You are on page 1of 17

STRATEGI MEMARTABATKAN WARISAN BUDAYA DI

NEGERI MELAKA

Sempena: Seminar Pengembangan Dan Pemeliharaan Warisan Budaya Indonesia dan


Malaysia

Sesi: Masalah, Perspektif dan Strategi Masa Depan

Oleh: Azhar Abdul Latiff1

1. Pengenalan

Negeri Melaka kaya dengan pelbagai warisan budaya yang memiliki nilai estetika yang tinggi
terutama dalam bidang seni muzik seperti Dondang Sayang, Joget, Nazam, Zapin dan Rebana
Keras. Walaupun kesenian-kesenian tradisional ini pernah popular di kalangan masyarakat
tempatan pada satu masa dahulu, kini kesenian-kesenian ini semakin dilupakan dan kurang
diminati oleh golongan muda.

Pengiktirafan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh UNESCO pada 7 Julai 2008
telah memberi nafas baru kepada kesenian-kesenian tradisional di Melaka untuk menjadi
pengisian kepada Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan (IKSBW) yang menjadi nadi dan
penggerak kepada sektor pelancongan negeri Melaka. Satu perancangan yang sistematik dan

1
Azhar Abdul Latiff M.A. (Malay Studies) UM, BEng. (Electrical-Electronics) UTM, BEM
(Graduate Engineer), ABRSM Certificate (Violin) merupakan Ketua Kumpulan Seniman
Muda ISMMA, bersama-sama dengan ISMMA sejak tahun 2001 sebagai pemuzik, jurulatih
seni budaya dan konduktor Orkestra. Menjadi penggiat seni budaya di negeri Melaka
sejak daripada tahun 1994 dan masih aktif sehingga sekarang. Berpengalaman sebagai
Jurutera Operasi Penyiaran Radio di stesen radio komersial Malaysia sejak tahun 2004.
Sedang membuat kajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah terhadap Industri Kreatif Seni
Budaya dan Warisan di negeri Melaka.
tersusun perlu direkabentuk bagi memastikan masyarakat di Melaka bersedia untuk
menghadapi arus kepesatan serta gelombang pembangunan IKSBW ini pada masa akan
datang.

Menyedari hal ini, tiga strategi utama dikenalpasti dalam memastikan warisan budaya
terutama seni muzik tradisional di negeri Melaka dimartabatkan iaitu 1) Mengenalpasti dan
Memperkukuh Identiti Seni Budaya dan Warisan, 2) Membina Jatidiri Generasi Muda, dan 3)
Perindustrian Seni Budaya dan Warisan. Strategi-stategi ini dijangka dapat membantu sektor
awam, swasta dan komuniti untuk merancang urus tadbir warisan budaya di negeri Melaka
supaya tidak pupus ditelan arus pembangunan dan pemodenan.

Perancangan-perancangan yang bakal dilaksanakan juga akan menitik berat pendekatan


glokal yang bermula dengan pendekatan lokal yang menfokus kepada seni budaya dan
warisan negeri Melaka dan disusuli dengan pendekatan global yang menfokus kepada seni
budaya dan warisan di rumpun nusantara. Di dalam pendekatan glokal ini kerjasama di antara
dua negara yang berjiran iaitu Malaysia dan Indonesia dapat dipererat bukan sahaja dari segi
bidang seni, budaya dan warisan malah turut melibatkan kerjasama di dalam IKSBW yang
memiliki nilai ekonomi yang menguntungkan kedua-dua belah pihak.

2. Seni Muzik Melayu Tradisional: Warisan Budaya di Negeri Melaka

Seni muzik tradisional negeri Melaka telah menerima pelbagai pengaruh budaya luar sejak
dahulu lagi hasil daripada pertembungan budaya dengan wilayh-wilayah lain di rumpun
Melayu dengan dunia luar seperti China, India, Arab, Parsi dan Eropah melalui satu sejarah
yang panjang. Bermula dengan penaklukan wilayah Melaka oleh Empayar Sriwijaya pada
kurun ke 7 masihi dengan empayarnya dipercayai berpusat di Palembang, Sumatera,
Indonesia. Ini diikuti pula dengan pengaruh Empayar Majapahit yang berpusat di Singahsari
pada kurun ke 14 masihi. Pembukaan Melaka oleh seorang putera raja daripada Palembang
yang bernama Parameswara pada akhir kurun ke 14 telah menjadi asas penubuhan Empayar
Kesultanan Melayu Melaka.

Kedudukan Melaka ditengah-tengah Selat Melaka menjadikannya sebuah lokasi yang


stategik untuk pusat perdagangan dunia yang menghubungkan wilayah Timur dan Barat di
antara negara China dan India. Kepesatan Melaka sebagai sebuah pelabuhan perdagangan di
Timur telah menarik minat para pedagang dari serata dunia termasuk China, India, Eropah,
Arab dan Rumpun Melayu. Peristiwa pemelukan Islam Parameswara sekitar tahun 1414
melalui seorang Ulama berasal dari Jeddah telah meletakkan asas kepada kemajuan Empayar
Kesultanan Melayu Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan dan perkembangan agama
Islam yang terulung di rantau ini.

Kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka telah berakhir pada tahun 1511
apabila bangsa Portugis daripada Eropah telah datang menyerang dan menawan Melaka.
Penguasaan Portugis di Melaka berakhir pada tahun 1641 setelah 130 tahun memerintah dan
bertukar tangan pula kepada Belanda melalui peperangan di antara kekedua-dua pihak.
Perang Napoleon di Eropah telah menyebabkan Melaka diserah oleh Belanda kepada Inggeris
pada tahun 1795 sementara waktu dan dikembalikan semula kepada Belanda melalui
Perjanjian Venice pada 1818. Pada tahun 1824 penguasaan Melaka bertukar tangan pula
kepada penjajah Inggeris melalui Perjanjian London menjadikan Melaka sebagai sebahagian
wilayah jajahan Inggeris di Timur. Melaka telah menjadi sebahagian daripada wilayah
taklukan Jepun apabila tentera Jepun menakluki Tanah Melayu sewaktu Perang Dunia Kedua
pada tahun 1941–1945.

Kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957 telah membuka lembaran baru kepada
sejarah negeri Melaka apabila pemerintahan negeri ini dikembalikan daripada pihak Inggeris
semula kepada penduduk asalnya dan dikuti dengan penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
Diawal abad ke 21, Melaka telah muncul sebagai sebuah negeri yang sedang maju
membangun di Malaysia dengan pelbagai projek--projek pembangunan selaras dengan
gagasan Melaka Maju 2010. Tahun 2008, telah membuka lembaran baru kepada negeri
Melaka apabila Bandaraya Melaka diiktiraf UNESCO (2008) sebagai Bandaraya Warisan
Dunia.

Kepelbagai pengaruh luar yang telah mempengaruhi seni budaya dan warisan negeri
Melaka telah membawa kepada kewujudan seni muzik tradisional yang ada pada masa kini di
negeri Melaka. Berdasarkan klafikasi muzik tradisional Melayu oleh Mohd. Ghouse
Nasuruddin (1992) kesenian-kesenian tradisional di Melaka boleh dibahagikan kepada
kumpulan- kumpulan utama berdasarkan jenis-jenis alat muzik yang digunakan di dalam
ensambel muzik seperti di berikut:

Kumpulan 1: Muzik yang diiringi ensambel yang melibatkan kombinasi alat muzik jenis
rebana, biola dan gong seperti 1) Dondang Sayang, 2) Joget Lambak, 3) Zapin, dan 4) Inang.
Muzik ini biasanya diiringi dengan nyayian yang berbentuk pantun menggunakan melodi dan
rentak yang tertentu dengan iringan ensambel muzik di atas.

Kumpulan 2: Muzik yang diiringi ensambel pergendangan yang didominasi oleh alat muzik
membranofon rebana seperti 1) Rebana Keras, dan 2) Dabus. Puisi tradisional akan dilagukan
menggunakan melodi tertentu dan diiringi rentak dengan pukulan rebana oleh penyanyi dan
pemuzik.

Klafikasi muzik oleh Mohd. Ghouse Nasaruddin terbatas kepada jenis muzik yang
dimainkan dengan iringan ensambel muzik yang menggunakan alat muzik tradisional
Melayu. Walaubagaimanapun, terdapat juga jenis muzik di negeri Melaka yang tidak
menggunakan alat muzik di dalam ensambelnya. Menurut sistem pengklafikasian muzik di
Malaysia (Patricia Matusky dan Tan Sooi Beng, 1997) alat muzik tersebut boleh
dikategorikan kepada kumpulan ke-tiga seperti di bawah.

Kumpulan 3: Muzik Vokal dan Intrumental Solo iaitu Nazam. Puisi tradisional akan
dinyanyikan dengan menggunakan melodi tertentu dan iringan alat muzik.
Ketiga-tiga kumpulan muzik tradisional di atas memiliki ciri-ciri khas dan identiti budaya
masyarakat Melayu Melaka walaupun telah menerima pelbagai perubahan hasil daripada
pengaruh dan difusi budaya daripada luar. Penggunaan alat muzik pergendangan telah
bermula di Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka seperti yang disebut di dalam
buku Sejarah Melayu tulisan Tun Sri Lanang. Nyanyian pantun yang dimelodikan diiringi
dengan alat muzik rebana menjadi asas kepada kewujudan Dondang Sayang. Budaya Istana
telah membawa kepada kewujudan muzik inang iaitu muzik yang menjadi hiburan puteri-
puteri dan dayang-dayang di Istana Kesultanan Melayu Melaka. Kedatangan agama Islam ke
Melaka juga telah membawa masuk pengaruh kesenian Islam ke atas seni muzik di Melaka
dengan terhasilnya muzik Nazam yang menggunakan rangkap-rangkap yang berasaskan
ajaran Islam sebagai pengisian. Kedatangan pedagang Arab di Melaka juga telah membawa
masuk muzik zapin yang diadaptasi daripada kesenian masyarakat Arab di Timur Tengah.

Penjajahan bangsa Eropah di Melaka telah membawa masuk pengaruh budaya mereka
termasuk seni muzik ke dalam seni muzik masyarakat Melayu Melaka. Muzik Joget Lambak
yang ada di Melaka telah menerima pengaruh melodi, rentak , dan bentuk muzik daripada
Portugis. Alat muzik biola yang berasal daripada Eropah yang telah diterima menjadi alat
melodi di dalam ensambel muzik Dondang Sayang, Joget Lambak, Inang dan Zapin kerana
karektor bunyi alat muzik tersebut yang bersesuaian dengan melodi lagu-lagu Melayu.
Elemen rentak di dalam muzik Joget Lambak juga diperkemaskan lagi dengan penggunaan
gendang Tambur yang berasal daripada barat.

Kini, muzik tradisional Melayu Melaka yang menjadi tradisi rakyat tempatan sejak zaman
kegemilangan Empayar Kesultanan Melayu Melaka semakin dilupakan dan kurang diminati
oleh generasi muda. Pengaruh budaya daripada barat daripada pelbagai saluran terutama
media massa dan elektronik hasil daripada kesan globalisasi telah menjajah minda generasi
muda hasil dan mengancam usaha mengekalkan Warisan Budaya Negeri Melaka. Menyedari
hakikat ini, strategi yang bersepadu dan menyeluruh perlu dikenalpasti dan dirancang bagi
memastikan warisan budaya seperti seni muzik tradisional Melayu Melaka terus
dimartabatkan.
3. Memartabat Warisan Budaya di Negeri Melaka

Usaha memartabatkan Seni Budaya dan Warisan terutama seni muzik tradisional di Melaka
memerlukan perancangan yang bersepadu dan tersusun yang melibatkan kerjasama sektor
awam, pihak swasta dan komuniti-komuniti masyarakat. Menurut Rais Yatim2 (2005),
pembentukkan sesuatu bangsa yang bertamadun dalam erti kata berbudi bahasa dan
mengamalkan nilai-nilai murni, adalah suatu proses membina negara bangsa yang tidak
mungkin tercapai tanpa perancangan dan pupukan yang terancang. Pelaksanaan perancangan
kebudayaan, kesenian dan warisan perlu disertai pendekatan praktikal yang lebih menyeluruh
hingga sampai ke akar umbi.

Tiga strategi perlu disusun secara terancang dalam usaha memartabatkan Warisan
Budaya di negeri Melaka iaitu 1) Memperkukuh Identiti Seni Budaya dan Warisan, 2)
Membina Jatidiri Generasi Muda, dan 3) Perindustrian Seni Budaya dan Warisan.
Strategi-strategi ini dikenalpasti berdasarkan penelitian, pemerhatian dan penglibatan penulis
terhadap usaha-usaha pengembangan dan pemelaharaan Warisan Budaya di negeri Melaka
sepanjang tahun 2001-2008 oleh Kerajaan Negeri Melaka menerusi kegiatan-kegiatan di
Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA)3. Fokus diberikan terhadap ketiga-tiga kumpulan
seni muzik tradisional negeri Melaka iaitu:

a) Kumpulan 1: Muzik Dondang Sayang dan Joget Lambak.

2
Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim merupakan mantan Menteri di Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.
3
ISMMA pada awalnya dan ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 dengan nama
Akademi Seni Melaka (ASM) pada tahun 1994. Aktiviti yang dijalankan pada masa itu
ialah mengurus tadbir Kumpulan Kebudayaan Briged Seni dan menjalankan kursus
kemahiran seni jangka pendek. Bermula 1996 ASM telah menjalankan program Diploma
dalam bidang seni. Pada tahun 1997 nama ASM ditukar kepada Institut Teknologi Seni
Malaysia (ITTSM) dan insitusi ini berperanan mengembangkan program Diploma yang
menjurus ke arah teknologi seni. Bagi merealisasikan pembangunan yang seimbang
nama ITTSM telah ditukar kepada Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) pada tahun 2001
dengan harapan dapat melahirkan warga seni Melaka yang mempunyai jati diri dalam
pelbagai bidang yang diamalkan penuh dengan disiplin dan kesopanan.
b) Kumpulan 2: Muzik Rebana Keras

c) Kumpulan 3: Nazam

3.1 Strategi 1: Mengenalpasti dan Memperkukuh Identiti Seni Budaya dan

Warisan

Usaha memartabatkan seni muzik tradisional di Melaka perlu bermula dengan mengenalpasti
dan memperkukuh identiti seni budaya dan warisan tersebut.

Identiti Warisan Budaya sangat penting sebagai alat memartabatkan Seni, Budaya
dan Warisan di Malaysia dan khususnya di negeri Melaka. Menurut Wan Abdul Kadir4
(2008), matlamat pembangunan budaya kebangsaan Malaysia yang dapat dianggap amat
penting dan perlu diberikan perhatian serius ialah mempertingkatkan dan memperkukuhkan
kedudukan identiti, terutama identiti budaya. Menyedari tentang pentingnya identiti dan
melaluinya akan dapat memperkukuhkan intergrasi antara kaum. Identiti itu memberikan
kesedaran terutama kepada generasi muda tentang sejarah peradaban negara. Dengan
kesedaran itu dapat memupuk semangat kebangsaan dan cintakan negara.

Melalui strategi ini, identiti seni muzik tradisional seperti Dondang Sayang, Joget
Lambak, Rebana Keras dan Nazam akan dikenalpasti melalui aktiviti kajian ilmiah dan kerja
lapangan terhadap kesenian tersebut dari segi sejarah, teori dan praktikal oleh kumpulan
penyelidikan ISMMA yang ahli-ahlinya terdiri daripada ahli akademik, para pelajar Intitusi
Pengajian Tinggi (IPT) dan profesional yang pakar dalam bidang seni budaya dan warisan.

4
Prof. Dr. Wan Abdul Kadir merupakan Profesor di Akademi Pengajian Melayu Universiti
Malaya, Kuala Lumpur.
Pendekatan utama yang digunakan oleh kumpulan penyelidik ISMMA dalam
penyelidikan seni budaya yang dijalankan ialah dengan mendapatkan maklumat primer
melalui kaedah mendekati seniman-seniman tradisional negeri Melaka yang pakar dalam
kesenian-kesenian tradisional masing-masing seperti yang ditunjukkan pada Jadual 1.
Seniman-seniman ini dikenalpasti melalui telah memainkan peranan aktif di dalam Warisan
Budaya negeri Melaka menerusi proses peralihan ilmu serta pengetahuan yang diturun
daripada satu generasi melalui pewarisan dari satu generasi ke satu generasi, perguruan dan
pengalaman praktik. Mereka juga telah diiktiraf ISMMA sebagai Tokoh Seni Budaya Negeri
Melaka sebagai mengenang jasa-jasa mereka yang bersama-sama berusaha memartabatkan
Warisan Budaya di negeri Melaka.

Jadual 1: Seniman-seniman Tradisional Seni Budaya dan Warisan

Nama Tokoh Kegiatan Seni Budaya Kepakaran


1. En. Baharim Shariff (Pak Muzik Dondang Sayang dan Muzik biola dan
Baharim) Joget Lambak pergendangan
Pantun
2. En. Daud Abdul Ghani (Pak Muzik Dondang Sayang Pantun
Daud)
3. En. Rahmat Muzik Rebana Keras Muzik dan puisi
tradisional
4. Tuan Hj. Mohammad Yassin Nazam Puisi tradisional
5. Pn. Nona (Kak Nona) Muzik Dondang Sayang Pantun

Maklumat penyelidikan seni budaya ISMMA diperolehi daripada menerusi kerja


lapangan iaitu temuramah dan rakaman audio visual persembahan seni muzik seperti
Dondang Sayang, Joget Lambak, Rebana Keras dan Nazam oleh tokoh-tokoh seni budaya.
Daripada kerja lapangan maklumat primer yang diperolehi dianalisis and didokumentasi
dalam bentuk teks dan skor muzik.

Hasil penyelidikan kumpulan penyelidik ISMMA dikumpul dan diterbitkan dalam


bentuk buku serta medium audio visual kaset dan DVD untuk rujukan ahli-ahli akademik,
para pelajar, seniman-seniman dan para peminat Warisan Budaya negeri Melaka. Selain itu
hasil penyelidikan ini digunakan sebagai rujukan untuk merangka sukatan pembelajaran seni
budaya ISMMA yang menfokus kepada pembinaan jatidiri generasi muda.

3.2 Strategi 2: Membina Jatidiri Generasi Muda

Generasi muda merupakan golongan yang memainkan peranan yang penting dalam usaha
memartabatkan seni budaya dan warisan di dalam sesuatu masyarakat dan ketamadunan.
Mereka adalah golongan pelapis yang akan menjadi penerus, pengembang dan pemeliharaan
Warisan Budaya Negeri Melaka. Menyedari hakikat ini ISMMA (dan sejak penubuhannya)
telah berusaha memartabatkan Warisan Budaya Negeri Melaka melalui pendekatan
membinaan jatidiri generasi muda menerusi saluran pendidikan seni budaya dan warisan.

Menurut Abdul Latiff Abu Bakar5 (2006), kaedah pengajaran berdasarkan Teori
(pemahaman) dan praktikal subjek seni budaya, perlu menjadi dasar utama Institusi Seni
Budaya yang ingin memartabatkan dan memperkasakan Warisan Malaysia. Pelajar seni
budaya perlu dididik menjadi insan seni yang berilmu serta dapat menghayati ilmu seni
budaya dengan gigih melalui pendekatan perbincangan dan pengajaran seni budaya.

Kombinasi kaedah Teori dan Praktikal menjadi asas kepada proses pembinaan jatidiri
di ISMMA sejak tahun 2001 dan pelaksanaannya ialah melalui perancangan stategik yang
menyeluruh, melibatkan kerjasama agensi-agensi kerajaan dan NGO-NGO seni budaya
budaya. Usaha yang dilaksanakan melibatkan pelaksanaan rangka aktiviti bersifat
pendidikan seni budaya, intelektual serta hiburan masyarakat yang terbahagi kepada aktiviti-
aktiviti seperti 1) Latihan Seni Budaya ISMMA, 2) Perkampungan Seni Budaya ISMMA,
3) Seminar Seni Budaya, 4) Persembahan Pentas, 5) Konsert Perdana Seni Budaya, dan 6)
Penerbitan Seni Budaya. Di ISMMA rangka aktiviti ini dikenali sebagai Program Konsert
Orkestra Warisan ISMMA dan projek ini menjadi acara tahunan sejak tahun 2007. Projek
ini ialah sebahagian daripada pelaksanaan dan usaha Kerajaan Negeri Melaka (menerusi

5
Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar merupakan Pengerusi Institut Seni Malaysia
Melaka.
ISMMA) mengembangkan dan memelihara warisan budaya di negeri Melaka (Azhar Abdul
Latiff, 2009).

Pengisian rangkaian aktiviti ISMMA melibatkan proses pembelajaran teori dan


praktikal kesenian tradisional negeri Melaka iaitu Dondang Sayang, Joget Lambak, Rebana
Keras dan Nazam. Tokoh-tokoh seni budaya juga diberi peranan dalam proses membina
jatidiri generasi muda. Proses pengajaran dan pewarisan ilmu seni budaya daripada tokoh-
tokoh seni budaya disampaikan kepada para pelajar melalui pendekatan asuhan terus dan
pengantara. Melalui pendekatan asuhan terus, pelajar diberi peluang untuk menerima tradisi
lisan melalui pembelajaran terus daripada tokoh-tokoh seni budaya yang dilantik sebagai
Jurulatih Seni Budaya ISMMA. Manakala melalui kaedah pengantara pula, pelajar akan
diajar oleh Jurulatih Seni Budaya yang profesional yang memperolehi pengetahuan melalui
rujukkan kepada Tokoh-tokoh Seni Budaya ISMMA.

Sejak penubuhan ISMMA pada tahun 2001, institusi ini telah berjaya menghasilkan 3
golongan seniman muda di negeri Melaka iaitu 1) intelektual, 2) profesional, dan 3)
peminat seni budaya melalui progam-program pengembangan serta pemeliharaan seni
budaya dan warisan negeri Melaka. Golongan intelektual ialah seniman muda yang telah
melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi (Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah
Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah) dan mendalami bidang seni budaya. Golongan
profesional pula ialah seniman muda yang telah menjadikan bidang seni budaya dan warisan
sebagai karier dengan menyertai institusi profesional seni budaya (negeri dan nasional)
seperti Briged Seni Melaka, Kumpulan Persembahan Majlis Melaka Bandaraya Bersejarah,
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Melaka serta Kumpulan Kesenian Seni
Persembahan Petronas. Golongan terakhir yang dihasilkan ISMMA ialah peminat seni
budaya, iaitu seniman muda yang menghargai dan menghormati Warisan Budaya Negeri
Melaka dan mereka ini ialah golongan yang bakal menjadi generasi pelapis di negeri Melaka.

Seniman Muda Negeri Melaka merupakan produk utama ISMMA yang menjadi
penyumbang kepada sumber manusia dan K-Ekonomi di dalam sektor pelancongan dan
Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan (IKSBW) yang sedang berkembang pesat di negeri
Melaka. Proses pembinaan jatidiri generasi muda melalui pendidikan seni budaya dan
warisan dilihat sebagai langkah yang paling sesuai bagi menghasilkan seniman muda yang
akan terus memperkembang dan memelihara Warisan Budaya Negeri Melaka. Cabaran
seterusnya ialah merangka satu pelan Perindustrian Seni Budaya dan Warisan bagi
memastikan modal insan yang dihasilkan (seniman muda) dapat terlibat secara aktif di dalam
membangunkan ekonomi negeri Melaka.

3.3 Strategi 3: Perindustrian Seni Budaya dan Warisan

Negeri Melaka memilki potensi yang besar untuk memperkukuhkan ekonomi negerinya
melalui sektor pelancongannya. Bilangan pelancong yang masuk ke negeri Melaka
meningkat dari tahun ke tahun. Sejak tahun 1999 hingga 2006, seramai 26.8 juta pelancong
telah melawat Melaka dengan purata peningkatan hampir 20% setahun dan purata tempoh
bermalam selama 1.77 malam. Dalam tempoh lapan tahun tersebut, sebanyak 70.3% yang
datang ke Melaka adalah pelancong domestik dan bakinya 29.7% adalah terdiri daripada
pelancong asing. Pada tahun 2007 seramai 6.0 juta pelancong berbanding 5.1 juta pada tahun
2006 iaitu peningkatan sebanyak 18.1% dengan tempoh bermalam selama 1.87 malam. Dari
segi pasaran asing pula, Singapura terus menjadi the market leader dengan syer sebanyak
19.3%, diikuti oleh China (17.0%), Indonesia (9.4%), Hong Kong (4.4%) dan Arab Saudi
(4.3%) (Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka, 2008).

Kedatangan pelancong daripada dalam dan luar negeri Melaka telah membantu menjana
ekonomi penduduk tempatan, pihak swasta dan kerajan negeri melalui industri pelancongan
yang terbahagi kepada sebelas cabang iaitu 1) Sejarah, 2) Budaya, 3) Rekreasi, 4) Sukan, 5)
Membeli-belah, 6) Konvensyen, 7) Kesihatan, 8) Pendidikan, 9) Makan-makan, 10) Melaka
Sebagai Rumah Kedua, dan 11) Pelancongan Belia. Kesemua cabang-cabang di atas mampu
memangkinkan Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan (IKSBW) sebagai industri yang
berkait rapat dengan sektor pelancongan. Warisan Budaya Negeri Melaka seperti Dondang
Sayang, Joget Lambak, Rebana Keras dan Nazam amat berpotensi untuk menjadi pengisian
kepada IKSBW.
Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan (IKSBW) dilihat sebagai industri yang
berpotensi besar di Malaysia pada masa hadapan seperti yang dinyatakan oleh Rais Yatim
(2006) seperti di bawah.

“Daripada penulisan, penerbitan buku dan majalah hingga ke penerbitan bahan muzik,
daripada pementasan hingga kepada teater, nyayian, kraf tangan, sinema, fotografi, produksi
televisyen dan puluhan subjek, Malaysia harus menjana kemampuan mengindustrikan seni
budaya dan warisan. Untuk itu, pendidikan Seni Budaya dan Warisan perlu diperjuang
dengan realistik supaya produk seni khususnya dapat membantu menyemarakkan industri
seni budaya dan industri seni kreatif yang bernilai RM 5.2 billion hingga RM 6 Billion
setahun.” (Rais Yatim, 2006:5)

Krisis ekonomi global pada awal tahun 2009 turut membawa kesan negatif kepada
ekonomi negeri Melaka yang bergantung kepada sektor pembuatan sebagai sumber
pendapatan utama. Yang terus mendapat kesan langsung ialah rakyat tempatan yang
bergantung kepada pekerjaan di sektor pembuatan untuk menyara hidup. Bagaimanapun,
perkara yang sebaliknya berlaku di dalam sektor pelancongan. Pengiktirafan Melaka
Bandaraya Warisan Dunia oleh badan dunia UNESCO6 telah meningkat lagi potensi
peningkatan pendapatan dan pembangunan di dalam IKSBW. Pembangunan pesat IKSBW di
dalam sektor pelancongan negeri Melaka bakal membuka beribu-ribu peluang pekerjaan
kepada penduduk tempatan. Rancangan Perindustrian Seni Budaya dan Warisan yang
tersusun perlu dirangka bagi memenuhi tuntutan tersebut. Berdasarkan pemerhatian penulis,
Perindustrian Seni Budaya dan Warisan di negeri Melaka boleh dilaksanakan melalui empat
pelaksanaan iaitu 1) Kajian Strategik, 2) Penyediaan Sumber Manusia dan Latihan
Tenaga Kerja, 3) Pembinaan Infrastruktur, dan 4) Intensif, polisi dan dasar Kerajaan.

Langkah pertama pelaksanaan Perindustrian Seni Budaya dan Warisan di Melaka ialah
melalui kajian strategik. Melalui kaedah ini kajian yang menyeluruh dibuat ke atas peranan
dan aplikasi IKSBW di dalam sektor pelancongan. Kaedah terbaik kerjasama antara IKSBW
6
UNESCO, United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization telah
mengiktiraf Melaka sebagai Bandaraya Warisan dunia pada7 Julai 2008. Dokumen
UNESCO, Melaka and George Town (Malaysia) No 1223 dirujuk.
dengan sektor pelancongan dikenalpasti bagi memastikan IKSBW dapat mendapat manfaat
ekonomi daripada sektor pelancongan negeri Melaka.

Sumber manusia dan latihan tenaga kerja amat diperlukan bagi menampung keperluan
sumber manusia IKSBW pada masa akan datang di Melaka. Peluang pekerjaan di dalam
IKSBW boleh diisi oleh Seniman Muda Negeri Melaka yang dididik melalui program latihan
seni budaya di ISMMA. Satu program latihan peringkat lanjutan berasaskan pendidikan seni
budaya dan pelancongan perlu diwujudkan bagi menyediakan tenaga kerja yang mahir dan
profesional di dalam sektor pelancongan dan IKSBW.

Pembinaan infrastruktur IKSBW yang boleh menampung keperluan sektor pelancongan


juga perlu diberi perhatian. Antara infrastruktur yang diperlukan ialah panggung
persembahan, permis-permis perniagaan berasaskan produk IKSBW, rangkaian kemudahan
pengiklanan media elektronik dan pusat-pusat sehenti IKSBW. Kerjasama agensi-agensi
kerajaan dan sektor swasta amat diperlukan bagi menyediakan infrastruktur IKSBW di
Melaka.

Pelengkap kepada pelaksanaan Perindustrian Seni Budaya dan Warisan di Melaka ialah
insentif, polisi dan dasar kerajaan. Kerajaan negeri Melaka melalui agensi-agensinya harus
menyediakan insentif, polisi dan dasar yang membantu IKSBW. Antara yang boleh
dilaksanakan melalui pelaksanaan ini ialah:

1) mewajibkan permis-permis pelancongan seperti hotel dan restoran-restoran di negeri


Melaka menyediakan kemudahan IKSBW,

2) memberi insentif seperti pengurangan cukai kerajaan tempatan dan menyediakan


kemudahan infrastruktur kepada perniagaan yang berasaskan produk IKSBW dan

3) mengambil kira IKSBW di dalam setiap projek-projek pembangunan negeri.


Perindustrian Seni Budaya dan Warisan di negeri Melaka haruslah seimbang dalam
memenuhi tuntutan pembangunan budaya dan ekonomi negeri. Shamsul Amri Baharuddin
(2005), telah membuat dua tafsiran tentang pelaksanaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan di
Malaysia iaitu:

• Satu bersifat idealistik, yang berasaskan tamadun Melayu.

• Satu lagi bersifat pragmatik, yang berasaskan tuntutan pasaran dan keuntungan
kewangan.

Dalam konteks ini, yang pragmatik sering menjadi cabaran kepada yang realistik. Bagi
memastikan Warisan Budaya negeri Melaka terus dimartabatkan, pelaksanaan Perindustrian
Seni Budaya dan Warisan di negeri Melaka yang bertujuan memenuhi tuntutan ekonomi
rakyat haruslah dibangunkan tanpa menjejaskan identiti asli warisan tersebut.

4. Penutup

Cabaran dan usaha memartabatkan Warisan Budaya Negeri Melaka haruslah dipandang
serius oleh pelbagai pihak samaada sektor awam, pihak swasta dan komuniti masyarakat
kerana pelaksanaannya membawa banyak manfaat kepada rakyat negeri Melaka. Tiga strategi
memartabatkan Warisan Budaya di negeri Melaka iaitu 1) Mengenalpasti dan
Memperkukuh Identiti Seni Budaya dan Warisan, 2) Membina Jatidiri Generasi Muda,
dan 3) Perindustrian Seni Budaya dan Warisan boleh dijadikan panduan dalam
mengembangkan dan memelihara Warisan Budaya di negeri Melaka dalam usaha mencapai
Wawasan Melaka Maju 2010.
Pengembangan strategi-strategi ini boleh dilihat dalam konteks yang lebih luas dan
glokal iaitu Dua Melayu Dunia Islam dan Rumpun Melayu. Antara rakan kongsi strategik
negeri Melaka di dalam merealisasikan matlamat ini ialah negara Indonesia. Menyedari
potensi yang ada, penulis ingin membuat beberapa saranan tentang kerjasama di antara
Malaysia (Melaka) dengan negara jiran Indonesia di dalam memperkembangkan dan
memelihara Warisan Budaya bersama iaitu:

1) Satu rangkaian komuniti berasaskan intelektual perlu diwujudkan di antara Malaysia-


Indonesia di dalam bidang Seni, Budaya dan Warisan Serumpun bagi menjalankan
kajian dan penyelidikan bertujuan mendapatkan kaedah terbaik dalam melaksanakan
kerjasama di antara kedua-dua pihak.

2) Rangkaian kerjasama yang diwujudkan perlu mengambil kira penyertaan generasi


muda dan menggunakan pendekatan baru seperti Teknologi Maklumat (ICT) sebagai
alat kerjasama.

3) Projek-projek pembangunan wilayah antara Malaysia-Indonesia perlu mengambil kira


kerjasama kedua-dua pihak di dalam Industri Kreatif Seni Budaya dan Warisan serta
sektor pelancongan supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat.

4) Kepakaran kedua-dua negara perlu dikongsi dan digembeling bagi memperkembang


dan memelihara Warisan Budaya Serumpun.

5. Rujukan

1) Abdul Latiff Abu Bakar. 2006. Pendidikan Seni Budaya dan Warisan – Satu Gagasan
dan Perjuangan. Kertas Kerja: Persidangan Seni Budaya dan Warisan. Kementerian
Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa).
2) Azhar Abdul Latiff. 2009. Kertas Konsep Konsert Orkestra Warisan ISMMA 2009 –
Memartabatkan Seni, Membina Jatidiri, Melaka Bandaraya Warisan Dunia. Institut Seni
Malaysia Melaka (ISMMA), Melaka.

3) Institut Seni Malaysia Melaka. 2008. Laman Web Rasmi ISMMA.


http://ismma.melaka.gov.my/.

4) Kerajaan Negeri Melaka. 2008. Portal Rasmi Kerajaan Negeri Melaka. Statistik
Kedatangan Pelancong diperolehi pada 9 Januari 2009 menerusi laman web
http://www.melaka.gov.my/.

5) Mohd. Ghouse Nasuruddin. 1992. The Malay Tradisional Music. Dewan Bahasa dan
Pustaka, Kuala Lumpur.

6) Mohd. Yusoff Hashim. 2005. Parameswara Pengasas Empayar Melaka. Institut Kajian
Sejarahdan Patriotisme Malaysia (IKSEPS), Melaka.

7) Patricia Martusky & Tan Sooi Beng. 1997. Muzik Malaysia: Tradisi Klasik, Rakyat dan
Sinkretik. The Asian Centre, Pulau Pinang.

8) Rais Yatim. 2005. Seni Budaya dan Warisan. Beringin: Jurnal Akademi Seni Kebangsaan.
Bil. 1/2005.Akademi Seni Kebangsaan, Kuala Lumpur.
9) Rais Yatim. 2006. Hala Tuju Pendidikan Seni Budaya dan Warisan. Beringin: Jurnal
Akademi Seni Kebangsaan. Bil. 3/2006. Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan,
Kuala Lumpur.

10)Shamsul Amri Baharuddin. 2005. Antara ‘Bangsa Idaman’ dan Kebudayaan


Kebangsaan. Beringin: Jurnal Akademi Seni Kebangsaan. Bil. 1/2005.Akademi Seni
Kebangsaan, Kuala Lumpur.

11) UNESCO. 2006. Dokumen : Melaka and George Town (Malaysia) No. 122. Laman

web: http\\: www.unesco.org.

12)Wan Abdul Kadir. 2008. Perubahan dan Identiti Seni Muzik Kebangsaan. Seminar Seni
Muzik Kebangsaan 2008, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan(ASWARA),
Kuala Lumpur.

You might also like