You are on page 1of 7

“ Kepentingan Sejarah Kepada Manusia Dan Negara “

Mohd Yusuf Ibrahim

Ulasan Keseluruhan

Sejarah adalah suatu unsur yang penting terhadap manusia, apatah lagi seluruh
manusia mempunyai sejarah masing-masing, atau dalam kata lain sejarah adalah masa
lalu seseorang manusia, tidak kira ia menerangkan kebaikan seseorang atau keburukan
manusia itu. Semenjak kecil lagi kita diperkenalkan akan pelajaran sejarah, sama ada
sejarah yang berkaitan dengan negara, agama, mahupun keturunan dan keluarga. Namun
kita tidak dapat memastikan, apakah kepentingan sejarah terhadap menusia itu
sendiri. Artikel ini menerangkan segala-galanya tentang sejarah, marilah kita menelusuri
jalan-jalan ini kearah memahami tentang sejarah itu sendiri, kerana ia memainkan
peranan yang tersendiri dalam proses pergerakan sejarah manusia itu sendiri. Apa yang
peliknya, manusia itu memang mempunyai minat yang tersendiri untuk menyelami
sejarah, terutama tentang dirinya sendiri, kerana pasti ada sesuatu yang berguna kepada
diri mereka selepas banyak pengalaman ditempuh sepanjang hidupnya, lalu berbangga
dengan merasakan hidupnya penuh dengan harga diri. Selain itu, manusia cenderung
untuk mengenal dirinya selepas menempuh kehidupan yang penuh pancaroba sama ada
dipenuhi kenangan pahit atau kenangan manis. Malahan, dengan meneliti sejarah
hidupnya, timbul kepuasan emosi yang dapat memacu masa depannya agar lebih
gemilang. Ini berlaku kerana sejarah adalah suatu proses yang bersambung dan
mempengaruhi satu sama lain, sama ada masa lalu, masa kini dan masa depannya..
Semua ini adalah hasil usaha yang berterusan lalu menjadi pendorong kejayaan seseorang
itu, atau natijah kejahatannya yang berterusan, menjadikannya menjalani hidup yang
sengsara seperti hari ini. Kepentingan sejarah kepada manusia yang lain adalah sebagai
sumber abstrak dan nyata, apa yang dikatakan sebagai abstrak itu kerana, adalah
mustahil bagi manusia itu untuk menghidupkan kembali sejarah yang telah berlaku itu
secara jasadnya. Maksudnya, manusia itu pernah melihat sesuatu peristiwa dan apabila
mengingatkannya kembali, ia tidak dapat mengngat dan menghidupkan kembali
keseluruhan peristiwa, bahkan adakalanya manusia itu gagal memahami peristiwa itu
sewaktu mereka memerlukannya. Juga dikatakan sebagai sumber nyata bagi manusia itu,
kerana manusia itu mampu membentuk dan menggambar kembali sesuatu peristiwa itu,
walaupun bukan secara keseluruhannya. Ini bermaksud peristiwa itu pernah berlaku dan
boleh digambarkan semula secara sekadar yang diingatinya. Natijah dari kajian sejarah
sebagai sumber abstrak dan sumber nyata, dapatlah kita simpulkan bahawa tiada manusia
yang tidak mempunyai masa lalunya dan adalah mustahil bagi manusia itu untuk
melupakan sejarah yang telah dilaluinya, kecuali manusia itu hilang ingatan. Proses
menyimpan dan mengingat ini tidak akan terputus, bahkan jika ia terputus seperti
kejadian hilang ingatan, akan mewujudkan kepincangan terhadap manusia sekitar dan
individu itu sendiri. Kepentingan sejarah terhadap manusia itu juga dapat dilihat pada
hubungan sejarah dengan manusia itu sendiri. Hubungan sejarah dan manusia itu
adalah keduanya saling perlu memerlukan, kerana kesedaran manusia itu tentang
kepentingan pengalamannya yang lalu. Sejarah yang berkaitan dengan manusia juga
berkait dengan agama dan ahli-ahli agama. Contohnya, ahli agama Tsamawi (agama
langit) berkonsepkan bahawa hidup manusia ada permulaan dan pengakhiran yang
terakhir, iaitu kiamat. Bahkan, kita juga sedar yang perjalanan sejarah sama ada manusia,
mahupun dunia sedang bergerak menuju kematian dan kiamat, dan itu adalah
pengakhiran sejarah selama ini. Kesannya, setiap manusia yang waras akan memandang
masa depan yang cemerlang dengan merujuk sejarah lalunya, sama ada menebus kembali
kehidupan yang lalu ke tempat yang lebih baik, atau mengekalkan kejayaannya dahulu.
Namun, bukan mudah untuk menebus atau mengekalkan kejayaan kerana ia berdasarkan
kesedaran insan, ditambah pengalaman dan kewarasan serta kekuatan azam dan cita-
citanya. Sejarah juga membuktikan bahawa ada yang gagal menebus kembali, bahkan
menjadi gila dan bunuh diri atas kekesalan yang dihadapi. Hubungan manusia dan
sejarah juga dapat dijadikan sebagai petunjuk dengan melihat masa lalu, untuk
melangkahi masa depan dengan penuh keyakinan dan kekuatan. Kesimpulan yang
dapat diperhatikan ialah sejarah amat penting kerana ketiadaan masa lalu akan
menyebabkan tiadanya juga masa kini dan hasilnya tiada masa depan. Seterusnya, kita
melihat sejarah dan kepentingan dari sudut psikologi dan falsafah manusia itu
sendiri. Orang-orang Barat dan sekular sangat menyanjung sejarah, sehingga ada yang
menganggapnya sebagai falsafah dan agama. Tetapi, ini tidak dapat diterima oleh orang
yang beragama Islam, kerana agama Islam tidak terpisah dengan kehidupan penganutnya,
sedang orang sekular itu bukan sahaja memisahkan dirinya dengan agama, bahkan
keyakinan terhadap Tuhannya sudah musnah, dan hanya bergantung pada nilai-nilai
murni yang boleh berubah-ubah mengikut akal fikiran mereka sendiri. Kemudian, kita
lihat sendiri tentang takrif sejarah iaitu, satu kumpulan masa lalu dan ilmu pengetahuan
yang menerangkan tentang keadaan yang sedang berlaku. Sejarah bila dihayati, sama ada
tentang diri, keluarga, masyarakat, dan negara serta dunia, akan menyebabkan kita sedar
akan perkembangan diri dan persekitaran, serta kesan pergerakan dunia keatas kita.
Orang barat juga menganggap sejarah sebagai suatu ilmu yang tidak boleh dikaitkan
dengan kegunaannya, seperti ilmu sains gunaan. Maksudnya, pengkajian sejarah itu
hanyalah untuk mencari atau mewujudkan kebenaran tanpa mempunyai motif yang lain,
contohnya kepentingan sesutau pihak. Namun, ada juga dari kalangan orang barat sendiri
yang menganggap ilmu sejarah itu sebagai omong kosong belaka, kerana bagi mereka
peristiwa didalam sejarah itu boleh disalahgunakan dan menmbulkan bahaya didalam
situasi politik dan struktur masyarakat. Asas anggapan mereka itu boleh diterima, kerana
sudah terdapat banyak peristiwa yang berlaku dalam sejarah itu telah disalahgunakan,
diselewengkan dan dipalsukan, untuk mencapai tujuan tertentu bagi golongan yang
berkepentingan tertentu. Akhirnya, dapat kita sedari bahawa sejarah bukan sahaja
menyedarkan, menerang dan mengajar sahaja tetapi ia adalah sesuatu yang sedang
bergerak bersama-sama kita, dan pelengkapnya, kita juga adalah manusia bersejarah
dan bahan sejarah. Seterusnya, kita memasuki bahagian menenai kepentingan sejarah
dan kaitannya dengan sesebuah negara. Sesebuah negara memerlukan sejarah untuk
melaksana, melengkap dan melancarkan lagi kegiatannya. Ini kerana, Herodotus (Bapa
Sejarah Dunia), mengatakan bahawa terdapat pengulangan atau kitaran, diantara
sejarah semua tamadun dan negara secara berganti-ganti, umpama roda. Setiap tamadun
mempunyai persamaan dari segi kelahiran dan kewujudan, lalu melalui perkembangan
dan zaman kemuncak kejayaan, yang akhirnya membawa kepada keruntuhan tamadun
dan negara itu. Peristiwa yang berlaku berzaman-zaman dahulu, akan berlaku lagi pada
zaman atau generasi seterusnya, walaupun peristiwa yang berlaku adalah berbeza tetapi
tahap-tahap perkembangan diantara tamadun adalah sama. Ini dapat dijadikan sebagai
petunjuk, dan pengajaran serta iktibar bagi generasi seterusnya dalam memacu
negara kearah yang lebih gemilang. Oleh itu, manusia perlulah belajar tentang sesuatu
peristiwa dengan merujuk sejarah agar mendapat pengajaran. Ini kerana pertalian antara
masa lalu dan kini adalah sangat jelas. Masa kini adalah hasil atau kesan dari gejala sama
ada dari segi sains, ekonomi mahupun politik, yang akhirnya akan menjadi sebahagian
dari sejarah negara itu. Jadi, tidak dapat tidak, ahli ekonomi dan politik negara itu tidak
akan dapat melihat, selain sejarah sebagai sumber rujukan yang sangat berguna, untuk
mencerminkan keadaan masa lalu, kini dan masa depan. Ketiga-tiga elemen itu tidak
akan terpisah dan mencerminkan antara satu sama lain. Namun, tidak mustahil ia terpisah
disebabkan revolusi dan pemberontakan, yang bertujuan untuk menyingkirkan sistem
negara itu dan berbeza dari yang lalu, atau dengan kata lain, ingin mengubah sejarah
negaranya. Tidak mustahil juga pemberontakan itu berlaku untuk menegakkan sistem
yang lama, setelah sekian lama diseleweng oleh golongan tertentu. Berbagai
pemberontakan dan revolusi telah berlaku didunia ini, Revolusi Perancis 1789, Revolusi
Rusia 1917 dan Revolusi Iran 1980-an. Mereka memberontak untuk menegakkan apa
yang dipandang sebagai adil dan sesuai bagi mereka. Sampai suatu masa, ada revolusi
yang diperjuangkan dahulu hancur disebabkan ketidaksesuaian dengan rakyat, dan ada
pula yang diterima hingga muncul sistem yang lain, yang dipercayai mampu menyelamat
dan membahagiakan manusia. Jadi perhubungan diantara masa-masa itu, mampu
membawa manfaat dengan menjadikan masa kini adalah merujuk kepada masa lalu,
untuk kepentingan masa depan. Sejarah juga amat penting didalam proses memilih
kepimpinan, dimana sejarah sesebuah organisasi, dan sejarah kehidupan para
pemimpinnya, serta sejarah kemampuan mereka membangun, mendidik, dan berkhidmat
kepada masyarakat, dijadikan sandaran didalam membuat pemilihan pemimpin, demi
memastikan negara selamat dan terpelihara dibawah naungan mereka. Oleh itu, dalam
ayat yang lain, sejarah adalah jalan yang menjadi landasan dalam memeilih pemimpin
yang jujur, berani, adil dan berkebolehan memimpin. Betapa besarnya peranan sejarah itu
dalam sesebuah negara dan masyarakat, tetapi ramai yang tidak sedar. Ini kerana,
pemimpin memaimkan peranan penting dalam memacu negara dan rakyat, agar tidak
membawa negara kearah kehancuran dan kebinasaan negara itu. Contoh yang dapat
dilihat ialah, negara Jerman dan pemimpinnya, Hitler yang membawa negara dan rakyat
itu kearah perang dan kemusnahan yang memberi kesan sehingga hari ini. Kesalahan
meletakkan pemimpin yang betul dan waras akan mengelakkan berlakunya berbagai-
bagai perkara yang tidak sepatutnya terjadi dari berlaku, seperti kepimpinan Jepun yang
mengikut emosi tanpa pertimbangan, hingga negara itu diheret kepada perang dan
mengakibatkan dua bandar utamanya hancur sama sekali. Demikianlah betapa
berperanannya sejarah yang mempunyai berbagai kegunaan dan manfaat terhadap
sesebuah negara dan bangsa, termasuk individu itu sendiri. Memang benarlah sejarah
sebagai ilmu masa silam yang amat penting, kerana kesejahteraan mampu lahir hasil
manusia menjadikannya sebagai teladan dan sempadan bagi individu, bangsa dan
negara serta agama tercinta.
Pendapat Pengulas
Setelah diterangkan akan segalanya mengenai kepentingan sejarah terhadap
manusia dan negara, dapatlah dinyatakan mengenai pendapat pengulas mengenai isu-isu
yang dibangkitkan oleh penulis artikel ini. Mengenai isu satu, dibawah tajuk
kepentingan sejarah teradap manusia, pengulas bersetuju dengan penulis mengenai
manusia secara fitrahnya sangat tertarik dengan masa lalu terutama tentang diri, keluarga,
negara dan agama individu itu. Demikian juga, pengulas bersetuju mengenai sejarah
sebagai sumber yang abstrak dan nyata didalam kehidupan manusia. Ini kerana tidak
dapat dibayangkan hidup tanpa masa lalu sebagai panduan dan kenangan sepanjang hidup
manusia. Sehubungan itu, adalah tepat mengenai gambaran penulis tentang hubungan
sejarah dengan manusia didalam kehidupan manusia itu sendiri. Natijah dari
perbincangan ini, dapatlah disimpulkan bahawa sejarah amat penting dan
mempengaruhi manusia disegala aspek, kerana yang bersejarah itu adalah manusia itu
sendiri. Begitu juga mengenai pandangan pengulas mengenai kepentingan sejarah
terhadap negara, dan hubungan diantara keduanya. Sejarah yang membabitkan negara
ini dilihat sebagai berulang-ulang antara tamadun-tamadun yang secara bergilir-gilir
menguasai dunia dan khazanahnya. Sejarah yang membuktikan tiada yang kekal dalam
pembangunan manusia, kerana ia adalah hukum Tuhan atau Sunnatullah yang menjadi
ketetapan bagi manusia, demi kesejahteraan mnusia itu sendiri. Segala yang terjadi pasti
terdapat pengajaran dan hikmah dari Tuhan yang mentadbir segalanya, termasuk sejarah
itu sendiri. Begitu juga peranan sejarah didalam proses pemilihan pemimpin, dalam
memastikan pemimpin yang dipilih itu dapat menjalankan pemerintahan dengan
cemerlang dan gemilang, serta tidak membawa negara dan rakyat kearah kehancuran,
sebaliknya membawa keamanan yang hakiki. (bukan keamanan yang dibawa oleh para
ratu cantik dunia yang menjelajah seluruh dunia mengatakan “world peace”, tapi tidak
membawa sebarang kebaikan, bahkan tidak berkesan menghalang Amerika dan Israel
meneruskan peperangan dan keganasannya). Dengan kebernasan pendapat penulis, saya
sebagai pengulas juga, bukan sahaja bersetuju, bahkan turut menyokong apa yang
dikatakan sebagai sejarah yang memainkan peranan yang penting, didalam kehidupan
seseorang manusia dan sesebuah negara yang bertamadun.
Sokongan
Perancangan amatlah penting untuk memastikan masa depan terjamin dan hidup didalam
sentosa sentiasa. Namun, perancangan hanya perancangan, kerana yang menentukan
perjalanan hidup kita adalah Tuhan Yang Maha Esa, adakalanya ketentuan Tuhan
menyebabkan kita menderita, atas nama ujian Tuhan yang pasti membalas dengan
balasan yang baik di sisi-Nya. Namun, kita sebagai hamba sangat dituntut untuk berusaha
mengubah nasib diri dan keluarganya untuk memperbaiki ke arah yang lebih baik, dan
sejarahlah sebagai landasan untuk keluar dari hidup sengsara yang membelenggu. Sejarah
dengan manusia sangat mempengaruhi antara satu sama lain, sehingga banyak skop yang
dapat disentuh dan dikupas. Membincangkan tentang sejarah yang diselewengkan ini,
terkenang pula cerita dari anak benua India, dimana didalam satu pilihanraya, kerajaan
yang pro-Hindu telah menang besar dan cukup anti dan benci terhadap Islam, sama ada
agama, bangunan bersejarah Islam, mahupun masyarakat Islam di India itu sendiri.
Kemuncak kebencian itu, dapat dilihat dengan keengganan kerajaan itu untuk mengiktiraf
sumbangan dan mengakui pemerintahan Islam yang telah berlangsung selama beberapa
abad yang lalu didalam buku teks sekolah di negara itu. Bahkan, ia menonjolkan
maharaja-maharaja Hindu sebagai raja yang baik, adil dan banyak meninggalkan
sumbangan dan membina bangunan-bangunan yang megah di India, termasuk
mengatakan Taj Mahal dan bangunan Islam yang lain sebagai kepunyaannya. Ini
dilakukan untuk menghalang generasi baru dari menganggap negara itu sebagai negara
Islam dan mencantikkan sejarah negara tanpa pengaruh kuasa Islam. Kejadian ini
menimbulkan kemarahan umat Islam di India dengan alasan kerajaan India mahu
menghapuskan masyarakat Islam. Akhirnya, peristiwa itu senyap tanpa ada pembetulan
dan maaf dari parti kerajaan itu. Ini membuktikan sejarah amat penting hingga
kandungan buku teks sekolah digubal semula bagi memastikan generasi baru tidak
faham peristiwa sebenar, dan kepentingan parti itu tercapai dengan menipu sejarah.
Sebenarnya tindakan itu hanyalah mempamerkan perbuatan keji, pengecut dan kejam
kerana akhirnya orang tetap akan mengetahui kepalsuan dan kebenaran yang sejati.
Proses kitaran itu juga menunjukkan hidup sesebuah negara itu berada dalam pusingan
yang tidak putus-putus, dimana sistem pemerintahan yang lain pula akan menjalani dan
mengalami kitaran tersebut. Hakikat yang boleh diterima disini ialah sejarah itulah yang
berulang, bukan tamadun atau bangsa itu. Contoh yang boleh dilihat ialah pada rakyat
tamadun China suatu ketika dahulu sewaktu mengguna sistem maharaja, berbagai
keturunan mengganti pemerintahan yang bersandarkan kepada tanda-tanda kemarahan
Tuhan (banjir, kemarau dan kemelesetan ekonomi) dan kebangkitan keturunan lain, lalu
rakyat akan memberontak dan mengguling pemerintah, menggantikan dengan keturunan
yang baru dengan menggunakan sistem pemerintahan yang sama, iaitu sistem maharaja.
Dalam merenung tentang konsep sejarah yang berulang itu, kita lihat pula sesebuah
negara itu adalah suatu entiti yang mempunyai sistem politik, ekonomi, agama dan
kerajaan serta penduduk yang menghuninya. Wujud suatu penerusan didalam
lingkungan sejarah, bahawa pergerakan dan peristiwa yang berlaku disepanjang sejarah
perkembangannya adalah berulang-ulang. Berbagai contoh dapat dilihat dari berbagai
tamadun, termasuk tamadun Islam semenjak kelahirannya pada zaman Nabi Muhammad
s.a.w hingga zaman malap Bani Uthmaniyah, adalah sama dengan kewujudan tamadun-
tamadun dunia yang lain. Kemunduran tamadun Islam itu pula disebabkan oleh
kebangkitan bangsa dari Barat yang mengambil alih peranan kuasa besar dunia dengan
memegang politik, ekonomi dan organisasi sosial masyarakat dunia. Dan hari ini, dapat
pula kita lihat ambang permulaan kejatuhan empayar barat yang pasti runtuh, dengan
diganti oleh satu bangsa yang lain. Maknanya yang berulang hanyalah perkara yang
besar, tetapi tidak melibatkan perkara-perkara yang kecil. Oleh itu, dapat dirumuskan
bahawa sejarah memainkan peranan yang sangat penting dalam hidup matinya sesebuah
negara, bahkan negara itu akan gelap jika tidak memiliki sejarahnya yang tersendiri.
Rujukan : http://members.tripod.com/skypin/agama/index1.html
http://www.indomedia.com/serambi
http://www.fatimah.org/artikel/asyura.htm

You might also like