P. 1
Pemikiran Politik Muhammad Abduh

Pemikiran Politik Muhammad Abduh

|Views: 446|Likes:

More info:

Published by: Ensiklopedia Pendidikan Malaysia on Apr 12, 2009
Copyright:Attribution Non-commercial

Availability:

Read on Scribd mobile: iPhone, iPad and Android.
download as DOC, PDF, TXT or read online from Scribd
See more
See less

01/08/2013

pdf

text

original

Pemikiran Politik Muhammad Abduh (1849-1905) 1.

Latar Belakang Muhammad bin Abduh bin Hasan Khayrullah dilahirkan di Mahallat Nasr sebuah kampung berhampiran dengan bandar Tanta yang terletak di daerah Shubraa-Khit dalam wilayah Buhayrah, Mesir. Beliau merupakan tokoh reformis/fundamentalis yang terulung pada zaman moden ini, sehingga pemikiran-pemikiran yang timbul selepasnya sedikit sebanyak dipengaruhi oleh pemikirannya. Bermula sebagai seorang yang serba jemu dan benci terhadap pelajaran, Muhammad Abduh kemudiannya berubah menjadi seorang yang dinamis sejak bertemu dengan Syeikh Darnish Khadr, bapa saudaranya. Apalagi ketika sedang menuntut di al-Azhar, beliau sempat pula bertemu dengan al-Afghani, dan kemudiannya terus menjadi muridnya yang setia. Sewaktu al-Afghani diusir daripada Mesir pada tahun 1879, Mudammad Abduh yang juga dituduh terlibat dalam komplot menentang kerajaan telah dibuang daripada Kaherah. Apabila beliau sekali lagi ditangkap kerana penglibatannya dalam revolusi Urabi Pasha, beliau kemudiannya di buang negeri pada tahun 1882. Mulanya beliau ke Beirut, tetapi pada tahun 1884, beliau turut bersama-sama dengan al-Afghani di Paris. Di sanalah mereka menerbitkan akhbar al-Urwat al-Wuthqa yang gemanya (pengaruhnya) menjangkau hampir setiap pelosok dunia Islam ketika itu. Sebagai reformis, pemikiran Muhammad Abduh dapat dilihat daripada beberapa bidang iaitu akidah, sosial, politik dan pendidikan. Pemikiran politik Abduh adalah merupakan cermin suasana persekitaran zamannya. Pada peringkat awalnya beliau memberi tumpuan kepada politik Mesir dengan melihat seluruh permasalahannya dari sudut kepentingan nasional yang menembusi segala bentuk batas sempadan agama dan kaum. Mengenai politik dunia pula pandangan beliau sama dengan pandangan gurunya Jamaluddin al-Afghani yang melihatnya sebagai pertarungan di antara Barat dengan Timur di mana Barat sebagi penceroboh dan Timur sebagai mangsanya. Pretarungan ini baginya adalah merupakan suatu yang bersifat warisan dari zaman ke zaman dan oleh kerana pada zaman itu Barat lebih kuat maka Timur tidak berupaya untuk mempertahankan diri. Apa yang menyebabkan kelemahan pihak Timur ialah perpecahan yang berlaku di kalangan mereka sehingga ada di antara mereka yang mencari keuntungan dari kejatuhan rakan mereka ke tangan penjajah. Dalam seruannya yang

ditujukan kepada seluruh rakyat Timur beliau menyebut mereka sebagai warga sebuah negeri yang senasib seperuntungan dalam segala keadaan pahit atau manis. (Zaki Badawi. 1976. The Reformers of Egypt – A Critique Of al-Afghani, Abduh and Rida. UK.K. The Muslim Institute Papers (2) hlm. 14). Meskipun pada suatu ketika Abduh seolah-olah mahu membersihkan dirinya dari sebarang kaitan dengan politik, tetapi ternyata bahawa sebahagian dari kegiatan beliau secara langsung atau tidak langsung adalah merupakan kegiatan politik. Malah nama Abduh tidak dapat digugurkan begitu sahaja dari catatan sejarah gerakan politik Mesir sendiri. Sebenarnya anggapan bahawa Abduh amat bencikan politik dan ingin membebaskan dirinya dari politik ialah kerana beliau pernah berkata: “Sekiranya anda mahu mengatakan bahawa politik adalah menekan fikiran, ilmu dan agama maka saya adalah bersama anda sebagai saksinya. Saya berlindung kepada Allah dari politik, dari perkataan politik, dari erti politik, dari setiap huruf yang dilafazkan dari kalimat politik, dari setiap khayalan politik yang melintas dalam fikiran saya, dari setiap bumi yang diatasnya disebut kalimat politik, dari setiap orang yang bercakap atau belajar politik.” Kata-kata kebenciannya terhadap politik yang diucapkan oleh beliau itu adalah dalam hubungan politik zalami dan kotor. Kata-kata tersebut diucapkannya dalam perdebatannya dengan Ernest Rehn mengenai punca kebekuan umat Islam. Bagi Abduh puncanya bukan dari Islam sendiri tetapi ialah tekanan penguasa politik yang bermula pada zaman Khalifah Abasiyyah akibat penyusupan unsur-unsur asing ke dalam pemerintahan khususnya tentera-tentera asing yang diambil berkhidmat oleh al-Mu’tasim (833-843M). Mereka telah menguasai pemerintahan dan menjadikan khalifah sebagai patung (Abduh. AlIslamu wa an-Nasraniyyah. Hlm. 137-139) Oleh itu tidak dapat dinafikan bahawa Abduh telah memberi perhatian yang besar terhadap politik. Malah pada suatu ketika Abduh pernah memperjuangkan reformasi politik yang disebuntnya sebagai pembedaan di antara hak pemerintah untuk mendapatkan taat setia daripada rakyat dan hak rakyat untuk mendapat keadilan daripada pemerintah. Abduh merasa terpanggil untuk memperbaiki keadaan politik kerana ketika itu kezaliman dan penindasan sedang bermaharajalela. Atas dasar inilah beliau bergiat dalam bidang politik pada peringkat awalnya. Setelah beberapa lama berkecimpung dalam bidang politik dan membuat berbagai-bagai perbucaan bersama-sama dengan

Jamaluddin akhirnya beliau merasakan bahawa strategi islam bagi umat Islam harus diubah dengan memberi keutamaan kepada aspek pendidikan. Bagi beliau masalah pemerintahan dan hubungannya dengan rakyat (politik) adalah merupakan buah hasil yang hanya mungkin dapat diperolehi dari usaha penanaman dan pemupukan yang memakan waktu bertahun-tahun lamanya dan di peringkat itu usaha penanaman itulah yang harus diberi perhatian. Maksud beliau pendidikanlah yang merupakan punca segala (Rashid Rida. Tarikhu alUtsadhi al-Imam Jil. 1, hlm. 12). Beliau telah mengemukakan saranannya itu kepada Jamaluddin ketika kedua-duanya berada di Paris tetapi telah ditolak, malah Abduh dianggap oleh Jamaluddin sebagai seorang yang telah berputus asa dan mahu surut ke belakang (Ibid. hlm. 894). Perselisihan inilah yang kemudiannya membawa perpisahas antara dua tokoh tersebut. Sejak itu pehubungan antara keduanya tidak seerat dahulu sehingga dikatakan ketika Jamaluddin meninggal dunia Abduh tidak menulis barang sepatah kata sebagai mengingati beliau. [Hourani, Albert, Arabic Thought in The Liberal Age (Terjemahan Arab oleh Karim ‘Azqul hlm. 194)] Latar belakang ini memberi jawapan kepada soalan mengapa pemikiran politik Abduh tidak jelas, tidakkenkrit dalam bentuk suatu struktur yang sistematis. Abduh tidak mempunyai suatu teori politik dengan ciri-ciri khusus yang dapat dikemukakan sebagaimana teori politik Ibn Khaldun, al-Mawardiy atau Ibn Taimiyyah. Pemikiran politik Abduh lebih merupakan sahutan kepada persoalan-persoalan politik semasa yang bersifat tempatan dan dalam rangkan sistem politik Barat (Inggeris). Oleh itu pemikiran beliau kelihatan bercerai-cerai dan berubah-ubah mengikut suasana semasa. Pemikiran Atau Gagasan Politik Abduh Namun begitu, walaupun Abduh tidak mempunyai suatu teori politik dengan ciri-cirinya yang khusus, gagasan politiknya yang agak menarik perhatian ialah tanggapannya tentang sistem pemerintahan dalam Islam berbanding dengan dasar pemerintahaan “theocratic” dalam agama Kristian seperti yang terdapat dalam bukunya “al-Islam wa an-Nasraniyyah”. Abduh menyatakan bahawa fungsi pemerintahan atau Khalifah dalam Islam ialah untuk menegak dan melindungi undang-undang, melaksanakan hukuman-hukuman yang dijatuhkan oleh hakim dengan adil dan untuk menjaga ketertiban masyarakat. Khalifah bukan seorang yang ma’sum, tidak menerima wahyu dan tidak pula diberi hak monopoli dalam menafsirkan al-Quran atau asSunnah. Bagaimana pun ia disyaratkan dengan kemampuan berjihad,

tetapi dalam dal ini pun ia tidak punya keistimewaan apa-apa, kedudukannya tidak mengatasi lain-lain mujtahidin. Khalifah bertindak mengikut dasar-dasar al-Kitab dan as-Sunnah. Umat Islam pula adalah menjjadi pengawas kepada Khalifah untuk membetulkannya kalau ia menyeleweng. Umat Islam harus memecat Khalifah mereka kalau penyelewengannya sudah tidak dapat dibetulkan. Umat Islamlah yang memilih khalifah mereka dan oleh itu mereka pulalah yang berkuasa ke atasnya malah memecatnya jika perlu kerana khalifah hanyalah pemerintah (penguasa) sivil dari segala segi (haminun madaniyyun min jami’i al-wujuh) [Abduh. Al-Islam wa an-Nasraniyyah, hlm. 103104] Cara Abduh menanggapi konsepsi khalifah menampakkan kecenderungannya untuk mendekatkan sistem “Khilafah” dalam Islam dengan sistem “demokrasi” Barat. Dalam percubaannya untuk mengkritik dan menyanggah dasar “theocracy”, Abduh kelihatan cuba mengaburkan unsur keagamaan Khilafah, sebaliknya apa yang sangat ditonjolkan ialah sifat-sifat sivilnya sehingga dengan tegas dinyatakan bahawa Khalifah adalah penguasa sivil sepenuhnya yang memperoleh kuasa semata-mata dari rakyat. Memang bukan tujuan Abduh untuk membicarakan ciri-ciri pemerintahan Khilafah secara khusus. Oleh itu apa yang disinggung oleh beliau tentu saja tidak merupakan tanggapan sepenuhnya tentang khilafah. Namun implikasi dari kenyataan Abduh itu memungkinkan orang membuat tanggapan mengenai Khilafah seolah-olah tidak ada bedanya antara institusi khilafah dengan sistem pemerintahan sekular Barat. Anggapan bahawa Khalifah adalah sepenuhnya bersifat sivil boleh membawa implikasi bahawa institusi Khalifah tidak mempunyai hubungan dengan ketuhanan atau ajaran Tuhan. Selain dari itu ia juga mengisyaratkan bahawa kuasa Khalifah adalah sepenuhnya datang dari rakyat dan oleh itu rakyatlah yang mempunyai kedaulatan tertinggi dalam bidang politik. Sebenarnya Abduh tidak bermaksud sedemikian jauh seperti yang dapat dilihat dari kritiknya terhadap dasar pemisahan antara agama dengan pemerintahan di Eropah. Abduh sebagaimana pemikirpemikir Islam yang lain juga berpendapat bahawa agama dan pemerintahan (politik) tidak dapat dipisahkan). Apa yang beliau maksudkan dengan “sivil” itu ialah untuk membezakan di antara sistem Khilafah dengan “Theocracy” dalam Kristian, bahawa Khalifah tidak dilantik oleh Tuhan dan tidak menerima

wahyu dari-Nya, tetapi kenyataannya bahawa Khalifah tetap dirasakan tidak begitu menyenangkan kerana ia boleh disalah tafsirkan. Pandangan Abduh Mengenai Faham Kebangsaan Menyentuh mengenai semangat/faham kebangsaan atau nasionalisme, kita dapati bahawa Abduh menolaknya. Dalam majalah al-‘Urwatu alWuthqa dan al-Manar yang merupakan khazanah pemikiran Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida ada menyebut: “Sesungguhnya orang yang beragama dengan agama Islam, apabila mesra dengan i’tiqad Islam, nescaya ia lalai daripada bangsanya dan kaumnya, dan ia berpaling daripada perikatan yang khas, kepada perikatan yang am, iaitu perikatan i’tiqad. Tiap-tiap perikatan selain dari perikatan Shariah yang benari itu, dimurkai oleh Shari’ (Allah dan Rasul-Nya); dan orang yang berasaskan dia dicela, dan orang yang fanatik kepadanya dikeji, kerana sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: “Bukanlah dari golongan kita orang yang menyeru kepada kebangsaan, dan bukan dari golongan kita orang yang berperang kerana kebangsaan, dan bukan dari golongan kita orang yang mati atas (asas) kebangsaan.” [A. Hassan, Islam dan Kebangsaan, 1972, hlm 28] Jelasnya, Abduh memang menolak faham kebangsaan dan beliau dalam al-Manar ada menerangkan bahawa roh kebangsaan dan ketanahairandi antara kaum Muslimin itu, ditanam oleh orang-orang Eropah supaya kaun Muslimin pecah-belah di tiap-tiap satu negeri, yang dengan itu terhindar ketakutan mereka akan kebangkitan Islam yang dari dahulu mereka pandang sebagai momok (sesuatu yang ditakuti). Sikap dan Pemikirannya Dalam Menghadapi Permasalahan Politik Mesir Sikap Abduh dalam beberapa hal tentang persoalan politik negaranya adalah berubah-ubah. Perubahan itu bukan sahaja kerana perubahan suasana yang dihadapi tetapi lebih penting lagi ialah perubahan cara pendekatan yang berkaitan pula dengan pengaruh gurunya Jamaluddin al-Afghani. Cara pendekatan Abduh berbeza antara zaman ia masih secara langsung di bawah pengaruh Jamaluddin dengan zaman selepasnya apabila ia telah terlepas dari pengaruh itu. Pemikiran Politik Abduh bertitik tolak dari kenyataan fenomena kemunduran umat Islam yang harus diperbaiki dari dalam iaitu dengan

mengembalikan mereka kepada dasar-dasar asasi dalam Islam. Dan dalam rangka pengembalian ini termasuk juga langkah penafsiran semula Shari’ah Islamiah untuk memungkinkan penerapannya dalam suasana zaman yang berubah. Untuk itu pengembalian Khilafah yang sebenar adalah perlu. Dikatakan pada suatu ketika Abduh pernah membuat saranan bahawa umat Mesir seharusnya mempunyai seorang penguasa yang memerintah di bawah pimpinan Khilafah agama. Dalam hubungan inilah Albert Hourani mengatakan bahawa pemerintahan yang unggul dalam pemikiran Abduh samalah seperti pemikiran para fuqaha zaman Pertengahan iaitu pemerintah yang adil, memerintah berdasarkan Shari’ah dengan permusyawaratan dari pemimpin-pemimpin rakyat yang diistilahkan oleh Abduh sebagai raja berpelembagaan yang tidak mempunyai kuasa mutlak. Tetapi pada anggapan Abduh umat Mesir ketika itu masih belum bersedia untuk pelaksanaan konsep tersebut. Apa yang mereka perlukan ialah latihan secara beransur-ansur dalam hal-hal pemerintahan sebelum mereka memerintah sendiri. Mereka harus melalui proses penubuhan majlismajlis tempatan, majlis perundangan dan kemudiaannya baharulah dibentuk badan perwakilan [Hourani, Albert, Arabic Thought in The Liberal Age (terjemahan Karim ‘Azqul hlm. 191-193)]. Suatu hal yang sangat menonjol dalam definasinya tentang tanahair (watan) ialah peminjaman total konsep tanahair dari penulispenulis Barat. Konsep tersebut yang tidak memperhitungkan soal agama adalah suatu yang sangat asing dalam pemikiran politik Islam di samping ia bertentangan dengan konsep “ummah” yang merupakan konsep penting dalam ajaran Islam. Abduh merasakan bahawa sejarah dan kepentingan bersama di kalangan penduduk sesebuah negara telah menjalinkan satu ikatan yang kukuh meskipun mereka mungkin berlainan agama. Dalam hubungan inilah beliau menyatakan keharusan kerjasama antara orang-orang Islam dengan orang-orang bukan Islam dalam sesebuah negara. Malah dalam suatu fatwanya beliau mengharuskan penerimaan sumbangan dari orang-orang bukan Islam dalam hal-hal kebajikan am [Rashid Rida. Tarikh al-Ustadhi al-Imam. Juzu’ 1. Hlm. 648-666]. Pada peringkat awalnnya Abduh kelihatan bersikap keras dan revolusioner. Beliau menentang segala bentuk penindasan sama ada dari luar atau dari dalam. Oleh itu beliau memusuhi pemerintah kuku besi Khedir dan menentang campur tangan kuasa asing sama ada Turki atau Inggeris. Sikap demikian yang tentunya merupakan kesan

pengaruh Jamaluddin telah menjadikan hubungan antara Abduh dengan pihak pemerintah dan sekutu-sekutunya sentiasa tegang dan akhirnya membawa kepada pengusiran Abduh dan rakan-rakannya dari bumi Mesir buat beberapa tahun. Ketika berada dalam pembuangan beberapa perubahan telah berlaku dalam pemikiran dan cara pendekatan politik Abduh. Dengan al-‘Urwatu ‘l-Wuthqa sebagai wadah barunya beliau mula memasuki ruang dan gelanggang yang lebih luas dengan matlamat yang lebih menyeluruh iaitu untuk menyatukan seluruh umat Islam di bawah satu Khilafah, untuk menganalisa faktor-faktor kejatuhan mereka dan memberikan kaedah-kaedah pembangunan mereka semula.Dalam rangka mendukung cita-cita baru ini, Abduh kelihatan tidak lagi terikat dengan konsep “watan”nya yang sempit, sebaliknya beliau sudah meletakkan ikatan agama di atas ikatan ras dan bahasa [Zaki Badawi, The Reformers of Egypt, hlm. 16]. Abduh melihat bahawa kegagalan politik umat Islam adalah diakibatkan oleh pemerintah yang terlalu berkuasa dan kepatuhan melulu dari pihak rakyat. Oleh itu dianjurkannya langkah pengawalan kuasa sewenang-wenangnya pemerintah tersebut, malah dianjurkannya juga langkah-langkah penyingkiran sekiranya keadaan memerlukannya. Sekembalinya dari pembuangan, Abduh telah mengubah starteginya dengan bersikap lebih sederhana. Malah bidang yang diberi tumpuan pun telah diubah dari politik kepada pendidikan. Namun, terdapat juga kegiatan-kegiatannya yang boleh ditafsirkan sebagai kegiatan-kegiatan politik seperti peranan yang dimainkannya dalam Majlis Undangan tetapi ia dilakukan dalam rangka pendidikan politik rakyat. Baginya keperluan asasi yang sedang mendesak ketika itu ialah pendidikan. Oleh itu ia harus diberi keutamaan dan didahulukan dari lain-lain perubahan termasuk perubahan politik dan kemerdekaan yang hakiki tidak harus hanya melalui proses politik semata-mata. Apa yang sangat dipentingkan oleh Abduh pada peringkat ini ialah usaha peningkatan taraf pendidikan rakyat tanpa mengira apakah bentuk pemerintahan yang wujud, sehingga beliau bersedia untuk menerima diktator sekalipun asalkan ia melaksanakan keadilan. Bagaimanapun ini tidak pula bererti bahawa Abduh menyokong dan menganjurkan diktator sebagai sistem pemerintahan yang unggul. Apa yang beliau kemukakan ini hanyalah satu cara penyelesaian dalam suasana tertentu yang sifatnya terbatas dan sementara.

Pendekatan politik Abduh disimpulkan oleh Rashid Rida dengan kata-katanya: “Kuasa politik di seluruh negara Islam – tidak kira siapa yang memegang tampuknya, kuasa penjajah asing atau anak tempatan – adalah bersifat menindas dan sewenang-wenang. Menyokong pemerintah demikian atas dasar untuk memperbaiki agama dan pendidikan pada hakikatnya adalah merosakkan kedua-duanya. Sebaliknya menentang merekan bererti pula menempah penindasan ke atas orang-orang agama dan pendidikan. Cara yang sebaik-baiknya dalam keadaan suasana demikian ialah dengan mengelakkan pertentangan dengan penguasa demikian dan menunjuk serta meyakinkan orang-orang yang memegang kuasa bahawa “kemajuan” adalah berfaedah kepada rakyat dan sama sekali tidak pula membahayakan mereka. Golongan “reformer” di negara-negara ini harus berpuas hati ketika ini sekiranya dengan melalui cara ini ia boleh mendapatkan pertolongan yang diperlukan dari kerajaan”. [Rashid Rida. Tarikh ul-Ustdhi al-Imam Juzu’ 1, hlm 81] Dasar inilah yang menjadi asas kirabicara Abduh dan anak muridnya dengan pihak berkuasa. Suatu hal yang menarik ialah bahawa Abduh kelihatan lebih mendekati Inggeris dari Khedir Taufik. Meskipun pemerintahan Inggeris itu memang pada prinsipnya tidak dapat diterima, tetapi dalam perhitungan mereka Inggeris lebih mudah disinggirkan berbanding dengan pemerintahan autokrasi Khedir yang banyak mengelirukan tanggapan rakyat umum kerana pengaitan unsur agama. [Ahmad Jamal Muhammad, The Intectual Origins of Egyptian Nationalism, hlm 52] Anjuran Abduh agar umat Islam tidak menentang Inggeris dan sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada bidang pendidikan yang dianggapnya sebagai satu-satunya jalan untuk kebangkitan mereka adalah merupakan sikap yang sangat diragukan kebijaksanaannya. Persoalannya, apakah Abduh menyedari bahawa dalam keadaan bagaimana sekalipun penjajah tidak mungkin mengizinkan pelaksanaan satu sistem pendidikan yang nantinya akan melahirkan penentangan terhadap kuasa penjajah sendiri. Menurut Rashid Rida dasar damai Abduh pada keseluruhannya tidak lebih berjaya dari dasar militan Jamaluddin al-Afghani dalam menghadapi kuasa Eropah. Dengan kata lain Abduh telah gagal memberi alternatif yang lebih baik dari suatu dasar yang ditolaknya. [Rashid Rida. Tarikh ul-Ustdhi al-Imam Juzu’ 1, hlm 977] Abduh Meninggal Dunia

Abduh meninggal dunia pada 11 Julai tahun 1905M ketika berusia 56 tahun di Saffer, Ramlah, Iskandariah. Jenazahnya dibawa ke Kaherah di sembahyangkan di Masjid Al-Azhar dan dikebumikan di sana. Beliau meninggal akibat penyakit barah. Antara tugas yang pernah yang pernah dijawat semasa hayatnya ialah sebagai ahli Majlis Undangan, Majlis Waqaf, Pertubuhan Kebajikan Islam, menguruskan peperiksaan di Darul-‘Ulum dan menyediakan laporan rancangan penubuhan Pusat Latihan Hakim. Kesimpulan Pendirian politik Muhammad Abduh boleh kita sebutkan sebagai tidak setuju dengan pengaruh-pengaruh siasah Eropah, tetapi juga tidak dapat menyesuaikan diri dengan corak Despotisme yang terdapat di negeri-negeri Islam. Yang dikehendakinya ialah kebudayaan Barat dengan tidak melupakan ajaran Islam atau gabungan daripada keduadua kebudayaan itu. Beliau berpendapat bahawa mengambil kebudayaan Barat dengan melupakan ajaran Islam adalah sangat merugikan perjuangan umat Islam. Beliau memperkuatkan kedudukan Islam sebagai agama dan tidak mahu melepaskan soal ini dari masalah kebudayaan Islam. Jadi agama dan negara baginya adalah satu. Walaupun yang menjadi dorongan dalam perjuangannya adalah pelajaran dan pengalaman yang diperolehinya dengan pergaulan dengan Barat, tetapi dasar pelajarannya terhadap Islam terutama yang diperolehinya dari pelajaran-pelajaran Ibnu Taimiyyah (meninggal 1328M) dan Ibnu Qayyim al-Jauziyyah (1292-1350M) dalam memecahkan soal-soal hukum agama yang bersifat membangun secara perlahan-lahan dan dari pelajaran Imam alGhazali mengenai pembaikan akhlak. Pelajaran ini berdasarkan keyakinan, bahawa kebesaran agama Islam yang murni itu tidak dapat diubah oleh perubahan dan pergolakan zaman. Oleh itu, yang menjadi tujuan dalam perjuangan pembangunan Islam ialah menghilangkan kebiasaan-kebiasaan yang salah yang mencemarkan agama dan menjadikan agama tidak sesuai dengan keadaan zaman.

You're Reading a Free Preview

Download
scribd
/*********** DO NOT ALTER ANYTHING BELOW THIS LINE ! ************/ var s_code=s.t();if(s_code)document.write(s_code)//-->