You are on page 1of 10

TEKS PENGACARA MAJLIS PERSARAAN PENGETUA.

TEKS PENGACARA MAJLIS MAJLIS KASIH DISEMAI BAKTI DITUAI SEMPENA PERSARAAN PN HJH NOOR HAYATI BINTI HAJI BAKRI PENGETUA SMK SIJANGKANG JAYA 14 OKTOBER 2010. 07.30 pagi : Pelajar dan Guru Mengambil Tempat : 07.45 pagi : Kehadiran Tetamu dan Jemputan Pengumuman: 1. Pelajar diminta bersarapan di kantin dan berada di Dataran Jaya pada pukul 08.15 pagi. 2. Pelajar dilarang meninggalkan majlis atau berada diperkarangan sekolah dalam tempoh majlis berlangsung. 3. Pelajar diminta duduk dalam keadaan senyap dan teratur sepanjang majlis berlangsung. 4. Tetamu dan dif-dif jemputan dipersilakan ke Bilik Gerakan untuk jamuan ringan. 5. Semua guru diminta berbaris dari pintu utama hingga ke gelanggang bola tampar. 6. Guru bertugas dan jawatkuasa disiplin diminta berada bersama pelajar. 7. Apabila yang diraikan tiba di khemah utama, kita akan sama-sama menyanyikan lagu negaraku. 08.15 pagi 08.50 pagi : Tayangan Slide / Video Profile Sekolah. 08.45 pagi : Tetamu mengambil tempat di khemah 09.00 pagi : Ketibaan mantan Pengetua SMK SJ Pn Hjh Noor Hayati bt Hj Bakri. * Perarakkan Masuk dengan Bunga Manggar dan Kompang. * Diiringi oleh PPD, YDP PIBG, Semua Penolong Kanan dan Pengerusi kelab Guru dari Pagar Utama ke Gelanggang Bola Tampar. * Persembahan silat di Gelanggang Bola Tampar. Mengumumkan ketibaan Yang Diraikan Pn Hjh Nor Hayati binti Hj Bakri diiringi dif-dif kehormat dan guru-guru masuk ke Dataran Jaya. Semua hadirin diminta berdiri Pagi yang indah penuh ceria Hari yang berbahagia penuh bermakna Kami bawakan kepada anda Majlis Kasih Disemai Bakti Dituai sempena persaraan Pn. Hajjah Nor Hayati bt Hj Bakri,Mantan Pengetua SMK Sijangkang Jaya. 09.15 pagi : Nyanyian lagu negaraku. Memulakan atur langkah majlis, marilah sama-sama kita kumandangkan suara untuk menyanyikan lagu Negaraku dengan iringan muzik. Dipersilakan hadirin untuk berdiri.

Majlis merakamkan ribuan terima atas nyanyian itu tadi. 09.20 pagi : Doa dan Ucapan-Ucapan BismilLahir Rahmanir Rahim Assalamu `Alaikum W.B.TSalam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia. Yang Berhormat, Tuan Dr Ahmad Yunus bin Hj Hairi, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sijangkang, Yang Berbahagia, Tuan Haji Megat Md Salleh bin Md Arshad, Pegawai Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran Malaysia. Yang Berbahagia, En. Muhammad Yazari bin Subari, Penolong Pengarah, Pengurusan Kelas Aliran Agama, Jabatan Pelajaran Negeri Selangor. Yang Berbahagia, Tuan Haji Basri bin Hj Abdullah, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Sektor Pengurusan Sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Langat. Yang Berbahagia, Encik Zulkefli bin Mohamed, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah, Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Langat. Yang Dikasihi dan Diraikan Pn Hajjah Noor Hayati binti Hj Bakri, Mantan, Pengetua SMK Sijangkang Jaya Yang Berusaha, Tn Hj Zulkapli bin Mat Taib Yang Dipertua PIBG SMK Sijangkang Jaya. Yang Berusaha, Puan Ramlah binti Haji Hashim, Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Sijangkang Jaya.

Yang Berusaha, Barisan Pengetua & Guru Besar Daerah Kuala Langat, Yang Dihormati, Dif-dif jemputan, Yang Dihormati Barisan Kepimpinan Penolong-Penolong Kanan, Guru-Guru Kanan Mata pelajaran, Guru-Guru Cemerlang, Barisan guru-guru, murid-murid, hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian. Saya bagi pihak Jawatankuasa Pelaksana mengucapkan Selamat datang ke : Majlis Kasih Disemai Bakti Dituai sempena persaraan Pn Hajah Noor Hayati binti Hj Bakri, Mantan Pengetua SMK Sijangkang Jaya. Sirih berlipat sirih pinang Sirih dari Pulau Mutiara Pemanis kata selamat datang Awal BismilLah pembuka bicara Sarung ketupat berisi inti Dibawa budak sambil berlari Kehadiran semua sangat dihargai Moga Majlis bertambah seri Bunga mawar cantik tersemat Dipetik gadis di tepi titi Doa dibaca memohon Rahmat Moga Majlis sentiasa diberkati Bagi menambah keberkatan Majlis kita pada hari yang penuh bermakna ini, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dilafazkan oleh Al fadhil Ustaz Zahri bin Mamat. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan. Amin Amin Ya Rabbal `Alamin Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ustaz Zahri bin Mamat atas bacaan doa itu tadi. Aturcara majlis dimulakan dengan mendengar ucapan daripada Wakil Pelajar. Untuk itu, dipersilakan Sdr Mohd Hanafi b. Mohd Raziff untuk menyampaikan ucapan. Majlis merakamkan ucapan terima kepada Ketua Pelajar SMK Sijangkang Jaya atas

ucapan itu tadi. Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah sekalian Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Yang Berusaha Pn Ramlah binti Hj Hashim, Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Sijangkang Jaya. Dipersilakan. Terbang melayang sianak kedidi, terima kasih Pn. Ramlah atas atas ucapan yang disampaikan sebentar tadi. Majlis seterusnya ingin menjemput dan mempersilakan Yang Dihormati Tn Hj Zulkapli bin Mat Taib, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Sijangkang Jaya untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan. Terima kasih diucapkan kepada Yang Dihormati Tn. Hj Zulkapli atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi. Tak molek jika ada alu tiada lesungnya Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya Tak lengkaplah Majlis jika suaranya tiada berbicara Majlis diteruskan lagi dengan menjemput dan mempersilakan Yang Berbahagia, Tuan Haji Talib bin Abd Hamid, Pegawai Pelajaran Daerah Kuala langat untuk menyampaikan ucapannya. Dipersilakan. Terima kasih diucapkan kepada yang Dihormati Tn Haji Talib bin Abd Hamid atas ucapan yang telah disampaikan sebentar tadi. Hadhirin Yang dihormati Sekalian Jasamu dikenang Budimu tak terbilang Semangatmu dijulang Kepimpinanmu gemilang Begitulah yang boleh kita perkatakan atas segala bakti dan kepimpinan yang disempurnakan oleh Yang Diraikan Pn Hjh Noor Hayati bt Hj Bakri sepanjang perkhidmatan beliau di dalam dunia pendidikan yang berakhir sebagai Pengetua SMK Sijangkang Jaya. Hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian Tiap pertemuan pasti ada perpisahan Itu adat, itu lumrah kehidupan Begitulah rentetan perjalanan Walau sukar untuk ditelan

Tapi kaki tetap mengorak jalan Selagi hayat dikandung badan 09.45 : Persembahan Multimedia Biografi Mantan Pengetua. Majlis diteruskan dengan persembahan multimedia mengisahkan tentang biografi dan memori perjalanan Yang Diraikan Pn Hjh Noor Hayati bin Hj Bakri. Marilah kita samasama saksi dan hayati persembahan multimedia ini. Begitulah tadi dapat kita saksikan persembahan multimedia Yang Diraikan Puan Hajah Noor Hayati binti Hj Bakri. Mudah-mudahan ianya dapat memberi sumber inspirasi buat kita semua. Kini, tibalah waktu yang kita nanti-nantikan iaitu ucapan daripada Yang Diraikan Pn. Hjh Noor Hayati bt Hj Bakri. Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan puan untuk memberikan ucapan. Sudah teradat si anak lelaki Mati berjuang, berundur jangan Berani kami menjunjung adat Bukan memberi kata dan puji Hanya budi dalam ingatan Buat kenangan sepanjang hayat Majlis merakamkan setingi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Diraikan Pn Hjh Noor Hayati Hj Bakri atas ucapan itu tadi. 10.30 pagi : Acara Persembahan Bagi memeriahkan lagi majlis kita pada pagi ini, Kami tampilkan satu persembahan daripada Pelajar Pendidikan Khas sebagai kenangan dihalwa telinga untuk kita khusunya untuk yang diraikan. Sama-sama kita saksikan persembahan nasyid yang bertajuk doa perpisahan dan tinggal kenangan. Untuk makluman hadirin, persembahan itu tadi di bawah pimpinan Puan Sharipah binti Samsuri. Sekalung penghargaan diucapkan. Seterusnya marilah sama-sama kita saksikan persembahan tarian daripada Kelab Seni Budaya. Begitulah santapan mata yang dihadiahkan oleh pelajar buat yang diraikan. Sekalung penghargaan atas persembahan istimewa itu tadi. Untuk makluman hadirin, persembahan itu tadi di bawah pimpinan Puan Nuraziatul Mazida bt Neimad.

Sidang Hadhirin Sekalian, Tinggi sungguh pohon kuini, Dililit pepaku bersulam semalu, Melepaskan dirimu di saat ini, Basahlah kami meratap pilu. Majlis diteruskan dengan mempersilakan kumpulan koir guru SMKSJ untuk mendendangkan alunan suara mereka. Dengan hormatnya dijemput. Begitulah lontaran suara daripada pendidik SMKSJ yang dialunkan untuk kita semua. Tahniah dan syabas. Mengakhiri persembahan kita pada pagi ini, dipersilakan kumpulan koir pelajar SMKSJ Untuk menampilkan persembahan lagu-lagu mereka. Dipersilakan. Terima kasih atas persembahan itu tadi. Persembahan koir guru dan pelajar itu tadi dibawah pimpinan Puan Norain Abd Halim. Terima kasih diucapkan. 12.15.tgh : Penyampaian Cenderamata Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian cenderamata sebagai tanda kenangkenangan buat insan yang kita raikan pada hari ini. Sebelum itu, Majlis dengan segala hormatnya ingin menjemput dan mempersilakan Puan Ramlah binti Hj Hashim untuk mengiringi Yang Diraikan Puan Hajah Noor Hayati bt Hj Bakri bagi menerima cenderamata kenang-kenangan. Dengan segala hormatnya dipersilakan. Kita akan mulakan dengan penyampaian cendermata hasil sumbangan daripada pelajar SMK Sijangkang Jaya. Dipersilakan Ketua Pelajar dan Penolong Ketua Pelajar untuk menyampaikan sumbang tersebut. Seterusnya, Dipersilakan PK HEM En. Kowangid bin Taupek untuk menyampaikan tanda hati daripada Unit HEM Dipersilakan PK Kokurikulum Pn Zaleha bt Selamat untuk menyampaikan tanda ingatan daripada Unit Kokurikulum Dipersilakan GKMP Sains Dan Matematik, Pn Hjh Noraznayati Abd Manap untuk menyampaikan tanda ingatan daripada Bidang Sains Matematik Dipersilakan GKMP Bahasa, Pn Aslamihah bt Zakaria untuk menyampaikan tanda

ingatan daripada Bidang Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Dipersilakan GKMP Kemanusiaan, Ustaz Zahri bin Mamat untuk menyampaikan tanda ingatan daripada Bidang Sains Sosial. Dipersilakan GKMP Teknik dan Vokasional, Pn Suzanna bt Mohamad untuk menyampaikan tanda ingatan daripada Bidang Teknik dan Vokasional Dipersilakan PK Petang, Puan Rubiah t Hayat untuk menyampaikan tanda mata daripada pihak Koperasi SMK SJ Berhad. Dipersilakan PK Pentadbiran, Puan Ramlah bt hj Hashim untuk menyampaikan tanda mata daripada AJK Pengurusan Sekolah. Dan yang terakhir Majlis mempersilakan (pelajar) . Begitulah tadi upacara penyampaian cenderamata kenang-kenangan khusus untuk Yang Diraikan Pn Hjh Noor Hayati binti Hj Bakri. Majlis merakamkan sejutaan penghargaan dan terima kasih atas tanda ingatan, sumbangan dan tanda hati yang diberikan dan semoga menjadi memoir indah dalam dakapan Puan Hjh Noor Hayati. 12.00 tgh : Majlis Sambutan hari Jadi. Sebagai tanda ingatan tulus ikhlas dan meraikan Hari Jadi Mantan Pengetua SMK Sijangkang Jaya, dipersilakan PK Pentadbiran untuk menjemput dan mempersilakan Pn Hjh Noor Hayati bagi upacara pemotongan kek hari jadi. Dijemput Wakil Jabatan Pelajaran Selangor, Tuan Pegawai Pelajaran Daerah, YDP PIBG dan semua Penolong Kanan untuk naik ke pentas. Marilah sama-sama kita nyanyikan lagu Selamat Hari Jadi untuk yang diraikan. Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada semua. Dipersilakan wakil jabatan, PPD, YDP PIBG dan Penolong Kanan untuk mengambil tempat dikhemah utama. Mantan Pengetua dan Pn Ramlah diminta berada di astaka untuk acara seterusnya. Hadhirin yang dihormati sekalian, Sebagai Tanda Penghargaan atas perkhidmatan Puan Hjh Noor Hayati binti Hj Bakri dalam bidang pendidikan, majlis mempersilakan .. Ketua Sektor/Ketua Unit Perjawatan dan Pencen, Jabatan Pelajaran Negeri Selagor untuk menyampaikan Sijil Penghargaan dari pihak Jabatan Pelajaran Selangor. Dipersilakan Tuan Haji Talib bin Abd Hamid, Pegawai Pelajaran Daerah Kuala Langat untuk menyampaikan Sijil Penghargaan dari pihak PPD Kuala Langat. Hadirin dan hadirat yang diRahmati Allah Untuk pengetahuan semua, Yang Diraikan Pn Hjh Noor Hayati bt Hj Bakri turut

berbesar hati menyumbangkan sebuah Astaka di Dataran Jaya ini. Pihak Pengurusan Sekolah berstuju untuk menamakan astaka ini sebagai ASTAKA HJH NOOR HAYATI. Astaka ini juga sebagai kenangan dan tanda sayang beliau terhadap sekolah ini. Sebagai tanda perasmian Astaka Noor Hayati, majlis sekali lagi mempersilakan Pn Ramlah bt Hashim, menjemput dan mengiringi Puan Hjh Noor Hayati untuk melakukan upacara perasmian. Dijemput Tuan Pegawai Pelajaran Daerah, YDP PIBG dan semua Penolong Kanan naik ke pentas utama. Berikan tepukan gemuruh kepada Pn Hjh Noor Hayati binti Hj Bakri. Terima kasih daun keladisumbangan puan amat dihargai. Inilah yang dikatakan, umpama belayar telah sampai di pelabuhan Umpama berkayuh telah sampai di muara Umpama berjalan telah sampai di destinasi Para hadirin sekalian, kita telah pun berada di hujung acara. Kuning emas masaknya padi Mawar merah dalam jambangan Terima kasih daun keladi Budi tuan jadi kenangan Tuai padi antara nampak Esok jangan layu-layuan Intai kami antara nampak Esok jangan rindu-rinduan Sebelum saya mengakhiri majlis ini,izinkan saya menyampaikan bait-bait puitis yang bertajuk Bak Air yang Mengalir Bak Air Yang Mengalir Bak air yang mengalir. Tiba jua kiranya di muara waktu, Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu, Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku! Berdiri melihat denai-denai kenangan, Berbunga mesra dalam jambangan ingatan, Barangkali terdengar nanti, Suara bisikan melankolia, Ucap salam anak-anak remaja, Tegur sapa, senyum tawa, rakan sekerja. Tiba waktunya untuk menyusun jemari, Membuang segala kerikil bersalut di hati,

yang terkhilaf dimaafi, yang sesal diinsafi, yang lebih dibahagi, yang kurang dilengkapi, Agar saat perpisahan ini indah, Terlerai segala durja gundah, Tersirna cebisan amarah, Terurai segala yang bercanggah. Bak air yang mengalir, Tiba juga kiranya di muara waktu, Pasti tersisa kenangan yang terindah, Berhias luka tidak berdarah, Kesementaraan waktu mengutus seribu bumbu, Kerana sekali dipanggil guru, selamanya pun bergelar guru. Selamat tinggal suara-suara ceria, Padang perhimpunan dan dewan perkasa, Bilik darjah dan anak-anak keletah, Pejabat tugas dan pembantu ikhlas, Bilik guru dan timbunan buku, Ruang kantin tempat mesra terjalin. Selamat tinggal seribu kerenah, Datang dan pergi pelbagai wajah, Bercampur gembira bersisip gundah, Bergema didikan beralas madah, Selamat tinggal sebuah tempat bernama sekolah! Selamat datang persaraan, Kerana segalanya hanya kesementaraan, Melengkapi perjalanan, Sebuah kehidupan! Bak air yang mengalir, Tiba juga kiranya di muara waktu, Di sini kami pasti merindu, hakikat seorang individu, Bernama Pengetua. Jelinglah kami jika rindu masih bertamu, Sapalah kami andai mesra akrab berpadu! Selamat berangkat dalam doa berkat, Selamat istirahat dari segala muslihat, Selamat bersara dengan senyuman mesra!

Senyumlah seindah suria, Setelah mencurahkan segala-galanya, Pasti beroleh keredaan-Nya. Bak air yang mengalir, Sampai di sini kenangan indah pasti terukir! Untuk akhirnya, kita akan menyaksikan buat kali terakhirnya, yang diraikan Pn Hjh Noor Hayati akan menandatangani buku Junjungan Kasih Catatan Kenangan sebagai tanda berakhirnya tugas rasmi beliau dalam dunia pendidikan. Terima kasih atas tandatangan yang dimeterailkan atas Buku Junjungan Kasih Catatan Kenangan Dengan itu, berakhirlah sudah Majlis kita pada hari ini. Majlis juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Diraikan Pn Hj Noor Hayati kerana sudi untuk bersama kita pada hari yang penuh bermakna ini dan kami semua mendoakan agar Yang Diraikan bertambah ceria dan bahagia di dalam kehidupan seharian. Majlis turut merakamkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu dan hadirin yang sudi meluangkan masa bersama-sama memeriahkan Majlis Kasih Disemai Bakti Dituai ini. Dikesempatan ini juga, kami ingin memohon ribuan kemaafan andai ada salah dan silap sepanjang kami mengacarakan Majlis ini. Pergi ke dusun memetik kelapa Kelapa muda si kelapa barli Jari disusun maaf dipinta Panjang usia bersua kembali Sekian sahaja, salam hormat, Wa BilLahit Taufiq walHidayah Wassalamu `Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh. Dipersilakan Puan Hajjah Noor Hayati untuk bersalaman dengan para tetamu. Pelajar diminta berada ditempat duduk masing-masing. Guru-guru bertugas diminta menyusun pelajar sepanjang laluan ke pintu pagar utama Para pelajar diminta beratur dari Garaj Kereta Puan Hajah Noor hati sehingga ke pintu pagar utama bagi membuat lambaian perpisahan.

You might also like