You are on page 1of 6

Analisis Politik Semasa:

Politik Malaysia Ke Mana Arahnya ?

(Ucapan Dasar yang disampaikan dalam Forum di atas di PKNS pada 26 April 2009)

Pendahuluan

Membicara ke mana arahnya politik Malaysia memerlukan penelitian terhadap situasi


politik semasa. Penelitian seharusnya melibatkan corak dan kecenderungan parti-parti
politik semasa, pimpinan dan pihak-pihak berkaitan dengan politik, baik dari kalangan
pemerintah atau lawannya. Darinya dapat ditelah ke mana arahnya. Situasi politik
sekarang dapat dikatakan adalah `Hangat dan Mencabar`.

Masalah Barah Rasuah

Dapat dikatakan hangat kerana banyak isu-isu besar dan semasa berlaku. Kedua-dua
pihak sama ada kerajaan UMNO-BN dan Kerajaan Menunggu - Pakatan Rakyat (PR)
sekurang-kurangnya menghadapi dua cabaran. Kedua-dua pihak seharusnya berusaha
bagi mengatasi cabaran pertama dan berlomba-lomba bagi mengatasi cabaran kedua iaitu,
menampilkan kewibawaan masing-masing bagi memenangi hati rakyat
Dilihat kepada cabaran pertama bagi pihak kerajaan, banyak pertanda menunjukkan
politik pemerintah di dalam keadaan sakit akibat dari berbagai simpton.
Paling parah oleh barah rasuah yang ketara berlaku. Isu ini terbawa kepada pemilihan
Mesyuarat Agung UMNO 2009 dan tahun-tahun sebelumnya. Bagi tahun 2009 ada
tokoh-tokoh yang ditolak pencalonan dan ada yang diberi amaran. Ada yang disabitkan
rasuah, tapi masih kekal berkedudukan. Tiada persempadanan nilai yang jelas dan
keadaan menjadi bercelaru dan keliru. Amalan barah rasuah ini bukan kali pertama, tetapi
telah menjadi budaya politik UMNO-BN, tetapi tindakan kali ini lebih tegas, tetapi
bercelaru. Bayangkan betapa selama ini Negara diterajui pemimpin-pemimpin barah
rasuah. Falsafah mudah mereka `Politik Peluang Menghimpun Kekayaan dan
Kedudukan`. Sebab itu raihlah berbagai kesempatan bagi mendapat kedudukan di dalam
politik hatta melibatkan `Politik Wang`. Melalui politik juga terbuka peluang pulangan
kewangan. Peluang projek pembangunan Membela Rakyat adalah peluang mendapat
manfaat, sebahagian kecil peruntukan mengalir kepada rakyat, tapi yang lebih besar
disunglap. Ada usaha sebelum Tun Abdullah Ahmad Badawi mengundur diri memerangi
rasuah, tetapi keberkesanannya dapat dipersoalkan. Selepas pengundurannya tiada
peningkatan penekanan. Sakit barah rasuah ternyata tidak berkurangan sembuh. Dalam
diam-diam makin merebak dan mengancam.

Pencabulan Undang-Undang

Cabaran yang merupakan Penyakit kedua UMNO-BN berhubung dengan Perundangan


Negara. Sebelum pilihanraya ke 12 pada Mac 2008, isu yang hangat digunakan Pakatan
Rakyat (PR) ialah tentang kredebiliti perundangan Negara. Mungkin kes Lingam masih
segar di dalam ingatan. Kes yang membongkar pendustaan terang-terangan dari pihak
lawyer membawa kepada bekas-bekas hakim Negara amat mengejutkan. Negara malu
dan dunia mentertawakan perundangan Negara.
Adakah keyakinan pada kredebiliti perundangan dapat dikembalikan ? Tidak !
Kes pencabulan undang-undang dan keruntuhan Kerajaan Negeri Perak bukti jelas
dapat diketengahkan. Kita gunakan `keruntuhan`. Kerana kerajaan sah dipilih rakyat
diruntuhkan secara rampasan (6 Februari 2009). Kuasa Speaker tidak dihormati (contoh
penggantungan Menteri Besar dan 6 Exco lain dari menghadiri Sidang Dewan pada 18
Feb. 2009), berlaku keruntuhan perundangan apabila pihak executive kerajaan mengarah
dan menguasai secara tidak sah terhadap pihak legislative. Mutakhir mereka memanggil
mesyuarat DUN pada 7 Mei 2009 tanpa melalui Speaker yang sah dan tanpa menunggu
keputusan mahkamah tentang siapakah Menteri Besar yang sebenar dan sah di Perak..
Walau apa pun penghujung bagi episode politik Perak ini, sama ada kuasa dikembalikan
kepada Nizar Menteri Besar Perak dan PR yang dianggap pihak berkuasa yang sah atau
pihak UMNO-BN meneruskan kekuasaan dengan apa cara, sebenarnya pada hakikatnya
pihak UMNO-BN sedang menggali kuburnya sendiri untuk dikebumikan pada
pilihanraya ke 13 akan datang yang kesannya dijangka berlaku ke luar dari Perak. Mereka
mungkin dalam masa terhad mendapat untung sekarung secara haram, tetapi ruginya
berterusan berguni-guni.

Kes Fairuz dan Perundangan

Satu contoh permainan politik kotor. Dalam usaha BN untuk menjatuhkan kerajaan
Pakatan Rakyat seperti di Perak, kerja ini dilakukan juga seperti di Selangor, Kedah dan
Pulau Pinang. Mutakhir di Pulau Pinang Mohammad Fairuz Khairuddin Timbalan Ketua
Menteri Pulau Pinang dituduh terlibat dengan rasuah. Bagi menjaga nama baik parti dan
Kerajaan PR Fairuz mengumumkan perletakan jawatan sebagai ADUN Penanti, selepas
ianya meletakkan jawatan dari Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, sebab itu
pilihanraya kecil terpaksa diadakan. Datuk Seri Najib yang baru mengambil alih teraju
kepimpinan Negara sebagai Perdana Menteri, menyedari pihak UMNO-BN terperangkap
dengan perangkap yang mereka pasang dan menyedari kemungkinan besar UMNO-BN
tidak akan memenangi kerusi Penanti, Beliau telah membayangkan UMNO-BN tidak
akan bertanding di Penanti atas alasan pembaziran. Satu kenyataan yang mengejutkan,
kerana selama ini tidak pernah UMNO-BN sebagai pemerintah takut dan pengecut
sedemikian rupa. Ketakutan ini timbul berikut dari kegagalan UMNO-BN memenangi
sebarang kerusi pilihanraya kecil di Semenanjung selepas pilihanraya ke 12 bermula dari
Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Penanti bakal
menanti tambah memalukan UMNO-BN seterusnya. Tarikh penamaan calon pilihanraya
kecil Penanti diumumkan pada 23 Mei dan tarikh pembuangan undi pada 30 Mei (setakat
ini UMNO masih belum membuat keputusan). Apa yang mau dibangkitkan di sini
sebelum tarikh penamaan calon dan mengundi diumumkan, tiba-tiba 23 April
diumumkan oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa Fairuz bersih
dan tidak ada asas yang kukuh bagi pendakwaan rasuah terhadap beliau. Dengan
pengumuman ini tidak ada pihak berhak melarang mereka yang berfikiran waras
membuat spekulasi. Apakah pihak berkuasa membuat arahan supaya dikaji kes Fairuz
sehingga dibuat pengumuman sedemikian dengan harapan Fairus menarik balik
perletakan jawatan dan dengan ini dapat menyelamatkan maruah UMNO-BN dan
kepimpinan Datuk Seri Najib. Pertanyaan juga timbul tentang kebebasan Suruhanjaya
Pencegah Rasuah Malaysia (direformkan sejak April 21 2009) dan juga SPR di dalam
menjalankan tugas. Walau bagaimana harapan UMNO-BN (Datuk Seri Najib) ini tidak
berlaku. Fairuz mempertahankan kredebiliti dan maruah dan tidak menjilat apa yang
diludah.Dia tetap meletakkan jawatan. Dia berhak mengambil tindakan undang-undang
terhadap mereka yang memfitnah dan memalukannya. Tabik dan hormat pada Fairuz. Dia
mempertahankan maruah dirinya. Nampaknya jerat yang dipasang menjerati UMNO-BN
dan tembelang terbungkar.

Masalah Sosial

Cabaran yang merupakan Penyakit ketiga kepada UMNO-BN yang tidak kurang
kroniknya melanda Negara yang melibatkan orang politik membawa kepada orang awam,
ialah penyakit sosial yang melibatkan jenayah dan moral. Kes penangkapan dan hukuman
terhadap penjenayah dadah perkara biasa, mereka yang terlibat di dalam penyalahgunaan
dadah berterusan meningkat, pembunuhan, rogol, ragut dan rompak terus meningkat dan
menjadikan rakyat di dalam ketakutan dan hidup tidak tenteram. Satu survey yang
dilakukan menunjukkan 38% daripada yang merisaukan rakyat ialah penyakit sosial
yang termasuk di bawahnya jenayah (The Star, 12 Feb 2008: 1).
Inilah keadaan yang dihadapi rakyat di bawah pemerintahan UMNO-BN. Bagi
memulihkan kepercayaan rakyat mereka perlu berusaha membersihkan diri mereka
terutama dari segi rasuah, pencabulan perundangan dan masalah sosial dan moral yang
melibatkan pihak tertinggi membawalah kepada rakyat. Cabaran pembersihan ini tidak
mudah dilaksanakan. Ianya memerlukan pendekatan yang komprehensif dan praktis.Jika
ini tidak dapat diatasi, maka rakyat akan terus menolak UMNO-BN di dalam mana-mana
pilihanraya akan datang.

Kerajaan Menanti Pakatan Rakyat (PR) –Cabaran Dalaman

Bagi PR mereka juga tidak kurang dari cabaran permasalahan yang dihadapi sama ada
yang bersifat dalaman dan luaran.
Cabaran dari segi dalaman PR yang diwujudkan bagi menentang UMNO-BN dalam
pilihanraya ke 12 dan di luar dugaan memenangi lima buah negeri. Pakatan yang terdiri
dari tiga parti yang berlainan ideologi – Islam , Keadilan dan Demokratik ini sehingga
kini masih belum duduk dan membincangkan titik persamaan dasar dan landasan
perjuangan. Mereka masih belum mampu mengenengahkannya kepada rakyat secara
jelas. Sebaliknya ada pimpinan membuat kenyataan dan cabaran bercanggah yang
menggugat kekukuhan pakatan. Sokongan dan pemilihan yang dibuat oleh rakyat lebih
kerana, tiadanya alternative lain dan adanya tawaran yang lebih baik dari PR berbanding
dengan UMNO-BN. Jika tindakan memperkasakan pakatan dari segi ideologi dan
matlamat perjuangan tidak diambil dan pihak yang memerintah negeri mengambil
pendekatan bersendirian, akan membawa kepada ketidakselarasan dan kecelaruan yang
boleh menggugat parti dan pemerintahan.

Dari satu segi PR yang lebih merupakan ikatan luar dan bukan dalaman, maka kita dapati
ikatan di dalam PR itu agak rapuh. Pendukungnya juga rapuh dari segi prinsip perjuangan
dan komitmen. Ini jelas dari apa yang berlaku di Perak. Oleh kerana tiada prinsip dan
komitmen, jauh dari akidah dan jihad, maka antara ahli-ahli dari PR sanggup melompat
dan keluar parti yang mengakibatkan berlakunya kecelaruan pemerintahan dan
perundangan. Sememangnya setakat ini tiada usaha latihan bersepadu bagi mengukuhkan
parti-parti dan tarbiyah ahli-ahli. Jika ini terus diabaikan maka PR akan terus terdedah
kepada ancaman dari kesetiaan ahli dan kemantapan parti. Dari sudut ini PAS mempunyai
kedudukan yang kukuh dari segi ideologi, prinsip, akidah, jihad, tarbiyah dan amanah.
Sebab itu tidak ada berlaku perlompatan dalam parti dan tidak ada – setakat ini mereka
yang disabitkan dari segi rasuah dan penyelewengan. Ini adalah asset yang penting bagi
PAS. Atas dasar kejujuran ini rakyat berbagai kaum memeberi sokongan kepada PAS.
Contoh ideologi, prinsip dan komitmen ahli di dalam PAS ini patut diterapkan ke dalam
PR.

Cabaran Luaran

Cabaran dari segi luaran terhadap PR ialah usaha berterusan dari pihak lawan – UMNO-
BN menggugat kestabilan politik dan pemerintahan negeri-negeri yang diperintah PR. Ini
menyebabkan terganggu kelicinan pemerintahan dan terpaksa memberi tumpuan
menghurai dan menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh pihak lawan. Contoh yang
jelas angkara yang dilakukan oleh UMNO-BN di Perak, ianya bukan setakat menggugat
dan membawa kepada perampasan kerajaan negeri Perak. PR terpaksa berhempas pulas
bagi mempertahanakan kerajaan dan kedudukan dari segi perundangan dan kekuasaan.
Begitu banyak tenaga, masa dan kepakaran yang terpaksa digemblingkan. Keadaan yang
sama cuba ditimbulkan di negeri Selangor. Contoh dari kes pembelian lembu untuk Idul
Adhha, pembaikan dan service kereta Lexus Menteri Besar, Isu Elizabeth Wong dan
sebagainya. Banyak masa terpaksa digunakan bagi menjawab dan menyelesaikan apa
yang sengaja ditimbulkan oleh pihak lawan. Keadaan yang sama ditimbulkan oleh pihak
lawan dari isu Mohammad Fairuz Khairuddin di Pulau Pinang. Isu ini nampaknya
memerangkap pihak UMNO-BN itu sendiri.

Pihak lawan juga mengexploitasi isu cadangan `Kerajaan Perpaduan` dari PAS dan
geloranya juga tidak kurang timbul dari kalangan pendukung PAS. Pendapat dominant
dalam PAS, bahawa Pas tidak seharusnya turun menghulur tangan kepada lawan yang
banyak masalah sebagaimana dihuraikan di atas, bagi mewujudkan `Kerajaan
Perpaduan`. Implikasi segera bererti kita membelakangi pakatan dan tidak jujur terhadap
amanah yang diberi rakyat yang boleh menyebabkan mereka menarik sokongan terhadap
PR, khususnya PAS. Apa yang seharusnya dilakukan di atas kepercayaan yang diberi oleh
rakyat dari berbagai kaum hendaklah dipertingkatkan kepercayaan ini. Apa yang perlu
diusahakan, khususnya oleh PAS ialah menarik sokongan orang Melayu dari UMNO
kepada sokongan dan kepercayaan terhadap PAS. Bermaksud hendaklah diusahakan agar
ahli UMNO menjadi ahli PAS. Walaupun cadangan `Kerajaan Perpaduan` ini telah
ditarik balik oleh PAS, tetapi pihak lawan masih mengexploitasi isu ini dan menuduh
PAS sebagai mementingkan diri sambil mereka melaga-lagakan antara pimpinan PAS.

Walau bagaimana antara isu-isu yang dihadapi oleh kedua pihak, pihak UMNO lebih
berat dan mencabar. Mereka hendaklah menunjukkan kesungguhan membasmi rasuah
dan membuktikan kepada rakyat tidak lagi berlaku rasuah. Mereka juga perlu
membersihkan dari berlaku penyelewengan perundangan dan pembasmian dari gejala
sosial. Semuanya ini tidak mudah dilaksanakan.

Masa Depan

Selain dari kedua pihak mempunyai masalah dan cabaran masing-masing. Kedua-dua
pihak perlu menghadapi ujian masa depan. Berdepan dengan rakyat dan berlumba
menawarkan apa yang terbaik yang boleh memikat rakyat menyokong UMNO-BN atau
PR.

Berdasarkan trend yang lepas, tiap kali bertukarnya pimpinan Negara, maka berlakunya
pertambahan sokongan kepada pimpinan baru kerana ada harapan baru dan perubahan
positif yang ditunggu oleh rakyat. Tetapi pertukaran kali ini agak berlainan. Pilihanraya-
pilihanraya kecil tidak berpihak kepada pimpinan baru. Ini barangkali masalah-masalah
yang ada pada pimpinan, masalah di dalam UMNO-BN dan pemerintahan UMNO-BN
pada peringkat negeri-negeri menenggelamkan keyakinan dan harapan rakyat.

Di dalam hal ini perlumbaan bagi masa depan lebih terbuka. Apa yang lebih mencabar
bagi PR, ialah usaha pihak UMNO-BN membariskan pimpinan baru (lama+baru) yang
mungkin melahirkan dinamika baru yang mampu membawa pembersihan dan perubahan
yang meyakinkan rakyat. Sebab itu pihak PR perlu menyediakan saf yang mantap,
bersatu, mempunyai visi dan misi yang dinamik dan praktik dan mampu melebihi apa
yang ditawarkan oleh UMNO-BN. Walaubagaimana walaupun ada perubahan
kepimpinan, mutakhir kita melihat ada masalah kepimpinan pada pihak UMNO-BN, baik
pada peringkat kabinet, pemuda dan negeri. Sudah tentulah ini menjadi hambatan bagi
peningkatan imej UMNO BN itu sendiri.

Cetusan

Bagi mencetuskan satu kesegaran dan dinamika baru bagi misi dan visi perjuangan
UMNO-BN, Datuk Seri Najib menampilkan slogan `Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan`. Berbagai pihak telah membincang dan menghuraikan slogan
yang agak panjang ini. Ianya tidaklah begitu significant dan bukan satu yang segar dan
asli. Konsep `Rakyat` turut diciplak dari PR. Slogan inilah mulai dijadikan ungkapan bagi
semua konsepsi dan gerakerja UMNO BN.

Menandingi slogan Datuk Seri Najib ini, bagi PR, istilah `Pakatan ` itu sendiri
mempunyai significant dan ianya dapat dihuraikan secara mendalam dari segi falsafah,
budaya dan kata-kata adat. Misalnya `Sepakat Bertambah Berkat`, maksud dari sepakat
seperti `Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, hati gajah sama dilapah, hati kuman
sama dicecah, ke bukit sama di daki, ke lurah sama dituruni. Manakala istilah `Rakyat`
lebih significant dan dapat dihurai secara panjang lebar seperti `Merakyatkan Ekonomi`
sebagaimana digunakan di Selangor, `Dari Rakyat, untuk Rakyat dan Kerana Rakyat` dan
berbagai-bagai lagi dapat dihuraikan yang dapat disesuaikan dengan Islam, budaya dan
falsafah. Ianya juga dapat disesuaikan dengan budaya orang Cina dan India. Pendeknya
Pakatan Rakyat jauh lebih dalam dari apa yang diutarakan oleh Datuk Seri Najib. Apa
yang perlu PR menterjemahkannya kepada dasar dan gerakerja yang bersifat praktikal.

Bagi UMNO-BN dan Negara yang yang mempunyai kepimpinan yang baru, mereka
sudah tentulah menggerakkan tenaga dan pemikir mereka mencetuskan berbagai
cadangan dan pendekatan di dalam berbagai bidang bagi membawa pembaharuan dan
perubahan yang drastic bagi mendapat keyakinan rakyat. Sebagai contoh pendekatan
`Leberalisasi Ekonomi`, `Pendidikan Pragmatik` `Pentadbiran Berkualiti` Modenisasi
berbagai bidang dan berbagai lagi. PR juga seharusnya mempunyai kelompok pemikir
mengkritik apa yang diutarakan pemerintah sekiranya tidak sesuai, mengutarakan
pendekatan-pendekatan di dalam berbagai bidang dan dipraktikkan di dalam perjalanan
parti dan kerajaan yang dikuasi Pakatan seperti `Merakyatkan Ekonomi`, `Merakyatkan
Pendidikan`, `Pakatan Kebajikan` , Takaful Pakatan`, `Sukan Rakyat` `Jiran Sepakat` dan
berbagai-bagai lagi. Pendeknya Pakatan Rakyat jauh lebih significant dan menarik untuk
dicoinkan slogan-slogan yang menarik dan dipraktikkan dari segi amalan ke tengah
masyarakat..

Tempoh Crucial

Pendek kata, tempoh masa sebelum pilihanraya ketiga belas adalah tempoh crucial bagi
kedua belah pihak menampilkan wawasan, cadangan dan amalan yang dapat menarik
sokongan rakyat. Dalam masa UMNO-BN terpaksa berhempas pulas membersih diri dan
dijangka tidak mampu menampilkan kemajuan ekonomi dan pembangunan secara ketara
kerana kegawatan ekonomi dunia dan Negara, PR hendaklah mengambil kesempatan
dengan gagasan-gagasan dan cadangan yang lebih segar dan menarik rakyat berpihak
kepada PR. Jika trend kemerosotan sokongan rakyat berterusan dialami UMNO-BN dan
PR mampu menarik sokongan semua kaum dengan gagasan-gagasan yang praktik, maka
adalah dijangka PR mengatasi UMNO-BN dan akan memerentah Persekutuan dan
negeri-negeri selepas pilihanraya ketiga belas nanti. PR tidak boleh menunggu kepada
tempoh lain dari sebelum pilihanraya ke 13. Sebarang penangguhan memberi peluang
UMNO-BN pulih dan bangkit, maka ketika itu peluang bagi PR makin menyempit. Sebab
itu bertindak dari sekarang, semoga kemenangan bagi PR. Insya Allah.

Sekian.

Dr. Shafie Abu Bakar


Bangi.

01 Jamadil Awal 1430


26 April 2009.

You might also like