You are on page 1of 44

KELEBIHAN ILMU DAN ULAMA

Hadis 1 Kelebihan Orang Yang Alim Hadis 2 Kehebatan Orang Yang Alim Hadis 3 Ilmu Mengangat Martabat Manusia Hadis 4 0rang Yang Alim Itu Hidupnya Berkat Hadis 5 Macam-macam Jenis Ulama Hadis 6 Menuntut Ilmu Bererti Menuju ke Syurga Hadis 7 Menuntut Ilmu Itu Satu Kewajipan Hadis 8 0rang Yang Alim Itu Pilihan Allah Hadis 9 Pelajar Agama Sama Dengan Mujahid Hadis 10 Pelajar Agama Diampun Dosanya Hadis 11 Pelajar Agama Dijamin Rezekinya Hadis 12 Carilah Ilmu Sebelum Ia Dipertikaikan Hadis 13 Carilah Ilmu Sebelum Ia Hilang Hadis 14 Kelebihan Mempelajari Al Quran Hadis 15 Orang Alim Itu Tawadhuk Hadis 16 Kesudahan Pencari Ilmu Hadis 17 Ilmu Dan Amal Di Syurga Hadis 18 Hikmah Idaman Orang Beriman Hadis 19 Hakikat Ilmu Hadis 20 Jangan Malu Hadir Majlis Ilmu Hadis 21 Jangan Menyembunyikan Ilmu Hadis 22 Jadikan Diri Sebagai Pintu Hidayah Hadis 23 Murid Itu Amanah Rasul Pada Seorang Guru

Hadis 24 Bertanya Itu Anak Kunci Ilmu Hadis 25 Jadikan Diri Anak Kunci Kebaikan Hadis 26 Taqwa Itu Kemuncak Ketinggian Hadis 27 Sampaikan Ilmu Yang Sesuai Dengan Pendengarnya Hadis 28 Semua Penuntut Pasti Untung Hadis 29 Kelebihan Mengajar Ilmu Hadis 30 Sampaikan Ilmu Walaupun Sedikit Hadis 31 Ambil Berkat Rasulullah dan Ulama Hadis 32 Hati-hati Bila Menyampaikan Ilmu Hadis 33 Semua Sabda Nabi Adalah Benar Hadis 34 Memelihara Ilmu Dengan Menulisnya Hadis 35 Yang pandai Tolong Menulis Bagi Yang Kurang Pandai Hadis 36 Lebih Banyak Menulis, Lebih Luas Ilmunya Hadis 37 Apabila Ulama Dimatikan Allah Hadis 38 Tuntutlah Ilmu Sebelum Ia Diangkat Hadis 39 Ilmu Tanpa Amal Bererti Ia Telah Diangkat Hadis 40 Ikhlas Dalam Mencari Ilmu Hadis 41 Mengajar Itu Sedekah Yang Paling Baik Hadis 42 Pahala Yang Berterusan

Hadis 1 Kelebihan Orang Yang Alim


Daripada Abu Amamah r.a berkata: Telah disebut disisi Rasulullah s.a.w dua orang lelaki. Pertama orang yang abid (ahli ibadat) dan kedua orang yang alim. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Kelebihan orang yang alim atas orang yang abid seperti kelebihanku atas yang paling rendah daripadamu. Hadis Riwayat At Tirmizi

Hadis 2 Kehebatan Orang Yang Alim


Daripada Abdullah Bin Abbas r.a berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: Seorang yang alim itu lebih kuat pengaruhnya atas syaitan daripada seribu abid (yang tidak alim). Hadis Riwayat At Tirmizi, Ibnu Majah

Hadis 3 Ilmu Mengangat Martabat Manusia


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Telah ditanya Rasulullah s.a.w: Siapakah orang yang paling mulia disisi Allah? Lalu Nabi s.a.w menjawab: Orang yang paling mulia disisi Allah ialah orang yang paling taqwa. Seterusnya mereka berkata lagi: bukan ini yang kami tanyakan! Lantas Nabi menjawab pula: Kalau begitu mungkin yang kamu maksudkan itu Nabi Yusuf a.s kerana Baginda adalah seorang Nabi, anak seorang Nabi, anak kekasih Allah. Mereka berkata lagi: bukan ini yang kami tanyakan! Terus Nabi menjawab lagi: Apakah kamu bertanya tentang tokoh-tokoh dari bangsa Arab? Mereka menjawab: Ya! Lalu Baginda bersabda: Orang yang baik pada zaman jahiliyah dahulu, itulah juga orang-orang yang baik di zaman Islam ini, apabila mereka alim dengan hal-hal agama.

Muttafakun Alaih

Hadis 4 0rang Yang Alim Itu Hidupnya Berkat


Daripada Ali Bin Abi Tholib r.a berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: Orang yang paling baik itu ialah orang yang alim. Jika ia diperlukan maka ia akan memberi manafaat bagi orang lain. Dan jikalau ia tidak diperlukan maka ia mencukupkan dirinya sendiri (tidak menyusahkan orang lain). Hadis Riwayat Razain

Hadis 5 Macam-macam Jenis Ulama


Daripada Anas r.a berkata: Bahawa Nabi s.a.w bersabda: Ulama itu ada tiga jenis. Pertama orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. Kedua orang yang alim yang masyarakat mengambil manafaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinyanya (tidak mengamalkan ilmunya). Ketiga orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manafaat dengan ilmunya. Hadis Riwayat Dailami

Hadis 6 Menuntut Ilmu Bererti Menuju ke Syurga


Daripada Abu Darda r.a berkata: Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: Barangsiapa yang menjalani satu jalan ilmu bererti ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan syurga. Sungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha bagi orang yang menuntut ilmu. Dan sesungguhnya orang yang ada diseluruh lapisan langit dan bumi meminta ampun bagi orang yang alim sehingga ikan yang ada dilaut. Dan sesungguhnya kelebihan orang yang alim atas orang yang abid seperti kelebihan bulan purnama atas sekalian bintang-bintang. Dan sesungguhnya ulama itu pewaris Nabi-nabi. Dan para Nabi itu sebenarnya tidak mewariskan dinar (wang emas) dan dirham (wang perak) tetapi yang diwariskan oleh mereka ialah ilmu. Maka barangsiapa mengambil ilmu bererti ia telah mengambil habuan yang paling sempurna. Hadis Riwayat Abu Daud

Hadis 7 Menuntut Ilmu Itu Satu Kewajipan


Dari Anas r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Tuntutlah ilmu walaupun ke negeri cina, kerana menuntut ilmu itu wajib atas setiap orang Islam. Dan sesungguhnya para malaikat itu menghamparkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang mereka tuntut. Hadis Riwayat Al Bara Dari Anas r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Menuntut ilmu itu wajib atas setiap orang Islam. Dan orang yang meletakkan ilmu itu disisi orang yang tidak ahlinya seperti memberikan rantai permata, mutiara dan emas ke leher babi. Hadis Riwayat Ibnu Majah

Hadis 8 0rang Yang Alim Itu Pilihan Allah


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w: Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan padanya sudah tentu Allah menjadikannya seorang yang mengerti dengan hal-hal agama. Hadis Riwayat Ibnu Majah

Hadis 9 Pelajar Agama Sama Dengan Mujahid


Daripada Anas r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Barangsiapa keluar mencari ilmu maka ia sebenarnya berjihad di jalan Allah sehingga dia kembali. Hadis Riwayat At Tirmizi

Hadis 10 Pelajar Agama Diampun Dosanya


Daripada Sakhbarah r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Barangsiapa mencari ilmu maka yang demikian itu akan menghapuskan dosa-dosanya yang lalu. Hadis Riwayat At Tirmizi

Hadis 11 Pelajar Agama Dijamin Rezekinya


Daripada Ziyad Bin Al-Harith berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Barangsiapa mencari ilmu maka Allah Taala menjamin untuk mencukupkan rezekinya. Hadis Riwayat Al Khotib

Hadis 12 Carilah Ilmu Sebelum Ia Dipertikaikan


Daripada Uqbah Bin Amir r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Carilah ilmu sebelum lahir orang-orang yang suka mempertikaikan nilainilai agama. Hadis Riwayat Bukhari

Hadis 13 Carilah Ilmu Sebelum Ia Hilang


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Belajarlah ilmu fardu ain dan al-Quran, dan ajarkanlah akan dia kepada orang lain, kerana aku akan meninggal dunia. Hadis Riwayat At Tirmizi

Hadis 14 Kelebihan Mempelajari Al Quran


Daripada Ali Bin Abi Tholib r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Sebaik-baik kamu ialah orang yang belajar Al Quran dan mengajarkannya kepada orang lain. Hadis Riwayat Bukhari, At Tirmizi

Hadis 15 Orang Alim Itu Tawadhuk


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda : Tuntutlah ilmu dengan bersungguh-sungguh, dan tentu telah bersama ilmu itu akan ketenteraman dan kewibawaan. Dan hendaklah kamu bersifat tawadhuk bagi guru yang kamu belajar kepadanya.

Hadis Riwayat At Tabrani

Hadis 16 Kesudahan Pencari Ilmu


Daripada Abu Said al-Khudri r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang berilmu itu tidak akan puas dari mencari ilmu yang didengarinya sehingga adalah kesudahannya itu di dalam syurga. Hadis Riwayat At Tirmizi

Hadis 17 Ilmu Dan Amal Di Syurga


Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: Orang yang alim, ilmu dan amal itu ketiga-tiganya itu di dalam syurga. Dan apabila orang alim tidak mengamalkan ilmunya maka ilmu dan amal itu tetap di dalam syurga, sedang si alim itu akan dimasukkan ke dalam neraka.

Hadis Riwayat Al Dailami

Hadis 18 Hikmah Idaman Orang Beriman


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda: Perkataan hikmah itu adalah idaman orang-orang yang beriman. Maka mana sahaja ia menemukannya maka pasti ia akan mengambilnya. Hadis Riwayat At Tirmizi

Hadis 19 Hakikat Ilmu


Daripada Abdullah Bin Amru r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda: Hakikat ilmu itu tiga perkara, maka yang lain daripadanya adalah sesuatu yang tidak ada faedahnya. Pertama ayat yang jelas. Kedua sunnah Nabi s.a.w yang ditegakkan (amalkan). Ketiga kewajipan yang adil.

Hadis Riwayat Abu Daud

Hadis 20 Jangan Malu Hadir Majlis Ilmu


Daripada Abu Waqid Al Laithi r.a berkata: Ketika Nabi s.a.w sedang duduk (bersama2 sahabatnya dalam majlis ilmu) di dalam masjid, tiba-tiba datang tiga orang. Dua orang terus menyertai majlis Nabi s.a.w. orang yang pertama ia melihat ada tempat yang kosong di tengah2 halaqah, maka ia pun terus duduk di sana. Orang yang kedua hanya duduk di belakang majlis. Adapun orang yang ketiga (kerana ia melihat orang ramai maka ia rasa malu masuk ke majlis ilmu itu) maka terus ia pergi ke tempat lain. Maka setelah selesai Nabi s.a.w daripada percakapannya lalu Baginda bersabda: Hendakkah kamu aku beritahu tentang tiga orang yang baru datang tadi? Yang pertama ia bersungguh mencari ilmu maka Allah memberikan tempat kepadanya. Yang kedua ia merasa malu (tidak bersungguh2) maka Allah juga malu daripadanya (tidak memberi ilmu yang baik). Adapun yang ketiga maka ia berpaling dari Allah maka Allah pun berpaling juga daripadanya. Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi

Hadis 21 Jangan Menyembunyikan Ilmu


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa ditanya tentang suatu ilmu lalu ia menyembunyikannya, maka ia akan dikekang pada hari kiamat nanti dengan kekang daripada api neraka. Hadis Riwayat Abu Daud, At Tirmizi

Hadis 22 Jadikan Diri Sebagai Pintu Hidayah


Daripada Sahal Bin Saad r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda: Demi Allah, bahawa memberi petunjuk oleh Allah akan seorang dengan sebab engkau, maka itu lebih baik daripada unta yang merah (sejenis kenderaan yang paling mahal pada zaman dahulu).

Hadis Riwayat Abu Daud

Hadis 23 Murid Itu Amanah Rasul Pada Seorang Guru

Daripada Abi Harun Al Abdi r.a berkata: Kami sering datang menemui Abi Said Al Khudri r.a, lalu beliau berkata: Selamat datang wasiat Rasulullah s.a.w, kerana sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda bagi kami: Sesungguhnya umat manusia akan datang mengikuti kamu. Dan sesungguhnya orang ramai akan datang menemui kamu dari seluruh dunia. Mereka datang untuk belajar ilmu agama daripada kamu. Oleh itu, apabila mereka datang, maka wasiat ku pada kamu hendaklah kamu melayani mereka dengan baik. Hadis Riwayat At Tirmizi, Ibnu Majah

Hadis 24 Bertanya Itu Anak Kunci Ilmu


Daripada Ali Bin Abi Tholib r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: ilmu itu seperti gudang, dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberi rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberi pahala akan empat orang. Pertama orang yang bertanya. Kedua guru yang menjawab. Ketiga orang yang mendengar jawapan itu. Keempat orang yang cinta kepada mereka. Hadis Riwayat Abu Naim

Hadis 25 Jadikan Diri Anak Kunci Kebaikan


Daripada Sahal Bin Said r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: kebaikan itu laksana beberapa gudang. Dan bagi gudang-gudang itu ada anak kuncinya. Maka untung sekali bagi seseorang hamba yang telah dijadikan Allah sebagai anak kunci bagi kebaikan, penutup bagi kejahatan. Dan celaka bagi seorang hamba yang menjadi anak kunci bagi kejahatan, penutup bagi kebaikan. Hadis Riwayat Ibnu Majah

Hadis 26 Taqwa Itu Kemuncak Ketinggian


Daripada Yazid Bin Salmah r.a berkata: Aku berkata kepada Rasulullah s.a.w: bahawa aku sangat banyak mendengar hadis daripada engkau, dan aku takut bahawa yang kemudiannya melupakan yang pertamanya. Maka beritahukan kepadaku wahai Rasulullah dengan satu kalimat yang ringkas sekali, sebagai kesimpulan daripada segala yang aku dengar. Maka Rasulullah s.a.w bersabsa: Bertaqwalah engkau kepada Allah pada barang yang engkau ketahui. Hadis Riwayat Ibnu Majah

Hadis 27 Sampaikan Ilmu Yang Sesuai Dengan Pendengarnya

Daripada Sahal Bin Said r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Kebaikan itu laksana beberapa gudang. Dan bagi gudang-gudang itu ada anak kuncinya. Maka untung sekali bagi seseorang hamba yang telah dijadikan Allah sebagai anak kunci bagi kebaikan, penutup bagi kejahatan. Dan celaka bagi seorang hamba yang menjadi anak kunci bagi kejahatan, penutup bagi kebaikan. Hadis Riwayat Ibnu Majah

Hadis 28 Semua Penuntut Pasti Untung


Daripada Wasilah Bin Asqoq r.a berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w: Barangsiapa mencari ilmu lalu ia mendapatkannya maka baginya dapat dua pahala. Dan barangsiapa mencari ilmu tetapi ia tidak mendapatkannya maka baginya dapat satu pahala .

Hadis Riwayat Al Darami

Hadis 29 Kelebihan Mengajar Ilmu


Daripada Ibnu Masud r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Semoga Allah memberikan kebaikan dan keindahan akan seorang yang mendengar daripada kami sesuatu lalu ia menyampaikannya kepada orang lain. Maka barang kali orang yang mendengar itu lebih mengambil manafaat daripada orang yang menyampaikannya .

Hadis Riwayat At Atirmizi

Hadis 30 Sampaikan Ilmu Walaupun Sedikit


Daripada Abdullah Bin Umar berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Sampaikanlah apa yang kamu dengar daripadaku walaupun hanya satu ayat. Dan sampaikan daripada apa yang kamu dengar daripada Bani Israil, maka tidak mengapa yang demikian itu. Dan barangsiapa secara sengaja berbohong atas namaku maka hendaklah ia menyediakan dirinya masuk dalam api neraka . Hadis Riwayat Bukhari, At Atirmizi

Hadis 31 Ambil Berkat Rasulullah dan Ulama


Daripada Mahmud Bin Rabiq r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Saya masih ingat ketika Rasulullah s.a.w menyembur (menghembuskan air) ke muka saya dari sebuah timba daripada air telaga yang ada di kawasan rumah kami, dan saya ketika itu baru berumur lima tahun .

Hadis Riwayat Bukhari, Muslim

Hadis 32 Hati-hati Bila Menyampaikan Ilmu


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Aku telah ingat daripada Rasulullah s.a.w dua jenis ilmu. Adapun yang pertama maka telah aku sebarkan kepada kamu semua ( para tabiin). Adapun yang satu lagi, seandainya aku sampaikan kepada kamu nescaya akan dipotong leherku ini .

Hadis Riwayat Bukhari

Hadis 33 Semua Sabda Nabi Adalah Benar


Daripada Abdullah Bin Umar r.a berkata: Adalah aku menulis segala sesuatu yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w, lalu orang2 Quraish melarang aku daripada yang demikian itu dan merika berkata: Apakah engkau menulis segala sesuatu yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w, sedangkan beliau adalah seorang manusia biasa yang bercakap2 dalam keadaan redha dan marah. Maka aku berhenti daripada menulis segala perkataan Rasulullah s.a.w yang aku dengar, sampai suatu masa maka aku menyebutkan yang demikian itu bagi Rasulullah s.a.w. Maka Baginda bersabda: Tulislah olehmu apa2 yang aku katakan. Maka demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaannya, tiada keluar daripada mulutku ini kecuali perkataan yang benar.

Hadis Riwayat Abu Daud

Hadis 34 Memelihara Ilmu Dengan Menulisnya


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Seorang lelaki dari kalangan orang Ansar telah datang mengadukan hal kepada Rasulullah s.a.w. Ia berkata: Wahai Rasulullah! Aku sungguhnya telah mendengar perkataanmu dan aku sangat kagum dan hairan dengan keindahannya, tetapi aku tidak dapat menhafaznya. Maka apa yang perlu aku lakukan? Maka sabda Nabi s.a.w: Hendaklah engkau menggunakan tangan kananmu. Sambil mengisyaratkan supaya ia menulis apa yang ia dengarkan. Hadis Riwayat At Tirmizi

Hadis 35 Yang pandai Tolong Menulis Bagi Yang Kurang Pandai

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Telah berkhutbah Rasulullah s.a.w akan suatu khutbah. Lalu Abu Hurairah menyebutkan bahawa Rasulullah s.a.w menyebutkan di dalam khutbahnya itu satu kisah yang panjang. Dan pada akhir hadis itu disebut bahawa Abu Syah berkata bagi Rasulullah. Wahai Rasulullah! Tolong tuliskan untuk ku isi khutbah tadi. Maka Rasulullah s.a.w bersabda: Tolong tuliskan untuk Abu Syah. Hadis Riwayat At Tirmizi

Hadis 36 Lebih Banyak Menulis, Lebih Luas Ilmunya

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Tiada ada dari keseluruhan sahabat Rasulullah s.a.w orang yang paling banyak meriwayatkan hadis lebih daripada aku, kecuali Abdullah Bin Umar, maka dia lebih banyak daripada aku, kerana dia menulis dan aku tidak menulis.

Hadis Riwayat Bukhari, At Tirmizi

Hadis 37 Apabila Ulama Dimatikan Allah


Daripada Abdullah Bin Umar r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: sungguhnya Allah Taala tidak menghilangkan ilmu agama itu dengan dicabut sekaligus daripada manusia, tetapi Allah Taala akan menghilangkan ilmu dengan mematikan para ulama. Sehingga apabila sudah tiada para ulama, manusia akan melantik pemimpin mereka daripada kalangan orang-orang yang jahil, lalu mereka akan ditanya hukum sesuatu masalah, maka mereka menjawab atau berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang lain. Hadis Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi

Hadis 38 Tuntutlah Ilmu Sebelum Ia Diangkat


Daripada Abu Amamah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Tuntutlah ilmu sebelum ia dicabut. Dan maksud ilmu itu dicabut ialah diangkat dari permukaan bumi ini. Lalu Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan menggambarkan jari tangan telunjuknya sambil bersabda: orang yang alim dan orang yang belajar ilmu itu bersama-sama dalam mendapatkan pahala. Dan orang yang lain dari mereka berdua sudah tidak ada apa-apa kebaikan. Hadis Riwayat Ibnu Majah

Hadis 39 Ilmu Tanpa Amal Bererti Ia Telah Diangkat


Daripada Abu Darda r.a berkata: Pada suatu masa kami bersama Rasulullah. Lalu baginda mengangkatkan pandangan ke arah langit, kemudian Baginda bersabda: Inilah masanya ilmu itu dicabut daripada manusia sehingga mereka sudah tidak dapat lagi untuk menahannya. Maka berkata Zaid Bin Labid Al Ansari r.a: Bagaimana ilmu itu dicabut daripada manusia sedangkan kami masih membaca Al Quran. Demi Allah, kami akan sentiasa membaca Al Quran dan mengajarkannya kepada anak2 kami dan isteri2 kami. Lalu Baginda bersabda: Celakalah ibumu (kerana kehilangan kamu) wahai Zaid! Aku sebenarnya menganggap engkau dari kalangan ulama di negeri Madinah ini. Cuba lihat! Ini kitab Taurat yang ada di kalangan orang2 Yahudi. Dan ini kitab Injil yang ada di kalangan orang2 Nasrani. Apakah kitab yang ada di kalangan mereka itu telah memberi faedah kepada mereka? Berkata Jabir r.a: lalu aku datang menemui Ubadah Bin Shomit r.a dan aku berkata kepadanya: apakah engkau pernah mendengar apa yang diriwayatkan oleh Abu Darda seperti yang tersebut pada hadis tadi? Maka Ubadah berkata: benar apa yang dikatakan oleh Abu Darda itu. Dan kalau engkau mahu maka aku akan ceritakan kepadamu akan ilmu yang pertama sekali diangkat dari manusia! Ilmu yang pertama sekali diangkat dari manusia itu ialah khusyuk (dalam solat). Barangkali engkau masuk ke dalam sebuah masjid yang besar maka engkau tidak mendapati dari sekian banyak orang yang hadir di dalam itu akan seorang lelaki yang khusyuk dalam sembahyangnya. Hadis Riwayat At Tirmizi

Hadis 40 Ikhlas Dalam Mencari Ilmu


Daripada Kaab Bin Malik r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa mencari ilmu untuk menandingi para ulama atau mengalahkan orang2 yang jahil, atau untuk memusatkan perhatian manusia kepadanya, maka orang ini akan dimasukkan Allah ke dalam api neraka .

Hadis Riwayat Tirmizi

Hadis 41 Mengajar Itu Sedekah Yang Paling Baik


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda: Sebaik-baik sedekah itu bahawa muslim itu belajar akan suatu ilmu kemudian dia mengajarkannya akan saudaranya yang muslim .

Hadis Riwayat Ibnu Majah

Hadis 42 Pahala Yang Berterusan


Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Nabi s.a.w bersabda: Apabila mati seorang anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali yang datang dari tiga sumber. Pertama sedekah jariah. Kedua ilmu yang memberi manafaat. Ketiga anak yang soleh yang mendoakan baginya .

Hadis Riwayat Muslim

You might also like