dan pelajar menjadikan suasana bilik darjah lebih teratur dan menggalakkan
perkembangan proses pengajaran dan pembelajaran. Berdasarkan teori ini,
hubungan sosial di antara para pelajar dan guru penting dalam mewujudkan
pengurusan sesuatu bilik darjah itu dilakukan secara berkesan.
4.0 Aplikasi Teori Sosiologi Dalam Menangani Isu Keberkesanan
Pengurusan Bilik Darjah.

Isu kepadatan bilik darjah di Malaysia yang terlalu sesak mengakibatkan kadar
tahap pembelajaran menurun di kalangan pelajar. Apabila kadar tahap pembelajaran
menurun, para pelajar tidak lagi berminat untuk meneruskan persekolahan. Mereka
merasakan meneruskan persekolahan adalah sia-sia kerana mereka tidak lagi
berminat untuk belajar. Kebanyakan bilik darjah masih mengamalkan sistem
pembelajaran konvensional, menyebabkan pelajar terlalu bergantung kepada
pengajaran guru dan ini menghalang mereka untuk mengembangkan potensi
pembelajaran masing-masing dengan cara yang tersendiri. Isu ini berlaku adalah
kerana beberapa faktor yang mempengaruhinya seperti berikut :

4.1 Guru Kurang Berfungsi

Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia


menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara dan
menjamin perkembangan. Guru merupakan suatu anggota atau kakitangan yang
paling penting dalam membangunkan sesebuah masyarakat. Peranan dan
sumbangannya amat diperlukan pada mana-mana peringkat rendah mahupun
menengah. Tanggungjawab yang dipikulnya bukanlah sekadar menyampaikan ilmu
pengetahuan sahaja bahkan membentuk akhlak dan nilai yang sewajarnya untuk
menghiasi latar belakang pelajar apabila mereka dewasa kelak. Tumpuan yang
sepenuhnya oleh guru terhadap setiap anak didiknya dalam sesebuah kelas akan
mendatangkan kesan dari segi perubahan tingkah laku mahu pun persepsi dan
minat pelajar terhadap pelajaran yang sedang dipelajarinya ketika itu. Dengan
bilangan pelajar yang melebihi tahap maksima, kawalan kelas akan terabai kerana
guru tidak mungkin dapat mengawal dan memberi perhatian terhadap bilangan
pelajar yang ramai.

Di samping itu juga, guru tidak dapat mengenal pasti mana pelajar yang
pandai dan sebaliknya kerana jumlah pelajar yang terlalu ramai dalam satu kelas.
Oleh yang demikian, guru tidak dapat memberi perhatian kepada pelajar yang
kurang pandai di dalam kelas tersebut. Selain itu, guru tidak dapat mengajar secara
berkesan kepada pelajar kerana pengabaian secara tidak formal berlaku di dalam
kelas tersebut.
4.2 Wujud Kumpulan Tertentu

Bilangan pelajar yang ramai dalam sesebuah bilik darjah mengakibatkan wujudnya
kelompok bilangan pelajar tertentu seperti kumpulan-kumpulan elit yang mempunyai
prestasi pelajaran yang baik berbanding sebahagian yang lain. Kumpulan pelajar
yang kurang pencapaiannya dalam pelajaran pula akan mengasingkan diri mereka
ekoran tahap pembelajaran yang tidak sama dan merasa rendah diri terhadap rakan
yang lebih baik dari mereka. Golongan ini akan membentuk dua situasi kumpulan
yang berbeza dari segi ideologi pembelajaran dan sikap yang tidak sehaluan.

Hubungan silaturahim antara mereka juga akan terjejas kerana mereka


hanya berkawan dengan pelajar yang tertentu sahaja. Contohnya, pelajar yang
mempunyai tahap pembelajaran yang tinggi akan berkawan sesama mereka sahaja.
Manakala pelajar yang mempunyai tahap pembelajaran yang rendah akan terasa
tersisih. Selain itu juga, mereka tidak dapat meningkatkan tahap pembelajaran
mereka kerana pelajar yang tahap pembelajaran tinggi tidak berkawan dengan
pelajar yang lain. Di samping itu, boleh mewujudkan pergaduhan apabila wujudnya
kumpulan tertentu dalam satu bilik darjah. Akhirnya suasana bilik darjah akan
menjadi tempat untuk mereka mengasingkan diri dari orang yang tidak sealiran
dengan pendirian mereka dalam pelajaran.

4.3 Pengajaran Dan Pembelajaran Kurang Berkesan

Mengajar adalah satu tanggungjawab yang besar. Ia memerlukan


persediaan lengkap untuk mengajar di samping memahami kerenah yang sedia ada
pada pelajar yang ada dalam kelas terbabit. Apabila bilangan pelajar yang melebihi
tahap maksima, guru tidak dapat menyediakan bahan yang terlalu banyak dan
memdatangkan kesan kepada pengajarannya. Guru terpaksa mengawal kelas dalam
jangka masa yang lama sebelum memulakan sesi pengajaran. Akibatnya masa yang
diperuntukkan atas mana-mana mata pelajaran akan makin berkurangan dan ini
akan mendatangkan kesan seperti sukatan pelajaran tidak dapat dihabiskan
mengikut jangka masa ditetapkan, guru akan melangkau kepada topik-topik yang
dirasakan perlu baginya untuk mengajar sahaja.

Tahap kecerdasan dalam kajian ini dikategorikan kepada tiga, iaitu tinggi,
sederhana, dan rendah. Analisis data menunjukkan majoriti subjek kajian berada
dalam lingkungan kecerdasan sederhana, iaitu sebanyak 75%. Manakala bagi
pelajar yang berkecerdasan tinggi dan berkecerdasan rendah, perbezaan
peratusannya adalah rendah iaitu 12.7% pelajar berkecerdasan tinggi dan 13%
pelajar berkecerdasan rendah. Taburan tahap kecerdasan pelajar yang sebegini
adalah normal kerana subjek kajian ini dipilih secara rawak, iaitu tahap kecerdasan
subjek tidak ditentukan terlebih dahulu. Berdasarkan dapatan ini dapat dibuat
kesimpulan bahawa tahap kecerdasan pelajar adalah berbeza-beza. Walaupun
kebanyakan pelajar berada dalam kategori kecerdasan sederhana, namun
kewujudan pelajar yang mempunyai kecerdasan tinggi dan juga kecerdasan rendah
perlu diberi perhatian. Guru perlu peka tentang kewujudan tahap kecerdasan pelajar
yang berbeza-beza ini kerana dapat membantu mereka merancang bahan dan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

4.4 Wujudnya Halangan Komunikasi

Komunikasi adalah elemen dalam kehidupan yang berlaku sepanjang masa sama
dan bersifat dinamik. Ia berlaku di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa sama
ada dalam situasi formal atau tidak formal dan tidak dapat dielak. Corak komunikasi
yang wujud di dalam bilik darjah antara guru dengan pelajar dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Didapati bahawa komunikasi guru dan pelajar berlaku
dalam suasana separa formal. Selain itu, kajian juga mendapati bahawa guru adalah
faktor kepada permulaan komunikasi yang berkesan atau sebaliknya. Guru juga
sebagai pendorong dan pemberi semangat.

Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) adalah satu proses yang berterusan di


dalam bilik darjah. Guru-guru yang memiliki asas dan teknik pengajaran yang baik
dapat menarik minat pelajar dalam proses P&P tersebut. Abdullah Hassan dan Ainon
Mohd (2002) menyatakan bahawa apabila seorang guru menyampaikan pengalaman
dan pengetahuannya kepada murid-muridnya, itu namanya berkomunikasi. Oleh
sebab itu, guru diberi banyak penekanan tentang kepentingan menguasai kemahiran
komunikasi dengan baik. Kemahiran menyampai dan berkongsi maklumat mencipta
makna dalam berkomunikasi.

Apabila seorang guru berkomunikasi, dia bukan sahaja mencari perkataan


yang tepat untuk menyampaikan makna tetapi boleh menggabungkan elemen-
elemen lain seperti intonasi, pertembungan mata (eye-contact), dan komunikasi
bukan lisan bagi memberikan kesan maksimum semasa proses P&P (Kauffman,
Mostert, Trent, & Hallahan, 1998). Selain itu, guru yang mempunyai kemahiran
komunikasi dapat mengesan dan memahami tingkah laku murid melalui tindak balas
bukan lisan dan melalui interaksi yang berlaku sepanjang proses P&P di dalam bilik
darjah (Emmer et al., 2003).
Tidak semua guru boleh berkomunikasi dengan baik. Ada yang petah
berkata-kata tetapi sering melukai hati muridnya. Ada pula yang pendiam dan tidak
pandai pula menjadi pendorong yang baik. Ada guru pula yang sering berleter dan
memberikan nasihat sehingga murid menjadi jemu dan menganggap guru sebagai
kaki leter. Oleh sebab itu, guru perlu memahami konsep komunikasi dalam erti kata
yang lebih luas. Berkomunikasi di dalam bilik darjah bukan sekadar menyampaikan
ilmu tetapi membina hubungan agar dapat memudahkan proses P&P.

Pelajar pada kebiasaannya akan mengadu hal tentang tidak


fahaman mereka terhadap sesuatu topik yang dipelajarinya. Untuk itu, bilangan kelas
yang ramai akan mendatangkan kesan pada mereka kerana wujud rasa malu untuk
bertanya pada guru sedangkan pada masa yang sama rakan-rakan lain memahami
akan pengajaran guru. Golongan ini juga akan berasa malu untuk bertanya rakan
sebaya seperti kumpulan elit tidak mahu berdiskusi dengan pelajar yang lemah dan
ini akan mendatangkan kewujudan halangan berkomunikasi antara guru dan pelajar
atau pelajar dengan pelajar sendiri.

Kemahiran berkomunikasi adalah aspek yang seharusnya diberikan


pendedahan yang lebih kepada guru kerana gurulah orangnya yang akan
menentukan sama ada komunikasi yang berlangsung akan terjadi dalam keadaan
yang ceria atau sebaliknya. Murid dalam hal ini hanyalah golongan yang menunggu
sama ada situasi pembelajaran akan menjadi menarik, membosankan atau
menakutkan. Guru yang ceria semasa tiba di muka pintu bilik darjah akan
mengundang keceriaan pelajar-pelajar dan suasana pembelajaran akan menjadi
lebih ceria.

Guru yang masuk ke bilik darjah dalam riak wajah yang hambar akan
menyebabkan situasi pembelajaran turut menjadi hambar. Dan sekiranya guru
masuk ke bilik darjah dengan wajah yang bengis, pelajar tentulah akan memberikan
reaksi yang negatif terhadap riak wajah yang sedemikian. Komunikasi akan menjadi
hambar dan proses P&P tidak lagi menarik. Walau bagaimanapun, kesemua ini
mempunyai pelbagai faktor penentu yang membolehkan guru merubah keadaan
daripada hambar kepada ceria atau daripada ceria kepada hambar.

4.5 Kawalan Kelas Yang Longgar

Dengan jumlah bilangan pelajar yang terlalu sesak ini, guru


terpaksa untuk mengawal tingkah laku pelajar yang datang dari pelbagai latar
belakang sama ada dari segi keluarga dan keadaan kesediaan untuk belajar. Ada
pelajar yang datang dari latar belakang keluarga yang susah dari segi ekonomi,
kurang berminat terhadap pelajaran, pelajar hiperaktif dan sebagainya. Ini
mengakibatkan guru tidak dapat untuk menumpukan sepenuhnya terhadap kawalan
kelas. Menurut guru sosiologi sejarah dunia sekolah tinggi, Christine Warner,
“dengan pelajar berjumlah 40 orang atau lebih dalam sesebuah kelas, adalah sukar
bagi guru di mana-mana pun untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada
pelajarnya”.

Di Australia, kadar bilangan penempatan pelajar dalam sesebuah kelas


adalah sekitar 20 hingga 25 orang untuk mewujudkan suatu sistem pengajaran dan
pembelajaran yang efektif. Di Los Angeles pula setiap bilik darjah hanya
memperuntukkan minimum 20 dan maksimum hingga 25 orang sahaja. Ini
membuktikan negara-negara maju yang melaksanakan dapat melahirkan sistem
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Hasilnya dapat kita lihat di mana
pelajar-pelajar mereka mempunyai kualiti dari segi pengetahuan yang tinggi terhadap
sesuatu ilmu yang dipelajari.

4.6 Mengamalkan Diskriminasi Terhadap Pelajar

Bagi mengimbangi struktur organisasi di dalam bilik darjah, guru dan pelajar tidak
harus mengamalkan diskriminasi dan tidak memperlihatkan sikap perkauman antara
satu sama lain. Dengan kata lain diskriminasi adalah perumpaan untuk pilih kasih
atau berat sebelah yang membawa maksud di mana dalam satu keadaan yang
melibatkan dua pihak atau lebih dalam suatu kawasan, apabila keputusan atau
penghargaan dibuat akan lebih berpihak kepada satu pihak sahaja, manakala satu
pihak lagi diabaikan atau dipinggirkan (Difinisi mengikut Kamus Dewan). Hal sebegini
tidak sepatutnya berlaku di dalam bilik darjah sama ada di antara guru dengan
pelajar atau pelajar dengan pelajar.

Untuk mengelakkan semua ini berlaku, kesamaan peluang kepada semua


lapisan masyarakat dan individu adalah perlu. Dapat dilihat di sini antara diskriminasi
yang ingin diselesaikadan adalah terhadap kualiti pelajaran orang kurang upaya di
dalam bilik darjah. Pelajar kurang upaya atau diistilahkan pelajar khas pula terdiri
daripada mereka yang mengalami masalah fizikal, ` sensory ’, intelek, pembelajaran
dan kesihatan yang mengganggu kemampuan mereka berfungsi dalam kehidupan
seharian, tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperolehi sepenuhnya atau
sebahagian daripada keperluan biasa seorang individu atau tidak dapat hidup
bermasyarakat sepenuhnya disebabkan kekurangan sama ada dari segi fizikal atau
mental dan sama ada ianya berlaku semenjak lahir atau kemudian termasuklah
kebolehan berfungsi dalam persekitaran sekolah. (Difinisi dari Jabatan Kebajikan
Masyarakat Malaysia)

Bukti sejarah menunjukkan bahawa masyarakat di abad ke-19 menganggap


keadaan kurang upaya sebagai satu penyakit yang tidak boleh sembuh yang
mengakibatkan semua individu kurang upaya perlu diasingkan dalam institusi. Kini,
kita beralih kepada kepercayaan bahawa individu kurang upaya adalah sama seperti
individu normal dan mereka perlu disepadukan dalam masyarakat dan menerima
hak-hak yang sama tanpa diskriminasi.

Kewujudan sistem pendidikan khas membuktikan masyarakat mengakui


wujudnya sekumpulan ahlinya yang memerlukan pengubahsuaian dan bantuan khas
untuk belajar. Dan juga merupakan keperihatinan kerajaan dalam memberikan
kesamaan peluang kepada semua lapisan masyarakat dan individu. Pelbagai
kemudahan telah disediakan dan sedang ditingkatkan antaranya penyedian
infrastruktur, kemudahan dan program pendidikan khas yang relevan, memperluas
dan mempertingkatkan pengisian Program Khas Integrasi Bermasalah
Pembelajaran, menyediakan guru pendidikan khas terlatih dan pembantu
pengurusan pelajar yang mencukupi, menyediakan pentaksiran alternatif,
menyediakan kemudahan ICT yang sesuai, menjalin perkongsian pintar dengan
badan sukarela dan Kementerian lain yang juga menyediakan perkhidmatan untuk
pelajar kurang upaya.(Bab 7 PIPP Merapatkan Jurang Pendidikan) Seterusnya, guru
di dalam bilik darjah pula memainkan peranan penting agar pembelajaran di dalam
bilik darjah berlansung dengan baik dan tiada lagi diskriminasi terhadap orang
kurang upaya didalam bilik darjah kerana pendidikan adalah cara yang paling
berkesan untuk mobiliti sosial, kehidupan berdikari dan juga menjamin kehidupan
yang bahagia.

Ahli-ahli fungsionalisme telah mengkategorikan teori ini kepada dua


bahagian yang penting iaitu adakah masyarakat itu dapat berfungsi (fungsi) atau
tidak berfungsi (disfungsi). Menurut ahli-ahli fungsionalisme, setiap bahagian yang
ada dalam kelompok sesebuah masyarakat mempunyai matlamat dan kehendak
mereka sendiri. Menurut Robert K.Merton (1959), untuk melihat sejauh mana
keberkesanan struktur sosial ini, dia telah membuat dua perbezaan yang dikenali
sebagai fungsi ketara dan fungsi tersembunyi. Fungsi ketara ialah fungsi yang
menyumbang ke arah kebaikan seperti tugas sebagai seorang guru untuk mengajar
dan fungsi tersembunyi pula ialah sesuatu yang tidak disedari berlaku atau tidak
menjangka untuk berlaku.
Daripada apa yang telah dibincangkan tadi, peranan bilik darjah sebagai
tempat tercapainya maksud ilmu memainkan peranan yang paling penting walaupun
kini munculnya zaman siber yang begitu mementingkan penggunaan penggunaan
komputer sebagai alat penyampaian ilmu terkini. Untuk menghasilkan suatu
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, bilik darjah harus mempunyai suatu
suasana yang tenteram selaras dengan jiwa manusia dan tatacara untuk menimba
ilmu. Justeru, pihak yang bertanggungjawab haruslah peka dalam menyediakan
infrasrtuktur dalam bilik darjah dan pembuat polisi pula haruslah menentukan
kaedah penetapan yang perlu dalam meletakkan para pelajar agar kesesakan tidak
berlaku dan pembelajaran yang lebih efisien dapat dicanang selaras dengan
keinginan perdana menteri kita yang menginginkan sebuah masyarakat yang
berilmu pengetahuan secara realistik. Punca kewujudan permasalahan ini
sebenarnya boleh di atasi dengan pihak atasan membina banyak lagi kelas dan
sekolah agar kesesakan bilik darjah dapat di atasi sebaiknya.

Selain itu agihan pelajar perlu untuk setiap sekolah dalam daerah-daerah
atau negeri-negeri seluruhnya. Dengan ini masalah yang berbangkit akan dapat di
atasi dan ini menyebabkan wujudnya sebuah bilik darjah yang dapat melahirkan
pelajar yang cemerlang seperti yang kita lihat pada negara maju masa kini.
Permasalahan seperti ini sepatutnya di atasi dengan kadar segera agar para pelajar
khususnya dapat menumpukan aktiviti pembelajaran sepenuhnya dengan tumpuan
maksima dan para pendidik juga dapat menyalurkan sumber ilmu dengan keadaan
yang selesa serta mampu untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi
oleh pelajar. Selain daripada itu, pendekatan bilik darjah perlu diubah tambah bagi
memastikan keselesaan dalam bilik darjah di atasi selari dengan kehendak
masyarakat yang berfungsi dalam sebuah kelas. Apa yang paling penting ialah hasil
yang akan di dapati pada akhirnya membawa input yang besar kepada generasi
penentu negara pada masa akan datang.
5.0 Rumusan

Berdasarkan apa yang telah dibincangkan di atas dapatlah disimpulkan


bahawa, bilik darjah merupakan sebuah komuniti kecil dan menjadi tempat di mana
seorang guru dan sekumpulan pelajar saling berinteraksi secara nyata. Ianya boleh
dianggap sebagai satu unit sosial dalam sebuah organisasi sekolah dan telah
menjadi semakin kompleks. Struktur bilik darjah melibatkan satu atau lebih pusat
kuasa yang menetapkan matlamat, memperuntukan sumber dan mengarahkan
kemajuan. Di dalam bilik darjah pusat kuasa yang mengawalnya melibatkan
pengetua, guru, ibu bapa dan sekolah itu sendiri di mana setiap individu mempunyai
peranan masing-masing. Keadaan ini boleh dikaitkan dengan teori fungsionalisme
yang melihat fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan atau aktiviti yang
menyumbang ke arah penerusan masyarakat itu sendiri. Mengikut Spencer,
masyarakat sebagai satu kelompok yang memerlukan pelbagai kemudahan untuk
mereka menjalankan aktiviti bersosial seperti tempat beribadat, sekolah, balai raya,
padang permainan dan sebagainya. Oleh itu perhubungan antara masyarakat yang
wujud di dalamnya amatlah mementingkan kerjasama sosial agar sumbangan yang
positif dapat diadakan untuk setiap bahagian masyarakat dan perubahan setiap
bahagian ini akan mempengaruhi bahagian-bahagian yang lain.

Bilik darjah yang sempurna akan mementingkan demokrasi dan disiplin


sebagai amalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (BPG, 1998). Dalam
keadaan begini seorang guru perlu tangkas membuat keputusan dan bijak
menguruskan bilik darjah agar situasi pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan
lancar dan berkesan. Menurut Chris Watkins (2005) dalam bukunya bertajuk
Classrooms as Learning Communities para pengkaji mendapati 3 perkara yang
memantapkan suasana bilik darjah ialah ciri-ciri yang terdapat di dalam sebuah bilik
darjah itu sendiri, kekuatan perhubungan antara guru dan pelajarnya dan pengaruh
pembelajaran dan pelajar. Bilik darjah dan proses pembelajaran perlu dilihat dari
pelbagai dimensi. Ini kerana pelajar–pelajar yang terdiri dari pelbagai latar belakang
dan minat yang berbeza. Dalam masa yang sama mereka juga perlu mempelajari
kandungan matapelajaran yang telah ditentukan oleh pengurusan sekolah.
Kepelbagaian ini juga membawa erti seorang guru perlu berhadapan dengan
pelbagai karenah dan dilema pelajarnya.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab seorang guru yang menguruskan bilik
darjah mengambil berat terhadap aspek-aspek tertentu seperti menyediakan
peraturan dan amalan bilik darjah supaya pelajar lebih berdisiplin dan suasana
harmoni dalam bilik darjah dapat diwujudkan. Selain itu pembentukan suasana bilik
darjah yang ceria dan menyeronokkan akan menyebabkan secara tidak langsung
gejala ponteng sekolah dapat dikurangkan. Kualiti pengajaran dan penyusunan
organisasi pembelajaran perlu diperkemaskan agar pelajar lebih bersedia untuk
belajar sekaligus meningkatkan penglibatan pelajar dalam P&P dan prestasi pelajar.
Guru juga berperanan mengaplikasikan motivasi dalam pengurusan bilik darjah agar
berlaku satu perubahan dan perkembangan positif di kalangan pelajar selain
mendidik mereka agar mempunyai keyakinan diri yang unggul dan rasa hormat
menghormati antara satu sama lain. Pengurusan bilik darjah yang berkesan mampu
meningkatkan kualiti pelajar yang akan dilahirkan oleh institusi pendidikan, sekaligus
dapat mengurangkan masalah sosial yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
BIBLIOGRAFI

Abdullah Sani Yahaya. 2005. Mengurus Disiplin Pelajar. Penang: PTS Profesional
Publishing.

Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman. 2008. Falsafah Pendidikan dan Kurikulum,
Edisi Kedua. Tanjung Malim: Quantum Books.

Amir Hasan Dawi. 2006. Penteorian Sosiologi Dan Pendidikan, Edisi Ketiga. Kuala
Tanjung Malim: Quantum Books.

Asmah Hj. ahmad. 1990. Pedagogi 1. Kuala Lumpur: Longman Malaysia.

Atan Long. 1982. Psikologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chris Watkins. 2005. Classrooms as Learning Communities: What’s in it for


schools?. Routledge Taylor & Francis Group.

Edaris Abbu Bakri. 2004. Pengurusan Strategik: Konsep dan Aplikasi untuk
Pendidikan. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Frazer, E. Home. 1989. Environment and The School. London: London University
Press.

Kamarudin Husin dan Siti Hajar Abdul Aziz. 2004. Pedagogi Asas Pendidikan. Kuala
Lumpur: Kayazano Enterprise.

Sharifah Alawiah Alsagoff. 1985. Sosiologi Pendidikan. Kuala Lumpur. Heinemann.

Yogendra K. Sharma. 2003. Sociological Philosophy Of Education. Kanishka


Publishers, Distributors.

Chin Sik Sean. Menganalisis Isu Pendidikan Berdasarkan Teori Sosiologi.


http://nextlevel.com.sg/global.js (akses 02 Februari 2008)

Pengurusan Bilik Darjah yang Cekap Mewujudkan Suasana Pembelajaran yang


Harmoni. http://pengurusanbilikdarjah.smkberangan.com/index_files/script.js
(akses 05 Februari 2008)

You might also like