You are on page 1of 2

M.

Jegathesan

Datuk Dr Mani Jegathesan atau lebih dikenali sebagai M. Jegathesan telah dilahirkan di Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak pada 2 November 1943. Walau bagaimanapun beliau dibesarkan di Kuarters 100 yang terletak di Brickfields Kuala Lumpur. Selepas meninggalkan Sekolah Rendah Jalan Batu, dia meneruskan pendidikan di Victoria Institution (VI) pada 1955 dan Anglo Chinese School, Singapura antara 1956 hingga 1961. Olahragawan Negara 1966 itu juga cemerlang dalam akademik kerana berjaya memperolehi ijazah pertama perubatan dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) pada 1967 dan bergelar doktor perubatan. Beliau turut menerima anugerah pingat emas Kesatuan Pelajar NUS kerana menjadi pelajar terbaik keseluruhan universiti itu pada tahun yang sama. Dua tahun kemudian, beliau melanjutkan pengajian di Mahidol University, Bangkok dan Universiti London pada 1970 hingga 1971. Beliau telah berkahwin dengan Lee Hong pada tahun 1969, seorang graduan Fakulti Farmasi yang juga menuntut di Universiti Singapura. Beliau mempunyai dua orang anak perempuan, Ashelee, 34 dan Shirene, 31 dan seorang anak lelaki, Manika (Niki), 26 serta mempunyai sepasang cucu. Memegang status pelari terpantas Asia selama lapan tahun atau 96 bulan pada era 1960-an ini mula mengorak langkah dalam arena olahraga ketika dia dibesarkan di Kuala Lumpur. Kedudukannya pada ketika itu sukar digugat oleh mana-mana pelari benua Asia. M. Jegathesan, adalah pelari pertama Malaysia yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Sukan Olimpik di Rome pada 1960 dalam acara pecut 100m. Beliau pernah melayakkan diri ke pentas Olimpik sebanyak tiga kali berturut-turut pada 1960, 1964, 1968 dan menjadi atlit Malaysia pertama ke separuh akhir 200m pada 1964 dan mengulanginya empat tahun kemudian.

Ayahnya, N. M. Vasagam yang berhijrah ke negara ini ketika usia remajanya adalah bekas pelari kebangsaan yang berasal dari Ceylon atau sekarang dikenali sebagai Sri Lanka. Mendiang ayahnya adalah bekas pengasas dan setiausaha Persekutuan Persatuan Atlit Amatur Malaya yang kemudian ditukar nama menjadi Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU). Dia juga pengasas Persekutuan Majlis Olimpik Malaya yang kini dikenali sebagai Majlis Olimpik Malaysia (OCM). Jegathesan terbabit dalam banyak bidang termasuk profesional seperti olahraga, akademik, pentadbir sukan, penyelidik, pendidik, penasihat perubatan, ketua pegawai eksekutif dan sebagainya. Ramai kenalan beliau menyifatkan Jegathesan mampu mencapai apa yang diinginkan kerana beliau membuktikannya sejak menjadi atlit ketika usia mudanya. Pengalaman bekerja beliau ialah berkhidmat di Kementerian Kesihatan dari 1967 hingga 1998 dan di situlah beliau menimba pengalaman bermanfaat dalam perubatan. Beliau memegang beberapa jawatan di kementerian itu selama 31 tahun bertugas dan jawatan terakhir ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (TKPK) antara 1994 hingga 1998. Beliau pernah menjadi Ketua Perkhidmatan Makmal Hospital Kuala Lumpur 1985 hingga 1988, Ketua Bahagian Mikrobiologi dan Pengarah IMR dari 1988 hingga 1994. Namun dalam tempoh singkat itu Jegathesan memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada negara. Walaupun sibuk dengan tugasnya kini selaku Ketua Pengawai Operasi Sistem Hospital Awasan Taraf dan Adjunct Profesor dalam Perubatan Mikrobiologi di Universiti Putra Malaysia (UPM), dia masih mencurah sumbangan kepada sukan sebagai pentadbir. Pada masa ini beliau adalah Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

You might also like