You are on page 1of 22

POLITIK PERMUAFAKATAN: BERKESANKAH DALAM MENGEKALKAN KESTABILAN POLITIK DI NEGARA MAJMUK?

PENGENALAN Politik konsosiasional (baca permuafakatan) merupakan amalan sistem politik yang digunakan oleh kebanyakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Kajian Lijphart (Lijphart) (1968) di negara-negara maju seperti, Belanda, Austria dan Switzerland mendapati sistem politik permuafakatan ini terbukti berjaya dalam mengekalkan kestabilan politik dan juga kemakmuran ekonomi. Di negara sedang membangun, kajian Nordlinger (1977) di 77 buah negara yang mempunyai kepelbagaian masyarakat juga mendapati sistem politik ini telah berjaya dalam mengekalkan kestabilan politik. Antara lain, Lijphart menamakan Surinam, Cyprus dan Malaysia sebagai negaranegara dunia ketiga yang berjaya dalam mengadakan permuafakatan ini. Assignment ini akan membincangkan tentang praktik politik permuafakatan di negara yang sedang membangun dan sejauh manakah sistem ini dapat mengekalkan kestabilan politik di negara berkenaan. Bagi memfokuskan perbincangan kepada tajuk yang sebegini luas, maka analisis akan hanya ditumpukan kepada pengalaman Malaysia sahaja. Ini kerana Malaysia, sebagai sebuah negara majmuk juga mengamalkan politik permuafakatan dalam pemerintahannya. Malaysia sebagai negara yang mempunyai aneka ragam budaya, bahasa, kepercayaan dan cara hidup sentiasa mendapat perhatian daripada sarjana-sarjana politik yang berminat untuk mengkaji perkembangan politik di negara-negara membangun. Milne dan Mauzy (1978:3) berpendapat politik di Malaysia adalah berkait rapat dengan keanekaragaman struktur masyarakat. Kata mereka:

the racial composition of Malaysia is the key to understanding the whole picture. It dictates the pattern of the economy, has helped to shape the constitution, and has influenced the democratic process and the party system.1 Justeru kerana masyarakatnya yang heterogenous, maka sistem politik Malaysia adalah unik. Ini kerana Malaysia, sejak merdeka hingga kini diperintah secara muafakat antara tiga parti etnik yang utama iaitu Melayu (UMNO), Cina (MCA) dan India (MIC). Kerjasama antara parti-parti perkauman ataupun apa yang digelar oleh ahli-ahli sains politik sebagai permuafakatan (consociational) ini adalah penting demi untuk menjamin kestabilan politik negara. Dengan menggunakan teori politik permuafakatan Lijphart, esei ini akan menganalisis teori tersebut dalam konteks politik Malaysia sejak merdeka sehingga kini. Persoalan yang hendak diberi tumpuan ialah bagaimanakah sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk boleh mengekalkan kestabilan politik dan mengelak dari berlakunya rusuhan kaum? Dalam menjawab persoalan ini, tumpuan akan hanya diberikan kepada ciri pertama demokrasi permuafakatan iaitu perkongsian kuasa ataupun kerjasama antara kaum sahaja.

http://www.jstor.org/pss/2642976

TEORI POLITIK PERMUAFAKATAN Teori politik permuafakatan diperkenalkan oleh Lijphart pada tahun 1967 di Kongres Pertubuhan Sarjana-sarjana Sains Politik Sedunia di Brussels. Dalam teorinya ini, Lijphart menghujah satu persoalan: bagaimanakah caranya untuk menstabilkan politik negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Hasil kajiannya ke atas negara-negara yang mempunyai masyarakat majmuk, Lijphart mendapati caranya ialah melalui politik permuafakatan. Mengikut Lijphart, terdapat empat ciri utama untuk menjayakan konsep politik permuafakatan (Lijphart 1969: 208-9). Ciri-ciri tersebut ialah:

1. Perkongsian kuasa yang memerlukan penglibatan tiap-tiap pemimpin kumpulan etnik dalam eksekutif. Dalam hal ini pemimpin-pemimpin politik dari tiap-tiap kumpulan etnik mestilah bersedia untuk berkompromi antara satu sama lain. Mereka mesti mampu untuk berkompromi dalam membuat sesuatu keputusan tanpa kehilangan sokongan dari kumpulan etnik mereka. Jika syarat-syarat ini berjaya dipenuhi, maka potensi untuk mengekalkan sebuah kerajaan demokratik akan tercapai. 2. Autonomi segmental bagi membolehkan tiap-tiap kumpulan menentukan isu-isu utama kaum mereka, biasanya yang melibatkan pendidikan, bahasa dan budaya. 3. Proposionaliti bagi membolehkan tiap-tiap kumpulan memilih secara berkadar peruntukan kumpulan mereka untuk tabung awam dan pelantikan dalam perkhidmatan awam. 4. Kuasa veto yang membenarkan tiap-tiap kumpulan mempertahankan kepentingan utama mereka.

Walaupun teori politik permuafakatan diterima oleh ramai pengkaji-pengkaji politik, terdapat juga pandangan yang menentang teori ini. Pandangan konvensional ini berpendapat demokrasi Westminster adalah lebih baik kerana ianya memberi kebebasan berpolitik kepada masyarakat. Pendokong-pendokong demokrasi ala-Westminster ini berpendapat teori Lijphart adalah tidak demokratik kerana ianya tidak menggalakkan adanya pembangkang untuk mengkritik dasar-dasar kerajaan. Pada mereka, tugastugas check and balance ini tidak dapat dilakukan jika semua kumpulan etnik mewakili kerajaan. Justeru kerana politik permuafakatan banyak bergantung kepada konsep perundingan dan tawar-menawar, terutama sekali di peringkat elit dalam membuat sesuatu keputusan, maka ianya dikatakan bersifat oligarki, iaitu sebagaigovernment by elite cartel. Mereka juga berpendapat kuasa veto yang diberikan kepada golongan minoriti mendiskriminasikan keputusan majoriti. Proposionaliti pula dikritik kerana ianya membolehkan parti-parti kecil mempunyai wakil yang dilantik. Ini akan menghalang kekuatan kerajaan majoriti, manakala penggunaan proposionaliti dalam melantik kakitangan awam pula bermakna kerajaan menafikan pelantikan berdasarkan kepada merit. Jika ini berlaku, maka pentadbiran kerajaan akan menjadi kurang berkesan berbanding dengan pemerintahan majoriti. Mereka juga berpendapat demokrasi permuafakatan mengakui kewujudan kumpulan-kumpulan kecil dan ini akan menyebabkan sektarianisme menjadi semakin nyata dan jelas. Bagi sarjana-sarjana yang menyokong teori politik permuafakatan pula, mereka berpendapat bahawa teori ini adalah penting untuk menyatukan negara-negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Pemerintahan secara majoriti seperti di Ireland

Utara semasa Protestant berkuasa (1921-1972) telah menunjukkan bahawa kumpulan majoriti lebih mementingkan golongan mereka dengan mendiskriminasikan golongan minoriti (Huntington 1981). Keadaan ini menyebabkan berlakunya tentangan dari kumpulan minoriti dan seterusnya mengancam kestabilan politik. Melihat dari sudut ini, kritikan-kritikan dari pendokong model Westminster adalah tidak boleh dipakai. Walaupun model Westminter dianggapsuperior, rekod sebenarnya dalam masyarakat majmuk adalah disastrous. Ketiadaan prinsip proposionaliti dalam melantik wakil kerajaan misalnya, akan menyebabkan tiadanya wakil pembangkang langsung (seperti yang berlaku di Wilayah New Brunswick, Kanada pada tahun 1987). Jika di dalam sesebuah kerajaan tidak ada pembangkang, di manakah demokrasinya sistem itu? Selain dari itu, tidak ada bukti nyata menunjukkan bahawa negara-negara yang mengamalkan politik permuafakatan lebih mundur dari negara-negara demokrasi Westminter. Misalnya, tidak ada bukti yang boleh dipercayai bahawa kerajaan Switzerland adalah kurang berkesan berbanding dengan kerajaan Perancis ataupun proses politik di Belanda adalah lebih tertutup dari England (lihat Barry 1975: 479-50). Berkaitan dengan kritikan yang mengatakan politik permuafakatan boleh menyebabkan wujudnya sektarianisme yang bertambah nyata dan jelas, pendokong politik permuafakatan menjawabnya sebagai berikut. Adakah dengan mengikut demokrasi Westminter, sektarianismehomogenous? Mungkin anggapan ini benar jika ianya wujud di negara yang perbezaan masyarakatnya tidak nyata, tapi di negara-negara yang keanekaragaman masyarakatnya adalah jelas, ini tidak boleh diterima. Adalah satu pendapat yang salah untuk mengandaikan segmen masyarakat akan terhapus sekiranya

sistem demokrasi Westminter diamalkan. Ini boleh dilihat dari kes Ireland Utara. Walaupun Ireland Utara adalah negara demokrasi Westminter, sampai hari ini pun perpecahan masyarakat tidak dapat dibendung, malah perpecahan menjadi semakin nyata dan huru-hara berleluasa di negara tersebut. Apa yang gagal dilihat oleh pembelapembela demokrasi Westminter adalah cara-cara yang terbaik untuk mengekalkan kestabilan politik di negara-negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum. atau tahap kemajmukan masyarakat akan terhapus dan seterusnya menjadi Selepas memahami asas utama politik permuafakatan yang dikemukakan oleh Lijphart, maka perbincangan lanjut kertas ini adalah untuk menilai sejauh manakah amalan politik permuafakatan ini penting dalam mengekalkan kestabilan politik di negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Bagi menjawab persoalan ini, hanya pengalaman Malaysia sahaja yang akan dibincangkan.

POLITIK PERMUAFAKATAN: PENGALAMAN MALAYSIA SEBELUM 1969 Teori politik permuafakatan mengatakan kestabilan politik akan hanya tercapai jika elitelit dari berbagai segmen sosial bersetuju untuk bekerjasama. Di Malaysia, permuafakatan antara kaum bermula dengan terbentuknya Perikatan pada tahun 1952, bila dua parti utama, UMNO (Melayu) dan MCA (Cina) bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Dalam pilihan raya 1955, parti-parti ini sekali lagi bersetuju untuk bekerjasama, tetapi kali ini dengan memasukkan sekali MIC, parti India. Pemimpin-pemimpin dari ketiga-tiga kumpulan ini boleh bekerjasama kerana mereka berkongsi keyakinan dan kepercayaan antara satu sama lain. Tambahan pula, seperti kata Bedlington (1978: 87): ... they were rational and pragmatic, they were essentially conservative, they were drawn mainly from the English language schools and had many shared values and experiences, and they appreciated that direct electoral confrontation between unabashedly communal parties would be likely to lead to interethnic violence. Mengikut Tunku Abdul Rahman (1969: 26), terdapat tiga sebab utama mengapa Perikatan ditubuhkan. Pertama, kemerdekaan dari British adalah sangat-sangat diperlukan. British tidak akan memberikan kemerdekaan pada Malaya selagi orangorang Melayu tidak dapat bekerjasama dengan orang-orang bukan Melayu. Menyedari hakikat ini, maka pemimpin-pemimpin Melayu, Cina dan India mengambil keputusan untuk bersatu demi kemerdekaan Malaya. Kedua, darurat yang berlaku pada masa itu telah menguatkan idea untuk bekerjasama dalam usaha untuk menghadapi ancaman komunis. Ketiga, pengalaman UMNO, MCA dan MIC dalam menghadapi dua pilihan

raya bersama telah mengeratkan hubungan sesama mereka (lihat perbincangan lanjut dalam Ratnam 1965; dan Means 1970). Semangat kompromi di antara tiga kumpulan utama atau apa yang dipanggil permuafakatan ini adalah asas-asas utama Perikatan ditubuhkan. Dalam kerjasama ini, ketiga-tiga kumpulan bersetuju menerima tanggungjawab bersama untuk membangunkan negara. Untuk mengekalkan kestabilan politik, orang-orang bukan Melayu bersetuju menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi negara. Mereka juga bersetuju supaya kawasan persempadan pilihan raya disusun menyebelahi kawasan-kawasan luar bandar. Melalui kerjasama ini juga orang-orang Melayu akan menikmati berbagai-bagai keistimewaan. Antara keistimewaan-keistimewaan tersebut ialah keutamaan (dan quota) dalam perkhidmatan awam, khasnya dalam perkhidmatan tadbir dan diplomatik, hak simpanan tanah Melayu, keutamaan dalam mendapatkan lesen dan kontrak awam, biasiswa dan latihan. Rasionalnya hak-hak istimewa orang-orang Melayu ini adalah untuk membolehkan orang-orang Melayu bersaing dengan bukan Melayu (Cina dan India) dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Ini kerana berbanding dengan bukan Melayu, taraf sosioekonomi orang Melayu adalah jauh lebih mundur. Sebagai balasan kepada persetujuan bukan Melayu mengakui hak-hak istimewa orang Melayu, maka orang-orang Melayu bersetuju mengiktiraf taraf kerakyatan penuh kepada semua bukan Melayu yang lahir dan menetap di negara ini melebihi dari 15 tahun. Bukan Melayu juga diberi hak untuk melibatkan diri dalam politik dan juga hak untuk bergiat bebas dalam ekonomi. Selain itu, bukan Melayu juga diberi kebebasan untuk mengamalkan agama dan bahasa masing-masing. Kemunculan konsep tawar

menawar ini telah dianggap oleh Esman sebagai satu tawar menawar politik yang istimewa, satu penyelesaian berbentuk perpaduan yang boleh dimanfaat oleh semua parti, dan dalam kebanyakan hal melebihi dari apa yang dijangkakan oleh orang-orang bukan Melayu (Esman 1972: 76). Seperti yang telah dinyatakan, salah satu stail politik permuafakatan adalah kesediaan elit untuk bertolak ansur dalam membuat sesuatu keputusan yang berkaitan dengan isu-isu perkauman. Walaupun kadang-kadang ada ketegangan dalam membuat sesuatu keputusan, mereka tetap berusaha mencari penyelesaian dengan semangat penuh setiakawan untuk berbincang dan berunding. Sekali keputusan dibuat ianya dipertahankan oleh setiap ahli, sepertimana kata Goh Cheng Teik (1971: 34): The only answer lies in mesyuarat. Chinese and Indian political leaders must sit down with their Malay counterparts and talk, talk, talk. Since all of them have one common denominator they all are Malaysian they should be able to see each others view point and defend the time bomb. Stail politik permuafakatan ini juga dapat dilihat dari sistem pengundian. Sistem mengundi di Malaysia adalah berdasarkan kepada single member constituencies di mana setiap pengundi cuma mengundi seorang calon. Melalui sistem ini, Perikatan menaungi pengundi-pengundi Melayu, Cina dan India. Ini bermakna parti-parti komponen, selain dari mendapat undi dari kaum sendiri akan juga mendapat undi dari kaum-kaum lain yang disalurkan melalui Perikatan. Ini berbeza dengan parti-parti pembangkang seperti PAS dan DAP yang terpaksa menghadapi pilihan raya secara bersendirian dengan PAS hanya bergantung kepada undi Melayu dan DAP kepada undi bukan Melayu. Oleh itu

walaupun di kawasan yang majoriti pengundi Melayunya kurang, UMNO tetap berkeupayaan untuk mendapat kemenangan kerana selain dari mendapat undi dari orang Melayu, mereka juga mendapat undi dari kaum Cina dan India yang disalurkan melalui MCA dan MIC. Begitu juga dengan MCA dan MIC. Walaupun terpaksa bersaing dengan DAP di kawasan yang majoriti penduduknya bukan Melayu, mereka masih boleh menang dalam pilihan raya kerana mampu mendapat undi Melayu yang disalurkan melalui UMNO (lihat inter alia Enloe 1970; Vasil 1971; Chu Eh-Hung 1976; Ismail Kassim 1979; dan Crouch 1982). Keberkesanan strategi politik Perikatan dalam sistem pengundian cara ini boleh dilihat dengan jelas dalam pilihan raya Perbandaran Kuala Lumpur 1952 dan pilihan raya umum 1955, 1959 dan 1964. Dalam pilihan raya 1955, Perikatan memenangi 51 dari 52 kerusi. Dalam pilihan raya 1959 sekali lagi Perikatan mencapai kemenangan yang besar iaitu memenangi 74 dari 104 kerusi. Dalam pilihan raya tersebut, Perikatan berkempen atas rekod cemerlangnya membawa Malaya mencapai kemerdekaan. Selain daripada itu, Perikatan juga menonjolkan imej kerjasama antara kaum sebagai satu proses penting untuk meneruskan kestabilan politik dengan memberi peluang kepada tiap-tiap kumpulan etnik menganggotai badan pembuatan keputusan negara.

RUSUHAN KAUM 13 MEI 1969 Politik permuafakatan yang sebelum ini menunjukkan kejayaan yang cemerlang dalam menyatukan masyarakat majmuk telah gagal untuk mengekalkan rekodnya bila pada Mei 1969, rusuhan kaum berlaku. Rusuhan ini berlaku apabila Perikatan gagal memenangi majoriti 2/3 kerusi Dewan Rakyat. Sebab utama mengapa Perikatan tewas dalam pilihan raya tersebut adalah kerana parti-parti pembangkang menggunakan isu-isu perkauman dalam kempen mereka. DAP misalnya menggunakan isu bahasa dan isu hak-hak istimewa orang Melayu yang dikatakan mendiskriminasikan orang-orang bukan Melayu sebagai satu taktik untuk mendapatkan sokongan dari pengundi-pengundi bukan Melayu. Taktik dan strategi ini telah berjaya menaikkan sentimen orang-orang bukan Melayu, khasnya Cina untuk menentang kerajaan Perikatan. Sebab itulah dalam pilihan raya 1969, Perikatan telah tewas teruk di kawasan-kawasan pengundi bukan Melayu, khasnya di bandar-bandar besar yang majoriti penduduknya adalah orang-orang Cina. Dalam pilihan raya 1969, Perikatan cuma memenangi 66 daripada 104 kerusi, 23 kurang dari yang diperolehinya pada 1964. UMNO memenangi 51 dari 68 kerusi yang ditandinginya, MCA 13 dari 33 kerusi dan MIC 2 dari 3 kerusi. Di pihak pembangkang pula, DAP memenangi 13 kerusi, PAS 12, Gerakan 8 dan PPP (Parti Progresif Rakyat) 4 kerusi (Laporan Pilihan Raya Umum 1969). Setelah memenangi jumlah kerusi yang banyak dan berjaya mengurangkan majoriti 2/3 Perikatan, DAP dan Gerakan mengadakan perarakan melalui jalan-jalan utama menuju ke arah rumah Datuk Harun di Kampung Baru meminta beliau meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor. Di tengah-tengah jalan mereka menyanyi dan berteriak meminta

Melayu untuk menjilat kasut mereka sendiri, memberitahu Melayu supaya balik kampung frasa yang menakutkan orang-orang Melayu. Mereka juga melaungkan slogan seperti Melayu Sudah Jatuh!, Melayu Sudah Tiada Kuasa Lagi! dan Kuala Lumpur Sekarang Cina Punya!. Mendengar tempik sorak orang-orang Cina tersebut, orang-orang Melayu pun bertindak balas lalu berlakulah rusuhan berdarah pada 13 Mei 1969 (lihat Goh Cheng Teik 1971). Rusuhan ini telah mengakibatkan rumah dan harta benda bernilai berjuta-juta ringgit musnah dan beratus-ratus orang terkorban. Anggaran yang dibuat ke atas jumlah kematian dan kecederaan akibat rusuhan ini adalah berbezabeza. Mengikut The May Thirteenth Tragedy Report (1969), jumlah kematian ialah 143 Cina dan 22 Melayu. Jumlah kecederaan pula ialah 270 Cina dan 119 Melayu. Mengikut laporan lain pula, angka kematian ialah antara 600-700 orang (Von Vorys 1975: 148). Peristiwa 13 Mei ini telah dilihat oleh Tun Dr. Ismail, Menteri Dalam Negeri pada masa itu sebagai matinya demokrasi di tangan pembangkang. Sebagai kesan dari rusuhan tersebut, kerajaan berparlimen digantung dan pemerintahan kerajaan dijalankan secara MAGERAN di bawah arahan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Tun Abdul Razak. Pada tahun 1971, kerajaan berparlimen ini dipulihkan kembali. Menyedari bahawa konflik perkauman ini perlu diatasi bagi menjamin keamanan negara, maka Perikatan telah menawarkan kepada parti-parti pembangkang untuk bersama-sama dalam kerajaan. Sebagai reaksi dari tawaran kerajaan ini, parti-parti pembangkang kecuali DAP, Pekemas dan PSRM, menerima tawaran tersebut. Lanjutan dari ini, terbentuklah Barisan Nasional (BN) pada 1 Januari 1973. Pembentukan BN bermakna pola grand coalition pattern of government berterusan, malah ianya adalah lebih luas dan menyeluruh lagi berbanding dengan Perikatan. Dalam gabungan BN ini,

tiap-tiap kumpulan etnik diwakili oleh lebih dari satu parti. Misalnya, UMNO dan PAS mewakili pihak Melayu, dan MCA, MIC, Gerakan dan PPP mewakili pihak bukan Melayu.

POLITIK PERMUAFAKATAN DI BAWAH BN Pembentukan BN untuk menggantikan Perikatan telah berjaya mendapat sokongan rakyat. ini kerana rakyat telah sedar bahawa kegagalan untuk mengekalkan semangat kerjasama antara kaum akan membawa kepada perpecahan. Bukti penerimaan rakyat ini dapat dilihat dengan jelas dalam pilihan raya umum 1974. Dalam pilihan raya itu, BN menang dengan majoriti yang menyakinkan apabila memenangi 93 peratus daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan (berbanding 63 peratus yang dimenanginya pada 1969 semasa di bawah Perikatan). Kemenangan ini adalah pencapaian terbesar yang pernah dicapai oleh kerajaan sejak pilihan raya umum 1955. UMNO yang berada dalam Perikatan pada 1969 dan BN pada 1974 memenangi 62 kerusi (100 peratus berbanding 33 peratus pada 1969) (Laporan Pilihan Raya Umum Malaysia 1974). Selepas pilihan raya umum 1974, hubungan UMNO-PAS menjadi semakin merosot akibat dari konflik antara Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu dengan pemimpin-pemimpin PAS dalam soal pelantikan Menteri Besar. Konflik ini bermula apabila Tun Razak mahukan Mohamed Nasir menjadi Menteri Besar Kelantan pemimpin PAS pilihan UMNO, bukan pilihan PAS. Pemimpin PAS tidak berpuas hati dengan pelantikan Nasir dan ketidakpuasan hati ini telah mencapai kemuncaknya pada 1977 apabila Nasir diminta meletakkan jawatan. Apabila Nasir enggan berbuat demikian, maka usul undi tidak percaya dikemukakan oleh ADUN PAS di Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) dan diluluskan pada 20 Oktober 1977. Walaupun usul itu diluluskan, Nasir tetap enggan meletakkan jawatan dan ini membawa kepada berlakunya krisis politik. Keadaan ini dieksploitasi dengan bijaknya oleh UMNO

untuk mengambil alih teraju pemerintahan di Kelantan dengan mengisytiharkan darurat. PAS kemudiannya dipecat dari BN dan bila undang-undang darurat ditarik balik, DUN Kelantan dibubarkan. Beberapa bulan kemudiannya, parlimen pula dibubarkan (lihat Alias Mohamad 1978; dan Kamarudin Jaafar 1979). Pemecatan PAS dari BN bermakna PAS kembali menjadi pembangkang dan ini telah menjadikan UMNO dan PAS kembali berjuang untuk mendapatkan undi Melayu. Walaupun BN terpaksa menghadapi pilihan raya umum 1978 tanpa PAS, ianya masih mampu memenangi pilihan raya tersebut dengan majoriti yang besar. BN memenangi 131 dari 154 kerusi parlimen dengan jumlah undi 57.6 peratus dan 239 dari 275 kerusi DUN. Pada tahun 1981, Dr. Mahathir dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang keempat apabila Tun Hussein Onn meletakkan jawatan. Sembilan bulan selepas itu, Mahathir telah mengadakan pilihan raya untuk mendapat mandat baru dari rakyat. dengan membawa slogan Bersih, Cekap dan Amanah, BN telah memenangi pilihan raya tersebut dengan majoriti yang besar. Pembangkang hanya memenangi 11 kerusi parlimen sahaja, iaitu 5 kepada PAS dan 6 kepada DAP (Mauzy 1983: 142). Walaupun memenangi pilihan raya 1982, kerajaan tidak dapat lari dari menghadapi masalah. Pada November 1985, rusuhan telah tercetus antara polis dan pengikut Ibrahim Libya di Memali, Kedah. Dalam rusuhan tersebut 18 orang telah mati, iaitu 14 pengikut PAS dan 4 anggota polis. Pada November 1985 juga kepimpinan MCA berada dalam krisis yang tenat apabila Tan Koon Swan mencabar Neo Yee Pan untuk jawatan Presiden MCA. Krisis ini berakhir dengan kemenangan Tan Koon Swan, tetapi kemenangannya ini tidak kekal lama kerana pada 26 Januari 1986, beliau ditangkap di Singapura atas tuduhan pecah amanah berikutan dengan kejatuhan sebuah syarikat Singapura, Pan

El. Beliau dibicarakan di Singapura dan dijatuhkan hukuman 2 tahun penjara. Kemudiannya beliau meletakkan jawatan sebagai Presiden MCA dan tempatnya diganti oleh Ling Liong Sik. Masalah lain yang dihadapi oleh kerajaan ialah krisis BMF yang melibatkan kerugian $2.5 bilion. Pada Februari 1986 pula, Timbalan Perdana Menteri, Muda Hitam meletakkan jawatan atas alasan beliau telah kehilangan keyakinan Perdana Menteri dan oleh itu adalah tidak wajar untuk beliau terus berada dalam kerajaan (lihat perbincangan lanjut dalam Drummond 1986; Micheal Ong 1983; Patmanaban 1985; Tan Chee Khoon 1985 dan Lim Kit Siang 1986). Kesemua masalah di atas adalah isu-isu yang terpaksa dihadapi oleh BN dalam menghadapi pilihan raya umum 1986. Isu-isu tersebut telah dieksploitasi dengan bijaknya oleh pembangkang untuk merendahkan keupayaan BN dalam mentadbir negara. Walaupun BN telah diserang dari segenap sudut oleh parti-parti pembangkang, khususnya PAS dan DAP, BN tetap memenangi pilihan raya tersebut dengan cemerlangnya. BN memenangi 148 dari 177 kerusi parlimen. BN juga mengekalkan kemenangannya di kesemua Dewan Undangan Negeri dengan memenangi 299 dari 351 kerusi. PAS hanya memenangi satu kerusi parlimen sahaja iaitu di Pengkalan Chepa. DAP pula menang dengan jumlah undi yang agak besar di kawasan-kawasan yang majoriti penduduknya Cina, iaitu 19 kerusi di Semenanjung dan 5 kerusi di Sabah dan Sarawak, menjadikan 24 kerusi kesemuannya (Chandra Muzaffar 1986; dan Drummond 1987).

Kemenangan BN ini bukanlah bermakna pengundi-pengundi bersetuju dengan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan. Banyak dasar-dasar kerajaan yang tidak dipersetujui oleh pengundi, namun mereka tetap mengundi BN kerana mereka percaya bahawa kerjasama kaum yang sedia ada perlu dikekalkan demi untuk menjamin kestabilan politik negara. Dalam sejarah politik negara, parti yang tidak dapat menonjolkan imej perpaduan antara kaum akan ditolak oleh rakyat. Selain itu, sejarah pilihan raya juga menunjukkan hanya parti yang dapat mewujudkan kerjasama politik antara kaum sahaja yang akan menang kerana kesemua kaum akan mengundi menyokong permuafakatan politik tersebut, manakala parti yang hanya berasaskan satu kaum akan hanya mendapat undi dari kaum yang didokongnya sahaja. Sistem pengundian sebegini tidak memungkinkan parti berasaskan perkauman tanpa kerjasama dengan kaum lain akan menang dalam pilihan raya. Inilah strategi kejayaan Perikatan dan kemudiannya BN untuk terus mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya.

POLTIK PERMUAFAKATAN BN SELEPAS KRISIS UMNO 1987 Pada tahun 1987, berlaku pertandingan merebut jawatan presiden UMNO antara Dr. Mahathir Mohamed dengan Tengku Razaleigh Hamzah. Dalam pertandingan ini, Dr. Mahathir menang dengan majoriti yang tipis. Akibatnya UMNO berpecah dan kumpulan Tengku Razaleigh menubuhkan parti Semangat 46. Sebagai bekas pemimpin UMNO, beliau sedar bahawa seandainya Semangat 46 bertanding secara sendirian, harapan untuk mencapai kemenangan adalah tipis. Beliau lalu mempelopori penubuhan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), iaitu gabungan partiparti pembangkang antara Semangat 46, Hamim dan Berjasa. APU juga mengadakan kerjasama dengan parti bukan Melayu seperti DAP dan AMIPF (parti baru yang diketuai oleh M.G. Pandithan yang dipecat dari MIC). Kerjasama APU dengan DAP dan AMIPF ini jelas menunjukkan bahawa kesemua parti-parti politik di negara ini mengakui bahawa kerjasama politik antara kaum adalah penting bagi memperolehi kemenangan dalam pilihan raya. Ini kerana tanpa sokongan dari semua kaum, maka adalah sukar untuk satusatu parti politik mencapai kemenangan kerana untuk menang orang-orang Melayu perlukan undi dari orang-orang Cina dan India dan begitulah sebaliknya. Pilihan raya umum 1990 menunjukkan walaupun parti pembangkang mewujudkan gabungannya sendiri, dan dikatakan mempunyai harapan yang cukup baik untuk mencabar kekuatan BN, namun pakatan ini ditolak rakyat kerana dua sebab: pertama, ia hanya berbentuk untuk kepentingan sementara sahaja, iaitu sebagai marriage of convenience, dan keduanya, masing-masing parti yang bergabung mempunyai ideologi politik yang berbeza. Oleh sebab itulah, biarpun pembangkang mempunyai isu politik

yang banyak di tangan, mereka tetap gagal kerana sistem politik permuafakatan yang menggabungkan kesemua kaum dalam satu barisan membolehkan BN mendapat undi dari pengundi yang mahukan kestabilan dan kerjasama antara kaum yang harmoni. Pada pilihan raya tahun 1995, gabungan APU dan Gagasan Rakyat yang dibentuk oleh pembangkang pada tahun 1990 telah tidak bersatu lagi. Maka keadaan ini membolehkan BN memang besar dalam pilihan raya tersebut. BN hanya dicabar kembali dengan kuat oleh pembangkang dalam pilihan raya umum 1995 apabila parti pembangkang dan bergabung membentuk Barisan Alternatif. Gabungan BA dibentuk selepas Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri Malaysia dipecat dari jawatannya atas tuduhan melakukan hubungan seks luar tabii. Pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatannya telah menimbulkan krisis politik yang besar di Malaysia. Pelbagai isu digunakan oleh pembangkang dalam pilihan raya ini seperti isu keadilan, kebebasan kehakiman, isu rasuah dan pelbagai lagi. Namun, apabila keputusan pilihan raya diumumkan, BN masih lagi mampu untuk mengekalkan kemnenangan dua pertiga majoritinya. Pada pilihan raya umum 2004, setelah BA tidak lagi bersatu, maka BN sekali lagi menang besar dalam pilihan raya tersebut. Kemenangan BN ini menguatkan hujah Lijphart bahawa bagi negara yang mempunyai masyarakat majumuk, pendekatan terbaik untuk memenangi pilihan raya ialah dengan mengamalkan sistem politik permuafakatan. Kegagalan pembangkang untuk memenangi pilihan raya walaupun mempunyai banyak isu yang boleh mempengaruhi rakyat adalah kerana rakyat masih lagi percaya kepada kerjasama antara kaum sebagai asas untuk mengekalkan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi. Selagi parti pembangkang gagal menunjukkan kepada rakyat tentang perpaduan di kalangan anggotanya, maka

selagi itulah sukar bagi pembangkang untuk memenangi pilihan raya di Malaysia dan pengundi akan terus mengundi status quo untuk mengekalkan kerajaan BN.

RUMUSAN Perbincangan di atas menunjukkan bahawa permuafakatan politik adalah penting untuk menjamin kestabilan politik bagi negara-negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia. Kemenangan besar Perikatan dalam pilihan raya 1955, 1959 dan 1964 dan seterusnya BN dalam pilihan raya 1974 hingga 2004 membuktikan bahawa amalan politik permuafakatan ini diterima rakyat. Kegagalan untuk bertolak ansur antara kaum dan menggunakan isu-isu perkauman dalam kempen-kempen politik akan mengakibatkan huru-hara dan ini dapat dilihat dalam peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969. Untuk tahun-tahun yang seterusnya, adalah penting untuk tiap-tiap kumpulan etnik mengekalkan tradisi bekerjasama dalam membuat dasar-dasar negara supaya sumber-sumber negara dapat dikongsi bersama. Hanya dengan cara inilah kestabilan politik negara dapat terus dikekalkan. Dengan hujah seperti di atas, maka jelaslah bahawa Malaysia, walaupun menghadapi beberapa situasi politik yang tegang, namun masih mampu untuk mengekalkan kestabilan politiknya hasil dari kerjasama antara kaum dan politik permuafakatan yang dicapainya melalui gabungan BN.

You might also like