You are on page 1of 21

Harta

Yang Paling Berharga Ketahuilah oleh kamu, wahai Malik bahawa kami menghantar kamu menjadi Gabenor sebuah negeri yang pada masa lalu telah mengalami pemerintahan yang adil mahupun tidak adil. Orang akan memperhatikan tingkah laku kamu dengan teliti sebagaimana kamu pernah meneliti tingkah laku orang sebelum kamu dan orang akan bercerita tentang kamu sebagaimana kamu bercerita tentang orang lain. Sebenarnya orang selalu memuji mereka yang berbuat baik. Merekalah yang menjadi saksi kepada perbuatan kamu. Sebab itu harta yang paling berharga yang patut menjadi idaman kamu ialah perbuatan amar maaruf. Kawallah hawa nafsu kamu dan jauhkanlah diri kamu daripada perkara-perkara yang ditegah kerana hanya dengan manahan nafsu sahajalah kamu dapat membezakan segala yang baik dan segala yang buruk buat kamu. Tanamkanlah semangat cinta akan rakyatkmu dalam diri kamu semoga rakyat kamu memperoleh manfaat dan rahmat daripadanya. Janganlah kamu berkelakuan seperti orang gasar dengan mereka, dan janganlah kamu menjadikan milik mereka hak kamu. Ingatlah bahawa rakyat negeri kamu terdiri daripada dua golongan: sama ada mereka itu saudara seagama dengan kamu ataupun saudara sebangsa dengan kamu. Mereka mempunyai kelemahan dan pasti akan melakukan kesilapan. Malah sesetengahnya betul-betul melakukan kesilapan. Tetapi ampunilah mereka sebagaimana kamu berharap Allah akan mengampuni kamu. Ingatlah kamu dilantik sebagai pemimpin mereka sebagaimana kami dlantik menjadi pemimpin kamu. Dan Allah lebih berkuasa daripada dia yang melantik kamu sebagai Gabenor supaya kamu dapat menjaga kebajikan orang-orang di bawah

WARKAH SAIDINA ALI IBN ABI TALIB KEPADA MALIK BIN AL-HARIS AL-ASHTAR

pimpinan kamu dan menyempurnakan keperluan mereka. Dan orang akan menilai kamu berdasarkan segala yang telah kamu lakukan untuk mereka. Janganlah kamu memusuhi Allah kerana kamu tidak berupaya menanggung kemurkaanNya dan kamu tidak dapat lari daripada takluk rahmat dan keampunanNya. Janganlah kamu bersedih kerana kamu terpaksa memaafkan seseorang dan janganlah kamu bergembira kerana kamu telah menghukum seseorang. Janganlah kamu lekas marah kerana marah itu tidak ada faedahnya. Janganlah kamu berkata: Akulah Yang Dipertuan kamu yang berkuasa ke atas kamu dan oleh itu kamu mesti tunduk pada perintahku: sebab itu akan merosakkan jiwamu, melemahkan keimananmu dan menimbulkan huru-hara dalam negeri kamu. Seandainya kamu bermegah-megah dengan kuasa yang ada pada kamu atau tersemat rasa angkuh dan sombong walau sedikit sekalipun di sudut hati kamu maka cubalah kamu renungkan kekuasaan dan keagungan Allah mentadbir alam yang tidak dapat kamu tandingi. Ia akan mengembalikan pertimbangan kamu yang waras dan seterusnya memberikan ketenangan dan ketenteraman kepadamu. Ingatlah! Janganlah kamu membandingkan dan menyamakan keupayaan kamu dengan kebesaran Allah yang maha Kuasa kerana Allah mengutuk umat manusia yang engkar dan zalim. Hendaklah kamu menghormati hak Allah dan hak manusia dengan mengawasi tindak-tanduk kamu dan menyuruh sahabat-sahabat kamu dan saudara mara kamu untuk berbuat demikian. Jika tidak, kamu menzalimi diri kamu dan umat manusia dan akhirnya umat manusia dan Allah akan menjadi musuhmu. Tidak ada pengampunan bagi seseorang yang menjadi musuh Allah. Dia dianggap sebagai penderhaka sehingga dia insaf dan memohon keampunan. Orang yang kejam tidak akan mendapat rahmatNya tetapi sebaliknya Allah murka kepadanya. Sesungguhnya Allah mendengar doa orang yang tertindas dan Allah melaknati para penindas.

Manusia Biasa Peliharalah keadilan dalam pentadbiran dan hendaklah kamu berlaku adil dan mencari kata muafakat kerana jika ramai orang yang tidak berpuas hati maka luputlah kenikmatan yang dirasai oleh sebilangan kecil golongan mewah tetapi rasa tidak puas hati orang yang sedikit tidak akan ketara di kalangan ramai yang menikmati kemewahan. Ingatlah, bahawa kelompok kecil yang menikmati kemewahan itu tidak akan menolong kamu semasa kamu dalam kesusahan: mereka akan cuba menghalang keadilan, mereka akan meminta lebih daripada yang sepatutnya dan mereka tidak akan menghargai bantuan yang diberikan kepada mereka. Mereka cemas menghadapi ujian dan dugaan namun mereka tidak menyesali kekurangan mereka. Sesungguhnya orang biasalah yang menjadi tunggak kekuatan negara dan agama. Dialah yang akan menentang musuh. Kerana itu hendaklah kamu sentiasa berhubung rapat dengan orang ramai dan mengambil tahu akan hal kebajikan mereka. Jauhilah orang yang suka mendedahkan kelemahan orang lain. Namun demikian rakyat tidak terlepas daripada kelemahan. Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk melindungi mereka. Janganlah kamu mendedahkan segala yang tersembunyi tetapi berusahalah untuk menghapuskan kelemahan yang sudah nyata. Allah mengetahui segala yang tersembunyi dan hanya Dia yang boleh menyelesaikannya. Cubalah sedaya upaya kamu untuk menyembunyikan kelemahan rakyat kamu maka dengan itu Allah akan menutup kelemahan yang cuba kamu sembunyikan daripada pandangan umum. Hilangkan perasaan saling benci-membenci antara pentadbir dengan orang ramai, dan hapuskanlah segala sebab-akibat yang boleh menimbulkan ketegangan antara kamu. Jagalah tingkah laku kamu agar bersesuaian dengan pangkat kamu. Janganlah kamu terburu-buru mempercayai orang yang suka mengumpat kerana orang itu adalah seorang penipu yang menyamar sebagai sahabat.

Para penasihat Jangan sekali-kali kamu mendengar nasihat orang yang kedekut kerana dia akan merosakkan keseluruhan budi kamu dan menakut-nakutkan kamu tentang kemiskinan. Dan janganlah kamu mendengar nasihat si pengecut kerana dia akan membuat kamu lekas hilang semangat. Dan janganlah kamu mendengar nasihat orang yang tamak kerana dia akan menanamkan rasa tamak haloba dalam diri kamu dan membuat kamu menjadi orang yang zalim. Sifat-sifat kedekut, pengecut dan tamak membuat manusia tidak yakin kepada Allah. Penasihat yang paling keji ialah orang yang pernah menjadi penasihat kepada pemimpin-pemimpin yang tidak adil dan turut sama bersubahat melakukan kemungkaran. Janganlah kamu mengambil sebagai penasihat orang-orang yang pernah menjadi sahabat raja yang zalim atau bersubahat melakukan kejahatan. Kamu boleh mendapat orang lain yang jauh lebih baik daripada itu, yang pintar, berpandangan jauh dan berhati suci, orang yang tidak pernah membantu raja yang zalim melakukan kezalimam atau menolong seorang penjahat melakukan kejahatan. Orang-orang yang mempunyai sifat seperti ini tidak akan sekali-kali menjadi beban kepada kamu. Sebaliknya pula merekalah sumber bantuan dan kekuatan kamu pada setiap masa. Mereka akan menjadi sahabat kamu dan menjadi orang asing kepada musuh-musuh kamu. Pilihlah orang-orang seperti itu sahaja untuk menjadi sahabatmu sebagai teman biasa dan teman seperjuangan. Malah di kalangan mereka ini pun, hendaklah kamu mengutamakan mereka yang sentiasa menyanjung kebenaran, walaupun kadang- kadang sukar bagi kamu untuk membuat pilihan itu, dan seterusnya pilihlah orang-orang yang tidak suka menunjuk-nunjuk kelembutan hatinya kerana sifat itu tidak diredhai Allah.

Berdamping rapatlah dengan orang-orang yang jujur dan bertaqwa dan beritahulah kepada mereka bahawa kamu sekali-kali tidak gemar mereka memuji-muji kamu dan menyanjung kamu demi kebaikan yang tidak kamu lakukan kerana pujian yang berlebih-lebihan dan sanjungan yang tidak kena pada tempatnya membuat manusia menjadi bongkak dan sombong. Janganlah kamu memperlakukan yang baik dan yang jahat dengan cara yang sama. Sebab itu akan melemahkan semangat orang yang baik untuk berbuat baik dan menggalakkan orang jahat terus melakukan kejahatan. Berilah pujian pada orang yang patut menerimanya. Ingatlah bahawa perasaan saling percaya-mempercayai dan muhibbah antara pemerintah dengan orang yang diperintah hanya akan wujud dengan adanya ehsan, keadilan dan bantuan. Oleh itu, eratkanlah silaturrahim di kalangan rakyat kamu kerana hanya persahabatan mereka sahaja dapat menyelamatkan kamu daripada kesusahan. Kemurahan hati kamu terhadap mereka akan mereka balas dengan menaruh kepercayaan terhadap kamu dan kezaliman kamu pula akan mereka balas dengan memusuhimu. Janganlah kamu mengenepikan ajaran mulia yang diamalkan oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita yang mana ajaran ini telah memelihara kerukunan dan menggalakkan kemajuan di kalangan rakyat; dan janganlah kamu melakukan sesuatu yang mungkin akan mengurangkan kesan ajaran tersebut. Orang-orang yang mengamalkan ajaran mulia ini telah menerima ganjaran mereka: tetapi adalah menjadi tanggungjawab untuk kamu mempertahankannya sekiranya ajaran ini di ganggu-gugat. Sentiasalah mencuba belajar daripada pengalaman orang-orang yang terpelajar dan orang-orang bijak bistari dan selalulah meminta pendapat mereka dalam hal yang berkaitan dengan negara supaya kamu dapat mengekalkan keamanan dan silaturahim yang telah ditetapkan oleh pemimpin sebelum kamu di negara ini.

Golongan Rakyat Yang Berlainan Ingatlah bahawa masyarakat terdiri daripada kelompok manusia yang berlainan. Kemajuan satu-satu kelompok itu bergantung kepada kemajuan kelompok-kelompok yang lain dan tidak ada satu kelompok pun yang boleh hidup dengan sendirinya. Kita ada pasukan tentera yang merupakan tentera Allah. Kita juga ada pegawai awam dan pentadbirannya, badan kehakiman, pemungut hasil dan pegawai perhubungan awam. Rakyat jelata pula terdiri daripada orang-orang Islam dan kaum Zimmis dan antara mereka ada saudagar dan tukang, penganggur dan orang miskin. Allah telah pun menentukan hak; tugas dan tanggungjawab masing-masing yang terkandung dan diterangkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Dengan kurniaNya, pasukan tentera itu ibarat benteng rakyat dan melambangkan kebesaran negara. Pasukan tentera menegakkan kedaulatan agama Islam dan memelihara keamanan negara. Tanpanya negara tidak dapat wujud. Begitu juga, pasukan tentera tidak dapat wujud tanpa sokongan negara. Askar-askar kita telah membuktikan bahawa mereka kuat dan gagah apabila berdepan dengan musuh kerana Allah telah mengurniakan kelebihan kepada mereka untuk berjuang keranaNya; tetapi mereka juga harus memenuhi keperluan zahir mereka dan dengan itu mereka terpaksa mengharapkan gaji yang dibayar kepada mereka daripada hasil negara. Pihak tentera dan orang awam yang membayar cukai perlu bekerjasama antara satu sama lain. Begitu juga antara badan kehakiman dengan pegawai awam dan pentadbirannya. Qadhi mentadbirkan undang-undang sivil dan undang-undang jenayah; pegawai awam memungut hasil dan menuruskan pentadbiran awam dengan bantuan pekerja-pekerja jabatan. Kemudian ada pula dagang santeri dan saudagar yang membantu memperbanyak hasil negara. Merekalah yang menjalankan perniagaan dan merekalah yang lebih berupaya daripada kelompok lain untuk memenuhi tanggungjawab masyarakat. Kemudian ada pula kelompok fakir miskin dan adalah menjadi tanggungjawab kelompok-kelompok lain untuk menjaga kebajikan mereka.

Allah telah menentukan tugas dan tanggungjawab tiap-tiap kelompok dan kelompok-kelompok ini pula mempunyai kewajipan terhadap negara yang harus diawasi oleh pemimpin, demi kebaikan sekelian rrakyat. Tugas ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan baik melainkan jika pemimpin sendiri memastikan perlaksanaannya dan memohon pertolongan daripada Allah. Sesungguhnya, menjadi kewajipannya untuk melaksanakan tugas itu sendiri dan mengadapi segala kesulitan yang menjadi sebahagian daripada tugas ini dengan tekun dan sabar. Pihak Tentera Hendaklah kamu menjaga kebajikan mereka yang bertugas dalam tentera, mereka yang pada pendapat kamu amat patuh kepada Allah dan Rasul dan setia kepada ketua; mereka yang pada saat-saat genting dapat menahan diri dan mendengar rungutan serta bangkangan yang munasabah dengan tenang; mereka yang dapat membantu orang yang lemah yang memerlukan pertolongan dan menewaskan orang yang kuat; mereka yang tidak mudah menjadi marah apabila disakiti hatinya dan mereka yang tidak akan teragak-agak bertindak pada bila-bila masa pun. Berdamping rapatlah dengan orang-orang daripada keluarga terhormat dan disanjung zaman berzaman dan dekatilah orang-orang yang berani dan berakhlak mulia, murah hati dan bersedia membantu serta suka membuat kebajikan, kerana orang-orang seperti ini adalah teras masyarakat. Jagalah mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana kamu menjaga anak- anak kamu sendiri dan janganlah kamu bercerita di depan mereka tentang kebaikan yang telah kamu lakukan untuk mereka atau janganlah pula kamu tidak mengendahkan kemesraan yang ditunjukkan oleh mereka sebagai balasan kerana tingkah laku yang sedemikian menggalakkan semangat kesetiaan, kebaktian dan mempereratkan

silaturrahim. Bantulah setiap keperluan mereka walaupun sedikit dan janganlah kamu hanya berpuas hati dengan bantuan secara am yang telah kamu berikan kepada mereka kerana kadangkala perhatiaan yang diberikan tepat pada masanya terhadap permintaan mereka yang kecil itu dapat menyenangkan hati mereka. Nescaya orang-orang ini tidak akan melupakan kamu semasa kamu berada dalam kesusahan. Adalah menjadi kewajipan kamu untuk melantik sebagai Panglima Tertinggi kamu orang yang sanggup memikul tugas dan tanggunjawab membantu orang- orangnya, dan orang yang betul-betul baik hati, melebihi pewagai-pegawai lain, dalam menyempurnakan keperluan orang-orang di bawah perintahnya dan menjaga kebajikan kaum keluarga mereka semasa mereka keluar berjuang, sehinggakan setiap anggota tentera berasa bahawa mereka bersama dalam suka dan duka. Perpaduan yang sehaluan ini menambah kekuatan mereka dalam memerangi musuh. Teruskanlah bersifat murah hati terhadap mereka supaya mereka sentiasa sayangi akan kamu. Sesungguhnya kebahagiaan dan kesenangan hidup yang sebenar bagi para pemimpin hanya dapat dirasai dengan menegakkan keadilan dalam negeri dan memelihara perhubungan yang mesra antara rakyat. Kasih saying dan penghormatan yang mereka tunjukkan kepada kamu membayangkan ketulusan hati mereka, dan hanya sifat-sifat ini sahajalah yang menyelamatkan para pemimpin. Segala nasihat yang kamu berikan kepada tentera hanya sia-sia belaka melainkan jika kamu dapat mengambil hati para pegawai dan askar biasa agar mereka tidak menganggap kerajaan zalim ataupun menyebabkan keruntuhannya. Teruskanlah menyempurnakan keperluan mereka dan pujilah mereka berkali-kali demi kebaktian yang dilakukan oleh mereka. Insya Allah, sikap yang begitu akan menggalakkan mereka yang berani menjadi lebih berani dan mereka yang penakut menjadi berani.

Cubalah kamu fahami perasaan orang lain dan janganlah kamu melebih-lebihkan kesilapan seseorang itu daripada kesilapan orang yang lain, dan janganlah tamak untuk memberikan ganjaran yang sewajarnya. Pastikan kamu tidak melebihkan seseorang yang tidak berbuat apa-apa pun semata-mata kerana kedudukan keluarganya; dan janganlah kamu sengaja tidak mahu memberikan ganjaran yang sewajarnya kepada seseorang yang banyak berjasa hanya kerana dia daripada golongan bawahan. Panduan Yang Benar Kembali kepada Allah dan RasulNya untuk mendapat petunjuk setiap kali kamu berasa was-was terhadap sesuatu yang akan kamu lakukan. Firman Allah kepada orang- orang yang ingin dipimpinNya ke jalan yang benar: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amr (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah- bantah (berselisih) dalan sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya. Kembali kepada Allah sebenarnya bermaksud merujuk kepada Al-Quran dan kembali kepada Rasul ertinya mengerjakan perintah-perintahnya dan menjauhi larangan-larangannya dan mencontohi segala pimpinannya. Ketua Hakim Pilihlah sebagai ketua hakim kamu orang yang paling baik di antara rakyat kamu orang yang tidak diganggui oleh masalah rumahtangga, orang yang tidak mudah digertak, orang yang jarang melakukan kesilapan, orang yang tidak mungkin berpatah balik setelah menemui jalan kebenaran, seorang yang tidak mementingkan diri sendiri atau tamak haloba, seorang yang tidak akan membuat keputusan selagi dia tidak mengetahui keadaan sebenar, seorang yang akan menimbangkan segala keraguan dengan teliti dan mengumumkan keputusan dengan jelas setelah membuat

pertimbangan yang saksama, orang yang sabar mendengar perbalahan para peguamcara dan seorang yang meneliti dengan tekun setiap kenyataan baru yang timbul dan orang yang betul-btul tidak berat sebelah dalam membuat keputusan, orang yang tidak mudah tergoda oleh sanjungan dan orang yang tidak sombong dengan kedudukannya. Tetapi bukanlah mudah untuk mencari orang yang bersifat demikian. Apabila kamu sudah mendapat orang yang betul-betul sesuai untuk jawatan tersebut, bayarlah dia gaji yang mencukupi supaya dia dapat hidup dalam kesenangan dan setaraf dengan kedudukannya supaya dia tidak mudah tergoda. Berilah kepadanya kedudukan yang cukup tinggi dalam mahkamah kamu. Yang tidak pernah dimimpikannya agar dia tidak mudah dipengaruhi oleh fitnah dan hasutan. Badan Kehakiman Rendah Awas! Pemilihan pegawai-pegawai lain dalam badan kehakiman dilakukan dengan penuh berhati-hati: kerana jawatan tinggi ini menjadi idaman setiap orang yang ghairah mencari kekayaan dan tamak haloba. Sahkan mereka dalam jawatan mereka setelah mereka melalui tempoh percubaan dan pengawasan yang dikehendaki. Jangan sekali-kali kamu melantik orang untuk memegang jawatan yang penting semata-mata atas sebab hubungan peribadi atau sebab-sebab lain kerana itu mungkin akan menimbulkan ketidakadilan dan kecurangan. Lantiklah orang yang berpengalaman untuk menjawat jawatan yang penting, yakni orang yang beriman dan daripada keluarga baik-baik. Orang-orang yang seperti ini tidak mudah menjadi mangsa godaan dan sentiasa menjalankan tugas mereka dengan penuh kesedaran demi kebaikan orang lain. Tingkat gaji mereka agar mereka dapat hidup dalam keadaan yang memuaskan. Kehidupan yang menyenangkan dapat mewujudkan kemurniaan rohani. Mereka tidak merasakan perlu untuk memungut cukai daripada pendapatan orang bawahan mereka untuk mengisi tembolok mereka. Dengan

10

itu mereka tidak mempunyai sebab untuk melanggar arahan kamu atau menyalahgunakan wang negara. Suruhlah orang-orang yang taat dan berakhlak mulia untuk mengawasi mereka tanpa pengetahuan mereka. Boleh jadi mereka akan menjadi orang yang betul-betul jujur dan benar-benar mengambil tahu akan kebajikan awam. Tetapi bilamana salah seorang antara mereka dituduh berkelakuan tidak jujur dan kesalahan itu disahkan oleh laporan dari Bahagian Perisisikan kamu, maka anggaplah itu sudah mencukupi untuk menghukumnya. Hukumlah dengan hukuman dera dan hendaklah dilaksanakan dikhalayak ramai di satu tempat khas untuk menjalankan hukuman tersebut. Pentadbiran Hasil Pentadbiran hasil hendaklah dilaksanakan dengan penuh teliti bagi memastikan kesejahteraan orang-orang yang membayar cukai kepada kerajaan kerana kesejahteraan mereka menentukan kemakmuran hidup orang lain terutamanya kemakmuran hidup rakyat jelata. Sesungguhnya kemajuan negara bergantung kepada hasil mahsulnya. Kamu hendaklah mengutamakan penjagaan rapi tanah yang diusahakan lebih daripada kutipan hasilnya kerana hasil tidak dapat dikutip melainkan tanah itu subur dengan tanaman. Sesiapa yang meminta hasil tanpa menolong petani memajukan tanahnya akan menyusahkan para petani dan merosakkkan negara. Seseorang pemerintah yang berbuat demikian tidak akan dapat memerintah lama. Sekiranya para petani memohon agar cukai tanah dikurangkan disebabkan oleh wabak, kemarau atau hujan yang berlebihan atau kerana tanah tidak subur atau banjir merosakkan tanaman mereka maka hendaklah kamu menurunkan cukai supaya keadaan hidup pulih semula. Janganlah kamu terlalu memikirkan hasil mahsul yang hilang disebabkan oleh keadaan-keadaan yang disebutkan tadi kerana pada suatu hari nanti kamu akan memperoleh keuntungan yang berlipat ganda apabila tanah mengeluarkan hasil yang lebih banyak dan membolehkan kamu memperbaiki keadaan

11

Bandar-bandar kamu dan menaikkan nama baik negara kamu. Kamu akan disanjung ramai. Rakyat akan menaruh kepercayaan kepada cara pengadilan kamu. Keyakinan mereka terhadap kamu akhirnya ternyata akan menjadi sumber kekuatan kamu kerana mereka akan bersedia membantu kamu semasa kamu berada dalam kesusahan. Kamu boleh menempatkan seberapa banyak orang di satu-satu kawasan tetapi mereka pasti berasa tidak puashati apabila tanah mereka tidak bertambah maju. Yang menyebabkan para petani mengalami kehancuran ialah pemerintah yang hanya berminat untuk mengumpulkan harta kekayaan semata-mata kerana mereka takut tidak dapat memerintah lama. Demikianlah sifatnya orang-orang yang tidak belajar daripada contoh teladan orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Pentadbiran Perkeranian Awasilah bahagian pentadbiran kamu dan jurutulis kamu untuk urusan surat- menyurat kamu yang sulit. Pilihlah antara mereka orang yang mempunyai akhlak yang mulia dan bersifat amanah, orang yang tidak akan mengambil kesempatan daripada kedudukan mereka yang istimewa untuk menentang kamu dan orang yang tidak akan tunduk pada hasutan luar semasa mereka merangka perjanjian kamu sehingga merosakkan kepentingan kamu ataupun gagal menyelamatkan kamu daripada kesusahan. Lantiklah orang yang menyedari peri pentingnya tugas yang dipikul oleh mereka kerana orang yang tidak menyedari kepentingan tugasnya sendiri tidak mungkin dapat menghargai tugas dan tanggungjawab orang lain. Janganlah kamu memilih orang untuk mengerjakan tugas tersebut semata-mata berdasarkan pandangan pertama kamu, perasaan kasih sayang kamu atau kebaikan hati kamu kerana sesungguhnya ramai orang yang sebenarnya tidak jujur, angkuh dan bukan daripada keluarga baik-baik dapat menipu walaupun sepandai-pandai pemerintah. Pemilihan hendaklah dibuat selepas tempoh percubaan yang sewajarnya masa untuk menguji kejujuran seseorang.

12

Apabila kamu melantik mereka tanpa mengenakan sebarang tempoh percubaan pastikan orang-orang yang kamu pilih itu mempunyai pengaruh dengan orang ramai dan memang sudah ternyata jujur orangnya, kerana pemilihan seperti itu disukai oleh Allah dan para pemerintah. Bagi setiap bahagian pentadbiran biarlah ada ketuanya, seorang yang tidak cemas menghadapi sebarang tugas yang sulit dan tidak marah dengan kerja yang banyak. Dan ingatlah bahawa setiap kelemahan anggota pentadbiran kamu dan juru tulis kamu yang kamu terlepas pandang akan dicatat di dalam kitab amalan kamu. Perdagangan dan Perusahaan Laksanakanlah rancangan yang berfaedah untuk mereka yang terlibat dalam bidang perdagangan dan perusahaan dan bantulah mereka dengan memberikan nasihat yang bernas. Sesetengah daripada mereka tinggal di bandar dan sesetengahnya berpindah dari satu tempat ke satu tempat membawa barangan dan peralatan mereka dan mencari nafkah hidup sebagai buruh kasar. Perdagangan dan perusahaan merupakan punca keuntungan negara. Orang-orang yang terlibat dalam bidang kerja ini bersusah payah mengumpul barangan dari jauh dan dekat, dari tanah semenanjung dan seberang laut dan dari gunung dan hutan dan tentu sahaja mereka beroleh keuntungan sementara orang awam tidak perlu bersusah payah menanggung beban ini. Dagang santeri dan saudagar ini adalah kelompok manusia yang mencintai kedamaian dan kamu tidak perlu takut akan sebarang gangguan daripada mereka. Mereka mencintai keamanan dan kedamaian; sesungguhnya mereka tidak mungkin menimbulkan kekacauan. Lawatilah setiap ceruk rantau negeri kamu dan jalinkan perhubungan secara peribadi dengan kelompok ini dan seringlah bertanyakan keadaan mereka. Tetapi ingat, kebanyakan mereka sangat tamak dan sudah biasa melakukan urusniaga yang tidak jujur. Mereka menyorokkan hasil tanaman dan mencuba

13

menjualnya dengan harga yang tinggi dan perbuatan seperti itu amat membahayakan orang awam. Nama baik seorang pemerintah akan terjejas jika beliau tidak menentang perbuatan yang curang. Tegahlah mereka daripada menyorokkan barangan kerana Rasulullah s.a.w melarang perbuatan ini. Pastikan urusniaga dijalankan dengan serba kemudahan, alat sukat hendaklah digunakan dengan betul dan harga ditetapkan agar pembeli dan penjual tidak rugi. Dan sekiranya setelah kamu memberikan amaran. Ada sesiapa yang melanggar perintah kamu dan melakukan kesalahan menyorok, maka hendaklah kamu menghukumnya dengan hukuman yang berat. Fakir Miskin Awas! Takutilah Allah apabila kamu berdepan dengan masalah fakir miskin yang tiada pembela, yang hidup terbiar, miskin dan tidak berdaya - orang-orang yang menjadi mangsa perubahan peristiwa. Antara mereka, ada beberapa orang yang tidak menyesali untung nasib mereka dalam kehidupan ini walaupun mereka hidup susah, mereka tidak pergi meminta sedekah. Atas nama Allah, lindungilah hak mereka kerana kamulah yang bertanggunghjawab menyelamatkan mereka. Untuk meringankan beban hidup mereka , berilah bahagian mereka yang ada di Baitul Mal, tanpa mengira di mana sahaja mereka berada sama ada dekat ataupun jauh. Hendaklah kamu berlaku adil kepada hak kedua-duanya. Janganlah kamu lalai sehingga kamu lupa akan tanggungjawab kamu terhadap mereka, kerana Allah tidak akan menerima sebarang alasan atas pengabaian kamu terhadap hak mereka. Janganlah kamu menganggap kesejahteraan mereka kurang penting daripada kesejahteraan kamu dan janganlah kamu melupakan mereka apabila kamu membuat sebarang ketetapan yang penting dan pulaukan orang yang

14

memandang rendah pada fakir miskin dan orang yang tidak menceritakan perihal kehidupan fakir kepada kamu. Pilihlah di kalangan pegawai-pegawai kamu orang yang benar-benar taat dan bertaqwa kepada Allah supaya mereka dapat memberitahu kamu keadaan hidup fakir yang sebenarnya. Hendaklah kamu menyediakan bantuan untuk orang-orang fakir dan miskin agar kamu tidak perlu berdolak-dalik di depan Allah di akhirat kelak, kerana fakir miskinlah yang paling memerlukan belas ihsan kamu. Usahakanlah untuk mendapatkan ganjaran daripada Allah dengan memberikan hak tiap-tiap orang yang memerlukan tetapi mempunyai harga diri dan anggaplah tugas menyempurnakan keperluan orang-orang tua yang tidak mempunyai mata pencarian tetapi tidak rela meminta sedekah sebagai satu amanat dan tugas yang mulia. Dan kewajipan inilah yang biasanya sukar disempurnakan oleh para pemerintah. Tetapi dalam sesebuah masyarakat yang berpandangan jauh, tugas ini dilaksanakan dengan penuh kerelaan. Hanya bangsa dan kelompok masyarakat seperti itu sahaja yang benar- benar taat akan perintah Allah dalam melaksanakan kewajipan mereka terhadap fakir miskin. Mesyuarat Secara Terbuka Berjumpalah dengan orang-orang yang tertindas dan hina dari masa kesemasa dalam satu mesyuarat yang terbuka dan ingatlah bahawa Allah berada di mana-mana sahaja. Adakanlah perbincangan dari hati ke hati dengan mereka. Temuilah mereka secara bersaorangan tanpa ditemani oleh pengawal atau pegawai awam kamu, atau pun anggota polis dan anggota bahagian perisikan kamu. Dengan cara begitu wakil fakir dan miskin dapatlah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tanpa segan silu dan takut- takut, kerana kami pernah mendengar Rasulullah bersabda bahawa tidak ada bangsa atau masyarakat yang dianggap mulia jika orang yang kuat tidak membantu orang yang

15

lemah. Hadapilah kata-kata kesat yang digunakan oleh mereka dengan perasaan tenang, dan janganlah kamu berasa marah sekiranya mereka tidak dapat menyampaikan sebab-sebab mereka tidak berpuas hati dengan jelas. Walaupun demikian Allah akan membuka pintu rahmatnya kepada kamu. Walau apa pun sahaja yang dapat kamu berikan kepada mereka, berikanlah dengan rasa ikhlas dan apa-apa sahaja yang tidak mampu kamu berikan, jelaskanlah kepada mereka dengan penuh ketulusan hati. Ada beberapa perkara yang memerlukan tindakan yang segera. Terimalah cadangan yang diberikan oleh para pegawai kamu untuk mengurangkan perasaan tidak puas hati kakitangan perkeranian kamu. Pastikan setiap rayuan atau permohonan yang diajukan untuk pertimbangan kamu dibawa ke pengetahuan kamu pada hari itu juga walaupun para pegawai kamu mencuba bersungguh-sungguh untuk menghalangnya. Bereskanlah kerja pada satu-satu hari itu pada hari yang sama juga kerana hari-hari yang mendatang akan membawa masalah yang lain pula. Perhubungan Dengan Tuhan Janganlah kamu lupa menguntukkan waktu yang khusus untuk berhubung dengan Allah, walaupun setiap detik hidup kamu hanyalah untuk beribadat kepadaNya, dengan syarat waktu dihabiskan secara jujur dengan berbakti kepada rakyat kamu. Masa yang kamu khaskan untuk melakukan ibadat secara khusyuk hendaklah digunakan untuk menunaikan sembahyang lima waktu setiap hari. Sembahyanglah kamu pada siang dan malam hari dan untuk bertaqarrub sedapat-dapatnya janganlah kamu sengaja sembahyang lama-lama sehingga membuat kamu bosan. Dan apabila kamu menjadi imam sembahyang berjemaah, janganlah memanjangkan sembahyang kamu sehingga menyebabkan makmum resah gelisah atau membuat mereka benci untuk sembahyang berjamaah atau mengurangkan kesan sembahyang berjemaah kerana dalam jemaah

16

kamu mungkin ada orang yang cacat dan orang yang perlu menyelesaikan tugas yang mendesak dengan segera. Apabila kami bertanya kepada Rasulullah semasa kami menerima perintah untuk ke Yaman, bagaimana kami patut menjadi imam sembahyang berjemaah dengan orang orang di sana. Baginda menjawab, sabdanya Lakukanlah sembahyang kamu sebagaimana orang yang lemah antara kamu akan melakukannnya dan tunjukkanlah contoh berlaku adil kepada orang-orang yang beriman. Pengasingan Diri Tidak Disukai Di samping mematuhi perintah-perintah yang telah kami nyatakan tadi, ingatlah kamu akan satu perkara. Jangan sekali-kali pada bila-bila masa pun kamu mengasingkan diri kamu daripada rakyat kamu, kerana apabila kamu berbuat demikian, bermakna kamu sengaja tidak mahu mengambil tahu akan hal kebajikan mereka. Keadaan itu akan membuat pemerintah mempunyai gambaran yang salah terhadap satu-satu perkara dan menyebabkan dia tidak dapat membezakan antara kebenaran dengan kepalsuan. Sesungguhnya permerintah itu hanyalah manusia biasa dan dia tidak mungkin mendapat gambaran yang sebenar tentang sesuatu yang tidak dapat dilihat. Tidak ada tanda-tanda khusus terpampang pada kebenaran yang membolehkan seseorang itu membezakan berbagai-bagai jenis kebenaran dan kepalsuan. Sebenarnya kamu hanya boleh melakukan satu perkara sahaja, sama ada kamu adil atau kamu tidak adil. Kalau kamu adil orangnya, kamu tidak akan mengasingkan diri kamu daripada rakyat kamu tetapi kamu akan mendengar masalah mereka dan menunaikan permintaan mereka. Sebaliknya pula kalau kamu tidak adil, rakyat kamu sendiri akan menjauhkan diri daripada kamu. Apakah kebaikan yang kamu peroleh daripada mengasingkan diri kamu? Pada bila-bila masa pun, sifat suka mengasingkan diri itu tidak disukai lebih-lebih lagi memang sudah menjadi kewajipan kamu untuk menjaga kebajikan dan kepentingan

17

rakyat kamu. Janganlah kamu berasa bosan mendengar setiap aduan tentang penindasan oleh pegawai kamu atau rayuan untuk mewujudkan keadilan. Sedarilah bahawa orang-orang yang rapat dengan kamu akan mencuba menggunakan kedudukkan mereka kerana iri hati dengan hak milik orang lain dan mereka akan melakukan perbuatan yang tidak adil. Hapuskanlah sifat keji seperti itu daripada jiwa mereka. Janganlah diamalkan perbuatan memberi tanah walau sedikitpun kepada saudara-mara kamu. Itu akan mencegah mereka daripada merosakkan kepentingan orang lain dan meyelamatkan kamu daripada kemurkaan Allah dan kemarahan mansuia. Hendaklah kamu berlaku adil tanpa mengira saudara atau tidak. Jika salah seorang saudara atau sahabat kamu tidak mematuhi undang-undang, hukumlah mereka mengikut undang-undang yang telah ditetapkan walaupun tindakan itu akan membuat kamu sedih kerana semua ini adalah untuk kebaikan negara. Jika ada orang mengesyaki kamu berlaku tidak adil terhadap mereka pada bila-bila masa pun, berilah penjelasan kepada mereka dan hapuskanlah segala syak wasangka itu. Dengan cara begitu kamu akan sentiasa bersikap adil dan orang akan mula menyayangi kamu. Dan harapan kamu agar mereka menaruh kepercayaan terhadap kamu akan tercapai. Perdamaian dan Perjanjian Ingatlah! Janganlah kamu menolak tawaran untuk berdamai yang dibuat oleh musuh kamu. Terimalah tawaran itu kerana ia akan mendatangkan kegembiraan Allah. Perdamaian adalah sumber kegembiraan bagi tentera dan ia mengurangkann kebimbangan kamu serta mengekalkan keamanan dalam negeri. Tetapi awas! Hendaklah kamu sentiasa berwaspada setelah perjanjian damai ditandatangani kerana musuh-mush yang tertentu mengemukakan syarat perdamaian semata-mata untuk mengabui mata kamu dan mereka akan menyerang kamu apabila kamu leka. Dengan

18

itu hendaklah kamu sentiasa berjaga-jaga dan janganlah percaya dengan tidak menentu pada kata-kata mereka. Namun demikian, sekiranya di bawah perjanjian damai itu kamu telah terima sebarang kewajipan maka hendaklah kamu menyempurnakan kewajipan, maka hendaklah kamu menyempurnakan kewajipan itu dengan amat berhati kerana ia adalah satu amanah yang mesti dipegang teguh. Dan setiap kali kamu membuat janji, hendaklah kamu mencuba sedaya upaya kamu untuk menepatinya kerana walau apa- apa pun pertentangan yang wujud tentang perkara-perkara lain, namun tiada perkara yang lebih mulia daripada menepati janji. Malah, perbuatan itu juga diterima baik di kalangan orang bukan Islam kerana mereka sedar akibat tidak menepati janji. Oleh itu janganlah kamu sengaja mencari alasan apabila melaksanakan tanggungjawab ini dan jangan sekali-kali kamu mungkir janji atau menipu musuh kamu kerana perbuatan mungkir janji itu dikutuk oleh Allah dan tidak ada orang yang akan menentang Allah kecuali orang yang mungkar. Sesungguhnya janji Allah merupakan rahmat bagi setiap insan. Malah mereka yang paling berkuasa di dunia ini pun mengharapkan janji Allah kerana kamu tidak akan ditipu. Oleh itu janganlah berjanji jika tidak dapat dipenuhi kemudiannya atau melanggar perjanjian yang telah kamu setujui atau mungkir janji, walau bagaimana sukar sekalipun pada mulanya. Dan tunggulah dengan sabar akan hasilnya yang bermanafaat kerana itu lebih baik daripada memungkiri janji hanya kerana takut. Awas! Jauhilah pertumpahan darah tanpa sebab yang munasabah. Tidak ada perbuatan yang lebih merbahaya daripada menumpahkan darah. Pertumpahan darah membawa kemusnahan dan darah yang tumpah dengan sia-sia hanya akan membawa kemusnahan kepada negara. Pada hari Khiamat kelak orang yang melakukan pertumpahan darahlah yang paling dahulu disoal. Oleh itu awas! Janganlah kamu

19

bercita-cita hendak membina kekuatan negara kamu dengan melakukan pertumpahan darah kerana darah yang mengalir itulah yang akhirnya melemahkan negara dan memudahkan negara ditawan oleh orang lain. Demi Allah kami bersumpah, tiada keampunan bagi orang yang membunuh dengan sengaja. Hukuman bagi orang yang melakukan jenayah membunuh ialah hukuman mati. Sekiranya pesalah yang dihukum dera kerana sebarang jenayah yang kecil, mati semasa menjalani hukuman, maka janganlah kekuasaan negara menjadi penghalang bagi waris si mati menuntut diat. Arahan Yang Terakhir Janganlah kamu teburu-buru hendak melakukan sesuatu sebelum masanya atau mengabaikannya apabila tiba masanya. Janganlah melakukan perbuatan yang salah terus-terusan atau lalai membetulkan perkara yang salah. Buatlah sesuatu itu tepat pada masanya dan kena pada tempatnya. Apabila kata sepakat sudah dicapai, janganlah kamu mencuba menyuarakan pendapat peribadi kamu dan janganlah kamu lalai melaksanakan kewajipan yang harus dipikul kerana orang ramai akan sentiasa memerhatikan kamu dan kamu bertanggungjawab terhadap segala-gala yagn kamu lakukan utnuk rakyat. Sekiranya kamu abai melaksanakan tanggunjawab kamu, kamu akan menerima balasan yang sewajarnya,. Kawallah kemarahan kamu dan jagalah tangan dan lidah kamu. Sekiranya kamnu ditimpa kesusahan cubalah kawal pereasaan kamu kerana kalau tidak itu akan menambah kesusahan kamu. Adalah menjadi kewajipan kamu untuk mengkaji dengan teliti hukum-hukum yang diamalkan oleh pemerintah yang baik dan adil sebelum kamu. Contohilah Sunnah Rasulullah, patuhilah segala perintah dan jauhilah segala larangan dalam Kitab Allah dan Hadis Nabi, dan ikutilah segala panduan yang kamu peroleh daripada cara kami menguruskan kerajaan. Berusahalah dengan sedaya upaya kamu untuk melaksanakan

20

arahan-arahan yang telah kami sebutkan dalam warqah ini dan yang kamu sendiri bersumpah untuk mematuhinya. Dengan perintah ini, kami memerintahkan kamu supaya jangan suka mengikut kata hati atau lari daripada menyempurnakan tugas yang kami amanahkan kepada kamu. Kami memohon perlindungan Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Penyayang dan marilah kita berdoa agar kita sama-sama mendapat rahmatNya untuk melaksanakan segala perintahNya agar kita tersisih daripada segala kemungkaran dan semoga orang ramai mendapat manfaat dan agar amal kita berterusan. Kami memohon keredhaan Allah dan keampunanNya semoga Allah menerima kita sebagai syuhada dalam melaksanakan suruhanNya. Dan kepadaNya kita akan kembali. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan ke atas keluarganya.

21

You might also like