You are on page 1of 4

Soalan : Program 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran banyak memberikan manfaat kepada murid.

Huraikan manfaat tersebut kepada murid. Pendahuluan Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar 1 Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Sejajar dengan itu, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar 1Murid 1Sukan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Lantaran itu, pelbagai manfaat tersebut akan dihuraikan dengan lebih terperinci agar membawa kemaslahatan kepada semua kerana dasar ini adalah selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Isi 1. Aktiviti sukan dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah aktiviti sukan tersebut dapat mengisi masa lapang murid secara berfaedah kerana masa adalah amat berharga, bak kata cendekiawan, masa itu emas. Selain itu, dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan, mereka dapat mengelakkan gejala negatif daripada mempengaruhi mereka. Hal ini berlaku demikian kerana, kebanyakan murid yang terlibat dalam aktiviti yang kurang sihat selalunya dikaitkan dengan tindakan mereka yang suka membuang masa dengan siasia tanpa melakukan sesuatu aktiviti yang bermanfaat kepada mereka. 2. Mengharumkan nama sekolah dan negara Dasar ini membolehkan murid yang menceburkan diri secara serius dalam bidang sukan itu, dapat mengharumkan nama sekolah dan negara. Mereka dapat menyumbangkan bakat dan kemahiran mereka untuk mewakili sekolah dalam acara-acara tertentu dalam bidang sukan ini kerana jika bakat telah diasah maka keupayaan mereka akan diperkembangkan, bak kata peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Sebagai contohnya, mereka boleh menjadi pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, dan sebagainya. Dengan cara itu, mereka dapat menunjukkan bakat mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan negara. 3. Mewujudkan budaya yang sihat

Manfaat lain program ini dapat mewujudkan budaya yang sihat dalam kalangan murid sekolah. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini demikian kerana kerajaan sedar semakin ramai rakyat Malaysia yang mengabaikan sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian kerana sibuk mengejar masa bagai lipas kudung. Akibatnya, bilangan rakyat Malaysia yang mengidap masalah kegemukan dan obesiti semakin meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya tidak aktif dan mengidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka. Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1Murid 1Sukan memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk murid-murid yang cergas dan cerdas sepanjang masa. Perkara ini akan turut menyuburkan budaya suka bersukan untuk kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Dengan badan yang sihat, murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Hal ini demikian kerana, otak yang cerdas itu ada pada badan yang sihat 4. Menggalakkan penyertaan murid dalam sukan Seterusnya, dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan murid dalam sukan. Hal ini demikian kerana, setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang tidak berpeluang atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan yang diminatinya. Jadi, pihak sekolah perlu membuat perancangan sistematik, memaksimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran yang sedia ada dan mewujudkan kerjasama dengan agensi berkaitan dengan sukan agar penyertaan murid-murid secara total akan menjadi satu realiti, bak kata peribahasa, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. 5. Memupuk perpaduan kaum Selanjutnya, Dasar 1Murid 1Sukan berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 55 tahun kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan.

Semangat kerjasama dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Sehubungan dengan itu, mereka akan memahami budaya dan cara hidup kaum lain sehingga wujudnya hubungan yang intim antara satu sama lain bagai hempedu lekat di hati. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1Murid 1Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia. 6. Membangunkan modal insan Dasar 1Murid 1Sukan berupaya membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan berkeperibadian mulia agar murid-murid dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan murid-murid negara lain. Dengan kata lain, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah menengah. Walau bagaimanapun murid-murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini demikian kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara melalui sukan. 7. Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi, persis kata peribahasa, belakang parang, kalau diasah lagikan tajam. Murid boleh menyertai lebih dari satu sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa kini, sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di persada antarabangsa. Kejayaan beberapa ahli sukan negara kita seperti Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan seharusnya diteruskan.

8. Memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal Seterusnya, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi ulat buku kerana terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Masa yang ada diisi dengan mengikuti kelas-kelas tuisyen di luar sekolah demi memastikan diri mereka mampu bersaing dengan rakan-rakan dalam bidang akademik. Bagi golongan ini, aktiviti sukan hanyalah untuk pelajar-pelajar yang tidak cemerlang dalam bidang akademik seperti mereka. Lanjutan daripada senario ini, mereke lebih suka melayari internet dan berinteraksi dengan kawan-kawan melalui laman web sosial apabila ada masa lapang daripada turun ke padang dan gelanggang untuk bersukan. Penutup Konklusinya, Dasar 1 Murid 1 Sukan membawa banyak kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu dalam sistem pendidikan yang banyak manfaatnya. Sejajar dengan itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni kerajaan ini. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid 1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap samba lewa, bak kata pepatah, sekadar melepaskan batuk di tangga. Sekiranya usaha ini tidak digerakkan dengan betul dan sempurna, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama dalam hal ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap lebih banyak ahli sukan yang bertaraf dunia akan dilahirkan pada masa akan datang. Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti. Majulah Sukan Untuk Negara

You might also like