You are on page 1of 1

Sikap mengutamakan barangan buatan tempatan banyak memberikan manfaaf kepada rakyat.

Dengan berdasarkan
hakikat ini, tulis rencana yang menyentuh pelbagai manfaat amalan tersebut kepada rakyat dan negara ini.

Faedah Mengutamakan Barangan Buatan Tempatan

Oleh : Noor Azmi bin Hashim

Kejatuhan nilai ringgit sejak bulan Julai 1997 yang Ialu telah menjerumuskan Malaysia dalam kancah kegawatan
ekonomi yang agak teruk. Nilai ringgit yang pada suatu ketika dahulu hanya sekitar RM2.50 bagi setiap AS$1.00 kini
mencecah angka RM3.80 bagi setiap AS$1.00. Keadaan sebegini memberikan impak yang buruk kepada ekonomi
negara. Harga barang semakin meningkat, manakala harga saham semakin menjunam hingga menyebabkan
banyak syarikat yang terpaksa gulung tikar. Sebagai akibatnya, ribuan pekerja menjadi penganggur.

Untuk berdepan dengan situasi begini, pelbagai langkah perlu diambil. Salah satu caranya ialah mengamalkan
sikap berjimat cermat. Setiap rakyat Malaysia daripada segenap lapisan perlu mempraktikkan amalan berjimat dalam
perbelanjaan harian mereka. Jika selama ini sikap terlalu mengagung-agungkan barangan luar negara begitu ketara,
kini tibalah masanya mereka memartabatkan barangan buatan tempatan. Dengan kata-kata lain, rakyat Malaysia
perlu mengubah persepsinya terhadap barangan buatan tempatan.

Tak kenal maka tak cinta. Sebenarnya, banyak manfaatnya mengutamakan barangan buatan tempatan ini. Dari
segi harga, temyata bahawa barangan buatan tempatan lebih murah jika dibandingkan dengan harga barangan
import. Hal ini dapat dibuktikan dengan harga motosikal buatan tempatan, iaitu Kriss. Harga motosikal tersebut, yang
berkuasa kuda 110 ialah sekitar RM4500.00 sebuah. Sebaliknya harga sebuah motosikal buatan Jepun yang
mempunyai kuasa kuda yang sama melebihi RM5000.00. Hal ini bermakna bahawa dengan membeli barangan
buatan tempatan, seseorang itu dapat menjimatkan perbelanjaan untuk memiliki barangan yang sama.

Selain harganya murah, kualiti barangan buatan tempatan setanding juga dengan kualiti barangan import, malah
ada yang lebih baik mutunya sehingga menarik minat pelancong asing dan pelbagai pihak di luar negeri. Barangan
daripada kulit, seperti kasut, beg, dompet, dan sebagainya mendapat tempat yang istimewa di hati para pelancong
dan para pengimport luar negeri. Kasut Bata keluaran Malaysia, misalnya, pernah mengalahkan kasut buatan negara
lain dalam suatu pertandingan kualiti kasut dalam satu pesta antarabangsa di ltali. Lebih daripada itu, Malaysia
adalah antara pengeluar alat pendingin hawa yang terbaik di dunia dan diberikan pengiktirafan oleh banyak badan
standard kualiti antarabangsa. Jika orang luar memandang tinggi terhadap barangan buatan tempatan, sepatutnya
rakyat Malaysia lebih menghargai dan mengiktirafnya.

Dengan membeli barangan buatan tempatan, rakyat Malaysia dapat juga membantu perkembangan industri
setempat. Sambutan yang diberikan terhadap sesuatu barangan tempatan akan memungkinkan syarikat tersebut
meluaskan pasarannya sehingga ke luar negeri. Keadaan ini akan meningkatkan kemakmuran negara dan sekali gus
akan meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia juga. Sambutan yang diberikan terhadap kereta Proton, misalnya,
telah memungkinkan pengeluamya memasarkan kenderaan tersebut sehingga ke Britain, Filipina, Singapura, Brunei
dan negara-negara lain.

Perkembangan industri tempatan akan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat
setempat. Apabila barangan buatan tempatan mendapat sambutan, maka pengeluaran atau produktivitnya tentulah
meningkat. Industri akan bertambah maju dan secara tidak langsung keadaan ini akan mengurangkan kadar
pengangguran yang dihadapi negara. Sedikit banyak perkembangan ini dapat mengurangkan masalah sosial yang
berpunca daripada masalah pengangguran. Di samping itu, perkembangan yang sihat ini dapat juga membantu
rakyat Malaysia menikmati pelbagai prasarana yang diperlukan.

Manfaat yang lebih penting daripada amalan membeli barangan buatan tempatan, khususnya dalam keadaan
ekonomi yang muram sekarang, ialah tindakan itu dapat membantu negara mengurangkan kesan kegawatan
ekonomi. Hal ini demikian kerana, amalan ini dapat menyekat pengaliran keluar mata wang tempatan dan
mengurangkan import. Sebagai hasilnya, nilai ringgit dapat distabilkan daripada kedudukannya sekarang.

Dengan nilai ringgit yang rendah, harga barangan import sekarang secara relatif menjadi lebih mahal daripada
harganya dahulu. Keadaan tersebut sudah tentulah meningkatkan perbelanjaan harian rakyat Malaysia. Untuk
berdepan dengan situasi itu, alternatif yang terbaik yang sepatutnya diamalkan oleh rakyat Malaysia sejak dahulu lagi
ialah memberikan sokongan terhadap barangan tempatan. Berikanlah kerjasama terhadap kempen Belilah Barangan
Buatan Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan bagi mengurangkan kesan kegawatan ekonomi yang melanda
negara. Barangan buatan Malaysia kebanggaan kita bersama.

(600 patah perkataan)

You might also like